Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Puasa
Qadha Puasa

Soalan-soalan:

  1. Mengganti Puasa Mereka yang Meninggal Dunia
  2. Mengqadha' Puasa
  3. Puasa Wanita Mengandung
  4. Mengqada Puasa Kerana Mengandung 
  5. Membayar Fidyah
  6. Ganti Puasa serta Fidyah
  7. Cara Membayar Fidyah
  8. Ukuran Secupak Fidyah
  9. Mengganti Puasa Ibu
  10. Mengganti Puasa yang Ditinggalkan
  11. Fidyah bagi Meninggalkan Puasa 20 tahun
  12. Mengganti Puasa Yang Tertinggal Lama
  13. Waktu Membayar Fidyah Puasa
  14. Mereka yang Layak Menerima Fidyah 
  15. Berbuka ketika Mengganti Puasa

 


 

1. Mengganti Puasa Mereka yang Meninggal Dunia
Soalan:
Bapa saya sudah lama meninggal dunia. Semasa hayatnya dia jarang berpuasa. Kemusykilan saya, adakah wajib saya sebagai anaknya atau ibu saya, untuk menqadakan puasanya ataupun bagaimanakah caranya saya harus menyelesaikan masalah ini? Untuk pengetahuan tuan saya tidak tahu berapa harikah dia tidak berpuasa. Setahu saya terlalu banyak.

Salmah, Segamat

 Jawapan:
Menurut mazhab Syafie, Maliki dan Hanafi; puasa orang yang telah meninggal dunia tidak boleh diganti oleh orang lain. Namun puasa mereka cukup diganti dengan membayar fidyah. Iaitu dengan memberikan makan fakir miskin seorang sehari puasa yang ditinggalkannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa meninggal dan padanya ada puasa Ramadhan yang telah ditinggalkan maka hendaklah diberi makan atas namanya sehari seorang miskin (fidyah)" (Hr. Tarmizi daripada Ibnu Umar)     Seandainya warisnya mengetahui bahawa orang tuanya atau bapanya ada berniat puasa nazar maka warisnya hendaklah menggantikannya dengan berpuasa sesuai dengan yang dinazarkan. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila sakit seorang lelaki dalam bulan Ramadhan kemudian ia meninggal dunia, padahal ia tidak berpuasa maka ia harus membayar fidyah (memberi makan orang miskin seorang sehari atas namanya). Tiada qadha atasnya. Dan jika puasa nazar hendaklah diqadhakan oleh wali atau warisnya". (HR Abu Daud daripada Ibnu Abbas)

Kembali ke atas ↑


 

2. Mengqadha' Puasa
Soalan:
Tahun lepas saya tak sempat ganti puasa saya (satu hari saja). Soalan saya adakah patut saya gandakan puasa saya atau bagaimana?

Salmah, Segamat

 Jawapan:
Qadha Ramadhan tidaklah wajib disegerakan, boleh ditangguhkan sehingga bulan Sya,ban, samada uzur atau tidak. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Aisyah katanya" Atasku ada puasa dari bulan Ramadhan, maka aku tidak mengqadhanya sehingga datanglah bulan Syaaban tahun berikutnya".

Apabila seseorang tidak mengqadhanya sehingga menjelang Ramadhan yang berikutnya, maka menurut sebahagian ulama diwajibkan atas orang itu memberi fidyah disamping wajib mengqadha puasa. Tetapi dalil yang mewajibkan fidyah dalam hal ini, tidak kami perolehi.

Al Hasan dan Ulama Hanafiyah tidak mewajibkan fidyah jika ditangguh kerana uzur atau tidak. Imam Malik, Syafei, Ahmad dan Ishak sependapat dengan ulama Hanafiah. Jadi jelaslah cukup sekedar mengqada puasa yang tinggal dan tidak perlu menggandakannya.

DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑


 

3. Puasa Wanita Mengandung
Soalan:
Apakah hukumnya seorang perempuan mengandung yang meninggalkan puasa di bulan Ramadhan kerana dikhuatiri dirinya akan menjadi lemah dan tidak berdaya melakukan kerja-kerja seharian (di pejabat
dan di rumah)?

