Profil
Iklan Darul Nu'man
Laman Utama
Laman UtamaPANAS!!!Senarai Buku Terbitan DNAWAS!!!Borang PesananJemput LayarSampaikan Temanku

Undur
Laman 24
Maju
231. Makmum Ikut Imam dan Imam Ikut Siapa?
Soalan:
Bukan soalan tapi mahu kepastian. Kita sembahyang berimam, makmun berimamkan imam.
Imam pulak berimamkan siapa..? 
John Unggai ,KL
Jawapan:
    Soalan ini berkaitan dengan solat dalam Islam. Solat telah difardukan pada malam Israk 5 tahun sebelum hijrah. Menurut riwayat yang dikemukakan oleh Jabir bin Abdullah dan dikeluarkan oleh Ahmad, An-Nissa'i dan juga At-Tirmidhi setelah nabi SAW menerima perintah supaya mendirikan solat sebanyak 5 waktu sehari semalam, malaikat Jibril datang menemui baginda dan mengajar kepada baginda SAW teknik mengerjakan solat selama dua hari berturut-turut bermula dari waktu Zohor dan  berakhir pada waktu Subuh.

    Setelah itu nabi kita SAW menunaikannya mengikut tatacara yang diajar oleh malaikat Jibril. Dalam sahih Al-Bukhari nabi SAW memerintahkan umatnya supaya menunaikan solat mengikut sepertimana yang dilakukan oleh baginda SAW. Bagaimanapun  dalam masa jibril mengajar nabi mengerjakan solat itu tidak pula malaikat Jibril menjelaskan siapa- siapa yang menjadi imam kepada nabi SAW.

    Apa yang dijelaskan ialah agar solat itu ditunaikan dengan khusyuk di samping lengkap dengan rukun dan syaratnya sekali. Hati pula hendaklah dibulatkan kepada Allah SWT semata-mata. Oleh kerana ibadat solat termasuk ke dalam perintah yang berbentuk Tawqifi, maka tidak ada jalan kepada manausia mereka atau mencipta perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya yang tidak dibuat oleh baginda rasulnya SAW. Perintah berbentuk Tawqifi membawa maksud perintah yang mana praktiknya telah ditunjukkan oleh nabi SAW dengan lengkap dan manusia tidak ada ruang langung untuk menambah atau mengurang praktik ini.

    Satu perkara lagi mengemukakan persoalan seperti ini sebenarnya tidak patut dilakukan oleh seseorang yang betul-betul beriman kepada Allah dan rasulNya, kerana  antara sifat mukmin yang bertakwa itu ialah ia meninggalkan dari melakukan sesuatu kerja yang tidak mendatangkan manfaat kepada agamanya. Soalan seperti ini hendaklah dielakkan. Banyak lagi soalan-soalan lain yang bermanfaat yang boleh dikemukakan, yang bukan sahaja mendatangkan faedah kepada diri sendiri malah juga kepada orang lain. Imam tetap sebagai imam dan ia tidak mengikut siapa-siapa dalam solatnya.

    Sebaliknya makmum dikehendaki mengikut imam dalam solatnya sebagaimana yang makruf diketahui. Adalah dikhuatiri soalan seperti ini datang dari golongan batiniyah. Di zaman hayat Rasulullah SAW baginda SAW melarang orang Islam mengemukakan soalan yang pelik dan aneh-aneh. Umar Al-Khattab pula mengenakan denda kepada orang yang mengemukakan soalan seperti itu, kerana tidak semua perkara yang berkaitan dengan agama itu dapat difikirkan oleh akal manusia tentang hakikatnya. Tambahan pula jika seseorang tidak mengetahui siapa orang yang diikuti oleh imam dalam solatnya, tidaklah menjejaskan akidah dan ibadat yang dilakukan, malah syarak tidak pernah membebankan dirinya supaya mengetahui perkara itu. Yang penting ia tahu siapa imamnya ketika ia menunaikan solatnya, bukan mengetahui siapa yang menjadi imam kepada imamnya dalam masa solat itu dilaksanakan.

