| Cinta Sejati Seorang Ibu Terhadap
Anak-Anaknya | Syahid Dalam Menjalankan Tugas
Rasulullah SAW |
| Segelas Air Di Medan Perang
|
Cinta Sejati Seorang Ibu
Terhadap Anak-Anaknya
..
ia
seorang wanita yang sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap
menyala seperti wanita masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya
selalu menjadi pendorong dan bualan orang sekitarnya. Maklumlah
ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap
dalam bentuk syair. Al-Khansa binti Amru demikianlah nama wanita
itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan
orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya
yang bernama Sakhr: “Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku
pada si Sakhr, malang.
Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang di ufuk barat.
Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku
ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku.”
Setelah Khansa masuk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair
telah digunakannya untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam.
Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya telah diajar ilmu
bersyair dan dididik berjuang dengan berani. Kemudian kesemua
puteranya itu telah diserahkannya untuk berjuang demi kemenangan
dan kepentingan Islam.
Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil
lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.
Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan
satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua umat Islam
dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan
perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa
telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat
senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan
perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan
menaikkan semangat pejuang tentera Islam.
Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya
yang sebentar lagi akan mara ke medan perang:
“Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati.
Kemudian kamu berhijrah dengan suka rela pula. Demi Allah, yang
tiada Tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera
dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati
ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara maramu, aku
tidak pernah merendahkan keturunan kamu, dan aku tidak pernah
mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu tentang pahala yang
disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum
kafir itu. Ketahuilah bahawasanya kampung yang kekal itu lebih
baik daripada kampung yang binasa.”
Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari
surah Ali Imaran yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman!
Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah
kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga kamu menjadi
orang yang beruntung.” Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk
mendengar nasihat bonda yang disayanginya.
Seterusnya Khansa berkata: “Jika kalian
bangun esok pagi, insya Allah, dalam keadaan selamat, maka keluarlah
untuk berperang dengan musuh-musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu
dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran
semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang
sedang bergejolak masuklah kamu ke dalamnya. Dan dapatkanlah
puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu
akan berjaya mendapatkan balasan di kampung yang abadi, dan
tempat tinggal yang kekal.”
Subuh esoknya semua tentera Islam sudah
berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah
Allah iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan
mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima
besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap sedia sebaik
saja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satupun bermula
sampai dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran.
41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah
200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun
mereka tetap yakin akan pertolongan Allah.
Putera-putera Khansa maju untuk merebut
peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya,
mereka tidak sedikitpun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan
pedang, salah seorang di antara mereka bersyair:
“Hai saudara-saudaraku!
Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil
kita semalam dan membekalkan nasihat.
Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah.
Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi.”
Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang
datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang
setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia
bersyair:
“Demi Allah!
Kami tidak akan melanggar nasihat ibu tua kami
Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati
Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur musuh
bersama-sama
Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah.
Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya
sambil bersyair:
“Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas dan tidak
goncang.
Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal
cemerlang
Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap
anak-anaknya sendiri
Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan
diri
Dapatkan kemenangan yang bakal membawa kegembiraan di dalam
hati.
Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang
abadi.”
Akhir sekali anak keempat menghunus pedang
dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya
ia pun bersyair:
“Bukanlah aku putera Khansa’, bukanlah aku anak jantan
Dan bukan pula kerana Amru yang pujiannya sudah lama terkenal,
Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok
itu terjunam ke jurang bahaya, dan musnah mangsa oleh senjataku.”
Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan
tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat
ibondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat.
Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau bilau kerana
pihak Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara
tentera pejalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak
itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan
memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera
itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak
tentera Farsi lainnya. Mereka jadi mangsa gajah sendiri. Kesempatan
ini dipergunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka.
Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal
kepalanya, akhirnya merekapun lari lintang pukang menyeberangi
sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi
merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya
sebahagian kecil sahaja yang dapat menyelamatkan diri.Umat Islam
lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur.
Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu
berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang
syhuhada itu terbujur empat orang adik beradik anak Khansa.
Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang
datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat empat anaknya
telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang,
gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah
dengan ucapan: “Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku
dengan kesyahidan mereka, dan aku mengharapkan dari Tuhanku, agar
Dia mengumpulkan aku dengar mereka di tempat tinggal yang kekal
dengan rahmat-Nya!” Al-Khansa kembali semula
ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan
mayat putera-puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa
peperangan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan
‘Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati
syahid.
^ Kembali ke atas
^
Syahid Dalam Menjalankan
Tugas Rasulullah SAW
Dalam kebanyakan surat-surat yang dikirimkan
oleh Rasulullah SAW kepada beberapa orang raja adalah bertujuan
supaya mereka memeluk agama Islam, salah seorang di antaranya
ialah raja Busra, surat kepada raja ini di hantar oleh Haris bin
Umar Azdi ra. Sewaktu membawa surat ketika Haris bin Umar ra.
sampai di Mauta beliau telah dibunuh oleh Sharabbil Ghassani,
yakni salah seorang gabenor Kaisar.
Pembunuhan ini adalah bertentangan dengan
semua undang-undang kesusilaan di antara suku-suku, sebab Haris
bin Umar ra. adalah utusan untuk menyampaikan surat. Rasulullah
SAW sangat dukacita atas kematian Haris, lalu baginda mengumpulkan
seramai 3000 pejuang yang gagah berani untuk menentang musuh
yang jahat itu. Rasulullah SAW, melantik Zaid bin Harthah sebagai
ketua pasukan.
Kemudian Baginda SAW, bersabda kepada para
pejuang yang akan ke medan pertempuran: “Sekiranya Zaid terbunuh
maka Jaafar bin Abi Talib hendaklah mengetuai pasukan dan jika
Jaafar juga terbunuh maka Abdullah bin Rawahah hendaklah mengetuai
pasukan. Dan sekiranva Abdullah juga terbunuh maka bolehlah
kamu semua memilih seorang ketua di kalangan kamu orang yang
kamu kehendaki.” Seorang Yahudi yang kebetulan berada di situ
berkata: “Pasti ketiga-tiga mereka ini akan terkorban kerana
ini adalah lumrah sebagaimana para-para Nabi yang terdahulunya
selalu meramalkan.”
Sebelum tentera Islam berangkat menuju ke
medan pertempuran, Rasulullah SAW memberikan sehelai bendera
putih yang diperbuat sendiri oleh baginda SAW kepada Zaid. Rasulullah
SAW menemani tentera-tentera Islam beberapa langkah di luar
Kota Madinah dan baginda berdoa: “Semoga Allah SWT akan mengembalikan
kamu semua dengan selamat dan memperolehi kejayaan. Semoga Allah
memelihara kamu semua dari segala kejahatan.”
Setelah Rasulullah SAW selesai berdoa, Abdullah bin Rawahah
menyampaikan tiga rangkap syair yang bermaksud:
“Aku hanya mengiginkan keampunan terhadap segala dosa-dosaku
dan
sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku memancar
keluar seperti air yang mengalir keluar dari mata air.
Atau sebilah tombak untuk menembusi masuk keliang hatiku
dan isi perutku.
Dan ketika insan-insan melalui di tepi kuburku, mereka akan
berkata:
Semoga engkau telah gugur kerana Allah.... berjaya dan makmur.
Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur.”
Di pihak musuh pula ketuanya yang bernama Sarjil,
telah mengetahui mengenai persediaan tentera Islam, Sarjil mengumpulkan
100,000 tentera yang lengkap dengan alat kelengkapan perang untuk
menghadapi serangan tentera Islam. Ketika, Sarjil dan bala tenteranya
hendak mara, ia mendapat berita bahawa Kaisar sendiri sedang mara
dengan satu batalion tentera yang terdiri dari 100,000 orang untuk
menolong Sarjil. Apabila berita ini sampai kepada para sahabat
yang sedang dalam perjalanan untuk berperang dengan pihak musuh,
mereka merasa ragu-ragu dan mereka berfikir samada mara atau pun
tidak untuk menentang musuh Islam yang berjumlah 200,000 orang
itu. Atau mereka mengirim utusan kepada Rasulullah SAW untuk mendapatkan
nasihat.
