| Nabi Idris as. Naik Ke Langit
| Nabi Musa as. pergi ke Gunung Thursina |
Nabi Idris as. Naik Ke
Langit
..
iriwayatkan
Nabi Idris as. telah naik ke langit pada hari Isnin. Peristiwa
naiknya Nabi Idris as. ke langit ini, telah dijelaskan oleh Allah
SWT dalam Al-Quran.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka) kisah, Idris
yang tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang
yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya
ke martabat yang tinggi.”
(Maryam: 56-57)
Nama Nabi Idris as. yang
sebenarnya adalah ‘Akhnukh’. Sebab beliau dinamakan Idris, kerana
beliau banyak membaca, mempelajari (tadarrus) kitab Allah SWT.
Setiap hari Nabi Idris menjahit qamis (baju
kemeja), setiap kali beliau memasukkan jarum untuk menjahit
pakaiannya, beliau mengucapkan tasbih. Jika pekerjaannya sudah
selesai, kemudian pakaian itu diserahkannya kepada orang yang
menempahnya dengan tanpa meminta upah. Walaupun demikian, Nabi
Idris masih sanggup beribadah dengan amalan yang sukar untuk
digambarkan. Sehingga Malaikat Maut sangat rindu berjumpa dengan
beliau.
Kemudian Malaikat Maut bermohon kepada Allah
SWT, agar diizinkan untuk pergi menemui Nabi Idris as. Setelah
memberi salam, Malaikat pun duduk.
Nabi Idris as. mempunyai kebiasaan berpuasa
sepanjang masa. Apabila waktu berbuka telah tiba, maka datanglah
malaikat dari Syurga membawa makanan Nabi Idris, lalu beliau
menikmati makanan tersebut.
Kemudian baginda beribadah sepanjang malam.
Pada suatu malam Malaikat Maut datang menemuinya, sambil membawa
makanan dari Syurga. Nabi Idris menikmati makanan itu. Kemudian
Nabi Idris berkata kepada Malaikat Maut: “Wahai tuan, marilah
kita nikmati makanan ini bersama-sama.” Tetapi Malaikat itu
menolaknya.
Nabi Idris terus melanjutkan ibadahnya,
sedangkan Malaikat Maut itu dengan setia menunggu sampai terbit
matahari. Nabi Idris merasa hairan melihat sikap Malaikat itu.
Kemudian beliau berkata: “Wahai tuan, mahukah tuan bersiar-siar
bersama saya untuk melihat keindahan alam persekitaran? Malaikat
Maut menjawab: Baiklah Wahai Nabi Allah Idris.”
Maka berjalanlah keduanya melihat alam persekitaran
dengan berbagai jenis tumbuh-tumbuhan hidup di situ. Akhirnya
ketika mereka sampai pada suatu kebun, maka Malaikat Maut berkata
kepada Nabi Idris as.:
“Wahai Idris, adakah tuan izinkan saya untuk mengambil ini untuk
saya makan? Nabi Idris pun menjawab: Subhanallah, mengapa malam
tadi tuan tidak mahu memakan makanan yang halal, sedangkan sekarang
tuan mahu memakan yang haram?”
Kemudian Malaikat Maut dan Nabi Idris meneruskan
perjalanan mereka. Tidak terasa oleh mereka bahawa mereka telah
bersiar-siar selama empat hari. Selama mereka bersahabat, Nabi
Idris menemui beberapa keanehan pada diri temannya itu. Segala
tindak-tanduknya berbeza dengan sifat-sifat manusia biasa. Akhirnya
Nabi Idris tidak dapat menahan hasrat ingin tahunya itu.
Kemudian beliau bertanya: “Wahai tuan, bolehkah saya tahu,
siapakah tuan yang sebenarnya? Saya adalah Malaikat Maut.”
“Tuankah yang bertugas mencabut semua nyawa makhluk?”
“Benar ya Idris.”
