Cucu Kesayangan Rasulullah
...
esungguhnya
kehidupan dan kematiannya merupakan gambaran yang indah dari insan
yang mulia, penuh pengorbanan, iffah, suci, jiwa yang tenteram
dan bersih. Patut baginya memperoleh kedudukan yang tinggi di
dunia dan di akhirat, kerana dia adalah cucu Rasulullah SAW putera
Saidina Ali ra. dan Fatimah Az-Zahrah, serta saudara kandung Husein,
penghulu para syuhada. Layak pula baginya memperolehi tempat yang
mulia di antara orang-orang soleh, kerana beliau meninggalkan
jabatan khalifah dengan cara bermandikan darah para syuhada. Beliau
mengutamakan meninggikan bendera Islam sebagai ganti mengumandangkan
teriakan perang. Hatinya memancarkan rahmat, kasih sayang, kalbunya
diliputi dengan perasaan kasih, dan jiwanya penuh dengan sifat
keutamaan.
Bekas ciuman Nabi bau semerbak dari bibirnya.
Baginda SAW mencintai Hasan dan saudaranya Husein, sehingga
menjadikan kehidupan keduanya bagai kehidupan para malaikat.
Keduanya hidup dalam naungan Ilahi. Pada masa kanak-kanaknya
yang suci, mereka diberi ucapan-ucapan wahyu di lingkungan kenabian.
Rasulullah SAW memberinya pelajaran dan cara hidup Islam serta
pendidikan Ilahi. Dari lingkungan kedua orang tuanya, mereka
mengambil suri teladan yang mulia. Dalam lingkungan yang jelas
dan positif itulah Saidina Hasan dan Saidina Husein hidup berdampingan
satu sama lain.
Hampir tiada berlalu suatu haripun tanpa
baginda SAW mengungkapkan kepada para sahabatnya tentang cintanya
kepada cucu-cucunya. Badan Saidina Hasan banyak kemiripannya
dengan bentuk badan Rasulullah. Diriwayatkan bahawa suatu hari
Abu Bakar dan Ali sedang keluar dari masjid selesai solat. Tiba-tiba
mereka berdua melihat Hasan ra. sedang bermain. Lalu Abu Bakar
ikut mengajaknya bermain. Setelah itu beliau berkata kepada
Ali ra.: “Demi Allah, dia lebih mirip dengan Nabi SAW daripada
denganmu.” Mendengar yang demikian itu Saidina Ali ra. tertawa.
Tentang kecintaan Nabi SAW kepada Saidina
Hasan dan Saidina Husein, Abu Hurairah ra. pernah berkata: “Rasulullah
SAW datang kepada kami bersama kedua cucunya, Hasan dan Husein.
Yang pertama ada di bahunya yang satu, dan yang kedua ada di
bahunya yang lain. Sesekali baginda SAW menciumnya, sampai baginda
berhenti di tempat kami. Kemudian baginda bersabda: “Barangsiapa
mencintai keduanya (Hasan dan Husein) bererti ia mencintai aku.
Barangsiapa membenci keduanya bererti ia membenci aku.” Hadith-hadith
yang berhubungan dengan kecintaan baginda SAW terhadap Saidina
Hasan dan Saidina Husein banyak disebut dalam sejarah Nabi SAW.
Berkaitan dengan Saidina Hasan, Nabi SAW
memberitahukan bahawa ia akan mendamaikan antara dua golongan
kaum muslimin. Beberapa tahun setelah itu ramalan tersebut betul-betul
terjadi. Peristiwa itu terjadi setelah wafatnya Rasulullah SAW
dan setelah Saidina Ali ra. meninggal dunia. Saat itu penduduk
Irak datang untuk membaiat Saidina Hasan. Mereka percaya bahawa
Saidina Hasanlah yang paling berhak menduduki jabatan khalifah.
Pada waktu yang bersamaan penduduk Syam
membaiat Muawiyah, sehingga pertempuran baru antara Irak dan
Syam tidak dapat dihindari lagi. Di sinilah nampak kecerdasan
Saidina Hasan. Beliau berfikir, terbayang dalam benaknya apa
yang pernah terjadi dalam perang Shiffin. Di situ ia melihat
ramainya korban yang terbunuh dan darah yang mengalir, mengakibatkan
anak menjadi yatim dan perempuan menjadi janda. Apa yang dihasilkan
oleh perang hanyalah kebinasaan dan kerosakan. Beliau khuatir
terulangnya kembali peristiwa peperangan dan pertumpahan darah
antara sesama kaum muslimin.
Ketika ia sedang mencari jalan penyelesaian
dari terjadinya pertumpahan darah tersebut, tiba-tiba datang
surat dari Muawiyah kepadanya. Di dalamnya tersirat politik
Bani Umaiyah untuk mengadakan perdamaian dengan syarat Saidina
Hasan dijanjikan akan menjadi khalifah nanti setelah kematian
Muawiyah.
