Profil
Iklan Darul Nu'man
Laman Utama
Laman UtamaPANAS!!!Senarai Buku Terbitan DNAWAS!!!Borang PesananJemput LayarSampaikan Temanku

Undur
Laman 35
Maju
341. Masalah Bencana Alam
Soalan:
Semenjak akhir-akhir ini, pelbagai masalah yang telah dan bakal melanda negara dan dunia termasuk bencana alam. Oleh yang demikian apakah kaitan peristiwa -peristiwa yang berlaku ini dengan penjelasan Allah dalam Al Quran mengenai hari kiamat?
Azinuddin, UNITEN
Jawapan:
    Tentang bencana dunia yang menimpa manusia kini ia berkait rapat dengan bala Allah s.w.t yang diturunkan kepada mereka kerana kemusnahan yang dilakukan oleh manusia sendiri. Ini berdasarkan firmanNya dalam surah Ar Rum ayat ke 41 yang bermaksud : "Telah berlaku kemusnahan di darat dan di lautan kerana perbuatan yang dilakukan oleh tangan tangan manusia".
      Ia sebagai peringatan kepada manusia agar mereka insaf terhadap perlakuan mereka sendiri. Kekerapan kejadian  bencana alam seperti gempa bumi, banjir, pembunuhan dan sebagainya juga merupakan tanda-tanda awal berlakunya kiamat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam Al Bukhari yang bermaksud : "Tidak berlaku kiamat sehinggalah banyak terjadi kejadian gempa bumi".
Sila rujuk buku:
1. Menunggu Kedatangan Imam Mahdi, Dajjal & Nabi Isa as. DN 189

^ Kembali ke atas ^

 

342. Hukum Bersentuh Lelaki dan Perempuan
Soalan:
Saya hanya ingin bertanya tentang hukum, bila seseorang yang sedang dalam keadaan berwudhu, kemudian disentuh seorang wanita. Apakah batal wudhunya atau tidak?
Heri Wiyanta, Jakarta
Jawapan:
    Mengikut mazhab Shafie, diantara perkara yang membatalkan wudhuk ialah bersentuh kulit diantara lelaki dan wanita  bukan mahram tanpa alas antara keduanya samada ia menimbulkan syahwat atau tidak, dan samada ia dilakukan dengan sengaja atau tidak melainkan kuku dan rambut berdasarkan nas Al Quran dari surah An Nisa' ayat ke 43 yang bermaksud: " Atau jika kamu menyentuh perempuan (bukan muhrim) kemudian kamu terputus bekalan air maka hendaklah kamu bertayammum..."  
    Adapun jika wanita bersentuh dengan wanita selain dari kemaluan maka tidak batal wudhuknya.
Sila rujuk buku:
1.
Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih DN 224

^ Kembali ke atas ^

 

343. Islam Agama Sejagat
Soalan:
Apakah maksud Islam agama sejagat?

David, Kajang
Jawapan:
    Maksud Islam agama sejagat ialah agama untuk seluruh manusia dan tidak terbatas kepada bangsa arab semata mata. Al Quran menjelaskan Rasulullah diutuskan untuk sekalian alam. Jika dilihat kepada dakwah baginda di peringkat awalnya dari segi tekniknya tertumpu kepada keluarga terdekat, setelah itu kepada perwakilan-perwakilan Arab yang datang menunaikan haji di Mekah.

    Setelah itu  Allah SWT memerintahkan baginda berhijrah ke Madinah, di sini Rasulullah menyebarkan dakwah dalam bentuk internasional, di mana orang-orang yang memeluk islam merangkumi bangsa-bangsa seluruh dunia. Bilal umpamanya adalah dari bangsa Habsyi sebagai mewakili benua Afrika, Suhaib ar-Rumi sebagai mewakili benua Eropah, dan Salman al-Farisi sebagai mewakili benua Asia.

    Dari kalangan bangsa Yahudi yang memeluk Islam ialah antaranya Abdullah bin Salam salah seorang tokoh besar dalam agama Yahudi. Dari kalangan penganut agama Kristian pula ialah Adi bin Hatim At-Tai, salah seorang tokoh Kristian terkenal pada masa itu. Rasulullah SAW juga menghantar surat kepada  maharaja Parsi, Rom, Mesir,Yaman dan Habsyah menyeru mereka kepada agama Islam. Kebanyakan daripada pemimpin negara ketika itu menyambut seruan Rasulullah untuk memeluk atau melaksanakan ajaran Islam, walaupun ada negara kuasa besar seperti Parsi cuba untuk menentang kemaraan Islam, namun ia mengalami kekalahan sehingga kerajaan Parsi tidak akan pernah wujud lagi.

