Cetak
Terbakarnya Berhala Di Tha'if

| Perpecahan di Kalangan Suku Tsaqif | Utusan Suku Tsaqif Menemui Nabi |
| Syarat-Syarat Aneh Dari Para Utusan |

 

Setelah Perang Tabuk dengan segala kesulitan dan penderitaannya berakhir, dan semua mujahidin kembali ke Madinah. Tentera Islam sama sekali tidak bertarung dengan musuh dalam peperangan ini, dan tak ada harta rampasan perang. Kerana itu, beberapa orang yang berpandangan sempit menganggap peperangan itu sia-sia. Mereka tak menyedari manfaat-manfaatnya yang tak nampak di mata.

Segera setelah itu, manfaatnya menjadi nyata. Suku-suku Arab yang pada mulanya masih degil, yang sebelum ini tak mahu menyerah atau masuk Islam, mengirimkan utusan mereka kepada Nabi dan menyatakan kesiapan mereka untuk menerima Islam, membuka gerbang benteng mereka agar berhala-berhala yang ada di sana boleh dihancurkan, dan panji-panji Islam dapat ditegakkan sebagai gantinya.

Orang-orang bodoh dan berpandangan sempit mementingkan hasil-hasil yang nyata. Misalnya, apabila dalam perjalanan itu tentera Islam telah bertarung dengan musuh, mengalahkan mereka, dan merampas harta mereka, orang-orang ini akan mengatakan bahawa hasil pertempuran itu sangat cemerlang. Namun, orang-orang yang berpandangan jauh ke hadapan menganggap peristiwa ini mengandungi hikmah yang tinggi.

Perang Tabuk sangat berhasil dalam mencapai matlamat Nabi yang sesungguhnya, yakni menarik suku-suku Arab kepada agama Islam. Demikian halnya kerana tersebar berita ke seluruh Hijaz bahawa Rom, yang baru mengalahkan Parsi yang telah lama menguasai Yaman dan wilayah sekitarnya, ternyata ketakutan menghadapi kekuatan tentera kaum Muslimin.

Tersebarnya berita itu cukup untuk membuat suku-suku Arab yang degil, yang sampai saat itu sama sekali tak mahu mengadakan perjanjian damai dengan kaum Muslimin, berfikir untuk bekerjasama dan bergabung dengan mereka agar terselamat dari serangan Rom dan Parsi, dua kuasa besar dunia masa itu. Ini suatu contoh perubahan yang terjadi di kalangan suku Arab.

Kembali ke atas ↑


 

Perpecahan di Kalangan Suku Tsaqif

Penduduk Tsaqif terkenal di kalangan bangsa Arab akan sifat degilnya. Mereka melawan tentera Islam selama sebulan penuh di bawah perlindungan benteng Tha’if yang kuat, dan tidak mahu menyerah.

Urwah bin Mas’ud ats-Tsaqafi adalah salah seorang pemimpin suku Tsaqif. Ketika mengetahui kemenangan besar tentera Islam di Tabuk, ia bergegas menemui Nabi sebelum baginda tiba di Madinah, lalu menyatakan keIslamannya dan meminta izin kepada baginda untuk kembali kepada sukunya dan menyiarkan agama Ilahi ini kepada mereka. Nabi mempertimbangkannya tentang akibat tugas itu dengan mengatakan, “Saya khuatir kamu kehilangan nyawa di jalan ini.” Ia menjawab, “Mereka lebih mencintai saya daripada untanya sendiri.”

Sukunya mahupun para pemimpin suku Tsaqif belum menyedari kebesaran yang telah diperolehi Urwah melalui Islam. Mereka membanggakan diri mereka sendiri. Mereka memutuskan bahawa bilamana penyiar Islam pertama itu sedang sibuk mengundang orang masuk Islam, mereka akan menghujaninya dengan panah dan membunuhnya. Dan itu memang betul-betul terjadi. Menjelang ajalnya, Urwah berkata, “Kematian saya adalah rahmat yang telah diberitahukan Nabi kepada saya.”

Kembali ke atas ↑


Utusan Suku Tsaqif Menemui Nabi

Orang-orang suku Tsaqif menyesali terbunuhnya Urwah. Mereka sedar bahawa mustahil bagi mereka untuk hidup di jantung wilayah Hijaz ketika panji Islam sedang berkibar di sekitar mereka dan tempat penggembalaan serta jalur kafilah dagang mereka terancam oleh kaum Muslimin.

Dalam suatu pertemuan yang mereka selenggarakan untuk mendapatkan penyelesaian atas masalah itu, diputuskanlah untuk mengutus seorang wakil ke Madinah yang akan menemui Nabi dan menyampaikan kepada baginda kehendak mereka masuk Islam dengan syarat-syarat tertentu.

Dengan suara bulat, mereka melantik seorang tua bernama Abd Yalail untuk menyampaikan pesan kepada Nabi di Madinah. Tetapi, orang ini menolak. Ia berkata, “Bukan mustahil bahawa, setelah saya berangkat, kamu berubah fikiran sehingga saya pun menemui nasib seperti Urwah.” Ia menambahkan, “Saya bersedia bertindak sebagai wakil kamu bila disertai lima orang pembesar Bani Tsaqif, dan kita semua harus sama-sama bertanggung jawab atas kejadian itu.” Pendapat Abd Yalail disetujui semua pihak.

Keenam-enam orang utusan itu berangkat ke Madinah. Di tepian sumber air yang terletak di dekat kota itu, mereka berhenti.

