| Takziah kepada keluarga Rasulullah
SAW | Khidir datang menegur peniaga | Kisah
Khidir dan Abu Mahjan |
| Nabi Khidir memberi pengajaran
| Nabi Khidir datang ke Baitul Haram |
| Amalan yang paling disukai Allah
| Nabi Khidir mengubati dengan Asmaul Husna
|
Takziah kepada keluarga Rasulullah
SAW
..
iriwayatkan
oleh Ibnu Abi Hatim dalam kitab Tafsir: “Bercerita kepadaku ayahku,
yang didengarnya dari Abdul Aziz Al-Ausiy, dari Ali bin Abu Ali,
dari Jakfar bin Muhammad bin Ali bin Husain, dari ayahnya, katanya
Ali bin Abi Talib berkata: “Ketika wafat Rasulullah SAW, datanglah
ucapan takziah. Datang kepada mereka (keluarga Nabi SAW) orang
yang memberi takziah. Mereka mendengar orang memberi takziah tetapi
tidak melihat orangnya. Bunyi suara itu begini:
‘Assalamu Alaikum Ahlal Bait Warahmatullahi Wabarakatuh.
Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Hanyasanya disempurnakan
pahala kamu pada hari kiamat. Sesungguhnya dalam agama Allah ada
pemberi takziah bagi setiap musibah, bagi Allah ada pengganti
setiap ada yang binasa, begitu juga menemukan bagi setiap yang
hilang. Kepada Allah-lah kamu berpegang dan kepada-Nya mengharap.
Sesungguhnya orang yang diberi musibah adalah yang diberi ganjaran
pahala.”
Berkata Jakfar: “Bercerita kepadaku ayahku bahawa Ali
bin Abi Talib ada berkata: “Tahukah kamu siapa ini? Ini adalah
suara Nabi Khidir.” Berkata Muhammad bin Jakfar: “Adalah ayahku,
iaitu Jakfar bin Muhammad, menyebutkan tentang riwayat dari ayahnya,
dari datuknya, dari Ali bin Abi Talib bahawa datang ke rumahnya
satu rombongan kaum Quraisy kemudian dia berkata kepada mereka:
“Mahukah kamu aku ceritakan kepada kamu tentang Abul Qasim (Muhammad
SAW)?”
Kaum Quraisy itu menjawab: “Tentu sahaja mahu.”
Ali bin Abi Talib berkata: “Jibril Alaihis salam pernah berkata
kepada Rasulullah SAW: “Selamat sejahtera ke atas kamu wahai Ahmad.
Inilah akhir watanku (negeriku) di bumi. Sesungguhnya hanya engkaulah
hajatku di dunia.” Maka tatkala Rasulullah SAW wafat, datanglah
orang yang memberi takziah, mereka mendengarnya tetapi tidak melihat
orangnya. Orang yang memberi takziah itu berkata: “Selamat sejahtera
ke atas kamu wahai ahli bait. Sesungguhnya pada agama Allah ada
pemberi takziah setiap terjadi musibah, dan bagi Allah ada yang
menggantikan setiap ada yang binasa. Maka kepada Allah-lah kamu
berpegang dan kepada-Nya mengharap. Sesungguhnya orang yang diberi
musibah adalah yang diberi ganjaran pahala.” Mendengar yang demikian
Ali bin Abi Talib berkata: “Tahukah kamu siapa yang datang itu?
Itu adalah Khidir.”
Berkata Saif bin Amr At-Tamimi dalam kitabnya
Ar-Riddah, yang diterimanya dari Sa’id bin Abdullah, dari Ibnu
Umar mengatakan: “Ketika wafat Rasulullah SAW, datanglah Abu Bakar
ke rumah Rasulullah. Ketika beliau melihat jenazah Rasulullah
SAW, beliau berkata: “Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun.” Kemudian
beliau bersama sahabat-sahabat yang lain menyembahyangkan jenazah
Rasulullah SAW. Pada waktu mereka menyembahyangkan jenazah Rasulullah
SAW, mereka mendengar suara ajaib. Selesai solat dan mereka pun
semuanya sudah diam, mereka mendengar suara orang di pintu mengatakan:
“Selamat sejahtera ke atas kamu wahai Ahli Bait. Setiap yang bernyawa
akan merasakan kematian. Hanyasanya disempurnakan pahala kamu
pada hari kiamat. Sesungguhnya pada agama Allah ada pengganti
setiap ada yang binasa dan ada kelepasan dari segala yang menakutkan.
Kepada Allah-lah kamu mengharap dan dengan-Nya berpegang. Orang
yang diberi musibah akan diberi ganjaran. Dengarlah itu dan hentikan
kamu menangis itu."
Mereka melihat ke arah suara itu tetapi tidak
melihat orangnya. Kerana sedihnya mereka menangis lagi. Tiba-tiba
terdengar lagi suara yang lain mengatakan: “Wahai Ahli Bait, ingatlah
kepada Allah dan pujilah Dia dalam segala hal, maka jadilah kamu
golongan orang mukhlisin. Sesungguhnya dalam agama Allah ada pemberi
takziah setiap terjadi musibah, dan ada pengganti setiap ada yang
binasa. Maka kepada Allah-lah kamu berpegang dan kepada-Nya taat.
Sesungguhnya orang yang diberi musibah adalah orang yang diberi
pahala.” Mendengar yang demikian itu berkata Abu Bakar: “Ini adalah
Khidir dan Ilyas. Mereka datang atas kematian Rasulullah SAW.”