^ Kembali ke atas ^

 

232. Kahwin Melalui Wali Yang Tidak Sah
Soalan:
Masalahnya berlaku apabila seorang gadis ingin diperisterikan tetapi si bapa gadis tidak mahu masyarakat tahu yang anak gadisnya adalah hasil  di luar nikah lalu mewalikan anak gadisnya. Apakah hukumnya perkahwinan tersebut dan bagaimana menyelesaikan masalah ini sekiranya si gadis telahpun mempunyai anak dengan suaminya yang disangkanya sah itu?

Azmi, KL
Jawapan:
    Seseorang yang ingin berkahwin memerlukan kepada wali. Wali dalam perkahwinan adalah satu rukun yang penting. Tanpa kebenaran dari pihak wali sesuatu perkahwinan itu tidak sah. Wali yang paling afdal dalam sesuatu proses perkahwinan ialah wali mujbir iaitu bapa atau datuk. Bagi orang yang tidak mempunyai wali, maka yang menjadi walinya ialah wali hakim sebagaimana yang disebutkan didalam sebuah hadis sahih riwayat At-Tirmidhi.

    Jika seseorang itu tidak layak menjadi wali kepada sesuatu proses perkahwinan seperti mana dalam kes di atas, tetapi ia mewalikan juga perkahwinan itu kerana menutup malu dari tersebar kepada umum, maka hukum perkahwinan tersebut tidak sah. Pengantin terlibat hendaklah berpisah dengan pasangannya dengan seberapa segera. Jika ia masih bersama dengan pasangannya itu, bererti ia telah melakukan perzinaan, manakala anak yang dilahirkan adalah anak zina. Dalam kes ini suka dinasihatkan kepada yang terlibat supaya membuat aduan kepada pejabat agama di daerah masing-masing, supaya tindakan selanjutnya dapat diambil dan pasangan terlibat pula tidak terus menerus berada dalam perzinaan.
Sila rujuk buku:
1. Kursus & Bimbingan Perkahwinan DN 030

^ Kembali ke atas ^

 

233. Hukum Anak Luar Nikah
Soalan:
Hukum anak luar nikah tetapi baru berusia 2 bulan di dalam rahim ibunya sebelum dinikahkan?

Azmi, KL
Jawapan:
    Dalam sebuah hadis riwayat muslim menjelaskan larangan melakukan khalwat antara seorang teruna dengan seorang dara, kerana ia merupakan jalan mudah ke arah perzinaan. Dalam Al-Qur'an pula jelas melarang perzinaan kerana zina itu mendatangkan dosa besar dan boleh menghuru-harakan masyarakat dan negara.

    Jika seorang dara melakukan perzinaan dengan seorang teruna bererti ia telah melakukan dosa besar. Dalam Islam ia perlu dikenakan hukuman dirotan sebanyak 100 rotan seterusnya bertaubat kepada Allah. Ini sekiranya ia menyerah diri kepada pihak yang berkuasa.

    Jika ia tidak menyerah diri kepada pihak yang berkuasa, maka tidak wajib kepada pihak berkuasa mencarinya kerana perzinaan itu hanya menjadi rahsia antara dia dengan pasangannya sahaja dan ia akan menerima balasan Allah pada hari kiamat kelak, kerana dosanya tidak akan gugur selagi mana belum dilaksanakan hukum hudud tersebut ke atas dirinya.

    Persoalannya setelah melakukan perzinaan, si dara mengandung kemudian selepas dua bulan berlalu barulah pasangan terlibat berkahwin, dari segi berdosa ia tetap dikira berdosa tetapi dari segi sabit keturunannya anak itu layak dibinkan kepada pihak yang menzinai perempuan tersebut yang berkahwin dengannya.  kerana ulamak madhhab Syafii mensyaratkan sekurang-kurang untuk menyabitkan keturunan seseorang anak itu mestilah lahir selepas enam bulan dua saat dari tarikh ibubapanya berkahwin .