    Setelah Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Madinah dan setelah menetapkan Madinah sebagai ibu negara pemerintahan Islam, maka Rasulullah mengirim para sahabat baginda ke seluruh pelosok dunia untuk menyampaikan ajaran Islam. Kebanyakan mereka menerima Islam dengan mudah kerana ajaran Islam itu sesuai dengan naluri atau fitrah kemanusiaan. Bahkan nilai-nilai ajaran Islam itu sangat agung dan tinggi serta sempurna dan menyempurnakan dari agama samawi yang pernah diturunkan Allah sebelumnya. Dengan demikian agama Islam diturunkan untuk seluruh umat manusia di dunia ini tidak mengira bentuk kulit, keturunan dan sebagainya.  
Sila rujuk buku:
1. Permasalahan Aqidah Tauhid DN 136

^ Kembali ke atas ^  

 

344. Makna Perkataan Islam
Soalan:
Apakah makna-makna yang sesuai bagi perkataan Islam?
David, Kajang
Jawapan:
    Makna-makna yang sesuai bagi perkataan Islam. Islam ialah antaranya Dinul Haq (agama yang benar), Dinul Rahmah (agama rahmat kepada seluruh manusia), Dinul Hanif (agama yang suci), Dinul Tasamuf (agama toleransi) dan lain-lain. Makna yang lebih khusus tentang perkataan Islam adalah, tunduk dan patuh kepada perintah Allah dan laranganNya tanpa bantahan. Dinamakan dengan agama Islam kerana ia mengajarkan kepatuhan kepada Allah dan tunduk kepada perintah-Nya tanpa membantah tersebut.  
Sila rujuk buku-buku berikut:
1. Permasalahan Aqidah Tauhid DN 136
2. Panduan Lengkap Fardhu Ain DN 052

^ Kembali ke atas ^

 

345. Muslim Seluruh Alam
Soalan:
Mengapa seluruh alam termasuk manusia dianggap muslim dari sudut fizikal?

David, Selangor
Jawapan:
    Manusia dan seluruh makhluk di alam ini dianggap sebagai muslim disudut fizikalnya kerana mereka dituntut supaya tunduk kepada segala perintah Allah. Allah SWT telah menurunkan syariatNya kepada manusia, dan manusia dikehendaki mematuhi syariat (tatacara kehidupan) ini, kerana ia bertindak sebagai undang-undang terbaik bagi mengawal tingkah-laku manusia itu sendiri.

    Binatang, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain juga adalah Islam berdasarkan ketaatan mereka kepada undang-undang yang Allah tetapkan  kepada mereka dan sesuai dengan alam mereka. Ikan contohnya telah ditetapkan oleh Allah SWT hidup di dalam air, kerana itu tidak pernah kita dengar adanya ikan yang berusaha hidup di atas daratan sebagaimana manusia dan haiwan lain yang hidup di daratan.

^ Kembali ke atas ^

 

346. Setiap Anak Dilahirkan Suci
Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dalam Hadis "Setiap anak dilahirkan suci bersih...."?

David, Kajang
Jawapan:
    Maksud hadis setiap anak dilahirkan suci bersih ialah ia dilahirkan dalam keadaan fitrah semula jadinya bersih dan belum ternoda oleh mana-mana unsur dosa. Dengan lain perkataan fitrah semulajadi seorang bayi adalah Islam. Fitrah ini akan berubah mengikut pengaruh ibu-bapa dan persekitaran. Jika ibu bapanya ingin membawa kepada jalan kesesatan maka kesucian atau fitrah keIslamannya telah ternoda oleh ibu bapanya tersebut.
 
     Manusia pada fitrahnya hanif, yang mengandungi erti rindu terhadap mengingat Allah SWT. Manusia pada kejadiannya yang azali rindu kepada kesucian, kemuliaan dan keagungan serta cenderung kepada kebaikan, keindahan, kebenaran dan keadilan.