Berkata Ibnu Abu Dunia, yang didengarnya dari
Kamil bin Talhah, dari Ubad bin Abdul Samad, dari Anas bin Malik,
mengatakan: “Sewaktu Rasulullah SAW meninggal dunia, berkumpullah
sahabat-sahabat beliau di sekeliling jenazahnya menangisi kematian
beliau. Tiba-tiba datang kepada mereka seorang lelaki yang bertubuh
tinggi memakai kain panjang. Dia datang dari pintu dalam keadaan
menangis. Lelaki itu menghadap kepada sahabat-sahabat dan berkata:
“Sesungguhnya dalam agama Allah ada pemberi takziah setiap terjadi
musibah, ada pengganti setiap ada yang hilang. Bersabarlah
kamu kerana sesungguhnya orang yang diberi musibah itu akan diberi
ganjaran.”
Kemudian lelaki itu pun menghilang daripada
pandangan para sahabat. Abu Bakar berkata: “Datang ke sini lelaki
yang memberi takziah.” Mereka memandang ke kiri dan kanan tetapi
lelaki itu tidak nampak lagi. Abu Bakar berkata: “Barangkali yang
datang itu adalah Khidir, saudara nabi kita. Beliau datang memberi
takziah atas kematian Rasulullah SAW.”
Dari tadi sudah banyak kita lihat ucapan-ucapan
takziah yang hampir sama kata-katanya. Ada yang mengatakan hadis
ini daif. Ubad yang meriwayatkan hadis ini tidak diiktiraf oleh
Imam Bukhari.
Berkata Ibnu Syahin dalam kitabnya Al-Jana’iz:
“Bercerita kepada kami Ibnu Abu Daud, dari Ahmad bin Amr, dari
Ibnu Wahab, dari Muhammad bin Ajlan, dari Muhammad bin Mukandar,
berkata: “Pernah pada suatu hari Umar bin Khattab menyembahyangkan
jenazah, tiba-tiba beliau mendengar suara di belakangnya: “Ala,
janganlah duluan dari kami mengerjakan solat jenazah ini. Tunggulah
sudah sempurna dan cukup orang di belakang baru memulakan takbir.”
Kemudian lelaki itu berkata lagi: “Kalau engkau seksa dia ya Allah,
maka sesungguhnya dia telah derhaka kepada-Mu. Tetapi kalau Engkau
mahu mengampuni dia, maka dia betul-betul mengharap keampunan
daripada-Mu.” Umar bersama sahabat-sahabat yang lain sempat juga
melihat lelaki itu. Tatkala mayat itu sudah dikuburkan, lelaki
itu masih meratakan tanah itu sambil berkata: “Beruntunglah engkau
wahai orang yang dikuburkan di sini.”
Umar bin Khattab berkata: “Tolong bawa ke
sini lelaki yang bercakap itu supaya kita tanya tentang solatnya
dan maksud kata-katanya itu.” Tiba-tiba lelaki itu pun sudah menghilang
dari pandangan mereka. Mereka mencari ke arah suaranya tadi tiba-tiba
mereka melihat bekas telapak kakinya yang cukup besar. Umar bin
Khattab berkata: “Barangkali yang datang itu adalah Khidir yang
pernah diceritakan oleh Nabi kita Muhammad SAW.”
Ada juga yang mengatakan hadis ini tidak sahih. Kata Ibnu al-Jauzi
hadis ini majhul (tidak dikenal) dan dalam sanadnya ada yang terputus
di antara Ibnul Mukandar dengan Umar.
^ Kembali ke atas
^
Khidir datang menegur peniaga
Berkata Ibnu Abu Dunia: “Bercerita kepadaku
ayahku, yang didengarnya dari Ali bin Syaqiq, dari Ibnu Al-Mubarak,
dari Umar bin Muhammad bin Al-Mukandar, berkata: “Ada seorang
peniaga yang banyak memuji-muji barangnya dan banyak bersumpah
untuk meyakinkan orang lain (pembeli). Tiba-tiba datang kepadanya
seorang tua dan berkata: “Wahai peniaga, juallah barangmu tetapi
jangan banyak bersumpah.” Peniaga itu masih banyak bercakap dan
bersumpah, yang menyebabkan orang tua itu berkata lagi: “Wahai
pedagang, berniagalah secara jujur dan jangan banyak bersumpah.”
Bahkan orang tua itu berkata lagi: “Berniagalah secara yang patut
sahaja.” Peniaga itu berkata: “Inilah yang patut saya lakukan.”
Kemudian orang tua itu berkata: “Utamakanlah kejujuran walaupun
berat melakukannya dan tinggalkan berbohong walaupun ia akan membawa
keuntungan.”
Akhirnya peniaga itu berkata: “Kalau begitu
tuliskanlah semua apa yang engkau sebutkan ini. “Orang tua itu
berkata: “Kalau ditakdirkan sesuatu itu maka adalah ia.” Menurut
mereka yang datang menegur itu adalah Nabi Khidir.
Diriwayatkan oleh Abu Amr, dari Yahya bin Abi Talib, dari Ali
bin Ashim, dari Abdullah, berkata: “Pernah Ibnu Umar duduk-duduk
di satu tempat, sedangkan seorang lelaki (tidak berapa jauh dari
tempatnya) sudah mula membuka jualannya. Peniaga itu banyak bersumpah
untuk melariskan jualannya. Tiba-tiba datang kepadanya seorang
lelaki dan berkata: “Takutlah kepada Allah dan jangan berbohong.
Hendaklah engkau berkata jujur walaupun berat melakukannya dan
jauhilah berdusta walaupun ia membawa manfaat. Dan jangan tambah-tambah
dari cerita orang lain (apa yang ada).”
Ibnu Umar yang mendengar teguran orang tua
itu berkata kepada peniaga itu: “Pergi ikuti dia dan suruh supaya
dia tulis apa yang disebutkannya tadi.” Peniaga itu pergi mengikutinya
dan meminta supaya menuliskan apa yang disebutkannya tadi tetapi
orang tua itu hanya berkata: “Kalau sesuatu itu sudah ditentukan
Allah, maka adalah ia.” Kemudian orang tua itu pun tiba-tiba sahaja
menghilang. Peniaga itu kembali menjumpai Ibnu Umar serta menceritakan
apa jawapan orang tua itu. Ibnu Umar berkata: “Yang datang itu
adalah Nabi Khidir.”