^ Kembali ke atas ^

 

234. Kiriman Doa Kepada Si Mati
Soalan:
Dalam soalan terdahulu ustaz ada menyebut bahawa sekiranya kita ingin mengirimkan bacaan ayat Quran kepada arwah, kita perlu mengirimkan dlm bentuk doa dan bukan sedekah.  Bolehkah Ustaz menerangkan dgn lebih lanjut berkenaan ini. Adakah betul jika saya membaca begini..."Aku menghadiahkan pahala bacaan surah Al-Fatihah ini kepada roh umat Islam di seluruh dunia" atau bagaimanakah cara yang betul?

Fatimah, KL
Jawapan:
    Menurut ijmak ulama', doa dan istighfar seseorang memberi manfaat kepada orang yang telah meninggal dunia yang difokuskan doa dan istighfar tersebut kepadanya. Doa kepada si mati ialah sebagai berikut; "Ya Allah, Ya Tuhanku ampunilah segala dosa yang dilakukannya dan rahmatilah ia",

atau membaca doa berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah segala dosa-dosa kami dan dosa-dosa orang yang sebelum dari kami".
Sila rujuk Buku feqah Islami keluaran Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur.
      Berhubung solat dan bacaan Al-Quran termasuklah membaca Al-Fatihah untuk si mati, ulama' Hanafi, Hanbali, Mutaakhir Syafi'i dan juga Maliki berpendapat pahala bacaannya sampai kepada si mati, jika ia hadir pada masa pengkebumian si mati tersebut. Menurut ulamak Hanbali boleh membaca Yasin di kubur si mati. Menurut riwayat Ad-Dar Qutni boleh membaca Qulhuallah sebanyak 10 kali di kubur si mati dan diniatkan pahalanya kepada si mati tersebut.

^ Kembali ke atas ^

 

235. Menuntut Ilmu Tanpa Guru
Soalan:
Saya pernah terbaca bahawa jika kita mempelajari ilmu agama dengan menbaca buku-buku atau kitab-kiab sahaja tanpa berguru, bermakna kita berguru dengan syaitan. Adakah ini benar dan apakah dalil-dalilnya? Bagaimana pula dengan cara melalui Internet ini?

Fatimah, KL
Jawapan:
    Para ulama' Islam menggesa umat Islam supaya menuntut ilmu melalui guru, untuk mengelakkan dari berlaku kesilapan dalam memahami ilmu yang dipelajari mereka. Imam An-Nawawi menegaskan tentang keperluan seorang pelajar mencari guru yang warak dan bertaqwa dalam kitab Syarh Muhadhdhabnya. Imam Syafii pernah menegaskan sesiapa yang menuntut ilmu tidak melalui guru, maka ia akan banyak mensia-siakan hukum.

    Menurut imam Abu Hanifah pula seseorang itu tidak akan dapat memahirkan diri dalam memahami ilmu, apabila majlis ilmu yang diadakan tidak diseliakan oleh guru yang berkelayakan. Syeikh Najmuddin Al-Kurdi menjelaskan dalam bukunya Tanwir Al-Qulub menuntut ilmu tanpa guru bererti menuntut ilmu dengan syaitan. Dalam dunia pembelajaran dewasa ini kesemuanya memerlukan kepada guru walaupun melibatkan ilmu tentang bahasa Inggeris, matematik dan lain-lain.

    Apalagi ilmu-ilmu yang bersangkut paut dengan ilmu agama. Kerana itu tidak hairanlah pihak berkuasa mewujudkan maktab-maktab perguruan di seluruh negara. Dewasa ini terlampau ramai orang yang ingin bercakap tentang Islam, walaupun ia sendiri bukanlah pakar dalam bidang tersebut, kerana itu kupasan dan olahannya lebih banyak menyeleweng dari betul. Sehubungan dengan itu institusi perguruan adalah sesuatu yang mesti dillalui oleh seseorang dalam menuntut ilmu.

