Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Akhlak.Tasauf.Psikologi
Psikologi

Soalan-soalan:

  1. Membentuk Jatidiri
  2. Gangguan Pengalaman Masa Silam
  3. Cara Untuk Melupakan Seseorang
  4. Menghindari Dari Bahaya Dendam
  5. Menyimpan Aib Sendiri
  6. Menghindari Sifat Buruk Sangka
  7. Hakikat Insan Sejati
  8. Bohong Secara Terpaksa
  9. Dilema Setelah Terlanjur
  10. Menempuh Godaan Nafsu di Luar Negara
  11. Menghindari Perasaan Was-was Dalam Diri
  12. Kelembutan Seorang Lelaki
  13. Menempuh Dugaan di Negara Asing
  14. Menghindari Penyakit Lupa
  15. Menyeru Kepada Kebaikan
  16. Cara Memberitahu Ibu tentang Menutup Aurat
  17. Kesan Psikologi dalam Kehidupan Penzina
  18. Inginkan Ketenangan Hidup 
  19. Membina Jiwa yang Tabah

 


 

1. Membentuk Jatidiri
Soalan:
Bagaimanakah untuk membentuk jatidiri diperisai oleh iman dan taqwa dalam menempuh kegawatan kehidupan masa kini?

Hamba Allah, Serdang

Jawapan:
Keimanan itu tumbuh dengan menjalankan segala ajaran yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Betapapun usaha kita untuk menjadi orang yang beriman jika tidak disertakan dengan ketaatan dan kepatuhan terhadap perintah Allah, maka pengakuan beriman itu hanya sekadar dibibir sahaja. Jadi keimanan itu diperolehi melalui keteguhan hati dan istiqamah dalam menjalan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Jika semua ketentuan tersebut dapat kita laksanakan maka barulah kita sampai ke tahap insan yang bertaqwa.

Cabaran hidup masa kini memang sedikit sebanyak mempengaruhi gaya hidup kita jika kita tidak membentengi diri dengan jalan mengendalikan hawa nafsu. Hawa nafsu membawa seseorang lebih cinta kepada dunia dan melupakan kepada kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Jadi sumber matair yang perlu anda gali adalah melengkapi diri dengan ilmu-ilmu agama Islam, dengan sendirinya hawa nafsu dapat dikendalikan dengan sempurna dan baik. Wallahu A'lam.

DN 170 Strategi Musuh Menentang Islam - Motivasi Kesedaran Minda

Kembali ke atas ↑


 

2. Gangguan Pengalaman Masa Silam
Soalan:

Persoalan yang ingin saya ajukan adalah berkenaan dengan diri saya sendiri. Usia saya sudah 27 tahun, masalah saya ialah, saya sering terganggu dengan masa lalu saya. Saya harap pihak tuan dapat kemukakan penyelesaian yang terbaik untuk saya.

Amir, Sungai Petani

Jawapan:
Jika pengalaman masa silam anda merupakan pengalaman penuh dosa dan kemaksiatan maka segeralah bertaubat kepada Allah dengan taubat 'nasuha' agar kita sentiasa dalam keadaan aman dan berdoa kepada Allah agar peristiwa silam itu hilang dari kenangan hidup anda. Jika pengalaman anda itu berupa cubaan dan penderitaaan hidup maka berserah dirilah kepada Allah serta tawakallah kepada-Nya, kerana dengan demikian hati menjadi tenteram.

Kembali ke atas ↑


 

3. Cara Untuk Melupakan Seseorang
Soalan:
Doa apakah yang perlu dibaca untuk kita melupakan seseorang?

Zarina, JB

Jawapan:
Hidup yang berkat adalah dengan menyerahkan segala urusan kita hanya kepada Allah semata. Untuk menjadi insan yang beriman dan wanita solehah itu ialah dengan menjalankan segala yang diperintahkan Allah dan meninggalkan segala yang dilarangNya. Jika ketentuan dan aturan Islam itu dapat kita amalkan maka Insya Allah, kita akan dijaga oleh Allah daripada segala sesuatu yang membahayakan diri kita.

Lakukanlah amalan-amalan wajib dan tambahkanlah dengan amalan-amalan sunat. Kemudian setelah solat berdoalah dengan mengharapkan rahmat-Nya agar segala gangguan yang menghantui pemikiran kita dapat disingkirkan, cukup berdoa dengan bahasa kita sendiri yang kita fahami keinginan dan maksudnya. Begitu lengkapnya ajaran Islam sehingga ketika ingin tidurpun ada doa yang mesti kita amalkan sehingga diri kita tidak diganggu oleh pengaruh buruk dari luar. Disamping membaca doa tidur, kita juga dianjurkan membaca surah al Fatihah, ayat Kursi, surah al Ikhlas, surah al Falaq dan surah An Nas. Dengan mengamalkan surah-surah tersebut, insya Allah dapat berperanan sebagai pendinding orang mukmin dari gangguan manusia mahupun makhluk halus.

