Membasuh Tangan 120 Kali
...
bu
Nawas bekerja sebagai orang kepercayaan Raja Ali Ibnu Bakri. Abu
Nawas dikenali sebagai orang cerdik dan ahli dongeng yang termasyhur.
Suatu hari Raja mengalami ketegangan fikiran selepas bekerja sepanjang
hari mengurus rakyat. Sang Raja memerintahkan kepada Abu Nawas
bercerita mengenai kisah-kisah aneh dan ajaib, yang menjadi kegemaran
sang Raja, untuk menghilangkan sedikit ketegangan jiwa yang dialaminya.
Kebiasaannya, Raja mendengar kisah-kisah Abu
Nawas pada malam hari, iaitu sebelum sang raja menidurkan matanya.
Abu Nawas menjawab, “Dengan senang hati, wahai raja yang baik
dan bahagia...”
Dikisahkan, wahai Raja yang bahagia, salah seorang pelayan istana
berkata kepada raja Cina:
Wahai Raja zaman ini, tuan rumah memerintahkan
para pelayannya agar mengambil air dan semua yang diperlukan untuk
membasuh tangan salah seorang tamunya yang dianggap agak ganjil
dan aneh. Tamu itu lalu membasuh tangannya dengan air bercampur
sabun, garam dan daun sebanyak seratus dua puluh kali basuhan.
Selepas itu barulah ia makan ‘ragut’(sejenis
makanan yang berasal dari sebuah desa di Baghdad), tetapi pemuda
itu memakannya seolah-olah dengan perasaan jijik dan mual, sementara
kami memandangnya dengan penuh kehairanan, sebab tangannya dan
malah sekujur tubuhnya menggigil.
Bila kami melihat tangannya, barulah kami
mengetahui bahawa ibu jarinya terpotong, dia makan hanya dengan
empat jari, sehingga menyebabkan makanan itu berjatuhan dari tangannya.
Kami menyoalnya dengan hairan, “Apa yang terjadi dengan ibu jarimu?
Apakah Tuhan menciptakanmu dalam keadaan seperti ini, atau apakah
engkau pernah mengalami kemalangan?”
Pemuda itu menyahut, “Demi Tuhan, bukan hanya ibu jari ini saja
yang hilang, tetapi juga ibu jari tanganku yang satu lagi, dan
tumit kedua-dua kakiku, seperti yang akan kalian lihat.”
Lalu dia menunjukkan tangan kirinya dan kedua-dua
kakinya. Kami melihat bahawa tangan kirinya nampak seperti tangan
kanannya dan kedua-dua kakinya, tidak mempunyai tumit. Ketika
kami melihatnya, kehairanan kami semakin bertambah, hingga kami
berkata padanya, “Kami tak sabar menunggu kisahmu dan penyebab
terpotongnya kedua ibu jari serta tumit kakimu dan mengapa engkau
membasuh tanganmu seratus dua puluh kali.”
Pemuda itu berkata, “Ayahku adalah salah seorang
pedagang yang paling terkemuka di Baghdad pada masa pemerintahan
khalifah Harun Al-Rasyid. Tetapi ayahku gemar minum anggur dan
bermain muzik kecapi, sehingga ketika dia meninggal ayahku tidak
mewariskan sesuatu pun kepadaku.
Aku melaksanakan upacara pemakaman baginya,
mengadakan pengajian Al-Quran, dan terus berkabung untuknya dalam
masa yang cukup lama. Lalu aku membuka kedai peninggalan ayahku
dan mendapati bahawa dia hanya meninggalkan sedikit harta dan
banyak hutang. Maka aku terpaksa menjelaskan dan membayar kesemua
hutang ayahku dengan membayarnya beransur-ansur.
Aku mula melakukan jual-beli dan membayar
hutang ayahku minggu demi minggu, hingga akhirnya aku berjaya
menjelaskan kesemua hutang ayahku dan modalku mula bertambah.
