Profil
Iklan Darul Nu'man
Laman Utama
Laman UtamaPANAS!!!Senarai Buku Terbitan DNAWAS!!!Borang PesananJemput LayarSampaikan Temanku

Undur
Laman 46
Maju
451. Berkasih Sayang Kerana Allah
Soalan:
Bagaimanakah bercinta dan berkasih sayang kerana Allah?
 Nik Fasdi, Tokyo
Jawapan:
    Banyak hadith yang meriwayatkan tentang keutamaan persaudaraan kerana Allah dan kedudukan yang tinggi bagi mereka yang menjalin persaudaraan kerana Allah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa yang menjalin persaudaraan kerana Allah maka Allah akan meninggikan darjatnya di dalam syurga, tidak condong suatu apapun dalam amalannya".     Berkata Abu Idris Al Khaulani kepada Muaz bin Jabal: "Sesungguhnya aku mencintai anda kerana Allah". Maka Muaz berkata: "Sampaikanlah berita gembira dan bergembiralah. Sesungguhnya aku telah mendengar daripada Rasulullah SAW bersabda: "Suatu kelompok manusia kelak akan memperoleh kursi di sekitar Arsy pada hari kiamat, wajah mereka bagaikan bulan purnama pada malam lailatul qadar, waktu itu manusia terkejut padahal mereka tidak merasa terkejut, dan manusia takut padahal mereka tidak merasa takut, mereka itu adalah Auliya Allah yang tidak pernah takut terhadap mereka (musuh-musuh Allah) dan tidak pernah merasa khuatir".
Kemudian aku (Muaz) bertanya: "Siapakah mereka itu ya Rasulullah ?"
Baginda menjawab: "Mereka adalah yang berkasih sayang kerana Allah". (Riwayat Ahmad dan Hakim)     Persaudaraan dan kasih sayang kerana Allah ini adalah didirikan kerana ingin menegakkan kalimah Allah dan meninggikan asma Allah. Mereka berjumpa kerana menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Mereka mengutamakan kesejahteraan kaum muslimin daripada dirinya sendiri, dan menjaga hubungan persaudaraan itu dengan akhlak yang mulia. Jika konsep persaudaraan kerana Allah ini dapat dilaksanakan oleh umat Islam seluruhnya maka bahagialah umat ini hingga akhir hayat.

    Dalam sebuah hadith diterangkan, sesungguhnya Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Allah SWT berfirmaan pada hari kiamat: "Dimana orang-orang yang menjalin rasa cinta kerana Aku ? Hari ini pada saat tidak ada lagi naungan apapun kecuali naungan-Ku, maka akan Aku naungi mereka di bawah naungan-Ku. Ada sebanyak tujuh kelompok dari mereka itu yang mendapat perlindungan Allah di saat tidak ada perlindungan lain pada hari itu kecuali perlindungan-Nya saja.
      Sebagaimana diriwayatkan Asy Syaikhani bahawa di antara yang tujuh kelompok itu adalah dua orang yang menjalin cinta kerana Allah, berkumpul kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah. (Ibnu Hibban dan Hakim dari Anas ra)
Sila rujuk buku:
1. Permata Idaman Mutiara Syurga 'Lelaki Soleh' DN 105

^ Kembali ke atas ^

 

452. Homoseksual dan Cara Mengatasinya
Soalan:
Masalah saya bagaimana yang terbaik untuk membantu menangani masalah sahabat baik saya yang melalukan HOMOSEKSUAL?
Nor, Skudai
Jawapan:
    Homoseksual iaitu hubungan seks antara lelaki dengan lelaki. Mengenai perkara ini Allah SWT berfirman maksudnya; "Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia, dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan oleh Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas". (Asy Syuraa ayat 165-166)  
    Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW ada dijelaskan: "Empat golongan yang pagi hari dalam kemurkaan Allah dan petang hari dalam kemurkaan Allah. Lalu ada yang bertanya; "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah ? Baginda menjawab; "Iaitu lelaki yang menyerupai perempuan, perempuan yang menyerupai lelaki, orang yang bersetubuh dengan binatang dan lelaki yang bersetubuh dengan lelaki (homoseks)". (Hadith riwayat Thabrani dan Baihaqi)     Homoseksual adalah perbuatan yang menyalahi fitrah, kerana sesungguhnya Allah menjadikan berahi yang normal itu adalah berahi antara lelaki dan perempuan. Maka perbuatan homoseks adalah sungguh-sungguh suatu keingkaran yang keji terhadap fitrah manusia dan keruntuhan akhlak yang sangat rendah.

