|
Isteri Mengandung Diperiksa oleh Doktor Lelaki
Kedamaian dan ketenangan
hidup merupakan harapan setiap insan. Kemesraan dan kesefahaman
antara suami isteri, membuahkan kerinduan yang mendalam. Jika
kebahagiaan itu diganggu dengan duri-duri kehidupan yang menggores
jiwa dan perasaan, secara perlahan kemesraan rumahtangga tersebut
menjadi terhakis. Untuk menetapkan kebahagiaan rumahtangga
dari hakisan, hindarilah sesuatu yang dapat menimbulkan kebimbangan
dan keraguan dalam jiwa. Untuk itu pihak Darul Nu'man tertarik
untuk menyampaikan mesej ini sebagai renungan ummah. Kemusykilan
yang kami paparkan ini merupakan pertanyaan yang dilontarkan
kepada pihak kami dalam internet. Kemudian panel kami menjawabnya
dengan menggunakan pendekatan agama dan psikologi. Dari jawapan
itu kami merasa tertarik untuk menyampaikan perkara ini kepada
kita semua.
Soalan:
Ada suatu perkara yang selama ini mengganggu
fikiran saya, dan bagi saya ia telah menjadi perkara yang
SERIUS. Saya telah mempunyai empat orang anak, keempat-empat
anak saya tersebut lahir melalui perawatan doktor lelaki.
Semenjak dari pemeriksaan hinggalah sampai mereka lahir, doktor
lelaki itulah yang melaksanakannya. Yang menjadi kemusykilan
saya apakah pemeriksaan bulanan ketika mengandung yang dilakukan
oleh doktor lelaki tersebut dengan memegang bahagian-bahagian
aurat seperti perut dan sebagainya dikira sebagai darurat.
Sedangkan ketika itu isteri saya bukan dalam keadaan sakit
tapi dalam keadaan normal. Apakah hukumnya jika kita membiarkan
perkara itu terjadi di depan kita sedangkan mungkin kita boleh
mencari alternatif lain seperti mencari doktor pakar wanita
ataupun bidan?
Daripada,
Keluarga Muslim K. L.
Jawapan & Penjelasan:
Pada diri wanita ada ciri-ciri atau
kriteria yang spesifik dan itu tidak dimiliki oleh lelaki,
begitu pula sebaliknya. Apabila salah satu pihak meninggalkan
kriteria yang telah ditetapkan Allah bererti ia telah meninggalkan
fitrah dan merosak kudrat insaniah. Ada beberapa ketentuan
dalam syariat Allah sehubungan kriteria yang dimiliki oleh
wanita, oleh sebab itu berpegang teguhlah dengan syariat tersebut
dan jangan perkenankan lelaki campur tangan dalam urusan dalaman
jika tidak ingin dirugikan ataupun kehidupan fizikal dan kejiwaan
wanita akan rosak.
Syariat & Darurat
Secara syariat, wanita muslimah hendaklah
menjaga dirinya dan auratnya dari dilihat orang lain, kerana
jika perkara ini terjadi pasti akan menimbulkan fitnah.
Secara fitrah baik lelaki ataupun wanita yang bukan muhrim
bersentuhan pasti akan menimbulkan berahi dan getaran jiwa
yang akan mendatangkan tekanan syahwat baik banyak mahupun
sedikit. Inilah namanya nafsu yang pasti ada pada diri seorang
lelaki ataupun wanita yang normal.
Wanita mengandung ketika
mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki bukanlah
tergolong dalam keadaan darurat, kerana ketika itu wanita
tersebut bukan dalam keadaan sakit. Jika ia bukan dalam keadaan
darurat sudah tentu hukumnya berdosa ketika seorang doktor
lelaki menyentuh bahagian-bahagian tertentu tubuh wanita tersebut.
Kedudukan darurat dalam Islam adalah jika sesuatu keadaan
itu tidak ada pilihan lain, maka secara terpaksa atau harus
kita melaksanakan sesuatu yang pada dasarnya bertentangan
dengan ketetapan Allah. Umpamanya, memakan daging khinzir
hukumnya haram, namun ketika dalam keadaan tidak ada sedikitpun
makanan melainkan daging itu sahaja, sedangkan kita dalam
keadaan kelaparan yang boleh membawa maut, maka hukumnya menjadi
harus memakan daging tersebut sekadar mengelakkan dari mati.
