Profil
Iklan Darul Nu'man
Laman Utama
Laman UtamaPANAS!!!Senarai Buku Terbitan DNAWAS!!!Borang PesananJemput LayarSampaikan Temanku

Undur
Laman 71
Maju
701. Nilai Manusia di sisi Allah SWT
Soalan:
Bagaimanakah kita mengetahui ukuran kita di sisi ALLAH S.W.T?
Nazri, Sunway
Jawapan:
    Tidak ada perbezaan antara seseorang dengan orang lain, antara lelaki dan wanita, antara yang muda dan tua disisi Allah melainkan ketaqwaannya. Jadi yang menjadi kadar ukuran seorang insan di sisi Allah bukan terletak pada kekayaannya, ketinggian pangkat dan darjatnya serta kecantikannya tetapi ukuran yang paling utama adalah taqwa kepada Allah SWT.

    Berdasarkan firman Allah dalam surah Al Hujarat ayat 13 maksudnya: "Hai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal".

    Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat tubuh kamu, keturunan atau harta kekayaanmu. Akan tetapi Allah melihat kepada hati. Siapa yang memiliki hati yang soleh, Allah akan mengasihaninya. Sesungguhnya kamu anak Adam, dan orang yang paling Allah cintai ialah yang paling besar taqwanya". Wallahu A'lam.

^ Kembali ke atas ^

 

702. Jadi Imam Bagi Makmum Belum Baligh
Soalan:
Bolehkah kita niatkan sebagai imam bagi anak-anak yang belum baligh?
Amron, Tanjong Malim
Jawapan:
    Solat berjemaah dapat ditegakkan dengan solat seorang diri bersama imam, sekalipun salah seorang diantaranya itu anak kecil atau wanita. Dari Ibnu Abbas meriwayatkan. "Saya menginap di rumah  ibu saudraku Maimunah. Nabi SAW bangun untuk bersembahyang malam. Sayapun mengikutinya dan berdiri di sebelah kirinya. Dipegangnya kepalaku dan diperintahkannya agar berdiri disebelah kanannya" (Riwayat Jamaah)

^ Kembali ke atas ^

 

703. Inginkan Ketenangan Hidup
Soalan:
Bagaimanakah caranya agar kita dapat menjalani kehidupan seharian dengan tenang tanpa mengigati semua perkara yang buruk telah berlaku?
Diyana, K Trengganu
Jawapan:
    Peristiwa buruk masa silam, baik berbentuk musibah ataupun berbentuk kesilapan dan kesalahan yang dilakukan sendiri memang kadangkala mengganggu kehidupan seseorang. Bahkan ramai orang sukar untuk menghilangkan bayangan masa silam tersebut sehingga menghantui segala aktiviti hariannya. Di dalam ajaran Islam memberi bimbingan kepada umatnya agar menyerahkan segala ketentuan yang terjadi tersebut kepada Allah SWT semata.
Firman Allah SWT maksudnya: "Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepadaNya lah kami kembali". Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat  dari  Tuhannya dan mereka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk". (Al Baqarah 156-157)     Janganlah dengan sengaja memikirkan perkara yang telah lalu tersebut, tetapi bertawakallah dan berserah diri kepada Allah SWT, agar memperolehi ketenangan jiwa. Disamping itu kuatkan keyakinan diri bahawa Allah SWT sentiasa membantu dan membimbing umatnya yang ingin kebenaran dan kedamaian. Berdoalah kepada Allah agar terhindar dari gangguan syaitan dan kecenderungan hati kepada perkara yang mungkar. Kemudian tenangkan hati dengan melakukan ibadah secara sempurna dan sentiasa mengharap rahmat dan redha-Nya.

