| Kisah Juha Dengan Perompak
| Kisah Juha Dengan Seorang Penipu |
Kisah Juha Dengan Perompak
uatu
ketika, Juha adalah seorang saudagar yang terkenal lagi kaya raya
dan dia juga di kenali sebagai saudagar yang pemurah lagi baik
hati, amanah serta suka membuat kebajikan. Dia hidup berdua sahaja
iaitu dengan isterinya di dalam sebuah rumah yang sungguh besar.
Mereka ditakdirkan Allah tidak mempunyai cahaya mata walaupun
seorang.
Maka telah menjadi kebiasaan bagi Juha bahawa
seluruh hartanya sama ada yang diperolehi dari hasil perniagaan
atau sebagainya dia akan menyimpannya di dalam sebuah peti besi
yang besar yang kemudiannya peti besi tersebut di simpan di
dalam sebuah bilik khas di dalam rumahnya. Pokoknya seluruh
harta yang dimilikinya disimpan di dalam peti besi tersebut.
Dalam masa yang sama dia tidak pernah mengupah
pengawal walau seorang pun untuk menjaga rumahnya sedangkan
rumahnya itu sentiasa menjadi intipan perompak-perompak yang
berkeliaran di dalam bandar tersebut. Juha hanya bertawakal
kepada Allah swt atas segalanya.
Maka untuk jadi cerita, pada suatu malam
entah macamana tiba-tiba Juha terkejut dari tidur. Kerana apa!
kerana dia terdengar suara tapak kaki orang berjalan-jalan di
atas bumbung rumahnya. Dia merasakan sudah pastilah ada orang
menceroboh masuk ke dalam kawasan rumahnya, dan orang itu tak
lain mestilah perompak.
Serta merta badannya mengeletar ketakutan
kerana kebetulan dia terdengar si perompak di atas bumbung rumahnya
itu mengatakan sesama mereka: "Malam ini kita mesti rompak seluruh
harta yang dimiliki oleh Juha....kita jangan tinggalkan walau
satu pun. Dan kalau dia melawan, maka kita bunuh dia dan isterinya
!".
Bertambah menggeletarlah Juha dibuatnya
kerana terlalu takut. Tetapi dia cuba mengawal diri dan perasaannya....lalu
dia duduk di atas katil, termenung seketika sambil mulutnya
komat-kamit tidak habis-habis mengucapkan kalimah syahadah.
Dan dalam kepalanya terfikir bagaimanakah caranya untuk mengatasi
masaalah ini, bagaimana untuk menyelamatkan dirinya, isterinya
dan juga harta benda kepunyaan.
Tanpa berlengah dia terus mengejukkan isterinya
dengan perlahan dan tenang dan dia memberitahu isterinya tentang
apa yang sedang berlaku. Setelah agak lama, akhirnya Juha mendapat
satu jalan, maka dia pun meminta isterinya supaya berpura-pura
berselisih faham dengannya serta memarah-marahnya dengan suara
yang tinggi supaya dapat di dengar oleh perompak yang berada
di atas bumbung rumah mereka. Juha memberitahu isterinya supaya
menanyakan kepadanya dengan suara yang lantang tentang dari
manakah dia memperolehi seluruh harta yang di milikinya sekarang
ini...dan bagaimanakah caranya! : "Kamu tanyakanlah berulang-kali
sehingga aku terpaksa menceritakan tentang rahsia diriku yang
sebenarnya kepada kamu yang ianya sama sekali tidak di ketahui
oleh sesiapa pun !" tambah Juha dengan berbisik-bisik kepada
isterinya.
Lantas si isteri pun mulalah bertanya sepertimana
yang di pinta oleh Juha dengan suara yang lantang berulang-kali
isterinya berkata :
"Wahai Juha! aku ini isteri kamu. Jadi mengapa pulak kamu
tidak percaya denganku!. Mengapa mesti kamu rahsiakan dariku
tentang perkara yang sebenarnya ! tentang bagaimana caranya
kamu boleh beroleh seluruh harta kekayaan yang kamu miliki sekarang
ini....kita sudah lama berkahwin dan aku masih ingat lagi bahawa
semasa kita berkahwin dulu kamu tidaklah kaya seperti ini....bahkan
hidup kamu miskin papa kedana. Dan aku rasa orang tua kamu tidak
ada mewariskan apa-apa harta kekayaan buat kamu. Jadi tolonglah
ceritakan kepadaku apakah rahsianya! janganlah kamu menyembunyikannya
dariku wahai Juha!".
Lalu Juha pun berkata dengan nada yang perlahan
bercampur sedih: "Setelah begini lama kamu hidup denganku barulah
kamu mahu bertanya dari mana dan bagaimana aku memperolehi seluruh
harta kekayaan yang aku milikinya sekarang ini!".
