Profil
Iklan Darul Nu'man
Laman Utama
Laman UtamaPANAS!!!Senarai Buku Terbitan DNAWAS!!!Borang PesananJemput LayarSampaikan Temanku

Undur
Laman 26
Maju
251. Tanggungjawab Pelajar dalam Kegawatan Ekonomi
Soalan:
Apakah tindakan yang harus dilakukan oleh pelajar untuk membantu masalah kemelesetan mata wang yang melanda negara kita? 
Tamimi, Batu Caves
Jawapan:
    Soalan yang dikemukakan ini adalah satu soalan yang baik dan menunjukkan saudara adalah seorang penuntut yang prihatin dengan keadaan ekonomi yang menimpa negara sekarang ini. Sebenarnya dari sudut pandangan Islam ada beberapa cara yang boleh digunakan oleh saudara bagi membantu pihak berkuasa mengatasi masalah kegawatan ekonomi sekarang berdasarkan kemampuan yang ada pada saudara iaitu:

1. Menunaikan solat hajat setiap malam jumaat mudah-mudahan Allah SWT bersihkan negara ini dari mala petaka kegawatan ekonomi yang sedang berlaku.

2. Dalam menggunakan barangan harian saudara hendaklah menggunakan barangan tempatan dan membelinya sekadar keperluan sahaja. Bukan untuk tujuan bermewah mewah.

3. Jika saudara berhasrat untuk menyambung pelajaran sambunglah di institusi pengajian tinggi tempatan bagi mengelakkan pengaliran wang negara ke luar.

4. Galakkan orang lain seperti kawan-kawan terdekat dan kaum keluarga supaya sentiasa berjimat cermat dan hindarkan dari membazir.

5. Jika saudara mempunyai idea yang bernas saudara boleh mengemukakannya kepada pihak berkuasa sebagai melaksanakan tugas nasihat dalam Islam atau saudara boleh menulis di dalam akhbar ataupun di dalam majalah-majalah.

6. Saudara sendiri hendaklah memainkan peranan menggalakkan sahabat handai dan kaum keluarga terdekat supaya menjauhkan diri dari terlibat dengan berbagai aktiviti kemaksiatan dan juga kemungkaran, kerana salah satu sebab kejatuhan ekonomi sesuatu bangsa ialah akibat aktiviti kemaksiatan yang dilakukan oleh penduduk negara berkenaan
sendiri. Selain itu saudara hendaklah memperbanyakkan taubat kepada Allah begitu juga dengan sanak saudara dan sahabat yang lain.

^ Kembali ke atas ^

 

252. Kesan dari Sebulan Ramadhan
Soalan:

Bagaimanakah kita hendak memastikan puasa sebulan Ramadhan benar-benar memberikan kesan kepada diri?

Hamba Allah, Alor Setar
Jawapan:
    Tujuan ibadat puasa disyariatkan ialah untuk melahirkan mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT. Puasa juga merupakan ibadat yang telah difardukan oleh Allah kepada umat-umat terdahulu berdasarkan teknik yang sesuai dengan masyarakat pada masa itu. Puasa yang paling berkesan ialah puasa yang mengikut segala tatacara yang telah
digariskan oleh para ulamak Islam. Antaranya:

1. Menahan diri dari makan dan minum di siang hari sepanjang bulan Ramadan.

2. Menjauhkan diri dari bercumbuan-cumbuan dengan isteri di siang hari pada bulan Ramadan.

3. Menunaikan solat 5 waktu sehari semalam secara berjemaah.

4. Menjaga mulut dari mengumnpat, memaki hamun, mengata orang, menuduh yang bukan- bukan, bercakap perkara yang sia-sia.dan lain-lain.

5. Memperbanyakkan bacaan Al-Qur;an dan berzikir kepada Allah.

6. Menjaga telinga supaya tidak mendengar kata-kata umpatan, nista, tuduhan palsu, kata-kata yang meransangkan seks dan lain-lain.

7. Menjaga mata dari melihat perempuan yang halal berkahwin dengannya dan dari menonton filem-filem yang tidak senonoh di dalam TV.

8. Menjaga tangan dari memegang sesuatu yang haram seperti memegang bahu perempuan, gambar lucah dan lain-lain.

9. Menjaga kaki supaya tidak bergerak ke tempat-tempat maksiat, kerana kaki akan disoal nanti tentang kerja yang dilakukannya sepanjang hidup di dunia.

10. Menjaga perut dari makanan yang berlebihan walaupun halal dan mengelakkan dari makanan yang haram dan dari pendapatan yang tidak bersih.

