Profil
Iklan Darul Nu'man
Laman Utama
Laman UtamaPANAS!!!Senarai Buku Terbitan DNAWAS!!!Borang PesananJemput LayarSampaikan Temanku

Undur
Laman 25
Maju
241. Mimpi Menurut Islam
Soalan:
Saya tidak percaya kepada mimpi. Tetapi jika mimpi yang sama berulang kali terjadi, setiap malam, berganti minggu, bersilih bulan dan tahun, saya jadi musykil. Saya ingin sekali mendapat tafsir mimpi ini. Saya selalu bermimpi, hujan yang cukup lebat, sehingga menjadi banjir, air yang agak kotor, sehingga menenggelamkan rumah saya. Dalam hujan yang lebat itu, tiba-tiba datang seorang lelaki yang datang membawa payung kepada saya. Saya tak kenalnya tetapi saya menerima ajakkannya berpayung dan berlindung dari hujan dan banjir itu. Saya mendonggak ke langit, saya melihat langit sungguh cantik, bintang penuh bercahaya di langit.

Tolonglah saya. Saya kini terganggu dengan mimpi itu. Kalau sesekali datang tak mengapa tapi ia selalu datang. 

Maryam ,Kota Bharu
Jawapan:
    Satu perkara yang perlu disedari, mimpi tidak boleh dijadikan hujjah ke atas hukum syarak. Ia sekadar berita-berita yang menggembirakan atau berita-berita amaran sahaja. Tidak lebih dari itu. Mimpi yang benar datang dari orang yang tidak pernah berbohong dalam hidupnya. Menurut Ibn Al-Qayyim semakin benar hidup seseorang itu semakin benar mimpi yang dialaminya. Selain itu orang yang bermimpi itu hendaklah berada dalam keadaan berwuduk dan tidur pula dalam suasana mengikut sunnah. Menurut Ibn Al-Qayyim lagi menjelang berlakunya kiamat hampir-hampir mimpi  seseorang mukmin tidak meleset sama sekali.

    Mimpi ada 3 bahagian iaitu mimpi yang datang dari malaikat. Mimpi ini adalah mimpi yang baik. Mimpi yang datang dari Syaitan. Mimpi ini tidak boleh diambil kira dan akhir sekali mimpi yang datang dari kesan kerja seharian. Dimana kesan ini terbawa-bawa ke dalam mimpinya. Kedua mimpi ini tidak boleh dipercayai. Selain itu di kalangan ulamak ada juga yang pakar dalam mentaabir mimpi. Antaranya Ibn Sirin dalam kitabnya Tafsir Mimpi. Kebolehan mentafsir mimpi jarang berlaku kepada manusia kecuali kepada mereka yang dipilih oleh Allah sepertimana yang berlaku kepada nabi Yusuf sewaktu berada di dalam penjara pembesar Mesir.

    Berhubung mimpi yang dialami oleh saudari di atas dapatlah disimpulkan dalam beberapa aspek. Antaranya keadaan hidup saudari susah, tetapi Allah SWT akan menghilangkan kesusahan itu dengan kedarangan seorang lelaki dalam hidup saudari dan ia akan menjadi suami yang bertanggungjawab kepada saudari dan membimbing saudari ke jalan yang lurus di dunia dan juga akhirat. Antaranya juga boleh jadi saudari sendiri sekarang kurang melaksanakan hak Allah dalam perlakuan hidup saudari dan kurang menghargai nikmat Allah yang dikurniakan Allah kepada saudari dengan melimpah ruah. Suatu hari nanti saudari akan insaf setelah saudari menghadiri majlis ilmu yang diadakan oleh salah seorang ulamak terkemuka di tempat saudari. Antaranya juga ia membawa maksud perlu saudari menghisab amalan saudari dari semasa ke semasa. Boleh jadi saudari ada hak Allah yang belum dibereskan, kerana itu saudari disarankan meperbanyakkan taubat kepada Allah.
Sila rujuk buku-buku berikut:
1.
Tafsir Mimpi Menurut Islam DN 101
2. Ilham, Kasyaf & Mimpi DN 195

^ Kembali ke atas ^

 

242. Tidak Khusyuk dalam Solat
Soalan:
Apakah hukumnya bagi orang yang tidak khusyuk dalam solat dan bagaimana seseorang itu hendak khusyuk dalam solat.  Adakah doa orang yang tidak khusyuk dalam solat diterima oleh Allah?

