Profil
Iklan Darul Nu'man
Laman Utama
Laman UtamaPANAS!!!Senarai Buku Terbitan DNAWAS!!!Borang PesananJemput LayarSampaikan Temanku

Undur
Laman 62
Maju
611. Tanda-Tanda Amalan di Terima Allah SWT
Soalan:
Apakah tanda-tanda yang amal ibadah kita di terima oleh ALLAH SWT?
Nazri, Sunway
Jawapan:
    Begitu besar rahmat dan kasih sayang Allah kepada umat manusia di dunia ini, sehingga tidak ada satu makhlukpun yang mampu menghitung besarnya rahmat Allah tersebut. Rahmat Allah yang luas itu diberikan kepada siapa yang dikehendakiNya tidak kira kepada orang yang beriman ataupun kepada orang ingkar. Dalam beribadah kepada Allah seseorang akan merasakan nikmat kedamaian dalam jiwanya jika ibadahnya diterima oleh Allah. Hati mereka menjadi tenteram bahkan segala kativiti harian yang dilakukannya diserahkan kepada ketentuan dan takdir Allah, setelah itu apapun ganjaran yang diterimanya diterima dengan perasaan redha.

    Jika perasaan redha dan sabar telah menyatu dalam kehidupan dan keperibadian seseorang maka ini suatu bukti bahawa amalan yang dilakukannya itu diterima oleh Allah. Tetapi jika mereka tergolong orang yang taat mengerjakan ibadah,namun pada masa yang sama masih melakukan pekerjaan mungkar dan terkutuk, sehingga tidak meninggalkan bekas dalam hati dan kehidupannya. ini membuktikan bahawa amalannya tidak diterima oleh Allah.

    Contoh lain, umpamanya dalam ibadah solat dengan tegas Allah jelaskan "bahawa solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar". Namun dalam praktiknya ramai orang mengerjakan solat tetapi pada masa yang sama melakukan kemungkaran, ini suatu bukti bahawa tanda-tanda amalan solatnya tidak diterima oleh Allah. Kerana ibadah solatnya tidak memenuhi ketentuan yang telah digariskan oleh Allah SWT tadi. Begitu juga dalam ibadah haji, jika seseorang setelah kembalinya daripada tanah suci memiliki keperibadian yang mulia dan berubah dari kurang baik kepada yang lebih baik, ini membuktikan bahawa hajinya tergolong haji yang mabrur ertinya hajinya diterima oleh Allah. Tetapi ada juga sekembalinya dari tanah suci keperibdiannya lebih jahil daripada sebelumnya, ini membuktikan bahawa hajinya adalah haji mardud ertinya amalannya ditolak oleh Allah SWT.

    Puncak dari diterimanya amalan seseorang itu adalah hati mereka menjadi aman dan tenteram dengan mengingat Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya: "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah hanya dengan mengingat Allah lah hati menjadi tenteram". (Ar ra'd ayat 28) Wallahu A'lam.
Sila rujuk buku-buku berikut:
1. 170 Amalan Yang Diterima DN 260
2. 170 Amalan Yang Ditolak DN 261
3. Penawar Jiwa DN 049

^ Kembali ke atas ^

 

612. Menggunakan Wang Sedekah yang Diberikan kepada Si Mati
Soalan:
Saya mempunyai seorang anak saudara berumur 16 tahun yang telah meninggal dunia pada tahun lepas kerana kemalangan motosikal. Kami ada menerima sekeping cek bernilai RM 5,000.00 dari pihak sekolah untuk Allahyarham. Ibu saya ingin gunakan duit itu untuk membuat upah Haji untuk allahyarham, membeli batu nisan, membeli Al-Quran untuk disedekahkan kepada masjid-masjid dan untuk membuat kenduri Arwah. Masalah saya ialah apakah cara yang paling baik untuk menggunakan duit itu untuk kebaikan Allahyarham?
Siti Fatimah, Wangsa Maju
Jawapan:
    Jika ahli waris menerima sedekah wang dari pihak tertentu untuk mayat, maka gunakanlah wang itu untuk kemaslahatan orang yang meninggal dunia tersebut. Seperti menyediakan perlengkapan bagi si mayat bermula dari memandikan hinggalah mengebumikannya. Jika kesemua perkara yang wajib bagi si mayat ini telah dikerjakan maka gunakanlah wang tersebut untuk kebaikannya seperti mensedekahkan wang tersebut bagi pihak si mayat, boleh juga melaksanakan seperti niat anda di atas, untuk mengupah orang mengerjakan haji bagi si mayat, jika mayat telah baligh. Wallahu A'lam.