"Wahai isteriku! bukankah kamu tahu bahawa aku ini adalah seorang
saudagar aku ini seorang peniaga yang mahsyur yang dulunya aku
terpaksa bekerja keras...bertungkus lumus menempuh berbagai
kesusahan dan rintangan maka sudah wajarlah aku memperolehi
segala apa yang aku miliki sekarang ini. Dan semua hartaku ini
adalah datang dari hasil usahaku yang halal hingga dengan itu
aku dapat membuat berbagai kebajikan...aku boleh sedekah sana
sini. Dan aku rasa semua orang tahu akan cerita ini, jadi bagaimanalah
kamu isteriku tak tahu tentang ini, teman hidup sematiku....
sepatutnya kamulah yang lebih tahu tentang ini. Tetapi kamu
yang banyak bertanya pula, sepatutnya kamulah orang yang paling
faham dan yang paling tahu tentangku. Semoga Allah mengampunkan
kamu wahai isteriku!".
Isterinya tambah tidak berpuashati bahkan
si isteri terus berkata serta melaungkan suara semakin kuat:
"Wahai Juha suamiku! janganlah kamu berpura-pura! kamu banyak
bersedekah dan berbuat kebajikan semua itu supaya orang mengatakan
bahawa kamu adalah seorang yang baik hati!. Aku sama sekali
tidak percaya segala apa yang kamu sebutkan tadi semua itu adalah
tipu dan bohong belaka. Yang semoga dengan itu kamu akan dapat
menipu orang ramai dengan begitu mudah sekali. Walau bagaimana
pun aku yakin dan percaya bahawa di sebalik ini semua tersembunyi
suatu rahsia yang besar dan penting sekali. Masakan harta kekayaan
ini semua kamu dapat memperolehinya dalam masa yang singkat!".
Segala pertelingkahan mereka berdua sebenarnya
didengar oleh perompak-perompak yang berada di atas bumbung.
Mereka mendengar dengan penuh teliti sekali sehinggakan mereka
tidak sabar untuk mengetahui apakah rahsia Juha yang sebenarnya
saling mereka berpandangan sesama mereka. Dan perkara ini menimbulkan
tanda tanya dalam kotak fikiran mereka dan mulalah mereka menyangka
yang bukan-bukan tentang bagaimana Juha memperolehi segala harta
kekayaannya.
Dan kebetulan mereka pun tidak pernah mendengar
bagaimana kisah Juha menjadi kaya, mereka tidak pernah tahu
bagaimana kisah perniagaan Juha. Yang mereka tahu ialah tiba-tiba
Juha mempunyai rumah besar, harta yang banyak. Di kala itu juga
mereka cuba-cuba untuk mengintai-ngintai ke bawah, untuk melihat
apa yang sedang di lakukan oleh Juha.
Selang beberapa ketika..kedengaran suara
isteri Juha memaksa Juha untuk menceritakan juga apakah rahsia
yang sebenarnya. Dia berharap semoga Juha tidak lagi menyimpam
rahsia tersebut darinya. Kerana sesungguhnya dia telah berbakti
dengan penuh ikhlas sebagai isterinya jadi janganlah pula Juha
tidak mempercayainya, bersungguh-sungguh isteri Juha memujuknya,
hingga akhirnya oleh kerana tidak tahan isteri Juha pun terus
menangis sambil terluncur dari mulutnya :
"Wahai Juha! aku mengingatkan kamu buat kali yang terakhir,
iaitu jika kamu tetap juga tidak mahu menceritakan rahsia tersebut,
maka sekarang ini juga aku akan keluar rumah meninggalkan kamu
seorang diri dan aku tidak akan pulang ke sini sampai bila-bila
!".
Juha terperanjat melihatkan gelagat isterinya,
hinggakan sanggup dia memperkatakan yang sedemikian itu. Akan
tetapi ini semakin menjadikan dia bersemangat untuk memperlakonkan
kedudukannya dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Maka dia
pun menenangkan isterinya, di pujuknya sambil dia berjanji bahawa
dia akan menceritakan rahsia tersebut tetapi dengan syarat hendaklah
si isteri menyimpan rahsia tersebut dengan penuh amanah, jangan
di ceritakan pada sesiapa pun dan jangan rahsianya terbocor.
Serta-merta isterinya berhenti menangis seraya berjanji bahawa
dia tidak akan membocorkan rahsia tersebut.
Kemudian Juha pun mulalah bercerita: "Sebenarnya
aku dulu adalah seorang perompak yang terkenal...yang sangat
pintar....lagi sungguh hebat. Aku mempunyai pengikut yang ramai...mereka
semuanya berani, ganas lagi jahat. Bagaimana aku boleh jadi
ketua ! sebab aku mempunyai satu ilmu yang ilmu itu tidak ada
pada perompak yang lain. Iaitu aku telah mempelajari satu ilmu
sihir daripada seorang ahli sihir hindu yang ilmu tersebut sangat
merbahaya tetapi sungguh canggih !".