Setelah Saidina Hasan selesai membaca surat
tersebut, serta merta ia mengutus utusan untuk menemui saudaranya
Husein di Madinah. Ia menganjurkannya menerima usul perdamaian
tersebut. Demikian pula sikapnya saat para pemuka penduduk Irak
berkumpul di gedung pertemuan di Irak. Beliau berkata kepada
mereka: “Sesungguhnya kalian membaiatku adalah untuk berdamai
dengan orang yang mengajak damai dan berperang dengan orang
yang mengajak perang. Sesungguhnya aku telah membaiat Muawiyah,
maka dengarlah kata-kataku.”
Peristiwa ini diterima oleh penduduk Iraq
secara terpaksa. Begitu pula halnya dengan Saidina Husein, beliau
menerimanya secara terpaksa pula. Pada dasarnya semuanya menghendaki
agar jabatan khalifah dipegang oleh keluarga Nabi, bukan didahului
oleh Bani Umaiyah. Akan tetapi cara berfikir Saidina Hasan menuju
kepada mencegah pertumpahan darah di kalangan kaum muslimin.
Cukuplah bagi beliau apa yang pernah terjadi dalam perang Shiffin.
Akan tetapi Muawiyah tidak ingin menepati janjinya. Ia telah
menetapkan perintah membaiat anaknya, Yazid. Politiknya adalah
jangka panjang, meskipun pada mulanya keinginannya belum tercapai,
namun ia menjadikan strateginya itu secara bertahap.
Akibatnya setiap sahabat Rasulullah SAW
yang mendengar maksud Muawiyah tersebut bukan main marahnya.
Sebab jabatan khalifah akan dipegang oleh penguasa yang bengis,
sebagaimana yang pernah diberitakan oleh Rasulullah SAW.
Namun meskipun Saidina Hasan menjaga jangan
sampai terjadi pertumpahan darah di kalangan kaum muslimin.
Tapi tetap saja perkara-perkara lain muncul di hadapannya. Pada
akhirnya berkali-kali beliau menghadapi usaha orang lain yang
hendak meracuninya, tapi masih boleh diubati. Orang-orang tersebut
tidak puas jika belum berhasil dalam usahanya. Hingga suatu
ketika Saidina Hasan merasakan adanya racun pahit yang ada dalam
makanannya. Rasanya seperti ditikam pisau dalam perutnya. Dengan
menahan rasa sakit yang keras itu, beliau bertanya kepada saudaranya
Saidina Husein: “Siapa yang menyembunyikan racun tersebut?”
Saidina Husein tidak boleh menjawab, dan tidak lama kemudian
beliau pun wafat.
Peristiwa itu terjadi pada tahun 50 H menurut
pendapat yang paling kuat, dan seluruh penduduk Madinah ikut
berkabung, menguburkan jasadnya yang suci di Baqi’. Dikhabarkan
di tempat itu tersebar bau harum sewangi kasturi, seolah-olah
para malaikat menaburkan wewangian syurga di dalamnya.
Semoga Allah memberi rahmat kepada Saidina
Hasan dan Saidina Husein. Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda
tentang mereka berdua: “Mereka berdua termasuk pemuka para pemuda
ahli syurga.”
^ Kembali ke atas
^
Pemuka Para Pemuda Ahli
Surga
Sejak saat kelahirannya, seisi langit menyambut
kehadirannya. Seisi bumi di sekitarnya memancarkan sinar kesucian,
diliputi dengan rahmat dan semerbak bau wangi yang ditaburkan
oleh para malaikat. Ketika Rasulullah SAW mendengar bahawa puterinya
Fatimah Az-Zahrah dikurniai putera, baginda bergegas menuju ke
rumahnya. Nabi SAW menjumpainya dengan raut wajah yang bersinar,
bak purnama.
Begitulah kebiasaan baginda ketika mendengar
berita gembira. Kemudian Nabi mendekat kepada bayi yang masih
suci, mengumandangkan azan di telinganya seperti azan solat.
Itulah kalimat pertama yang didengar oleh Saidina Husein setelah
kelahiran beliau di dunia pada tanggal 5 Syaban 4 H. Sebelum
Rasulullah SAW berangkat ke rumah puterinya, Fatimah, baginda
sudah mempersiapkan nama untuk bayi tersebut dengan nama “Husein”,
suatu nama yang belum dikenal oleh bangsa Arab pada waktu itu.
Husein ra. hidup di rumah ayahnya di Madinah.
Rasulullah SAW pun mencintainya, dan mencintai saudaranya, Hasan
ra. dengan cinta yang amat dalam. Kecintaan baginda itu digambarkan
oleh Usamah Ibn Zaid dalam suatu peristiwa yang disaksikannya
sendiri. Usamah berkata: “Aku mengetuk pintu rumah Rasulullah
SAW sambil membawa sesuatu yang tidak aku ketahui apa yang dibawanya.
