| Paderi-paderi Yahudi Gementar Ketakutan
| Nabi Muhammad Pulang Ke Makkah | Khadijah
Menawarkan Diri |
| Janda Cantik Bermata Jeli | Pernikahan
Muhammad dengan Khadijah | Dijamin Masuk Syurga
| Wanita Terbaik |
.
Bermimpi Matahari Turun Ke Rumahnya
..
ia
adalah Khadijah r.a, seorang wanita janda, bangsawan, hartawan,
cantik dan budiman. Ia disegani oleh masyarakat Quraisy khususnya,
dan bangsa Arab pada umumnya. Sebagai seorang pengusaha,
ia banyak memberikan bantuan dan modal kepada pedagang-pedagang
atau melantik orang-orang untuk mewakili urusan-urusan perniagaannya
ke luar negeri.
Banyak pemuka Quraisy
yang ingin menikahinya dan sanggup membayar mas kahwin berapa
pun yang dikehendakinya, namun selalu ditolaknya dengan halus
kerana tak ada yang berkenan di hatinya. Pada suatu malam ia
bermimpi melihat matahari turun dari langit, masuk ke dalam
rumahnya serta memancarkan sinarnya ke merata tempat sehingga
tiada sebuah rumah di kota Makkah yang luput dari sinarnya.
Mimpi itu diceritakan
kepada anak bapa saudaranya yang bernama Waraqah bin Naufal.
Dia seorang lelaki yang berumur lanjut, ahli dalam mentakbirkan
mimpi dan ahli tentang sejarah bangsa-bangsa purba. Waraqah
juga mempunyai pengetahuan luas dalam agama yang dibawa oleh
Nabi-Nabi terdahulu.
Waraqah berkata: “Takwil dari mimpimu
itu ialah bahawa engkau akan menikah kelak dengan seorang Nabi
akhir zaman.”
“Nabi itu berasal dari negeri mana?”
tanya Khadijah bersungguh-sungguh.
“Dari kota Makkah ini!” ujar Waraqah
singkat.
“Dari suku mana?”
“Dari suku Quraisy juga.”
Khadijah bertanya lebih jauh: “Dari
keluarga mana?”
“Dari keluarga Bani Hasyim, keluarga
terhormat,” kata Waraqah dengan nada menghibur.
Khadijah terdiam sejenak, kemudian
tanpa sabar meneruskan pertanyaan terakhir: “Siapakah nama bakal
orang agung itu, hai anak bapa saudaraku?”
Orang tua itu mempertegas: “Namanya
Muhammad SAW. Dialah bakal suamimu!”
Khadijah pulang ke
rumahnya dengan perasaan yang luar biasa gembiranya. Belum pernah
ia merasakan kegembiraan sedemikian hebat. Maka sejak itulah Khadijah
sentiasa bersikap menunggu dari manakah gerangan kelak munculnya
sang pemimpin itu.
^ Kembali ke atas
^
Nabi Muhammad Berniaga
Muhammad, bakal suami
wanita hartawan itu, adalah seorang yatim piatu yang miskin sejak
kecilnya, dipelihara oleh bapa saudaranya, Abu Thalib, yang hidupnya
pun serba kekurangan. Meskipun demikian, bapa saudaranya amat
sayang kepadanya, menganggapnya seperti anak kandung sendiri,
mendidik dan mengasuhnya sebaik-baiknya dengan adab, tingkah laku
dan budi pekerti yang terpuji.
Pada suatu ketika,
Abu Thalib berbincang-bincang dengan saudara perempuannya bernama
‘Atiqah mengenai diri Muhammad. Beliau berkata: “Muhammad sudah
pemuda dua puluh empat tahun. Semestinyalah sudah kahwin. Tapi
kita tak mampu mengadakan perbelanjaan, dan tidak tahu apa yang
harus diperbuat.”
Setelah memikirkan
segala ikhtiar, ‘Atiqah pun berkata: “Saudaraku, saya mendengar
berita bahawa Khadijah akan memberangkatkan kafilah niaga ke
negeri Syam dalam waktu dekat ini. Siapa yang berhubungan dengannya
biasanya rezekinya bagus, diberkati Allah SWT. Bagaimana kalau
kita pekerjakan Muhammad kepadanya? Saya kira inilah jalan untuk
memperolehi nafkah, kemudian dicarikan isterinya.”
