| Iblis Memperdaya Siti Hawa
| Iblis Menggoda Nabi Ayub As | Nasihat
Iblis kepada Nabi Nuh |
Iblis Memperdaya Siti
Hawa
...
esungguhnya
Iblis berusaha untuk bersemayam dalam setiap hati manusia, mengikuti
gerak-gerinya dengan harapan akan dapat menghancurkan dan memusnahkan
kehidupan seseorang. Dalam sebuah cerita disebutkan bahawa pada
suatu hari Nabi Adam as keluar rumah untuk mencari nafkah, maka
datanglah Iblis bersama anaknya yang bernama Khannas menemui Hawa.
“Aku ingin menumpangkan anak ku di sini, kerana ada satu keperluan
yang penting, aku harus pergi sendiri,” kata Iblis. Kemudian Hawa
menerima anak Iblis tersebut.
Ketika Nabi Adam pulang, dia bertanya; “Anak
siapakah ini?” Hawa menjawab; “Iblis menumpangkannya kepada ku.”
Adam menjadi marah, lalu Khannas dibunuhnya dan dipotong-potongnya.
Kemudian setiap potongan badan Khannas disangkutnya di atas dahan-dahan
pohon kayu. Setelah itu Adam pergi lagi.
Tidak lama kemudian Iblis datang dan menanyakan
tentang anaknya. Hawa menceritakan kepada Iblis tentang apa yang
telah terjadi. Lalu Iblis memanggil nama anaknya maka kepingan-kepingan
tubuh Khannas bersatu lagi, kemudian menyambut kedatangan ayahnya
Iblis.
Pada kesempatan yang lain ketika Iblis ingin
pergi kerana keperluannya, ia menumpangkan anaknya lagi kepada
Hawa. Hawa menolak untuk menerima anaknya itu. Tapi dasar iblis
pandai merayu, sekali lagi Hawa menerima anak Iblis tersebut.
Ketika Nabi Adam pulang dari mencari nafkah didapatinya anak Iblis
itu masih ada lagi, Adam menjadi marah sebenar-benar marah. Dibunuh
anak itu, mayatnya dibakar, abunya dibuang ke sungai-sungai dan
ke merata tempat.
Ketika Adam telah pergi Iblis datang lagi
menanyakan tentang anaknya. Kemudian ia memanggil nama anaknya,
dan seluruh abu tadi bersatu kembali dan anak itu hidup lagi.
Kemudian menumpangkan anaknya itu kepada Hawa lagi. “Kali ini
pastilah Adam akan membunuh ku”, kata Hawa. Namun Iblis yang pandai
merayu itu dapat melemahkan hati Hawa sehingga menerima kembali
anak tersebut. Kemudian Adam pulang, kemarahannya sudah tidak
tertahan, lalu anak Iblis itu disembelihnya dan dimasaknya. Kemudian
sebahagian dimakannya dan sebahagian lagi diberikannya kepada
Hawa.
Ketika Iblis datang Hawa menceritakan apa
yang telah terjadi. “Inilah yang ku inginkan’, kata Iblis. “Aku
ingin bersemayam di dada Adam, dan kini hasrat itu telah terkabul.
Sejak saat itu Iblis selalu berada dalam diri manusia.
Iblis termasuk makhluk yang tabah dalam menggoda manusia. Ia berusaha
berbagai upaya untuk memperdayakan manusia, dan bahkan ia bermohon
kepada Allah agar hidup sampai hari kiamat untuk melakukan hasratnya
itu.
Namun tidak semua orang terpedaya dengan bisikan dan rayuan Iblis
ini. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh selalu menjaga
dirinya dari mengikut jejak langkah Iblis. Contohnya Nabi Ayub
yang merupakan lambang “kesabaran,” sebab beliau tetap sabar dalam
menerima cubaan.
^ Kembali ke atas
^
Iblis Menggoda Nabi Ayub
As
Para malaikat memuji akan sikap dan keperibadian
Nabi Ayub as yang suka beribadah dan mengingat Allah SWT. Hidupnya
penuh dengan rasa kesyukuran yang mendalam atas nikmat yang dibahagikan
oleh Allah SWT kepadanya. Iblis mendengar pujian para Malaikat
tersebut yang membuat hatinya menjadi panas kerana ia telah bersumpah
dengan Allah untuk menggoda setiap anak cucu Adam. Oleh sebab
itu ia tidak rela melihat manusia yang berada di permukaan bumi
ini beriman, beribadah dan beramal soleh.