“Sedangkan tuan bersama saya selama empat hari, adakah tuan
juga telah mencabut nyawa-nyawa makhluk?”
“Wahai Idris, selama empat hari ini banyak sekali nyawa yang
telah saya cabut. Roh makhluk-makhluk itu bagaikan hidangan
di hadapanku, aku ambil mereka bagaikan seseorang sedang menyuap-nyuap
makanan.”
“Wahai Malaikat, apakah tujuan tuan datang, apakah untuk ziarah
atau untuk mencabut nyawaku?”
“Saya datang untuk menziarahimu dan Allah SWT telah mengizinkan
niatku itu.”
“Wahai Malaikat Maut, kabulkanlah satu permintaanku kepadamu,
iaitu agar tuan mencabut nyawaku, kemudian tuan mohonkan kepada
Allah agar Allah menghidupkan saya kembali, supaya aku dapat
menyembah Allah Setelah aku merasakan dahsyatnya sakaratul maut
itu.”
Malaikat Maut pun menjawab: “Sesungguhnya saya tidaklah mencabut
nyawa seseorang pun, melainkan hanya dengan keizinan Allah.”
Lalu Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat
Maut, agar ia mencabut nyawa Idris as. Maka dicabutnyalah nyawa
Idris saat itu juga. Maka Nabi Idris pun merasakan kematian
ketika itu.
Di waktu Malaikat Maut melihat kematian
Nabi Idris itu, maka menangislah ia. Dengan perasaan hiba dan
sedih ia bermohon kepada Allah supaya Allah menghidupkan kembali
sahabatnya itu. Allah mengabulkan permohonannya, dan Nabi Idris
pun dihidupkan oleh Allah SWT kembali.
Kemudian Malaikat Maut memeluk Nabi Idris, dan ia bertanya:
“Wahai saudaraku, bagaimanakah tuan merasakan kesakitan maut
itu? Bila seekor binatang dilapah kulitnya ketika ia masih hidup,
maka sakitnya maut itu seribu kali lebih sakit daripadanya.
Padahal-kelembutan yang saya lakukan terhadap tuan, ketika saya
mencabut nyawa tuan itu, belum pernah saya lakukan terhadap
sesiapa pun sebelum tuan. Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai
permintaan lagi kepada tuan, iaitu saya sungguh-sungguh berhasrat
melihat Neraka, supaya saya dapat beribadah kepada Allah SWT
lebih banyak lagi, setelah saya menyaksikan dahsyatnya api neraka
itu. Wahai Idris as. saya tidak dapat pergi ke Neraka jika tanpa
izin dari Allah SWT.”
Akhirnya Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat
Maut agar ia membawa Nabi Idris ke dalam Neraka. Maka pergilah
mereka berdua ke Neraka. Di Neraka itu, Nabi Idris as. dapat
melihat semua yang diciptakan Allah SWT untuk menyiksa musuh-musuh-Nya.
Seperti rantai-rantai yang panas, ular yang berbisa, kala, api
yang membara, timah yang mendidih, pokok-pokok yang penuh berduri,
air panas yang mendidih dan lain-lain.
Setelah merasa puas melihat keadaan Neraka
itu, maka mereka pun pulang. Kemudian Nabi Idris as. berkata
kepada Malaikat Maut: “Wahai Malaikat Maut, saya mempunyai hajat
yang lain, iaitu agar tuan dapat menolong saya membawa masuk
ke dalam Syurga. Sehingga saya dapat melihat apa-apa yang telah
disediakan oleh Allah bagi kekasih-kekasih-Nya. Setelah itu
saya pun dapat meningkatkan lagi ibadah saya kepada Allah SWT.
Saya tidak dapat membawa tuan masuk ke dalam Syurga, tanpa perintah
dari Allah SWT.” Jawab Malaikat Maut.
Lalu Allah SWT pun memerintahkan kepada
Malaikat Maut supaya ia membawa Nabi Idris masuk ke dalam Syurga.