^ Kembali ke atas ^

 

704. Memakan Makanan di Rumah Pemain Judi
Soalan:
Bapa mertua saya mencari rezeki dengan pelbagai cara sama ada halal dan haram. Di kala kesesakan wang beliau suka bermain nombor ekor walaupun puas di nasihati oleh isterinya. Saya kini sedang hamil dan selalu mengunjunginya di waktu lapang bersama suami saya. Apakah hukumnya saya menjamah masakan mereka dan kesannya pada pembentukan janin saya kelak sedangkan saya tidak tahu apakah ia dari sumber yang halal?
Nor, KLumpur
Jawapan:
    Sebagai seorang anak ataupun menantu sudah menjadi kewajipan untuk menziarai dan berkunjung kerumah ibu bapa mereka. Jika kebetulan diantara aktiviti dan pekerjaan mertua anda suka dengan nombor ekor bukanlah bererti bahawa setiap rezeki yang diperolehinya bersumberkan dari perbuatan yang haram tersebut. Jika mereka tidak menjelaskan tentang perkara yang sebenarnya maka kita boleh memakannya, kerana kita tidak pasti apakah benar rezeki yang dimakan itu dari sumber yang halal ataupun haram. Kerana bukanlah bererti setiap kali orang membeli nombor ekor lalu nombor yang mereka beli tersebu mengena dan memperolehi wang ekor tersebut. Kebanyakan dari kesan bermain judi hanya akan memiskinkan pemainnya bukan bertambah kaya.

    Jangan was-was dengan perkara yang belum pasti kedudukannya, namun jika pasti dan jelas dari mertua anda bahawa makanan yang dihidangkan tersebut dibeli dari wang hasil judi, maka anda wajib menolak dan meninggalkan makanan tersebut demi menjaga diri dari subhat memakan sesuatu yang diperolehi dari wang yang haram. Wallahu A'lam.

^ Kembali ke atas ^

 

705. Menghadapi Kenakalan Anak Berumur Dua Tahun
Soalan:
Bagaimanakah untuk mendidik anak yang kurang daripada dua tahun agar dia boleh mendengar cakap dan tidak terlalu nakal. Bolehkah saya menggunakan percakapan yang keras bagi membentuknya? Kadang-kadang saya hilang sabar di atas karenah anak saya.

Jefree, Simunjan
Jawapan:
    Masa umur dua tahun adalah masa yang sangat aktif bagi anak-anak, kerana pada usia ini pertumbuhan fizikal dan perkembangan mentalnya sedang meningkat. Fenomena ini pasti dihadapi oleh setiap ibu bapa yang memiliki anak yang normal. Pada usia ini sangatlah tidak wajar bagi ibu bapa menggunakan kata-kata yang kasar dan keras apatah lagi memukulnya. Mereka dalam usia ini sangat sensitif baik perasaan mahupun jasmani mereka.

    Rasulullah SAW sangat menyayangi cucu-cucu baginda Hasan dan Husain. Bahkan ketika baginda sedang menjadi imam yang diikuti oleh jemaah Islam, kedua cucu baginda tersebut memanjat tengkuk baginda menyebabkan baginda melamakan waktu sujudnya demi menjaga kedudukan cucunya tersebut. Setelah selesai solat para sahabat bertanya tentang terlalu lamanya baginda sujud, apakah baginda menerima wahyu ketika itu. Rasulullah pun menjelaskan tentang peristiwa yang terjadi.

    Pengajaran yang diberikan oleh Rasulullah ini menunjukkan bahawa pada usia kanak-kanak ini, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anaknya dengan kasih sayang dan kelembutan. Kalaupun ingin mencegah kesilapan yang mereka lakukan maka cegahlah dengan kelembutan dan kasih sayang pula. Dalam masalah menjalankan perintah agama terhadap anak-anak ini Rasulullah menyatakan dengan tegas. Baginda menyuruh agar umat Islam menyuruh anak-anak yang berumur tujuh tahun mengerjakan solat, namun jika umur 10 tahun tidak mengerjakan solat makan pukullah mereka.

    Ertinya keizinan memukul anak dalam pendidikan Rasulullah adalah ketika anak berumur 10 tahun, itupun jika mereka melanggar perintah Allah iaitu meninggal solat. Namun begitu pukulan yang dimaksudkan baginda bukanlah memukul dengan kemarahan tetapi memukul dengan unsur mendidik dan kasih sayang.

