Kami kemudian bertanya kepadanya, “Wahai Fulan!
Siapakah yang sedang kamu sembah itu?”
Lelaki itu kemudian menunjuk
ke sebuah berhala, dan kami kembali bertanya, “Di perahu, kami
mempunyai seorang teman yang biasa membuat benda seperti ini
(berhala). Akan tetapi, benda ini bukanlah merupakan sembahan
sepertimana Tuhan!”
“Lalu, siapa yang kalian sembah?” tanya lelaki
penyembah berhala itu.
“Allah,” jawab kami.
“Siapa Allah itu?” tanyanya.
“Zat di mana Arasy-Nya ada di langit, kekuasaan-Nya
ada di bumi dan keputusan-Nya berlaku bagi yang masih hidup
serta yang telah mati,” jawab kami semua.
“Bagaimana kalian dapat mengenali-Nya?” tanya
lelaki itu lagi.
“Tuhan kami telah mengutus seorang utusan yang
mulia dan beliaulah yang menerangkan semua itu,” jawab kami.
“Lalu, apa yang dilakukan oleh utusan itu?” tanyanya.
“Beliau telah menyampaikan risalahnya dan kemudian
beliau pun wafat,” jawab kami serentak.
“Apakah beliau tidak meninggalkan sebuah bukti
kepada kalian?” tanya lelaki penyembah berhala itu.
“Ya, beliau meninggalkan kitab Allah,” jawab kami
lagi.
“Tolong perlihatkan kepadaku kitab Allah itu,
aku yakin kitab-kitab Allah itu indah sekali,” kata lelaki tadi.
Kami pun mengambilkan sebuah mushaf. Setelah melihatnya,
dia berkata, “Aku tidak pernah tahu kitab ini!”
Kami lalu membacakan sebuah
surah Al-Qur’an dan ketika kami membacanya, dia pun menangis
hingga kami selesai membaca satu surah. Selepas kami membacanya,
dia pun berkata, “Sudah selayaknya Pemilik kalam ini tidak diderhakai.”
Akhirnya lelaki penyembah berhala
itu pun masuk Islam, dan ikut bersama kami. Kami ajarkan hukum-hukum
Islam serta sebahagian surah-surah Al-Qur’an kepadanya.
Saat malam tiba, selepas melakukan
solat Isyak, kami merebahkan diri di pembaringan, lelaki itu
kemudian berkata, “Wahai saudaraku! Apakah Tuhan yang telah
kalian tunjukkan kepadaku ini ketika malam tiba Dia juga tidur?”
“Tidak, wahai hamba Allah! Dia adalah Maha Besar,
Maha Berdiri sendiri dan tidak akan pernah tidur,” jawab kami
semua.
“Kalau begitu. orang paling buruk adalah kalian
semua. Kalian semua tidur, sedang Tuhan kalian tidak pernah
tidur,” kata lelaki tadi.
Kami semua kagum oleh kata-katanya
itu, maka ketika kami sampai di daerah Ubbadan, hal ini kuberitahukan
kepada teman-temanku, “Dia baru saja masuk agama Islam.”
Kami mengumpulkan beberapa
keping wang dirham, selanjutnya kami berikan kepadanya. Saat
kami serahkan, dia berkata, “Apa ini?”
“Kami berikan ini kepadamu,” jawab kami.
“Laa ilaaha illallaah, kalian
telah menunjukkan aku ke sebuah jalan yang selamanya belum pernah
kalian lalui. Dahulu aku berada di sebuah jazirah dengan menyembah
berhala, tetapi berhala itu tidak pernah membuat aku hidup miskin.
Maka sekarang tidak mungkin Tuhan yang aku sembah ini akan membuat
aku susah, sedang aku sendiri mengingati-Nya siang dan malam,”
kata lelaki itu.
Selang beberapa hari, aku mendapat
khabar bahawa lelaki itu menderita sakit parah. Aku datang menjenguk
dan bertanya kepadanya, “Adakah yang dapat kubantu untukmu?”
“Yang dapat membantuku adalah orang yang bersama
kalian ke jazirah tempat tinggalku,” demikian jawabnya.
Pada saat itu mataku terasa
mengantuk sekali hingga akhirnya aku pun tertidur di sisinya.
Di dalam tidur aku bermimpi bahawa di makam Ubbadan ada sebuah
taman dan di taman itu ada sebuah kubah. Di dalam kubah tersebut
ada sebuah pembaringan. Di atasnya duduk seorang bidadari jelita
yang belum pernah kulihat sebelumnya.