Tetapi kata Ibnu Al-Jauzi hadis-hadis yang
diriwayatkan oleh Ali bin Ahsim daif. Bahkan katanya Ali bin Ashim
itu lemah ingatannya.
Ada juga riwayat yang hampir sama dengan ini
menyebutkan: “Ada dua orang lelaki yang berjualan tidak berapa
jauh dari Abdullah bin Umar. Salah seorang dari peniaga itu banyak
bersumpah untuk melariskan barang-barang jualannya. Ketika ghairah
bercerita mempromosikan jualannya, tiba-tiba datang seorang lelaki
kemudian berkata kepada peniaga yang banyak bersumpah itu: “Wahai
hamba Allah, takutlah kepada Allah dan jangan banyak bersumpah.
Sesungguhnya tidak akan bertambah rezekimu jika engkau banyak
bersumpah. Dan sebaliknya, tidak akan mengurangkan kepada rezekimu
jika engkau tidak bersumpah. Oleh itu bercakaplah yang wajar-wajar
sahaja.”
Peniaga itu menjawab: “Inilah yang saya anggap wajar.”
Lelaki tua itu mengulang nasihatnya lagi.
Dan ketika dia sudah mahu pergi, dia berkata lagi: “Ketahuilah
bahawa termasuk daripada iman ialah mengutamakan kejujuran walaupun
berat melaksanakannya dan meninggalkan pembohongan walaupun dianggap
membawa keuntungan.”
Setelah memberi nasihat atau teguran, lelaki
itu pun pergi. Ibnu Umar berkata kepada peniaga itu: “Kejar dia
dan minta supaya ditulisnya apa yang disebutkannya tadi.” Peniaga
itu pergi mengejarnya dan berkata kepadanya: “Wahai hamba Allah,
tuliskanlah apa yang engkau sebutkan tadi supaya tuan dirahmati
Allah.” Lelaki itu tidak ada menulisnya tetapi mengulangi apa
yang disebutkannya tadi. Jadi, menurut Ibnu Umar yang datang itu
adalah Nabi Khidir.
^ Kembali ke atas
^
Kisah Khidir dan Abu Mahjan
Diriwayatkan oleh Saif dalam kitab Al-Futuh,
bahawa satu jemaah berada bersama Saad bin Abi Waqqas, maka mereka
melihat Abu Mahjan berperang, maka yang meriwayatkan ini pun menceritakan
kisah Abu Mahjan secara panjang lebar. Dari kesimpulan cerita-cerita
mereka mengatakan bahawa Nabi Khidir masih hidup pada zaman itu.
Berkata Abu Abdullah bin Battah: “Bercerita
kepada kami Syuaib bin Ahmad, yang didengarnya dari ayahnya, dari
Ibrahim, bin Abdul Hamid, dari Ghalib bin Abdullah, dari Hasan
Basri berkata: “Seorang lelaki berfahaman Ahli Sunnah Waljamaah
berlainan pendapat dan berhujah dengan seorang lelaki bukan Ahli
Sunnah. Mereka berdebat mengkaji masalah qadar. Mereka berdebat
di tengah-tengah perjalanan. Masing-masing mereka mempertahankan
pendapatnya dan berbantah dengan suara yang kuat tetapi akhirnya
sepakat siapa yang duluan datang ke tempat mereka berhujah itu
akan diangkat sebagai pemutus di antara mereka.
Tidak lama kemudian, muncullah seorang lelaki
memikul bungkusan sedangkan rambut dan pakaiannya sudah berabu
dan jalannya menunjukkan seolah-olah sudah kepenatan. Mereka berkata
kepada lelaki itu: “Tadi kami berdebat tentang qadar dan masing-masing
di antara kami memberikan hujah dan dalilnya tetapi tidak tahu
siapa di antara kami yang benar. Kami sudah sama-sama setuju bahawa
siapa orang yang mula-mula datang ke tempat ini akan kami angkat
sebagai hakim. Maka sekarang kami minta tolong kepada tuan untuk
menghakimi kami.”
Lelaki itu meletakkan bungkusannya kemudian
duduk. Setelah berehat sebentar dan nafasnya sudah mulai tenang,
dia berkata: “Kalau begitu duduklah kamu disini.” Kemudian lelaki
itu menghakimi mereka secara bijaksana.” Menurut Hasan Basri lelaki
yang mengadili mereka itu adalah Nabi Khidir.
^ Kembali ke atas
^
Nabi Khidir memberi pengajaran
Diriwayatkan oleh
Hammad bin Umar, dari A-Sara bin Khalid, dari Jakfar bin Muhammad,
dari ayahnya, dari datuknya Ali bin Husain, katanya pembantu mereka
pergi berlayar menaiki kapal. Ketika dia mahu mendarat tiba-tiba
dia melihat di atas pantai duduk seorang lelaki yang sedang menerima
hidangan makanan dari langit. Makanan itu diletakkan di hadapannya
kemudian dia pun memakannya. Setelah dia kenyang, makanan itu
diangkat semula ke langit. Pembantu yang merasa hairan itu memberanikan
dirinya mendekati orang itu sambil berkata kepadanya: “Hamba Allah
yang manakah engkau ini?” Lelaki itu berkata: “Aku adalah Khidir
yang barangkali engkau sudah pernah mendengar nama itu.” Pembantu
itu bertanya lagi: “Dengan (amalan) apakah didatangkan kepadamu
makanan dan minuman ini?”
Lelaki itu menjawab: “Dengan nama Allah yang Maha Agung.”