Dalam ragu-ragu itu Abdullah bin Rawahah dengan penuh semangat
pejuang berkata dengan suara yang lantang:
“Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua.
Apakah tujuan sebenar kamu semua datang kesini? Bukankah kamu
semua datang kesini untuk mati syahid. Kita sebagai pejuang-pejuang
Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan
senjata dan kekuatan bilangan tentera. Perjuangan kita adalah
semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah SWT
ke atas setiap kita pejuang-pejuang agamaNya. Kita hendaklah
mempastikan salah satu antara dua: Kemenangan atau syahid.”
Apabila para sahabat yang lain mendengar kata-kata
semangat dari Abdullah bin Rawahah, maka para sahabat pun bertekad
untuk bertemu dengan tentera-tentera Kristian di medan peperangan
Mauta. Apabila sampai di medan pertempuran, Zaid ra. menggenggam
bendera di tangan dan mengarahkan tugas bagi menghadapi pertempuran,
maka berlakulah pertempuran yang sengit di antara tentera Islam
dengan tentera Kristian.
Dalam pertempuran yang sedang rancak berjalan
itu, saudara lelaki Sarjil mati dan Sarjil sendiri melarikan
diri dan bersembunyi di dalam sebuah kubu. Sarjil telah mengirim
berita kepada Kaisar tentang masalahnya dan meminta bantuan
tentera, maka Kaisar pun menghantar tenteranya yang gagah berani
seramai 200,000 untuk membantu Sarjil. Tentera Islam tetap bertarung
dengan semangat jihad walaupun angka tentera musuh jauh berbeza
dari tentara Islam yang cuma 3000 orang sahaja.
Dalam pertempuran yang sengit itu maka syahidlah
Zaid ketua panglima tentera Islam. Jaafar ra. mengambil alih
sebagai ketua dan menggenggam bendera, beliau dengan sengaja
melumpuhkan kaki kudanya agar beliau tidak dapat meninggalkan
medan pertempuran jika datang perasaannya untuk meninggalkan
medan pertempuran. Dalam peperangan yang sedang rancak berjalan
itu Jaafar membaca beberapa ungkapan syair:
“Wahai manusia! Betapakah indahnya syurga.
Dan betapa gembiranya tentang kehampirannya!
Kecelakaan orang-orang Rom berada di dalam genggaman tangan,
aku mesti hapuskan mereka semua.”
Dengan memegang bendera Islam yang berkibaran
di sebelah tangan dan sebelah tangan lagi memegang pedang beliau
terus meluru ke arah musuh. Sewaktu meluru tangan kanan beliau
yang memegang bendera telah ditetak, beliau dengan segera memegang
bendera dengan tangan kiri, tetapi tangan kiri beliau juga ditetak,
beliau tetap memegang kuat dengan menggigit bendera dengan bantuan
kedua belah bahunya yang telah kudung. Darah mengalir seperti
air paip. Datanglah musuh dari arah belakang lalu menetak Jaafar
ra. sehingga terbelah dua, dan syahidlah Jaafar ra. Umur Jaafar
ra. ketika itu ialah 33 tahun.
Abdullah bin Umar ra. menceritakan, “Ketika kami mengangkat
beliau keluar dari medan pertempuran. Kami dapat mengira bahawa
terdapat 90 liang luka di badan beliau.”
Sewaktu Jaafar ra. terbunuh Abdullah bin
Rawahah sedang makan daging di penjuru medan peperangan. Beliau
sudah tiga hari kelaparan. Sebaik sahaja beliau mendengar berita
tentang kematian Jaafar. Dengan segera beliau mencampakkan daging
dengan berkata “Abdullah kamu ini asyik sibuk dengan makan,
sedangkan Jaafar telah sampai ke syurga.”