Gadis itu kemudian berkata, “Demi Allah, aku memohon
kepadamu agar dia datang secepatnya. Sungguh, aku telah rindu
kepadanya!”
Aku pun terbangun dan ternyata
setelah kuamati lelaki itu sudah meninggal dunia. Aku ikut merawat
jenazahnya, mulai dari memandikan, mengafani, menyembahyangkan
dan seterusnya menguburkannya.
Tengah malam aku bermimpi bertemu
dengan lelaki itu, dia berada dalam kubah bersanding dengan
bidadari yang kujumpai dalam mimpiku sebelumnya. Aku dengar
lelaki itu sedang membaca ayat yang bermaksud: ....sedang
malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu;
(sambil mengucapkan), “Salamun ‘alaikum bima shabartum (salam
sejahtera buat kalian semua atas kesabaran kalian semua).” Maka
alangkah baiknya tempat kesudahan itu.”
Penduduk Syurga
Di dalam kitab Al-Multaqith diceritakan,
bahawa sebahagian bangsa Alawiyah ada yang bermukim di daerah
Balkha. Ada sebuah keluarga yang terdiri dari sepasang suami
isteri dengan beberapa anak wanita mereka. Keadaan keluarga
tersebut serba kekurangan.
Ketika suaminya meninggal dunia,
isteri beserta anak-anak wanitanya meninggalkan kampung halamannya
pergi ke Samarkand untuk menghindari ejekan orang ramai di sekitarnya.
Kejadian tersebut berlaku pada musim sejuk.
Saat mereka telah memasuki kota, si ibu mengajak anak-anaknya
singgah di masjid, sementara dirinya pergi untuk mencari sesuap
nasi.
Di tengah perjalanan si ibu
berjumpa dengan dua kelompok orang, yang satu dipimpin oleh
seorang Muslim yang merupakan tokoh di kampung itu sendiri,
sedang kelompok satunya lagi dipimpin oleh seorang Majusi, pemimpin
kampung itu.
Si ibu tersebut lalu menghampiri tokoh tersebut
dan menjelaskan mengenai dirinya serta berkata, “Aku mohon agar
tuan berkenan memberiku makanan untuk keperluan malam ini!”
“Tunjukkan bukti-bukti bahawa dirimu benar-benar
bangsa Alawiyah,” kata tokoh orang Muslim di kampung itu.
“Di kampung tidak ada orang yang mengenaliku,”
kata ibu tersebut.
Sang tokoh itu pun akhirnya
tidak menghiraukannya. Seterusnya dia hendak memohon kepada
si Majusi, pemimpin kampung tersebut. Setelah menjelaskan tentang
dirinya dengan tokoh kampung, lelaki Majusi lalu memerintahkan
kepada salah seorang anggota keluarganya untuk datang ke masjid
bersama si ibu itu, akhirnya dibawalah seluruh keluarga janda
tersebut untuk tinggal di rumah Majusi yang memberinya pula
pelbagai perhiasan serba indah.
Sementara tokoh masyarakat
yang beragama Islam itu bermimpi seakan-akan hari Kiamat telah
tiba dan panji kebenaran berada di atas kepala Rasulullah SAW.
Dia pun sempat menyaksikan sebuah istana tersusun dari zamrud
berwarna hijau. Kepada Rasulullah SAW. dia lalu bertanya, “Wahai
Rasululah! Milik siapa istana ini?”
“Milik seorang Muslim yang mengesakan Allah,”
jawab baginda.
“Wahai Rasulullah, aku pun seorang Muslim,” jawabnya.
“Cuba tunjukkan kepadaku bahawa dirimu benar-benar
seorang Muslim yang mengesakan Allah,” sabda Rasulullah SAW.
kepadanya.
Tokoh di kampung itu pun bingung
atas pertanyaan baginda, dan kepadanya Rasulullah SAW. kemudian
bersabda lagi, “Di saat wanita Alawiyah datang kepadamu, bukankah
kamu berkata kepadanya, “Tunjukkan mengenai dirimu kepadaku!”
Kerananya, demikian juga yang harus kamu lakukan, iaitu tunjukkan
dahulu mengenai bukti diri sebagai seorang Muslim kepadaku!”
Sesaat kemudian lelaki muslim
itu terjaga dari tidurnya dan air matanya pun jatuh berderai,
lalu dia memukuli mukanya sendiri. Dia berkeliling kota untuk
mencari wanita Alawiyah yang pernah memohon pertolongan kepadanya,
hingga dia mengetahui di mana kini wanita tersebut berada.