"Kelebihan ilmu ini ialah apabila aku mahu
merompak rumah orang kaya caranya begini....aku akan masuk ke
dalam rumah orang kaya tersebut tanpa di ketahui...dan aku akan
ambil seluruh harta kepunyaannya...setelah itu aku akan keluar
semula dengan selamat. Lamalah juga aku melakukannya hinggalah
aku benar-benar kaya sekarang ini....setelah agak lama barulah
aku berpindah ke bandar ini. Aku bawa seluruh harta kepunyaanku
dan orang di bandar ini tidak tahu langsung asal usul ku...apa
yang aku lakukan sebelum ini. Tetapi semua itu bukan boleh di
lakukan begitu saja...ianya ada bacaan tertentu !".
Ini menjadikan perompak-perompak mendengar
bersungguh-sungguh....mereka tidak sabar untuk mengetahui apakah
bacaan tersebut. Mereka bertambah seronok lagi apabila mendengar
isteri Juha segera memujuknya agar memberitahu apakah bacaan
tersebut. Juha tersetuju...tetapi dengan syarat jangan di bocorkan
rahsianya ini kerana dia tidak mahu orang lain menggunakannya
untuk melakukan kejahatan lagi kerana dia telah bertaubat. Si
isteri pun bersetuju....Juha pun menghampiri isterinya...jadi
para perompak pun terpaksalah mendengar dengan penuh teliti
sekali.
Juha menyambung ceritanya lagi : "Cara aku
merompak dulu ialah.....aku akan panjat ke atas bumbung rumah
orang tersebut...dan tempat yang aku cari mula-mula sekali ialah
aku cari tempat ruang di mana cahaya bulan boleh masuk ke dalam
rumah tersebut. Sudah mestilah cahaya bulan kena terang...jadi
aku akan pastikan bahawa cahaya bulan dapat masuk melalui ruang
tersebut hingga sampai ke dalam rumah. Setelah itu aku akan
berdiri betul-betul di atas ruang tersebut sambil mengenakan
badanku pada cahaya bulan lantas aku akan menyebut bacaan :
"Syaulam ! Syaulam !"....sebanyak 7 kali.
Maka dengan sendirinya cahaya bulan tadi akan membawa aku turun
masuk ke dalam rumah melalui ruang tersebut... seakan-akan aku
turun dari tangga. Jadi bila dah sampai dalam rumah apa lagi,
aku ambil lah segala harta benda dan kemudian aku berdiri semula
pada cahaya bulan tadi lantas aku menyebutkan bacaan yang sama
sebanyak 7 kali !".
"Serta-merta cahaya bulan itu akan membawa
aku dan semua harta yang aku curi naik semula ke atas bumbung
rumah. Semua itu aku lakukan tanpa di sedari langsung oleh tuan
rumah....sedar-sedar keesokan paginya seluruh harta bendanya
telah habis aku curi !. Begitu hebat sekali ilmu yang aku amalkan
!".
Kemudian tidak semena-mena Juha pun melaungkan
suaranya kepada si isteri : "Ha ! sekarang baru kamu puashati
! kamu dah tenang dah ! kamu dah tahu siapa aku sebenarnya....yang
penting kamu mesti simpan rahsia ini betul-betul jangan sampai
bocor !. Baiklah ! sekarang ni kita tidurlah...sebab besok banyak
kerja yang hendak aku selesaikan...tidurlah !".
Mereka berdua pun kembali masuk ke dalam
bilik tidur...tetapi sebenarnya mereka berpura-pura tidur. Juha
yakin bahawa sedikit sebanyak cerita yang di reka-rekanya itu
tadi dapat menipu daya para perompak yang sedang berada di atas
bumbung rumahnya...dan dia yakin sudah pasti mereka akan melakukan
sesuatu rentetan dari ceritanya itu tadi.
Bila para perompak tahu bahawa mereka berdua
telah masuk semula ke bilik tidur...bukan main seronoklah di
buatnya...nak-nak mereka dah tahu rahsia sebenar Juha. Maka
ada peluanglah untuk mereka mengamalkan ilmu yang baru mereka
perolehi itu.
Suasana senyap buat seketika.. kemudian
si ketua perompak mengambil keputusan untuk melakukan seperti
apa yang telah di ceritakan oleh Juha. Terus dia mencari ruang
di mana cahaya bulan boleh masuk ke dalam rumah. Dan kebetulan
pula malam itu bulan mengambang...jadi cahaya bulan pun agak
terang. Setelah puas si ketua perompak menjenguk ke dalam ruang
tersebut, tahulah dia bahawa ruang tersebut boleh masuk terus
ke dalam bilik di mana Juha menyimpan seluruh harta-hartanya.
Dia pun terus berdiri bertepatan dengan
ruang tersebut...di kenakan badannya pada cahaya bulan lalu
dengan suara yang kuat dia pun menyebut : "Syaulam ! Syaulam
!"....sebanyak 7 kali.
Tetapi dia merasa hairan kerana tidak berlaku
sepertimana menurut cerita Juha tadi. Mulalah dia tidak berpuashati
berulang-kali dia menyebutkan bacaan tersebut tetapi badannya
tidak mahu juga bergerak. Akhirnya oleh kerana hilang sabar
dia pun terus melompat masuk ke dalam ruang tersebut...kot-kot
dengan berbuat demikian akan berlaku sepertimana yang di sangka.