Begitu jugalah dengan masalah yang anda hadapi, boleh mengamalkan surah-surah tersebut sebagai pendinding, namun jika ingatnya anda kepada seseorang itu kerana cinta anda yang mendalam atau rasa kasih sayang, sedangkan anda berharap kepada Allah agar dijodohkan dengannya, maka berdoalah kepada Allah agar minda anda menjadi tenang dan tidak terlalu menuruti perasaan. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

4. Menghindari Dari Bahaya Dendam
Soalan:

Saya telah menyakiti hati seseorang dan saya telah meminta maaf dan dia telah memaafkanya tetapi dengan niat yang tidak ikhlas. Buat pengetahuan ustaz, beliau ada menaruh dendam terhadap diri saya dengan membalas balik perlakuan yang yang pernah saya lakukan terhadap dirinya. Apakah tindakan yang perlu saya lakukan bagi mengelakkan perkara ini dari terus berterusan? Kerana saya kini tunagannya.

Su, JB

Jawapan:
Sifat dendam merupakan sifat tercela yang perlu kita hindari dalam kehidupan kita. Jika seseorang menyimpan rasa dendam dengan kita usahakan memulihkan hubungan silaturrahim agar sifat itu tidak terus berpanjangan. Dalam sebuah hadis disebutkan "Orang mukmin itu bukanlah pendendam".

Dendam itu merupakan buah daripada kemarahan, sedangkan dendam itu sendiri menyebabkan berbagai perkara yang dianggap sebagai kemungkaran diantaranya menimbulkan sifat dengki iaitu sifat merasa bangga melihat orang lain dalam bahaya atau kedukaan. Orang yang memiliki sifat ini sangat tercela.

Sifat dendam juga dapat melahirkan sifat menghancurkan dan memusnahkan kehidupan orang yang didendamnya. Kemudian dapat memutuskan hubungan silaturrahim, memukul orang yang didendaminya serta banyak lagi sifat buruk yang timbul dari dendam kesumat ini.

Jika anda telah berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan cara minta maaf tidak berhasil, maka berusahalah bermohon kepada Allah dengan solat istikharah. Dengan cara ini anda boleh membuat pilihan dengan betul apakah tunang anda itu yang terbaik untuk anda atau sebaliknya. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

5. Menyimpan Aib Sendiri
Soalan:
Bagaimanakah pendapat ustaz tentang seorang gadis telah diperkosa berbagai-bagai masalah akan timbul.  Terutama apabila ada lelaki yang ingin melamarnya.  Pada pandangan ustaz adakah patut si gadis ini memberitahu atau menceritakan segala peristiwa silam yang telah menimpa dirinya atau menyimpan sahaja rahsia itu sehingga ke akhir hayatnya?

Yati ,KL

Jawapan:
Setiap orang mempunyai pengalaman tersendiri, bahkan kadangkala pengalaman yang dihadapinya meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwa. Dalam hadis Rasulullah SAW juga ada diterangkan agar seseorang itu menutup aib orang lain jika ia mengetahuinya agar tidak menimbulkan fitnah yang lebih besar. Demikian juga tentang aib diri sendiri adalah lebih baik menutup aib tersebut atau menyimpan rahsia itu hingga ke akhir hayat, kerana perkara itu lebih baik untuk diri anda dan untuk pasangan yang melamar anda. Aib yang tidak diketahui oleh orang lain itu bererti telah dilindungi atau ditutupi oleh Allah, maka tidaklah baik jika kita pula cuba membuka sesuatu yang telah ditutup oleh Allah agar orang lain mengetahuinya. Sebaliknya kita bersyukur kepada-Nya kerana telah menutup aib atau pengalaman buruk masa silam kehidupan kita. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


6. Menghindari Sifat Buruk Sangka
Soalan:
Bagaimanakah cara untuk kita menghindari diri daripada sifat buruk sangka terhadap orang lain?

Anak Perantau, Lahad Datu

Jawapan:
Sifat buruk sangka termasuk sifat yang tercela, kerana ia dapat menimbulkan fitnah yang sangat besar. Dalam Al Quran, Allah berfirman maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu menggunjing atau memfitnah sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang diantara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang". (Al Hujarat : 12) Jadi jelaslah berprasangka buruk itu berdosa, maka berusahalah menghindarinya dengan cara banyak mengingat kebaikan seseorang. Ketika prasangka itu datang, banyakkan berzikir kepada Allah dan tepis sifat tersebut dengan mengingat dosa yang akan kita terima jika tetap dalam berprasangka buruk.

Kembali ke atas ↑


 

 

7. Hakikat Insan Sejati
Soalan:
Bagaimana caranya untuk menuju kearah jalan hakikat insan yang sejati?

Hamba Allah, Perak

Jawapan:
Hakikat insan yang sejati maksudnya ialah insan yang bertaqwa kepada Allah SWT. Mereka menyerahkan segala kehidupan serta jiwa dan raganya hanya untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Mereka mengerjakan segala yang diperintahkan Allah dan meninggalkan yang ditegah-Nya, disamping menegakkan amal ma'ruf nahi mungkar.     Insan sejati juga memperhatikan segala aspek kehidupannya dan mengaitkannya dengan ketentuan agama Islam. Ia memiliki akhlak yang mulia, menutup aurat, menghormati orang lain, sanak saudara, jiran tetangga dan tamu, hormat kepada kedua ibu bapa, menjalinkan silaturrahim dan sebagainya.

