Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Kekeluargaan & Perkahwinan
Kekeluargaan

Soalan-soalan:

  1. Berkomunikasi Dengan Suami dan Mertua
  2. Mertua Menderhakai Menantu
  3. Membentuk Keluarga Sakinah  
  4. Membantah Kedua Ibu Bapa
  5. Menghormati Ibu Bapa dan Orang Lebih Tua
  6. Menghindarkan Bala Akibat Kata-kata dan Doa Ibu
  7. Membenci Kedua Orang Tua 
  8. Ibu Menentang Anak Menghayati Kehendak Islam
  9. Hukum Mematuhi Ibu Angkat
  10. Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu
  11. Kesan Keruntuhan Rumahtangga
  12. Isteri Tidak Suka dengan Mentua
  13. Bersedekah Kepada Ahli Keluarga
  14. Hubungan Harmoni Suami Isteri/Poligami/Campurtangan Ibu Mentua
  15. Dilema antara Ayah dan Ibu
  16. Kedudukan Wuduk bagi Anak Angkat
  17. Ayah Melakukan Pekerjaan Fasiq 
  18. Berdakwah Terhadap Ibu dan Keluarga Sendiri

 


 

1. Berkomunikasi Dengan Suami dan Mertua
Soalan:
Saya mengenali seseorang yang menghadapi masalah rumahtangga. Masalahnya ialah berkomunikasi dengan suami dan ibu mertua. Suaminya suka merahsiakan aktivitinya dan masalahnya serta menyuruh isterinya supaya tidak mencampuri hal kerjanya. Tambahan lagi suami tidak mengamalkan tuntutan sembahyang. Suami juga suka melihat dan memuji wanita cantik di depan isteri. Ini membuatkan isteri cemburu memandangkan isteri hanya duduk di rumah menjaga dua anak yang masih nakal dan kecil.

Masalah dengan ibu mertua pula, suka mencampuri urusan keluarga anak dan menyusahkan suami dengan masalah kewangan. Suami bukan orang yang mempunyai pendapatan yang banyak. Ibu mertua juga memilih kasih antara menantu-menantu.

Akibat daripada masalah-masalah ini, isteri selalu meminta cerai. Tetapi suami tidak melayan & keadaan akan kembali normal. Kemudian perkara yang sama akan berlaku lagi, apakah hukumnya sekiranya suami berkata kepada isteri "telefonlah abang awak suruh dia datang dan bawa awak balik", adakah talak sudah jatuh?

Fatimah, KL

Jawapan:
Suami yang soleh adalah suami yang melaksanakan perintah Allah dan selalu membimbing keluarga ke jalan yang benar. Namun jika seorang isteri mempunyai suami yang ingkar dan meninggalkan perkara yang wajib, maka berusahalah untuk menasihatinya secara lebih baik agar keegoannya tidak tercalar. Kemudian banyaklah berdoa kepada Allah agar suami segera kembali ke jalan yang benar.

Jika berbagai cara tidak dapat mengatasi keingkaran suami terhadap Allah maka ketikan itu isteri boleh memilih jalan yang terbaik untuk dirinya. Pastikan benar bawaha kesalahan suami memang berkaitan dengan syarak. Sebab seandainya isteri minta cerai tanpa alasan syarak maka ia dikutuk oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Seorang wanita yang minta cerai dari suaminya, maka ia tidak akan dapat mencium bau syurga". (Riwayat Tirmizi)

Mengenai sifat suami yang suka memuji wanita lain, ini merupakan akhlak yang tidak baik, dan bolehlah isteri  menasihatkan kepada suami, kerana menyebut-nyebut tentang wanita lain dan memuji kecantikannya atas dasar dorongan syahwat adalah berdosa. Isteri harus bersabar atas sikap suami semacam ini. Walau bagaimanapun seorang suami masih mempunyai hak untuk kahwin lagi lebih daripada satu, kerana hukum syarak tidak melarangnya. Cuma isteri perlu pandai mengambil hati suami melalui pendekatan psikologi dan agama iaitu dengan banyak beribadah (kepada Allah dan juga suami) dan berdoa kepada Allah SWT.

Tentang ibu mentua yang suka meminta belanja daripada anak lelakinya, itu perkara biasa, kerana memang tanggungjawab anak lelaki membantu terhadap kedua ibu bapanya. Secara syarak orang tua terlepas dari segi nafkah setelah anak perempuannya berkahwin. Sedangkan anak lelaki ia terus bertanggungjawab terhadap ibu bapanya sampai keduanya umur lanjut atau meninggal dunia. Berbuat baiklah terhadap ibu mertua, kerana melalui rahimnyalah lahir suami yang mendampingi kita, maka samalah peranannya dengan ibu sendiri.

Kemudian mengenai ucapan "Telefonlah abang awak suruh dia datang bawa awak balik", jatuh talak atau tidak, maka ini tergantung niat suami. Jika ungkapannya itu sebagai suatu usaha untuk menyedarkan isteri dari sikap perlawanan atau kekasarannya terhadap suami, maka tidak jatuh talak. Namun menurut setengah ulama ucapan talak itu hendaklah jelas dengan menyebut kata talak atau kata cerai, baik secara langsung ataupun tidak. Secara langsung umpamanya "Aku ceraikan engkau talak satu". Maka jatuhlah talak satu ketika itu. Secara sindiran atau tidak langsung umpamanya: "Jika burung yang terbang itu burung gagak maka aku ceraikan engkau talak satu". Jika ternyata burung yang terbang itu  memang burung gagak maka jatuhlah talak satu.

Kembali ke atas ↑


 

2. Mertua Menderhakai Menantu
Soalan:
Apakah hukumnya kalau ibu mertua menderhakakan menantunya?

Iswadi, KL

Jawapan:
Istilah menderhakai itu lazim digunakan orang, pelanggaran yang dilakukan oleh seseorang yang lebih kecil kepada yang besar, atau yang muda kepada yang tua. Dalam kaitan dengan ibu mertua, mungkin tidak sesuai menggunakan istilah derhaka tetapi mungkin lebih sesuai dengan sebutan menzalimi menantu. Mertua yang menzalimi menantu hukumnya berdosa kerana Allah SWT sangat mengutuk orang yang menzalimi orang lain. Walaupun begitu seorang menantu hendaklah pandai menempatkan dirinya dalam kehidupan mertuanya, kerana kedudukan mertua di mata menantu samalah dengan kedudukan ibu atau ayah sendiri. Berdoalah kepada Allah agar mertua yang menzalimi menantu itu berubah dan mendapat petunjuk Allah untuk berbuat baik kepada orang lain.