Abu Thalib menyetujui
saranan saudara perempuannya. Dirundingkan dengan Muhammad,
ia pun tidak keberatan.
‘Atiqah mendatangi wanita hartawan itu, melamar pekerjaan bagi
Muhammad, agar kiranya dapat diikut sertakan dalam kafilah niaga
ke negeri Syam.
Khadijah, tatkala
mendengar nama “Muhammad”, ia berfikir dalam hatinya: “Oh...
inilah takbir mimpiku sebagaimana yang diramalkan oleh Waraqah
bin Naufal, bahawa ia dari suku Quraisy dan dari keluarga Bani
Hasyim, dan namanya Muhammad, orang terpuji, berbudi pekerti
tinggi dan nabi akhir zaman.” Seketika itu juga timbullah hasrat
di dalam hatinya untuk bersuamikan Muhammad, tetapi tidak dilahirkannya
kerana khuatir akan fitnah.
“Baiklah,” ujar Khadijah kepada ‘Atiqah,
“saya terima Muhammad dan saya berterima kasih atas kesediaannya.
Semoga Allah SWT melimpahkan berkatnya atas kita bersama.”.
Wajah Khadijah cerah, tersenyum sopan, menyembunyikan apa yang
tersudut di kalbunya.
Kemudian ia meneruskan: “Wahai ‘Atiqah,
saya tempatkan setiap orang dalam rombongan niaga dengan penghasilan
tinggi, dan bagi Muhammad SAW akan diberikan lebih tinggi dari
biasanya.”
‘Atiqah berterima
kasih, ia pulang dengan perasaan gembira menemui saudaranya,
menceritakan kepadanya hasil perundingannya dengan wanita hartawan
dan budiman itu. Abu Thalib menyambutnya dengan gembira.
Kedua bersaudara itu memanggil Muhammad SAW seraya berkata:
“Pergilah anakanda kepada Khadijah r.a, ia menerima engkau sebagai
pekerjanya. Kerjakanlah tugasmu sebaik-baiknya.”
Muhammad SAW menuju
ke rumah wanita pengusaha itu. Sementara akan keluar dari pekarangan
rumah bapa saudaranya, tiba-tibalah ia mencucurkan air mata kesedihan
mengenang nasibnya. Tiada yang menyaksikannya dan menyertainya
dalam kesedihan hati itu selain para malaikat langit dan bumi.
^ Kembali ke atas
^
Kesaksian Seorang Rahib
Tatkala kafilah niaga
itu siap akan berangkat, berkatalah Maisarah, kepala rombongan:
“Hai Muhammad, pakailah baju bulu itu, dan peganglah bendera kafilah.
Engkau berjalan di depan, menuju ke negeri Syam!”
Muhammad SAW melaksanakan
perintah. Setelah iring-iringan keluar dari halaman memasuki
jalan raya, tanpa sedar Muhammad SAW menangis kembali, tiada
yang melihatnya kecuali Allah dan para malaikat-Nya. Dari mulutnya
terucap suara kecil: “Aduh hai nasib! Mana gerangan ayahku Abdullah,
mana gerangan ibuku Aminah. Kiranyalah mereka menyaksikan nasib
anakandanya yang miskin yatim piatu ini, yang justeru lantaran
ketiadaannyalah sehingga terbawa jadi buruh upahan ke negeri
jauh. Aku tidak tahu apakah aku masih akan kembali lagi ke negeri
ini, tanah tumpah darahku.”
Jeritan batin itu
membuat para malaikat langit bersedih. Mereka memintakan rahmat
baginya. Maisarah memperlakukan Muhammad SAW dengan agak istimewa,
sesuai dengan wasiat Khadijah. Diberinya pakaian terhormat,
kenderaan unta yang tangkas dengan segala perlengkapannya.
Perjalanan mengambil
waktu beberapa hari. Terik matahari begitu panas sekali. Tetapi
Muhammad SAW berjalan sentiasa dipayungi awan yang menaunginya
hingga mereka berhenti di sebuah peristirehatan dekat rumah
seorang Rahib Nasrani.
Muhammad SAW turun
dari untanya, pergi berangin-angin melepaskan lelah di bawah
pohon yang teduh.