 

Kembali ke atas ↑


 

8. Bohong Secara Terpaksa
Soalan:
Apakah hukumnya sekiranya kita berbohong secara terpaksa (tiada pilihan lain)?

Izzat, Dungun

Jawapan:
Hukum asal bagi berbohong adalah haram kerana ia mengandungi bahaya yang akan menimpa ke atas orang yang dusta itu ataupun ke atas orang lain. Dalam Al-Quran menjelaskan Allah SWT menyediakan balasan neraka kepada orang-orang yang berdusta.Tetapi kadang-kadang berbohong mendatangkan maslahah. Di kala itu berbohong diharuskan.

Begitu juga berbohong kadang-kadang boleh menjadi wajib seperti jika seseorang bercakap benar akan mendatangkan bahaya kepada nyawa orang yang tidak berdosa akibat perbuatan orang yang zalim yang mahu membunuhnya. Berbohong juga menjadi harus untuk menghalang dari tercetusnya peperangan atau untuk mendamaikan dua orang yang bersengketa atau untuk melunakkan hati orang yang teraniaya atau untuk mengeratkan hubungan antara suami isteri yang bersengketa.

Dalam situasi ini diharuskan berbohong, tetapi hendaklah mengikut sekadar yang perlu sahaja dan tidak melampaui batas atau berlebihan. Ada banyak hadis yang membuktikan bolehnya berdusta  kerana maslahah-maslahah yang dinyatakan di atas. Thawban pernah berkata: Berdusta itu semuanya haram kecuali yang mendatangkan manfaat bagi seseorang muslim atau boleh menolak sesuatu mudarat daripadanya. Begitulah yang dijelaskan di dalam kitab Maw'izah Al-Mukminin oleh Imam Al-Ghazali.

Kembali ke atas ↑


 

9. Dilema Setelah Terlanjur
Soalan:
Masalah saya ialah, buat pengetahuan ustaz saya belum berkahwin, tetapi sebulan lepas saya telah terlanjur dengan seorang teman (selepas 2 hari bebas dari haid). Tetapi teman saya tidak memasukkan sehingga pangkal, cuma di hujung saja. Dan  pancutan mani berlaku di luar bukan di dalam. Masalahnya sekarang setelah cukup sebulan lebih (dari tempoh terlanjur itu) dan haid saya tidak datang, ini merisaukan saya, adakah saya telah mengandung atau hanya lambat datang haid. (Kebiasaannya mula datang haid saya 29-31 haribulan) . Apa yang patut saya buat jika betul saya mengandung, apa langkah yang patut saya lakukan?

Hamba Allah, Johor

Jawapan:
Dalam Al-Quran jelas terdapat larangan melakukan perzinaan baik secara sukarela mahupun secra terlanjur. Pelakunya bukan sahaja dikutuk oleh Allah malah jika ia belum berkahwin  ia layak dirotan sebanyak seratus rotan menurut hukum hudud Islam jika sabit kesalahannya. Al-Imam Az-Zahabi menukilkan sebuah hadis yang menjelaskan apabila seseorang hamba melakukan perzinaan tercabutlah iman dari dirinya sebagaimana ia mencabut pakaian dari badannya. Iman itu berada di atas kepalanya seperti bayangan. Setelah ia berhenti dari melakukan perzinaan iman itu kembali semula kepadanya.

Inilah yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidhi dan juga Imam Al-Baihaqi. Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Jawzi menjelaskan seseorang yang melakukan perzinaan akan ditimpa 6 sifat yang membinasakannya 3 di dunia dan 3 lagi di Akhirat. 3 di dunia ialah hilang kehebatan air muka, pendek umur dan berterusan dalam keadaan papa kedana manakala 3 di akhirat pula ialah mendapat murka Allah, hisab yang buruk dan mendapat azab yang pedih dalam neraka.

Memandangkan betapa dahsyatnya perzinaan ini, maka Islam mengharamkan seorang lelaki berkhalwat dengan seorang perempuan walaupun kekasih atau tunangannya sendiri. Dalam sebuah hadis riwayat Jabir RA menjelaskan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka janganlah ia berkhalwat dengan seorang perempuan tanpa mahram, kerana pihak yang ketiganya ialah syaitan. Apabila seorang lelaki berada berdekatan dengan seorang perempuan apalagi jika berkhalwat di tempat sunyi, syaitan akan membujuknya sehingga masing-masing akan naik syahwat.

Dikala itu yang terlibat tidak akan ingat lagi kepada suruhan dan larangan agama. Apa yang difikirkan di masa itu hanyalah untuk melepaskan hajatnya sahaja. Selepas itu barulah ia rasa menyesal tak sudah-sudah. Menurut Ibn Abbas apabila alat kelamin seorang lelaki mahupun perempuan naik syahwat, maka di kala itu masing-masing kehilangan satu pertiga dari akal. Justeru itu keadaan berkhalwat merupakan keadaan yang amat sukar kepada seseorang untuk mengawal dirinya yng akhirnya berlakulah  perbuatan terkutuk iaitu perzinaan.

Sesungguhnya, sekiranya Allah menghendaki sesuatu, Ia kata jadi, maka jadilah. Andainya Allah menghendaki saudari mengandung, maka saudari akan tetap mengandung walau bagaimanapun caranya saudari gunakan bagi mengelakkan persenyawaan benih. Bayangkan jika Allah menimpakan kehinaan pada saudari, ketika saudari bersama teman saudari, Allah ambil nyawa saudari dan teman saudari, bagaimanakah keadaan saudari ketika itu yang telah tercabut imannya. Bagaimanakah pula keadaan ibubapa dan keluarga kedua belah pihak? Fikirlah semasak-masaknya sebelum saudari menempuhi keadaan yang mencurigakan dan boleh membawa kepada kemaksiatan. Janganlah mendekati zina, dan perkara-perkara atau keadaan-keadaan yang mengarah kepada penzinaan.