Munghirah bin Syu’bah ats-Tsaqafi, yang membawa kuda para sahabat Nabi untuk digembalakan, melihat para ketua sukunya sendiri di tepi sumber air itu. Ia segera mendekati mereka dan mengetahui maksud kunjungan itu. Ia lalu meninggalkan kuda-kudanya kepada mereka, kemudian berangkat ke Madinah untuk memberitahukan hal itu kepadanya.

Abu Bakar meminta kepadanya agar ia sendiri yang pergi untuk menyampaikan berita kedatangan utusan suku Tsaqif itu kepada Nabi. Akhirnya, Abu Bakarlah yang menyampaikan kepada Nabi berita kedatangan utusan Tsaqif itu seraya menambahkan bahawa mereka bersedia masuk Islam asal beberapa syaratnya diterima dan suatu perjanjian diadakan dengan mereka.

Nabi memerintahkan untuk mendirikan suatu khemah dekat masjid para wakil Tsaqif itu. Mughirah dan Khalid bin Sa’id menyambut mereka.

Para anggota utusan itu datang kepada Nabi. Mughirah telah menasihati mereka agar menghindari segala macam penghormatan cara Jahiliyah dan harus mengucapkan salam sebagaimana kaum Muslimin. Namun, kerana kesombongan dan rasa besar diri, mereka menghormati Nabi menurut cara Jahiliyah.

Kemudian mereka menyampaikan kepada Nabi pesan dari suku Tsaqif tentang kesediaan mereka untuk masuk Islam seraya menambahkan bahawa hal itu disertai beberapa syarat yang akan mereka sampaikan dalam pertemuan nanti. Pembicaraan para utusan itu berterusan selama beberapa hari, dan Khalid memberitahukan kepada Nabi kesimpulan pembicaraan mereka.

Kembali ke atas ↑


Syarat-Syarat Aneh Dari Para Utusan

Nabi menerima banyak dari persyaratan yang mereka ajukan, sampai-sampai baginda setuju untuk mengadakan suatu perjanjian keamanan dengan mereka dan menjamin tanah mereka. Namun, ada beberapa syarat yang tak wajar dan tak sopan, sehingga Nabi merasa marah.

Antara syarat-syarat itu adalah para utusan mengatakan bahawa penduduk Tha’if akan menerima Islam dengan syarat bahawa berhala besar di Tha’if dibiarkan dalam keadaannya sekarang selama tiga tahun, dan berhala besar suku itu yang bernama Lat harus boleh terus disembah. Namun, ketika mereka menyedari bahawa syarat mereka itu membuat Nabi marah, mereka mengubahnya dan meminta agar berhala itu dibiarkan sebagaimana adanya selama satu bulan saja.

Ketika mereka menyedari betapa ganjilnya permintaan mereka, mereka mulai mengajukan alasan dengan mengatakan, “Kami membuat permintaan ini hanya untuk menenangkan kaum wanita dan orang-orang bodoh di antara kami, dan dengan demikian menyingkirkan semua rintangan bagi masuknya Islam ke Tha’if.”

Kerana Nabi tidak menyetujui syarat ini, mereka meminta agar sudilah kiranya baginda membenarkan suku Tsaqif untuk menghancurkan berhala-berhala itu dengan tangan mereka sendiri. Nabi menyetujui, kerana tujuan baginda ialah agar dewa-dewa palsu Jahiliyah dihapus, dan tak menjadi soal apakah tugas itu dilakukan oleh kaum itu sendiri atau orang lain.

Syarat lainnya ialah bahawa Nabi hendaknya membebaskan mereka dari kewajipan menegakkan solat. Syarat ini menunjukkan bahawa jiwa penyerahan mutlak kepada Kehendak Allah belum berakar dalam fikiran mereka, dan penerimaan mereka terhadap Islam hanyalah sekadar pamer. Bila tidak demikian maka tak mungkin mereka menghendaki keistimewaan dalam perintah-perintah Islam, menerima sebahagian darinya dan menolak yang lainnya.

Nabi berkata kepada mereka sebagai jawapan, “Tak ada kebaikan dalam agama yang tidak mengandungi solat.” Dengan kata lain, orang yang tidak menundukkan kepalanya di hadapan Allah pada siang mahupun malam hari, dan tidak mengingat Tuhannya, bukanlah Muslim yang sesungguhnya.

Seterusnya, setelah syarat-syarat batil itu disingkirkan, Nabi menerima perjanjian itu. Setelah itu, para anggota utusan itu kembali kepada sukunya. Dari keenam-enam orang itu, Nabi memilih yang termuda di antara mereka sebagai pemimpin, yang selama tinggal di Madinah telah menunjukkan perhatian besar dalam mempelajari Al-Quran dan perintah-perintah Islam. Baginda melantiknya sebagai wakilnya dalam urusan agama dan politik di kalangan orang-orang Tha’if.

Mughirah dan Abu Sufyan dilantik untuk menyertai para anggota utusan itu ke Tha’if dan untuk menghancurkan berhala-berhala di sana. Abu Sufyan, yang sebenarnya baru saja melepaskan diri dari kedudukan sebagai pelindung berhala dan telah menciptakan banyak pertumpahan darah, segera mengambil pemukul lalu menghancurkan berhala-berhala itu hingga menjadi longgokan kayu bakar.

Kembali ke atas ↑


Dipetik Dari Buku: Qisasul Anbiya' 1 - Kisah Para Nabi & Rasul - Siri 2 
Pengarang: Abu Hikmah Al Husni

logobwh