Setelah selesai dengan tujuan yang saya inginkan, aku bertanya
kepada baginda: “Engkau sedang membawa apa ya Rasulullah?” Baginda
pun membukanya. Ternyata itu adalah Hasan dan Husein. Baginda
bersabda: “Kedua anak ini adalah anakku, dan anak puteriku.
Ya Allah, sungguh aku mencintai keduanya. Maka cintailah keduanya,
dan cintailah orang yang mencintai keduanya.”
Apabila Hasan dan Husein datang kepada datoknya,
Rasulullah SAW, baginda memeluk mereka dengan kasih sayang dan
menciumnya satu persatu, kemudian memangkunya di atas pahanya.
Para sahabat di sekitar baginda segera mengucap: “Sesungguhnya
keduanya adalah pemuka para pemuda ahli syurga.” Sebahagian
dari ucapan Rasulullah yang mencerminkan gelora kasih sayangnya
pada Saidina Husein adalah, “Husein itu dariku dan aku dari
Husein. Semoga Allah mencintai orang yang mencintai Husein.
Husein adalah cucuku.”
Husein ra. tumbuh dalam lingkungan yang
paling bersih dan mulia dari sifat manusiawi. Datuknya adalah
Rasulullah SAW pemuka sekalian makhluk. Ayahnya adalah Ali Ibn
Abi Thalib Karramallahu Wajhahu, memiliki peringkat teratas
dari sifat dermawan, penuh pengorbanan, berjuang, dan patuh
kepada Allah dan Rasul-Nya. Ibunya adalah Fatimah Az-Zahrah,
seutama-utama perempuan pada masanya. Maka memadailah jika dikatakan
bahawa dia adalah puteri Rasulullah SAW, isteri bagi pemimpin
para pejuang, dan ibu dari pemuka para pemuda ahli syurga.
Dalam persekitaran perjuangan yang berbau
kenabian yang bersinarkan wahyu serta penuh dengan peristiwa
jihad inilah Saidina Husein ra. menghabiskan masa kanak-kanaknya
yang pertama. Di sekitar rumah ayahnya, Ali Ibn Abi Thalib,
dan rumah datuknya Rasulullah SAW sampai beliau menginjak 6
tahun 7 bulan 7 hari, Rasulullah SAW pun wafat. Peristiwa wafatnya
Rasulullah itu disaksikan oleh Husein ra. Bagaimana penduduk
kota Madinah diliputi dengan rasa duka, dan bagaimana duka yang
dialami oleh kaum muslimin yang sangat mendalam itu boleh menghilangkan
akal sebahagian dari mereka. Sehingga orang genius seperti Umar
Ibn Al-Khatthab diliputi dengan fikiran kosong. Umar berseru
kepada orang-orang: “Barangsiapa berkata bahawa Muhammad telah
mati, akan aku bunuh dengan pedangku ini!” Semua itu disaksikan
oleh Husein ra.
Kemudian dia mendengar perihal ayahnya dan
kaum muslimin yang bercakap-cakap tentang perang Riddah. Beliau
hidup semasa peristiwa-peristiwa itu terjadi dalam keadaan jiwanya
yang bersih. Tatkala mencapai usia remaja, ia menjadi anggota
barisan para pejuang. Ia ikut bersama ayahnya dalam perang Jamal,
Perang Shiffin dan perang melawan kaum Khawarij.
Ayahnya, Ali Ibn Abi Thalib, adalah pemimpin
perang yang berwawasan jauh. Allah memberinya ilham terhadap
perkara-perkara yang ghaib dan tidak dapat dijangkau oleh semua
orang. Ketika beliau keluar dari Madinah menuju ke Kufah dan
sampai di Karbala, beliau mengarahkan pandangannya di tanah
tersebut dengan pandangan yang amat dukacita. Beliau berkata:
“Di sinilah tempat pemberhentian perjalanannya, dan di sinilah
tertumpah darahnya.”
Orang-orang di sekitarnya tidak mengerti
ungkapan sedih dan mengharukan tersebut. Baru setelah beberapa
tahun kemudian, terjadilah di situ peristiwa berdarah dalam
peta dunia Islam. Rebutan kekuasaan dan peralihan kepemimpinan
khalifah menjadi raja yang bengis sebagaimana hal tersebut pernah
dikhabarkan oleh Rasulullah SAW, iaitu ketika Muawiyah membaiat
puteranya, Yazid, dengan paksa. Seandainya tidak kerana kebijaksanaan
Husein ra., tentu darah kaum muslimin akan tumpah.