    Homoseksual merupakan perbuatan keji yang dimurkai Allah. Sebagaimana yang dicontoh oleh Allah di dalam Al-Quran tentang kehancuran umat nabi Luth as disebabkan mengamalkan perbuatan homoseks. Begitu juga halnya jika perbuatan yang terkutuk ini dilakukan oleh umat zaman ini, maka kehancuran dan balasan yang hina akan diterimanya kelak.

Ada beberapa kaedah boleh kita gunakan dalam memberikan bimbingan kepada mereka yang mengamalkan perbuatan keji ini:
  1. Hendaklah seorang lelaki menjauhi bergaul dengan lelaki yang bertingkah laku seperti wanita atau bergaul dengan pondan.

2. Menjelaskan bahawa perbuatan homoseks merupakan perbuatan keji yang dikutuk oleh Allah dan akan menerima balasan yang pedih. Jika orang yang mengamalkan perbuatan ini, faham bahawa balasannya sangat berat, maka ia akan segera bertaubat kepada Allah.

3. Mengerjakan amalan wajib seperti solat, puasa dan lainnya dengan ikhlas dan teratur.

4. Sering melakukan puasa-puasa sunat, agar nafsu dapat dikendalikan dan dapat dikawal.

^ Kembali ke atas ^

 

453. Berguru dengan Syaitan
Soalan:
Benarkah selagi kita belum menyertai jamaah atau usrah dimana ada seorang tok guru yang boleh menegur dan mengajar kita, selagi itu kita berguru dengan syaitan? Walaupun kita telah mengikuti kelas pengajian di masjid-masjid dan sering belajar melalui buku dan juga melalui internet. Bolehkah juga saya menganggap ustaz-ustaz yang mengajar di masjid-masjid sebagai tok guru saya, walaupun mungkin dia tidak mengenali saya?
Ibnuas, KL
Jawapan:
    Mendengar ceramah (majlis ilmu) yang di adakan di masjid-masjid ataupun di surau-surau yang disampaikan oleh ustaz juga sama peranannya dengan tok guru. Begitu juga halnya  dengan membaca buku-buku agama bersumber dengan al Quran dan hadith yang ditulis oleh ulama atau tok guru ataupun ustaz yang tidak membawa kepada kesesatan, ianya boleh dijadikan sebagai rujukan.
 
    Namun jika tidak faham rujuklah kepada tok guru atau ustaz tertentu (sebaik-baiknya yang mursyid). Jika belajar melalui ustaz atau buku yang tidak berdasarkan Al Quran dan sunnah, menyeleweng dari ketentuan syarak maka sudah jelas kita berguru dan merujuk dengan syaitan. Wallahu a'lam.

^ Kembali ke atas ^

 

454. Gusi Berdarah
Soalan:
Saya mengalami masalah gusi mudah berdarah. Sehinggakan jika saya berkumur-kumur pun boleh menyebabkan pendarahan. Setelah mengambil wuduk dan saya dapati gigi saya berdarah, perlukah saya mengulanginya kembali atau cukup dengan saya berkumur-kumur sahaja?

Ibnuas, KL
Jawapan:
    Memadailah dengan berkumur-kumur setelah itu kerjakanlah solat.

^ Kembali ke atas ^

 

455. Bekerja di Farmasi
Soalan:
Sebagai ahli farmasi, sering didatangi pembeli yang ingin membeli ubat seperti perancang keluarga dan ubat yang boleh menggugurkan kandungan. Apakah berdosa saya menjual akan ubat-ubat tersebut ?