Diriwayatkan oleh Ahmad dalam kitab Al-Zuhdi,
yang diterima dari Hammad bin Usamah, dari Mas’ar, dari Maan bin
Abdul Rahman, dari Aun bin Abdullah, dari Utbah, dari Ibnu Mas’ud,
mengatakan: “Ada seorang lelaki di Mesir sedang bercucuk tanam
di kebunnya. Ketika itu dia sedang gelisah dan dia tunduk mengerjakan
ladangnya. Ketika dia mengangkat kepalanya, tiba-tiba di melihat
di hadapannya ada seorang lelaki sedang berdiri memperhatikan
apa yang dilakukannya dan memandangi wajahnya. Lelaki itu berkata
kepadanya: “Kuperhatikan dari tadi engkau murung dan gelisah,
mengapa begitu?” Lelaki yang bercucuk tanam itu berkata: “Tidak
ada apa-apa.”
Kemudian lelaki yang datang tadi berkata:
“Dunia adalah kesenangan yang sedikit dan masanya amat terhad,
dan kesenangan itu dinikmati oleh orang baik dan orang jahat.
Sedangkan akhirat kesenangan yang hakiki dan abadi.”
Mendengar yang demikian lelaki yang bercucuk tanam itu berkata:
“Sebenarnya saya sedih memikirkan keadaan kaum muslimin sekarang
ini. Orang yang datang itu berkata: “Allah SWT akan membebaskanmu
dari kesusahan kerana engkau ambil-berat terhadap nasib kaum Muslimin.
Cuba tanya siapakah orangnya yang meminta kepada Allah kemudian
Allah tidak memenuhi permintaannya, siapakah orang yang doanya
tidak terkabul? Siapakah yang berserah kepada Allah lalu Allah
tidak melindunginya?” Mus’ir berkata: “Menurut mereka orang yang
memberi pengajaran itu adalah Khidir.”
.^ Kembali ke atas
^
Nabi Khidir datang ke
Baitul Haram
Berkata Abu Naim
dalam kitab Al-Hilyah: “Bercerita kepada kami Ubaidullah bin Muhammad,
dari Muhammad bin Yahya, dari Ahmad bin Mansur, dari Ahmad bin
Jamil, katanya berkata Sufyan bin Ainah: “Pada waktu saya tawaf
di Baitullah, tiba-tiba saya melihat seorang yang sedang memimpin
satu kumpulan manusia mengerjakan tawaf. Saya bersama orang yang
berdiri di sekelilingku memperhatikan lelaki itu. Ada di antara
mereka yang berkata: “Lelaki yang memimpin kumpulan yang tawaf
itu nampaknya seorang yang ikhlas dan berilmu.” Kami amati dia
bahkan kami ikuti ke mana dia pergi. Lelaki itu pergi ke maqam
kemudian mengerjakan solat di situ. Selesai solat dia menadahkan
kedua tangannya dan berdoa. Setelah itu dia melihat ke arah kami
dan berkata: “Tahukah kamu apa kata Tuhan kamu?”
Kami jawab: “Tidak.” Dia berkata: “Tuhan kamu
berkata: “Aku adalah raja. Kamu mendakwa diri kamu sebagai raja.”
Kemudian dia memalingkan wajahnya ke arah kiblat, menadahkan tangannya
sebagai tanda berdoa kemudian berpaling kepada kami dan berkata:
“Tahukah kamu apa kata Tuhan kamu?” Kami jawab: “Tidak.” Dia berkata:
“Tuhan kamu berkata: “Akulah yang hidup dan tidak akan mati untuk
selamanya. Kamu mendakwa diri kamu hidup dan tidak akan mati."
Setelah itu dia menghadap ke arah kiblat dan
mendoa. Selesai berdoa berpaling kepada kami sambil berkata: “Tahukah
kamu apa kata Tuhan kamu?” Kami jawab: “Tidak.” Dia berkata: “Tuhan
kamu berkata: “Akulah Tuhan yang apabila menghendaki sesuatu akan
ada ia. Ada di antara kamu yang mengaku apabila menginginkan sesuatu
akan ada.”
Kata Ibnu Ainah lagi: “Kemudian dia pun pergi
dan kami tidak melihatnya lagi. Setelah itu saya berjumpa dengan
Sufyan As-Tsauri dan dia berkata: “Barangkali lelaki itu adalah
Khidir atau wali Allah yang lain.”
Ada diceritakan ketika Hasan Basri berceramah
di hadapan jemaahnya, tiba-tiba datang seseorang yang matanya
kehijau-hijauan. Melihat yang demikian Hasan Basri bertanya kepadanya:
“Apakah memang begini engkau dilahirkan oleh ibumu atau ini sebagai
tanda?” Orang yang baru datang itu berkata: “Apakah sememangnya
engkau kenal kepadaku wahai Abu Said?” Hasan Basri berkata: “Siapa
engkau sebenarnya?” Lelaki itu memperkenalkan dirinya sehingga
jelas bagi semua jemaah yang ada di tempat itu. Hasan Basri berkata
lagi: “Tolong ceritakan bagaimana kisahmu.”
Lelaki itu berkata: “Pernah pada suatu hari
dahulu aku mengangkut semua barang-barangku ke dalam kapal. Aku
pun berlayar menuju Cina. Ketika berlayar mengharungi lautan yang
dalam, tiba-tiba angin bertiup kencang. Terjadi ombak yang begitu
hebat dan kapal yang saya naiki pun terbalik. Rupanya ajalku belum
tiba, aku dibawa oleh ombak ke pantai. Aku terdampar di satu pulau
yang tidak didiami oleh manusia. Empat bulan lamanya aku keseorangan
di pulau itu. Makanan tidak ada kecuali daun-daunan dan batang
kayu yang lapuk. Bahkan minuman pun tidak ada kecuali air mata
yang sentiasa mengalir kerana sedihnya.