Suatu hari, ketika aku sedang duduk di kedaiku, datanglah ke pasar
seorang gadis muda yang cantik, yang kecantikannya belum pernah
kulihat tandingannya, berpakaian mewah dan dihiasi permata.
Dia menaiki seekor keldai betina, dengan seorang
hamba sahaya berkulit hitam berjalan di hadapannya dan seorang
lagi di belakangnya. Gadis itu turun dari keldainya dan terus
memasuki pasar. Baru saja dia melangkahkan kakinya ke pasar, seorang
pengawal datang mengikutinya dan berkata, “Tuan puteri, masuklah,
tapi jangan sampai ada orang yang mengenalimu, sebab kita akan
menghadapi kesukaran.”
Lalu pengawal itu berdiri berjalan di hadapan
sang gadis, sambil melihat-lihat kedai. Tetapi kerana mendapati
tidak ada kedai yang buka kecuali kedaiku, gadis itu mendatangi
kedaiku. Gadis itu menegurku, lalu duduk....
Tiba-tiba fajar pun menyingsing. Abu Nawas
terdiam, lalu sang Raja berkata, “Ceritamu benar-benar aneh dan
indah!” Abu Nawas menjawab, “Esok malam ceritanya lagi menarik
dan lagi indah.”
^ Kembali ke atas
^
Gadis yang Membeli Kain
Malam berikutnya, sang Raja memerintahkan
kepada Abu Nawas untuk meneruskan kisah-kisah aneh dan ajaib,
yang menjadi kegemaran sang Raja. Abu Nawas menjawab, “Dengan
senang hati, wahai raja yang baik dan bahagia...”
Hamba mendengar, wahai Raja yang bahagia, pelayan itu menceritakan
kepada raja Cina bahawa pemuda itu berkata:
Gadis itu duduk di kedaiku dan membuka tudung
penutup wajahnya. Ketika aku melihatnya, jantungku berdetak keras.
Gadis itu bertanya, “Apakah engkau mempunyai kain?”
Aku menjawab, “Tuan puteri, hamba adalah orang miskin, tetapi
tunggulah hingga para pedagang lain membuka kedai mereka, dan
aku akan mengambilkan kain yang engkau inginkan.”
Kami duduk bercakap-cakap sebentar, dan aku
mula merasakan hasrat yang sangat besar terhadapnya. Ketika para
pedagang mula membuka kedai mereka, aku bangkit dan mengambil
kain yang dipesan gadis itu, hingga mencapai harga lima ribu dirham.
Gadis itu memberikan kain-kain yang dipesannya pada si pengawal
dan terus menaiki keldai betinanya, lalu pergi tanpa memberitahukan
di mana dia tinggal.
Kerana merasa terlalu segan untuk menyebut-nyebut
tentang wang di hadapan seorang wanita yang begitu cantik, aku
memberi jaminan pada para pedagang itu bahawa barang-barang mereka
senilai lima ribu dirham akan segera kubayar. Lalu aku pulang,
dalam keadaan mabuk cinta, dan selama seminggu tidak dapat makan
atau pun tidur....
Tiba-tiba fajar pun menyingsing. Abu Nawas
terdiam, lalu sang Raja berkata, “Ceritamu benar-benar aneh dan
indah!” Abu Nawas menjawab, “Esok malam ceritanya lagi menarik
dan lagi indah.”
^ Kembali ke atas
^
Isi Hati Sang Gadis
Malam berikutnya, sang Raja memerintahkan
kepada Abu Nawas untuk meneruskan kisah-kisah aneh dan ajaib,
yang menjadi kegemaran sang Raja untuk mendengarkannya. Abu Nawas
menjawab, “Dengan senang hati, wahai raja yang baik dan bahagia...”
