| Tempat Tinggal Kaum Tsamud
| Dakwah ke Jalan Allah | Kemewahan
Yang Menghancurkan |
| Menuntut Bukti Mukjizat | Membunuh
Unta | Kehancuran Kaum Tsamud |
Tempat Tinggal Kaum Tsamud
. ..
esudah
kaum 'Ad dibinasakan oleh Allah dengan angin taufan yang sangat
kencang, sehingga mengakibatkan manusia yang ingkar bergelimpangan,
rumah-rumah dan bangunan-bangunan yang menjulang tinggi runtuh
menjadi berserakan, haiwan-haiwan ternakan diterbangkan angin
taufan yang dahsyat itu. Akhirnya negeri itu kosong dan tandus.
Diriwayatkan bahawa negeri itu kosong dari
penduduknya, kerana Hud dan pengikutnya yang beriman telah pindah
ke Makkah. Akhirnya Allah mengutus bangsa lain untuk menghuni
negeri yang rosak itu. Bangsa itu yang dalam Al-Quran disebut
bangsa atau kaum Tsamud. Merekalah yang berkuasa di atas bumi
yang sebelum ini dikuasai oleh bangsa 'Ad dahulu.
Negeri itu dibinanya semula, sehingga menjadi
negeri yang makmur, lebih makmur lagi bila dibandingkan dengan
zaman kaum 'Ad yang sudah musnah itu. Di dalamnya penuh dengan
kebun-kebun, tanam-tanaman yang indah, dengan hasil bumi yang
berlipat ganda. Pendeknya, kehidupan mereka senang dan bahagia,
tidak kekurangan segala keperluan sehari-hari.
Al-Quran tidak menentukan tempat tinggal
kaum Tsamud, tetapi menerusi firman Allah ini jelas menunjukkan:
“Dan kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah”.
(Fatir: 9)
Jadi tempat tinggal mereka
adalah di daerah pegunungan batu. Yang dimaksud lembah oleh ayat
ini ialah lembah Al-Qura. Di lembah inilah mereka tinggal. Kebanyakan
riwayat menyebutkan bahawa desa Al-Hajr sebagai perkampungan kaum
Tsamud. Mereka menyebutkan bahawa di sana ada sebuah sumur yang
dinamakan sumur Tsamud. Rasulullah SAW pernah mendatangi sumur itu
pada waktu perang Tabuk, dan melarang sahabat-sahabatnya meminum
air dan memasuki rumah-rumah di kampung itu.
Kehidupan kaum Tsamud ini seperti kehidupan
kaum 'Ad dahulu. Mereka membuat kerosakan dan kesombongan, menunjuk-nunjukkan
harta kekayaan yang mereka miliki. Mereka mengira bahawa harta
kekayaan yang selama ini mereka pegang dan rasakan adalah untuk
selama-lamanya, kesenangan dan kebahagiaan hidup mereka akan
tetap selamanya. Lalu mereka berbuat sekehendaknya, mengikuti
hawa nafsunya yang angkara murka, bahkan hingga batu-batu yang
tidak berharga mereka gunakan sebagai pemujaan dan penyembahan
mereka.
Kaum Tsamud adalah penyembah berbagai berhala,
antara lain Wad, Jad, Syams, Manaf, Manaat, Al-Lata dan sebagainya.
^ Kembali ke atas
^
Dakwah ke Jalan Allah
Allah mengutus Nabi bernama Salleh kepada Kaum Tsamud
untuk menyeru mereka beribadah kepada Allah dan meninggalkan penyembahan
patung-patung (berhala-berhala). Seruan Nabi Salleh kepada mereka:
“Hai kaumku, beribadahlah hanya kepada Allah semata. Jangan menyekutukannya
dengan sesuatupun. Dia yang menciptakan kamu dari tanah, Dialah
yang menjadikan kamu dapat membangun dengan menyediakan alat-alat
pembangunan.
Maka wajarlah kalian harus memohon ampun kepada-Nya
atas perbuatan dosa yang telah kalian lakukan, mengabulkan permohonan
orang-orang yang berdoa, mengampuni dosa orang yang bertaubat,
jika ia benar-benar beriman dan ikhlas dalam berdoa.”