Dalam kes saudari ini, jelas saudari melakukan perzinaan yang dikutuk oleh agama, kerana itu saudari hendaklah bertaubat kepada Allah dan menjauhi perbuatan ini sama sekali. Jika hukum Islam dilaksanakan, saudari berhak dirotan sebanyak 100 rotan sebagaimana yang dijelaskan di atas. Saudari juga dinasihatkan supaya segera berkahwin dengan pasangan saudari itu sendiri kerana Al-Quran menjelaskan penzina perempuan tidak layak berkahwin kecuali dengan penzina lelaki yang berzina dengannya. Ini juga untuk membolehkan anak yang dikandung saudari itu dibinkan kepada lelaki yang berzina dengan saudari itu.

Kembali ke atas ↑


 

10. Menempuh Godaan Nafsu di Luar Negara
Soalan:
Ustaz, saya seorang pelajar yg sedang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di luar negara. Di sini saya menerima cabaran yg amat berat terutamanya dari segi batiniah. Cabaran ini sangat susah untuk diketepikan kerana hampir dimana-mana saja boleh didapati perempuan-perempuan cantik yang menggoda. Saya hampir-hampir jatuh ke lubang yang merosakkan hidup saya. Oleh itu saya meminta jasa baik ustaz untuk memberi serba sedikit nasihat yang membolehkan saya mengawal nafsu saya. Untuk pengetahuan ustaz, saya dahulu seorang yang boleh dikatakan kuat juga mengamalkan agama. Tetapi sejak saya berada di sini saya menjadi seorang yang sangat lemah dan mudah kalah kepada godaan?

Hamba Allah, Ipoh

Jawapan:
Tidak dinafikan menyambung pelajaran di negara barat yang bebas struktur sosialnya memerlukan ketahanan iman yang kental. Untuk itu kita hendaklah mengawal diri dari tergelincir ke landasan yang salah caranya boleh dilakukan dengan memilih rumah sewa jauh dari tempat-tempat maksiat dan hiburan. Cubalah berpuasa sunat dan sentiasa menjaga pandangan mata kerana dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan orang yang menjaga pandangan matanya akan dikurniakan oleh Allah dengan kemanisan iman yang akan dapat dikecapinya sehingga ke hari ia menemui Allah SWT.

Berpuasa sunat jelas disebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, dan ia menjadi perisai kepada seseorang. Selain itu hendaklah memilih sahabat yang boleh menegur kesilapan kita dan mengajak kita sama-sama ke rumah Allah. Banyakkan membaca Al-Quran dan berzikir kepada Allah. Jaga amalan solat fardu dan amalan solat sunat kerana ia boleh mencegah seseorang dari perkara yang mungkar. Dalam surah Al-Mukminun Allah SWT memuji orang-orang yang menunaikan solat dalam ertikata yang sebenarnya, malah mereka di masukkan ke dalam golongan yang berjaya.

Sentiasalah berdoa kepada Allah dengan doa berikut, "Ya Allah Ya Tuhanku tetapkanlah hatiku di atas landasan agamaMu dan di dalam melakukan ketaatan kepadaMu, maha suci Engkau sesungguhnya aku termasuk ke dalam hamba-hambaMu yang menzalimi diri sendiri."

DN 220 Dosa-dosa Besar
DN 009 Dosa-Dosa yang Menutup Pintu Hati
DN 109 Panduan Mendidik & Menunduk Nafsu
DN 049 Penawar Jiwa - Psikologi Ketenangan Minda
DN 186 Taubat - Titisan Airmata Keinsafan (Amalan & Penghayatannya)
DN 105 ♂ Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑


 

11. Menghindari Perasaan Was-was Dalam Diri
Soalan:
Masalah saya ialah saya sentiasa rasa was-was dalam sembahyang. Tapi kadang-kadang saya boleh solat dengan mudah tanpa was-was. Saya sudah alami masalah ini terlalu lama. Saya bimbang juga sebab was-was ini adalah amalan syaitan. Tapi kenapa saya rasa tidak berupaya hendak melawan. Kadang-kadang saya terpaksa angkat takbir berkali-kali sebelum saya boleh mula solat.

Saya dah ajukan masalah ini pada yang lebih arif daripada saya. Katanya selalulah solat jemaah dan saya memang selalu solat jemaah dan amat jarang sekali solat di bilik. Tapi masalah saya ni tak juga selesai kadang-kadang tu imam dah rakaat ke 3 barulah SAYA MULA SOLAT. Ini tentunya dah mengganggu jemaah lain. Tolonglah saya, saya dah cuba sedaya upaya tapi masalah ini belum juga selesai. Adakalanya ok tapi kadang-kadang tidak, tolonglah saya.