Saiful, Taiping
Jawapan:
    Khusyuk di dalam solat menurut jumhur ulamak adalah sunat hukumnya. Khusyuk membawa pengertian seseorang menunaikan solat dengan hati yang hadir, tidak berpaling kekiri dan kekanan, mata tertumpu ke tempat sujud dan fikiran ditumpukan kepada bacaan di dalam solat. Nabi SAW sangat-sangat menganjurkan kepada umatnya supaya khusyuk didalam solat.

    Bagaimanapun bagi orang yang tidak khusyuk di dalam solatnya tidaklah membuatkan batal solatnya. Solatnya tetap sah cuma ia mendapat pahala yang kurang, tidak sepenuhnya. Pahala diberi oleh Allah SWT bergantung kepada sejauh mana kekhusyukan seseorang itu didalam solatnya. Jika ia khusyuk di satu perdua solatnya, maka ia mendapat pahala satu perdua sahaja dari solatnya. Jika ia khusyuk sebanyak satu perlapan sahaja dari solatnya, bererti ia mendapat pahala sebanyak satu perlapan sahaja dari solatnya. Begitulah seterusnya. Untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat memerlukan perkara berikut:

1. Pakaian yang digunakan dalam solat hendaklah bersih dari najis.Begitu juga dengan sejadah. hendaklah bersih dan tidak mempunyai gambar-gambar yang boleh melalaikan orang yang menunaikan  solat.

2 Hendaklah menunaikan solat tepat pada masanya dan secara berjemaah.

3. Dalam suasana yang aman tanpa suara bising dari kanak-kanak mahupun dari TV atau Radio.

4. Imam hendaklah seorang yang elok bacaanya, kerana bacaan yang elok membantu menghadirkan hati. Imam itu pula tidak didbenci oleh ahli jamaah.

5. Bersihkan fikiran dari problem hidup dan tumpukan sepenuh perhatian kepada Allah.

6. Membuang air kecil dan air besar terlebih dahulu, jika merasa perlu berbuat demikian. Kerana orang-orang yang solat dalam keadaan menahan buang air kecil dan buang air besar tidak akan memperolehi kekhusyukan.

7. Kesihatan tubuh badan hendaklah dijaga. badan yang sakit sukar mendatangkan rasa khusyuk kepada hati di dalam solat.

8. Hati hendaklah hadir di dalam solat, bukannya melayang tak tentu arah.

9. Memahami makna bacaan di dalam solat.

10. Merasa gerun kepada Allah SWT.

11. Merasa takut kepadaNya.

12. Merasa malu kepadaNya.

13. Menaruh harapan mudah-mudahan Alah SWT menerima solatnya.

    Berhubung dengan doa pula, dalam sebuah hadis dijelaskan Allah SWT akan memperkenankan doa hambaNya yang bersungguh dalam doanya, tidak lalai di dalam doanya itu. Doa orang yang tidak khusyuk yang lalai hatinya tidak akan diperkenankan oleh Allah SWT lantaran keadaan hatinya yang lalai dari Allah SWT itu.
Sila rujuk buku:
1. Roh Sembahyang DN 070

^ Kembali ke atas ^

 

243. Hukum Mandi Berbogel
Soalan:
Assalamualaikum, apakah hukumnya mandi tidak bertutup (berbogel) di dalam bilik yang bertutup?
Ahmad, Alor Setar
Jawapan:
    Seseorang yang mandi telanjang di dalam bilik mandi di rumahnya apalagi jika mandi tersebut adalah mandi wajib hukumnya adalah makruh. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud yang menjelaskan Allah SWT itu suka kepada sifat malu, kerana itu apabila salah seorang dari umat Islam mandi, hendaklah ia menutup aurat. Hadis ini menjelaskan aurat kita walaupun di saat keseorangan dituntut supaya kita menutupnya, kerana di waktu itu yang layak kita malu ialah kepada Allah SWT semata-mata. Inilah sunnah Rasulullah SAW yang paling baik untuk kita mengikutinya.