    "Setiap anak dilahirkan suci bersih..", ertinya setiap anak dilahirkan dengan bekal fitrah Islamiyah. Itulah sebabnya agama Islam disebut juga dengan agama fitrah kerana agama Islam itu sesuai dengan fitrah atau asal kejadian manusia. Dalam Al Quran, Allah SWT berfirman maksudnya: "Maka hadapkanlah wajahmu dengan hanif atau lurus kepada agama ciptaan Allah, yang telah menciptakan manusia menurut fitrahnya itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan  manusia tidak mengetahui".

(Surah Ar Ruum ayat 30)
    Datangnya agama Islam adalah membenarkan apa yang menjadi kehendak fitrah yang suci dan selamat. Akal dan hati manusia dapat menilai sendiri tentang wujudnya Allah yang Maha Pencipta. Begitu juga di dalam Al Quran banyak disebut tentang Allah SWT.

    Kadang kala manusia beranggapan bahawa kalau tauhid (meng-Esakan Allah) itu merupakan suatu fitah atau semulajadi, maka manusia tentu tidak berbeda aqidah dan kepercayaannya dan tidak berbeda pula Tuhan mereka. Tetapi kenyataannya mengapa manusia mempunyai pendapat yang berbeza dan beraneka ragam sehingga tidak ada kesamaan dalam menentukan Tuhan mereka.

    Tentang masalah ini dapat dijelaskan bahawa timbulnya sangkaan seperti itu adalah kerana  watak manusia itu cenderung berpegang dengan sesuatu yang ditangkap oleh indera mereka. Kemudian mengingkari perkara-perkara yang tidak ada gambaran dalam hatinya serta tidak ada batasan yang membatasinya. Contoh kisah ini sebagaimana difirmankan Allah dalam Al Quran: "Ahli Kitab meminta kepadamu agar kamu menurunkan kepada mereka sebuah kitab dari langit. Maka sesungguhnya mereka telah meminta kepada Musa yang lebih besar daripada itu. Mereka berkata: "Tunjukkanlah Allah kepada kami dengan nyata". Maka mereka disambar petir kerana kezalimannya dan mereka menyembah anak sapi, sesudah datang kepada mereka bukti-bukti yang nyata, lalu Kami (Allah) maafkan mereka dari yang demikian. Dan telah Kami berikan kepada Musa keterangan yang nyata".

(Surah An Nisa' ayat 153)
      Adanya akal fikiran itu tidak mampu menemukan kebenaran, mengetahui secara menyeluruh. Maka sungguh mengharirankan bila orang yang berakal sihat menggunakan perkara itu sebagai dalil meniadakan sesuatu. Umat terdahulu banyak dicontohkan Allah sebagai umat yang sesat dari jalan yang lurus, mereka memiliki hati yang keras dan banyak melanggar perintah Allah SWT.

    Ajaran yang dibawa agama Islam adalah tentang iman kepada Allah dan meng-EsakanNya serta menghindarkan diri daripada menyekutukan-Nya. Semua itu merupakan suatu jalan yang sesuai dengan fitrah manusia yang ingin kepada kebenaran. Dan kebenaran yang haq itu hanya dari Allah SWT.
Sila rujuk buku:
1. Insan Di Bawah Cahaya Ilahi DN 074

^ Kembali ke atas ^

 

347. Bukti Ke-Islaman Rasul Terdahulu
Soalan:
Nyatakan bukti-bukti yang menunjukkan agama rasul  terdahulu juga adalah Islam?

David, Kajang
Jawapan:
    Al-Quran menjelaskan agama rasul-rasul terdahulu adalah Islam. Islam bermaksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT. Setiap rasul menyeru masyarakatnya ke arah mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata dan mematuhi syariatNya yang diutuskan kepada setiap rasul ini.

    Setiap rasul berpegang dengan syariat yang diutuskan oleh Allah kepadanya yang sesuai dengan masa dan masyarakatnya. Begitulah juga nabi Muhammad SAW  diutuskan oleh Allah bagi menegakkan aqidah nabi-nabi terdahulu dan melaksanakan syariat yang diutuskan kepada baginda untuk seluruh umat manusia sehingga berlakunya hari kiamat.