Dikisahkan, wahai sang Raja, pelayan itu menceritakan kepada
raja Cina bahawa pemuda itu berkata:
Seminggu kemudian para pedagang mendatangiku,
meminta wang mereka, tetapi aku merayu mereka agar menunggu hingga
seminggu lagi. Seminggu kemudian gadis itu datang selepas Subuh,
menaiki keldai betina dan diiringi oleh pengawal dan dua orang
hamba.
Dia memberi salam padaku dan setelah duduk di dalam kedai, berkata,
“Aku terlambat membawakanmu wang untuk kain-kain itu. Panggillah
seorang penukar wang dan terimalah wang ini.”
Aku memanggil seorang penukar wang, dan menukarkan
wang untuk diberikan kepada para pedagang. Lalu dia dan aku duduk
bercakap-cakap hingga kedai-kedai buka, dan pada saat itulah aku
membayar hutangku pada setiap pedagang. Lalu gadis itu berkata
padaku, “Tuan, ambilkan aku ini dan itu.”
Aku segera mengambilkan apa-apa yang diinginkannya
dari para pedagang, lalu dia mengambilnya dan pergi, tanpa mengucapkan
sepatah kata pun mengenai pembayarannya. Aku mula menyesali apa
yang telah kulakukan, sebab harga dari apa yang telah kubeli untuknya
adalah seribu dinar, dan aku berkata kepada diri sendiri:
“Sungguh sukar! Dia memberiku lima ribu dirham tetapi telah mengambil
barang seharga seribu dinar, sedangkan para pedagang itu berurusan
denganku dalam soal pembayaran. Tidak ada kekuatan dan kekuasaan,
kecuali di tangan Tuhan, Yang Maha Kuat, Yang Maha Kuasa. Wanita
yang baru saja berurusan denganku ini pastilah seorang penipu,
dan aku bahkan tidak meminta alamatnya.”
Dia pergi selama lebih dari sebulan, hingga
para pedagang mula mendesakku untuk membayar wang mereka dan kerana
sudah terlalu lama hingga aku sudah tidak lagi mengharapkan kedatangannya,
aku mengumpulkan seluruh kekayaanku untuk kujual. Tetapi suatu
hari, ketika aku sedang duduk dengan sedih dan kebingungan, gadis
itu datang dan duduk di kedaiku sambil berkata, “Ambillah timbangan
dan ambil wangmu.” Lalu dia memberikan padaku wang seribu dinar
dan kami berbincang dengan bebas dan aku merasa terhibur lagi.
Lalu dia bertanya padaku, “Apakah engkau mempunyai isteri?”
Aku menjawab sambil menangis, “Tidak, aku belum pernah menikah.”
Dia bertanya, “Mengapa engkau menangis?”
Aku menjawab, “Tidak apa-apa.” Lalu aku merayu
pengawalnya agar menjadi perantaraku dengannya untuk menyatakan
isi hatiku. Tetapi pengawal itu tertawa dan berkata, “Demi Tuhan,
dia lebih mencintaimu daripada engkau mencintainya. Dia tidak
memerlukan kain-kain yang dibelinya darimu, tetapi dia melakukan
itu kerana terdorong oleh rasa cintanya padamu. Katakan sendiri
kepadanya apa yang menjadi impianmu.”
Lalu aku mendekati pelayan gadis itu seraya
berkata padanya, “Bermurah hatilah dan izinkan aku untuk mengatakan
padamu apa yang ada di dalam benakku supaya engkau sampaikan kepada
gadis itu.” Lalu aku mengatakan padanya apa yang menjadi hasrat
di hatiku dan dia setuju untuk menyampaikannya pada gadis itu.
“Engkau harus menyampaikan pesanku padanya,” kataku sambil meneruskan,
“Lakukan apa saja yang dia minta.”
Malam berlalu tetapi mataku tidak terpejam sedangkan hatiku terus
memikirkan gadis itu. Beberapa hari kemudian si pengawal mendatangiku....