Ibnuas, KL
Jawapan:
    Sebagai sebuah farmasi maka perlulah menyediakan berbagai ubatan yang dapat dibeli oleh para pengguna. Sedangkan syarat membolehkan atau melarang untuk menggunakan ubat-ubat tersebut tergantung pada pihak-pihak yang ditunjuk seperti para ulama, doktor dan sebagainya.

    Jika pembeli berhajat ingin membeli ubat menggugurkan kandungan, mungkin ketika itu para ulama membenarkannya lantaran pembeli dalam keadaan darurat (bahaya) terpaksa menggugurkan kandungannya demi keselamatan ibu yang mengandung. Begitu juga ubat-ubat yang lain. Jadi menjual ubat-ubat tersebut di atas hukumnya harus atau dibolehkan untuk kemaslahatan ummah.

^ Kembali ke atas ^

 

456. Pengertian 'Tiada Paksaan Dalam Islam'
Soalan:
Islam meletakkan hukum bunuh kepada umatnya yang tidak mahu kembali kepada Islam setelah murtad. Di dalam surah Al Baqarah ayat 156 ( jika tidah salah ) yang bermaksud: Sesungguhnya tiada paksaan dalam agama. Jadi persoalannya di sini, mengapa Islam mengatakan bahawa tidak ada paksaan dalam agama sedangkan apabila umatnya keluar dari Islam dan memeluk agama lain dihukumkan hukuman bunuh jika tidak mahu kembali kepada Islam setelah murtad? Saya mengalami sedikit kesukaran untuk menjawab soalan tersebut yang pernah diutarakan oleh seorang pelajar non-muslim. Jadi tolong berikan hujah-hujah yang berkesan dan lengkap untuk menjawab persoalan pelajar non-muslim tersebut.

Nor, Skudai
Jawapan:
    Memang diakui dalam Islam tidak ada paksaan dalam beragama. Seseorang bukan Islam tidak boleh dipaksa dengan sewenang-wenangnya supaya memeluk Islam. Sepanjang sejarahnya Islam tidak pernah memaksa seseorang memeluk agamanya secara kekerasan. Apa yang berlaku ialah ramai golongan yang bukan Islam memeluk Islam secara sukarela setelah melihat kebaikan agama Islam dan kesesuaiannya dengan fitrah semula jadi mereka. Tidak kurang juga yang memeluk Islam setelah berpuashati dengan kajian yang mereka lakukan.

    Pelaksanaan hukum murtad kepada orang yang murtad sebenarnya tidak ada sangkut pautnya dengan konsep tidak ada paksaan dalam agama. Ini kerana seseorang yang bukan Islam tidak boleh dipaksa menerima Islam. Mereka bebas memilih agama yang mereka ingin anuti. Bagaimanapun setelah mereka memilih Islam, dengan sendirinya mereka tertakluk dengan undang-undang dan peraturan yang ada dalam agama Islam. Jika mereka melakukan kesilapan, mereka akan dihukum berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada dalam agama Islam. Islam ada maruahnya tersendiri. Apabila maruahnya telah dicabul, maka pencabulnya berhak mendapat hukuman setimpal menurut undang-undang Islam.

    Kedudukannya tak ubah seperti seorang murid yang baru memasuki alam persekolahan. Sekolah yang dimasukinya mempunyai peraturan sendiri. Jika murid-muridnya melanggar disiplin sekolah maka pihak sekolah berhak melaksanakan hukuman ke atas murid yang melanggar peraturan itu dan perbuatan pihak sekolah ini tidak boleh dinyatakan sebagai melanggar kebebasan murid berkenaan. Jika seseorang murid boleh berbuat apa sahaja disekolah, boleh menampar dan menumbuk kawan-kawannya sendiri, malah boleh membunuh mereka dengan mudah, jelaslah sekolah berkenaan berkenaan tidak ada maruah diri dan tidak ada disiplin.