    Adalah lebih baik ibu bapa menunjukkan akhlak yang mulia di depan anak-anak agar mereka dapat meniru keperibadian yang mulia tersebut. Setelah itu banyakanlah berdoa agar mereka mempunyai hati yang lemah lembut, budi pekerti yang mulai serta menjadi anak yang soleh.
Sila rujuk buku-buku berikut:
1.
Mendidik Anak Pintar Cerdas Bermula dari Alam Rahim..... DN 090
2. Mendidik Mental Anak DN 204
3. Teknik Mendidik & Memahami Jiwa Anak DN 317

^ Kembali ke atas ^

 

706. Mengatasi Keinginan Nafsu yang Kuat
Soalan:
Saya ingin menanyakan bagaimana mengatasi keinginan nafsu yang kuat? Masalahnya suami saya juga tidak dapat memenuhi keinginan saya ini?

Zie, KLumpur
Jawapan:
    Salah satu penyebab keresahan umat zaman moden ini adalah tidak dapat terpenuhi dorongan nafsu berahi secara sempurna. Padahal jika mengikut sunnah Rasulullah SAW suami dan isteri jika mengadakan hubungan jimak hendaklah melakukan dengan cara yang baik dan sempurna. Itulah sebabnya baginda menyuruh agar suami sebelum melakukan jimak hendaklah  melakukan cumbu rayu terlebih dahulu, setelah isteri benar-benar merasa puas barulah mereka melakukan jimak dengan cara yang dituntut.

    Rasulullah juga berpesan kepada para suami, jika mereka telah sampai kepada titik kepuasan, sedangkan isteri belum sampai kepada kemuncaknya, maka suami jangan membiarkan isteri dalam keadaan tergapai-gapai, sebaliknya bantulah isteri untuk menyudahkan kepuasannya pula. Jika perkara ini dilakukan oleh suami dan isteri, maka mereka telah melakukan sunnah yang dituntut oleh Rasulullah SAW.

    Jika suami kurang peka dalam persoalan kepuasan hubungan jimak suami isteri ini, maka isteri hendaklah lebih banyak memainkan peranannya. Isteri boleh membantu suami dalam memulai cumbu rayu supaya lebih hangat, dan jangan hanya sekedar menuggu reaksi suami sedangkan isteri tidak aktif. Jika ini terjadi maka yang akan menanggung penderitaan adalah isteri. Sebab didalam hubungan jimak jika tidak sampai kepada kenikmatan yang sempurna, maka boleh mengganggu kosentrasi dan minda seseorang. Oleh sebeba itu kerjasama kedua-dua belah pihak sangat diperlukan demi mencapai kenikmatan dalam berumahtangga. Jangan saling menyalahkan antara satu dengan yang lainnya, tetapi carilah formula yang sesuai agar segala masalah dapat diatasi secara bersama.

^ Kembali ke atas ^

 

707. Membuka Aib Orang lain
Soalan:
Adakah membuka aib seseorang dengan menyebut nama pembuatnya bagi tujuan pengajaran kepada anak murid diharuskan?

Azizi, Pasir Mas
Jawapan:
    Membuka aib iaitu menceritakan keburukan seseorang kepada orang lain agar mereka membenci atau memusuhinya. Sejak awal lagi membuka aib ini dapat digunakan seseorang untuk menjatuhkan lawannya. Didalam perbuatan ini lebih banyak berisikan kebohongan dan fitnah. Oleh kerana fitnah dan kebohongan merupakan dua sifat yang dilarang oleh Islam, maka membuka aib pun amat dilarang.
Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak mencela yang kian kemari menghaburkan fitnah". (Al Qalam ayat 10 dan 11) Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim dijelaskan maksudnya: "Tidak akan masuk syurga orang yang membuka aib orang lain".

    Walaupun begitu di dalam Al Quran telah memberikan perbandingan dan gambaran yang jelas tentang keperibadian seseorang. Maka adalah lebih baik jika ingin membuat perbadingan tentang keperibadian seseorang yang buruk atau pun baik dengan merujuk ke dalam Al Quran. Jika ingin mengambil contoh tentang pemimpin yang zalim, maka Firaun adalah pemimpin tersebut. Jika ingin mengambil contoh tentang jutawan yang bakhil maka ceritakanlah tentang riwayat Qarun. Jika ingin mengambil contoh tentang orang yang suka menentang kebenaran maka ceritakanlah riwayat hidup Abu Lahab, Abu Jahal, Namrud dan lain banyak lagi yang lain.