^ Kembali ke atas ^

 

244. Cara Mandi Wajib
Soalan:
Bagaimanakah cara mandi wajib yang sebaiknya, maksud saya adakah dengan meratakan air terlebih dahulu? Dan bolehkah kita mandi wajib dengan air yang ditakung di dalam kolah yang tidak cukup 2 kolah, tetapi dalam masa yang sama air paip dibenarkan mengalir terus ke dalamnya?
Wan, Alor Setar
Jawapan:
Cara mandi wajib yang paling baik ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidhi.

1. Membaca basmalah sambil berniat untuk mengangkat hadas besar

2. Membasuh tangan sebanyak 3 kali.

3. Membasuh alat kelamin dari kotoran dan najis.

4. Mengambil wuduk sebagaimana biasa kecuali kaki. jangan dibasuh dahulu kaki. Ia akan dibasuh selepas mandi nanti..

5. Membasuh keseluruhan rambut di kepala.

6. Membasuih kepala berserta dengan telinga sebanyak 3 kali dengan 3 kali cebokan air.

7. Menjirus air ke seluruh bahagian badan di sebelah lambung kanan dari atas sampai ke bawah.

8 Menjirus lambung kiri dari atas sampai ke bawah.

9. Menggosok bahagian-bahagian yang sulit seperti pusat, ketiak, lutut dan lain-lain supaya terkena air.

10. Membasuh kaki.

    Boleh mandi junub dari bekas yang tidak sampai 2 kolah dengan syarat hendaklah menggunakan cebok kemudian menjiruskan ke seluruh badan, bukan dengan cara berendam di dalamnya. Pastikan air yang digunakan untuk menjirus badan itu tidak terpercik masuk ke dalam bekas yang tidak sampai 2 kolah itu. Menurut riwayat At-Tirmidhi dalam sahihnya Rasulullah SAW mandi junub dengan hanya satu gantang air sahaja. Satu gantang air masih belum sampai 2 kolah. Baginda tidak berendam di dalam belas yang baginda SAW ambil air darinya itu.  
Sila rujuk buku:
1. Bunga Idaman Mutiara Syurga 'Wanita Solehah' DN 148

^ Kembali ke atas ^

 

245. Mengganti Puasa yang Ditinggalkan
Soalan:
Tuan, saya banyak meninggalkan puasa semasa remaja, bagaimanakah caranya saya  hendak menggantinya, dan bolehkah tuan terangkan tentang fidyah dan bagaimana caranya?

Mohammad Sulaiman, KL
Jawapan:
    Puasa adalah rukun Islam yang keempat. Sesiapa yang meninggalkanya dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran bererti telah melakukan dosa besar di sisi Allah SWT. Walaupun ia berdosa di sisi Allah namun tugas mengqadakkan semula puasa yang ditinggalkannya hendaklah dilakukan. Begitu juga dengan pembayaran fidyah.Dalam kes ini jika seseorang itu banyak meninggalkan puasa. Tidak diketahui dengan tepat sudah beberapa tahun ditinggalkannya, ia hendaklah menyediakan cadangan sebagai mengambil langkah berjaga-jaga.

    Umpamanya ia meninggalkan puasa selama 10 tahun. Hendaklah ia mengqada'kan ke semua puasa yang ditinggalkannya itu, di samping membayar fidyah berupa secupak makanan untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan itu. Fidyah tidak boleh dibayar selagi ia tidak mengqada'kan puasanya terlebih dahulu. Bagi Imam An-Nawawi dalam Syarh Muhadhdhab orang yang meninggalkan puasa ini hendaklah mengqada'kan puasanya dengan segera dan qada' ini boleh dilakukan secara berturut-turut ataupun secara berselangan hari  
Sila rujuk buku:
1.
Bimbingan Lengkap Fardhu 'Ain - IBADAH PUASA DN 054

^ Kembali ke atas ^

 

246. Darah Selepas Bersalin
Soalan:
Apakah hukum orang perempuan yang mengerjakan ibadah solat dan puasa sekiranya masih ada lagi darah yang keluar dari saluran peranakannya selepas 4 bulan waktu bersalin. Apakah nama darah tersebut?