Tidak terdaya lagi menahankan hidup seperti
itu sehingga aku sudah bermaksud berenang menyeberangi lautan
yang luas itu. Ketika berjalan mendekati laut yang ombaknya melambai-lambai
itu, tiba-tiba di hadapanku sudah ada istana yang pintunya seperti
perak. Kubuka pintunya rupanya di dalam ada bilik-bilik dan beberapa
ruang tamu yang lengkap dengan perhiasan. Di dalam istana itu
juga ada beberapa buah peti yang dihiasi dengan permata. Aku buka
salah satu peti itu. Aku dekati peti itu kemudian terasalah semerbak
yang cukup harum. Aku buka perlahan-lahan, rupanya di dalam ada
mayat yang masih segar seperti orang tidur. Aku tutup semula peti
itu kemudian aku keluar dari istana itu.
Sebaik sahaja turun dari tangga istana, aku
berjumpa dengan dua orang pemuda kacak dan nampak ramah.
Mereka bertanya siapa aku dan aku pun memberikan butir-butir peribadiku.
Mereka berkata: “Pergilah ke pohon sana. Di bawah pohon itu ada
taman yang indah. Dan di situ nanti ada orang tua yang sedang
mengerjakan solat. Dia itu baik orangnya. Ceritakan dirimu dan
keadaanmu kepadanya kemudian nanti dia akan menunjukkan jalan
kepadamu.”
Aku pun pergi ke pohon yang mereka tunjukkan
itu. Memang benar, di bawahnya ada seorang lelaki tua sedang duduk
berzikir. Aku ucapkan salam kepadanya kemudian dia pun menjawabnya.
Dia tanya siapa diriku kemudian aku pun menerangkannya. Dia tanya
mengapa aku sampai di tempat itu kemudian aku ceritakan semuanya.
Lelaki itu terdiam sejenak merenungkannya. Dia tanya mengapa aku
sampai di tempat itu kemudian aku ceritakan semuanya.
Lelaki itu terdiam sejenak merenungkan perjalananku
dan macam-macam yang aku lihat sebelumnya. Dia tanya lagi di mana
kampungku kemudian aku ceritakan. Kemudian lelaki itu berkata:
“Kalau begitu duduklah dahulu.”
Aku duduk sahaja memperhatikan lelaki itu. Tidak lama kemudian
datanglah tumpukan awan mendekati beliau.
Anehnya awan itu sanggup berkata seperti manusia dengan ucapan:
“Assalamu Alaikum ya wali Allah.” Beliau menjawab salam awan itu
kemudian awan itu pun berhenti di hadapan beliau.
Beliau bertanya kepada awan itu: “Ke mana
engkau mahu pergi?” Awan itu menjawab: “Aku mahu pergi ke kampung
ini dan kampung ini.” Kemudian awan itu pun pergi seperti ditiup
angin. Datang lagi awan-awan yang lain dan kesemuanya berhenti
di depan beliau. Beliau bertanya lagi kepada awan yang datang
kemudian: “Ke mana engkau mau pergi?” Awan itu menjawab: “Saya
mahu pergi ke Basrah.” Beliau berkata: “Kalau begitu turun dahulu.”
Awan itu turun dan berhenti di hadapan beliau. Beliau berkata:
“Bawa orang ini ke depan rumahnya dengan selamat.”
Nampaknya awan itu sudah siap untuk mengangkut
saya. Sebelum berangkat, saya bertanya kepada orang tua itu: “Demi
Tuhan yang telah memuliakan engkau, tolong ceritakan kepadaku
apa itu istana tadi, siapa dua orang pemuda itu dan siapa engkau.”
Orang tua itu berkata: “Istana yang engkau
lihat tadi adalah tempat para syuhada yang gugur di laut. Orang-orang
yang mati syahid di laut telah diangkut oleh malaikat. Mayat para
syuhada itu mereka masukkan ke dalam peti yang dihiasi dengan
emas dan permata, disembur dengan wangi-wangian dan mereka masukkan
(simpan) di dalam istana seperti yang engkau lihat tadi. Dua orang
pemuda tampan yang engkau jumpai tadi adalah malaikat yang disuruh
Allah untuk menguruskan mereka pada waktu pagi dan petang. Sedangkan
aku ini adalah Khidir. Aku dahulu ada memohon kepada Allah supaya
mengumpulkan atau menggabungkan aku dengan umat nabi kamu Muhammad
SAW.”
Lelaki yang dibawa awan dan datang menjumpai Hasan Basri itu
berkata lagi: “Sewaktu terbang bersama awan, aku terperanjat kerana
melihat sesuatu yang mengejutkan. Dan itulah sebabnya mataku seperti
yang engkau lihat ini.”
Mendengar yang demikian Hasan Basri berkata: “Sungguh mengagumkan
pengalaman hidupmu.”
Menurut satu riwayat, Raja Sulaiman bin Abdul
Malik telah menyuruh menterinya menangkap seorang lelaki yang
sangat dikehendaki untuk dibunuh. Sebaik sahaja mengetahui perintah
raja itu, lelaki yang dicari tadi segera melarikan diri. Lelaki
itu lari ke kampung lain. Di kampung itu dia mendengar berita
hangat bahawa orang bernama ini disuruh tangkap untuk dibunuh.
Dia semakin ketakutan kemudian lari lagi ke kampung lain. Di kampung
itu pun rupanya sudah gempar berita itu yang menyebabkan dia lari
lagi ke kampung lain. Begitulah yang dia dengar setiap pergi ke
satu kampung. Akhirnya dia terfikir untuk lari ke negeri di luar
kekuasaan Sulaiman bin Abdul Malik.
Sekarang dia sudah sampai di satu padang pasir
yang amat luas, yakni di tempat itu tidak ada pokok yang tumbuh,
tidak ada air dan makanan apapun, bahkan nampaknya tempat itu
adalah tanah yang tidak pernah diinjak oleh manusia.