Kemudian pergilah mereka berdua, sehingga
mereka sampai di pintu Syurga dan mereka berhenti di pintu tersebut.
Dari situ Nabi Idris dapat melihat pemandangan di dalam Syurga.
Nabi Idris dapat melihat segala macam kenikmatan yang disediakan
oleh Allah SWT untuk para wali-waliNya. Berupa buah-buahan,
pokok-pokok yang indah dan sungai-sungai yang mengalir dan lain-lain.
Kemudian Nabi Idris berkata: “Wahai saudaraku
Malaikat Maut, saya telah merasakan pahitnya maut dan saya telah
melihat dahsyatnya api Neraka. Maka mahukah tuan memohonkan
kepada Allah untukku, agar Allah mengizinkan aku memasuki Syurga
untuk dapat meminum airnya, untuk menghilangkan kesakitan mati
dan dahsyatnya api Neraka?”
Maka Malaikat Maut pun bermohon kepada Allah.
Kemudian Allah memberi izin kepadanya untuk memasuki Syurga
dan kemudian harus keluar lagi. Nabi Idris pun masuk ke dalam
Syurga, beliau meletakkan kasutnya di bawah salah satu pohon
Syurga, lalu ia keluar kembali dari Syurga. Setelah beliau berada
di luar, Nabi Idris berkata kepada Malaikat Maut:
“Wahai Malaikat Maut, aku telah meninggalkan kasutku di dalam
Syurga.
Malaikat Maut pun berkata: Masuklah ke dalam Syurga, dan ambil
kasut tuan.”
Maka masuklah Nabi Idris, namun beliau tidak keluar lagi, sehingga
Malaikat Maut memanggilnya: “Ya Idris, keluarlah!. Tidak, wahai
Malaikat Maut, kerana Allah SWT telah berfirman bermaksud:
“Setiap yang berjiwa akan merasakan mati.”
(Ali-Imran: 185)
Sedangkan saya telah merasakan kematian.
Dan Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tidak ada seorang pun
daripadamu, melainkan mendatangi Neraka itu.”
(Maryam:
71)
Dan saya pun telah mendatangi Neraka itu.
Dan firman Allah lagi yang bermaksud: “... Dan mereka sekali-kali
tidak akan dikeluarkan daripadanya (Syurga).”
(Al-Hijr: 48)
Maka Allah menurunkan
wahyu kepada Malaikat Maut itu: “Biarkanlah dia, kerana Aku telah
menetapkan di azali, bahawa ia akan bertempat tinggal di Syurga.”
Allah menceritakan tentang kisah Nabi Idris
ini kepada Rasulullah SAW dengan firman-Nya bermaksud:
“Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka, kisah) Idris
yang tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang
yang sangat membenarkan dan seorang Nabi. Dan kami telah mengangkatnya
ke martabat yang tinggi.”
(Maryam: 56-57)
^ Kembali ke atas
^
Nabi Musa as. pergi ke
Gunung Thursina
Nabi Musa as. pergi ke Gunung Thursina pada
hari Isnin. Sesuai dengan firman Allah yang dijelaskan dalam Al-Quran:
“Dan Tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu
yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman langsung kepadanya,
berkatalah Musa: “Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku
agar aku dapat melihat kepada-Mu.” Tuhan berfirman: “Kamu sekali-kali
tidak sanggup melihat-Ku, tetapi melihatlah ke bukit itu, maka
jika ia tetap di tempatnya, nescaya kamu dapat melihat-Ku.” Tatkala
Tuhannya nampak bagi gunung itu, kejadian itu menjadikan gunung
itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. Maka Setelah Musa
sedar kembali, dia berkata: “Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepada
Engkau dan aku orang yang pertama-tama beriman.”
(Al-A’raaf: 143)
Nabi Musa as. telah melakukan tujuh kali
perjalanan, semuanya terjadi pada hari Isnin.