Rahib keluar dari tempat pertapaannya. Ia terhairan-hairan melihat
gumpalan awan menaungi kafilah dari Makkah, padahal tak pernah
terjadi selama ini. Ia tahu apa erti tanda itu kerana pernah
dibacanya di dalam Kitab Taurat.
Rahib menyiapkan suatu perjamuan bagi kafilah itu dengan maksud
untuk menyiasat siapa pemilik karamah dari kalangan mereka.
Semua anggota rombongan
hadir dalam majlis perjamuan itu, kecuali Muhammad SAW seorang
diri yang tinggal untuk menjaga barang-barang dan kenderaan.
Ketika Rahib melihat awan itu tidak bergerak, tetap di atas
kafilah, bertanyalah beliau: “Apakah di antara kalian masih
ada yang tidak hadir di sini?”
Maisarah menjawab: “Hanya seorang yang
tinggal untuk menjaga barang-barang.”
Rahib pergi menjemput
Muhammad SAW dan terus menjabat tangannya, membawanya ke majlis
perjamuan. Ketika Muhammad SAW. bergerak, Rahib memperhatikan
awan itu turut bergerak pula mengikuti arah ke mana Muhammad
SAW berjalan. Dan di saat Muhammad SAW masuk ke ruangan perjamuan,
Rahib keluar kembali menyaksikan awan itu, dan dilihatnya awan
itu tetap di atas, tidak bergerak sedikit pun walaupun dihembus
angin. Maka mengertilah ia siapa gerangan yang memiliki karamah
dan keutamaan itu.
Rahib masuk kembali dan mendekati Muhammad
SAW, bertanya: “Hai pemuda, dari negeri mana asalmu?”
“Dari Makkah”.
“Dari qabilah mana?” tanya sang Rahib.
“Dari Quraisy, tuan!”
“Dari keluarga siapa?”
“Keluarga Bani Hasyim.”
‘Siapa namamu?”
“Namaku, Muhammad.”
Serta merta ketika
mendengar nama itu, Rahib berdiri dan terus memeluk Muhammad
SAW serta menciumnya di antara kedua alisnya seraya mengucapkan:
“Laa Ilaaha Illallaah, Muhammadar Rasulullah.”
Ia menatap wajah
Muhammad SAW dengan perasaan takjub, seraya bertanya: “Sudikah
engkau memperlihatkan tanda di badanmu agar jiwaku tenteram
dan keyakinanku lebih mantap?”
“Tanda apakah yang tuan maksudkan?”
tanya Muhammad SAW.
“Silakan buka bajumu supaya kulihat
tanda akhir kenabian di antara kedua bahumu!”
Muhammad SAW. memperkenankannya, dimana
Rahib tua itu melihat dengan jelas ciri-ciri yang dimaksudkan.
“Ya....ya....tertolong, tertolong!” seru Rahib. “Pergilah ke
mana hendak pergi. Engkau terus ditolong!”
Rahib itu mengusap wajah Muhammad SAW,
sambil menambahkan: “Hai hiasan di hari kemudian, hai pemberi
syafa’at di akhirat, hai peribadi yang mulia, hai pembawa nikmat,
hai nabi rahmat bagi seluruh alam!”
Dengan pengakuan demikian,
Rahib dari Ahlil-Kitab itu telah menjadi seorang muslim sebelum
Muhammad SAW. dengan rasmi menerima wahyu kerasulan dari langit.
^ Kembali ke atas
^
Paderi-paderi
Yahudi Gementar Ketakutan
Pasar dibuka beberapa
hari lamanya. Semua jualan laris dengan keuntungan berlipat ganda,
mengatasi pengalaman yang sudah-sudah. Kebetulan pada saat itu
bertepatan dengan hari Yahudi, yang dimeriahkan dengan upacara
besar-besaran.
Muhammad SAW, Abu
Bakar dan Maisarah keluar menonton keramaian itu. Tatkala Muhammad
SAW memasuki tempat upacara untuk menyaksikan cara mereka beribadat,
maka tiba-tiba berjatuhanlah semua lilin-lilin menyala yang
bergantungan pada tali di sekitar ruangan, yang menyebabkan
paderi-paderi Yahudi gementar ketakutan.