^ Kembali ke atas
^
Kemewahan Yang Menghancurkan
Kaum Tsamud mendustakan Nabi yang diutus Allah,
menolak seruannya untuk beribadah kepada Allah, bertakwa dan meng-Esakan-Nya.
Padahal ia Rasul yang dapat dipercaya dan tak mengharapkan upah
dalam menyampaikan ajarannya.
Kebiasaan kabilah Tsamud bergelumang dalam
kemewahan material antara lain dalam masalah makanan, minuman
dan tempat tinggal dengan bangunan-bangunan yang menjulang kukuh.
Sehingga mereka ingkar terhadap Nabinya yang bernama Salleh.
Nabi Salleh berkata menasihati mereka: “Apakah kalian mengira
Allah akan membiarkan kalian bersenang-senang dengan kenikmatan
itu. Apakah kalian mengira dapat melindungi diri kalian dari
azab Allah, sehingga kalian berfoya-foya sekehendak hati dengan
kebun-kebun, mata air, pertanian dengan buah kurmanya yang manis
dan masak.
Kalian pahat bahagian-bahagian gunung untuk
dijadikan tempat tinggal dan rumah-rumah yang nyaman menyenangkan.
Kemudian kalian tidak mahu mensyukuri nikmat Allah yang banyak
ini. Bertakwalah kepada Allah, taatilah nasihat-nasihatku. Aku
menyeru kalian ke jalan Allah, janganlah kamu turutkan perbuatan-perbuatan
orang yang melampaui batas. Mereka melampui batas (mempengaruhi
kalian) dalam kekufuran dan kemaksiatan. Mereka membabi-buta
membuat kemaksiatan di dunia, dan tidak mengetahui jalan yang
benar.”
Seterusnya Nabi Salleh berkata kepada mereka:
“Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti-pengganti
(yang berkuasa) sesudah kaum ‘Ad dan memberikan tempat bagimu
di bumi. Kamu bina istana-istana di tanah-tanahnya yang datar
dan kamu pahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah
nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu melampaui batas di muka
bumi membuat kerosakan”.
^ Kembali ke atas
^
Menuntut Bukti Mukjizat
Kaum Tsamud tidak mahu percaya terhadap nasihat-nasihat
Nabi Salleh. Bahkan sebaliknya, mereka menuduh bahawa Salleh terkena
sihir yang mengganggu fikirannya. Sehingga dengan pengaruh sihir
itu, ia mengaku sebagai utusan Allah.
Pada suatu hari mereka (kaum Tsamud) datang
menemui Nabi Salleh untuk minta bukti-bukti kebenaran atas kenabian
Salleh. Mereka berkata, "Kalau engkau boleh mendatangkan bukti
mukjizat (perkara-perkara luar biasa), maka engkau benar-benar
seorang nabi, kalau tidak bererti engkau seorang pembohong."
Mendengar kata-kata dan pendirian mereka
yang sedemikian itu, tidak ada yang dapat diperbuat oleh Nabi
Salleh kepada mereka kecuali hanya berdoa kepada Allah: "Ya
Allah, Ya Tuhanku, kaumku telah mendustakan aku, dan hanya sebahagian
sahaja dari mereka yang beriman kepadaku, dan kali ini mereka
minta mukjizat atas kenabianku. Untuk mengatasi hal yang sedemikian
itu sudilah kiranya Engkau memberikan mukjizat yang dikehendaki
mereka itu. Mudah-mudahan dengan mukjizat itu mereka beriman
kepada seruan yang kusampaikan kepada mereka."
Allah mengabulkan permintaan Nabi Salleh,
lalu Allah berfirman kepadanya: "Pergilah engkau hai Salleh
untuk mendapatkan kaummu, dan katakanlah kepada mereka agar
berkumpul di luar bandar di kaki gunung yang nampak itu, untuk
dapat melihat mukjizat yang mereka kehendaki itu. Dari gunung
itu nanti akan muncul seekor unta betina yang luar biasa cantiknya,
besar dan gemuk, tak pernah mereka lihat sebelum ini. Tetek
unta itu selalu penuh dengan air susu, walaupun setiap detik
dan setiap jam air susu itu diperas.