Hamba Allah, Serdang

Jawapan:
Seorang muslim hendaklah selalu tunduk, patuh dan taat kepada Allah SWT, mengharap dari-Nya dan malu kepada-Nya kerana lalai terhadap-Nya. Fahamilah bahawa diri kita hanyalah seorang hamba Allah yang lemah dan serba kekurangan yang mengharapkan sesuatu kepada-Nya. Jika kita telah memahami kedudukan kita itu, sedarlah kita bahawa sangat sukar bagi seorang hamba ingin sempurna seratus peratus dalam segala aspek kehidupannya. Namun bagi seorang hamba, ia wajib mengamalkan segala yang diperintahkan Allah, sedangkan hasilnya diserahkan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Dalam masa beribadah kepada Allah, manusia hendaklah berpegang kepada perkara-perkara yang menjadi keperluan hati batin. Sekiranya penghayatan keperluan hati batin itu seimbang dengan keyakinannya maka tentulah orang itu akan dapat menghayati solatnya. Kecuali kalau fikrian terganggu dengan berbagai masalah, hilangnya tumpuan fikrian, hati melayang ketika bermunajat kepada Allah, semua itu menimbulkan kelalaian atau kelengahan dalam solat.

Perkara yang mengacau fikiran ketika solat mungkin disebabkan oleh unsur-unsur yang melintas di fikiran atau persekitaran. Semuanya itu dapat dicegah bila dapat melenyapkan penyebabnya. Jika was-was itu timbul dari dalam diri sendiri, mungkin kerana kurangnya pemahaman terhadap nilai ibadah kepada Allah. Oleh sebab itu perlulah kita meningkatkan takzhim atau rasa pengagungan dan penghormatan kepada Allah.

Menurut Imam Al Ghazali, takzhim atau rasa pengagungan dan penghormatan kepada Allah boleh wujud setelah memiliki pengetahuan khusus iaitu, berkaitan pengetahuan dan kesedaran tentang keagungan dan kebesaran Allah. Pengetahuan ini termasuk diantara pokok-pokok iaman. Seseorang yang tidak percaya sepenuhnya akan keagungan Allah tidak mungkin jiwanya akan bertakzim kepada-Nya.

Kemudian memahami akan kehinaan nafsu. Nafsu adalah hamba yang terjajah dan dikendalikan atau dipengaruhi oleh unsur di luar dirinya sendiri. Pengetahuan tentang keagungan Allah dan kehinaan hawa nafsu tersebut menimbulkan kepasrahan atau rasa menyerah diri, merasa rendah diri, akhirnya khusyuk kepada Allah.

Demikian diantara pendekatan yang digunakan oleh Imam Ghazali dalam meninggalkan ras was-was, baik sebelum solat mahupun ketika solat. Masih banyak pendekatan lain yang boleh digunakan dalam menghindari sifat was-was ketika solat yang boleh dirujuk dalam buku tulisan Imam Al Ghazali.

DN 072 Kesilapan Ketika Sembahyang

Kembali ke atas ↑


 

12. Kelembutan Seorang Lelaki
Soalan:
Saya mempunyai seorang kawan yang dilahirkan secara fizikalnya normal sebagai seorang lelaki, tetapi jiwa dan nalurinya adalah seperti seorang perempuan. Daripada segi hukum apakah batasan pergaulan dan pandangan matanya terhadap lelaki, sekiranya setiap pandangan ada satu perasaan tertentu?

Man, KL

Jawapan:
Sifat lemah lembut merupakan perkara yang terpuji dan merupakan sunnah Rasulullah SAW. Bahkan Rasulullah SAW sendiri mempunyai sifat lemah lembut dan sopan santun ini. Jika teman anda mempunyai naluri seorang perempuan yang lebih mendekati kepada sifat pondan, maka sifat seperti ini tidak terpuji dan dinilai sebagai menyerupai wanita. Jika sifat ini wujud secara semulajadi semenjak dilahirkan, ia tidak tercela, kemudian bagi yang terlibat hendaklah berusaha menghilangkannya. Tetapi jika ia sengaja bertujuan menyerupai kaum perempuan, perbuatan tersebut adalah perbuatan yang tercela.

Bagi orang yang memang dari semulajadi lagi sudah mempunyai sifat tersebut hendaklah meninggalkan secara beransur-ansur sifat ini. Jika ia enggan berbuat demikian malah masih berterusan dengan sifatnya, perlulah dikeji sikapnya itu. Namun begitu menurut pendapat Imam An Nawawi, bagi mereka yang tidak mampu meninggalkan sifat ini walaupun secara beransur-ansur ia tidak wajar dicela.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai kaum perempuan dan perempuan yang menyerupai kaum lelaki. Sabda baginda: Keluarkanlah mereka dari rumah-rumah mereka. Nabi pernah mengeluarkan seorang Mak Nyah dari rumahnya sebagaimana Umar juga pernah berbuat demikian". (Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Kembali ke atas ↑


 

13. Menempuh Dugaan di Negara Asing
Soalan:
Saya menuntut di salah sebuah University di Tokyo,di mana budaya hidup masyarakat disini agak berbeza. Apa yang menjadi persoalan saya, apakah persediaan yang harus saya lakukan, sebagai seorang remaja yang meningkat dewasa untuk menjadi Insan yang dikatakan bertakwa padaNya di dalam suasana sekeliling yang melalaikan dan kurangnya sumber-sumber Ilmu agama?