Kemudian Iblis menjumpai Ayub untuk melihat
sendiri tentang apa yang diperkatakan oleh malaikat itu. Ternyatanya
memang benar bahawa Nabi Ayub as memang patut menerima pujian
tersebut. Nabi Ayub hidup dalam keadaan yang serba mewah dengan
harta kekayaan yang banyak, hidup rukun dengan anak dan isterinya.
Namun begitu Nabi Ayub tidak terlena dengan kekayaan dan anak
isterinya itu, siang malam bibirnya tidak lepas dari mengingat
Allah SWT bersujud dan bersyukur kepada Nya, serta memiliki rasa
kasih sayang yang tinggi terhadap sesama makhluk.
Iblis berusaha untuk menggoda Nabi Ayub as
tetapi gagal, namun ia tidak berputus asa untuk menggoda Nabi
Ayub. Kemudian ia pergi menghadap kepada Allah dan ia berkata:
“Wahai Tuhan, sesungguh Ayub menyembah dan bertasbih kepada Mu
bukan lantaran ia ikhlas dan tulus kerana cinta dan taat kepada
Mu. Ia melakukan itu hanya kerana takut kehilangan semua kesenangan
duniawi yang Engkau berikan kepadanya. Di samping itu ia masih
mengharapkan agar kekayaannya bertambah berlipat ganda. Untuk
itu ia menyembah Mu, andai kata ia ditimpa musibah sehingga hartanya
menjadi musnah tentu ia akan berpaling daripadaMu.”
Kemudian Allah berfirman kepada Iblis: “Sesungguhnya
Ayub adalah hambaKu yang sangat taat kepadaKu, ia seorang mukmin
sejati, apa yang ia lakukan untuk mendekatkan diri kepadaKu semata-mata
didorong oleh keimanan yang teguh dan ketaatan kepadaKu. Engkau
memang tidak rela melihat anak cucu Adam berada di jalan yang
benar dan lurus. Untuk menguji hati Ayub dan keimanannya kepadaKu,
Aku izinkan engkau untuk mencuba menggodanya serta memalingkannya
daripada Ku.”
Iblis mengumpul para sahabatnya untuk menguji
dan memalingkan keimanan Nabi Ayub. Untuk pertama kali ia berusaha
menghancurkan harta benda Nabi Ayub. Dengan berbagai cara akhirnya
Iblis dengan kawan-kawannya para syaitan itu berhasil memusnahkan
binatang ternak, ladang-ladang serta bangunan-bangunan milik Nabi
Ayub. Dengan waktu yang singkat Nabi Ayub yang kaya raya itu menjadi
miskin. Yang ada hanya segumpal hati yang penuh keimanan dan ketakwaan
kepada Allah SWT.
Setelah itu Iblis pun datang menemui Nabi
Ayub dengan menyamar sebagai orang tua yang bijaksana, dan berkata:
“Sesungguhnya musibah yang menimpa mu ini sangat mengerikan, dalam
waktu yang singkat segala harta mu jadi musnah, tentu sahabat-sahabat
menjadi sedih dan bertanya apa sebabnya Ayub menerima musibah
seburuk ini. Sementara musuh-musuh mu ada yang berkata; musibah
ini datang mungkin Ayub tidak ikhlas dalam beribadah, dan ada
lagi yang berkata, kalau Tuhan Ayub benar-benar berkuasa nescaya
Dia dapat menyelamatkan Ayub dari bencana ini.
Sebahagian yang lain ada yang berkata, mungkin
amal ibadah Ayub tidak diterima oleh Tuhan sebab dilakukan bukan
dengan hati yang bersih, serta mempunyai sifat riya’ dan ingin
dipuji. Aku pun merasa berdukacita kepada mu hai Ayub dengan nasib
mu ini.” Kemudian Iblis merayu dan memujuk Nabi Ayub dengan kata-katanya
yang manis.
Kemudian Nabi Ayub berkata: “Ketahuilah bahawa apa yang telah
aku miliki, semuanya itu barang pemberian Allah yang dimintanya
kembali setelah aku cukup menikmatinya dan menggunakannya. Segala
puji dan kesyukuran hanya untuk Allah yang telah memberikan kurniaNya
kepada ku dan mencabutnya kembali. Dia Maha Kuasa yang dapat berbuat
sesuai dengan kehendakNya. Sebagai hamba kita harus menerima takdirNya
itu.” Setelah selesai berbicara Nabi Ayub pun bersujud kepada
Allah SWT.