    Jika seseorang itu sudahpun mempunyai asas- asas ilmu yang kukuh dalam bidang-bidang yang berkaitan, bolehlah ia membaca buku-buku yang berkaitan dengan bidangnya itu walaupu tanpa guru. Bagaimanapun jika ada kesamaran terhadap beberapa maklumat yang di bacanya, hendaklah dirujuk kepada gurunya semula. Jika ia tidak mempunyai asas, langsung tentangnya dan tidak dapat memahami apa yang dibacanya dengan baik,  orang seperti ini memerlukan kepada guru bagi mengelakkan salah faham . Apalagi jika ilmu-ilmu tersebut masih tertulis dalam bahasa Arab dan amat sukar kepada seseorang memahaminya tanpa guru.

    Berhubung ilmu-ilmu yang biasa disampaikan  melalui internet oleh orang yang berkelayakan, maka tidaklah salah mengambil ilmu ini. Ia termasuk juga dalam istilah berguru. Cuma tekniknya sahaja yang lebih moden. Tambahan pula permasalahan harian feqah contohnya merupakan antara permasalahan sudah biasa didengari oleh masyarakat umum dalam media massa.

^ Kembali ke atas ^

 

236. Pengakuan Berzina
Soalan:
Apakah cara yg betul untuk kita berkelakuan dgn org yg pernah melakukan zina yg diakuinya sendiri? Adakah patut kita memboikotnya? Apatah lagi jika dia adalah ahli keluarga kita sendiri?

Fatimah, KL
Jawapan:
    Dalam Islam seorang penzina lelaki tidak layak berkahwin kecuali dengan penzina perempuan yang dizinainya. Menurut sesetengah ulamak sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Wahbah Az-Zuhaili dalam Tafsirnya Tafsir Al-Munir, larangan berkahwin dengan penzina tersebut berkuatkuasa selagi mana penzina tersebut masih bergelumang dengan dunia perzinaannya. Namun setelah ia berhenti dari terlibat dengan perzinaan dan bertaubat, tidak menjadi kesalahan kepada lelaki yang baik yang tidak pernah melakukan perzinaan berkahwin dengannya.

    Sehubungan dengan itu tidaklah menjadi kesalahan kepada seseorang yang baik berkawan dengan seseorang yang pernah melakukan perzinaan jika ia telah bertaubat dan sudah tidak terlibat dengan dunia perzinaan lagi, walaupun penzina terlibat dari kalangan ahli keluarga sendiri. Tidak wajar memboikotnya, sebaliknya hendaklah teruskan berkawan denganya dan sentiasalah mengambil peluang menasihatinya supaua tidak mengulangi perbuatannya itu. Rahsia perzinaannya  jangan dihebohkan. Kerana untuk menyabitkan perzinaan mestilah melalui salah satu daripada 3 cara iaitu samada melalui pengakuan yang terlibat sendiri, penyaksian 4 orang saksi dan wujudnya kandungan tanpa bapa.

    Jika yang terlibat enggan mengaku berzina  walaupu ternyata ia betul-betul berzina, maka kita tidak boleh memaksanya mengaku berzina. Urusannya terserah kepada Allah pada hari kiamat kelak. Dalam hubungan seharian kita dikehendaki melayan mereka sebagaiman kita melayan saudara seislam yang lain juga. Boikot hanya boleh digunakan jika yang terlibat masih lagi bergelumang dengan perzinaannya dan enggan pula mendengar nasihat orang lain.  
Sila rujuk buku:
1.
Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih DN 224

^ Kembali ke atas ^

 

237. Penglibatan Dalam Pekerjaan Yang Syubhah
Soalan:
Saya bekerja dengan satu syarikat broker insurans. Tugas saya adalah memastikan bahawa pelanggan-pelanggan saya mendapatkan perlindungan insurans yang lengkap supaya jika ada bencana menimpa mereka, mereka boleh mendapatkan pampasan melalui polisi insurans yg mereka beli.

Bagaimanakah kedudukan saya di dalam hukum Islam?

Adakah saya hanya dibolehkan berurusan dengan Syarikat Takaful sahaja?