Kembali ke atas ↑


 

3. Membentuk Keluarga Sakinah
Soalan:
Saya mempunyai pertanyaan yaitu, saya belum lama ini menikah dan isteri saya adalah anggota ABRI/Tentara/Army, pertanyaan saya adalah bagaimana membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah dan warahmah dengan kondisi sekarang ini. mungkin Darul Nu'man mempunyai buku-buku atau referensi yang membahas tentang bagaimana membentuk keluarga yang islami, terima kasih.

Dadang, Indonesia

Jawapan:
Dalam Islam suami memegang peranan yang sangat penting untuk membina rumahtangga yang berkat dan diredhai Allah. Semenjak daripada menyediakan tempat tinggal hinggalah persoalan makan dan minum, suamilah yang harus menyediakannya, sedangkan isteri berperanan sebagai ibu dalam rumahtangga, baik menyediakan makanan dan minuman serta melayan suami mahupun menjaga anak-anak jika sudah punya anak. Namun jika isteri juga bekerja di luar rumah sebagaimana suami, maka aturlah masa agar hubungan keduanya tidak terjejas atau terganggu.

Kategori:
Perkahwinan
Kekeluargaan

Kembali ke atas ↑


 

4. Membantah Kedua Ibu Bapa
Soalan:
Berdosakah seorang anak yang membantah pendapat bapanya yang bertentangan dengan hukum agama/hukum alam?

Mai Aniza Aris, KL

Jawapan:
Islam memerintahkan agar seorang anak menghormati kedua ibu bapanya, walaupun keduanya bukan beragama Islam. Apatah lagi jika keduanya beragama Islam, namun jika keduanya membantah tentang sesuatu ketentuan agama maka jelaskan kepadanya dengan cara yang baik dan tidak menyinggung atau menyakiti perasaan keduanya. Gunakan cara yang berhemah dan lemah lembut serta bahasa yang baik dalam menjelaskan sesuatu persoalan terhadap kedua ibu bapa. Sesungguhnya keredhaan Allah tergantung keredhaan ibu bapa terhadap anaknya.

Kategori:
Perkahwinan
Kekeluargaan

Kembali ke atas ↑


 

5. Menghormati Ibu Bapa dan Orang Lebih Tua
Soalan:
Apakah hukum seseorang yang tidak menghormati orang yang tua daripadanya seperti, ayah, ibu, abang atau kakaknya sendiri?

Hamba Allah

Jawapan:
Bagi orang yang tidak menghormati kedua ibu bapanya maka hukumnya berdosa besar. Begitu juga jika tidak menghormati orang lebih tua daripada kita, baik tua dari segi usia mahupun tua atau matang dari segi ilmu pengetahuan. Di dalam Islam orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya termasuk ke dalam kategori dosa besar setelah mensyirikkan Allah, dan akan di masukkan ke dalam neraka. Firman Allah SWT maksudnya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ah (uff) dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia". (Al Isra' 23) Orang yang tidak menghormati ibu bapa akan dilaknat oleh Allah SWT. Sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Ada tiga macam orang yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya". (Riwayat Ad Dailami daripada Umar ra) 

DN 242 40 Peranan Anak Mithali - Siri Keluarga Gemilang
DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑


 

6. Menghindarkan Bala Akibat Kata-kata dan Doa Ibu
Soalan:
Sewaktu anak-anak masih kecil, si ibu yang tidak sanggup menghadapi karenah anak-anak yang nakal telah  mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat terhadap mereka. Sebagaimana yang diketahui ucapan seorang ibu merupakan doa yang paling mustajab. Soalan saya, sebagai seorang anak apakah yang harus dilakukan untuk mengelakkan sebarang yang tidak diingini daripada berlaku ke atasnya dan dari pihak si ibu pula apakah yang harus dilakukan setelah terlanjur melakukan perkara tersebut?

Sakinah, KL

Jawapan:
Seorang ibu dalam mendidik anak-anak memerlukan banyak kesabaran. Sabar adalah merupakan sifat rasul-rasul Ulul-Azmi. Dalam Al Quran banyak perintah difokuskan kepada umat manusia. Kerana itu sewaktu menghadapi karenah anak-anaknya yang tidak tertahan si ibu melihatnya, si ibu dikehendaki menahan diri dan bersabar dan jangan sekali-kali menggunakan kata-kata yang kasar atau kata-kata laknat.

Bagi si anak pula untuk mengelakkan dari ditimpa bala akibat doa dan kata-kata yang keluar dari mulut ibu itu tadi, ia hendaklah memperbanyakkan memohon maaf darinya dan sentiasa membuat kebajikan kepadanya sebanyak mungkin selagi hayatnya masih di kandung badan. selain itu ia juga hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah supaya mengampuni dosanya yang lalu. Si ibu dikehendaki memberi kemaafan kepada anaknya sewaktu ia masih hidup dan menghalalkan segala makan dan minum anaknya itu.

Ia juga hendaklah mengelakkan sedaya mungkin dari menggunakan kata-kata kesat lagi bila berdepan dengan anaknya. Dengan kata lain si ibu hendalah bertaubat dari mengeluarkan kata-kata tersebut. Selain itu mereka sekeluarga hendaklah juga membekalkan diri dengan sebanyak mungkin ilmu agama dan sentiasa menghadirkan diri menunaikan solat jamaah.  

DN 247 20 Kesilapan Ibu Bapa - Siri Keluarga Gemilang
DN 143 Peranan Ibu Bapa terhadap Anak

Kembali ke atas ↑


7. Membenci Kedua Orang Tua
Soalan:
Ustaz, saya seorang remaja yang mendapat pendidikan agama dari berumur 5 tahun sehingga  18 tahun (sekarang  21 tahun) kerana saya bersekolah agama. Segala hukum-hakam  boleh dikatakan saya mengetahuinya. Namun, saya masih melakukan sesuatu yang bercanggah dengan agama seperti tidak menjaga aurat, suka berbohong, suka meninggalkan solat jika menghadapi tekanan dan lain-lain. Malah saya suka melawan ibubapa dan sering membuatkan ibu  menangis. Segala tingkah laku saya seolah-olah saya tidak ada pendidikan agama.

Walaupun saya pernah cuba mengubahnya kerana tahu ia berdosa tetapi gagal. Dalam diri saya selalu ada perasaan suka memberontak dan  bercanggah pendapat dengan orang tua. Sejak dari kecil, saya tidak diberi pilihan untuk membuat sebarang keputusan sehingga sekarang. Ini membuatkan timbulnya perasaan benci pada org tua yang teramat sangat. Ditambah dalam soal memilih teman hidup juga  mereka campur tangan. Walaupun saya anak sulung, saya agak renggang dengan orang tua. Jika terlihat ibu menangis, sedikitpun tidak timbul perasaan kasihan. Saya perlukan nasihat dari ustaz dalam mengubah perangai buruk saya.