11. Menjaga alat kelamin supaya tidak menggunakannya kepada sesuatu yang diharamkan oleh syariat seperti melakukan onani dan lain-lain kecuali kepada isteri sahaja pada malam hari bulan Ramadan.

12. Membulatkan hati hanya kepada Allah dan hanya mengharapkan keredaan Allah semata-mata.

    Inilah di antara cara yang paling berkesan untuk menjadikan puasa yang sedang kita lakukan itu berkesan dan diterima Allah. Dengan lain perkataan puasa yang berkesan itu ialah puasa yang bukan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja, sebaliknya memerlukan kepada pengiltizaman terhadap syarat-syarat, adab-adab dan rukun-rukun yang telah digariskan oleh syariat Islam sepenuhnya.  
Sila rujuk buku:
1. Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN 054

^ Kembali ke atas ^

 

253. Makna 'Muhrim'
Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dengan MUHRIM?

Zainal, Serdang
Jawapan:
    Muhrim adalah perkataan Arab. Ia membawa maksud orang yang sedang melakukan ihram haji ataupun umrah. Orang ini dilarang melakukan beberapa perkara sepanjang menunaikan kedua-dua ibadat ini sebagaimana yang banyak didperkatakan di dalam kitab-kitab feqah.

    Mahram pula bermaksud orang yang haram berkahwin dengan kita seperti adik kita, emak mertua kita dan lain-lain. Ramai orang silap memahami penggunaan perkataan antara muhrim dan mahram. Kadang-kadang mereka mahu menyebut mahram tetapi mereka tersebut perkataan muhrim. Dengan penjelasan ini diharapkan masyarakat kita akan faham apa itu muhrim dan apa itu mahram.

^ Kembali ke atas ^

 

254. Bersentuhan dengan Mak Mertua dan Ipar
Soalan:
Adakah batal air sembahyang jika menantu lelaki bersentuhan dengan mak mertua dan adik ipar perempuannya?
Zainal, Serdang
Jawapan:
    Air wuduk seseorang akan batal apabila ia bersentuhan dengan adik iparnya, kerana ia halal berkahwin dengan  adik iparnya itu. Pengharaman berkahwin dengan  adik iparnya itu sekadar untuk sementara sahaja, iaitu selagi mana ia masih berkahwin dengan kakak kepada adik iparnya itu. Jika sudah berlaku perceraian atau kematian kepada kakak terlibat, di kala itu halal kepada suami terlibat berkahwin dengannya. Justeru itu kedudukan air wuduknya adalah batal apabila berlaku persentuhan dengannya. Bagaimanapun bersalaman dengan ibu mertua tidak  membatalkan air wuduk kerana ibu mertua haram dikahwini oleh menantunya.

^ Kembali ke atas ^

 

255. Menghindar Gangguan Syaitan di dalam Tidur
Soalan:
Apabila tidur diwaktu malam saya terasa seperti ditindih sesuatu. Benda itu seperti hantu. Adakah betul hantu boleh mengacau manusia semasa tidur dan bagaimana cara untuk menghindarinya?

Niza, Sri Kembangan
Jawapan:
    Istilah hantu adalah merupakan istilah yang hanya digunakan oleh masyarakat Melayu sahaja.Dalam bahasa Arab tidak ada istilah hantu. Yang ada ialah istilah syaitan atau jin kafir. Pada asasnya hantu atau syaitan tidak boleh pengapakan manusia kecuali jika ia diizinkan oleh Allah SWT. Di kala itu berlaku hasutannya kepada sesiapa yang menjadi mangsanya.

    Cara untuk mengelakkan diri dari gangguan hantu ini khasnya semasa tidur ialah dengan mengamalkan amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada Aisyah RA iaitu dengan membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 3 kali, Surah Al-Falaq 3 kali,  dan surah An-Nas sebanyak 3 kali dan kemudian menyapunya ke seluruh badan kecuali kawasan qubul dan dubur. Sebelum tidur hendaklah memgambil wuduk terlebih dahulu. Tidur pula hendaklah mengikut sunnah Rasulullah SAW. Jika gangguan itu datang setelah seseorang itu tidur kemudian ia terjaga, hendaklah ia meludahkan sebanyak 3 kali ke sebelah kirinya sambil membaca: "Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam".
Sila rujuk buku:
1. Alam Jin & Syaitan serta Mengatasi Gangguannya DN 135

^ Kembali ke atas ^

 

256. Waktu Mula Dibolehkan Solat Qasar
Soalan:

Bilakah waktunya melakukan solat qasar, adakah setelah perjalanan sejauh dua marhalah? Bolehkah diqasarkan solat sebelum perjalanan bermula?