Tiba-tiba fajar pun menyingsing. Abu Nawas
terdiam, lalu sang Raja berkata, “Ceritamu benar-benar aneh dan
indah!” Abu Nawas menjawab, “Esok malam ceritanya lagi menarik
dan lagi indah.”
^ Kembali ke atas
^
Isteri Khalifah dan Kotak-kotak
Ajaib
Malam berikutnya, sang Raja memerintahkan
kepada Abu Nawas untuk meneruskan kisah-kisah aneh dan ajaib.
Abu Nawas menjawab, “Dengan senang hati, wahai raja yang baik
dan bahagia...”
Dikisahkan, wahai sang Raja, pelayan itu menceritakan kepada
raja Cina bahawa pemuda itu berkata:
Ketika si pengawal itu datang, aku menyambutnya
dengan mesra dan murah hati, dan ketika aku menyoalnya tentang
majikannya, dia menjawab, “Dia sedang mabuk cinta kepadamu.”
Lalu aku bertanya padanya, “Siapakah sebenarnya gadis itu?”
Dia menjawab, “Dia salah seorang dayang yang
bertugas melayani Zubaidah, isteri Khalifah, yang mengasuh dan
membesarkannya. Demi Tuhan, dia mengatakan pada majikannya tentang
dirimu dan memohon padanya agar mengahwinkannya denganmu, tetapi
Zubaidah berkata, “Aku tidak akan mengahwinkannya denganmu hingga
aku mengetahui apakah dia kacak atau tidak, dan apakah dia sesuai
untukmu atau tidak.” Aku akan membawamu ke istana sekarang juga,
dan jika engkau berjaya memasukinya tanpa terlihat oleh sesiapa
pun, engkau boleh mengahwini gadis itu, tetapi jika ketahuan,
engkau akan kehilangan kepalamu. Bagaimana?”
Aku menyahut, “Aku bersiap sedia untuk pergi bersamamu.”
Lalu dia berkata, “Apabila malam tiba, pergilah ke masjid yang
dibina oleh Zubaidah di sungai Tigris.”
Aku menyahut, “Baiklah.” Lalu aku pergi ke
masjid, melakukan solat Isyak dan tidur di sebelah luar masjid.
Sebelum fajar menyingsing, datanglah beberapa orang pelayan dalam
sebuah perahu, dengan kotak-kotak kosong, yang mereka simpan di
dekat masjid dan kemudian mereka pergi. Tetapi salah seorang di
antara mereka tinggal di belakang, dan ketika aku mengamatinya
lebih teliti, aku mendapati bahawa dia adalah si pengawal yang
telah mendatangiku sebelum ini.
Tidak berapa lama muncul pula gadis itu dan
segera mendekatiku. Aku bangkit menyalaminya, dan dia duduk bercakap-cakap
denganku, dengan air mata bercucuran. Lalu dia mengarahkan aku
masuk ke dalam salah sebuah kotak dan menguncinya dari luar. Tak
lama kemudian para pelayan tadi kembali lagi dengan segala macam
benda yang terus dimasukkannya ke dalam kotak-kotak itu hingga
mereka selesai mengisinya semua dan menguncinya. Lalu mereka meletakkan
kotak-kotak itu di dalam perahu dan mulai mengharungi sungai menuju
istana Zubaidah.
Aku segera menyesali apa yang telah kulakukan,
sambil berkata kepada diriku sendiri, “Demi Tuhan, celakalah aku,”
dan terus menangis dan memohon kepada Tuhan untuk membebaskanku
hingga perahu itu tiba di pintu gerbang istana khalifah. Lalu
para pelayan itu mengangkat kotak-kotak tersebut, termasuk kotak
di mana aku berada di dalamnya. Mereka membawanya melalui tepi
sungai di mana para pengawal bertugas menjaga perahu hingga mereka
sampai pada seorang pengawal yang nampaknya adalah pemimpin mereka.
Ketua pengawal itu bangkit dari duduknya....