Abdullah, Tokyo

Jawapan:
Sebelum saya menjawab, saya doakan agar saudara sentiasa diberi taufik dan hidayah oleh Allah SWT dalam setiap suasana dan keadaan. Apabila berada di negara kafir apa yang diperlukan oleh seorang pemuda ialah kekuatan rohani untuk menempuh dugaan yang begitu kuat. Apa yang perlu anda lakukan ialah membentuk kekuatan tersebut dengan mengurangkan aktiviti sosial bersama rakan-rakan bukan Islam. Sebaliknya perbanyakanlah puasa dan jika boleh bersembahyang tahajjud.     Apa yang dipelajari tentang Islam, walaupun sedikit hendaklah sentiasa diamalkan kerana sebaik-baik amalan adalah secara 'istiqamah'. Cubalah cari individu-individu lain yang mempunyai roh Islami seperti saudara dan bentuklah halakah-halakah atau kumpulan usrah dan adakan perjumpaan mingguan bersama mereka untuk meningkatkan kefahaman kita tentang Islam dan membentuk kecintaan terhadapnya. Insya-Allah dengan cara tersebut anda akan diberi taufik dan hidayah oleh Allah SWT untuk terus kekal dijalanNya. Wallahu'alam.'

Kembali ke atas ↑


 

14. Menghindari Penyakit Lupa
Soalan:

Saya mempunyai masalah terlalu lalai dan sangat pelupa terhadap hal-hal agama dan juga dunia. Sedangkan usia saya masih muda. Bagaimanakah kaedah (resepi) bagi mengatasi masalah lalai dan pelupa ini?

Hamba Allah, Shah Alam

Jawapan:
Umat Islam dituntut untuk melaksanakan segala perintah Allah seperti mengerjakan solat dengan jiwa dan raga (khusyuk), membayar zakat, puasa serta perkara-perkara yang fardhu yang lainnya. Jika segala anjuran dan perintah Allah dijalankan dengan ikhlas, insya Allah sifat pelupa dan was-was ini akan tersingkir dari diri kita.

Walaupun begitu sesetengah orang alim mengamalkan Asmaul Husna sebagai ubat untuk penyakit pelupa ini. Dengan membaca "Ya Rahman" (Maha Pemurah) sebanyak 100 kali setiap kali selesai solat fardhu maka Insya Allah akan hilang sifat lalai atau lupa. Wallahu A'lam.

DN 041 Asma’ul Husna - Rahsia dan Amalan 99 Nama Allah

Kembali ke atas ↑


 

15. Menyeru Kepada Kebaikan
Soalan:

1. Bagaimana cara terbaik untuk menegur keluarga dan ipar saya supaya melaksanakan solat 5 waktu.
Adakah sudah terlepas tanggungjawab saya sebagai seorang Islam sekiranya saya telah menegur tetapi tidak di sambut baik oleh mereka?

Mawar, JB

Jawapan:
Menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada membuat mungkar merupakan kewajipan setiap umat Islam. Begitu juga didalam keluarga jika kita memiliki ahli keluarga yang masih meninggalkan perintah Allah maka menjadi tangunggjawab kita untuk membimbing mereka ke arah menjalankan kewajipan tersebut. Dalam sebuah hadis juga ada disebutkan "sampaikanlah yang hak itu walaupun pahit".

Terangkanlah kepada ahli keluarga kita bahawa mengerjakan solat merupakan tanggungjawab fardhu yang mesti dikerjakan. Jika ditinggalkan bererti kita telah menabur benih nista dan dosa dalam diri sendiri serta seluruh ahli keluarga. Gunakanlah pendekatan yang bijak dalam mengajak ahli keluarga mengerjakan solat. Dedahkan kepada mereka bahan bacaan yang berkaitan dengan solat dan akibat balasan bagi orang yang meninggalkannya. Disamping itu boleh juga dengan cara mengajak mereka mengerjakan solat berjemaah baik pergi ke masjid atau di rumah. Jika ipar kita orang yang pandai menjadi imam, cuma ia tergolong orang yang malas mengerjakan solat, hargailah dirinya dengan cara menyuruh dia menjadi imam. Dengan demikian dia merasa dihargai dan dihormati, mungkin juga akan membuka mindanya untuk melaksanakan solat lima secara lebih baik lagi stelah itu.

Jika kita telah memberitahukan kepada seseorang betapa pentingnya mengerjakan solat dan betapa besar dosanya jika meninggalkannya, maka secara zahiriah tugas dakwah kita sudah selesai. Terpulanglah kepada seseorang itu apakah ia insaf atau sebaliknya. Namun secara batiniah umat Islam masih disuruh mendoakan kaum muslimin dan muslimat terhindar dari ancaman dan seksaan Allah. Apatah lagi yang kita doakan supaya mengerjakan solat itu adalah ahli keluarga kita sendiri, sudah tentu betapa besar nikmat dan nilai dakwah yang kita lakukan.

Gunakanlah bahasa yang baik dan dengan hikmah dalam mengajak orang melakukan yang makruf dan mencegah daripada berbuat mungkar, agar mereka dapat melaksanakan perintah Allah tersebut dengan hati yang terbuka dan sekaligus tidak membenci diri kita. Insya Allah, akan ada jalan penyelesaian yang terbaik yang akan Allah berikan kepada kita dan mereka jika kita benar-benar ikhlas ingin menyeru kepada kebaikan.