Akan tetapi memang nasibnya kurang baik...memang
benar bahawa cahaya bulan tidak berperanan sama sekali. Tanpa
di duga dia terus terjatuh ke dalam rumah dari atas bumbung
rumah...apa lagi bunyinya seperti nangka busuk jatuh....berdentum.
Oleh kerana terlalu sakit dia tidak dapat menahan terus menjerit
kesakitan : "Aduh ! Aduh !".
Juha dan isterinya yang memang sudah menyangka
akan berlaku sedemikian, bila terdengar suara orang menjerit
kesakitan terus bingkas bangun....di capainya sebatang tongkat
lalu meluru ke arah bilik khas tempat di simpan peti besi. Tanpa
kasihan terus Juha memukul si ketua perompak dengan sekuat hatinya....si
ketua perompak pun terus menjerit-jerit bertambah lagi kesakitannya.
Hal ini menyedarkan para perompak yang sedang
berada di atas bumbung....tahulah mereka bahawa ketua mereka
telah terpedaya dengan cerita Juha...dan sekarang ini dia telah
di tangkap oleh Juha. Tanpa berlengah mereka pun terus melompat
dari atas bumbung...lari menyelamatkan diri sebelum di tangkap
oleh orang ramai.
Dalam masa yang sama Juha dan isterinya
sama-sama menjerit-jerit meminta tolong dari penduduk bandar
: "Tolong Tolong ! pencuri masuk ke rumahku !".....apa
lagi orang ramai pun terjaga dek jeritan tersebut. Mereka terus
bangun lalu beramai-ramai berlari menuju ke rumah Juha untuk
memastikan apa yang berlaku. Juha pun meminta isterinya mengambil
tali lalu mengikat si ketua perompak.
Lembik si ketua perompak di buatnya....Juha
terus memukulnya dengan tongkat. Setelahmana orang ramai berkumpul
di depan rumah Juha...Juha pun mengeret si ketua perompak yang
telah di ikatnya itu keluar. Lalu mereka beramai-ramai membawanya
kerumah Tuan Hakim untuk di bicarakan. Sambil berjalan orang
ramai tidak putus-putus mengucapkan tahniah kerana telah berjaya
menangkap perompak yang selama ini bermaharaja lela di bandar
tersebut.
Tuan Hakim terus membicarakan si ketua perompak...dan
akhirnya ketua perompak mengaku bersalah seraya memberitahu
siapakah pengikutnya... di mana tempat mereka bersembunyi dan
begitu juga tempat di mana mereka menyembunyikan segala harta-harta
penduduk bandar yang telah mereka curi.
Lantas Tuan Hakim mengeluarkan arahan supaya
semua barang-barang curi tersebut di pulangkan kepada tuan-tuannya
semula dan semua para perompak di tangkap dan di penjarakan.
Orang ramai merasa gembira..mereka semakin
mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Juha. Pagi itu juga
pihak keselamatan menangkap semua perompak-perompak.....dan
semua barang-barang yang mereka curi di pulangkan semula pada
tuan-tuannya. Suasana menjadi riuh rendah buat seketika.....mereka
tidak sudah-sudah mengucapkan terima kasih kepada Juha dan juga
Tuan hakim....sambil mereka beramai-ramai memanjatkan kesyukuran
kehadrat Allah swt.
Dalam riuh rendah itu....tiba-tiba isteri
Juha datang menghampirinya seraya berkata : "Nampaknya semua
perompak dah tertangkap ! menunjukkan ini ada pelung untuk kamu
amalkan semula ilmu kamu tu ! kalau kamu merompak pun orang
tak akan tahu siapa yang melakukannya...bukankah ilmu kamu tu
hebat lagi canggih !".
Juha terperanjat sebentar bila mendengar kata-kata
isterinya....rupa-rupanya si isteri percaya segala apa yang di
reka-rekanya malam tadi. Oleh kerana terlalu gelihati dia pun
terus ketawa terdekah-dekah : "Kah ! kah ! Kah!"... sambil di
dalam hatinya berkata : "Tidak sangka bahawa isteriku boleh terfikir
seperti yang demikian !".
^ Kembali ke atas
^
Kisah Juha Dengan Seorang
Penipu>
Pada suatu hari Juha sedang duduk termenung
di depan pintu rumahnya..dia merenung kepada seutas rantai emas
di tangannya. Rantai emas tersebut adalah satu-satunya harta peninggalan
orang tuanya yang masih ada. Kerana yang selainnya sudah habis
di jual untuk membayar segala hutang-hutangnya. Sebab sebelum
ini dia banyak berhutang setelahmana dia menanggung kerugian dalam
berniaga.
Oleh kerana dia sekarang ini terlalu kesempitan
harta, maka dia tidak bercadang untuk menjual rantai emas tersebut.