Tetapi fajar menyingsing. Abu Nawas terdiam,
lalu sang Raja berkata, “Ceritamu benar-benar aneh dan indah!”
Abu Nawas menjawab, “Esok malam ceritanya lagi menarik dan lagi
indah.”
^ Kembali ke atas
^
Khalifah dan Kotak Ajaib
Malam berikutnya, sang Raja memerintahkan
kepada Abu Nawas agar meneruskan kisah-kisah aneh dan ajaib, yang
menjadi kegemaran sang Raja. Abu Nawas menjawab, “Dengan senang
hati, wahai raja yang baik dan bahagia...”
Hamba mendengar, wahai Raja yang bahagia, pelayan itu menceritakan
kepada raja Cina bahawa pemuda itu berkata:
Ketua pengawal itu tersentak bangun dari tidurnya
dan berseru kepada gadis itu, “Jangan menunda-nunda. Engkau harus
membuka kotak-kotak ini.”
Kebetulan kotak pertama yang akan dibukanya
adalah kotak di mana aku berada di dalamnya, dan ketika para pelayan
membawanya kepada ketua pengawal itu, aku kehilangan akalku dan
dalam kebingungan itu aku terkencing di dalam kotak dan airnya
mengalir keluar kotak. Lalu gadis itu berkata, “Wahai pengawal,
engkau telah merugikan aku dan merugikan ramai pedagang dengan
merosak barang-barang milik Puan Zubaidah sebab kotak ini mengandungi
baju-baju berwarna-warni dan satu kendi air zamzam. Kendi itu
baru saja tumpah dan airnya akan membuat warna-warni baju itu
luntur.”
Ketua pengawal itu berkata, “Ambillah kotak
itu dan pergi.” Tetapi baru saja para pelayan itu mahu mengangkatku
dan bergegas menyingkirkan semua kotak lainnya, aku mendengar
sebuah suara berseru, “Aduh, aduh, khalifah, khalifah!” Ketika
aku mendengar suara ini, jantungku seakan berhenti berdenyut.
Lalu aku mendengar khalifah menyoal gadis itu, “Hai kamu, ada
apa di dalam kotak-kotak milikmu ini?”
Gadis itu menyahut, “Baju-baju untuk Puan Zubaidah.”
Khalifah berkata, “Buka semua biar aku dapat melihatnya.”
Mendengar itu, aku tahu bahawa kali ini tamatlah
riwayatku. Lalu aku mendengar gadis itu berkata, “Wahai Pemimpin
Kaum Beriman, kotak-kotak ini mengandungi baju-baju dan barang-barang
milik Puan Zubaidah, dan dia tidak ingin isinya dilihat oleh sesiapa
pun.”
Tetapi khalifah berkata, “Engkau harus membuka kotak-kotak ini,
agar aku dapat melihat benda apa di dalamnya. Bawa semua ke sini.”
Ketika aku mendengar arahan khalifah itu,
aku yakin bahawa aku akan mati. Lalu para pelayan membawa kotak-kotak
itu, membukanya satu demi satu, sementara khalifah terus memperhatikan
baju-baju dan barang-barang kemas lainnya hingga tinggal satu
kotak lagi yang belum dibuka, di mana aku bersembunyi. Mereka
membawaku dan meletakkanku di hadapannya, dan aku mengucapkan
selamat tinggal pada kehidupan, kerana merasa pasti bahawa aku
akan kehilangan kepalaku dan akan mati. Khalifah berkata, “Buka
kotak itu agar aku dapat melihat benda apa di dalamnya.” Maka
para pelayan segera membukanya....
Tetapi fajar menyingsing. Abu Nawas terdiam,
lalu sang Raja berkata, “Ceritamu benar-benar aneh dan menarik!”
Abu Nawas menjawab, “Esok malam ceritanya lagi menarik dan lagi
aneh.”