1. Safarul Ghazab.
2. Safarul Harab.
3. Safarul Thalab.
4. Safarul Sabab.
5. Safarul ‘Ujub.
6. Safarul Adab.
7. Safarul Tharbi.
1. Safarul Ghazab
Perjalanan Ghazab atau perjalanan kerana
murka, adalah perjalanan Musa as. ketika beliau dihanyutkan
oleh ibunya ke dalam sungai, kerana takut kemurkaan Fir’un.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa, “Susukanlah dia, dan
apabila kamu khuatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke dalam
sungai (Nil). Dan janganlah kamu bimbang dan jangan pula bersedih
hati, kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu,
dan menjadikannya salah seorang daripada Rasul.”
(Al-Qashash: 7)
2. Safarul Harab
Safarul Harab adalah
perjalanan Nabi Musa ketika melarikan diri dari Mesir ke Madyan.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa takut menunggu-nunggu
dengan kebimbangan, dia berdoa: Ya Tuhanku, selamatkanlah aku
dari orang-orang yang zalim itu. Dan Tatkala ia menghadap kejurusan
negeri Madyan ia berdoa lagi: Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku
ke jalan yang benar.”
(Al-Qashash: 21-22)
3. Safarul Thalab
Safarul Thalab adalah
perjalanan menuntut sesuatu. Merupakan perjalanan Nabi Musa ketika
pulang dari negeri Madyan dan beliau memerlukan api. Kemudia beliau
melihat cahaya api, maka dihampirinya.
Firman Allah SWT berbunyi:
“Maka Tatkala Musa telah menyelesaikan waktu yang ditentukan
dan dia berangkat dengan keluarganya, dilihatnya api di kaki
gunung, ia berkata kepada keluarganya: “Tunggulah di sini, sesungguhnya
aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita
kepadamu dari tempat api itu atau membawa sesuluh api, agar
kamu dapat menghangatkan badan.”
(Al-Qashash: 29)
4. Safarus Sabab
Safarus Sabab adalah
perjalanan yang disebabkan sesuatu. Iaitu perjalanan Musa as. keluar
dari Mesir menuju Sungai Nil dikejar oleh Fir’un berserta tenteranya.
Perjalanan itu jugalah yang menjadi sebab kebinasaan Fira’un.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang bersertanya
semuanya. Dan Kami tenggelamkan golongan yang lain.”
(Asy-Syu’ara: 65-66)
5. Safarul ‘Ujub
Safarul Ujub iaitu perjalanan
ujub, yang merupakan perjalanan Musa as. bersama kaumnya ketika
tersesat di hutan belantara selama 40 tahun. Mereka diberi Allah
makanan berupa ‘manna’ dan ‘salwa’ dan dikeluarkan oleh Allah air
dari batu-batu untuk minuman mereka.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Kami
naungi kamu dengan awan, dan Kami turunkan kepadamu ‘manna’ dan
‘salwa.’ makanlah dari makanan yang baik-baik yang telah Kami
berikan kepadamu.”
(Al-Baqarah:
57)
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Dan
ingatlah ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman:
“Pukullah batu itu dengan tongkatmu.” Lalu memancarlah daripadanya
dua belas mata air. Sungguh tiap-tiap suku telah mengetahui tempat
minumnya masing-masing. Makan dan minumlah rezeki yang diberikan
oleh Allah, dan janganlah kamu berkeliaran di muka bumi dengan berbuat
kerosakan.”