Ada pendapat yg mengatakan harus saya terus bekerja supaya lama kelamaan orang Islam akan bertambah maju dan mula mencari cara untuk kita mengislamkan sistem insurans seperti yang dilakukan oleh Takaful dan juga bank-bank yang sekarang mula mengamalkan Sistem Pembankan Tanpa Faedah. Saya pernah untuk meninggalkan pekerjaan ini dan memohon pekerjaan di Bank Islam kerana hanya karier pembankan yang sesuai dengan kelulusan saya. Apa pendapat Panel Ustaz?

Fatimah, KL
Jawapan:
    Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan juga Muslim jelas melarang seseorang itu menjerumuskan dirinya  ke dalam perkara yang syubhah. Ini bermakna penglibatan diri seseorang ke dalam perkara yang jelas haramnya seperti penglibatan dalam syarikat Insuran yang tidak berorientasikan Islam lebih hebat dan keras haramnya di sisi syarak, kerana bertentangan dengan nas yang melarang memakan riba.

    Dalam sebuah hadis riwayat At-Tirmidhi menjelaskan Allah SWT melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi riba, dua orang saksinya dan juga keraninya. Jika seseorang itu mampu berpindah ke syarikat lain yang lebih islamik, itu adalah lebih baik, kerana tindakan ini bersesuaian dengan kaedah feqah yang berbunyi: "Tinggalkanlah perkara yang meragukan anda kepada perkara yang tidak meragukan anda". Menurut Al-Qardawi dalam fatwanya untuk merubah sistem bank dan insuran yang diamalkan hari ini sekaligus tidak mungkin dan permasalahan riba tidak akan selesai.

    Sebaliknya ia hendaklah dilakukan secara beransur-ansur. Jika seseorang itu mengambil tindakan berhenti terus sudah pasti orang-orang yang bukan Islam akan mengambil alih, menyebabkan sistem riba masih terus beroperasi. Kerana itu menurut beliau orang-orang Islam yang berkerja di sini hendaklah terus berkerja tetapi jangan meredhai pekerjaannya itu dan ia bekerja itu atas dasar mencari kemahiran. Sesudah memiliki kemahiran ia hendaklah berusaha berpindah ke syarikat yang berteraskan Islam dan menggunakan kepakarannya itu untuk memajukan syarikat Insuran Islam. Wallah A'lam.  
Sila rujuk buku
1.
Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih DN 224

^ Kembali ke atas ^

 

238. Hukum Membaca Doa Semasa Sujud Terakhir Solat Fardhu
Soalan:
Apakah boleh menambah bacaan doa dalam bahasa arab dalam sujud terahir solat fardhu? Dan apakah boleh membaca doa dalam bahasa melayu di dalam hati semasa sujud terakhir solat fardhu dan sunat ?

Ila Haithim, KL
Jawapan:
    Menambahkan bacaan dalam bahasa Arab dalam sujud terakhir solat baik fardu mahupun sunat tidaklah membatalkan solat tersebut. Perkara ini telah ditegaskan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitab Rawdah At-Talibin. Malah boleh menambah bacaan berikut dalam bahasa Arab yang bermaksud: "Ya Allah Ya Tuhanku hanya kepada Engkau aku sujud, hanya kepada Engkau aku beriman dan hanya kepada Engkau aku menyerahkan diri. Wajahku sujud kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuknya, membuka pendengarannnya dan mencelikkan matanya dengan kekuatan dan qudratnya. Maha Suci Allah Dialah sebaik-baik Pencipta.".

    Membaca doa dalam sujud di dalam hati dalam solat fardu mahupun sunat tidaklah membatalkan solat, kerana ia tidak termasuk ke dalam kategori bercakap yang dilarang melakukannya di dalam solat, malah menurut Imam An-Nawawi jika seseorang itu tidak mahir dalam bahasa Arab harus kepadanya membaca terjemahan doa di dalam solatnya itu, tetapi bagi orang yang mahir menguasai bahasa Arab, tidaklah boleh berbuat demikian. Jika ia berbuat demikian juga batallah solatnya.