^ Kembali ke atas
^
Rahsia Kotak-kotak Ajaib
Malam berikutnya,sang Raja memerintahkan kepada
Abu Nawas agar meneruskan kisah-kisah aneh dan ajaib, yang menjadi
kegemaran sang Raja. Abu Nawas menjawab, “Dengan senang hati,
wahai raja yang baik dan bahagia...”
Hamba mendengar, wahai sang Raja, pelayan itu menceritakan kepada
raja Cina bahawa pemuda itu berkata:
Khalifah berkata kepada para pelayan, “Buka
kotak ini, agar aku dapat melihat apa yang ada di dalamnya.”
Tetapi gadis itu berkata, “Wahai tuanku, bukalah kotak ini di
hadapan Puan Zubaidah, sebab apa yang ada di dalamnya merupakan
rahsianya, dan dia lebih mengistimewakan kotak yang satu ini berbanding
semua kotak lainnya.”
Ketika khalifah mendengar penjelasannya, dia
memerintahkan para pelayan untuk mengangkat kotak tersebut ke
dalam, dan dua orang pelayan segera mengangkat kotak tempatku
bersembunyi, sementara aku hampir tidak percaya bahawa aku masih
hidup. Setelah kotak berada di dalam sebuah ruangan di mana pengawal
yang kukenali sebelum ini berada di ruangan itu, dia segera memerintahkan
aku agar segera keluar dari kotak.
Sambil membuka penutup kotak, dia berkata,
“Keluarlah cepat dan naikilah tangga ini.” Aku berdiri dan keluar
dari kotak, dan baru saja dia menutup kotak itu kembali dan aku
menaiki tangga, para pelayan itu masuk membawa kotak-kotak lainnya,
diikuti oleh khalifah. Lalu mereka membuka semuanya di hadapannya,
sementara dia duduk di atas kotak tempatku bersembunyi sebelumnya.
Lalu dia bangkit dan masuk ke dalam ruangan.
Sepanjang tempoh itu aku duduk dengan mulut
kering kerana ketakutan. Tak lama kemudian gadis idamanku naik
ke atas dan berkata padaku, “Tidak ada lagi yang perlu ditakutkan.
Bergembiralah dan tunggu hingga Puan Zubaidah datang melihatmu,
dan engkau mungkin akan memperolehi nasib baik dan mendapatkan
diriku.”
Aku turun ke bawah, dan begitu aku duduk di
sebuah ruangan kecil, masuklah sepuluh orang pelayan perempuan,
semua bagaikan rembulan, dan berdiri dalam dua barisan, dan mereka
diikuti oleh dua puluh orang perawan berdada tinggi, berjalan
bersama Puan Zubaidah, yang hampir tidak dapat berjalan kerana
berat membawa pakaian dan perhiasannya.
Ketika dia mendekatiku, para pelayan itu berpencar
dan membawakannya sebuah kerusi, yang kemudian didudukinya. Lalu
dia berseru kepada gadis-gadis itu, yang akhirnya berseru memanggilku,
dan aku maju dan mencium tanah di hadapannya. Dia menyuruhku duduk,
dan aku duduk di hadapannya, sementara dia bercakap-cakap denganku
dan aku menjawab pertanyaan-pertanyaannya mengenai keadaanku.
Dia merasa senang denganku dan akhirnya berkata, “Demi Tuhan,
tidak sia-sia aku membesarkan gadis ini. Dia seperti anakku sendiri,
suatu amanah yang diberikan Tuhan kepadamu.” Lalu dia menyuruhku
tinggal selama sepuluh hari di istana....
Tetapi fajar menyingsing. Abu Nawas terdiam,
lalu sang Raja berkata, “Ceritamu benar-benar aneh dan menarik!”
Abu Nawas menjawab, “Esok malam ceritanya lagi menarik dan lagi
aneh.”
Nota: Untuk mengikuti sambungan kisah ini sila
dapatkan buku yang tertera di bawah.
^ Kembali ke atas
^