Abd Talib, Kulim
Jawapan:
    Waktu dibolehkan kepada seseorang yang ingin bermusafir mengqasarkan solatnya ialah setelah keluar dari kawasan kampungnya. Setelah melepasi bangunan terakhir di kampungnya, di situ barulah ia dibolehkan mengqasarkan solatnya. Inilah pendapat majoriti ulamak Islam termasuk imam Asy-Syafii. Pendapat yang mengatakan boleh mengqasarkan solat di rumah sebaik sahaja seseorang itu berniat hendak musafir adalah pendapat yang dikemukakan oleh imam Ata'.

    Walaubagaimanapun pendapat imam Ata' ini sangat lemah dan ditolak oleh majoriti ulamak. Dengan ini dapatlah disimpulkan menurut majoriti ulamak masa yang dibolehkan mengqasarkan solat ialah selepas seseorang itu keluar dari kampung halamannya dengan melepasi bangunan terakhir di kampungnya itu.
Sila rujuk buku:
1. 'Panduan Musafir' - Solat Jama' dan Qasar serta Persoalannya DN 084

^ Kembali ke atas ^

 

257. Tuntutan Bersedekah
Soalan:

Sebagaimana yang kita ketahui amalan bersedekah adalah dituntut di dalam Islam. Apakah hukumnya? dan boleh tak Ustaz perjelaskan kenyataan "Amalan bersedekah dapat mengeratkan perpaduan ummah".

Ana, Raub
Jawapan:
    Hukum bersedekah dalam Islam adalah sunat sahaja. Walaupun begitu fadhilatnya sangat besar. Kerana itu tidak hairanlah Rasulullah SAW sangat-sangat menggalakkan umatnya supaya rajin bersedekah dan baginda sendiri sangat kuat bersedekah. Amalan bersedakah ini dapat menjadi amalan yang bermanfaat kepada tuannya setelah ia meninggal dunia nanti.

    Bagaimanpun jika seseorang itu bernazar hendak melakukan sedekah kepada seseorang, maka wajib kepadanya melunaskan sedekahnya itu kepada individu yang dimaksudkan. Maksud sedekah dapat menguatkan perpaduan ummah ialah:

1. Dengan bersedekah akan menghilangkan rasa kurang senang golongan yang miskin terhadap golongan yang berharta dan kaya.

2. Bersedekah akan menimbulkan rasa kasih sayng sesama masyarakat Islam baik yang kaya mahupun yang miskin. Sifat dengki akan hilang.

3. Bersedekah akan mendatangkan keberkatan. Apabila datang keberkatan dan hilanglah kecelakaan.

4. Bersedekah dapat menghilangkan kesusahan yang dialami oleh orang-orang yang kesempitan. Ini ,menggambarkan wujudnya sifat saling membantu antara satu sama lain dalam masyarakat.

    Keempat-empat faktor yang kita bincangkan ini menjadi faktor utama ke arah kekuatan perpaduan antara sesama masyarakat Islam. Apabila wujud perpaduan di peringkat masyarakat, ia akan membawa kepada perpaduan di
peringkat negara, dari peringkat ini ia akan bergerak ke peringkat ummah seluruhnya. Inilah yang dimaksudkan bersedekah menguatkan perpaduan ummah.

^ Kembali ke atas ^

 

258. Maksud Nama Anidawati
Soalan:
Saya mempunyai seorang kawan bernama Anidawati. Dia selalu risau kerana tidak mengetahui maksud namanya yang sebenar, dia takut kalau-kalau ianya membawa maksud yang tidak elok. Ada setengah pendapat mengatakan nama wati adalah tidak elok. Kenapa? Harap dapat jelaskan?

Hamba Allah, Seremban
Jawapan:
    Dalam Islam ibubapa dikehendaki memberikan nama yang baik kepada anaknya, di mana dengan nama itulah anak itu akan dipanggil oleh Allah SWT di padang mahsyar kelak. Nama Anidawati yang terdapat dalam soalan di atas memang diakui mempunyai makna yang kurang elok. Anida bermaksud seorang yang suka menentang kebenaran,. Ini jika ditulis dengan huruf Arabnya bermula dengan huruf Ain tetapi jika ditulis dengan huruf Alif ia tidak membawa apa-apa maksud. Wati jika ditulis huruf Ta' pada huruf T pada wati itu, ia tidak mengandungi apa-apa maksud, tetapi jika huruf T tersebut ditulis dengan huruf To" dalam huruf arabnya, maka ia membawa maksud orang yang suka bersetubuh atau melakukan hubungan seks.
Sila rujuk buku:
1.
Amalan mengandung & Setelah Bersalin serta Panduan menamakan Bayi DN 118