Iblis segera meninggalkan rumah Nabi Ayub
dengan rasa kecewa dan hampa. Namun begitu dia masih berhasrat
untuk mencelakakan Nabi Ayub as. Kembali ia menghadap kepada Allah
SWT dan meminta izin untuk meneruskan usahanya. Iblis berkata:
“Wahai Tuhan, Ayub tidak mahu menerima hasutan ku, bahkan sedikitpun
tidak goyah imannya kepada Mu, walaupun segala harta dan kekayaannya
telah musnah. Mungkin kerana dia masih memiliki harapan, bahawa
anak-anaknya yang sihat dan kuat akan meneruskan kehidupannya
untuk hari tua.
Menurut ku Ayub tidak akan sanggup menerima
musibah, jika kecelakaan itu ditimpakan kepada anak-anak yang
sangat dicintainya itu. Oleh sebab itu ya Tuhan, izinkan aku sekali
lagi untuk mencuba kesabarannya, dan keteguhan imannya. Godaan
yang ku lakukan ini terhadap keluarganya dan putera-putera yang
sangat disayanginya itu.”
Allah mengizinkan permintaan Iblis itu. Iblis pun pergi bersama-sama
kawan-kawannya untuk memusnahkan putera-putera Nabi Ayub. Rumah
yang diduduki oleh putera-putera Nabi Ayub menjadi hancur begitu
pula putera-puteranya meninggal semuanya.
Kemudian Iblis pun pergi ke rumah Nabi Ayub
menyamar sebagai sahabat Nabi Ayub, untuk mengucapkan rasa dukacita
atas musibah yang menimpa Nabi Ayub serta keluarganya itu.
Iblis berkata; “Hai Ayub sudah engkau melihat
putera-putera mu yang mati ditimbus oleh bangunan rumah-rumahnya
akibat dari gempa bumi itu? Sudah jelas hai Ayub bahawa Tuhan
tidak menerima ibadah mu selama ini dan tidak menjaga dan melindungi
mu sebagai balasan dari amal soleh mu.”
Mendengar ucapan Iblis itu, menangislah Nabi
Ayub tersedu-sedan sambil berkata: “Allah lah yang memberi dan
Dia pulalah yang mengambil kembali. Segala puji bagi-Nya Tuhan
Yang Maha Pemberi dan Maha mencabut kembali.”
lblis pergi meninggalkan Nabi Ayub yang sedang
dalam keadaan sujud kepada Allah SWT. Kemudian Iblis kembali mengadap
Allah. “Wahai Tuhan, Ayub telah kehilangan harta benda bahkan
putera-puteranya namun ia masih tetap memiliki keimanan yang kuat.
Izinkan aku ya Tuhan untuk menguji sekali lagi terhadap kesihatan
dirinya. Kerana jika sudah sakit dan lumpuh sudah tentu ia akan
malas mengerjakan ibadah kepada Mu.”
Allah mengizinkan kehendak Iblis tersebut.
Iblis memerintahkan kepada pengikut-pengikutnya supaya menaburkan
benih-benih penyakit ke dalam tubuh Nabi Ayub. Sehingga Nabi Ayub
menjadi orang yang tidak bermaya, semua orang menjauhinya disebabkan
penyakit yang menimpanya itu dapat berjangkit kepada orang lain.
Hanya isterinya yang setia menjaga dan merawat Ayub.
Iblis masih melihat walaupun Nabi Ayub dalam
keadaan yang tidak berdaya itu ia masih tetap beribadah kepada
Allah SWT bibirnya terus menyebut nama Allah. Iblis menjadi kesal
dengan sikap Nabi Ayub tersebut, sehingga ia meminta pendapat
terhadap teman-temannya bagaimana cara untuk menghancurkan keimanan
Nabi Ayub itu.
Di antara mereka ada yang berkata Engkau telah berhasil mengeluarkan
Nabi Adam dari syurga bagaimana engkau dapat melakukan hal itu?”
Iblis baru teringat hal itu dilakukan dengan jalan menggoda isteri
Adam. Mungkin idea ini dapat dilakukan terhadap isteri Nabi Ayub.