    Ini bermakna syariat Muhammad SAW adalah penyudah atau pelengkap dalam menyempurnakan segala syariat nabi-nabi terdahulu dan sesuai dengan suasana manusia yang hidup di akhir zaman hinggalah ke hari Kiamat (D'day). Berdasarkan keterangan ini jelas menunjukan agama para rasul terdahulu adalah islam kerana mereka menyeru manusia ke arah ketundukkan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah SWT, sebagaimana juga nabi Muhammad SAW diperintahkan menyeru manusia ke arah ketundukan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah SWT.

    Pada prinsipnya semua Rasul memeluk dan mengajar agama tauhid atau Islam. Sebagai contoh:

    Nabi Adam yang diperkirakan hidup lebih kurang 930 tahun merupakan manusia pertama yang bergelah khalifah Allah dimuliakan dan ditinggikan darjatnya menjadi nabi yang pertama. Baginda diutuskan kepada anak cucunya agar menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Maka diantara mereka ada yang taat dan adapula yang membangkang.

    Nabi Idris as. merupakan keturunan Nabi Sits as. diutus oleh Allah kepada anak cucu Qabil agar bertaubat dan menyembah Allah SWT, namun mereka terus menerus membangkang perintah Allah SWT. Begitu juga Nabi Nuh as. merupakan keturunan nabi Idris as. yang diutus Allah kepada kaum kafir. Baginda menyeru supaya semua manusia menyembah Allah, tetapi ajakan Nabi Nuh ditolak, akhirnya orang-orang yang ingkar atau kafir itu tenggelam dalam banjir yang besar.

    Nabi Hud as. adalah keturunan Yafit bin Nuh, bertempat tinggal di Hadharal Maut Utara. Baginda diutus Allah kepada kaum Aad kerana bangsa itu menyembah patung. Kemudian Nabi Nuh menyuruh mereka supaya menyembah Allah, tetapi mereka ingkar, akhirnya mereka menerima seksaan dengan ditimpa badai dan udara yang sangat dingin selama tujuh hari lapan malam. Begitu juga Nabi Salleh merupakan keturunan Sam bin Nuh yang diutuskan Allah kepada bangsa Tsamud disebelah selatan Palastin. Kebudayaan mereka sudah tinggi tetapi mereka menyembah dewa dan patung, kemudian Nabi Salleh menyuruh kepada mereka agar menyembah Allah, sebahagia besar bangsa Tsamud menolak untuk memeluk agama Allah. Mereka ingkar kepada larangan Nabi Salleh. Pada hari pertama muka mereka berwajah kuning, hari kedua menjadi merah,hari ketiga menjadi hitam, akhirnya mereka disambar petir.

    Nabi Ibrahim as. juga keturunan Sam bin Nuh yang diutuskan Allah kepada kaum Namrud di negeri Babilon lebih kurang 4000 tahun sebelum Masehi. Kaum Namrud menyembah berhala bahkan akhirnya Namrud menganggap dirinya sebagai Tuhan. Nabi Ibrahim juga menyerukan ajaran tauhid atau Islam kepada mereka namun mereka tetap ingkar, akhirnya Allah mendatangkan kepada mereka tentera nyamuk sebagai balasan, maka musnahlah kaum yang ingkar. Begitu halnya dengan Nabi Luth as. adalah bersaudara dengan nabi Ibrahim yang diutuskan kepada kaumnya di negeri Sadum, supaya kaumnya menyembah Allah SWT, namun mereka ingkar. Allah SWT membalas keingkaran mereka dengan dibalik bumi Sadum sehingga musnah negeri tersebut.

    Nabi Ismail as. adalah anak Nabi Ibrahim melalui perkahwinannya dengan Siti Hajar. Baginda diutus kepada bangsa Arab di negeri Yaman, kerana mereka belum kenal dengan agama tauhid atau Islam. Mereka juga diperintahkan supaya berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji. Baginda mempunyai 12 orang anak lelaki yang seluruhnya disebut dengan Bani Ismail atau Adnanniyun. Dari keturunan inilah lahirnya suku Quraisy yang melahirkan Nabi Muhammad SAW.