Hadifah, KL

Jawapan:
Dalam satu riwayat dari Anas bin malik Al Ka'bi berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah meringankan bagi musafir dalam ibadat puasa dan separuh dari solat dan bagi wanita hamil dan menyusui (ia meringankan) puasa".Hadis di atas merupakan dalil bagi wanita yang sedang hamil atau menyusui boleh berbuka puasa. Boleh juga berbuka sekalipun yang menjadi sebabnya adalah soal anak.

Menurut Imam Tirmizi, sebahagian ulama mengatakan, wanita hamil dan menyusui itu boleh berbuka puasa dan memberi makan kepada fakir miskin, kalau dia mahu boleh pula dia mengqadha tanpa memberikan makanan kepada fakir miskin. Sedangkan menurut pendapat ulama mazhab Syafei bahawa wanita hamil dan menyusui apabila khuatir mengalami bahaya maka mereka wajib berbuka, tidak payah berpuasa. Dan dalam keadaan ini mereka hendaklah mengqadha puasanya kelak.

DN 091 Fardhu ‘Ain Khusus Wanita

Kembali ke atas ↑


 

4. Mengqada Puasa Kerana Mengandung
Soalan:
Assalamualaikum, Ustaz
Saya ada satu kemusykilan berkenaan dengan puasa ganti. Saya telah tinggal puasa sebanyak 8 hari kerana pada masa itu saya mengandungkan anak yang pertama (tahun lalu). Saya tidak dapat menggantikan puasa tersebut disebabkan oleh kesihatan yang tidak mengizinkan.Oleh yang demikian, saya dikehendaki memberi beras 1 cupak untuk satu hari puasa kepada orang miskin dan menggantikan balik puasa tersebut. Soalan saya, bolehkah saya membayar beras kepada orang miskin dahulu dan menggantikan balik puasa saya kemudian hari? Adakah dengan berbuat demikian, hari puasa saya akan berganda iaitu 16 hari? Sekian, wassalam.

Nik Zainab, KL

Jawapan:
Daripada Anas bin Malik berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah SWT membebaskan puasa dan separuh solat bagi musafir, dan membebaskan puasa bagi wanita yang hamil dan wanita yang menyusui". (R. Lima Imam) Dalam hadis ini terdapat dalil bahawa wanita yang hamil dan menyusui boleh tidak puasa, iaitu bila wanita yang menyusui khuatir atas bayi yang disusuinya dan wanita hamil khuatir atas janinnya.

Menurut Ishaq, wanita hamil dan wanita yang menyusui tidak puasa dan boleh makan serta tidak wajib mengqada. Jika keduanya mahu boleh mengqada dan tiada fidyah.

Menurut Syafei,  Al Auzai dan Az Zuhri, bagi wanita hamil dan menyusui yang meninggalkan puasa maka wajib qada tanpa fidyah.

Kemudian menurut ulama Syafeiyah wanita hamil dan menyusui anak wajib mengqadha dan membayar fidyah. Jadi terpulanglah kepada puan untuk memilih mana satu pendapat ulama di atas. Cuma saja puan tidak perlu berpuasa berganda, cukup mengganti sebanyak yang tinggal.

Kembali ke atas ↑


 

5. Membayar Fidyah
Soalan:
Saya ingin bertanya, adakah membayar fidyah itu wajib bagi mereka yang belum bekerja? Kerana pada ketika itu dia masih bersekolah, tapi kini dia telah bekerja, dan adakah dia wajib membayarnya? Kalau ia wajib, bagaimanakah caranya?

Nani, KL

Jawapan:
Mengqada dan membayar fidyah dikenakan kepada orang Islam yang telah baligh iaitu telah wajib ke atasnya menjalankan syariat Islam secara keseluruhan. Namun jika ketika itu kita belum berkemampuan membayar fidyah maka bayarlah ketika kita mampu, menurut jumlah puasa yang tertinggal.

 DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑


6. Ganti Puasa serta Fidyah
Soalan:
Seorang wanita yang tidak sempat menggantikan fidyah untuk tahun tersebut tetapi hanya sempat menggantikan puasanya sahaja adakah perlu mengulagi puasa ganti tersebut sekali lagi bersama-sama fidyah yang telah ditetapkan atau dia hanya perlu membayar fidahnya sebanyak dua kali ganda sahaja tanpa perlu menggantikan puasanya (yang juga sepatutnya dua kali ganda dari tahun sebelumnya)?

Nurmaya, Illinois USA

Jawapan:
Sebahagian ulama menetapkan mengqadha puasa Ramadhan yang ketinggalan wajiblah berturut-turut, namun sebahagian yang lain mengatakan qadha Ramadhan tidaklah wajib disegerakan, boleh ditangguhkan sehingga bulan Sya'ban samada uzur ataupun tidak. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dari Aisyah ujarnya: "Atasku ada puasa dari bulan Ramadhan, maka aku tidak mengqadhanya sehingga datanglah bulan Sya'ban tahun yang berikutnya".

Apabila seseorang tidak mengqadhanya sehinggaa menjelang Ramadhan yang berikutnya, maka menurut kata sebahagian ulama diwajibkan atas orang itu memberi fidyah disamping wajib mengqadha puasanya. Tetapi dalil yang mewajibkan fidyah dalam hal ini tidak ditemui. Jadi jika ingin membayar fidyah cukuplah sekali sahaja tidaklah berganda. Wallahu 'Alam.

DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑


 

7. Cara Membayar Fidyah
Soalan:
Assalamualaikum,
Adakah dibolehkan kita membayar wang kepada seseorang seperti imam ataupun baitulmal untuk menyelesaikan masalah fidyah puasa kerana bersetubuh di siang hari bulan ramadhan. Ini adalah kerana kita tidak mampu untuk berpuasa selama 60 hari, membebaskan seorang hamba dan kesukaran mencari 60 orang miskin. Sekian, terima kasih.

Mazlan, KL

Jawapan:
Kesalahan yang kita lakukan merupakan tanggungjawab kita untuk menyelesaikannya, kerana pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW seorang sahabat mengadukan halnya disebabkan berjimak disiang hari bulan Ramadan. Baginda menyuruh sahabat tersebut memerdekakan seorang hamba, namun ia tidak mempunyai hamba, kemudian baginda menyuruh berpuasa dua bulan berturut-turut, namun ia tidak mampu untuk melakukakannya. Terakhir baginda menyuruh ia memberi makan 60 orang miskin, tapi tidak ada harta untuk memberikannya.

Kemudian Rasulullah mengambil kurma dan memberikan kepada sahabat tersebut untuk membahagi-bahagikan kurma itu kepada yang layak menerimanya. Tapi lelaki itu berkata bahawa tidak ada yang lebih layak di pelosok Madinah ketika itu menerima kurma itu selain dirinya. Maka Rasulullah SAW (sambil tersenyum) membenarkan sahaja lelaki tadi menerima kurma tersebut.

Dari kisah di atas membuktikan bahawa Rasulullah SAW menyuruh orang yang bersangkutan menyelesaikan masalahnya sendiri. Tapi tidaklah salah jika ada pihak lain sanggup untuk menyelesaikan tugas kita itu dengan betul. Ertinya kaffarah kita itu sampai dimakan oleh 60 orang miskin tidak kurang daripada itu.

 DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑


 

8. Ukuran Secupak Fidyah
Soalan:
Berapakah anggaran secupak (fidyah) di dalam Ringgit Malaysia?

Halim ,Kota Tinggi

Jawapan:
Menurut Kamus Dewan, secupak sama dengan suku gantang. Mengikut ukuran fidyah ialan ukuran kenyang untuk satu orang makan.

 DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑


 

9. Mengganti Puasa Ibu
Soalan:
Saya ingin bertanya, bagaimanakah caranya saya boleh membayar kifarah atau mengganti puasa ibu saya yang tidak berpuasa selama sebulan, oleh kerana melahirkan adik saya. Sekarang ini umur adik saya 27 tahun?

Termizi, KL

Jawapan:
Seseorang ibu yang melahirkan anak dan bimbang di atas keselamatan diri dan anaknya itu, maka diharuskan kepadanya berbuka puasa atau tidak berpuasa.