Biarlah rantai tersebut di simpan buat selama-lamanya kerana
ianya adalah satu-satunya harta peninggalan orang tuanya yang
masih ada. Akhirnya dalam masa yang sama dia mengambil keputusan
untuk bermusafir iaitu untuk membina hidup baru dengan
azam baru. Tanpa berlengah terus dia bersiap sedia untuk memulakan
permusafirannya kerana kebetulan dalam masa yang sama ada satu
kabilah yang di pimpin oleh seorang saudagar yang terkenal akan
berangkat pulang ke negaranya dengan barang dagangan serta hasil
keuntungan yang banyak. Kabilah tersebut adalah dari negara
jiran. Dia pergi berjumpa saudagar tersebut...lalu meminta untuk
bekerja dengannya. Tanpa banyak bicara saudagar tersebut terus
menerimanya menjadi salah seorang pekerjanya.
Pergilah dia bersama-sama dengan kabilah
tersebut....sampai di negara tersebut dia pun terus bekerja
dengan saudagar tersebut dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh
sekali. Setelah agak lama dia bekerja si saudagar tadi melihat
bahawa Juha adalah seorang pekerja yang baik...bagus...rajin
lagi tekun. Maka tanpa banyak fikir dia memilih Juha untuk turut
serta dengan kabilah yang bakal di hantarnya besok hari untuk
pergi berniaga ke negara jiran.
Setelahmana Juha mendapat tahu bahawa dia
terpilih untuk turut serta dengan kabilah tersebut....maka mulalah
dia terfikir bahawa sudah pasti berbulan-bulan lamanya dia akan
pergi....perjalanan pula memakan masa agak lama....jadi rantai
emas satu-satunya peninggalan orang tuanya mesti di simpam baik-baik....dia
tidak boleh untuk membawanya. Kerana mana tahu dalam perjalanan
nanti kabilahnya akan di rompak.
Puas dia berfikir pada siapa hendak dia
amanahkan rantai emas tersebut untuk di simpan. Sebab apa !
sebab dia orang baru di situ....dia baru tinggal di situ buat
beberapa bulan saja...jadi dia belum kenal banyak orang. Akhirnya
dia mengambil keputusan untuk meninggalkan kepada jiran sebelahnya....kerana
dia melihat bahawa jiran sebelahnya boleh di percayai. Orangnya
agak berumur, pemurah, baik hati, juga seorang peniaga yang
terkenal di bandar tersebut.
Pada keesokan harinya sebelum bertolak....pagi-pagi
lagi Juha telah pergi kerumah orang tua tersebut. Dia mengetuk
pintu rumah...tidak lama kemudian pintu pun di buka dan keluarlah
orang tua tadi dengan senyuman lebar. Tanpa banyak bicara Juha
pun berkata :
"Wahai Tuan ! aku adalah jiran kamu dan aku adalah orang asing
di sini. Baru beberapa bulan saja aku tinggal di sini. Jadi
aku mahu bermusafir dengan kabilah saudagar si polan untuk berniaga
ke negara jiran. Oleh kerana merasa bimbang jadi aku minta agar
kamu sudi untuk menerima suatu amanah untuk kamu simpankan buat
seketika. Bila pulang nanti aku akan ambil semula...barang tersebut
ialah rantai emas ini !".
Juha pun mengeluarkan rantai tersebut dari
poket jubahnya. Bila orang tua tadi terlihat rantai emas tersebut....matanya
tidak berkelip-kelip.....tetapi untuk menyembunyikan perasaan
tamaknya dia pun berkata demi menenangkan hati Juha :
"Wahai saudaraku ! sesungguh amanah adalah suatu yang besar
lagi berat. Aku boleh menerimanya tetapi dengan syarat kalaulah
berlaku apa-apa janganlah kamu menyalahkan aku. Sebab apa !
aku ni pun dah berumur dan uzur pulak tu....katalah di takdirkan
Allah aku mati sedangkan kamu belum pulang-pulang lagi lebih-lebih
pulak aku tidak ada waris untuk aku amanahkan rantai ini !".
Berkata Juha : "Wahai Tuan ! tidak mengapalah
aku yakin bahawa kamu adalah seorang yang amanah. Seandainya
berlaku yang sedemikian aku memaafkannya terlebih awal....walau
bagaimanapun kamu cubalah cari sesiapa yang boleh menyimpan
amanah ini sementara aku pulang semula nanti. Dan seandainya
aku yang mati dulu sebelum kamu, maka aku berharap kamu dapat
jualkan rantai emas ini dan duitnya kamu sedekahkah kepada fakir
miskin juga sesiapa yang memerlukannya !. Rasanya kita tidak
memerlukan sesiapa pun untuk menjadi saksi kerana Allah swt
sudah cukup untuk menjadi saksi !".
Orang tua tadi pun setuju dengan apa yang
di perkatakan oleh Juha.....di terimanya amanah tersebut. Lalu
tanpa berlengah Juha pun terus meminta izin untuk pergi kerana
kabilahnya sudah hampir mahu berangkat. Tidak lama kemudian
berangkatlah Juha bersama-sama kabilah tersebut dengan hati
penuh tenang....dengan penuh keyakinan terhadap orang tua tadi.