Di situ dia melihat seorang lelaki tengah
mengerjakan solat. Dia pandang di sekeliling orang yang
solat itu, ternyata tidak ada tunggangan, tidak ada bekalan dan
sebagainya. Dia begitu hairan melihat lelaki itu mengapa berada
seorang diri di tempat itu. Dia ingin mendekati lelaki itu tetapi
tidak jadi kerana ketakutan. Hatinya bertanya: “Ini manusia atau
jin ini.” Dia beranikan dirinya untuk mendekati lelaki itu. Kemudian
lelaki itu memandang ke arahnya dan berkata: “Barangkali Sulaiman
bin Abdul Malik yang membuatmu ketakutan sehingga tersesat ke
tempat ini.” Dia berkata: “Betul tuan.” Lelaki itu berkata: “Mengapa
tidak engkau buat pendinding dirimu?” Dia bertanya: “Pendinding
apa maksudnya?” Lelaki itu berkata: “Bacalah zikir seperti ini
(yang maksudnya):
Maha Suci (Tuhan) Yang Maha Esa yang tidak ada Tuhan selain-Nya.
Maha Suci (Tuhan) Yang Maha terdahulu dan tidak ada yang menjadikan-Nya.
Maha Suci (Tuhan) Yang Maha Kekal dan tidak akan binasa.
Maha Suci (Tuhan) Yang Dia setiap hari dalam kesibukan.
Maha Suci (Tuhan) Yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan.
Maha Suci (Tuhan) yang telah menciptakan apa yang dilihat dan
tidak kelihatan.
Maha Suci (Tuhan) yang mengajari segala sesuatu tanpa pengajaran
secara langsung.
Dalam zikir di atas ada dinyatakan bahawa
Allah setiap hari atau waktu berada dalam kesibukan. Ini sebenarnya
ada ditemui di dalam Quran, iaitu ayat yang mengatakan: Setiap
waktu Dia (Allah) dalam kesibukan.
(Al-Rahman: 29)
Maksudnya Allah SWT sentiasa
dalam keadaan menciptakan, menghidupkan, mematikan, memelihara,
memberi rezeki kepada semua makhluk dan sebagainya.
Orang itu berkata: “Bacalah zikir ini.” Lelaki
itu berkata: “Maka saya pun menghafal zikir itu dan membacanya.
Tiba-tiba lelaki itu sudah menghilang dan tidak nampak lagi. Tetapi
berkat amalan itu, perasaan takut sudah hilang dari diriku. Aku
sudah bermaksud pulang ke kampungku menjumpai keluargaku, bahkan
aku ingin pergi menjumpai Sulaiman bin Abdul Malik.
Pada suatu hari, yang mana rakyat jelata dibolehkan
berjumpa dengannya, saya pun masuk ke istananya. Sebaik sahaja
saya masuk ke ruang tamunya, dia memandangiku seakan ada sesuatu
yang ingin dikatakannya. Dia mendekati aku kemudian berkata: “Engkau
telah menyihir aku.” Saya jawab dengan tenang: “Wahai Amirul Mukminin,
saya tidak ada mengguna-guna tuan. Saya tidak pernah belajar ilmu
sihir dan saya tidak ada menyihir tuan.”
Sulaiman bin Abdul Malik menerangkan apa yang
ada dalam hatinya secara jujur: “Dulu aku begitu marah melihat
engkau. Aku sudah bertekad akan membunuh engkau. Rasanya kerajaanku
ini tidak sempurna kalau tidak membunuh engkau. Tetapi setelah
melihat wajahmu tadi, aku begitu sayang kepada engkau. Sekarang
ceritakan secara jujur apa yang engkau amalkan itu. Dia pun menyebutkan
zikir tadi. Mendengar yang demikian Sulaiman bin Abdul Malik berkata:
“Demi Allah Khidirlah yang mengajarkan amalan itu kepadamu.” Akhirnya
raja memaafkan segala kesalahannya dan menyayanginya.
^ Kembali ke atas
^
Amalan yang paling disukai
Allah
Dari Raja’, beliau
berkata: “Pernah pada suatu hari ketika saya berada di samping
Sulaiman bin Abdul Malik, tiba-tiba datang seorang lelaki tampan.
Lelaki itu memberi salam kemudian kami jawab. Kemudian dia berkata:
“Wahai Raja’, sesungguhnya telah diuji keimananmu ketika engkau
dekat dengan lelaki ini (Raja Sulaiman). Kalau engkau dekat dengan
dia, maka engkau akan celaka. Wahai Raja’, engkau mesti sentiasa
berbuat baik dan menolong orang-orang lemah. Ketahuilah wahai
Raja’, sesiapa yang mempunyai kedudukan di kerajaan sultan, lalu
dia mengangkat hajat orang-orang lemah yang mereka tidak sanggup
menyampaikannya, maka orang yang mengangkat atau menyampaikan
itu akan menjumpai Allah pada hari kiamat dalam keadaan kedua
tumitnya tetap ketika berhisab. Ketahuilah wahai Raja’ bahawa
sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya sesama muslim maka Allah
akan menunaikan hajatnya. Dan ketahuilah wahai Raja’ bahawa amalan
yang paling disukai Allah ialah amalan menyenangkan hati orang
mukmin.”
Setelah memberikan pengajaran yang bernas
itu, tiba-tiba lelaki itu sudah menghilang. Ramai yang berpendapat
bahawa yang datang memberikan pengajaran itu ialah Nabi Khidir.