^ Kembali ke atas ^

 

259. Kedudukan Dalam Jemaah
Soalan:

Bagaimanakah kedudukan/jarak imam dan makmum dalam sembahyang berjemaah:
   i)  suami/isteri
   ii)  sesama perempuan
Zainal, KL
Jawapan:
    Jarak antara imam dengan makmum dalam solat berjemaah adalah sebagaimana yang diamalkan oleh masayarakat kita sekarang. Itulah yang terbaiknya. Ulamak syafii menjelaskan jika imam berada di atas menara masjid manakala makmum pula berada dalam msjid solat tetap sah kerana keduanya masih berada dalam bangunan yang sama. Jika imam berada di dalam masjid, manakala makmum berada di luar masjid maka jarang antara imam dengan makmum jangan melebihi dari 300 hasta.

    Jika makmum menunaikan solatnya lebih dari jarak ini, maka hukum solatnya tidak sah. Jika imam menunaikan solat jamaah dengan hanya seorang makmum, maka makmum hendaklah berdiri disebelah kanan imam kebelakang sedikit. iaitu jarak antara tumit imam dengan hujung jari kaki makmum ialah sekadar satu jengkal sahaja. Demikian yang disebut di dalam kitab syarah Muhadhdhab oleh imam An-Nawawi.
  i) Suami/isteri
Apabila suami menjadi imam manakal isterinya menjadi makmum, maka jarak antara imam dengan makmum dalam kes ini adalah seperti yang biasa kita lihat sekarang, cuma isteri hendaklah berdiri di sebelah kiri suaminya. Itu sahaja.

ii) Sesama perempuan
Jarak imam dengan makmum dalam solat jamaah yang diimami oleh orang perempuan. sesetengahnya berpendapat imam perempuan berada dihadapan sedikit dari makmum, tetapi yang afdalnya menurut imam An-Nawawi di dalam Syarah Muhaddhabnya, imam perempuan hendaklah berdiri di tengah-tengah saf yang pertama, kemudian jarak antara saf demi saf adalah sebagaimana yang biasa kita lihat sekarang.
Sila rujuk buku:
1. Bimbingan Lengkap Ibadah Solat  DN 200

^ Kembali ke atas ^

 

260. Tempoh Kedatangan Haid
Soalan:

Saya ingin bertanya soalan mengenai haid. Sekiranya seseorang telah uzur, kemudian pada hari yang ke 7 dia telah suci. Setelah berlalu 3 hari suci, pada hari yang ke 10 terdapat tanda-tanda yang seakan-akan darah haid (berwarna perang). Walhal pada 3 hari suci itu dia telah beerpuasa. Soalannya bagaimana keadaannya pada waktu itu. Dan sekiranya ia didapati darah istihadah adakah perlu bersuci semula?

Zahariah, Bangi
Jawapan:
    Sebagaimana yang diketahui dalam madhhab Asy-syafi'i tempoh haid yang paling kurang bagi seseorang wanita ialah sehari semalam, paling sederhana ialah tujuh hari tujuh malam dan yang paling lama ialah lima belas lima belas malam. Dalam kes di atas seorang perempuan didatangi haid selama tujuh hari setelah itu ia suci 3 hari. Dalam tempoh suci tiga hari ini ia mengambil kesempatan untuk berpuasa. Setelah itu pada hari kesepuluh terdapat tanda-tanda haidnya datang kembali.

    Bagi menyelsaikan kes ini jika tempoh tanda-tanda datang haid selepas itu berlalu dalam jumlah hari yang jika dicampurkan dengan tempoh tujuh hari pertama haid masih belum cukup tempoh haid yang paling panjang
maka hukumnya tanda-tanda kedatangan yang kedua ini dikira sebagai sebagai haid juga. Ini bermakna puasa yang dilakukan oleh individu terlibat tidak sah kerana tempoh itu bukanlah tempoh suci dalam ertikata yang sebenarnya.Ia dikehendaki menggantikannya pada hari-hari lain.  
Sila rujuk buku-buku berikut:
1. Wanita & Darah DN 190
2. Pantang Larang Wanita DN 203

^ Kembali ke atas ^

 


All Right Reserved Darul Nu'man © EMAG 1991