    Tidak ada seorang yang berakal waras dan sihat yang ada di muka bumi ini sanggup mengatakan menguatkuasakan undang-undang bermakna menyekat kebebasan seseorang. Kebebasan murid berkenaan berbuat demikian akan menimbulkan kemusnahan kepada sekolah berkenaan dan akan menjejaskan nama baiknya sendiri. Andaikata menguatkuasakan undang-undang itu dikatakan menyekat kebebasan, sudah pasti menangkap para perompak dikatakan menyekat kebebasan perompak itu sendiri untuk menjalankan aktivitinya.

    Dalam dunia hari ini Allah SWT menciptakan alam cakerawala dengan peraturannya sendiri. Bulan bebas berputar, begitu juga dengan matahari, namun putaran bulan dan juga matahari adalah di atas paksi masing-masing sesuai sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Andaikata Allah SWT membiarkan matahari bergerak bebas tanpa undang-undang yang mengawalnya, sudah pasti akan mendatangkan kemudaratan yang cukup besar kepada alam maya ini.

    Sehubungan dengan itu Islam juga mempunyai peraturan dan maruah serta kehebatannya tersendiri. Jika seseorang boleh saja memeluk dan keluar dari Islam dengan mudah, sudah pasti mencemarkan nama baik Islam itu sendiri, kerana itu yang terlibat berhak menerima hukuman-hukuman yang setimpal termasuklah hukuman hudud kerana murtad.

    Hukuman ini tidak bertentangan dengan konsep bebas memilih agama. Tambahan pula Islam adalah satu agama yang sudah lengkap merangkumi soal-soal hubungan dengan Allah, hubungan sesama makhluk, merangkumi persoalan ibadat, munakahat, muamalat, jinayat, siyasah dan hubungan antarabangsa. Tidak ada satu agamapun di dunia ini yang mana syariatnya begitu syumul seperti Islam. Memilih agama lain menunjukkan pemilihnya tidak menggunakan akalnya sesuai dengan fitrah semula jadinya sendiri.

    Satu perkara lagi konsep kebebasan itu juga perlu difahami. Apa yang didakwa oleh orang-orang barat sebagai kebebasan mutlak itu sebenarnya tidak tepat dan tidak berlaku, kerana mereka masih juga terikat dengan peraturan yang mereka buat sendiri. Kalau seseorang itu pergi ke pejabat pos untuk membayar bil elektrik, tiba-tiba ia melihat orang ramai sedang berbaris panjang menunggu giliran masing-masing untuk membayar bil-bil eletrik dan bil-bil air masing-masing, lantas kita terus ke kaunter bayaran tanpa mengikut giliran, atas nama kebebasan, sudah pasti kita akan dimarahi oleh mereka yang sedang berbaris panjang itu. Ini menunjukkan kita tidak mempunyai kebebasan yang mutlak, malah kebebasan kita terikat dengan peraturan yang dibuat.

    Kalau dinilai atas nama kebebasan, maka seseorang itu boleh merogol isteri orang yang lalu lalang dihadapan suaminya dan suami tidak berhak melarangnya. Inilah yang dikatakan kebebasan sebenar, tetapi apa yang kita lihat ialah suami kepada wanita berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang merogol isterinya dan boleh jadi orang ramai yang menyaksikan kejadian itu akan turut memukulnya sehingga pengsan.

    Jadilah jelaslah kepada kita melaksanakan hukum hudud murtad tidak dikatakan  melanggar kebebasan seseorang, kerana kebebasan seseorang itu masih terikat dengan peraturan. Sebaliknya melaksanakan hukum hudud murtad tidak lebih dari menguatkuasakan undang-undang yang terdapat dalam agama Islam itu sendiri.
(Ayat yang dimaksudkan di dalam soalan adalah ayat 256, Surah Al Baqarah).