Pemeriksaan Bulanan
Begitu juga halnya dalam masalah pemeriksaan
bulanan, ia bukanlah dalam keadaan darurat, sebab masih
ada cara lain atau alternatif lain untuk mencari doktor
wanita ataupun bidan yang beragama Islam. Apatah lagi di
negara kita sekarang ini mudah didapati doktor wanita, bahkan
di hospital dan klinik kerajaan pun kebanyakan yang memeriksa
wanita hamil terdiri dari doktor atau bidan wanita. Mengapa
kita mesti mencari doktor lelaki jika hanya sekadar menginginkan
kepakaran mereka disaat mengadakan pemeriksaan bulanan.
Bahkan doktor wanita yang pakar sakit puan pun telah ramai
di negara ini. Maka tidak timbullah istilah 'darurat' ketika
mengadakan pemeriksaan bulanan dengan doktor lelaki bagi
wanita hamil. Kecualilah ketika akan melahirkan, di mana
wanita yang akan melahirkan tersebut memerlukan pembedahan
dan perhatian yang serius dari ramai pihak. Maka ketika
ini barulah boleh dipakai istilah darurat tersebut, kerana
wanita yang ingin melahirkan itu tidak terfikir masalah
lain, melainkan ingin selamat melahirkan anaknya.
Aspek Psikologi
Ditinjau dari aspek psikologi pun proses
pemeriksaan bulanan yang dilakukan wanita hamil dengan doktor
lelaki ini akan menimbulkan kesan yang jauh dan negatif dalam
hubungan kekeluargaan. Bayangkan saja bagi seorang wanita
yang selama ini hanya disentuh oleh suaminya, tentu akan merasa
suatu getaran ketika lelaki lain menyentuhi tubuhnya. Rasa
kelainan dan getaran inilah yang membenihkan suatu keinginan
tertentu kepada yang lain selain suaminya, lebih-lebih lagi
ketika mereka
menghadapi masalah atau krisis rumahtangga. Perkara ini sepintas
lalu nampaknya macam perkara biasa dan sederhana, namun dalam
jangka masa panjang, kesannya sangat membahayakan minda dan
jiwa isteri tadi serta suaminya juga. Dalam hal ini bagi doktor
lelaki mungkin tidak merasakan apa-apa perasaan terhadap pesakitnya,
disebabkan terlalu ramai pesakit yang dirawatnya setiap hari
dan ini menjadikannya lali dengan keadaan tersebut. Namun
bagi seorang wanita yang normal dan sihat, getaran di jantungnya
pasti akan terasa dan getaran inilah yang dinamakan syahwat.
Jika perkara ini terjadi bukanlah bererti
setiap wanita yang hamil itu tidak baik atau wanita yang rendah
moralnya, malah perkara ini membuktikan kenormalan wanita
tersebut. Dalam hal ini kebijaksanaan suami sangat dituntut
untuk melaksanakan tuntutan Islam agar isterinya mengadakan
pemeriksaan bulanan dengan doktor wanita Islam sahaja.
Menggerakkan Nafsu Syahwat
Saya ingin membawa contoh yang sama
dalam diri seorang lelaki. Bagaimanakah rasanya perasaan
seorang lelaki jika bahagian tertentu tubuhnya disentuh
oleh doktor wanita dengan nada bahasa yang lemah-lembut
dan baik. Sebagai seorang lelaki yang normal, pasti dia
akan merasakan getaran di jantungnya, kecualilah jika ketika
itu ia betul-betul sakit (dalam keadaan darurat), sehingga
tidak ada yang lain difikirkannya melainkan kesembuhan dari
sakitnya itu. Begitu juga halnya dengan doktor wanita yang
menyentuh pesakit lelaki mungkin merasa lali dengan situasi
tersebut disebabkan propesi dan tanggungjawabnya sebagai
seorang doktor.
Keretakan Rumahtangga
Fahamilah tentang kaedah batas-batas aurat
bagi seorang wanita atau lelaki yang bukan muhrim. Jika perkara
ini tidak diberi perhatian secara serius, lama kelamaan akan
runtuhlah sendi institusi rumahtangga keluarga muslim. Seandainya
seluruh umat Islam tidak mengambil berat tentang perkara ini,
bukan saja institusi rumahtangga malah negara pun akan runtuh
kerana kejatuhan nilai moral dan agama dalam kehidupan bangsa.
Peliharalah diri dan keluarga kita agar kehidupan bahagia
di dunia dan di akhirat serta terhindar dari seksa api neraka.
|