    Bagaimanapun kepada mereka yang tidak mengetahui bacaan di dalam solat ini hendaklah mempelajarinya dari guru-guru yang boleh dipercayai keilmuannya, supaya apa yang disebutnya itu betul dengan kaedah bahasa Arab. Ia tidak boleh membiarkan dirinya terus menerus membaca doa dalam bahasa Melayu di dalam solatnya.

^ Kembali ke atas ^

 

239. Siapakah Mu'az Ibn Jabal
Soalan:
Assalamualaikum ustaz, siapa itu Mu'az Ibn Jabal?

A. Ghafar, KL
Jawapan:
1. Muaz bin Jabal adalah salah seorang sahabat rapat Rasulullah SAW.

2. Nama beliau ialah Muaz bin Jabal bin Amru bin Aws bin Abid bin Kaab bin Amru Al-Ansari Al-Khazraji.

3. Seorang sahabat yang mahir tentang hukum halal dan haram di dalam Islam.

4. Pernah dilantik menjadi qadi di negara Yaman di zaman Rasulullah SAW.

5. Terlibat dalam peperangan Badar ketika berumur 21 tahun dan peperangan yang lain yang melibatkan Rasulullah SAW.

6. Seorang yang kacak dan warak.

7. Banyak menghafaz hadis. Antara yang mengambil hadis dari beliau ialah Umar bin Al-Khattab, Abu Qatadah, Abdur Rahman bin Usamah dan lain-lain.

8. Wafat di Syam ketika berumur 34 tahun sebagaimana menurut riwayat Ibn Hajar.

9. Ibunya bernama Hindun binti Sahl dari suku Rifaah.

10. Masuk Islam ketika berumur 18 tahun

11. Pakar dalam bidang bacaan Al-Quran sehingga Rasulullah SAW berpesan kepada para sahabat baginda yang lain supaya mempelajari Al-Quran dari beliau.
Sila rujuk buku-buku berikut:
1. Hayatus Sahabah - Kehidupan Para Sahabat
(Kategori Pendidikan & Tamadun)
2. Kisah Kehidupan Para Sahabat DN 025

^ Kembali ke atas ^

 

240. Masak Sotong dengan Cecair Hitam
Soalan:
Apakah hukumnya memakan sotong yang dimasak tanpa dibuang benda hitam dari dalam badannya?

Izzat, Dungun
Jawapan:
    Dalam surah Al-Maidah ayat 4 menjelaskan Allah SWT memerintahkan kita memakan makanan yang baik-baik yang dihalalkan olehNya. Para ulamak memutuskan semua binatang laut adalah halal dimakan kecuali yang mendatangkan mudarat kepada manusia. Mereka berhujjahkan dengan ayat 66 dari surah Al-Maidah yang menjelaskan Allah SWT menghalalkan binatang perburuan di laut manakala makanannya adalah halal untuk umat manusia.

    Dalam madhhab Asy-Syafi'i binatang-binatang laut seperti sotong, udang dan ketam adalah halal di makan, kerana ia tidak memudaratkan badan dan termasuklah ke dalam umum ayat 66 di atas. Bagaimanapun cecair berwarna hitam yang ada pada sotong hendaklah dihilangkan dan dibersihkan kerana ia dikhuatiri boleh memudaratkan badan. Cecair ini hendaklah dibuang di saat sotong itu hendak dimasak. Jika dimasak juga bersamanya tidaklah menjadi masalah memakannya. Bagaimanapun hukumnya adalah makruh, kerana dibimbangi boleh mendatangkan kemudaratan kepada badan. Islam adalah agama yang mengutamakan kesejahteraan. Dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan " Tidak ada kemudaratan dan boleh memudaratkan dalam Islam".
Sila rujuk buku:
1. Penghalang Kesucian Batin DN 109

^ Kembali ke atas ^

 


All Right Reserved Darul Nu'man © EMAG 1991