Pergilah ia menemui isteri Nabi Ayub dengan
menyamar sebagai seorang sahabat Nabi Ayub. Iblis membisikkan
rayuannya kepada telinga isteri Nabi Ayub. Akhirnya isteri Nabi
Ayub pergi menemui Nabi Ayub yang sedang menanggung penderitaan
itu dan sedang bertasbih kepada Allah SWT. Kemudian ia berkata;
“Wahai suami ku sampai bilakah engkau diseksa oleh Tuhan mu, yang
mana segala harta dan putera-putera kita telah musnah, begitu
juga sahabat-sahabat mu telah menjauhkan diri. Mohonlah wahai
suami ku Ayub kepada Tuhan mu, supaya kita dibebaskan dari penderitaan
yang terus menerus ini.”
Kemudian Nabi Ayub berkata; “Wahai isteri
ku engkau menyesali akan peristiwa yang terjadi, aku ingin bertanya
kepada mu berapa tahunkah kita menikmati kesenangan dan kemewahan
yang diberikan oleh Allah?” Isterinya menjawab 80 tahun. Kemudian
Nabi Ayub bertanya lagi; “Berapa lamakah kita dicuba oleh Allah
seperti ini?” Isterinya menjawab tujuh tahun.”
“Aku malu untuk memohon kepadaNya untuk bebas dari cubaan ini,
jika dibanding nikmat yang kita rasakan dengan cubaan yang diberikan
oleh Allah tidak sebanding. Kiranya engkau telah mendengar hasutan
Iblis yang durjana sehingga imanmu menjadi menipis. Tunggulah
ganjaran mu nanti, setelah aku sihat aku akan mencambuk mu sebanyak
seratus kali. Tinggalkan aku seorang diri di sini menunggu takdir
Ilahi!”
Setelah Nabi Ayub hidup sendiri ia bermohon
kepada Allah SWT. “Wahai Tuhan ku, Iblis telah mengganggu ku,
dengan berbagai godaan yang dilakukannya hanya Engkaulah wahai
Tuhan ku yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.”
Kemudian Allah SWT menerima doa Nabi Ayub
as kemudian Allah berfirman, “Hentakkanlah kaki mu ke tanah. Dari
situ akan keluar air, dan dengan air itu engkau akan menjadi senang
dan sihat dari penderitaan penyakit mu jika engkau gunakan untuk
minum dan mandi.” Dengan kekuasaan Allah, Nabi Ayub sihat dari
penyakitnya, bahkan kelihatan lebih sihat dari ketika ia masih
muda.
Nabi Ayub telah bersumpah akan memukul isterinya
seratus kali apabila ia telah sembuh, ia merasa wajib untuk melaksanakannya
walau timbul rasa kasihan untuk melakukannya. Sebab isteri beliau
sangat setia dan baik hati. Di dalam keraguan Nabi Ayub tersebut
maka turunlah wahyu Allah SWT. “Hai Ayub ambillah dengan tangan
mu seikat rumput dan pukullah isteri mu dengan rumput itu sebanyak
seratus kali sehingga dengan demikian tertebuslah sumpah mu itu.”
Akhirnya Nabi Ayub as hidup rukun dan damai
seperti semula, bahkan Allah SWT mengganti putera-puteranya sebanyak
itu juga. Begitulah bukti dari kesabaran seorang hamba Allah SWT
yang tidak tergoda dengan pujuk rayu Iblis. (kisah ini dapat dibaca
dalam Al-Quran surah Sad ayat 41-44 dan surah Al Anbiya ayat 83-84).
Begitulah tipu daya Iblis yang pandai menggoda,
membisik sesuatu yang indah ke dalam setiap hati dan telinga umat
manusia. Ia akan merasa cemburu dengan orang-orang yang beriman
dan beramal soleh serta bersujud hanya kepada Allah SWT. Sebaliknya
ia akan tertawa dan berbangga hati jika orang-orang yang telah
beriman dapat dirayunya dan mengikuti jalan yang sesat.
^ Kembali ke atas
^
Nasihat Iblis kepada Nabi
Nuh
Di antara manusia yang mendapatkan umur yang
sangat panjang di dunia ini adalah Nabi Nuh as. Al-Quran menga
takan bahawa dia pernah hidup di sekitar kaumnya selama sembilan
ratus lima puluh tahun. Sepanjang masa itu Nabi Nuh telah menyeru
mereka pada jalan Allah, namun hanya sedikit dari mereka yang
kemudian mengikuti jalannya. Melihat kaumnya yang sengaja mengingkari
agama Allah, bahkan sering mengganggunya, Nabi Nuh memohon kepada
Allah agar ditimpakan bencana kepada mereka. Allah mengabulkan
permohonannya.