    Nabi Ishaq as. adalah anak kandung Nabi Ibrahim melalui perkahwinan dengan Siti Sarah. Baginda diutus oleh Allah di negeri Kan'an untuk menyembah Allah, mengajarkan tauhid, menyuruh membayar zakat, berpuasa dan menunaikan haji. Nabi Ishaq berkahwin dengan Rifka dan mendapat anak kembar iaitu ish dan Ya'kub. Nabi Ishaq wafat dalam usia 170 tahun dan dimakamkan di Baitul Maqdis daerah Palastin. Begitu juga dengan Nabi Ya'kub as. diutus oleh Allah SWT di negeri Kan'an kerana penduduknya telah ramai menyembah berhala. Nabi Ya'kub mengajar kaumnya supaya menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Baginda wafat dalam usia 148 tahun dan beliau mempunyai 12 orang anak lelaki.

    Nabi Yusuf as.anak Nabi Ya'kub as yang diutus oleh sebagai nabi kepada bangsa Mesir untuk mengajarkan agama tauhid iaitu agar menyembah Allah, Tuhan yang Maha Esa. Disampaing baginda seorang nabi ia juga seorang raja dengan dasar pemerintahannya adalah Islam. Beliau wafat dalam usia 120 tahun dan dimakamkan ditepi sungai Nil. Kemudian Nabi Ayub as. anak Amus bin Tarikh bin Rum bin Ish yang diutuskan oleh Allah SWT ke negeri Rom untuk mengajarkan agama tauhid iaitu menyembah Allah SWT. Beliau wafat dalam usia lebih kurang 93 tahun dan dimakamkan di suatu tempat di daerah Itali.

    Nabi Zulkifli as. adalah anak Nabi Ayub as. diutus oleh Allah SWT ke negeri Rom. Disamping beliau seorang nabi juga seorang raja yang tetap mengajarkan agama tauhid iaitu supaya menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa.Beliau menyeru kepada kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala dan melaksanakan syariat Islam supaya solat dan membayar zakat. Beliau wafat dalam usia 95 tahun dan dimakamkan di Napoli, daerah Rom Selatan. Begitu juga Nabi Syuib as. keturunan Nabi Luth as, diutus oleh Allah ke negeri  Madyan, Palastin Selatan agar mengajar agama tauhid  iaitu menyembah Allah SWT. membayar zakat dan berlaku jujur kepada kaumnya.Ramai kaumnya yang tidak beriman, akhirnya ditimpa bencana daripada Allah berupa gempa dan kepingan awan panas daripada langit.

    Nabi Musa as dan Nabi Harun as. diutus oleh Allah SWT kepada kaumnya Bani Israil supaya menyembah Allah, membayar zakat, berpuasa dan berlaku jujur. Bani Israil ramai yang ingkar sehingga mereka menyembah patung anak sapi yang dipelopori oleh Samiri. Nabi Musa as. mendapat kitab Taurat daripada Allah SWT dan diberi mukjizat. Kemudian Nabi Daud as.dibekalkan oleh Allah dengan kitab Zabur mengajarkan kepada kaumnya agar menyembah Allah dan mengerjakan ibadah puasa. Nabi Daud as. wafat dalam usia lebih kurang 100 tahun, lalu dimakamkan di Palastin.

    Nabi Sulaiman as. adalah anak Nabi Daud as. beliau seorang nabi dan raja. Nabi Sulaiman berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kepadanya kerajaan yang tidak akan diperolehi seorangpun sesudahnya. Doa beliau dikabulkan Allah, sehingga beliau dapat menguasai semua makhluk termasuk jin dan binatang. Nabi Sulaiman mengajak semua kaumnya agar menyembah Allah dan menghindari daparipada mensyirikkannya. Kemudian Nabi Ilyas as.  merupakan keturunan Nabi Harun diutus Allah sebagari rasul di negeri Balbik di Lebanon Selatan kerana orang Balbik ramai yang telah menyembah berhala. Patung terbesar sembahan mereka bernama "Ba'al" dibuat dari emas. Nabi Ilyas as. mengajak kaumnya agar menyembah Allah SWT iaitu agama tauhid, namun ramai yang ingkar, sehingga kebanyakan mereka ditimpa musibah gempa yang dahsyat. Nabi Ilyas wafat dan dimakamkan di daerah Lebanon Selatan.
 