Dalam kes di atas jika ibu saudara itu meninggal dunia tidak beberapa lama selepas itu dan belum sempat mengqada'kan puasanya, padahal ia mampu berbuat demikian, jika ia hidup lebih lama lagi, maka menjadi kewajipan kepada saudara menqada'nya untuk ibu saudara sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan oleh ibu saudara itu seterusnya saudara dikehendaki membayar fidyah juga sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan dengan mengeluarkan satu cupak makanan asasi sesebuah negara.

Kalau di negara kita ialah beras atau nilaian harganya menurut sesetengah mazhab, untuk diberikan kepada golongan fakir miskin. Jika ibu saudara itu meninggal dalam keadaan ia sendiri tidak mampu mengqada'nya maka saudara tidak dikenakan apa-apa qada'. Demikianlah yang disebut di dalam kitab Fiqh Al-Manhaji dan juga berdasarkan hadis riwayat At-Tirmidhi dan juga Abu dawud.

 DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑


 

10. Mengganti Puasa yang Ditinggalkan
Soalan:
Tuan, saya banyak meninggalkan puasa semasa remaja, bagaimanakah caranya saya  hendak menggantinya, dan bolehkah tuan terangkan tentang fidyah dan bagaimana caranya?

Mohammad Sulaiman, KL

Jawapan:
Puasa adalah rukun Islam yang keempat. Sesiapa yang meninggalkanya dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran bererti telah melakukan dosa besar di sisi Allah SWT. Walaupun ia berdosa di sisi Allah namun tugas mengqadakkan semula puasa yang ditinggalkannya hendaklah dilakukan. Begitu juga dengan pembayaran fidyah.Dalam kes ini jika seseorang itu banyak meninggalkan puasa. Tidak diketahui dengan tepat sudah beberapa tahun ditinggalkannya, ia hendaklah menyediakan cadangan sebagai mengambil langkah berjaga-jaga.

Umpamanya ia meninggalkan puasa selama 10 tahun. Hendaklah ia mengqada'kan ke semua puasa yang ditinggalkannya itu, di samping membayar fidyah berupa secupak makanan untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan itu. Fidyah tidak boleh dibayar selagi ia tidak mengqada'kan puasanya terlebih dahulu. Bagi Imam An-Nawawi dalam Syarh Muhadhdhab orang yang meninggalkan puasa ini hendaklah mengqada'kan puasanya dengan segera dan qada' ini boleh dilakukan secara berturut-turut ataupun secara berselangan hari.

 DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑


 

11. Fidyah bagi Meninggalkan Puasa 20 tahun
Soalan:
Boleh sekiranya Ustaz tunjukkan kira-kira, bagaimana untuk saya membayar fidyah arwah Bapa saya yang sudah meninggal dunia, katakan lah ia tidak berpuasa selama 20 tahun, tanpa Uzur?

Sh, Singapura

Jawapan:
Dalam madhhab Syafii orang yang meninggal dunia tetapi mempunyai hutang puasa Ramadan yang masih belum ditunaikan di masa hidupnya tanpa sebarang keuzuran dan ia pula boleh menqadakkannya semasa ia hidup itu tetapi ia tidak mengqadakkannya, maka hendaklah diambil dari harta peninggalannya sejumlah wang setelah itu digunakan untuk membeli makanan lalu diberi  makan kepada fakir miskin sebanyak secupak makanan satu hari mengikut bilangan hari yang telah ditinggalkan oleh ayahnya.

Jika melibatkan 20 tahun maka dikalikan 30 hari dengan 20 tahun. Jumlahnya ialah 600 cupak makanan. Ini berdasarkan pendapat baru imam Asy-Syafii. Dalam pendapat lama imam Asy-Syafii wali si mati seperti anaknya dan lain-lain hendaklah berpuasa untuk ayahnya sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan oleh ayahnya itu selama 20 tahun. Ini berdasarkan keterangan dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh At-Tirmidhi dari Ibn Umar yang menjelaskan sesiapa yang meninggal dunia tetapi masih mempunyai hutang puasa yang masih belum dibereskan, hendaklah diambil dari harta peninggalannya lalu dibeli makanan dan diberi makan kepada fakir miskin sebanyak secupak makanan satu hari.Wallahu A'lam Bissawab.