Pada saya, saya lebih menyayangi ibu saudara dari ibu sendiri kerana dia lebih memahami perasaan saya.

Liza, Kodiang

Jawapan:
Seorang anak mesti mentaati kedua ibu bapanya sedaya mungkin. Lebih-lebih lagi ibu yang sanggup berjaga malam demi menjaga kemaslahatan dirinya dan demi mempastikan dirinya itu tidak dipengapa-apakan oleh serangga perosak seperti nyamuk, lipan dan lain-lain. Ia juga wajib mengelakkan dari melakukan sesuatu yang boleh menyentuh perasaan ibunya. Berdasarkan soalan di atas perlakuan saudari itu amat kurang wajar, malah saudari kelihatan seorang yang keras hati. Keadaan ini boleh jadi disebabkan saudari tidak tinggal bersama ibu saudari sendiri  atau saudari mendapat belaian kasih sayang dari orang lain lebih dari  kasih sayang dari ibu saudari menyebabkan saudari berperasaan demikian terhadap ibu saudari. Untuk merawat penyakit yang saudari alami itu.

1. Saudari hendaklah mengambil langkah yang pernah diambil oleh Sayyidina Umar bin Al-Khatab yang sebaik sahaja dilantik dengan resminya menjadi khalifah, lantas berdoa kepada Allah supaya melembutkan hatinya. Ini kerana beliau memang terkenal di zaman jahiliyahnya sebagai seorang yang keras hati. Dalam hubungan ini saudari boleh berdoa dengan doa berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku lembutkanlah hatiku sebagaimana Engkau telah lembutkan besi kepada nabi Daud Alaihissalam." 2. Keduanya saudari hendaklah mengingati bahawa saudari adalah penuntut sekolah agama yang tahu sedikit sebanyak ilmu agama. Jika saudari tidak mengamalkan ilmu yang saudari tahu itu, sudah pasti saudari akan dihumbankan oleh Allah SWT ke dalam neraka mendahului dari penyembah berhala. Jika saudari meninggal dalam keadaan belum sempat bertaubat.

3. Ketiganya saudari dikehendaki berbuat baik kepada kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi ibu selagi mana mereka masih hidup. Jika saudari gagal berbuat baik dan berbakti kepadanya pada masa ia hidup tanpa alasan yang syar'i, maka saudari layak dinamakan sebagai anak yang derhaka. Anak derhaka tidak akan mencium bau syurga selagi tidak mendapat keredaan dari kedua ibubapanya.

4. Renunglah keadaan orang-orang yang menderhaka kepada kedua ibubapanya pada hari kiamat kelak. Hari tidak ada sebarang pelindungan kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera. Bagaimana mungkin anak derhaka boleh mendapat perlindungan dari Allah kalau hatinya sendiri penuh kebencian kepada ibunya.

5. Ziarahilah rumah anak-anak yatim dan renunglah keadaan mereka. Mereka tidak mempunyai ibu bapa. Hidup mereka mengharapkan belas kasihan orang ramai. Namun saudari masih mempunyai ibu yang begitu prihatin terhadap diri saudari. Walaupun saudari begitu tidak menyukai ibu sendiri namun ia tetap ibu saudari juga. Kalau saudari boleh maafkan kesalahan orang lain, kenapa saudari tidak boleh memaafkan kesalahan ibu sendiri, andaikata ia benar-benar ada melakukan kesalahan ke atas diri saudari..

6. Perbanyakkanlah berzikir kepada Allah khususnya selepas solat fardu kerana zikir boleh melembutkan dan menenangkan jiwa.

7. Tunaikanlah solat mengikut rukum syarat dan khusyuknya yang lengkap. Insya Allah solat ini akan bertindak sebagai benteng kepada saudari dari melakukan kemaksiatan dan penderhakaan.

8. Pilihlah kawan-kawan yang mempunyai pendidikan agama dan mempunyai sifat penyayang kepada ibu mereka. Mudah-mudahan dengan cara ini akan mempengaruhi hati saudari untuk menyayangi ibu saudari sendiri.

9. Saudari renungilah nasihat seorang tokoh sufi iaitu:

  1. Jika anda ingin melakukan maksiat kepada Allah, janganlah anda makan rezeki Allah.
  2. Jika anda ingin melakukan maksiat kepada Allah, carilah tempat yang tidak dilihat oleh Allah.
  3. Jika anda ingin melakukan maksiat, jangan menetap di bumi Allah.
  4. Jika anda ingin melakukan maksiat, sila minta tangguh dari malaikat maut barang seminit dua dari mengambil nyawa anda.
  5. Apabila malaikat munkar dan nakir menyoal anda, lawanlah dia jika anda mampu
  6. Jika Allah mengarahkan kepada anda supaya memasuki neraka Allah, jangan patuhi perintahNya. Jika saudari tidak mampu berbuat demikian, kenapa saudari boleh berterusan menderhaka dan memaksiati Allah?

DN 248 Rawatan Keracunan Hati
DN 144 Peranan Anak terhadap Ibu Bapa

Kembali ke atas ↑


8. Ibu Menentang Anak Menghayati Kehendak Islam
Soalan:

Bagaimana caranya untuk mendekati diri kepada ibu yang tidak memahami hati perasaan anak perempuannya, seperti tidak merestui anaknya untuk memakai tudung labuh. Apakah hukumnya jika anak melawan ibu itu sedangkan selama ini dia sudah lama bersabar?

Yeen, Melaka

Jawapan:
Sesuatu yang amat menyulitkan jika orang yang menentang kehendak anaknya sendiri untuk menghayati sepenuhnya ajaran Islam ialah  ibunya sendiri. Sepatutnya ibulah yang memberi galakan supaya anaknya beriltizam dengan segala ajaran Islam. Ini antara kewajipan yang wajib dilaksanakan oleh seorang ibu. Dalam Islam seseorang perempuan disuruh menutup aurat dengan melabuhkan kain tudung yang dipakainya sehingga sampai menutupi dada di samping disuruh menutup pandangan dan menjaga kehormatan diri.

Jika ibu anda melarang anda berbuat demikian, jelas ia tidak memahami kehendak ayat yang menyuruh kaum wanita Islam melabuhkan kain tudungnya. Tanggapan ini perlu dibuang dari pemikirannya.  Anda hendaklah banyak bersabar dalam menghadapi karenah ibu anda ini. Seeloknya cubalah berbincang secara baik dengan ibu anda. Kerana dengan berbuat demikian boleh jadi ibu anda mengambil sikap terbuka. Anda juga boleh menggunakan khidmat orang tengah supaya menasihati ibu anda itu.