^ Kembali ke atas ^

 

457. Perbezaan Undang-undang Manusia dan Hukum Allah
Soalan:
1. Apakah peraturan dan undang-undang manusia diatas muka bumi ini?
2. Apakah kelebihan dan kelemahan-kelemahan undang-undang manusia?
3. Apakah perbezaan undang-undang manusia dengan undang-undang Islam?

Azimin, Johor
Jawapan:
  1. Peraturan dan undang-undang manusia
     Peraturan-peraturan dan undang-undang ciptaan manusia membawa maksud peraturan ciptaan manusia, atau dengan kata lain undang-undang yang dicipta oleh manusia bagi mengawal perlakuan manusia itu sendiri. Pada hari ini pun, kita lihat banyak peraturan ciptaan manusia yang muncul. Peraturan lalu lintas, peraturan tanah, peraturan pejabat, peraturan pentadbiran dan lain-lain.

    Peraturan ciptaan manusia ini diterima Islam apabila ia tidak bercanggah dengan peraturan yang terdapat dalam Islam seperti peraturan yang tidak bercanggah dengan pelaksanaan hukum hudud dan hukum qisas. Sebaliknya peraturan yang melibat hukum-hukum takzir iaitu hukum yang dilihat sesuai oleh pihak berkuasa untuk mengawal perlakuan manusia adalah dibenarkan selagi tidak mendatangkan kerosakan kepada manusia itu sendiri seperti kerosakan kepada agama, pemikiran, keyakinan, kehormatan diri, keturunan dan tubuh badan.
 
  2. Kelebihan dan kelemahan undang-undang manusia
      Peraturan yang dicipta oleh manusia tetap mempunyai kebaikan dan keburukannya. Antaranya menimbulkan rasa bangga manusia dengan peraturan yang diciptakan oleh mereka sendiri. Mengatur kehidupan manusia secara lebih sistematik dan memperlihatkan akal manusia dalam mengendalikan urusan yang bersangkutan dengan manusia itu sendiri.

    Antara keburukannya pula ialah peraturan manusia tidak suci sebagaimana peraturan yang ditetapkan oleh Allah. Peraturan yang diciptakan oleh manusia bersifat sementara waktu dan hanya sesuai untuk masa-masa tertentu sahaja. Peraturan manusia sentiasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Peraturan yang dibuat oleh manusia kurang dihormati oleh manusia yang lebih tinggi dari orang yang membuat peraturan itu sendiri. Peraturan yang dibuat oleh manusia tidak dapat mendidik rohani manusia. Contohnya peraturan lalu lintas: Seseorang yang disaman oleh pihak polis kerana memandu kenderaan tanpa lesen umpamanya, walaupun ia pandai memandu, akan membayar denda yang dikenakan ke atasnya tetapi perasaan tidak puas hatinya tetap wujud dalam sanubarinya.
 
  3. Perbezaan undang-undang manusia dengan undang-undang Islam
      Kelebihan undang-undang dan peraturan ciptaan Allah SWT berbanding undang-undang dan peraturan ciptaan manusia antaranya adalah, undang-undang ciptaan Ilahi adalah bersifat suci, kerana ia datang dari tuhan yang
bersifat dengan sifat kesempurnaan. Peraturan ciptaan Ilahi seperti hukum hudud dan qisas bersifat kekal sehingga ke hari kiamat tidak seorangpun berhak mengelakkan diri dari menghukum berdasarkan hukum Islam apabila ada seseorang yang melakukan pembunuhan, jika telah sabit segala buktinya.

    Hukum bunuh balas tetap dikenakan ke atasnya jika segala bukti tadi telah sabit. Peraturan ciptaan Ilahi mendatangkan rasa gerun di dalam hati, di mana perasaan gerun ini adalah merupakan satu bentuk pendidikan kepada pelaku kemungkaran dan orang-orang yang menyaksikan pelaku kemungkaran itu dijalankan hukuman ke atasnya. Hukuman Ilahi menggugurkan dosa pelakunya. Dengan lain perkataan seseorang yang melakukan perzinaan, kemudian dilaksanakan hukum-hukum hudud zina ke atasnya, maka dosa-dosanya dihapuskan dan ia akan dibangkitkan di akhirat kelak tanpa dosa zina lagi, jika ia bertaubat sebelum ia sempat meninggal. Inilah antara puluhan keistimewaan undang-undang dan peraturan Ilahi yang terdapat dalam Islam.