Seorang di antara
mereka bertanya: “Alamat apakah ini?” Semuanya hairan, cemas
dan ketakutan.
“Ini bererti ada orang asing yang hadir di sini,” jawab pengerusi
upacara. “Kita baca dalam Taurat bahawa alamat ini akan muncul
bilamana seorang lelaki bernama Muhammad SAW, Nabi akhir zaman,
mendatangi hari raya agama Yahudi. Mungkinlah sekarang orang
itu berada di ruangan kita ini. Carilah lelaki itu, dan kalau
bertemu, segeralah tangkap!”
Abu Bakar r.a, sahabat
Muhammad SAW sejak dari kecil, dan Maisarah, yang mendengar
berita itu segera mendekati Muhammad SAW yang berdiri agak terpisah,
dan mengajaknya keluar perlahan-lahan di tengah-tengah kesibukan
orang yang berdesak-desakan keluar masuk ruangan.
Tanpa menunda waktu
lagi, Maisarah segera memerintahkan kafilah berangkat pulang ke
Makkah. Dengan demikian tertolonglah Muhammad SAW dari kejahatan
orang-orang Yahudi.
^ Kembali ke atas
^
Nabi
Muhammad Pulang Ke Makkah
Biasanya dalam perjalanan
pulang, kira-kira jarak tujuh hari lagi mendekati Makkah, Maisarah
mengirim seorang utusan kepada Khadijah r.a, memberitahukan bakal
kedatangan kafilah serta perkara-perkara lain yang menyangkut
perjalanan.
Maisarah menawarkan kepada Muhammad
SAW: “Apakah engkau bersedia diutus membawa berita ke Makkah?”
Muhammad SAW berkata: “Ya, saya bersedia apabila ditugaskan”.
Pemimpin rombongan
mempersiapkan unta yang cepat untuk dinaiki oleh utusan yang
akan berangkat terlebih dahulu ke kota Makkah. Ia pun menulis
sepucuk surat memberikan kepada majikannya bahawa perniagaan
kafilah yang disertai Muhammad SAW mendapat hasil laba yang
sangat memuaskan, dan menceritakan pula tentang pengalaman-pengalaman
aneh yang berkaitan dengan diri Muhammad SAW.
Tatkala Muhammad
SAW menuntun untanya dan sudah hilang dari pandangan mata, maka
Allah SWT menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril a.s .:
“Hai Jibril, singkatkanlah bumi di bawah kaki-kaki unta Muhammad
SAW! Hai Israfil, jagalah ia dari sebelah kanannya! Hai Mikail,
jagalah ia dari sebelah kirinya! Hai awan, teduhilah ia di atas
kepalanya!”
Kemudian Allah SWT
mendatangkan ngantuk kepadanya sehingga baginda SAW tertidur
nyenyak dan tiba-tiba telah sampai di Makkah dalam tempoh yang
cukup singkat. Saat terbangun, ia hairan mendapati dirinya telah
berada di pintu masuk kota kelahirannya. Baginda SAW sedar bahawa
ini adalah mukjizat Tuhan kepadanya, lalu bersyukur memuji Zat
Yang Maha Kuasa.
Sementara baginda
SAW mengarahkan untanya menuju ke tempat Khadijah r.a, secara
kebetulan Khadijah r.a pada saat itu sedang duduk sambil kepalanya
keluar jendela memandangi jalan ke arah Syam, tiba-tiba dilihatnya
Muhammad SAW di atas untanya dari arah bertentangan di bawah
naungan awan yang bergerak perlahan-lahan di atas kepalanya.
Khadijah r.a menajamkan matanya, bimbang kalau-kalau tertipu
oleh penglihatannya, sebab yang dilihatnya hanyalah Muhammad
SAW sendirian tanpa rombongan, padahal telah dipesannya kepada
Maisarah agar menjaganya sebaik-baik. Ia bertanya kepada wanita-wanita
sahayanya yang duduk di sekitarnya: “Apakah kamu mengenali siapa
pengendara yang datang itu?” sambil tangannya menunjuk ke arah
jalan.
Seorang di antara mereka menjawab:
“Seolah-olah Muhammad Al-Amiin, ya sayyidati!”
Kegembiraan Khadijah r.a terlukis dalam
ucapannya: “Kalau benar Muhammad Al-Amiin, maka kamu akan kumerdekakan
bilamana ia telah sampai!”