Dalam Islam seseorang perempuan memakai tudung yang boleh menutup dadanya itulah yang sebaik-baiknya. Jika tudung yang dipakai oleh anda itu sudahpun menutup dada, cuma anda ingin melabuhkan lagi tudung itu, tetapi ibu anda tidak menyukainya hendaklah anda meninggalkan yang lebihan ini dan ikut kehendak ibu anda. Kerana sudahpun dikira berpakaian secara Islam apabila anda sudahpun ditutup dengan kain tudung anda. Yang lebih itu hanyalah sebagai mengambil jalan ihtiyat atau berhati-hati sahaja.

Dalam masa yang sama anda hendaklah sentiasa memberikan penerangan yang lembut kepada ibu anda itu supaya ia memahami. Ini boleh jadi memakan masa dan memerlukan banyak kesabaran. Tunaikanlah juga solat hajat supaya ibu anda itu berubah.

DN 170 Strategi Musuh Menentang Islam - Motivasi Kesedaran Minda
DN 242 40 Peranan Anak Mithali - Siri Keluarga Gemilang

Kembali ke atas ↑


 

9. Hukum Mematuhi Ibu Angkat
Soalan:

Apakah hukumnya jika anak angkat (perempuan) tidak mematuhi seorang ibu angkat kerana ibu ini tidak menjaga anak ini dengan ikhlas dan dengan penuh kasih sayang? Adakah doa ibu angkat makbul ke atas anak angkat? Adakah anak angkat perlu berkat dari ibu angkat jika bukan ibu ini yang mengasuhnya dari kecil tetapi menyekolahnya sahaja?

Apakah patut si isteri lakukan jika suaminya tidak mahu lagi  pergi ke rumah ibu mentua angkat tadi kerana tidak selesa dan bosan dengan sikap angkuh si ibu tadi? Patutkah  yang muda ini merendah diri dan mengalah? Apakah yang harus isteri lakukan jika suami berkeras tidak mahu pulang ke rumah ibu mertua untuk bersalam di Hari Raya? Haruskah maruah diri dipertahankan dalam konteks ini?

FAB, KL

Jawapan:
Dalam Islam mentaati ibu adalah wajib selagi mana perkara yang ditaati itu tidak melibatkan perkara maksiat. Maka dalam konteks ini juga termasuk ibu angkat kepada seseorang yang memeliharanya dari kecil dan berpenat lelah membesarkannya. Anak angkatnya wajar berbuat baik kepada ibu angkatnya itu.

Jika ibu angkat seseorang itu fasik. Umpamanya tidak menyempurnakan pendidikan anaknya dengan sempurna, sombong, takabbur, ego dan lain-lain, masih tidak menjadi kesalahan kepada anak angkatnya berbuat baik kepadanya, kerana pahala berbuat baik kepada orang yang memutuskan tali silaturrahim itu adalah besar dalam Islam. Jika seseorang suami enggan pergi ke rumah ibu angkat isterinya kerana memikirkan tentang perbuatan fasik yang dilakukan oleh ibu angkatnya itu, tidaklah menjadi kesalahan, namun sifat keegoan yang ada pada diri ibu angkat terlibat tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya si ibu terlibat meninggalkan sifat egonya, termasuklah kalau boleh membuat aduan kepada Qadi atau mana-mana orang alim. Maruah diri seseorang hendaklah dipertahankan selagi tidak melibatkan kerja-kerja fasik. Tetapi kalau sekadar ingin berbakti dan berbuat baik kepada ibu seperti dalam kes di atas tidak menjadi masalah. Berkat hanya ada pada seseorang mukmin yang solih sahaja.

Kembali ke atas ↑


 

10. Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu
Soalan:
Semasa kecil saya dipelihara oleh datuk kerana ibu berkahwin lain dan bapa sudah tiada. Boleh dikatakan apa-apa keperluan hidup dan sara diri ditanggung oleh datuk baik senang mahupun susah. Saya bersekolah setakat darjah 6 kerana datuk tak mampu menghantar saya ke sekolah menengah. Dengan kelulusan darjah 6 saya memohon kerja sebagai buruh dan apabila berkahwin isteri saya memberi perangsang supaya saya belajar secara sendirian dan mengambil peperiksaan SRP.

Berkat ketekunan saya serta dorongan dan doa isteri saya, saya berjaya dalam peperiksaan tersebut. Dari situ saya mohon kerja yang setaraf dengan kelulusan SRP dan berjaya. Masalah saya ialah ibu saya yang tidak mempedulikan saya semasa saya memerlukannya sedikit masa dahulu telah berpisah dengan suaminya yang kedua dan tidak mempunyai apa-apa kerja selain kerja kampung yang termampu.

Dia mengungkit-ungkit yang saya tidak memberinya duit belanja sedangkan gaji saya cukup menanggung keluarga dengan dibantu oleh isteri saya yang juga bekerja. Ibu saya juga mengungkit-ungkit tentang tanggungjawab saya terhadapnya yang telah tua tetapi dia lupa dimana tanggungjawabnya terhadap anak-anak yang ditinggalkan semasa dia berkahwin lain dahulu. Apa pandangan Ustaz dalam hal ini?

Hamba Allah, JB

Jawapan:
Walaupun seorang ibu tidak memberikan tumpuan yang sewajarnya kepada anaknya khasnya dari sudut pendidikan, sebaliknya anaknya sendirilah yang bertungkus lumus berusaha untuk memajukan dirinya, namun tidaklah menjadi kesalahan dalam Islam apabila seseorang anak itu ingin berbakti kepada ibunya mengikut sekadar yang termampu dan menghubungkan tali silaturrahim dengannya.

Islam sangat menggalakkan umatnya menghubungkan tali silaturrahim dengan orang yang memutuskan tali silaturrahim dengan mereka, apalagi jika yang memutuskan hubungan tali silaturrahim itu adalah ibunya sendiri. Amat besar pahalanya apabila berbakti kepada ibu sendiri. Selain itu yang terlibat juga dinasihatkan supaya banyak bersabar, mudah-mudahan dengan banyak bersabar menghadapi karenah ibu sendiri, Allah SWT akan mudahkan kita dengan beberapa nikmat yang kita tidak sangka-sangka datangnya kepada kita.