    Nabi Ilyasa' as. diutus Allah SWT kepada Bani Israil, agar mengajarkan agama tauhid berdasarkan kitab Taurat dan kitab Zabur. Kerana kederhakaan dan pembangkangan mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya akhirnya orang-orang yahudi dijajah oleh raja dari Babil bernama Nebukad Nezar. Kemudian Nebekud Nezar dikalahkan oleh Cyrus raja dari Persia. Pada tahun 70 Sebelum Masehi raja Rom bernama Titus memasuki Palastin  dan merosak seluruh kota Jerusalam, kecuali Baitul Maqdis. Begitulah bangsa Yahudi mendapat kutukan dan laknat daripada Allah dan Rasul-Nya sehingga bertebaranlah mereka ke seluruh pelosok, dikutuk dan dihina oleh bangsa-bangsa lain di dunia.
 
    Nabi Yunus as. keturunan Nabi ya'kub as. diutus oleh Allah kepada bangsa Ninawa didaerah Mansul dalam kerajaan Babil. Beliau mengajak kaumnya agar menyembah Allah , namun ajakan beliau ditentang bahkan diejek. Akhirnya Nabi Yunus meninggalkan kaumnya dan berdoa kepada Allah agar diturunkan azab kepada mereka. Ketika tanda-tanda azab akan turun, maka seluruh penduduk mencari nabi Yunus kerana ingin bertaubat, namun nabi Yunus telah meneruskan pelayarannya. Mereka semuanya beriman kepada Allah serta menyesal kerana melawan Rasul Allah. Nabi Yunus diuji Allah ketika berada didalam perut ikan Nun. Setelah kembali ke Ninawa dilihatnya mereka semua telah beriman, maka nabi Yunus meneruskan dakwahnya, sehingga negeri tersebut menjadi aman dan makmur. Nabi Zakaria as dan Nabi Yahya as. diutus kepada bangsa Yahudi, agar mereka menyembah Allah SWT, berlaku jujur, adil dengan memegang petunjuk yang ada dalam kitab Allah. Kemudian nabi Yahya dibunuh, kepala baginda dipenggal. Begitu juga dengan Nabi Zakaria dibunuh ketika itu juga. Kedua nabi tersebut telah mati syahid. Begitu sombong bangsa Yahudi sehingga hati mereka menjadi tertutup dalam menerima kebenaran. Hanya seksa Allah yang sesuai bagi mereka yang ingkar.

    Nabi Isa as. adalah insan yang lahir dari tubuh Maryam tanpa ayah, kemudian diangkat martabatnya menjadi nabi dan Rasul. Sedangkan Hawa dilahirkan dari tubuh Adam tanpa ibu di dalam syuga. Kemudian ditakdirkan oleh Allah SWT menjadi ibu dari seluruh umat manusia. Maka agar tidak keliru dalam beriman atau beriktikad, kita lihat firman Allah SWT maksudnya: "Sesungguhnya perbandingan kejadian Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti kejadian Nabi Adam, Allah telah menciptakan Adam dari tanah, lalu berfirman kepadanya: 'Jadilah engkau! maka menjadilah ia' ".

(Surah Ali Imran ayat 59)
    Nabi Isa as. diutus oleh Allah kepada kaumnya sendiri iaitu Bani Israil di daerah Palastin agar tetap taat kepada Allah SWT. Belaiu diberi kitab Injil yang melengkapi kitab Taurat dan Zabur. Segala firman Allah yang diwahyukan kepada beliau ditulis oleh pengikut-pengikutnya dengan tulisan Ibrani (Hebrew bahasa Ibrani Yahudi).

    Dapatkah kita menemukan kembali kitab Injil peninggalan Nabi Isa as. itu? Untuk meyakinkan diri kita mari kita perhatikan ayat-ayat Allah dibawah ini:

    Firman Allah SWT maksudnya: "Ia menjawab: "Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab Injil dan ia telah menjadikan daku seorang Nabi".

(Surah Maryam ayat 30)
    Firman Allah SWT maksudnya: "Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia, inilah jalan yang betul atau lurus".
(Surah Maryam ayat 36)
    Ayat-ayat diatas membuktikan dengan jelas bahawa Nabi Isa as. hanyalah seorang nabi dan Rasul bukanlah sebagai anak Tuhan seperti yang didakwakan sesetengah pengikutnya. Kitab Injil yang asal dengan tegas dan jelas menyuruh para pengikutnya agar menyembah Allah semata tidak menyekutukannya dengan yang lain. Namun kebanyakan pengikut nabi Isa telah merubah Kitab Injil yang asli itu menurut selera mereka sendiri, maka lahirlah beratus-ratus kitab Injil bahkan beribu-ribu jumlahnya.

