| Salasilah | Thalut
Menjadi Raja | Dawud Mengalahkan Jalut
| Dawud Sebagai Hamba |
| Keistimewaan Nabi Dawud | Kenikmatan-kenikmatan
Yang Diterima Nabi Dawud | Nabi Dawud Sebagai
Hakim|
| Kelalaian Nabi Dawud
Dalam Memutuskan Perkara | Mukjizat Nabi
Dawud Kitab Nabi Dawud |Kitab Nabi
Dawud |
Salasilah ..
...
iriwayatkan
bahawa nama Dawud disebutkan 16 kali dalam Al-Quran, iaitu dalam
surah Al-Baqarah, An-Nisaa’, Al-Maa’idah, Al-An’aam, Al-Israa’,
Al-Anbiyaa’, An-Naml, Sabaa’ dan Shaad. Dawud termasuk nabi-nabi
Bani Israil, keturunan Yahudza bin Nabi Yaakub. Allah telah menghimpunkan
baginya kenabian dan kerajaan serta mengurniakan kebaikan dunia
dan akhirat, maka beliau adalah nabi dan raja sebagaimana juga
puteranya Sulaiman a.s.
Dawud bin Isya bin ‘Uwaid, termasuk keturunan
Yahudza bin Nabi Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim a.s. Ahli Taurat
dan ahli Injil menyebutkan nasabnya dengan terperinci dalam
kitab-kitab mereka. Mereka semua sepakat bahawa Dawud a.s. adalah
keturunan Yahudza bin Yaakub yang dinamakan Israil a.s. Beliau
termasuk salah seorang rasul yang diberi kitab samawi sesudah
Musa a.s., di mana Allah menurunkan Zabur kepada beliau, sebagaimana
firman Allah:
“Dan Kami berikan Zabur kepada Dawud”.
Sesudah wafatnya Nabi Musa dan Harun, Bani
Israil diperintah oleh seorang nabi di antara nabi-nabi mereka
yang bernama Yusya’ bin Nun a.s. Beliau memasuki Palestin, sebagaimana
mereka telah dijanjikan melalui lisan Musa dalam Taurat, lalu
beliau mengagih-agihkan tanah kepada mereka, dan memerintah mereka
sampai wafatnya. Setelah Yusya’ bin Nun wafat, pemerintahan dipegang
oleh para hakim di antara mereka yang berlangsung selama 356 tahun,
dan pemerintahan pada masa itu dinamakan “Pemerintahan Hakim”.
Pada selang waktu itu, Bani Israil perlahan-lahan
mengalami kehancuran dan kelemahan. Berbagai macam kemaksiatan
dan kemungkaran bermaharajalela di mana-mana, syariat disia-siakan,
penyembahan behala kembali mempengaruhi mereka, di mana mereka
diserang oleh bangsa Amaliqah, Armenia, Palestin dan yang lain-lain
di mana dalam setiap kali serangan mereka lebih banyak kalah
di dalam menghadapi musuh.
Kemudian urusan Bani Israil menjadi kacau,
penyelewengan dan kesalahan semakin besar, bahkan sampai-sampai
mereka berani membunuh para nabi. Sebagai ganti para nabi itu,
Allah memberikan kekuasaan kepada raja-raja yang bengis yang
sentiasa menganiaya mereka, menumpahkan darah-darah mereka dan
memenangkan musuh-musuh mereka.
Apabila mereka memerangi musuh mereka, lalu
mereka membawa Tabut mitsaq (kotak perjanjian), yang orang-orang
ahli kitab menamakannya dengan Tabut ‘ahd (kotak perjanjian),
yang di dalamnya terdapat kepingan-kepingan dan tongkat Musa
a.s. Inilah yang diisyaratkan dalam Al-Quran:
“Dan nabi mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya
tanda ia akan menjadi raja, ialah kembalinya tabut kepadamu,
yang di dalamnya terdapat ketenangan dari Tuhanmu dan sisa dari
peninggalan keluarga Musa dan keluarga Harun ........”