^ Kembali ke atas ^

 

458. Petanda Ganjil ketika Pengebumian Mayat
Soalan:
Adakah sebarang petanda tentang apa yang berlaku semasa kerja menggali lubang kubur, iaitu berkaitan dengan keadaan si mati ketika hidupnya. Jika ada, bolehkah diberikan apakah petanda bagi keadaan lubang kubur yang berair dan berbatu walaupun diketahui tempat tersebut memang berair ataupun berbatu? Satu lagi, apakah petanda bagi keadaan kubur yang berbusut?

Azman, Kota Kinabalu
Jawapan:
    Memang banyak kita mendengar daripada cerita-cerita seseorang di tengah masyarakat ataupun memang kita melihat sendiri tentang peristiwa-peristiwa ganjil ketika mayat dikebumikan. Kadangkala kita mendengar kubur si mayat dipenuhi air padahal bukan musim hujan atau kawasan tersebut biasa kering dan berbagai cerita yang lain. Mungkin peristiwa-peristiwa seperti ini hanya bersifat kebetulan semata disebabkan faktor iklim dan tanah.

    Namun kadangkala peristiwa tersebut dihubungkaitkan dengan si mayat oleh orang yang melihatnya. Jika kita tidak berhati-hati dikhuatirkan akan menimbulkan fitnah sehingga orang yang menyebut-nyebut perkara itu menanggung dosa. Mungkin juga peristiwa tersebut sebagai iktibar yang ditunjukkan oleh Allah bagi orang yang hidup, dan tidaklah boleh membesar-besarkannya.

    Begitu juga dengan tanda-tanda yang lain seperti kubur berbusut, kubur berlubang (jerlus) dan sebagainya, janganlah ditafsir dengan perkara yang mengandungi khurafat sehingga merosakkan iman kita.

^ Kembali ke atas ^

 

459. Pengertian 'Al-Quran Imamku, Baitullah Kiblatku'
Soalan:
Dalam bacaan talkin ada menyebutkan yang Al-Quran imamku, Baitullah kiblatku. Soalan saya apakah maksud ayat tersebut?

Azman, K Kinabalu
Jawapan:
    Makna "Al Quran imamku" ertinya bahawa Al Quran yang penuh dengan bimbingan kehidupan yang merupakan panduan hidup bagi umat seluruh alam, serta tidak mengambil ketetapan hukum dan panduan hidup melainkan dengan berpandukan Al Quran.

    Sedangkan makna "Baitullah kiblatku" ertinya bahawa Baitullah yang merupakan rumah Allah, adalah tempat ibadah yang mulia dan suci. Walau apapun bangsa kita, tanah kelahiran kita mahupun di mana kita berada, di waktu solat kita tetap akan menuju arah yang satu, ke Baitullah. Ini menunjukkan kesatuan hati ummah seluruh alam, dan apabila hati kita disatukan maka Islam akan teguh.

^ Kembali ke atas ^

 

460. Amalan Menghindari Gangguan (Guna-guna)
Soalan:
Apakah dia tiga wiritan atau amalan apa yang dapat menjadikan kekuatan buat diri kita agar kebal dari guna-guna/santet dan sebagainya?
Iwan, Jakarta
Jawapan:
    Bagi menghindari gangguan ilmu sihir ataupun guna-guna, amalkanlah membaca ayat Kursi, surah Al Falaq dan surah An Nas serta berdoa memohon perlindungan daripada Allah SWT dengan penuh keyakinan. Insya Allah kita akan terhindar dari gangguan makhluk yang durjana.

^ Kembali ke atas ^

 


All Right Reserved Darul Nu'man © EMAG 1991