Kembali ke atas ↑


 

16. Cara Memberitahu Ibu tentang Menutup Aurat
Soalan:

Saya mempunyai seorang ibu. Alhamdulillah....dia adalah seorang yang bertanggungjawab dan tidak lalai terhadap kewajipan terhadap Allah.... Namun masalahnya di sini ialah dia memakai tudung hanya tudung pendek dan kemudian hanya memakai baju lengan panjang dan memakai seluar. Setahu saya aurat wanita juga merangkumi bentuk badan seseorang wanita itu. Apakah hukumnya dan bagaimana saya dapat memberitahunya dengan penuh hikmah?

Kidd, Muar

Jawapan:
Sangat terpuji keperibadian seorang anak yang mengambil berat tentang hal ehwal kehidupan ibunya sendiri. Sebab anak yang soleh disamping mendoakan terhadap kedua ibu bapanya juga berbakti dan mengabdikan diri kepada mereka. Di dalam Islam untuk menyampaikan kebenaran merupakan tanggungjawab setiap indivdu dan dalam hadis juga disebutkan "Sampaikanlah yang hak itu meskipun pahit".

Walaupun begitu menyampaikan sesuatu yang bersifat amar makruf nahi mungkar kepada ibu memerlukan seni dan kaedah yang baik agar ibu tidak tersinggung dan merasa kecil hati dengan penyampaian kita tersebut. Kerana jika ia telah tersinggung terhadap anaknya dikhuatirkan menimbulkan keretakan hubungan antara ibu dan anak.Ada beberapa pendekatan yang boleh dilakukan untuk menyampaikan perkara ini.

Jika anda sanggup untuk menyampaikannya secara langsung maka sampaikanlah, namun jika anda merasa khuatir dan anda seorang perempuan mulailah dari diri sendiri dengan memakai pakaian muslimah dan bawalah buku agama yang membahas tentang pakaian seorang muslimah tersebut sebagai rujukan untuk diperbincangkan dengan ibu anda. Dengan demikian ia merasa bertanggungjawab untuk mengikuti pakaian anda yang sesuai dengan syariat Islam.

Seandainya anda seorang lelaki sampaikanlah dengan bahasa yang baik dan hikmah tentang hukum hakam berkaitan dengan pakaian muslimah dan gunakanlah buku sebagai rujukan agar anda tidak dianggap seperti orang memandai-mandai dalam kemaslahatan hidupnya.

Jika cara diatas tidak mendatangkan kesan, gunakanlah pihak ketiga, seperi ayah ataupun nenek agar dapat menasihati ibu anda tersebut. Mungkin juga meminta bantuan dengan orang yang paling dekat dengannya seperti sahabat ataupun bekas-bekas gurunya dan sebagainya. Disamping itu sebagai anak yang prihatin terhadap akhlak dan agama ibu sendiri, berdoalah dan bermunajat kepada Allah agar hati ibu anda memperoleh hidayah untuk memakai pakaian mengikut syariat Islam. Wallahu A'lam.

DN 091 Fardhu ‘Ain Khusus Wanita
DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑


 

17. Kesan Psikologi dalam Kehidupan Penzina
Soalan:
Di dalam kemusykilan yang telah lepas, Ustaz ada memberitahu bahawa penzina itu akan menerima 3 hukuman di dunia iaitu hilang kehebatan rupa, papa selamanya dan pendek umur. Adakah ianya akan berterusan walaupun si penzina itu telah pun bertaubat?

Yanti, KL

Jawapan:
Jika seseorang telah bertaubat dengan taubat yang sebenarnya dan berazam tidak mengulangi kembali perbuatan zina yang terkutuk tersebut maka seseorang itu telah bersih dan bahkan digambarkan bagi orang yang bertaubat dengan taubat nasuha itu sama seperti anak kecil yang baru lahir. Jika demikian keadaannya maka segala kesan psikologi dan fizikal yang ditimpakan itu hanya kepada mereka yang terus menerus melakukan perzinaan, namun jika telah bertaubat maka dengan sendirinya dirinya terpelihara dan malah mendapat rahmat daripada Allah SWT. Wallahu A'lam.

DN 220 Dosa-dosa Besar
DN 009 Dosa-Dosa yang Menutup Pintu Hati

Kembali ke atas ↑


 

18. Inginkan Ketenangan Hidup
Soalan:
Bagaimanakah caranya agar kita dapat menjalani kehidupan seharian dengan tenang tanpa mengigati semua perkara yang buruk telah berlaku?

Diyana, K Trengganu

Jawapan:
Peristiwa buruk masa silam, baik berbentuk musibah ataupun berbentuk kesilapan dan kesalahan yang dilakukan sendiri memang kadangkala mengganggu kehidupan seseorang. Bahkan ramai orang sukar untuk menghilangkan bayangan masa silam tersebut sehingga menghantui segala aktiviti hariannya. Di dalam ajaran Islam memberi bimbingan kepada umatnya agar menyerahkan segala ketentuan yang terjadi tersebut kepada Allah SWT semata.

