Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Mungkin Dia Cemburu

E-mail Cetak PDF

Mungkin Dia Cemburu

KERANA keazamannya yang kuat ingin menghancurkan berhala yang dipertuhan oleh kaumnya. hujjah-hujjah Nabi Ibrahim telah menjadi suatu anekdot yang tidak disangka-sangka. Kisahnya bermula apabila penduduk kota Babylon pergi beramai-ramai keluar kota bersama rajanya kerana menyambut Hari Raya sambil berburu. Ibrahim tidak ikut serta. Malah kesempatan itu digunakannya untuk menghancurkan berhala-berhala yang disembah oleh kaumnya. Dia telah lama bercita-cita untuk berbuat seperti ini.

Maka dengan senyap-senyap dia masuk ke rumah berhala dengan membawa sebuah kapak besar. Terlihat dia sana berpuluh-puluh berhala dan di sisinya ada makanan yang lazat-lazat yang disediakan oleh si pemujanya. Sayangnya berhala itu tidak pandai makan, malah makanan lazat itu menjadi santapan lalat.

"Hai berhala! Mengapa engkau tidak makan makanan yang lazat-lazat ini?" tanya Ibrahim.

Sudah tentu tidak ada berhala yang boleh menjawab kerana mereka hanya benda mati yang dicipta oleh manusia sendiri. Maka Ibrahim pun membantai berhala-berhala itu sehingga hancur berkecai dan berserakan di atas tanah. Hanya sebuah berhala yang paling besar saja yang tidak dihancurkannya. Sebaliknya, berhala besar itu digantungkan kapak di lehernya.

Apabila penduduk kota balik dari berhari raya, mereka terus masuk ke rumah tuhan berhalanya untu menyembah dan memberinya hadiah. Akan tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat tuhan-tuhannya telah bersepah di tanah dengan tangan dan kepala terputus.

"Alamak kasihannya." jerit mereka. "Siapa yang telah menganiaya tuhan-tuhan kita ini? Sungguh kejam dan biadab."

Mereka marah-marah dan mencari orang yang melakukannya. Setelah disiasat, ada yang memberitahukan bahawa seorang pemuda bernama Ibrahim selalu mencerca tuhan-tuhan mereka.

Ibrahim pun ditangkap dan diheret ke rumah berhala untuk diminta pertanggungjawabkan atas perbuatannya yang dianggap melampau ini.

"Hai Ibrahim! Betulkah engkau yang telah menghancurkan tuhan-tuhan kami ini?" tanya mereka.

Ibrahim tidak segera menjawab. Lalu mereka menengking: "Hai Ibrahim! Engkaukah yang telah menghancurkan tuhan-tuhan kami ini?"

Sebagai jawapannya, Ibrahim hanya menunjuk kepada berhala besar yang menyandang kapak dilehernya sambil berkata: "Cuba kamu tanya kepada berhala yang paling besar itu. Mungkin dialah yang menghancurkan berhala-berhala yang lain kerena cemburu dan tidak mahu dipersekutukan dengan yang lain."

Ramailah di antara mereka yang terpinga-pinga seolah-olah tersedar dari kebodohannya. Ada yang saling berbisik: "Habislah kita."

Akan tetapi bagi para pemimpinnya yang tidak mahu kalah, cuba menghujjah Ibrahim untuk menutup kebodohannya.

"Wahai Ibrahim! Engkau bodoh."

"Mengapa pula?"

"Engkau kan tahu bahawa patung-patung itu tidak boleh bercakap, mengapa engkau suruh kami bertanya kepadanya?" tanya mereka.

"Kalau begitu, kamulah yang bodoh. Kalau kamu sudah tahu bahawa patung-patung itu tidak boleh bercakap dan tidak boleh memberikan sebarang manfaat atau mudarat, tapi mengapa kamu sembah juga? Mengapa kamu tidak menyembah kepada Allah yang menciptakan engkau?"

Mendengar jawapan Ibrahim itu, maka sedarlah mereka akan kejahilannya yang telah menjadikan berhala yang sudah dibuatnya sendiri sebagai sesembahan. Akan tetapi dasar sudah terlalu taksub, tidak mahu kalah dan takut malu, mereka marah dan melontarkan Ibrahim ke dalam api. Apabila menyaksikan Ibrahim tidak terbakar kerana mendapat perlindungan Allah, mereka berkata pula: "Wah...dia tu tukang sihir besar dan telah menyihir api sehingga tidak mahu membakar badannya." Akhirnya mereka menghindarkan diri kerana takut terkena sihir.


1001 Senyum - Himpunan Kisah-kisah Lucu Siri 1

Popular

Wadah Harian

Kamu tidak akan masuk syurga, kecuali kalau kamu beriman, dan tidaklah beriman kalau kamu belum saling berkasih sayang. Mahukah kamu, aku tunjukkan sesuatu yang bila kamu kerjakan, kamu akan berkasih sayang antara satu sama lain? Tebarkanlah salam di antaramu.

* Petikan: Imam Ghazali DN 082 1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat

 
Anda Di Sini Wadah Harian Mutiara Kisah Mungkin Dia Cemburu