^ Kembali ke atas ^

 

613. Jimak Waktu Siang Bulan Ramadhan
Soalan:
Saya terdapat kemusykilan persetubuhan (suami/isteri) di bulan puasa di siang hari: Ada pendapat mengatakan dibenarkan (jika terlalu tak tahan) melakukannya setelah berbuka puasa dahulu, tidak dikenakan kifarat. Dan ada pula pendapat mengatakan walau apapun keadaan seseorang dilarang sama sekali melakukannya samaada berbuka dahulu atau tidak tetap akan dikenakan kifarat?
resah, KLumpur
Jawapan:
    Apabila seseorang membatalkan puasanya dengan bersetubuh, wajib atasnya membayar kaffarah yakni memerdekakan sorang hamba, jika tidak sanggup maka hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak sanggup juga hendaklah memberi makan kepada 60 orang miskin. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Abu Hurairah berakata;
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu berkata: "Saya telah binasa ya Rasulallah".
Rasulullah SAW bertanya: "Apa yang membinasakan engkau ?".
Dia menjawab: "Saya telah menjimak isteri saya di bulan Ramadhan".
Maka Rasulullah SAW bertanya: "Apakah engkau sanggup berpuasa dua bulan berturut-turut ?".
Dia menjawab: "Tidak".
Rasulullah SAW bertanya lagi: "Apakah engkau sanggup memberi makan 60 orang miskin ?".
Dia menjawab: "Tidak".
Kemudian dia duduk di majlis Nabi dan dibawalah kepada Nabi suatu bekas yang berisi 17 gantang kurma. Bersabda Nabi kepadanya: "Sedekahkanlah kurma ini".
Orang itu bertanya: "Apa kepada orang yang lebih miskin daripada kami. Tidak ada di antara dua pinggir kota Madinah yang lebih berhajat daripada kami".
Maka tersenyumlah Nabi hingga nampaklah geraham baginda dan bersabdalah Rasulullah SAW: "Pulanglah dan berikan kurma ini kepada keluargamu". (Riwayat Jamaah)

    Hadis ini menyatakan bahawa diwajibkan kaffarah atas orang yang merosakkan puasanya dengan melakukan jimak. Menurut Imam Ahmad dan sebahagian pengikut mazhab Maliki, wajib juga kaffarah atas orang yang lupa bahawa dia berpuasa. Sebab Rasulullah SAW setelah mendengar pengaduan Salamah Ibn Sakhar itu baginda tidak meminta penjelasan apakah ia melakukan dengan terlupa ataupun dengan sengaja.
Sila rujuk buku:
1. Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN 054

^ Kembali ke atas ^

 

614. Hukum Meminum Guiness Malta
Soalan:
Apakah hukum minuman jenama Guiness Malta?
Risal, KLumpur
Jawapan:
    Biasanya setiap minuman di dalam tin disenaraikan kandungan yang dimasukkan ke dalam minuman tersebut. Jika ada unsur alkohol sedikit ataupun banyak tetap haram. Untuk lebih jelas bacalah dahulu senarai kandungan minuman tersebut sebelum membelinya. Wallahu A'lam.

^ Kembali ke atas ^

 

615. Wali Bagi Anak Luar Nikah
Soalan:

Bolehkah seorang ayah menjadi wali bagi anak perempuannya yang luar nikah?
Samsani, Muar
Jawapan:
    Bagi anak-anak yang lahir hasil dari perzinaan yang mana pasangan yang berzina itu tidak melangsungkan perkahwinan selepas itu, ia tidak boleh di "bin" kan baik kepada bapa yang menzinai ibunya mahupun dengan bin Abdullah sebaiknya ia dibinkan kepada ibunya sahaja.