    Jadi hindarilah membuka aib orang lain dalam mengajarkan sesuatu yang mulia kepada murid. Tetapi gunakanlah pendekatan umum iaitu cukup dengan menceritakan keperibadian yang tercela tersebut tanpa menyebut nama orangnya. Melainkan jika nama-nama tersebut memang secara jelas disebutkan di dalam Al Quran tentang keburukan dan kederhakaannya maka dibolehkan menyebut keburukan dan keingkaran mereka. Wallahu A'lam.
Sila rujuk buku:
1. Penghalang Kesucian Batin DN 109

^ Kembali ke atas ^

 

708. Membina Jiwa yang Tabah
Soalan:
Saya bingung dan mengalami krisis keyakinan lantaran diduga dengan berbagai musibah. Saya akui suatu ketika dulu saya banyak melakukan berbagai dosa dan maksiat. Setelah bertaubat, saya banyak mendekatkan diri kpd suruhan Allah swt di dlm segala aspek. Namun begitu ujian2 yg datang seperti ditimpa penyakit yg tidak sembuh2, ditipu orang RM 20 ribu dan berbagai lagi menjadikan saya secara tidak langsung semakin terhakis keyakinan dan semakin malas utk beribadat lagi. Saya tertanya2 kenapa perkara sebegini terjadi kpd saya walaupun saya sudah puas berusaha dgn doa2, ikut suruhan Allah swt dan sebagainya. Saya jadi begitu kecewa dan merasa cukup tertekan. Tolonglah saya ustaz.. Sesungguhnya saya ingin sekali menjadi hamba Allah yg bertakwa tetapi saya cukup tidak mampu untuk menanggung ujian2 ini?

Nor Azman, Kuantan
Jawapan:
    Hamba Allah yang bertaqwa, jika beribadah dan beramal soleh hanya mengharapkan rahmat dan keredhaan Allah SWT. Sesungguhnya dengan  kederhakaan dan ketaatan kita tidak sedikitpun mengurangi kekuasaan dan kebesaran Allah. Jika kita beramal semata-mata ingin memperolehi kenikmatan dunia yang sedikit, kemudian jika diuji dengan kegagalan lalu meninggal amal ibadah yang selama ini dilaksanakan, maka jelaslah amalan kita tersebut sekedar permainan dan senda gurau semata bukan dengan hati yang ikhlas kerana Allah. Seandainya ini yang terjadi dalam kehidupan seseorang, maka segeralah memohon ampun dan bertaubat kepada Allah serta perbaikilah amalan dan ibadah seharian kita.

    Segala sesuatu yang ditimpakan kepada kita sebenarnya tersimpan seribu satu hikmah yang sangat sukar diketahu oleh seseorang. Jika kehilangan wang puluhan ribu umpamanya, apakah wang kita tersebut benar-benar bersih seperti dengan mengeluarkan zakat dan bersedekah. Jika wang tersebut telah dikeluarkan hak orang lain seperti zakat dan sedekah namun masih ditipu oleh orang lain, kemungkinan itu dugaan daripada Allah, agar kita bersabar. Namun jika wang banyak tersebut tidak pernah dikeluarkan zakat ataupun sedekahnya akhirnya ditipu orang lain, kemungkinan juga ia merupakan peringatan, agar kita sentiasa mengingat Allah, dan agar kita mengetahui bahawa hak memberi rezeki itu hanya milik Allah. Sesungguhnya Allah untuk memberi kepada orang dikehendakinya dan mengambil kembali kepada orang yang dikehendakinya pula.

    Sedangkan rasa sakit yang ditimpakan kepada tubuh kita itu juga merupakan dugaan dan rahmat daripada Allah agar kita dapat menghisab ataupun muhasabah diri bahawa nikmat sihat dan sakit itu hanya Allah SWT yang berhak memberinya. Suatu hari isteri nabi Ayub menyuruh agar nabi Ayub berdoa kepada Allah supaya penyakit tersebut disembuhkan olehNya. Namun nabi Ayub bertanya, "berapa tahunkah aku sakit ?". Isterinya menjawab, "sembilan tahun". Kemudian nabi Ayub bertanya lagi. "berapa tahunkah aku sihat". Isterinya menjawab: "Lapan puluh tahun". Maka nabi Ayub menjawab; Aku telah menikmati kesihatan lapan puluh tahun, sedangkan aku sakit baru sembilan tahun, jadi sesungguhnya aku malu dengan Allah SWT".  Jadi janganlah mengeluh dengan penyakit yang ditimpakan Allah kepada kita, kerana didalam penyakit yang diberikan itu tersimpah beribu hikmah yang hanya Allah saja mengetahuinya.