Ingatlah Nabi SAW boleh bersabar menghadapi karenah pimpinan Quraisy yang sesetengahnya bertanggungjawab membunuh anak perempuannya sendiri, kenapa kita tidak boleh bersabar dalam berbuat demikian terhadap ibu sendiri. Buangkanlah perasaan benci dan dendam kepada ibu sendiri, kerana perbuatan ini tidak elok menurut pandangan Islam.

DN 242 40 Peranan Anak Mithali
DN 144 Peranan Anak terhadap Ibu Bapa
DN 248 20 Kesilapan Anak - Siri Keluarga Gemilang
DN 240 20 Sifat Fitrah Anak - Siri Keluarga Gemilang

Kembali ke atas ↑


 

11. Kesan Keruntuhan Rumahtangga
Soalan:

Kesan keruntuhan rumahtangga kepada anak-anak?

Yussairi, KL

Jawapan:
Kesan keruntuhan rumah-tangga terhadap anak-anak banyak sekali. Antara yang terpenting, kurang kasih sayang terhadap anak-anak kerana kasih yang diberi oleh ibu atau bapa sahaja tidak sama dengan kasih dari kedua-duanya. Apatah lagi jika setelah bercerai anak-anak diserah kepada keluarga di kampung atau keluarga angkat untuk dipelihara, ini akan memberi kesan psikologi tambahan kepada anak-anak.

Kanak-kanak yang membesar dalam keadaan begini lebih terdedah kepada pengaruh keruntuhan moral. Dari segi pendidikan, mereka juga tidak mendapat pendidikan yang sempurna kerana perhatian yang diberikan kepada mereka adalah terbatas. Mereka juga akan merasa tersisih dari kanak-kanak lain kerana malu melihat keruntuhan keluarga dan ini akan memberi kesan kepada pergaulan harian mereka di dalam masyarakat. Perasaan cemburu, marah dan pendendam lebih kuat menguasai mereka dari perasaan kasih sayang.

Mereka akan meniti kehidupan yang terlalu mencabar berbanding dengan rakan-rakan mereka untuk berjaya di dalam kehidupan. Secara ringkasnya terlalu banyak kesan kesan  dialami oleh kanak-kanak yang hidup dalam keruntuhan rumah-tangga orang tuanya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut sila rujuk buku-buku berkenaan kerana ruangan agak terbatas di sini.

DN 164 Krisis Rumahtangga & Cara Mengatasinya
DN 143 Peranan Ibu Bapa terhadap Anak
DN 144 Peranan Anak terhadap Ibu Bapa

Kembali ke atas ↑


 

 

12. Isteri Tidak Suka dengan Mentua
Soalan:

Di sini saya ada persoalan, mengenai isteri saya yang tidak suka saya balik menjenguk emak saya sendiri. Walaupun telah saya banyak kali nasihati bahawa saya perlu melawat emak kandung saya. Untuk pengetahuan, isteri saya itu tiada emak dan ayah lagi. Dan lagi jikalau adik saya datang menumpang tidur di rumah saya dia tidak suka. Adakah berdosa isteri saya itu kerana seakan membenci mak mentuanya?

ASK, Johor

Jawapan:
Isteri yang solehah hendaklah menghormati ibu dan bapa mentuanya, kerana disebabkan keduanyalah suami yang dicintainya itu lahir. Jadi berdosalah bagi seorang isteri yang tidak menyukai ibu dan bapa mentuanya, begitu juga peranan suami sangat diharapkan agar dapat menasihati isteri supaya memiliki keperibadian dan akhlak yang mulia. Sebagai seorang anak, hendaklah sentiasa menghormati dan melawat atau menjaga ibu bapanya, kerana peranan anak lelaki tidak akan putus dalam hal tanggungjawab terhadap ibu bapanya. Betapapun isteri tidak menyukai kunjungan yang anda lakukan sebagai seorang anak yang soleh anda berkewajipan melaksanakan tugas tersebut.

Isteri merupakan insan lain dalam kehidupan seorang suami yang boleh berpisah dengan ketentuan thalak sedangkan ibu bapa merupakan darah daging serta keturunan kita sendiri. Dalam suatu kisah dicetiakan, pada suatu hari Nabi Ibrahim berkunjung ke rumah anaknya Nabi Ismail di Makkah,namun ketika itu Nabi Ismail sedang pergi berburu, berjumpalah Nabi Ibrahim dengan menantunya sedang menunggu di rumah. Nabi Ibrahim pun bertanya tentang kehidupan mereka, maka isteri Nabi Ismail yang tidak mengetahui bahawa di depannya itu bapa mertuanya menjawab, bahawa kehidupannya tidak seperti yang diharapkan. Mendengar beberapa keterangan dari wanita tersebut yang banyak mengeluh dan tidak berterima kasih itu, maka Nabi Ibrahim berpesan kepadanya ketika suaminya pulang nanti supaya menukar palang pintu rumah mereka.

Ketika Nabi Ismail pulang, maka isterinya menceritakan seorang lelaki yang bertamu tadi dan mengatakan tentang pesannya agar mengganti palang pintu rumah mereka. Mendengar penjelasan isterinya tersebut, fahamlah Nabi Ismail bahawa yang datang tadi adalah bapanya, dan mengetahui maksud mesej yang ditinggalkan ayahnya tersebut iaitu agar menceraikan isterinya itu.

Dari cerita di atas menggambarkan bahawa betapa pentingnya seorang menantu melayan dan menghargai mentuanya, kerana melalui mentuanya itulah lahir seorang lelaki yang menjadi pasangan hidupnya. Jadi berusahalah untuk menasihati isteri yang tidak suka dengan ibu bapa suami (mentuanya) agar kehidupannya tidak diliputi dengan dosa, kerana derhaka kepada mentua sama juga nilainya dengan ibu bapa sendiri. Sebagai seorang anak tetaplah dengan pendirian bahawa seorang anak harus berbakti dengan ibu bapanya sendiri meskipun isterinya tidak suka dengan sikap dan bakti yang kita curahkan terhadap ibu bapa kita. Wallahu a'lam.