    Kerana terlalu keras tentangan kaumnya terhadap ajaran tauhid, bahkan beliau diancam akan dibunuh, maka nabi isa dibawa hijrah oleh bondanya ke negeri Mesir selama 12 tahun. Kemudian berpindah lagi ke negeri Nazaret daerah Palastin. Di negeri ini beliau mulai ada pengikut yang membenarkan ajarannya iaitu Mengesakan Allah SWT.

    Di antara orang-orang Yahudi tersiar berita nabi Isa yang mempunyai ibu tanpa bapa itu sudah ditangkap oleh Yudas Iskariot, lalu diserahkan kepada penguasa Romawi, kemudian disalib di bukit Golgota. Ada pula yang berkata bukan Isa yang ditangkap tetapi Yudas kerana dia berkhianat. Sebahagian orang meyakinkan diri berkata bahawa bukan Nabi Isa, bukan Yudas tetapi orang lain yang serupa dengan benar dengan beliau. Nabi Isa sendiri selamat dari bencana malapetaka dunia. Sesungguhnya  Allah telah mengangkatnya ke atas langit.

    Memang banyak sekali pendapat manusia bahkan antara satu dengan yang lainnya bertentangan. Maka sebaiknya beriman sesuai dengan ketentuan didalam Al Quran. Firman Allah maksudnya: "Demi sesungguhnya, telah kafirlah orang-orang yang berkata; bahawasanya Allah ialah Al Masih Ibni Maryam. Padahal Al Masih sendiri berkata: "Wahai Bani Israil, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.

Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Dan jika tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya".

(Surah Al Maidah ayat 72-73)
    Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada tahun 571 Masehi melalui perkahwinan Aminah dengan Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim. Baginda adalah keturunan Nabi Ismail as. bin Nabi Ibrahim as. Nabi Muhammad SAW adalah insan termulia melebihi tingkat dan darjat dari seluruh nabi-nabi dan umat manusia, bahkan seluruh makhluk-makhluk Allah SWT. Sebab itu Rasulullah (Nabi Muhammad SAW) bergelar  "Rahmatan Lil Alamin". ertinya "Rahmat bagi seluruh alam".

    Rasulullah diberi kitab Al Quran, diutus oleh Allah untuk seluruh bangsa di dunia ini. Seperti nabi-nabi  atau rasul-rasul Allah terdahulu bagindapun mengajar dan menyeru manusia supaya menyembah Allah. Nabi Muhammad SAW adalah penutup dari sekalian nabi dan rasul, jadi agama Allah yang diwahyukan semenjak nabi Adam secara bertahap-tahap lagi teratur dilengkapi dan disempurnakan Allah pada kenabian Muhammad SAW. Sebab itu tidak akan ada lagi nabi dan wahyu sesudah baginda.

    Bahkan dalam kitab-kitab yang sebelumnya menyatakan tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang terakhir. Dalam hal ini Nabi Isa as. sendiri menjelaskan kepada kaumnya tentang akan munculnya seorang nabi terakhir sesudahnya. Di dalam Al Quran dijelaskan ungkapan Nabi Isa as tersebut sebagai berikut. Firman Allah SWT maksudnya: "Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika nabi Isa Ibni Maryam berkata: Wahai Bani Israil sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama Ahmad. Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: ini ialah sihir yang jelas nyata".

(Surah As Saaf ayat 6)
 
    Firman Allah SWT lagi maksudnya: "Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".
(Surah Al Ahzab ayat, 40)

Sila rujuk buku:
1.
Motivasi Diri Sebagai Khalifah Di Bumi DN 126

^ Kembali ke atas ^

 

348. Akidah, Fiqh dan Akhlak
Soalan:

Apakah makna akidah, fiqh dan akhlak?