(Al-Baqarah: 248)
Kemudian mereka mendapatkan
kemenangan kerana berkah tabut itu. Tatkala mereka bertempur dengan
penduduk negeri Ghazzah dan ‘Asqalan, mereka terlibat dalam pertentangan
di antara mereka sendiri dan raja mereka mati dengan cara yang mengerikan,
dan Bani Israil bagaikan kambing yang tidak ada penggembalanya,
sampai Allah membangkitkan seorang nabi yang bernama Samuel, dan
ahli kitab menyebutnya Shamuel, lalu mereka meminta kepadanya untuk
menentukan seorang raja di antara mereka supaya dapat melawan musuh-musuh
mereka.
Peristiwa ini dikisahkan Allah dalam Al-Quran
adalah sebagai berikut:
“Apakah kamu tidak memperhatikan pemuka-pemuka Bani Israil
sesudah Nabi Musa, iaitu ketika mereka berkata: “Angkatlah untuk
kami seorang raja supaya kami berperang (di bawah kepemimpinannya)
di jalan Allah. Nabi mereka menjawab: “Mungkin sekali jika kamu
nanti diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang”.
Mereka menjawab: “Mengapa kami tidak mahu berperang di jalan
Allah, padahal sesungguhnya kami telah diusir dari kampung halaman
kami dan dari anak-anak kami?” Maka tatkala perang itu diwajibkan
atas mereka, merekapun berpaling, kecuali beberapa orang saja
di antara mereka. Dan Allah Maha Mengetahui orang-orang yang
zalim”.
(Al-Baqarah: 246)
Allah telah menjadikan
Thalut sebagai raja dengan melalui wahyu dari Allah. Allah menunjuk
Thalut sebagai raja yang mengurusi urusan mereka kerana badannya
yang kekar dan ilmunya yang memadai. Akan tetapi Bani Israil menolak
penunjukan Thalut, dan mereka berkata kepada nabinya:
“Bagaimana Thalut memerintah kami, padahal kami lebih berhak
mengendalikan pemerintahan daripada dia, sedang dia pun tidak
diberi kekayaan yang cukup banyak?”
Nabi mereka menjawab, “Sesungguhnya Allah
telah memilihnya menjadi rajamu dan menganugerahinya ilmu yang
luas dan tubuh yang perkasa.”
Thalut menjadi raja bagi Bani Israil, dan
Allah mengukuhkannya dengan datangnya Tabut yang diperselisihkan
ke tengah-tengah mereka. Thalut memilih pasukan yang kuat lagi
perkasa untuk memerangi musuh-musuh mereka yang dipimpin oleh
Jalut yang kejam dan perkasa.
^ Kembali ke atas
^
Dawud Mengalahkan Jalut
Jalut mengisytiharkan supaya diadakan perang
tanding satu lawan satu. Jalut yang gagah perkasa maju ke hadapan
mencabar musuh-musuhnya. Cabaran Jalut disambut oleh Dawud, seorang
yang nampaknya tidak setanding dengan Jalut yang bertubuh besar,
kuat dan gagah. Sehinggakan Jalut mengejeknya dengan berkata,
“Pergilah kamu, sebab aku tak ingin membunuh budak kecil seperti
kamu.” Dawud menjawab, “Tetapi aku ingin membunuh kamu!”
Maka terjadilah pertempuran antara Jalut
dengan Dawud. Walaupun bertubuh kecil, Dawud berjaya menjatuhkan
Jalut dengan lemparan batu, sehingga tentera Jalut kucar-kacir
dan bertempiaran lari.
Semenjak kejadian itu, nama Dawud menjadi
terkenal di kalangan Bani Israil. Selepas kematian Thalut, urusan
pemerintahan dikuasai oleh Dawud, yang menjadi raja ke atas Bani
Israil.
^ Kembali ke atas
^
Dawud Sebagai Hamba
Allah telah mengkhabarkan tentang ketaatan
Dawud menerusi firman-Nya:
“Dan ingatlah hamba Kami Dawud yang mempunyai kekuatan; sesungguhnya
dia amat taat (kepada Tuhan). Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-ganang
untuk bertasbih bersama dia (Dawud) diwaktu petang dan pagi, dan
(Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan berkumpul. Masing-masingnya
amat taat kepada Allah.”