Tanpa membuang masa Abdullah bin Rawahah
terus mencapai bendera dan meluru ke arah musuh. Dalam pertempuran
anak-anak jarinya banyak yang parah dan banyak yang tergantung
dengan isi. Beliau meletakkan anak-anak jarinya ke bawah lalu
dipijak dengan kaki dan ditarik sehingga jari-jarinya bercerai
dari tangannya. Kemudian beliau terus mara dan beliau berhenti
sebentar dan memikirkan tentera Islam yang sedikit berbandingkan
tentera musuh yang ramai. Dalam tengah berangan-angan itu dia
tersentak dan berkata ia dalam hatinya: “Wahai hati, apa yang
menyebabkan kamu memikirkan demikian?” Adakah kerana cinta kepada
isteriku? Kalau begitu aku ceraikan kamu pada saat ini juga.
Adakah kerana hamba-hamba? Kalau begitu aku bebaskan mereka
semua. Adakah kerana kebun? Kalau begitu aku berikan sebagai
sedekah.”
Oleh kerana keletihan dan kelaparan, beliau
turun dari kudanya, sementara sepupunya datang membawa sekeping
daging kepadanya dengan berkata: “Kamu tidak dapat tidur dan makan
kerana kelaparanmu selama tiga hari.”
Apabila Abdullah hendak mengambil daging tersebut, beliau mendengar
laungan musuh di salah satu sudut medan pertempuran, beliau melemparkan
daging tersebut. Dengan pedang yang terhunus beliau meluru ke
arah musuh dan berjuang sehingga beliau syahid di medan pertempuran
itu.
^ Kembali ke atas
^
Segelas Air Di Medan Perang
Di zaman permulaan bangkitnya Agama Islam,
banyak peperangan telah berlaku antara pihak tentera Islam dengan
pihak musyrikin. Banyak suku-suku Arab yang musyrik telah bangkit
menentang Kerajaan Islam yang berpusat di kota Madinah. Salah
satu peperangan besar yang dihadapi oleh umat Islam ketika itu
ialah Perang Yarmuk.
Dalam masa peperangan ini suatu peristiwa
yang sungguh mengharukan telah terjadi yang kiranya elok dijadikan
satu teladan yang indah buat umat dikemudian hari. Satu contoh
teladan yang tidak ada tolok bandingnya bagi menunjukkan keluhuran
budi pejuang-pejuang Islam di medan pertempuran.
Salah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama
Abu Jahim Bin Huzaifah yang menyertai Perang Yarmuk itu meriwayatkan
satu peristiwa tentang pengorbanan pejuang-pejuang Islam yang
berhati mulia.
Abu Jahim bercerita.
“Semasa Perang Yarmuk itu saya sedang mencari saudara sepupu
saya yang berada di barisan hadapan sekali. Saya bawa bersama-sama
sedikit air agar dapat memberi faedah buat dirinya. Tatkala
saya menjumpainya dia sedang terbaring berlumuran darah. Dia
mengerang kesakitan dan harapan untuknya hidup sangat tipis
sekali. Melihat keadaannya itu saya lantas berkejar kepadanya
untuk memberikan air. Tetapi ketika hampir saya memberikannya
air itu saya terdengar seorang lagi pejuang Islam sedang berteriak:
“Berikanlah saya air! air!” Mendengar suaranya itu saudara sepupu
saya lantas memberi isyarat agar saya pergi melayani orang itu
lebih dahulu dan memberikannya air itu. Maka saya pun tanpa
lengah lagi terus pergi mendapatkan orang itu. Pejuang itu amat
saya kenali, tidak lain adalah Hasyim Bin Abilas.
Tetapi sebelum sempat saya memberikan air
kepada Hasyim saya terdengar suara orang mengerang di sebelahnya
pula, juga meminta air. Hasyim pula kali ini mengisyaratkan
saya supaya memberikan air itu lebih dahulu kepada orang yang
mengerang dekatnya. Bagaimanapun sebelum sempat saya kepada
pejuang yang ketiga itu ia pun telah mati syahid. Lalu saya
pun bergegas semula kepada Hasyim tetapi sedihnya ia juga telah
mati syahid. Tanpa lengah lagi saya terus pergi mendapatkan
saudara sepupu saya itu. Sungguh tidak tahan rasa di hati saya
kerana saya dapati dia juga telah mati syahid.
Demikianlah satu contoh keluhuran budi yang
tidak ada bandingnya yang diperlihatkan oleh pejuang-pejuang Islam
yang beriman.
^ Kembali ke atas
^