Mas’ab bin Thabit bin Abdullah bin Zubair
adalah seorang yang rajin beribadat. Dia selalu berpuasa dan mengerjakan
solat tidak kurang dari seribu rakaat sehari semalam. Dia ada
berkata: “Pernah ketika aku berada di dalam masjid sedangkan orang
semuanya sudah pulang, ke rumah masing-masing, tiba-tiba datang
seorang lelaki yang tidak saya kenal. Lelaki itu menyandarkan
badannya ke dinding masjid sambil berkata: “Ya Allah, sesungguhnya
Engkau tahu bahawa aku berpuasa sejak kelmarin. Sampai sekarang
pun aku masih berpuasa. Aku tidak mendapatkan makanan dan minuman
dan aku menginginkan al-Tharid (nama makanan). Berikanlah kepadaku
ya Allah makanan dari sisi Engkau.”
“Tiba-tiba saya melihat seorang pelayan datang membawa hidangan.
Pelayan itu nampaknya tidak seperti orang biasa. Orangnya tampan,
bersih dan pakaiannya kemas. Dia berjalan ke arah lelaki yang
berdoa tadi sambil meletakkan hidangan itu di hadapannya. Lelaki
itu pun membetulkan duduknya menghadap hidangan itu. Sebelum mencicipi
makanan itu dia memandang saya dan mengajak saya supaya ikut makan
bersamanya. Hatiku berkata: “Syukur dia mengajak saya makan bersama.”
Ketika itu saya yakin makanan itu didatangkan dari syurga sehingga
saya pun ingin betul mencuba. Baru sedikit saya cuba tahulah saya
bahawa makanan itu bukan makanan yang biasa di dunia ini.
Sebenarnya saya merasa segan dan malu kepada
orang yang tidak saya kenal itu. Belum lagi kenyang rasa perutku
saya sudah mengucapkan terima kasih dan pergi ke tempatku semula
tadi. Tetapi saya masih terus memperhatikan lelaki itu. Setelah
dia selesai makan, datang lagi pelayan tadi mengambil hidangan
itu. Dia pergi lagi ke arah tempat datang tadi. Lelaki yang baru
selesai makan itu pun sudah berdiri dan nampak pergi. Aku kejar
dia kerana ingin tahu siapa dia sebenarnya. Tetapi malangnya dia
tiba-tiba saja menghilang dan saya tidak tahu ke mana perginya.
Besar kemungkinan lelaki itu adalah Nabi Khidir.”
Diriwayatkan oleh Ibnu Asakir, dari Ibrahim
bin Abdullah bin Al-Mughirah, dari Abdullah, berkata: “Telah bercerita
kepadaku ayahku bahawa pengurus sebuah masjid berkata kepada Walid
bin Abdul Malik: “Sesungguhnya Nabi Khidir sembahyang setiap malam
di masjid.”
Dari Daud bin Yahya, katanya bercerita seorang
lelaki yang selalu berada di Baitul Maqdis: “Pada waktu saya berjalan
di salah satu lembah di Jordan, saya melihat di lembah bukit itu
ada orang yang sedang mengerjakan solat. Saya lihat di atasnya
ada awan yang melindunginya daripada panas matahari. Menurut tekaanku
lelaki itu adalah Nabi Ilyas. Saya dekati dia kemudian kuucapkan
salam kepadanya. Dia berpaling kepadaku sambil menjawab salamku.
Aku tanya: “Siapa anda sebenarnya wahai orang yang dirahmati Allah?”
Dia diam sahaja dan tidak menjawab soalanku. Kutanya lagi seperti
soalan pertama kemudian dia menjawab: “Aku adalah Ilyas An-Nabi.”
Tiba-tiba sahaja merinding bulu romaku. Aku
gementar, dan yang paling kutakutkan dia menghilang sebelum saya
sempat menanyakan itu dan ini. Aku berkata kepadanya: “Tolong
doakan supaya Allah menghilangkan penyakitku ini." Dia pun berdoa.
Tiba-tiba penyakitku terasa sudah sembuh.
Aku tanya lagi: “Kepada siapa tuan diutus?” Beliau menjawab:
“Aku diutus kepada penduduk Baklabakka.” Kutanya lagi: “Apakah
sekarang ini tuan masih ada menerima wahyu?” Beliau menjawab:
“Bukankah sudah diutus Muhammad sebagai nabi penutup? Aku tidak
ada menerima wahyu lagi.”
Katanya lagi: “Kalau begitu berapa lagi nabi yang masih hidup
sekarang ini?” Beliau menjawab: “Sekarang ada empat orang lagi
nabi yang masih hidup, iaitu saya sendiri (Ilyas), Khidir di bumi
(darat), dan Nabi Idris bersama nabi Isa di langit.”
Kutanya lagi: “Apakah tuan pernah berjumpa dengan Nabi Khidir?”
Beliau menjawab” “Ya, setiap tahun kami berjumpa di padang Arafah,
yakni pada musim haji.”
Kutanya: “Apa yang kamu lakukan jika berjumpa di sana?” Beliau
menjawab: “Aku ambil rambutnya kemudian dia pun mengambil (mencukur
rambutku).”
Kutanya lagi: “Berapa orang lagi Al-Abdal (Wali Allah yang lain)?”
Beliau menjawab: “Ada 60 orang lelaki. 50 orang berada di kawasan
Mesir sampai pantai Furat, 2 orang di Masisah, 1 orang di Antokiah
dan 7 orang di pelbagai penjuru dunia. Merekalah yang mengatur
hujan dan mereka yang menolong untuk mengalahkan musuh Allah,
bahkan di tangan mereka berdirinya dunia ini, dia matikan mereka
semua supaya dunia ini pun hancur.” Ini menurut satu pendapat
sangat tidak sahih.
^ Kembali ke atas
^
Nabi Khidir mengubati
dengan Asmaul Husna
Berkata Abul Hasan
bin Al-Munadi: “Bercerita kepada kami Ahmad bin Mulaib, dari Yahya
bin Said, dari Abu Jakfar Al-Kufi, dari Abu Umar Al-Nasibiy, berkata:
“Aku pergi mencari Maslamah bin Masqalah di Syam. Ramai yang mengatakan
Maslamah termasuk wali Allah juga. Setelah berusaha mencarinya,
saya menjumpainya di salah satu lembah di Jordan.
