|
1. Apakah itu "Severe Acute Respiratory
Syndrome" (SARS)?
SARS adalah sejenis penyakit pernafasan akut
yang teruk yang boleh mengakibatkan penyakit radang paru-paru
("atypical pneumonia").
2. Apakah tanda dan gejala SARS?
Tanda dan gejala SARS adalah demam panas secara mendadak
(lebih 38°C atau lebih 100.4°F) dalam tempoh 10 hari
setelah mengunjungi kawasan / negara yang mempunyai jangkitan
SARS dan satu atau lebih masalah pernafasan seperti batuk,
sesak atau sukar bernafas. Tanda dan gejala SARS yang lain
adalah sakit tekak, sakit otot dan sakit kepala.
3. Apakah punca SARS?
Punca sebenar penyakit ini masih belum diketahui, namun ahli
sains telah mengesan sejenis "coronavirus" baru
yang tidak dikenali dalam tubuh pesakit SARS. Walaupun "coronavirus"
disyaki menjadi punca utama penyakit SARS, kajian ke atas
virus-virus lain yang mungkin menjadi penyebab SARS masih
terus dijalankan.
4. Bolehkah ia berjangkit dan bagaimana ia merebak?
Ya, SARS adalah sejenis penyakit berjangkit yang berbahaya.
SARS merebak melalui titisan cecair dari hidung dan mulut.
Pesakit SARS yang bersin atau batuk akan mengeluarkan titisan
cecair di udara dan individu yang berdekatan akan menyedutnya.
Penyakit ini berkemungkinan boleh merebak melalui udara atau
apabila titisan cecair dari pesakit SARS mencemari benda-benda
di sekelilingnya (seperti telefon dan tombol pintu).
5. Berapa lamakah seseorang itu akan jatuh sakit setelah
dijangkiti SARS?
Tempoh pengeraman / inkubasi ("incubation period")
adalah di antara 2-7 hari. Namun ada juga laporan yang menyatakan
tempoh pengeraman selama 10 hari.
6. Siapakah yang berisiko dijangkiti SARS?
Individu-individu yang berisiko adalah mereka yang baru kembali
dari kawasan / negara yang mempunyai jangkitan SARS. Kes-kes
SARS yang dilaporkan di kebanyakan negara adalah terdiri terutamanya
di kalangan anggota kesihatan yang tidak mengamalkan langkah-langkah
kawalan jangkitan dan mereka yang berhubung rapat secara langsung
dengan pesakit SARS (seperti tinggal serumah dengan pesakit
SARS).
7. Negara-negara manakah yang mempunyai jangkitan SARS?
Sejak Februari 2003, Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah melaporkan
berlakunya sejenis wabak radang paru-paru yang teruk dan mengkategorikan
negara China, Hong Kong, Taiwan, Vietnam, Kanada, Singapura,
Amerika Syarikat dan United Kingdom (London) sebagai "kawasan
yang mempunyai jangkitan".
("Kawasan yang mempunyai jangkitan" bermaksud
kawasan / negara yang mempunyai rangkaian jangkitan di kalangan
penduduk tempatan sebagaimana dilaporkan oleh Pihak Berkuasa
Kesihatan Awam Kebangsaan.)
8. Adakah Malaysia mempunyai kes SARS?
Ya, kes pertama SARS di Malaysia melibatkan kematian yang
dilaporkan pada 5 April 2003. Kes ini dilaporkan mendapat
jangkitan dari negara China.
9. Bagaimana SARS didiagnosa?
Buat masa sekarang, tiada sebarang ujian yang khusus untuk
mendiagnosa jangkitan SARS. SARS didiagnosa melalui tanda
dan gejala yang wujud, rekod kunjungan ke tempat-tempat yang
berisiko tinggi atau berhubung rapat dengan pesakit SARS.
10. Bolehkah SARS dirawat?
Setakat ini masih belum ada rawatan yang khusus tetapi
dengan rawatan sokongan dari hospital, ramai pesakit boleh
sembuh.
11. Adakah vaksin untuk mencegah SARS?
Tiada vaksin untuk mencegah SARS.
12. Apa yang perlu saya lakukan untuk melindungi diri
saya dan orang lain?
Patuhi langkah-langkah berikut :
- Jangan mengunjungi negara / kawasan yang mempunyai jangkitan
SARS.
- Elakkan diri dari berhubung rapat dengan pesakit SARS.
Sekiranya anda perlu berhubung dengan pesakit, anda dinasihatkan
untuk mengamalkan kebersihan diri yang baik dan menggunakan
penutup hidung dan mulut ("protective mask") yang
sesuai.
- Jauhi kawasan yang sesak.
- Amalkan kebersihan diri yang sempurna sepanjang masa iaitu
:
- Tutup mulut anda dengan tisu apabila anda batuk atau
bersin dan basuh tangan dengan air dan sabun terutama
sekali apabila anda menyentuh mata, mulut dan hidung.
13. Apa yang perlu anda lakukan sekiranya anda mensyaki
diri anda dijangkiti SARS?
Individu - individu yang mempunyai tanda dan gejala SARS
(seperti demam melebihi 38°C atau melebihi 100.4°F
dan mengalami satu atau lebih masalah pernafasan seperti batuk-batuk
dan kesukaran bernafas) dalam tempoh 10 hari selepas mengunjungi
negara / kawasan jangkitan SARS, perlu segera ke hospital
/ klinik kerajaan berdekatan untuk rawatan yang selanjutnya.
Tarikh: 13 April 2003
Bahagian Kawalan Penyakit,
Kementerian Kesihatan Malaysia.
Tingkat 2, Block A, Komplek Pejabat-pejabat Kesihatan, Jalan
Cenderasari, 50590 Kuala Lumpur. Tel: 03-2694 6394 - Fax:
03-2694 4193
|