David, Kajang & Ong, Sarawak
Jawapan:
    Akidah dari segi bahasa ialah simpulan yang kukuh. Apabila disebut akidah Islam bermakna simpulan kukuh yang dikehendaki Islam, yang bertunjangkan kepada kalimah syahadah. Orang Islam pula ialah orang yang berpegang dengan tali simpulan yang kukuh yang mengeratkan hubungan mereka dengan Allah SWT. Asas akidah ialah beriman kepada Allah, beriman kepada rasul, beriman kepada kitab, beriman kepada malaikat, beriman kepada hari kiamat dan beriman kepada qada' dan qadarNya. Elemen akidah pula ialah perkara yang berhubung dengan ketuhanan, kenabian, alam kubur, dan alam akhirat.

    Fiqah bermaksud pemahaman yang mendalam terhadap Islam. Ulamak fiqah ialah mereka yang pakar dalam mengeluarkan hukum (undang-undang) yang terdapat di dalam nas-nas al-Quran dan al-Hadis.

    Akhlak pula ialah perlakuan manusia yang berasaskan panduan al-Quran dan al-Hadis serta ditunjukkan secara praktiknya oleh nabi Muhammad SAW. Ia merangkumi akhlak seseorang hamba dengan Allah SWT, dengan diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara, dan hubungan antarabangsa.
Sila rujuk buku:
1. Bimbingan Lengkap Fardhu Ain DN 034

^ Kembali ke atas ^

 

349. Matlamat Terpenting Ajaran Islam
Soalan:
Apakah matlamat terpenting dari ajaran Islam?

David, Kajang
Jawapan:
    Matlamat terpenting ajaran Islam ialah untuk mencapai keredaan Allah SWT dengan melakukan amalan yang telah diperintahkan oleh Allah semasa hidup di dunia ini. Seseorang tidak akan mencapai keredaan Allah jika ia tidak mengikut apa yang disyariatkan oleh Allah SWT. Keredaan Allah akan membuatkan seseorang itu mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Tidak akan masuk syurga Allah SWT seseorang itu melainkan dengan limpahan rahmat (keredhaan) dan hidayah (petunjuk) Allah ke atas dirinya

    Keredhaan Allah itu bergantung ketaatan manusia kepada perintah Allah SWT. Jika manusia melaksanakan perintah dan ajaran-Nya yang terkandung di dalam kitab suci Al Quran, maka rahmat dan redha Allah itu akan memancar dalam kehidupan seseorang. Ketaatan yang dilaksanakan termasuk dalam segala aspek kehidupan seperti berkeyakinan atau beraqidah yang benar, berakhlak dengan akhlak yang benar, melaksanakan prinsip-prinsip ajaran Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

    Jika keredhaan Allah menyelimuti kehidupan kita maka barulah kita dapat menikmati kebahagiaan hidup baik di dunia mahupun di akhirat.

^ Kembali ke atas ^

 

350. Syahid Dunia dan Syahid Akhirat
Soalan:
Apakah beza syahid dunia dan syahid akhirat?

Zaity, Bangi
Jawapan:
    Orang yang mati syahid sebenarnya ada 3 golongan iaitu syahid pada hukum dunia dan Akhirat, syahid pada hukum dunia dan syahid pada hukum Akhirat.
  Syahid dunia dan Akhirat ialah syahid dalam pertempuran menentang musuh di medan pertempuran kerana menegakkan kalimah Allah. Orang yang mati syahid sebegini tidak perlu dimandikan dan tidak perlu disolatkan menurut jumhur ulamak. Di Akhirat nanti ia akan memperolehi balasan istimewa dari Allah SWT.  Ia juga selamat dari soal kubur.

Syahid pada hukum dunia ialah orang yang mati kerana berperang menentang orang-orang kafir tetapi telahpun mendapat gaji dari peperangan yang dilakukannya atau mendapat bahagian harta rampasan dari peperangan tersebut atau orang yang mati kerana memerangi golongan kafir dalam keadaan riya' dan lain-lain.

Syahid pada hukum Akhirat ialah seperti orang yang dibunuh secara zalim, orang yang mati kerana mengalami penyakit dalam perut, orang yang mati kerana penyakit taun, orang yang mati tenggelam, orang yang mati dalam keadaan dagang / musafir, orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu, orang yang mati kerana menahan rindu, mati kerana melahirkan anak dan sebagainya. Di dunia orang ini dikafan dan disolatkan. Di Akhirat ia akan mendapat pahala khusus dari Allah.

^ Kembali ke atas ^

 


All Right Reserved Darul Nu'man © EMAG 1991