 Firman Allah SWT maksudnya: "Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya lah kami kembali". Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat  dari  Tuhannya dan mereka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk". (Al Baqarah 156-157) Janganlah dengan sengaja memikirkan perkara yang telah lalu tersebut, tetapi bertawakallah dan berserah diri kepada Allah SWT, agar memperolehi ketenangan jiwa. Disamping itu kuatkan keyakinan diri bahawa Allah SWT sentiasa membantu dan membimbing umatnya yang ingin kebenaran dan kedamaian. Berdoalah kepada Allah agar terhindar dari gangguan syaitan dan kecenderungan hati kepada perkara yang mungkar. Kemudian tenangkan hati dengan melakukan ibadah secara sempurna dan sentiasa mengharap rahmat dan redha-Nya.

Kembali ke atas ↑


 

19. Membina Jiwa yang Tabah
Soalan:
Saya bingung dan mengalami krisis keyakinan lantaran diduga dengan berbagai musibah. Saya akui suatu ketika dulu saya banyak melakukan berbagai dosa dan maksiat. Setelah bertaubat, saya banyak mendekatkan diri kpd suruhan Allah swt di dlm segala aspek. Namun begitu ujian2 yg datang seperti ditimpa penyakit yg tidak sembuh2, ditipu orang RM 20 ribu dan berbagai lagi menjadikan saya secara tidak langsung semakin terhakis keyakinan dan semakin malas utk beribadat lagi. Saya tertanya2 kenapa perkara sebegini terjadi kpd saya walaupun saya sudah puas berusaha dgn doa2, ikut suruhan Allah swt dan sebagainya. Saya jadi begitu kecewa dan merasa cukup tertekan. Tolonglah saya ustaz.. Sesungguhnya saya ingin sekali menjadi hamba Allah yg bertakwa tetapi saya cukup tidak mampu untuk menanggung ujian2 ini?

Nor Azman, Kuantan

Jawapan:
Hamba Allah yang bertaqwa, jika beribadah dan beramal soleh hanya mengharapkan rahmat dan keredhaan Allah SWT. Sesungguhnya dengan  kederhakaan dan ketaatan kita tidak sedikitpun mengurangi kekuasaan dan kebesaran Allah. Jika kita beramal semata-mata ingin memperolehi kenikmatan dunia yang sedikit, kemudian jika diuji dengan kegagalan lalu meninggal amal ibadah yang selama ini dilaksanakan, maka jelaslah amalan kita tersebut sekedar permainan dan senda gurau semata bukan dengan hati yang ikhlas kerana Allah. Seandainya ini yang terjadi dalam kehidupan seseorang, maka segeralah memohon ampun dan bertaubat kepada Allah serta perbaikilah amalan dan ibadah seharian kita.

Segala sesuatu yang ditimpakan kepada kita sebenarnya tersimpan seribu satu hikmah yang sangat sukar diketahu oleh seseorang. Jika kehilangan wang puluhan ribu umpamanya, apakah wang kita tersebut benar-benar bersih seperti dengan mengeluarkan zakat dan bersedekah. Jika wang tersebut telah dikeluarkan hak orang lain seperti zakat dan sedekah namun masih ditipu oleh orang lain, kemungkinan itu dugaan daripada Allah, agar kita bersabar. Namun jika wang banyak tersebut tidak pernah dikeluarkan zakat ataupun sedekahnya akhirnya ditipu orang lain, kemungkinan juga ia merupakan peringatan, agar kita sentiasa mengingat Allah, dan agar kita mengetahui bahawa hak memberi rezeki itu hanya milik Allah. Sesungguhnya Allah untuk memberi kepada orang dikehendakinya dan mengambil kembali kepada orang yang dikehendakinya pula.

Sedangkan rasa sakit yang ditimpakan kepada tubuh kita itu juga merupakan dugaan dan rahmat daripada Allah agar kita dapat menghisab ataupun muhasabah diri bahawa nikmat sihat dan sakit itu hanya Allah SWT yang berhak memberinya. Suatu hari isteri nabi Ayub menyuruh agar nabi Ayub berdoa kepada Allah supaya penyakit tersebut disembuhkan olehNya. Namun nabi Ayub bertanya, "berapa tahunkah aku sakit ?". Isterinya menjawab, "sembilan tahun". Kemudian nabi Ayub bertanya lagi. "berapa tahunkah aku sihat". Isterinya menjawab: "Lapan puluh tahun". Maka nabi Ayub menjawab; Aku telah menikmati kesihatan lapan puluh tahun, sedangkan aku sakit baru sembilan tahun, jadi sesungguhnya aku malu dengan Allah SWT".  Jadi janganlah mengeluh dengan penyakit yang ditimpakan Allah kepada kita, kerana didalam penyakit yang diberikan itu tersimpah beribu hikmah yang hanya Allah saja mengetahuinya.

Selaku hamba yang mempercayai kebesaran dan keagunganNya banyakkanlah beramal dan berdoalah dengan rasa harap dan takut, iaitu mengharap keberkatan dan rahmatNya dan merasa takut dengan ditoloknya permohonan tersebut. Berdoalah dengan memenuhi syarat dan adabnya agar doa kita itu dikabulkan Allah SWT. Hindarilah perasaan putus asa yang menyebabkan kita menjadi insan yang merugi dan akan tergolong ke dalam orang-orang ingkar.Wallahu A'lam.

DN 049 Penawar Jiwa - Psikologi Ketenangan Minda

Kembali ke atas ↑

Anda Di Sini