Tak lama kemudian
muncullah Muhammad SAW di depan pintu rumah wanita hartawan
itu, yang langsung menyambutnya dengan tutur sapa tulus ikhlas:
“Kuberikan anda unta pilihan, tunggangan khusus dengan apa yang
ada di atasnya.”
Muhammad SAW mengucapkan
terima kasih, kemudian menyerahkan surat dari ketua rombongan.
Ia minta izin pulang ke rumah bapa saudaranya setelah melaporkan
tentang perniagaan mereka ke luar negeri.
^ Kembali ke atas
^
Khadijah
Menawarkan Diri
Muhammad Al-Amiin
muncul di rumah Khadijah. Wanita usahawan itu berkata: “Hai Al-Amiin,
katakanlah apa keperluanmu!” Suaranya ramah, bernada dermawan.
Dengan sikap merendahkan
diri tapi tahu diharga dirinya, Muhammad SAW berbicara lurus,
terus terang, meskipun agak malu-malu tetapi pasti. Katanya:
“Kami sekeluarga memerlukan nafkah dari bahagianku dalam rombongan
niaga. Keluarga kami amat memerlukannya untuk mencarikan jodoh
bagi anak saudaranya yang yatim piatu”. Kepalanya tertunduk,
dan wanita hartawan itu memandangnya dengan penuh ketakjuban.
“Oh, itukah....!
Muhammad, upah itu sedikit, tidak menghasilkan apa-apa bagimu
untuk menutupi keperluan yang engkau maksudkan,” kata Khadijah
r.a. “Tetapi biarlah, nanti saya sendiri yang mencarikan calon
isteri bagimu”. Ia berhenti sejenak, meneliti. Kemudian meneruskan
dengan tekanan suara memikat dan mengandungi isyarat: “Aku hendak
mengahwinkanmu dengan seorang wanita bangsawan Arab. Orangnya
baik, kaya, diingini oleh banyak raja-raja dan pembesar-pembesar
Arab dan asing, tetapi ditolaknya. Kepadanyalah aku hendak membawamu”.
Khadijah tertunduk lalu melanjutkan: “Tetapi sayang, ada aibnya...!
Dia dahulu sudah pernah bersuami. Kalau engkau mahu, maka dia
akan menjadi pengkhidmat dan pengabdi kepadamu”.
Pemuda Al-Amiin
tidak menjawab. Mereka sama-sama terdiam, sama-sama terpaku
dalam pemikirannya masing-masing. Yang satu memerlukan jawapan,
yang lainnya tak tahu apa mahu dijawab.
Khadijah r.a tak
dapat mengetahui apa yang terpendam di hati pemuda Bani Hasyim
itu, pemuda yang terkenal dengan gelaran Al-Amiin (jujur). Pemuda
Al-Amiin itupun mungkin belum mengetahui siapa kira-kira calon
yang dimaksud oleh Khadijah r.a.
Ia minta izin untuk
pulang tanpa sesuatu keputusan yang ditinggalkan. Ia menceritakan
kepada bapa saudaranya: “Aku merasa amat tersinggung oleh kata-kata
Khadijah r.a. Seolah-olah dia memandang enteng dengan ucapannya
ini dan itu “anu dan anu....” Ia mengulangi apa yang dikatakan
oleh perempuan kaya itu.
‘Atiqah juga marah
mendengar berita itu. Dia seorang perempuan yang cepat naik
darah kalau pihak yang dinilainya menyinggung kehormatan Bani
Hasyim. Katanya: “Muhammad, kalau benar demikian, aku akan mendatanginya”.
‘Atiqah tiba di rumah Khadijah r.a dan terus menegurnya: “Khadijah,
kalau kamu mempunyai harta kekayaan dan kebangsawan, maka kamipun
memiliki kemuliaan dan kebangsawanan. Kenapa kamu menghina puteraku,
anak saudaraku Muhammad?”
Khadijah r.a terkejut
mendengarnya. Tak disangkanya bahawa kata-katanya itu akan dianggap
penghinaan. Ia berdiri menyabarkan dan mendamaikan hati ‘Atiqah:
“Siapakah yang sanggup menghina keturunanmu dan sukumu? Terus
terang saja kukatakan kepadamu bahawa dirikulah yang kumaksudkan
kepada Muhammad SAW. Kalau ia mahu, aku bersedia menikah dengannya;
kalau tidak, aku pun berjanji tak akan bersuami hingga mati”.