Pendiriannya boleh mencegah pecahnya perang
antara golongan pembaiat dan penentangnya. Akan tetapi pertentangan
tetap ada, meskipun secara sembunyi-sembunyi dalam tiap peribadi
dan tidak nampak kecuali setelah kematian Muawiyah. Para pemuka
Kufah mengirim surat kepada Husein ra. meminta kepadanya agar
hadir di Kufah untuk dibaiat. Husein menghadapi perkara ini
dengan cermat. Beliau mengutus anak bapa saudaranya Muslim Ibn
Aqil. Tapi ketika Ubaidillah Ibnu Ziyad menjadi penguasa Basrah,
Muslim Ibn Aqil dibunuhnya. Peristiwa itu terjadi pada 9 Zulhijjah
60 H.
Peristiwa pembunuhan Muslim Ibn Aqil tersebut
terjadi sebelum keluarnya Husein ra. dari Makkah ke Kufah selang
satu hari. Oleh kerana itu Husein ra. tidak tahu tentang terbunuhnya
Muslim Ibn Aqil sampai beliau tiba di Qadisiyah. Beliau mengutamakan
kembali ke Makkah, namun kaum kerabat Muslim Ibn Aqil, tetap
ingin melanjutkan perjalanan menuntut balas atas kematian saudaranya.
Pengikut Husein ra. ketika itu sekitar 70 orang, terdiri dari
keluarga dan pendukungnya, baik dari kalangan lelaki, perempuan
mahupun anak-anak.
Kejadiannya sangat cepat. Ketika dua utusan
Husein terbunuh lagi, saat mengingatkan penduduk Kufah tentang
syarat dan ajakan mereka untuk membaiatnya, dua utusan tersebut
dibunuh oleh Ubaidillah Ibn Ziyad. Keadaan semakin serius, sampai
pada puncaknya berakhir di Karbala, di mana kepala-kepala keluarga
Rasulullah dipenggal, lalu kepala tersebut dibawa di atas hujung
tombak menuju ke Ubaidillah Ibn Ziyad, kemudian diserahkan kepada
Yazid Ibn Muawiyah di Damaskus. Husein terbunuh oleh orang yang
bernama Syamr Ibn Dzi Jausyan, yang kemudian ia mendapat murka
Allah, para malaikat dan kaum muslimin seluruhnya.
Kepala Husein yang mulia tersebut dipindahkan
dari satu kota ke kota yang lain, kemudian ke kota Asqalan.
Di situlah penguasa setempat menguburkannya. Lalu ketika bangsa
Eropah berkuasa pada waktu perang Salib, Thalaih Ibn Raziq menebusnya
dengan wang 30.000 dirham agar kepala tersebut boleh dipindahkan
ke Kairo dan dapat dikubur di tempat di mana ia mati syahid
semasa hidupnya.
Tentang kepala Husein ra. di tempat syahidnya
itu, para ahli sejarah berpendapat: bahawa ketika Abd Rahman
hendak memperluas bangunan masjid Al-Husein, tempat tersebut
ramai dikunjungi oleh orang-orang, termasuk di antaranya dua
ulama popular, iaitu Syekh Al-Jauhary As-Syafi’i dan Syekh Al-Malwi
Al-Maliki. Keduanya menyaksikan apa yang terdapat di dalam kuburan
Husein. Diketahui bahawa kepala Saidina Husein ra. dibungkus
dengan kain sutera berwarna biru yang diletakkan dalam pundi
emas di atas tempat ebonit. Demikian pula banyak petunjuk-petunjuk
lain tentang kepala Saidina Husein ra. dalam makam tersebut.
Allah menghendaki agar peristiwa yang menimpa
pada cucu Rasulullah itu berlaku adil. Tiga tahun kemudian Yazid
Ibn Muawiyah mati dengan cara yang hina, iaitu jatuh dari kudanya
ketika sedang mengejar monyet. Lehernya patah, kuku kaki kudanya
patah dan meringkik tidak tentu hala. Adapun Syamr Ibn Dzi Jausyan,
si pembunuh Husein ra., terbunuh oleh Mukhtar Ibn Abi Ubaid
As-Tsaqafi, pelopor gerakan Tawwabin. Ia melemparkan jasad Syamr
Ibn Dzi Jausyan agar dimakan anjing. Begitu pula nasibnya Ubaidillah
Ibn Ziyad, terbunuh lalu dibakar. Sedangkan sisa-sisa pengikut
Yazid Ibn Muawiyah mati terbunuh di tangan kelompok Tawwabin
lainnya.
Allah memuliakan Kairo dengan dimakamkannya
kepala Saidina Husein dan dikuburkannya beberapa Ahl Al-Bait
di sana. Semoga Allah meredhai mereka dan memberinya tempat
yang mulia dan darjat tertinggi di dunia dan akhirat.
^ Kembali ke atas
^