Permusafirannya memakan masa agak lama...
berbulan-bulan lamanya. Selang beberapa bulan barulah Juha pulang
berserta kabilah perniagaannya dengan membawa hasil keuntungan
yang banyak. Sebelum pulang Juha sempat membeli satu hadiah
untuk dia hadiahkan kepada orang tua yang menyimpan amanahnya
tanda terima kasihnya. Sudah pastilah ianya juga adalah suatu
hadiah yang juga berharga.
Bila sampai saja...tanpa berlengah terus
Juha meminta izin untuk pergi kerumah orang tua tersebut. Oleh
kerana terlalu gembira saudagar yang punya kabilah pun terus
mengizinkannya. Juha terus berlari kerumah orang tua tersebut
dengan hati penuh gembira...tidak sabar untuk melihat semula
rantai emas peninggalan orang tuanya.
Sampai saja kerumah orang tua tersebut terus
dia mengetuk pintu sambil memberi salam : "Assalamualaikum!"
kemudian kedengaran suara menjawab dari dalam sambil lewa sahaja....mahu
tak mahu seakan-akan tidak menghiraukan siapa yang memberi salam
: "Waalaikumussalam !!".
Setelah agak lama menunggu barulah pintu
di buka....tuan rumah membuka pintu untuk melihat siapa yang
memberi salam tadi. Juha terus melemparkan senyuman manis kepada
orang tua tersebut. Akan tetapi orang tua tersebut sama sekali
tidak membalas senyuman Juha...seakan-akan dia tidak pernah
mengenali Juha.
Walau bagaimana pun Juha terus menghulurkan
bungkusan hadiah di tangannya kepada orang tua tersebut seraya
berkata : "Aku harap kamu sudi menerima hadiahku ini sebagai
tanda terima kasihku terhadap kamu. Kerana kamu sudi menerima
amanahku...terima kasihlah kerana kamu sungguh baik hati !".
Akan tetapi orang tua tadi memberi isyarat
seakan-akan dia tidak faham apa maksud kata-kata Juha....dia
memberi isyarat seakan-akan dia sama sekali tidak mengenali
Juha....lantas dia berkata : "Eh ! apa yang kamu katakan ini
! apa dia amanah yang kamu katakan itu ! dan aku tak pernah
pun mengenali kamu !". Dengan serba salah Juha pun berkata :
"Eh ! bukankah aku ada meminta kamu menyimpan rantai emas sebagai
satu amanah pada kamu dulu !".
Dengan suara yang tinggi tiba-tiba orang
tua tadi berkata sambil menudingkan jari kepada Juha : "Pergilah
kamu dari sini ! aku rasa kamu ni gila ! aku tak pernah berkenalan
dengan kamu langsung dan aku tidak ada menerima apa-apa amanah
dari kamu !. Aku harap kamu boleh pergi segera sebelum aku memanggil
pihak keselamatan untuk menangkap kamu !".
Seakan-akan mahu tercabut kepala Juha dari
badan bila mendengar kata-kata si orang tua tadi. Dia cuba menenangkan
orang tua tersebut....dia cuba menceritakan cerita sebenar,
tetapi orang tua tadi menolak mentah-mentah....semuanya di nafikan
dengan memaki serta menjerit-jerit ke muka Juha : "Pergi kamu
dari sini ! aku tidak mahu tengok muka kamu!".
Tanpa banyak bicara terus Juha meninggalkan
rumah orang tua tersebut dengan hati penuh tanda tanya... penuh
kecewa...tidak tahu apa yang hendak di lakukan lagi. Lama dia
duduk termenung di depan pintu rumahnya. Akhirnya dia mengambil
keputusan untuk bertemu dengan Tuan Hakim lalu menceritakan
apa yang sebenarnya berlaku.....di ceritakan tentang orang tua
yang telah mengkhianatinya. Tetapi sebelum pergi kerumah Tuan
Hakim hati kecilnya berkata :
"Apa pula yang akan dapat di lakukan oleh Tuan Hakim selagimana
si orang tua itu tetap juga menafikan bahawa dia tidak ada menerimana
apa-apa amanah dariku...lebih-lebih lagi aku tidak mempunyai
bukti mahupun saksi !....mana mesti aku dapatkan bukti dan saksi
sebab aku tidak ada menulis apa-apa tentang amanah tersebut
!?".
Akan tetapi Juha sama sekali tidak berputus
asa dan yang penting dia tidak mahu kehilangan satu-satunya
harta peninggalan orang tuanya. Terus dia berfikir dan berfikir
bagaimana untuk mendapatkan semula hartanya itu. Akhirnya dia
mengambil keputusan untuk pergi bertemu terus dengan Tuan Gabenor
bandar tersebut untuk mengadu hal. Tanpa berlengah terus dia
pergi kerumah Tuan Gabenor. Sampai di depan pintu istana dia
meminta izin untuk masuk...tetapi pengawal pintu tidak mengizinkannya
selagimana dia tidak menceritakan apa sebab dia mahu bertemu
Tuan Gabenor.