    Selaku hamba yang mempercayai kebesaran dan keagunganNya banyakkanlah beramal dan berdoalah dengan rasa harap dan takut, iaitu mengharap keberkatan dan rahmatNya dan merasa takut dengan ditoloknya permohonan tersebut. Berdoalah dengan memenuhi syarat dan adabnya agar doa kita itu dikabulkan Allah SWT. Hindarilah perasaan putus asa yang menyebabkan kita menjadi insan yang merugi dan akan tergolong ke dalam orang-orang ingkar.Wallahu A'lam.
Sila rujuk buku:
1. Penawar Jiwa DN 049

^ Kembali ke atas ^

 

709. Solat Ketika Waktu Kerja
Soalan:
Apakah hukumnya kita bersembahyang(zohor) di waktu pejabat.Sedangkan kita punyai waktu untuk mengerjakannya pada masa rehat iaitu 12.45 hingga 2.00 petang? Apakah sah sembahyang kita itu?

Suhaimie, Dungun
Jawapan:
    Di dalam Islam bekerja juga dinilai sebagai ibadah, sebab didalam bekerja itu seseorang bertujuan memenuhi tanggungjawabnya terhadap dirinya sendiri keluarganya dan yang lainnya. Kerja sebagai ibadah jika pekerjaan yang kita lakukan itu tidak bertentangan dengan agama, dan hendaklah diniatkan untuk memenuhi keperluan hidup kerana Allah semata dan demi untuk mengabdi kepadanya. Disamping itu kerja dinilai sebagai ibadah jika kita bekerja sesuai dengan ketentuan dan persetujuan yang telah ditentukan antara majikan dan pekerja. Jika pekerja mensia-siakan waktu bekerjanya sedangkan dia digaji menurut yang ditentukan, maka jika ia menggunakan waktu tersebut untuk keperluan selain yang telah dipersetujui maka hukumnya berdosa. Dikhuatirkan rezeki yang kita perolehi tidak setimpal dengan kerja yang kita laksanakan, akhirnya tergolong rezeki yang haram.

    Islam menganjurkan agar kita menyegerakan mengerjakan solat. Maka adalah lebih baik setelah masuk waktu solat segera mengerjakannya. Walaupun solat yang kita kerjakan dengan menggunakan waktu bekerja hukumnya sah, namun menggunkan waktu bekerja bererti mengabaikan tanggungjawab kita.

^ Kembali ke atas ^

 

710. Cara Melunas Hutang
Soalan:
Saya pernah mempunyai hutang yang sudah lama belum terbayar dan jumlahnya sudah saya lupa, disebabkan karena orang tempat saya meminjam itu saya tak pernah ketemu lagi, sebab sudah puluhan tahun, tetapi sampai saat ini saya masih selalu terbebani oleh hutang tersebut. Apakah hutang saya boleh dikata lunas, kalau misalnya saya memasukkan uang kemesjid dengan niat untuk hutang saya tersebut?

Rosmiati, Ujung Pandang
Jawapan:
    Jika kita berhutang dengan seseorang telah terlalu lama,  bahkan orang tempat kita berhutang tersebut tidak dapat ditemui, maka kita bolehlah pengumaman dengan melalui media (jika sanggup melakukanna). Jika dengan cara mencarinya tidak ditemui, begitu juga ahli warisnya tidak ada, setelah diumumkan namun tidak ada apa-apa reaksi, maka bolehlah anda sedekahkan wang tersebut kepada orang yang berhak menerimanya atas nama orang tersebut. Semoga denga cara itu, Allah mudahkan urusan kita. Wallahu A'lam.
Sila rujuk buku:
1. Panduan Mecari Nafkah Hidup DN 062

^ Kembali ke atas ^

 


All Right Reserved Darul Nu'man © EMAG 1991