Azlan, KL
Jawapan:
    Darah yang keluar bersama anak yang dilahirkan dinamakan sebagai darah Nifas. Para ulamak menggariskan, paling lama darah ini keluar ialah 60 hari. Jika keluar lagi selepas itu ia tidak lagi dinamakan sebagai darah nifas sebaliknya dinamakan darah Istihadah. Dalam kes ini selepas 4 bulan bersalin masih lagi keluar darah dari alat kelamin yang terlibat. Darah ini jelas bukan darah nifas lagi sebaliknya ia termasuk ke dalam katogari darah Istihadah. Yang terlibat hendaklah menunaikan solat seperti biasa. Apabila masuk waktu sahaja, hendaklah segera membasuh alat kelaminnya, kemudian menyumbatnya dengan kapas atau tuala pelekat, setelah terus berwuduk dan segera menunaikan solat.
Sila rujuk buku:
1.
Wanita & Darah DN 190

^ Kembali ke atas ^

 

247. Niat dan Lafaz di dalam Solat
Soalan:
Ketika mana niat dan lafaz perlu diucap semasa solat?

Izwan, Baling
Jawapan:
    Niat adalah rukun dalam solat. Tanpanya solat tidak sah. Dalam Madhhab Asy-Syafi'i niat dihadirkan di dalam hati pada masa seseorang bertakbirratul Ihram di antara huruf Alif pada "ALLAH dan huruf Ra' pada "AKBAR" . Jika niat hadir di bahagian di antara dua huruf ini, bermakna yang terlibat sudah menghadirkan niatnya di dalam solatnya itu dan seterusnya sahlah solatnya. Berhubung dengan lafaz niat yang diucapkan oleh orang-orang yang bermadhhab Asy-Syafi'i di ngara kita hari ini, biasanya ia dilakukan sebelum takbiratul Ihram bermula bagi tujuan memudahkan kehadiran niat itu sendiri di dalam hati.

    Bagaimanapun Imam An-Nawawi dari kalangan ulamak madhhab Asy-Syafi'i menafikan imam Asy-Syafi'i ada berlafaz niat sebelum bertakbiratul Ihram di dalam kitabnya Syarah Muhadhdhab, bahkan beliau menganggap anggapan sesetengah orang tentang keperluan berlafaz niat sebelum takbiratul Ihram adalah satu kesilapan terhadap ucapan Imam Asy-Syafi'i sendiri. Apa yang perlu dibuat ialah kita dikehendaki mempelajari lafaz niat, tetapi apabila ketika menunaikan solat, terus sahaja kita meniatkannya di dalam hati semasa takbiratulihram mengikut jenis solat yang kita kehendaki, fardu atau sunat, tunai atau qada', dan berapa rakaat solat yang ditunaikan itu.
Sila rujuk buku:
1. Bimbingan Lengkap Ibadah Solat  DN 200

^ Kembali ke atas ^

 

  248. Hukum Tahhiyyat Awal
Soalan:
Hukum Tahhiyyat Awal, adakah ianya salah satu perkara yang wajib ketika menunaikan solat?