(Shaad: 17-19)
Menerusi ayat tersebut
Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad SAW agar mengingat hamba-Nya
dan Nabi-Nya yang bernama Dawud. Hal ini dimaksudkan agar ia dapat
mengambil pelajaran yang baik daripadanya, kerana Dawud mempunyai
sifat Zal Aidi (iaitu mempunyai kekuatan) dalam beragama, yang tidak
lemah kerana kekerasan dan tidak kalah kerana penganiayaan. Juga
Allah menyifatkan "Awwab" (yang banyak kembalinya kepada Allah,
dan bersandar diri kepada-Nya) dalam menghadapi kekejaman dan kesukaran,
baik secara sembunyi-sembunyi mahupun secara terang-terangan.
^ Kembali ke atas
^
Keistimewaan Nabi Dawud
Allah telah memberikan keistimewaan kepada
Nabi Dawud, iaitu gunung-ganang ditundukkan supaya bertasbih bersamanya
pada waktu siang, pagi atau malam dengan bahasa khas yang tidak
dapat difahami oleh manusia. Tetapi difahami oleh Nabi Dawud dengan
inderanya, pengetahuan dan kelebihan khusus yang telah diberikan
Allah kepadanya. Demikian juga burung-burung disuruh oleh Allah
ikut bertasbih bersama Dawud.
^ Kembali ke atas
^
Kenikmatan-kenikmatan
Yang Diterima Nabi Dawud
Allah memberikan bermacam-macam kenikmatan
kepada Nabi Dawud, berupa kerajaan yang dimilikinya, kenabian,
ilmu, dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan. Hal
ini telah disebutkan dalam Al-Quran:
“Dan Kami kuatkan kerajaannya dan Kami berikan kepadanya hikmah
dan kebijaksanaan dalam penyelesaian perselisihan.”
(Shad: 20)
Yang dimaksud dengan
"Kami kuatkan kerajaannya" ialah Allah menguatkan kerajaannya dengan
wibawa kemenangan, kekuatan tentera dan nikmat yang berlipat ganda.
Dan yang dimaksud dengan "Kami berikan kepadanya hikmah" adalah,
kenabian, ilmu yang sempurna dan ilmu perundang-undangan. Sedangkan
yang dimaksud dengan "Kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan"
ialah kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan antara orang-orang
yang berselisih dengan memisahkan antara yang benar dan yang salah.
^ Kembali ke atas
^
Nabi Dawud Sebagai Hakim
Nabi Dawud a.s. telah membahagi hari-harinya
menjadi empat bahagian: sehari untuk beribadat, sehari untuk menjadi
hakim, sehari lagi untuk memberikan pengajaran, dan sehari lagi
untuk kepentingan peribadi.
^ Kembali ke atas
^
Kelalaian Nabi Dawud
Dalam Memutuskan Perkara
Di zaman Nabi Dawud, seorang lelaki tidak
dibatasi dalam memiliki isteri. Seorang lelaki boleh mempunyai
isteri dua, tiga, empat dan seterusnya. Tidak ada larangan dalam
syariat kitab Zabur. Nabi Dawud sendiri mempunyai isteri sembilan
puluh sembilan jumlahnya. Pada suatu ketika Dawud diliputi kelalaian.
Ada salah seorang yang mempunyai isteri hanya seorang, tetapi
oleh Nabi Dawud isteri orang tersebut mahu dimintanya. Suami dari
isteri tadi berkata kepada Nabi Dawud: Bagaimakah ini, isteriku
hanya satu, padahal isterimu sudah sembilan puluh sembilan? Nabi
Dawud menjawab: Untuk menggenapkan sehingga menjadi seratus jumlahnya.
Dari peristiwa itu Allah lalu mengutus dua
malaikat menghadap kepada Nabi Dawud. Malaikat tadi menyerupai
manusia yang berpura-pura mengadukan suatu persoalan dan memohon
supaya dihukum dengan adil. Lalu dua malaikat tadi mengadukan
persoalannya: Hai Nabi Dawud, aku memohon dihukum dengan adil,
bahawa aku mempunyai kambing hanya seekor, dan akan diminta
oleh saudaraku ini yang dia sudah mempunyai kambing sembilan
puluh sembilan ekor jumlahnya, dia ingin menggenapkannya menjadi
seratus ekor kambing. Nabi Dawud menjawab: Sesungguhnya orang
yang mempunyai kambing sembilan puluh sembilan ekor tadi termasuk
menganiaya kerana kambing yang hanya seekor mahu diminta.