Kembali ke atas ↑


 

13. Bersedekah Kepada Ahli Keluarga
Soalan:
Assalamualaikum. Saya merupakan anak sulung dalam keluarga 3 adik beradik, kesemua adik-beradik saya telah perkahwin. Saya masih mempunyai ibu dan ibu saya tidak bekerja serta dan tidak ada sebarang harta/wang peninggalan arwah bapa saya. Dalam keluarga, saya adalah antara anak yang paling berjaya dalam pelajaran dan pekerjaan, jadi saya menyara ibu saya dengan memberi ibu saya sebanyak RM300 sebulan. mengikut ibu saya wang sebanyak itu cukup untuk dirinya seorang. Walaubagaimanapun Ibu saya tinggal dengan adik lelaki bongsu yang telah berumah tangga dan mempunyai seorang anak di rumah peninggalan arwah bapa saya. Agak malang keluarga kami kerana adik bongsu saya ini tidak mahu berkerja atau kata lain malas bekerja jadi dia dan anak isterinya menumpang makan/minum dengan mak saya maka wang pemberian saya sudah pastilah tidak mencukupi. Untuk pengetahuan tuan saya selalu mengajak ibu saya tinggal bersama saya di KL, tetapi dia tidak setuju kerana dia selesa tinggal dirumahnya (peninggalan arwah bapa) kerana lebih selesa dan mudah untuk berulang alik kemasjid berdekatan untuk berjemaah serta belajar agama. Soalan saya adakah afdal sekiranya saya bersedekah misalnya kepada orang miskin atau rumah anak yatim sedangkan keluarga saya hiduptidak begitu senang atau pun saya lebih patut menambah elaun
kepada emak saya daripada saya bersedekah?

Rohijea, KL

Jawapan:
Ibu merupakan ahli keluarga kita dan merupakan insan yang termasuk dalam tanggungan kita. Jadi segala keperluan dan kebajikannya merupakan tanggungjawab anak untuk memenuhinya, apatah lagi jika ibu tersebut tidak memiliki harta sendiri untuk menyara kehidupannya. Jadi jika ibu dan ahli keluarga dalam keadaan kekurangan, maka kita hendaklah memenuhi keperluan mereka sesuai dengan kemampuan kita. Setelah itu barulah kita penuhi keperluan insan lain seperti fakir miskin dan sebagainya. Memberi nafkah kepada ahli keluarga termasuk juga dalam pahala sedekah dan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah SWT.

Kembali ke atas ↑


 

 

14. Hubungan Harmoni Suami Isteri/Poligami/Campurtangan Ibu Mentua
Soalan:
Assalammualikum Ustaz.
Saya telah berkahwin selama lebih kurang 3 bulan, masalah saya isteri saya tidak mahu mengikut saya pindah ke Kuala Lumpur, alasannya dia ingin menjaga ibunya (isteri saya adalah anak yang bongsu) dan mahu mengumpul duit. Sedangkan saya mampu menanggung perbelanjaan dia kalau dia berhenti kerja.
1) Bolehkah saya berkeras dengan isteri saya supaya dia mengikut cakap saya supaya dia berpindah dengan saya?
2) Bolehkan saya berkahwin lain jikalau pekara ini berterusan kerana ingin menjaga diri saya supaya tidak membuat dosa apabila isteri saya tiada di sisi saya?
3) Bolehkah saya membantah keputusan ibu mentua saya yang tidak mahu anaknya berpindah mengikut saya?
Sekian. Wassalam.

Ahmad Zamri, KL

Jawapan:
1. Seorang isteri yang baik adalah yang dapat memahami keadaan suaminya, begitu juga sebaliknya seorang suami yang baik mampu melihat suatu masalah itu dengan fikiran yang terbuka dan memahami setiap masalah dihadapi secara mendalam. Perkahwinan yang baru berusia tiga bulan merupakan jangkamasa yang masih singkat, maka sangatlah terburu nafsu jika seseorang itu menghancurkan hubungan yang baru itu lantaran perkara yang sebenarnya menjadi tnggungjawab antara suami dan isteri.

Sebenarnya ibu mertua kita kedudukannya sama dengan ibu kita sendiri. Jika kita menjaga hati mereka dan memelihara mereka dengan baik sama juga pahalanya dengan kita menjaga ibu dan bapa kita sendiri. Namun begitu sebagai seorang suami, ia berhak penuh terhadap isterinya dan isteri harus mengikut segala kehendak suaminya asalkan saja jangan menjurus kepada memusyrikkan Allah. Nasihatkanlah isteri anda secara baik, katakan kepadanya bahawa didalam Islam seorang wanita apabila telah bernikah, maka segala urusan kehidupannya dibawah tanggungan suaminya. Ibu bapa tidak berhak untuk menghalangi anaknya yang telah nikah untuk mengikuti suaminya kemana saja mereka ingin pergi.

Cuma saja sebagai umat Islam kita lebih mementingkan timbang rasa dan budi bicara, jika memang ibu mertua kita tidak ada orang yang menjaganya sedangkan dia dalam keadaan uzur, fikirkanlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Bincangkanlah perkara ini dengan  sanak kelaurga yang lain agar hubungan anda dengan isteri anda tidak terjejas lantaran perkara tersebut. Namun jika ibu mertua anda masih mampu menyara hidupnya sendiri, nasihatilah isteri anda dengan cara yang lebih baik agar ia sudi mengikut suaminya berpindah ke tempat yang dimaksudkan.

2. Allah membenarkan seorang lelaki muslim untuk menikah hingga empat orang. Namun jika perkahwinan yang ingin anda lakukan kerana ingin membalas dendam dengan sikap isteri anda, maka perbuatan ini tidak terpuji. Lakukanlah poligami dengan mengikut sunnah. Sebab Rasulullah SAW menikah dengan wanita lain selain Aisyah bukan lantaran baginda tidak bahagia dengan Siti Aisyah tetapi lantaran ingin memperjuangkan nasib wanita yang ditinggalkan suaminya lantaran meninggal dunia di medan jihad. Jika anda benar-benar merasakan bahawa isteri anda sangat sukar untuk dinasihati sedangkan anda tidak mampu menahan gejolak nafsu, maka Islam mengizinkan seseorang itu kahwin lagi, lantara ingin menjaga diri dari melakukan pekerjaan maksiat.

Usahakan terlebih dahulu membina kembali sifat saling pengertian antara suami isteri dan jauhilah sifat salam faham sebelum ini. Fahami betul apa sebenarnya masalah yang sedang anda hadapi berdua. Apakah ia hanya sekedar keingan seorang anak membantu dan mendampingi ibunya yang sudah tua ataupun ada faktor lain yang menyebabkan isteri anda bersikap demikian. Berfikirlah secara lebih terbuka dan jangan membuat keputusan disebabkan oleh dorongan perasaan semata, sebaliknya buatlah keputusan dengan rasional dan mengikut syariat. Insya Allah keputusan yang akan anda ambil memperoleh berkah dan rahmat daripada Allah SWT.