Setiap orang dibolehkan untuk mengambil
air susunya, dengan syarat bahawa unta itu harus dibiarkan dengan
sebebas-bebasnya, tidak boleh diganggu oleh sesiapa pun. Dan
juga unta itu harus dibiarkan meminum air yang ada dalam perigi
itu bergantian dengan penduduk. Ertinya hari ini perigi itu
digunakan untuk meminumkan unta itu, dan hari berikutnya digunakan
untuk penduduk. Dan begitulah seterusnya. Dan sewaktu giliran
unta, Nabi Salleh tak seorang pun dari penduduk itu yang dibolehkan
mengambil air perigi itu. Begitu pula pada hari giliran penduduk,
unta itu tidak akan meminum sedikit pun."
Setelah wahyu itu disampaikan oleh Nabi
Salleh kepada kaumnya, maka mereka berkumpul menunggu-nunggu
unta yang dimaksudkan itu. Tidak lama kemudian dari gunung itu
muncullah seekor unta yang cantik, gemuk dan teteknya penuh
dengan air susu, sebagaimana yang dikatakan oleh Nabi Salleh
kepada mereka.
Unta itu terus menuju ke perigi dan meminum
semua air yang ada dalam perigi. Melihat unta yang gemuk itu,
semua penduduk menyediakan baldi dan bekas untuk tempat susu,
lalu mengambil air susu dari unta itu.
Demikianlah setiap hari unta itu mengeluarkan
air susu, dan tidak henti-hentinya penduduk disitu memerasnya.
Dan pada suatu hari, mereka tidak mendapatkan air sama sekali
dalam perigi itu, maka sebagai gantinya mereka memeras susu
unta itu.
Begitulah dari hari ke sehari, dari minggu
ke minggu, orang yang beriman bertambah kuat imannya, sedangkan
orang-orang yang ingkar bukan menjadi beriman padahal bukti-bukti
dan mukjizat yang mereka minta dahulu telah mereka saksikan, bahkan
mereka bertambah dengki kepada Nabi Salleh dan orang-orang yang
beriman.
^ Kembali ke atas
^
Membunuh Unta
Untuk mewujudkan kedengkian dan iri hati yang terpendam
dalam hati kaum Tsamud yang ingkar, maka mereka merancang untuk
membunuh unta mukjizat itu dari permukaan bumi, dengan tujuan
supaya orang-orang yang beriman semakin berkurang bahkan menghindar
dari seruan Nabi Salleh. Kerana seruan dan ajaran Salleh adalah
tidak sesuai dengan ajaran nenek moyang mereka yang menyembah
patung dan berhala-berhala.
Untuk membunuh unta mukjizat Nabi Salleh
itu, para pemimpin kaum Tsamud yang ingkar memberikan motivasi
kepada lelaki untuk membunuh unta itu. Motivasi itu adalah dengan
menawarkan perempuan-perempuan cantik. Perempuan-perempuan cantik
itu akan diserahkan kehormatannya kepada lelaki yang mahu membunuh
unta tersebut. Bila seorang lelaki telah ditawan hatinya oleh
seorang perempuan cantik, maka lelaki penakut menjadi pemberani,
dan lelaki yang bagaimanapun pandainya akan menjadi bodoh.
Akhirnya seorang perempuan cantik yang bernama
Shaduq binti Mahya akan menyerahkan kehormatannya dengan sepuas-puasnya
kepada seorang lelaki yang bernama Masdak Ibnu Hajar, dengan
syarat pemuda itu dapat membunuh unta tersebut. Dan juga seorang
perempuan tua yang derhaka sanggup menyerahkan kehormatan anak
gadisnya kepada seorang lelaki yang bernama Qudar Ibnu Salif.