Juha pun menceritakan tujuannya dengan nada
penuh sedih. Lalu pengawal pun berkata : "Baiklah ! kamu tunggu
di sini sebentar...aku akan berjumpa Tuan Gabenor untuk meminta
izin buat kamu masuk menemuinya !". Juha pun menunggu di pintu
istana dengan penuh pengharapan. Tidak lama kemudian pengawal
pun datang seraya berkata : "Ha ! masuklah Juha ! Tuan Gabenor
telah mengizinkan kamu masuk !".
Dengan penuh gembira...tanpa berlengah terus
Juha masuk ke dalam istana untuk bertemu Tuan Gabenor. Sampai
di depan Tuan Gabenor terus Juha ceritakan apa yang sebenarnya
berlaku...oleh kerana tidak tertahan kesedihannya Juha pun menangis
semahu-mahunya. Simpati Tuan Gabenor di buatnya lantas beliau
berkata : "Kenapa kamu tidak pergi terlebih dahulu kepada Tuan
Hakim !?".
Jawab Juha : "Kerana aku tidak mempunyai
apa-apa bukti ataupun saksi. Dan kerana aku katakan padanya
bahawa saksi kita ialah Allah swt !". Mendengar yang demikian
beliau pun berkata : "Kalau begitu ! aku pun tidak boleh untuk
berbuat apa-apa....kamu tidak mempunyai apa-apa bukti. Kalaulah
di bawa orang tua itu kesini sudah pasti dia akan menafikannya
wahai Juha !".
Mereka semua menjadi buntu, suasana senyap
seketika. Tiba-tiba Juha berkata : "Wahai Tuan Gabenor ! aku
ada satu jalan...kalau berjaya jalan ini, maka akan jelaslah
bahawa orang tua tersebut adalah seorang penipu dan suka mengkhianati
amanah orang. Akan tetapi sekiranya perancangan aku ini tidak
berjaya, maka janganlah kamu lakukan apa-apa kekerasan terhadap
orang tua tersebut !".
Tuan Gabenor pun bersetuju untuk mendengarnya....Juha
pun mulalah memberitahu tentang perancangannya satu persatu.
Tuan Gabenor mendengarnya dengan teliti sekali. Beliau mendengarnya
dengan begitu minat sekali sambil terdetik di dalam kepalanya
: "Bahawa Juha ini seorang yang cerdik juga !". Akhirnya beliau
pun bersetuju untuk melakukan seperti apa yang telah di sarankan
oleh Juha demi memberi pengajaran kepada orang tua yang suka
menipu tadi.
Pada keesokan paginya Juha terus membawa
sebuah kerusi lalu di letakkan betul-betul di depan kedai kepunyaan
orang tua tersebut....lalu dia pun duduk di atas kerusi tersebut...dia
duduk dengan penuh ego dan sombong sekali. Lantas dia melemparkan
pandangannya ke arah orang tua yang sedang duduk di dalam kedainya
dengan pandangan sinis dan tajam seolah-olah sedang bermusuhan.
Melihatkan yang demikian orang tua tadi pun merasa pelik...lama
kelamaan dia mula naik marah. Oleh kerana tidak sabar dia terus
bangun menuju ke arah Juha yang sedang duduk di depan kedainya.
Juha tetap tenang dan tidak bergerak sama sekali, seakan-akan
tidak memperdulikannya.
Bertambah marahlah si orang tua tadi....dengan
kemarahan yang membuak dia terus menyentap leher baju Juha seraya
berkata : "Eh ! kenapa kamu duduk di sini tanpa keizinan dariku....ini
adalah kawasan kedaiku. Aku beri amaran sekiranya kamu tidak
mahu pergi aku akan memanggil pihak keselamatan untuk menangkap
kamu !".
Rupa-rupanya secara sepontan beberapa orang
pengawal istana pun datang....mereka terus meleraikan pergaduhan
tersebut. Orang tua tadi tidak berpuashati seraya berkata :
"Orang ini duduk di depan kedaiku tanpa keizinanku, sudah begitu
dia melihat ke arahku dengan penuh ego dan sombong sekali sedangkan
aku tidak pernah mengenalinya !".
Serta-merta pengawal tersebut berkata dengan
suara penuh lembut : "Tuan ! kawasan ini adalah jalan umum.
Orang ramai berhak untuk berbuat apa saja...samaada mahu duduk...berdiri.
Jadi Tuan yang mulia ini tak salah. Dia berhak duduk di sini
walaupun kamu kata kawasan ini berada dalam hak kamu. Dia berhak
walaupun kalau dia mahu duduk di atas kepala kamu sekalipun.
Jadi adakah kamu faham wahai orang tua yang tak sedar diri !?".