3. Dalam Islam, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak perempuannya hanya sampai setelah ia berkahwin. Setelah ia berkahwin maka perempuan tersebut milik penuh suaminya sendiri. Jika orang tuanya berhajat ingin mengajak anaknya duduk bersama dengannya, maka ia harus meminta izin dengan suami anaknya (menantu). Jika menantu lelakinya tidak mengizinkannya, maka ibu bapa tidak boleh memaksa kehendaknya terhadap anaknya tersebut, sebab ketika itu anaknya telah menjadi tanggungan suaminya. Walaupun begitu selesaikan isu keluarga ini secara bijaksana dan masing-masing pihak lebih mementingkan sikap tolak ansur sesuai dengan keadaan.

DN 076 Petua Kebahagiaan Rumahtangga
DN 154 Menjauhi Sifat Suami Isteri Ingkar

Kembali ke atas ↑


 

15. Dilema antara Ayah dan Ibu
Soalan:
Assalamualaikum Ustaz. Saya ada dua kemusykilan.

Pertama, mengenai ibu saya. Ibu saya berumur sekitar 65 (masih aktif lagi) manakala ayah saya berumur 63 (mengidap penyakit gout tapi masih boleh jalan perlahan-lahan- di dlm rumah saja). Masalahnya,Ibu saya kalau bergaduh dengan ayah saya dia akan mengungkit-ungkitkan kisah lama dan kadang-kadang tersentuh juga perihal kedua orang tua mereka. Namun sesudah bergaduh ibu saya pasti tidak akan menegur ayah saya setelah itu, sampai makan-minun ayah saya pun tidak terurus oleh ibu saya, malahan ayah saya tidak ada makan tengahari pun yang dihidangkan oleh ibu saya.

Untuk pengetahuan ustaz, genggaman tangan ayah saya tidak kuat begitu juga dengan kakinya dan badannya. Maka terpaksalah ayah saya berlapar sehingga kepetang barulah ayah dapat makan malam (menunggu saya pulang dari pejabat dan malam tersebut sayalah yang memasak & menghidangkan kpd ayah saya). Saya kasihankan ayah saya yang tiada orang yg menjaga dan menengok-nengokkan ia namun apakah daya diriku kerana aku juga bekerja seperti orang lain utk mencari nafkah hidup ku sekeluarga.

Dalam soal ini, saya memohon nasihat dan pandangan ustaz dalam perkara sebegini, apakah situasi ayah dan ibu ku sekarang ini dan saya amat kasihan melihat ayahku diperlakukan sedemikian rupa oleh ibu krn waktu ayahku bekerja ibu amat sayang kepadanya kerana diberikan wang tiap-tiap bulan tapi setelah ayah pencen dan menderita sakit serta disaat-saat memerlukankasih-sayangnya ia tidak pedulikan lagi. Hanya tahu mencari rezeki sendiri saja dan membiarkan ayah saya tanpa terurus makan-minumnya dan ayah hanya menangis seorang diri mengenangkan nasibnya dan serta menunggu ajalnya kunjung tiba saja. Namun ayah ada juga memberi nafkah kepada ibu cuma tidak sebanyak mana, cuma setakat 200-300 saja, tapi anak-anaknya yang lain ada juga memberikan ia wang tiap-tiap bulan.

Sebagai anak perempuan saya kasihan melihat ayah saya namun saya hanya mampu mendengar rintihan dan tangisannya sahaja dan saya sendiri tidak tahu apa yang saya perlu buat dan saya amat benci dengan sikap ibu saya tersebut. Tolonglah ustaz berikan nasihat dan pandangan dalam hal ini.

Faridah, KK

Jawapan:
Sebagai seorang isteri wajib baginya memenuhi layanan yang sempurna kepada seorang suami. Jika suami sakit maka isteri perlulah bekerjasama membantunya, begitu juga sebaliknya jika isteri sakit maka suami haruslah mengulurkan bantuan demi meringankan beban yang ditanggung oleh isteri. Seandainya ini dapat dilaksanakan maka insya Allah keluarga akan harmoni hingga akhir hayat. Namun jika isteri tidak menghiraukan beban yang ditanggung oleh suami, bahkan tidak melayan dengan selayaknya, maka yang berdosa adalah isteri tersebut.

Jika berjumpa dengan kes seperti ini berikan nasihat dan pemahaman tentang tanggungjawab seorang isteri terhadap suami. Namun jika nasihat itu tidak dihiraukan maka bagi pihak anak-anak hendaklah berdoa agar ibunya merubah pendirian dan keperibadian dalam melayan suaminya. Setelah itu serahkan kepada Allah, kerana kita hanya mampu berusaha dan berdoa, sedangkan untuk memberikan petunjuk dan hidayah itu hanya hak Allah semata.

Sedangkan tanggungjawab seorang anak terhadap ayah atau ibunya tetap seperti biasa, meskipun hubungan mereka suami isteri tidak berapa baik, maka anak tidak boleh menunjukkan sikap menyebelahi mana-mana pihak, sebab sikap demikian hanya mengeruhkan suasana. Sebagai seorang anak wajib menghormati dan menyanjung tinggi ibunya. Tentang hubungan yang tidak baik antara mereka suami isteri biarlah perkara itu menjadi tanggungan dosa mereka. Yang jelas anak jangan membeza-bezakan dalam memberikan perhatian dan kasih sayang terhadap kedua ibu bapa.

Kembali ke atas ↑


 

16. Kedudukan Wuduk bagi Anak Angkat
Soalan:
Ibu saudara saya telah berumahtangga. Beliau tidak mempunyai cahayamata. Beliau telah mengambil anak angkat seramai 5 orang. Pada akhir bulan Februari 99 suami beliau telah meninggal dunia. Semasa jenazah tersebut telah dikafankan dan hendak dikebumikan, anak-anak angkat beliau telah di beri kesempatan untuk mencium buat kali terakhir. Apakah hukum air sembahyang anak-anak tersebut?

Haida, KL

Jawapan:
Tidak harus kepada seseorang yang mengambil anak angkat menghubungkan keturunan anak itu dengan keturunannya dan memberikan hak yang sama kepada anak kandungnya sendiri. Rasulullah SAW juga mempunyai anak angkat Zaid bin Harithah, namun setelah zaid bercerai dengan isterinya Zainab Binti Jahsyi, Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW mengahwini bekas isteri anak angkatnya itu. Perintah Allah ini meskipun berat rasanya baginda ingin menunaikannya, namun baginda laksanakan juga lantaran ingin melaksanakan hukum Allah.