Kedua-dua pemuda itu yang sudah dirangsang
dengan gadis-gadis cantik, berangkat menuju ke tempat unta itu
berada. Dengan diam-diam kedua-dua pemuda itu mendekati unta
itu dekat perigi dan menucucuknya dengan pedang yang sangat
tajam, hingga akhirnya terburailah susu unta itu, dan tidak
lama kemudian unta itu pun mati. Kedua-dua pemuda itu dengan
perasaan puas hati dan gembira menemui pemimpin-pemimpin kaumnya
atas kematian unta mukjizat tersebut sambil menagih janji gadis-gadis
cantik yang akan mereka nikmati.
Mereka mendustakan akan firman Allah melalui
Nabi Salleh yang telah memberi ancaman kepada sesiapa sahaja
yang berani membunuh unta itu, tapi akhirnya mereka membunuh
unta itu dengan mendustakan mukjizat yang telah diperlihatkan
kepada mereka.
Kemudian mereka menemui Nabi Salleh dan
berkata: "Hai Salleh, datangkanlah seksa yang telah engkau janjikan
itu, seandainya engkau benar-benar utusan Allah. Buktinya unta
yang merupakan mukjizat itu sudah kami bunuh, dan mana janji
bahawa akan didatangkan seksa itu."
Nabi Salleh berkata: "Kamu benar-benar telah
berbuat dosa. Sekarang kamu boleh bersenang-senang dan bergembira
tiga hari sahaja atas kematian unta itu. Sesudah tiga hari yang
dijanjikan Tuhan akan datang, dan bukanlah ini perjanjian yang
bohong."
Tempoh tiga hari masih diberikan kepada
mereka oleh Nabi Salleh dengan harapan mudah-mudahan mereka
sedar dan minta ampun, beriman kepada Allah dan utusan-Nya.
Tetapi oleh kaum yang derhaka dan celaka itu, dianggap sebagai
tanda kelemahan.
Belum lagi tiga hari, mereka datang lagi
kepada Nabi Salleh memaki-hamun lagi dengan bertanya: "Percepatlah
datangnya seksa yang engkau janjikan itu".
Dan banyak lagi cara-cara mereka dalam menyakiti
dan mendustakan Nabi Salleh. Nabi Salleh hanya berkata: "Wahai
kaumku, kenapa kamu minta segera datangnya seksa, bukan kebaikan?
Kenapa kamu tidak minta ampun kepada Allah, mudah-mudahan kamu
diberinya pengampunan?"
Sehari sebelum janji itu habis, kerana mereka
merasa ragu dan takut akan janji Allah itu, maka mereka mengadakan
mesyuarat rahsia untuk membunuh Nabi Salleh pada malam itu juga.
Kerana menurut sangkaan mereka bahawa dengan terbunuhnya Nabi
Salleh, seksa itu tidak akan datang. Namun Allah melindungi
hamba-Nya yang benar, Nabi Salleh dijauhkan dari pembunuhan
pada malam itu juga.
Pada keesokan harinya tepat sekali apa yang
dijanjikan oleh Nabi Salleh itu, maka azab atau seksa yang dijanjikan
Tuhan itu turunlah, yang berupa suara petir yang sangat dahsyat.
Gemuruh petir yang sangat kuat itu dapat menyebabkan suara yang
mengguntur dan dapat menghancurkan rumah dan bangunan-bangunan
mereka sebagai tempat tinggal, bukit-bukit yang dipergunakan sebagai
benteng, harta kekayaan mereka porak-peranda disambar petir dan
tiupan angin. Hanya Nabi Salleh dan pengikutnya yang beriman terselamat
dari azab tersebut.
^ Kembali ke atas
^
Kehancuran Kaum Tsamud
Kehancuran kaum Tsamud adalah kerana sambaran
petir yang mereka saksikan dengan mata mereka sendiri. Petir adalah
tenaga elektrik yang dahsyat, yang menimbulkan bunyi yang keras.
“Adapun kaum Tsamud, maka mereka telah dibinasakan dengan kejadian
yang luar biasa”.
(Al-Haqqah: 5)
Yang dimaksud dengan
kejadian luar biasa itu ialah petir yang amat keras yang menyebabkan
suara menggelegar dan merosakkan indera pendengaran.
Petir itu menimbulkan goncangan yang hebat,
bagaikan terjadinya gempa yang memporak-perandakan bumi.
^ Kembali ke atas
^