Bentak si pengawal sambil mempersilakan
Juha duduk semula ke atas kerusinya : "Silakan duduk Tuan! silakan!"
lantas si pengawal tadi pun mengambil segelas air lalu di berikan
kepada Juha sambil berkata : "Sila minum Tuan! Tuan kalau ada
apa-apa kami semua sedia berkhidmat untuk Tuan!".
Semua itu terus di saksikan oleh orang tua
tadi dengan penuh kehairanan...tetapi kemarahannya terus membuak.
Dalam hatinya berkata : "Eh ! siapakah sebenarnya lelaki ini
! hinggakan pengawal istana pun begitu hormat sekali terhadapnya
!?"..seakan-akan ada sesuatu yang dia tidak mengetahuinya.
Tidak lama kemudian kedengaran suara melaung
: "Orang ramai ! beri laluan kerana kenderaan Tuan Gabenor mahu
lalu !"....tahulah orang ramai bahawa Tuan Gabenor telah berbesar
hati untuk meninjau keadaan di pasar....semua yang hadir berdiri
memberi penghormatan. Kebetulan tempat Juha duduk itu adalah
kawasan jalan umum yang bakal di lalui oleh kenderaan Tuan Gabenor.
Orang tua tadi terus bergegas berdiri di depan kedainya
memberi hormat. Tetapi yang pelik lagi ialah Juha sama sekali
tidak bangun....bahkan dia terus duduk tenang seakan-akan
tidak menghiraukan bahawa kenderaan Tuan Gabenor semakin menghampirinya.
Tidak lama kemudian sampailah kenderaan
Tuan Gabenor di hadapan Juha....tiba-tiba berhenti kenderaan
tersebut....lantas serta merta Tuan Gabenor turun dari kenderaan
seraya berkata : "Wahai saudara ! mengapalah kamu tidak beritahu
aku bahawa kamu datang kesini ! sudahlah begitu kamu tidak mahu
berziarah ke istana pulak tu !. Sesungguhnya kami semua terlalu
merindui kamu kerana sudah lama tak jumpa !".....Juha terus
bangun lantas memeluk Tuan Gabenor dengan begitu mesra sekali.
Ini semakin menjadikan orang tua tadi kehairanan.
Tahulah dia bahawa Juha bukan sebarang orang....dia dari kerabat
Tuan Gabenor juga...mulalah dia merasa serba salah. Sebelum
Tuan Gabenor beredar Juha berkata :
"Baiklah ! nanti aku akan pergi ke istana....sebab aku ada beberapa
urusan yang mesti di selesai hari ini. Kalau tak selesai nanti
aku beritahu kamu lah kerana sebenarnya aku tidak mahu menyusah-nyusahkan
kamu dan aku yakin bahawa sudah pasti kamu akan dapat membantu
aku. Nanti sajalah kita bertemu di istana... !". Tuan Gabenor
pun memberi salam : "Assalamualaikum !"...jawab Juha : "Waalaikumussalam
!".
Melihat yang demikian orang tua tadi hampir-hampir
mahu pengsan, tahulah dia bahawa selama ini dia sengaja menempah
bala. Dia telah bermusuhan dengan kerabat istana....dia tahu
sendiri apa balasan yang sedang menunggunya. Tanpa banyak bicara
terus dia berlari masuk ke dalam istana....di ambilnya rantai
emas dari laci meja...lalu berlari semula keluar kedai menemui
Juha sambil katanya dalam ketakutan : "Wahai Tuan ! ambil lah
semua rantai emas yang kamu amanahkan kepadaku dulu. Aku
minta maaf banyak-banyak !...aku berjanji tidak akan melakukannya
lagi!" sambil dia mencium-cium tangan Juha.
Melihatkan yang demikian pengawal istana
terus menangkap orang tua tersebut....jelaslah bahawa selama
ini memang orang tua tersebut suka berbuat khianat kepada sesiapa
yang ada memberi amanah kepadanya. Orang tua tersebut terus
di bawah ke istana untuk di bicarakan... setelah mengaku bersalah
Tuan gabenor pun mengambil keputusan supaya dia di penjara buat
seketika untuk memberi pengajaran kepadanya. Sambil beliau berkata
:
"Memang benarlah bahawa kamu ini adalah
salah seorang yang telah di sabdakan oleh baginda Rasulullah
saw dalam hadisnya yang berbunyi : "Tanda-tanda orang munafiq
itu ada tiga : "Bila berkata-kata dia dusta, bila berjanji dia
ingkari dan bila di beri amanah dia khianat !"...maka balasan
untuk orang seperti kamu ini ialah penjara di dunia dan neraka
di akhirat !".
Mendengar yang demikian orang tua tadi menjerit-jerit
meminta maaf dari Juha dan juga dari Tuan Gabenor moga di ampunkan
kesalahannya...dan dia benar-benar bertaubat : "Maafkanlah aku
! maafkanlah aku ! aku bertaubat dan aku berjanji tidak akan
berlaku khianat lagi !".
^ Kembali ke atas
^