    Jika sesuatu pasangan melakukan zina, kemudian berkahwin setelah berlalu enam bulan dua lahzat, isterinya melahirkan anak maka anak itu boleh di "bin" kan kepada bapanya. Jika isterinya melahirkan anak kurang dari tempoh enam bulan dua lahzat menurut mazhab Syafei anak tersebut tidak boleh di "bin" kan kepada bapa terlibat, sebaliknya hendaklah di "bin" kan kepada ibunya. Oleh kerana anak itu tidak boleh di "bin" kan kepada  bapanya disebabkan tidak sabit keturunan kerana lahir kurang dari tempoh yang telah ditetapkan oleh fuqahak As Syafei di atas, maka bapanya itu halal berkahwin dengannnya kerana ia tidak dikira sebagai anaknya.

    Dari keterangan di atas dapat diambil kesimpulan jika anak tersebut boleh di "bin" kan dengan bapanya lantaran kelahiran anaknya setelah berlalu tempoh enam bulan, maka bolehlah bapa tersebut menjadi wali bagi anak itu. Namun jika kurang dari tempoh tersebut maka tidak berhak ia menjadi wali terhadap wanita itu lantaran tidak ada apa-apa hubungan keturunan. Wallahu A'lam.
Sila rujuk buku:
1.
Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih DN 224

^ Kembali ke atas ^

616. Hukum Wanita Betindik Di Hidung
Soalan:
Apakah hukumnya saya bertindik di hidung .. saya masih menutup aurat dan saya bertindik di hidung sekadar suka-suka?
Mimi, KLumpur
Jawapan:
    Bagi sesetengah wanita di Arab bertindik di hidung adalah untuk mempercantikan diri. Jika tujuan menindik tersebut untuk dipersembahkan kepada suaminya maka hukumnya boleh (harus). Tetapi jika untuk dipamerkan di hadapan khalayak ramai, maka jelas hukumnya haram. Wallahu A'lam.

^ Kembali ke atas ^

 

617. Dihantui Dosa Silam (Zina)
Soalan:

Saya pernah berzina dengan kekasih saya dan saya telahpun bertaubat .. Alhamdullilah saya berjaya menghentikan perbuatan itu .. dan kami telah sama bertaubat dan menyesal atas pebuatan kami itu. Kekasih saya juga telah berjanji untuk mengahwini saya apa bila kami tamat belajar. Kami telah sama-sama berubah ke pada jalan yang benar, terutamanya bagi diri saya yang telah tidak ada dara ini. Saya telah pun berusaha untuk kembali ke jalan Allah dengan sembahyang 5 waktu,  puasa sunat dan selalu memanjatkan doa saya agar diampunkan dosa dan saya yakin Tuhan maha pengampun kerana saya betul-betul telah bertaubat dan saya telah pun menunaikan sembahyang taubat untuk lebih yakin.

Masalahnya sekarang kadangkala saya akan teringat apa yang telah saya buat dengan kekasih saya di masa yang lepas (perbuatan seks) walaupun bukan dengan keinginan saya. Saya telah cuba untuk melupakan perkara itu semua tapi tak boleh. Masalah ini lebih ketara ketika saya hampir-hampir datang haid. Saya akan teringat kepada perbuatan saya. Kalau nak dikatakan nafsu, tidak bagi saya kerana saya tidak mau mengingatkan ia sebab saya tahu itu adalah dosa, tapi ia datang dengan sendiri. Kadang-kadang di waktu saya sedang menunaikan solat dan ini salah satu punca saya kurang khusyuk dalam menunaikan solat. Kadang-kadang saya rasa risau dengan diri saya, adakah ini juga akan di alami oleh orang yang telah berkahwin ? Maksud saya mereka akan terbayang-bayang pebuatan itu walaupun di luar waktunya. Saya harap sekiranya ustaz ada jalan penyelesaian harap bantulah saya kerana saya betul-betul ingin melupakan perkara itu. Dan kalau boleh saya ingin lebih kyusuk dalam solat saya . Yang terakhir apakah hukumnya sekiranya teringatkan pebuatan seks itu?