Izwan, Baling
Jawapan:
    Tasyahud pertama dalam solat bukanlah rukun solat itu sendiri sebaliknya ia termasuk ke dalam sunat Ab'ad yang mana jika seseorang tertinggal melakukannya akan menyebabkan orang yang, meninggalkannya dikehendaki menampung kekurangan ini dengan sujud sahwi di akhir solatnya. Bagaimanapun ini tidaklah bermakna ia boleh ditinggalkan sewenang-wenangnya kemudian di tampung dengan sujud sahwi. Kalau begitulah tujuan, sudah pasti akan merosakkan solatnya.
Sila rujuk buku:
1. Bimbingan Lengkap Ibadah Solat  DN 200

^ Kembali ke atas ^

 

249. Mandi Wajib Kerana Bermimpi
Soalan:
Bagaimanakah yang dikatakan kita harus mandi wajib setelah bermimpi bertemu dengan yang bukannya muhrim kita?
A. Ghafar, KL
Jawapan:
    Bentuk mimpi yang mewajibkan seseorang itu mandi wajib ialah mimpi melakukan persetubuhan yang menyebabkan seseorang itu keluar mani, di mana kesan keluar mani itu jelas kelihatan pada kain atau apa sahaja yang dipakainya sewaktu tidur. Air ini pula keluar secara memancut, baunya seperti bahagian yang berwarna putih pada telur ayam yang sudah direbus, keluarnya menyebabkan rasa sengal-sengal pada bahagian lutut dan disertai dengan rasa lazat. Jika ada tanda- tanda ini, jelaslah ia adalah sifat-sifat air mani lelaki. Begitulah yang disebut di dalam Kitab As-Siraj Al-Wahhaj karangan Syeikh Al-Ghamrawi salah seorang ulamak madhhab Syafi'i.

    Ini bermakna jika seseorang bermimpi melakukan persetubuhan dengan seseorang perempuan tetapi apabila bangun dari tidurnya tidak didapati sebarang kesan air mani pada pakanian yang dipakainya semasa tidur, tidak wajib ke atasnya mandi junub. Berbeza jika seseorang itu bangun dari tidur tiba-tiba di dapati kesan air mani pada pakaian yang dipakainya, padahal pada malamnya ia tidak bermimpi dan kebetulan tidak ada orang lain di dalam biliknya itu selain ia seorang saja yang tidur di situ, maka air mani itu adalah kepunyaannya, kerana masa tidur adalah masa seseorang tidak sedarkan diri dan tidak menyedari apa yang berlaku ke atas dirinya. Sehubungan dengan itu ia dikehendaki mandi junub.

^ Kembali ke atas ^

 

250. Hukum Mendengar Muzik dengan Tujuan Belajar
Soalan:
Apa pendapat ustaz berkenaan mendengar muzik barat dengan bertujuan mahu belajar, khususnya dalam bahasa inggeris? Muzik itu hanya didengar pada waktu-waktu tertentu dan liriknya agak baik iaitu tidak mengaitkan soal cinta dan seks semata-mata?

Ingin Tahu, K Kangsar
Jawapan:
    Mempelajari bahasa asing adalah digalakkan di dalam Islam. Rasulullah SAW menggalakkan para sahabatnya mempelajari bahasa asing. Dikalangan sahabat baginda ada yang dapat menguasai bahasa Habsyah, ada yang dapat menguasai bahasa Rom dan ada juga yang dapat menguasai bahas Farsi. Baginda memerintahkan Zaid bin Thabit mempelajari bahasa Yahudi untuk mengelakkan umat Islam dari ditipu oleh bangsa Yahudi.

    Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: Pelajarilah bahasa asing, kerana dengan mempelajarinya seseorang itu dapat mengelakkan diri dari tipu daya bangsa asing. Ini termasuklah mempelajari bahasa Inggeris, Jepun, Korea, German, Perancis dan lain-lain  di zaman moden ini. Jika pada kaset pelajaran bahasa Inggeris itu ada lagu-lagu yang tidak berunsurkan seks dan dipasang pada masa-masa tertentu sahaja serta untuk kepentingan bahasa yang dipelajari itu, tidaklah menjadi masalah menggunakan kaset seperti ini, namun sikap berhati-hati perlu diambil supaya tumpuannya hendaklah ditumpukan kepada bahasa yang dipelajari bukannya kepada muzik yang ada padanya. Mencari kaset bahasa inggeris yang tidak disertai oleh lagu-lagu ini adalah lebih baik.
Sila rujuk buku:
1. Adab Mendengar Irama dan Lagu DN 311

^ Kembali ke atas ^

 


All Right Reserved Darul Nu'man © EMAG 1991