Jelaslah bahawa hak anak angkat itu tidak sama dengan hak anak kandung sendiri. Dengan demikian wuduk antara anak angkat dengan keluarga angkatnya tetap batal jika mereka berlainan jenis. Walaupun begitu jika perkara tersebut tersilap melakukannya tidak dikira berdosa. Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan) mengenai perkara-perkara yang tersebut itu adalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan ingatlah Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber "bin" kan kepada bapa-bapa mereka sendiri. Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu dan seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Kembali ke atas ↑


 

 

17. Ayah Melakukan Pekerjaan Fasiq
Soalan:

Saya mempunyai seorang ayah yang boleh dikatakan mempunyai ciri-ciri orang fasik. Meninggalkan sembahyang, berjudi, menonton video lucah dan banyak lagi. Saya telah cuba sedaya upaya saya untuk menegurnya sama ada cara lembut atau kasar dari dahulu hinggalah sekarang. Tapi,dia masih tidak berubah. Apakah yang patut saya lakukan lagi? Sudah tentu saya sebagai seorang anak tidak mahu melihat ayah saya mati dalam kekufuran sebelum dia sempat bertaubat. Wallahu a'lam.

Mastura, Melaka

Jawapan:
Dalam Islam merupakan tanggungjawab seorang ayah untuk mendidik anak-anaknya ke jalan yang benar dan diredhai Allah. Namun jika sebaliknya yang terjadi, jika ayah yang diharapkan agar membimbing anak-anaknya telah jauh menyimpang dari kebenaran maka perkara ini sangatlah memprihatinkan dan mengecewakan. Bagi anak yang soleh yang merasa bertanggungjawab mengajak ayahnya ke jalan kebenaran, gunakanlah beberapa pendekatan untuk berdakwah atau untuk mengajaknya ke jalan yang benar.

Jika anak merasa tidak mampu untuk menasihati secara langsung terhadap ayahnya maka gunakan oleh ketiga yang memungkinkan si ayah mendengar kata-katanya. Seperti sahabat karibnya, datuk atau adik beradik ayah tersebut. Mintalah bantuan kepada mereka agar menasihatinya dan gunakan pendekatan yang terbaik iaitu dengan hikmah dan jangan goreskan keegoaannya agar nasihat tersebut mudah diterimanya. Setelah itu anda sendiri bolehlah membeli buku-buku agama yang berkaitan dengan masalah yang sedang dihadapi, serta letakkan di tempat-tempat yang memungkinkan ayah anda melihat atau tertarik untuk membacanya. Mungkin pada saat tertentu ia tertarik untuk membacanya dan terbuka hatinya untuk kembali kepada pekerjaan yang baik. Yang paling penting sebagai anak yang soleh berdoalah selepas solat lima waktu agar ayah anda berubah dari perangai yang tidak baik tersebut dan mohonlah kepada Allah SWT agar dilimpahkan hidayah didalam sanubari ayah anda tersebut.

Kembali ke atas ↑


 

 

18. Berdakwah Terhadap Ibu dan Keluarga Sendiri
Soalan:
Saya mempunyai satu masalah berhubung dengan ibu saya. Saya boleh dikatakan selalu melawan kata atau membantah beliau dalam beberapa perkara terutamanya melibatkan soal-soal agama. apabila saya menasihati ibu dan mengaitkan dengan hukum hakam ibu sangat marah dan seolah-olah bencikan saya sekiranya saya menegur beliau. Banyak perkara yang keluarga saya lakukan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sekiranya ditegur mereka melenting dan bencikan saya. Mereka suka memperlekehkan hukum dan benci sekiranya saya mengaitkan apa yang mereka lakukan dengan hukum Islam.

Saya bukanlah seorang yang pandai tentang ajaran agama. sejak menuntut di IPT saya banyak mempelajari ilmu agama dan terlibat dengan jemaah Islam. Untuk mendakwahkan orang lain adalah lebih baik sekiranya dimulai dengan keluarga sendiri. Saya rasa seolah-olah tertekan kerana ibu dan keluarga bencikan perubahan saya ini. Saya sendiri tidak mengetahui bagaimana lidah saya ini apabila melihat benda yang tak elok mudah saja saya menegur dan mengaitkan dengan al-Quran, hadis dan bacaan-bacaan yang pernah saya baca. Namun saya yakin apa yang saya tuturkan bukanlah semata2 memandai dan menunjuk-nunjuk tapi semuanya hasil daripada bacaan dan pengalaman. Ustaz, bantulah hamba ini untuk mencadangkan cara terbaik untuk mengatasi masalah ini.

Hamba Allah, Bintulu

Jawapan:
Di dalam Islam seorang anak dituntut agar bersopan santun dan menyayangi orang tuanya walaupun orang tuanya berbeza agama. Jadi konsep berbakti dan menghormati orang tua tidak hilang lantaran perbezaan agama, kepercayaan, amalan dan sebagainya apatah lagi jika mereka seagama dengan kita, maka menjadi lebih besar penghormatan kita terhadap mereka.

Memang tidak semua orang tua menjalankan perintah agama dengan betul, namun begitu sebagai seorang anak yang soleh sentiasa menggunakan berbagai pendekatan untuk mengajak dan memujuk orang tua mereka agar menjalankan segala yang diperintahkan oleh agama. Walaupun dalam konsep dakwah seperti yang dianjurkan oleh nabi "sampaikan kebenaran itu walaupun pahit" namun gunakan hikmah, ertinya memahami segala aspek jiwa dan perasaan orang yang kita ajak ke arah kebenaran tersebut. Jangan gunakan bahasa yang kasar atau pendekatan yang keras dalam menyampaikan kebenaran, agar kebenaran itu nampak cantik dan manis.

Sebagai seorang anak yang prihatin terhadap pengamalan agama ibu atau bapa, hendaklah banyak mendoakan keduanya agar memperoleh hidayah dan kelapangan jiwa dalam menerima dan mengamalkan ajaran Islam. Jangan sakiti hati mereka dengan walaupun sedikit, dan jangan gores perasaan mereka dengan nasihat-nasihat yang keras dari kita, namun ungkapkanlah dengan kata-kata yang baik dan lembut. Mungkin ketika ini hati mereka belum terbuka, namun pada masa yang lain, Allah memberikan petunjuk dan hidayah berkat doa dan ungkapan yang lembut dari bibir anaknya yang soleh/solehah.

Sediakanlah bahan bacaan agama di rumah anda, agar saat-saat terluang dapat mereka gunakan untuk melihat dan merujuk sesuatu yang mereka belum fahami. Jangan menjadi guru di depan ibu bapa dan keluarga, jadilah sebagai seorang anak soleh yang bersahabat dengan segala masalah yang dihadapi mereka, dengan sendirinya mereka akan mudah menerima nasihat dan cadangan dari anda. Insya Allah.

DN 219 40 Akhlaq yang Mengubah Dunia
 DN 242 40 Peranan Anak Mithali - Siri Keluarga Gemilang

Kembali ke atas ↑

Anda Di Sini