Beliau berkata kepadaku: “Mahukah engkau kuceritakan
kepadamu tentang apa yang kulihat tadi di lembah bukit ini?” Kujawab:
“Tentu aku ingin mendengarnya.” Beliau berkata: “Ketika saya datang
tadi ke lembah ini, saya melihat seorang syekh yang sedang mengerjakan
solat di bawah pokok itu. Besar kemungkinan lelaki itu adalah
Nabi Ilyas. Aku berjalan mendekatinya kemudian memberi salam kepadanya
sekalipun dia sedang mengerjakan solat. Saya lihat dia rukuk,
kemudian iktidal, dan kemudian sujud.Selesai solat dia memandang
ke arah suaraku datang kemudian menjawab salamku setelah melihat
aku berdiri di situ.
Aku tanya dia: “Siapakah engkau wahai orang yang dirahmati Allah.”
Dia menjawab : “Aku adalah Ilyas Al-Nabi.”
Aku begitu gugup mendengar kata-katanya itu.Dia
datang mendekati aku. Dia letakkan tangannya di dadaku sehingga
aku merasakan kesejukan tangannya.
Aku berkata kepadanya: “Wahai nabi Allah,
doakanlah supaya Allah menghilangkan penyakitku ini.” Kemudian
beliau pun berdoa dengan menggunakan nama Allah, lima di antaranya
dalam bahasa Arab dan tiga lagi dalam bahasa Siryani. Beliau membaca:
“Ya Wahid, Ya Ahad, Ya Somad, Ya Fardun, Ya Witrun. Beliau menyebut
tiga potong perkataan lagi yang saya sendiri tidak tahu maknanya.
Kemudian beliau menarik tanganku sambil mendudukkan aku.Ketika
itu rasanya penyakitku sudah hilang.
Aku bertanya kepadanya: “Wahai nabi Allah,
Bagaimana pendapatmu tentang orang ini (saya sebutkan Mirwan bin
Muhammad), yang ketika itu menahan beberapa orang ulama. Beliau
berkata: “Bagaimana hubungan kamu ?” Aku menjawab “Wahai nabi
Allah kalau aku berjumpa dengannya dia berpaling. Dia tidak memberi
sebarang komen.
Aku bertanya lagi: “Wahai nabi Allah,apakah sekarang ini masih
ada di dunia ini Al-Abdal. (wali-wali Allah)?Beliau menjawab:”Ada”
Mereka semua ada sebanyak 60 orang. 50 orang di kawasan Mesir
sampai pantai Furat, 3 orang di Masisah, 1 orang di Antokiah dan
yang lainnya di daerah Arab lainnya.”
Aku bertanya lagi:”Wahai nabi Allah, Apakah
tuan ada berjumpa dengan nabi Khidir?” Beliau menjawab “Ya setiap
musim haji kami berjumpa di Mina.” Aku bertanya: Apa yang kamu
lakukan jika berjumpa?” Beliau menjawab: “Aku mengambil rambutnya
dan dia pun mengambil rambutku.”
Aku berkata kepadanya: “Wahai nabi Allah.
sebenarnya saya ini adalah orang yang hidup sebatang kara, tidak
mempunyai isteri dan anak. Kalau tuan bersetuju biarlah saya ikut
bersama tuan ke mana sahaja tuan pergi.” Beliau menjawab:
Engkau tidak sanggup berteman denganku.”
Ketika bercerita dengan beliau tiba-tiba aku
melihat satu hidangan makanan keluar dari akar pohon itu kemudian
diletakkan di hadapan beliau. Sementara orang yang mengangkatnya
tidak kelihatan. Dalam hidangan itu ada tiga ketul roti. Beliau
sudah menghulurkan tangannya untuk makan makanan itu. Tetapi tiba-tiba
beliau belum jadi memakannya dan beliau mengajak aku supaya sama-sama
makan.
Saya duduk di sebelah beliau, kemudian beliau
berkata kepadaku: “Mulailah dengan Bismillah dan ambilah dari
yang terdekat kepadamu “Kami pun memakannya bersama-sama. Selepas
makan saya lihat jelas dulang itu diangkat lagi tetapi tidak kelihatan
orang yang mengangkatnya. Kemudian didatangkan lagi kepada beliau
minuman tetapi tidak kelihatan orang yang membawanya. Beliau membagi
dua minuman itu, separuh beliau minum dan separuh lagi beliau
serahkan kepadaku. Saya cuba minuman itu, oh rasanya cukup lazat.
Minuman itu lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada
madu. Selesai minum saya letakkan tempatnya. Tiba-tiba saya lihat
terangkat lagi tetapi tidak tahu siapa mengangkatnya.
Kemudian beliau memandang ke bawah (tempat
yang lebih rendah lagi), rupanya di situ sudah ada binatang menunggu
yang lengkap dengan tempat duduknya. Binatang itu lebih besar
dari keldai dan tidak sampai sebesar baghal. Beliau berjalan ke
arah tunggangan itu. Aku kejar beliau dan aku minta supaya ikut
bersamanya. Tetapi beliau berkata: “Bukankah sudah aku katakan
bahawa engkau tidak sanggup mengikuti perjalananku?” Saya merasa
kecewa dan hanya mampu berkata: “ Kalau begitu bagaimana caranya
supaya saya berjumpa lagi dengan tuan?” Beliau menjawab: “ Kalau
betul-betul ingin berjumpa denganku, kita akan berjumpa lagi nanti.”
Tambah beliau lagi: “Semoga engkau dapat menjumpai aku lagi nanti
pada bulan Ramadhan di Baitul Maqdis dalam keadaan iktikaf.” Beliau
pergi ke bawah pohon dan aku ikuti dari belakang tetapi tiba-tiba
beliau menghilang.”
^ Kembali ke atas
^