Aini, Sabah
Jawapan:
    Melakukan zina merupakan dosa besar, kerana banyak mengandungi berbagai kemudaratan bagi orang yang melakukannya. Di dalam perbuatan zina merupakan sebab pintu tersalurnya penyakit-penyakit yang sangat merbahaya. Zina juga menghancurkan institusi rumahtangga dan merosakkan nasab keturunan.Di dalam Al Quran secara tegas menyatakan larangan melakukan perbuatan yang terkutuk ini. Firman Allah SWT maksudnya: "Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan merupakan jalan yang buruk". (Al Israa' ayat 32)

    Perbuatan zina juga mengganggu ketenteraman jiwa, kerana fitrah insaniah seseorang menginginkan kebenaran sentiasa bersamanya, namun dengan melakukan zina fitrah tersebut telah tercalar yang menyebabkan lahirkan keresahan tersebut. Itulah sebabnya perbuatan ini sangat-sangat dilarang melakukannya. Jika telah terlanjur melakukan perbuatan dosa besar ini, segeralah bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuhah) iaitu taubat yang tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk tersebut. Cara yang paling terbaik untuk mengatasi keresahan jiwa ini adalah dengan segera menikah, kerana di dalam pernikahan tersimpan kedamaian dan keharmonian.

    Jika anda selalu dibayang-bayangi oleh peristiwa silam, itu merupakan perkara biasa dan lumrah dialami oleh setiap orang dan membuktikan bahawa anda tergolong gadis yang normal. Walaupun begitu jangan jadikan kenormalan atau fitrah tersebut membenarkan perkara yang terkutuk dilakukan. Jika pernikahan tidak dapat dilakukan dengan kadar yang segera disebabkan faktor belajar, orang tua dan sebagainya, usahakanlah mengisi masa kosong anda dengan aktiviti-aktiviti yang dapat membawa fikiran dan minda anda ikut serta. Umpamanya, membaca, menulis artikel dan sebagainya, semuanya ini sangat membantu untuk mengalihkan perhatian anda daripada mengingati perkara yang merangsang nafsu anda.

    Mengingati atau teringat perbuatan seks (zina) ketika solat mengganggu kekhusyukan solat. Jika ia hanya sekedar lintasan yang bukan dengan sengaja mendatangkannya, maka solat tetap sah,cuma kekhusyukan solat tersebut terganggu. Agar kehidupan anda merasa tenteram dan tidak dihantui oleh keresahan dan kebimbangan, maka perbanyaklah membaca Al Quran dan yakinlah dengan keampunan Allah, insya Allah gangguan jiwa tersebut akan dapat dihindari. Wallahu A'lam.
Sila rujuk buku-buku berikut:
1. Dosa-Dosa Besar DN 220
2. Ancaman Dari Langit dan Bumi DN 308

^ Kembali ke atas ^

 

618. Pakaian di dalam Solat Menurut Syarak
Soalan:

Kebanyakan wanita menanggalkan seluar atau kain yang dipakainya bersama seluar dalamnya sebelum menunaikan solat dengan alasan ragu-ragu akan kesucian seluar/kain yang dipakai itu .Tapi keadaan ini menimbulkan kemusykilan saya yang mana saya sendiri melakukan perkara sedemikan rupa setiap kali saya ingin solat . Yang saya musykilkan bagaimanakah keadaanya solat itu sekiranya bayang-bayang kaki itu kelihatan kerana kebanyakan kain telekung yang diperbuat dari kain cotton itu memang jarang dan sekiranya tidak memakai kain/seluar di dalamnya memang akan nampaklah bayang-bayang kaki. Ini juga sama dengan keadaan batang leher kita. Adakah sah sembahyang kita sekiranya sekiranya nampak bayang-bayang auratnya ?