Dengan datangnya dua malaikat yang berpura-pura
menjadi manusia itu, maka tersentuhlah jiwa Nabi Dawud. Dan
seketika itu juga Nabi Dawud sedar dan ingat akan kesalahannya,
iaitu meminta isteri orang yang hanya seorang itu, demi untuk
menggenapkannya menjadi seratus, kemudian Allah berfirman kepada
Dawud:
“Hai Dawud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu Khalifah (penguasa)
di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia
dengan adil dan jangan kamu mengikut hawa nafsu, kerana ia menyesatkan
kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari
jalan Allah akan mendapat azab yang dahsyat, kerana mereka melupakan
hari perhitungan.”
(Shad: 26)
Pernah terjadi suatu
malam, kambing-kambing tanpa penggembala telah memasuki ladang dan
merosak tanaman milik orang lain. Kemudian para pemilik ladang itu
datang kepada Dawud mengadukan perkaranya. Mereka berkata: “Wahai
Nabi Allah, sesungguhnya kami telah mengerjakan tanah kami, lalu
kami tanami dan kami pelihara. Namun ketika datang waktu menuai
hasilnya, pada suatu malam telah datang kambing-kambing suatu kaum
merosakkan tanaman-tanaman kami, dan memakannya hingga tidak ada
sisa sedikit pun".
Dawud berkata kepada para pemilik ladang:
“Menurutmu berapa harga tanaman itu?” Lalu mereka menyebutkan
harganya. Kerananya ketika Dawud melihat kedua-dua harga itu
berdekatan, ia berkata kepada para pemilik kambing: "Bayarkanlah
kambing-kambing kamu itu kepada para pemilik ladang, sebagai
ganti tanaman-tanaman mereka yang dirosak."
Tetapi puteranya, Sulaiman yang ketika itu
ikut hadir menyaksikan keputusan itu, segera membantah ayahnya,
sambil berkata: “Saya mempunyai pendapat dalam perkara ini supaya
para pemilik kambing menyerahkan kambing-kambing mereka kepada
pemilik ladang, sehingga mereka dapat memanfaatkan bulu-bulu,
susu-susu dan anak-anak kambing itu. Sedangkan para pemilik
kambing mengambil ladang-ladang itu lalu mengerjakannya, menanami,
menyirami dan memeliharanya hingga berbuah. Sehingga apabila
telah datang masa panen, para pemilik kambing itu menyerahkan
kembali ladang-ladang itu kepada para pemiliknya dan mereka
menerima kambing-kambing mereka kembali.”
Kaumnya yang ikut menyaksikan jalannya persidangan
itu sangat bersetuju atas keputusan Sulaiman (Anak Nabi Dawud).
Dan Dawud berkata: Aku menyetujui keputusan ini, wahai anakku.
Lalu ia memberikan keputusan sesuai dengan fatwa Sulaiman.
Hal ini disebutkan di dalam Al-Quran:
“Dan (ingatlah kisah) Dawud dan Sulaiman, diwaktu kedua-duanya
memberikan keputusan mengenai tanaman, kerana tanaman itu dirosakkan
oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. Dan adalah Kami menyaksikan
keputusan yang diberikan oleh mereka itu, maka Kami telah memberikan
ilmu kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat) dan kepada
masing-masing mereka telah Kami berikan hikmah dan ilmu.”
(Al-Anbiya': 78-79)
^ Kembali ke atas
^
Mukjizat Nabi Dawud
Allah telah menunjukkan dalam Al-Quran tentang
kelebihan yang diberikan kepada Dawud atau mukjizat, iaitu hal-hal
yang luar biasa yang tidak dapat diperbuat oleh manusia biasa.
Iaitu besi boleh dilunakkan seperti lilin dan dapat dirobah sesuka
hatinya tanpa memakai api atau alat apa pun. Dan dari besi itu
pula ia membuat baju besi yang dikukuhkan dengan tenunan dari
bulatan-bulatan rantai yang jalin menjalin. Jenis baju ini tidak
akan mengganggu pemakainya di dalam bergerak, tidak seperti baju-baju
besi yang kaku dan keras.
^ Kembali ke atas
^
Kitab Nabi Dawud
Al-Quran telah menyebutkan bahawa Allah Ta'ala
telah memberikan sebuah Kitab kepada Nabi Dawud berupa Kitab Zabur:
“....Dan Kami berikan (kitab) Zabur itu kepada Dawud."
^ Kembali ke atas
^