Lelaki Muslim itu segera berangkat
ke rumah orang Majusi yang telah menampung wanita Alawiyah beserta
anak-anaknya.
“Di mana wanita Alawiyah itu?’ tanya lelaki Muslim
kepada orang Majusi.
“Ada padaku,” jawab si Majusi.
“Aku sekarang menghendakinya,” ujar lelaki Muslim
itu.
“Tidak semudah itu,” jawab lelaki Majusi.
“Ambillah wang seribu dinar dariku dan kemudian
serahkan mereka padaku,” desak lelaki Muslim.
“Aku tidak akan melepaskannya. Mereka telah tinggal
di rumahku dan dari mereka aku telah mendapatkan berkatnya,”
jawab lelaki Majusi itu.
“Tidak boleh, engkau harus menyerahkannya,” ujar
lelaki Muslim itu seolah-olah mengugut.
Maka, lelaki Majusi pun menegaskan
kepada tokoh Muslim itu, “Akulah yang berhak menentukan apa
yang kamu minta. Dan istana yang pernah kamu lihat dalam mimpi
itu adalah diciptakan untukku! Adakah kamu mahu menunjukkan
keislamanmu kepadaku? Demi Allah, aku dan seluruh keluargaku
tidak akan tidur sebelum kami memeluk agama Islam di hadapan
wanita Alawiyah itu, dan aku pun telah bermimpi sepertimana
yang kamu mimpikan, serta Rasulullah SAW. sendiri telah pula
bersabda kepadaku, “Adakah wanita Alawiyah beserta anaknya itu
padamu?”
“Ya, benar,” jawabku.
“Istana itu adalah milikmu dan seluruh keluargamu.
Kamu dan semua keluargamu termasuk penduduk syurga, kerana Allah
sejak zaman azali dahulu telah menciptakanmu sebagai orang Mukmin,”
sabda baginda kembali.
^ Kembali
ke atas ^
Istana Mutiara Berwarna
Merah
Bersumber dari Khatan Abu Imran Al-Lu’lu’i.
Dia adalah seorang soleh yang suka melayani orang-orang fakir
dan rumahnya selalu terbuka bagi sesiapa pun.
Suatu ketika ada sekelompok
kaum bertamu ke rumahnya, dia lalu segera menghadap kepada seorang
hakim agar memberi sesuatu kepadanya yang akan digunakan untuk
menjamu para tetamunya itu. Akan tetapi, sang hakim tersebut
tidak memberikan sesuatu pun kepadanya.
Demikianlah, Khatan pun akhirnya
pergi menemui seorang Yahudi dan orang Yahudi itu ternyata mengabulkan
permintaannya dan dengan segera mengirimkan sesuatu yang diperlukan
oleh Khatan dalam menjamu tetamunya.
Ketika sang hakim tidur, dia bermimpi seakan-akan dia sedang
berdiri di depan sebuah pintu gerbang sebuah istana yang terbuat
dari mutiara berwarna merah. Saat melangkahkan kakinya, hendak
memasuki istana tersebut, tiba-tiba dia dihadang dan dilarang
memasukinya. Lalu dikatakan kepadanya:
“Sebenarnya istana ini milikmu, akan tetapi sekarang telah diserahkan
kepada si Fulan yang beragama Yahudi itu.”
Pada keesokan harinya, hakim
itu bergegas pergi ke rumah Khatan Abu Imran untuk meminta keterangan
tentang apa yang telah dilakukannya setelah ditolak beberapa
waktu sebelumnya. Setelah memberitahukannya, sang hakim itu
kemudian bergegas menemui orang Yahudi sebagaimana telah disebutkan
oleh Khatan.
Sang hakim berkata kepada orang
Yahudi itu, “Kamu telah mempunyai istana di syurga. Adakah kamu
mahu menjualnya dengan harga sepuluh ribu dirham?”
“Tidak,” jawabnya tegas.
Hakim itu berusaha menaikkan
harga tawarannya, namun demikian, orang Yahudi tersebut tetap
pada pendiriannya untuk tidak menjualnya.
Dan akhirnya hakim itu minta
kepadanya untuk menceritakan kisah yang dialaminya, dan si Yahudi
itu akhirnya menceritakan kisahnya.
Orang Yahudi itu lalu berkata kepada Khatan Abu
Imran, “Ajarilah aku akan agama Islam!”
Demikianlah, ditinggalkannya
agama Yahudi yang dianutinya dan kemudian dia masuk Islam dengan
yakin dan ikhlas.