Pernyataan jujur
ikhlas dari Khadijah r.a membuat ‘Atiqah terdiam. Kedua wanita
bangsawan itu sama-sama cerah. Percakapan menjadi serius.
“Tapi Khadijah, apakah suara hatimu
sudah dimaklumi oleh anak bapa saudaramu Waraqah bin Naufah?”
tanya ‘Atiqah sambil meneruskan: “Kalau belum cubalah meminta
persetujuannya.”
“Ia belum tahu, tapi katakanlah kepada
saudaramu, Abu Thalib, supaya mengadakan perjamuan sederhana.
Jamuan minum, dimana sepupuku diundang, dan disitulah diadakan
majlis lamaran”, Khadijah r.a berkata seolah-olah hendak mengatur
siasat. Ia yakin Waraqah takkan keberatan kerana dialah yang
menafsirkan mimpinya akan bersuamikan seorang Nabi akhir zaman.
‘Atiqah pulang dengan
perasaan tenang, puas. Pucuk dicinta ulam tiba. Ia segera menyampaikan
berita gembira itu kepada saudara-saudaranya: Abu Thalib, Abu
Lahab, Abbas dan Hamzah. Semua riang menyambut hasil pertemuan
‘Atiqah dengan Khadijah r.a.
“Itu bagus sekali”, kata Abu Thalib,
“tapi kita harus bermesyuarat dengan Muhammad SAW lebih dahulu.”
^ Kembali ke atas
^
Janda
Cantik Bermata Jeli
Sebelum dijemput bermesyuarat
oleh bapa saudaranya, maka terlebih dahulu ia pun telah menerima
seorang perempuan bernama Nafisah, utusan Khadijah r.a yang datang
untuk menjalin hubungan kekeluargaan. Utusan peribadi Khadijah
itu bertanya: “Muhammad, kenapa engkau masih belum berfikir mencari
isteri?”
Muhammad SAW menjawab: “Hasrat ada,
tetapi kesanggupan belum ada.”
“Bagaimana kalau seandainya ada yang
hendak menyediakan nafkah? Lalu engkau mendapat seorang isteri
yang baik, cantik, berharta, berbangsa dan sekufu pula denganmu,
apakah engkau akan menolaknya?”
“Siapakah dia?” tanya Muhammad SAW.
“Khadijah!” Nafisah berterus terang.
“Asalkan engkau bersedia, sempurnalah segalanya. Urusannya serahkan
kepadaku!”
Usaha Nafisah berjaya.
Ia meninggalkan putera utama Bani Hasyim dan langsung menemui
Khadijah r.a, menceritakan kesediaan Muhammad SAW. Setelah Muhammad
SAW menerima pemberitahuan dari saudara-saudaranya tentang hasil
pertemuan dengan Khadijah r.a, maka baginda tidak keberatan
mendapatkan seorang janda yang usianya lima belas tahun lebih
tua daripadanya.
Betapa tidak setuju,
apakah yang kurang pada Khadijah? Ia wanita bangsawan, cantik,
hartawan, budiman. Dan utamanya pula kerana hatinya telah dibukakan
Tuhan untuk mencintainya, telah ditakdirkan akan dijodohkan
dengannya.
Kalau dikatakan janda,
biarlah! Ia memang janda umur empat puluh, tapi janda yang masih
segar, bertubuh ramping, berkulit putih dan bermata jeli. Maka
diadakanlah majlis yang penuh keindahan itu. Hadir sama Waraqah
bin Naufal dan beberapa orang-orang terkemuka Arab yang sengaja
dijemput. Abu Thalib dengan rasmi meminang Khadijah r.a kepada
saudara sepupunya. Orang tua bijaksana itu setuju. Tetapi dia
meminta tempoh untuk berunding dengan wanita berkenaan.