Kembali ke atas ↑


 

12. Mengganti Puasa Yang Tertinggal Lama
Soalan:
Bolehkah seorang yang meninggalkan puasa bulan Ramadhan tahun 1990 menggantikannya pada tahun ini dan dia membayar fidiyah pada tahun-tahun yang lain?

Mohammed Yusoff , KL

Jawapan:
Menurut ketentuan syarak jika kita tertinggal puasa pada bulan Ramadhan pada tahun itu hendaklah kita mengqada atau menggantinya puasa yang tertinggal itu sebelum masuk bulan Ramadhan yang berikutnya. Namun jika telah terlanjur tertinggal sampai beberapa tahun kerana lalai atau tidak tahu kaedah yang sebenarnya maka segeralah bertaubat dan gantilah sebanyak puasa yang tertinggal itu dengan seberapa yang segera.

 DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑


 

13. Waktu Membayar Fidyah Puasa
Soalan:
2. Bilakah masa yang sepatutnya kita membayar fidiyah? Adakah kita terpaksa menunggu sehingga bulan Ramadhan sebelum membayarnya?

Jawapan:
Diberikan keringan tidak berpuasa orang yang telah tua bangka baik lelaki mahupun wanita, orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh dan orang-orang yang mempunyai halangan lain yang diizinkan syarak untuk tidak berpuasa. Sebagai tebusannya mereka diwajibkan memberi makan seorang miskin untuk setiap hari dengan segera dan tidak menunggu sehingga bulan Ramadhan berikutnya.

 DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑


 

14. Mereka yang Layak Menerima Fidyah
Soalan:
Bagi seseorang yang ingin membayar fidyah, kepada siapakah mereka harus membayar. Bolehkah diserahkan kepada amil zakat untuk menguruskannya atau kita perlu mencari sendiri orang yang layak terima fidyah tersebut?

Abdul Fatah, KL

Jawapan:
Jika kita tidak mampu melaksanakan puasa lantaran keuzuran, sakit dan sebagainya yang menyebabkan dibebankan membayar fidyah, maka wajib bagi kita memberi makan sehari seorang fakir ataupun miskin. Usahakanlah mencari orang miskin yang ada disekitar kediaman ataupun di kampung anda dan inilah yang lebih baik.

 DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑


 

15. Berbuka ketika Mengganti Puasa
Soalan:
Sekiranya saya menggantikan puasa hari ini, kemudian saya membuka puasa tersebut. Ada pendapat mengatakan saya kena menggantikan puasa itu dua kali ganda maknanya saya kena menggantikan semula puasa itu sebanyak dua hari. Apa pendapat uztaz ?

Azni, Bangi

Jawapan:
Jika kita tertinggal puasa wajib seperti puasa Ramadhan disebabkan kerana halangan tertentu seperti bermusafir, kerana haid dan halangan yang dibolehkan oleh syarak, maka cukuplah seseorang itu menggantikan puasanya yang tertinggal itu mengikut jumlah harinya. Jika sehari gantilah sehari setelah bulan Ramadhan begitu juga jika seminggu maka gantilah seminggu. Seandainya pada hari menggantikan puasa tersebut kita mendapat keuzuran tertentu carilah hari yang lain untuk menggantinya asalkan tidak sampai masuk bulan Ramadhan berikutnya. Tidak perlulah menggantikan puasa tersebut sampai dua kali ganda lantaran keuzuran pada masa menggantikannya. Wallahu A'lam.

 DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑

Popular

Wadah Harian

Kamu tidak akan masuk syurga, kecuali kalau kamu beriman, dan tidaklah beriman kalau kamu belum saling berkasih sayang. Mahukah kamu, aku tunjukkan sesuatu yang bila kamu kerjakan, kamu akan berkasih sayang antara satu sama lain? Tebarkanlah salam di antaramu.

* Petikan: Imam Ghazali DN 082 1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat

 
Anda Di Sini Soal Jawab Puasa Qadha Puasa