Salmah, Kluang
Jawapan:
    Pakaian dalam solat adalah menutup seluruh aurat bagi wanita. Ertinya pakaian mereka tidak hanya menutup bahagian-bahagian tertentu sedangkan bahagian yang lain terbuka. Ramai kalangan wanita zaman moden ini mereka berpakaian tetapi  sebenar telanjang disebabkan pakaian tersebut mengikut bentuk tubuh ataupun kain yang digunakan jarang sehingga nampak kulit dan aurat mereka. Allah SWT berfirman maksudnya: "Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat". (Al A'raaf ayat 26)

    Jika telekung yang digunakan untuk solat itu jarang, sehingga menampakkan aurat atau anggota tubuh maka sudah jelaslah solat yang dikerjakan tersebut tidak sah, kerana meninggalkan salah satu syarat sah solat. Usahakanlah menggunakan telekung yang pakaian yang benar-benar memenuhi ciri-ciri pakaian taqwa seperti yang disebut dalam ayat diatas, ertinya tidak menampakkan bentuk tubuh dan tidak nampak kulit atau aurat orang yang memakainya. Wallahu A'lam.

^ Kembali ke atas ^

 

619. Menunaikan Nazar Yang Terlupa
Soalan:
Saya merasa telah membuat satu nazar tetapi tidak pasti samada ianya telah saya tunaikan atau belum kerana sudah terlupa. Adakah dengan ini iaitu tidak menunaikan nazar yang terlupa mengakibatkan segala masaalah kehidupan sekarang?

Siti Aisah, Batu Pahat
Jawapan:
    Menunaikan nazar adalah wajib selagi nasar tersebut tidak bertentangan dengan kehendak syarak. Maka tidak wajib menunaikan nazar yang mengandungi kederhakaan terhadap hukum syarak atau kepada Allah SWT. Jika kita terlupa menunaikan nazar yang pernah kita niatkan maka hendaklah mengerjakannya secepat yang mungkin setelah kita mengingatinya. Namun jika kita merasa ragu-ragu dan was-was tentang sesuatu yang kita nazarkan tersebut samada telah ditunaikan atau belum, adalah lebih baik anda memohon petunjuk daripada Allah dengan cara mengerjakan solat Istikharah. Ataupun lebih baik menunaikan nazar tersebut dengan demikian menenangkan fikiran anda.

    Jika pada hakikatnya anda telah menunaikan nazar tersebut maka menunaikannya sekali lagi lantara terlupa dan demi menghindarkan diri diri daripada dosa adalah lebih baik disamping memperoleh pahala kerana telah menunaikan nazar juga pahala menghindari was-was atau pelupa dikeranakan rayuan syaitan. Wallhu A'lam.

^ Kembali ke atas ^

 

620. Kedudukan Wuduk bagi Anak Angkat
Soalan:
Ibu saudara saya telah berumahtangga. Beliau tidak mempunyai cahayamata. Beliau telah mengambil anak angkat seramai 5 orang. Pada akhir bulan Februari 99 suami beliau telah meninggal dunia. Semasa jenazah tersebut telah dikafankan dan hendak dikebumikan, anak-anak angkat beliau telah di beri kesempatan untuk mencium buat kali terakhir. Apakah hukum air sembahyang anak-anak tersebut?

Haida, KLumpur
Jawapan:
    Tidak harus kepada seseorang yang mengambil anak angkat menghubungkan keturunan anak itu dengan keturunannya dan memberikan hak yang sama kepada anak kandungnya sendiri. Rasulullah SAW juga mempunyai anak angkat Zaid bin Harithah, namun setelah zaid bercerai dengan isterinya Zainab Binti Jahsyi, Allah SWT memerintahkan kepada Rasulullah SAW mengahwini bekas isteri anak angkatnya itu. Perintah Allah ini meskipun berat rasanya baginda ingin menunaikannya, namun baginda laksanakan juga lantaran ingin melaksanakan hukum Allah.

    Jelaslah bahawa hak anak angkat itu tidak sama dengan hak anak kandung sendiri. Dengan demikian wuduk antara anak angkat dengan keluarga angkatnya tetap batal jika mereka berlainan jenis. Walaupun begitu jika perkara tersebut tersilap melakukannya tidak dikira berdosa. Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. (Segala yang kamu dakwakan) mengenai perkara-perkara yang tersebut itu adalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan ingatlah Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber "bin" kan kepada bapa-bapa mereka sendiri. Cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu dan seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

^ Kembali ke atas ^

 


All Right Reserved Darul Nu'man © EMAG 1991