^ Kembali ke atas
^
Pernikahan
Muhammad dengan Khadijah
Khadijah r.a diminta
pendapat. Dengan jujur ia berkata kepada Waraqah: “Hai anak bapa
saudaraku, betapa aku akan menolak Muhammad SAW padahal ia sangat
amanah, memiliki keperibadian yang luhur, kemuliaan dan keturunan
bangsawan, lagi pula pertalian kekeluargaannya luas”.
“Benar katamu, Khadijah, hanya saja
ia tak berharta”, ujar Waraqah.
“Kalau ia tak berharta, maka aku cukup
berharta. Aku tak memerlukan harta lelaki. Kuwakilkan kepadamu
untuk menikahkan aku dengannya,” demikian Khadijah r.a menyerahkan
urusannya.
Waraqah bin Naufal
kembali mendatangi Abu Thalib memberitakan bahawa dari pihak
keluarga perempuan sudah bulat muafakat dan merestui bakal pernikahan
kedua mempelai. Lamaran diterima dengan persetujuan mas kahwin
lima ratus dirham. Abu Bakar r.a, yang kelak mendapat sebutan
“Ash-Shiddiq”, sahabat akrab Muhammad SAW. sejak dari masa kecil,
memberikan sumbangan pakaian indah buatan Mesir, yang melambangkan
kebangsawaan Quraisy, sebagaimana layaknya dipakai dalam upacara
adat istiadat pernikahan agung, apalagi kerana yang akan dinikahi
adalah seorang hartawan dan bangsawan pula.
Peristiwa pernikahan
Muhammad SAW dengan Khadijah r.a berlangsung pada hari Jumaat,
dua bulan sesudah kembali dari perjalanan niaga ke negeri Syam.
Bertindak sebagai wali Khadijah r.a ialah bapa saudaranya bernama
‘Amir bin Asad, sedang Waraqah bin Naufal membacakan khutbah
pernikahan dengan fasih, disambut oleh Abu Thalib sebagai berikut:
“Alhamdu Lillaah, segala puji bagi Allah Yang menciptakan kita
keturunan (Nabi) Ibrahim, benih (Nabi) Ismail, anak cucu Ma’ad,
dari keturunan Mudhar.
“Begitupun kita memuji Allah SWT Yang
menjadikan kita penjaga rumah-Nya, pengawal Tanah Haram-Nya
yang aman sejahtera, dan menjadikan kita hakim terhadap sesama
manusia.
“Sesungguhnya anak saudaraku ini, Muhammad
bin Abdullah, kalau akan ditimbang dengan laki-laki manapun
juga, nescayalah ia lebih berat dari mereka sekalian. Walaupun
ia tidak berharta, namun harta benda itu adalah bayang-bayang
yang akan hilang dan sesuatu yang akan cepat perginya. Akan
tetapi Muhammad SAW, tuan-tuan sudah sama mengenalinya siapa
dia. Dia telah melamar Khadijah binti Khuwailid. Dia akan memberikan
mas kahwin lima ratus dirham yang akan segera dibayarnya dengan
tunai dari hartaku sendiri dan saudara-saudaraku.
“Demi Allah SWT, sesungguhnya aku mempunyai
firasat tentang dirinya bahawa sesudah ini, yakni di saat-saat
mendatang, ia akan memperolehi berita gembira (albasyaarah)
serta pengalaman-pengalaman hebat.
“Semoga Allah memberkati pernikahan
ini”.
Penyambutan untuk
memeriahkan majlis pernikahan itu sangat meriah di rumah mempelai
perempuan. Puluhan anak-anak lelaki dan perempuan berdiri berbaris
di pintu sebelah kanan di sepanjang lorong yang dilalui oleh
mempelai lelaki, mengucapkan salam marhaban kepada mempelai
dan menghamburkan harum-haruman kepada para tamu dan pengiring.
Selesai upacara
dan tamu-tamu bubar, Khadijah r.a membuka isi hati kepada suaminya
dengan ucapan: “Hai Al-Amiin, bergembiralah! Semua harta kekayaan
ini baik yang bergerak mahupun yang tidak bergerak, yang terdiri
dari bangunan-bangunan, rumah-rumah, barang-barang dagangan,
hamba-hamba sahaya adalah menjadi milikmu. Engkau bebas membelanjakannya
ke jalan mana yang engkau redhai !”
Itulah sebagaimana Firman Allah SWT
yang bermaksud:
“Dan Dia (Allah) mendapatimu sebagai
seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kekayaan”.