(Al-Baqarah:
60)
Diceritakan bahawa kaum
Nabi Musa as. yang ikut bersamanya di hutan belantara itu berjumlah
tujuh puluh ribu orang. Mereka semua terdiri daripada 12 kaum.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan mereka Kami bagi menjadi dua belas suku atau kaum yang
masing-masing suku mempunyai jumlah yang ramai dan Kami wahyukan
kepada Musa ketika kaumnya meminta air kepadanya: “Pukullah
batu itu dengan tongkatmu!”. Maka memancarlah daripadanya dua
belas mata air. Sesungguhnya tiap-tiap suku mengetahui tempat
minum masing-masing. Dan Kami naungkan awan di atas mereka dan
Kami turunkan kepada mereka ‘manna dan salwa’. Kami berfirman:
“Makanlah yang baik-baik dari apa yang telah Kami rezekikan
kepadamu.” Mereka tidak menganiaya Kami, tetapi merekalah yang
selalu menganiaya diri mereka sendiri.”
(Al-A’raaf: 160)
6. Safarul Adab
Safarul Adab adalah perjalanan
pendidikan, iaitu perjalanan Nabi Musa ke tepi sungai untuk berjumpa
dengan Khidir as.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada muridnya: “Aku tidak
akan berhenti berjalan sebelum sampai ke pertemuan dua buah
lautan, atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun. Maka Tatkala
mereka sampai ke pertemuan dua buah laut itu, mereka lupa akan
ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu.
Maka Tatkala mereka berjalan lebih jauh, berkatalah Musa kepada
muridnya: “Bawalah kemari makanan itu, sesungguhnya kita telah
merasa letih kerana perjalanan kita ini. Muridnya menjawab:
Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu
tadi, maka sesungguhnya aku lupa menceritakan tentang ikan itu
dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali
syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara
yang aneh sekali. Musa berkata: “Itulah tempat yang kita cari.
Lalu keduanya kembali mengikuti jejak mereka semula. Lalu mereka
bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami yang
telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami. Musa berkata
kepada Khaidir: “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan
kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan
kepadamu.”
(Al-Kahfi: 60-66)
7. Safarut Tharbi
Safarut Tharbi adalah
perjalanan suka cita, iaitu perjalanan Nabi Musa ke Bukit Thursina
untuk bermunajat kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan Tatkala Musa datang untuk munajat dengan Kami pada waktu
yang telah Kami tentukan...”
(Al-A’raaf: 143)
Keagungan perjalanan Nabi Muhammad SAW
Nabi Musa as. datang
sendiri kepada Allah untuk munajat kepada-Nya. Namun Nabi Muhammad
SAW munajatnya kepada Allah dijemput oleh Malaikat Jibril. Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan
hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa
yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya
sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia
adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
(Al-Isra’:
1)
Ketika Nabi Musa as.
munajat kepada Allah, ia diperintahkan agar menanggalkan alas kakinya.
Sebagaimana tercantum dalam firman Allah dalam surah Thaha ayat
12 bermaksud: “Sesungguhnya Aku inilah Tuhanmu, maka tanggalkanlah
kedua kasutmu, sesungguhnya kamu berada di lembah yang suci, Thuwa.”
Sedangkan kepada Nabi Muhammad SAW Allah berfirman: “Janganlah kamu
tanggalkan kedua alas kakimu.”
Peristiwa ini sebagaimana diriwayatkan, bahawasanya Nabi Muhammad
SAW bersabda:
“Pada malam aku dimikrajkan, aku ingin membuka kedua alas kakiku,
namun tiba-tiba terdengar suara: “Janganlah engkau tanggalkan
kedua alas kakimu, hai Muhammad, agar Arsy dan kursi mendapatkan
kehormatan berada di bawah alas kakimu itu. Aku berkata: Wahai
Tuhanku, Engkau telah berkata kepada saudaraku Musa, Tanggalkanlah
kedua alas kakimu, kerana engkau berada tempat yang suci, Thuwa?
Allah SWT menjawab: Dekatlah kepada-Ku Wahai Abalqosim, dekatlah
kepada-Ku Wahai Ahmad!, engkau tidak sama dengan Musa. Musa
adalah kalam-Ku, sedangkan engkau adalah kekasih-Ku. Kalam tidaklah
sama dengan kekasih.”
^ Kembali ke atas
^