Nabi Nuh diperintahkan untuk membuat kapal
besar yang boleh memuat semua jenis makhluk hidup. Allah akan
menurunkan hujan yang sangat lebat dan mengalirkan banjir yang
sangat besar sehingga tidak satu pun dari mereka yang kafir akan
tertinggal.
Tiba waktunya apa yang ditentukan oleh Allah.
Bersama semua pengikutnya dan segenap pasangan makhluk melata
lain Nabi Nuh naik ke atas kapal. Hujan mulai turun membasahi
bumi. Nabi Nuh memperhatikan satu persatu dari mereka yang hadir
di kapal. Tiba-tiba matanya memandang seorang lelaki tua yang
tidak dikenalnya.
“Siapa anda?” tanya Nabi Nuh ingin tahu.
“Aku Iblis,” jawabnya.
Dasar Iblis, dia tahu saja bagaimana cara
masuk ke dalam kapal Nabi kekasih Allah itu. Dia boleh hadir di
mana saja dia mahu. Bukan kerana dia makhluk ajaib, tetapi dia
memang sangat gigih memperjuangkan usahanya.
“Mengapa engkau mahu ikut kami?” tanya Nabi Nuh lagi.
“Aku bukan mahu ikut kapalmu dan ingin selamat bersamamu. Aku
hanya ingin mengganggu hati para pengikutmu. Biarlah tubuh mereka
bersamamu asal hati mereka bersamaku,” jawab Iblis terus terang.
Iblis memang tidak pernah menyembunyikan niat
jahatnya untuk mencelakakan manusia. Fikirnya, semua manusia sudah
tahu siapa dia. Sejak zaman Adam sampai hari kiamat. Mengapa harus
berbohong lagi, kerana tidak semua yang manusia ketahui pasti
akan diikuti.
“Keluarlah dari kapalku, wahai musuh Allah!” kata Nabi Nuh kepada
Iblis.
Iblis tidak menjawab apakah mahu keluar atau
akan tetap di sana. Sebelum Nabi Nuh, Allah juga pernah mengusirnya
keluar dari syurga. Tetapi, dia masih saja membangkang perintah
Allah dan terus berusaha menggoda Adam sampai berhasil.
Dia hanya berkata, “Wahai Nuh, aku menyimpan
lima strategi yang dengannya aku akan boleh mencelakan umat manusia.
Aku akan sebutkan padamu yang tiga, tapi akan menyembunyikan darimu
dua lainnya.” Kemudian Allah mewahyukan pada Nuh agar tidak usah
mendengarkan yang tiga, tapi dengar saja dua yang lainnya.
“Aku tidak berminat mendengar tiga strategi yang akan engkau
sebutkan itu, tapi sebutkan dua strategi yang engkau sembunyikan
dariku,” jawab Nuh.
Iblis berkata, “Wahai Nuh aku akan berusaha
membinasakan manusia dengan dua cara: pertama, dengan cara menanamkan
sifat dengki dalam hati mereka; dan kedua dengan cara menanamkan
sifat serakah dalam jiwa mereka. Kerana dengki maka aku dilaknat
oleh Allah dan dijadikannya sebagai syaitan yang terkutuk. Dan
kerana serakah maka Adam menghalalkan segala makanan di syurga
sehingga dia dikeluarkan. Dengan dua sifat ini, kami semua dikeluarkan
dari syurga.
Setelah kapal Nabi Nuh mendarat dengan segenap
penumpangnya, tiba-tiba si Iblis datang lagi menghampirinya. Dengan
suara yang amat merdu dia berkata pada Nuh, “Aku sangat berterima
kasih padamu, lebih dari semua makhluk yang ada di bumi ini.”
“Terima kasih dari apa?” tanya Nabi Nuh ingin tahu.
“Permohonanmu agar orang-orang kafir itu dicelakakan telah dikabulkan
oleh Allah. Dengan cara itu bererti engkau telah meringankan bebanku,”
kata Iblis.
“Wahai Nuh, jangan sekali-kali engkau mendengki kerana ia telah
menghantarku pada keadaan seperti ini. Dan jangan sekali-kali
engkau serakah kerana ia telah menghantar Adam seperti yang dialaminya.”
^ Kembali ke atas
^