(Adh-Dhuhaa:
8)
Alangkah bahagianya
kedua pasangan mulia itu, hidup sebagai suami isteri yang sekufu,
sehaluan, serasi dan secita-cita.
^ Kembali ke atas
^
Dijamin Masuk Syurga
Khadijah r.a mendampingi
Muhammad SAW. selama dua puluh enam tahun, yakni enam belas tahun
sebelum dilantik menjadi Nabi, dan sepuluh tahun sesudah masa
kenabian. Ia isteri tunggal, tak ada duanya, bercerai kerana kematian.
Tahun wafatnya disebut “Tahun Kesedihan” (‘Aamul Huzni).
Khadijah r.a adalah
orang pertama sekali beriman kepada Rasulullah SAW. ketika wahyu
pertama turun dari langit. Tidak ada yang mendahuluinya. Ketika
Rasulullah SAW menceritakan pengalamannya pada peristiwa turunnya
wahyu pertama yang dihantar Jibril ‘alaihissalam, dimana beliau
merasa ketakutan dan menggigil menyaksikan bentuk Jibril a.s
dalam rupa aslinya, maka Khadijahlah yang pertama dapat mengerti
makna peristiwa itu dan menghiburnya, sambil berkata: “Bergembiralah
dan tenteramkanlah hatimu. Demi Allah SWT yang menguasai diri
Khadijah r.a, engkau ini benar-benar akan menjadi Nabi Pesuruh
Allah bagi umat kita.
“Allah SWT tidak akan mengecewakanmu.
Bukankah engkau orang yang sentiasa berusaha untuk menghubungkan
tali persaudaraan? Bukankah engkau selalu berkata benar? Bukankah
engkau sentiasa menyantumi anak yatim piatu, menghormati tetamu
dan menghulurkan bantuan kepada setiap orang yang ditimpa kemalangan
dan musibah?”
Khadijah r.a membela
suaminya dengan harta dan dirinya di dalam menegakkan kalimah
tauhid, serta selalu menghiburnya dalam duka derita yang dialaminya
dari gangguan kaumnya yang masih engkar terhadap kebenaran agama
Islam, menangkis segala serangan caci maki yang dilancarkan
oleh bangsawan-bangsawan dan hartawan Quraisy.
Layaklah kalau Khadijah
r.a mendapat keistimewaan khusus yang tidak dimiliki oleh wanita-wanita
lain iaitu, menerima ucapan salam dari Allah SWT. yang dihantar
oleh malaikat Jibril a.s kepada Rasulullah SAW. disertai salam
dari Jibril a.s peribadi untuk disampaikan kepada Khadijah
radiallahu ‘anha serta dihiburnya dengan syurga.
Kesetiaan Khadijah
r.a diimbangi oleh kecintaan Nabi SAW kepadanya tanpa terbatas.
Nabi SAW pernah berkata:
“Wanita yang utama dan yang pertama akan masuk Syurga ialah Khadijah
binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad SAW., Maryam binti ‘Imran
dan Asyiah binti Muzaahim, isteri Fir’aun”.
^ Kembali ke atas
^
Wanita
Terbaik
Sanjungan lain yang
banyak kali diucapkan Rasulullah SAW. terhadap peribadi Khadijah
r.a ialah: “Dia adalah seorang wanita yang terbaik, kerana dia
telah percaya dan beriman kepadaku di saat orang lain masih dalam
bimbang keengkaran; dia telah membenarkan aku di saat orang lain
mendustakanku; dia telah mengorbankan semua harta bendanya ketika
orang lain mencegah kemurahannya terhadapku; dan dia telah melahirkan
bagiku beberapa putera-puteri yang tidak ku dapatkan dari isteri-isteri
yang lain”.
Putera-puteri Rasulullah
SAW. dari Khadijah r.a sebanyak tujuh orang: tiga lelaki (kesemuanya
meninggal di waktu kecil) dan empat wanita. Salah satu dari
puterinya bernama Fatimah, dinikahkan dengan Ali bin Abu Thalib,
sama-sama sesuku Bani Hasyim. Keturunan dari kedua pasangan
inilah yang dibangsakan sebagai keturunan langsung dari Rasulullah
SAW.
^ Kembali ke atas
^