Kedatangan
Imam Mahdi
..
da
disebutkan dalam Atsar, kata-kata sahabat yang menerangkan tanda-tanda
sudah dekatnya kemunculan Imam Mahdi. Menurut riwayat apabila
sudah dekat kedatangan Imam Mahdi akan banyak terjadi peperangan,
banyak bencana dan banyak bala.
Pada masa itu nanti
semakin banyak terjadi pembunuhan dan peperangan. Orang mahu
berbunuh-bunuhan kerana masalah remeh-temeh. Antara satu kumpulan
de-ngan kumpulan lain, begitu juga antara satu negara dengan
negara lain berperang kerana masalah kecil. Bencana semakin
banyak berlaku, seperti gempa bumi, letusan gunung berapi, angin
puting beliung, banjir dan sebagainya. Begitu juga penyakit,
semakin banyak jenis penyakit dan semakin ramai manusia yang
berpenyakit.
Menjelang datangnya
Imam Mahdi nanti akan muncul api yang besar dari arah Masyriq
(tempat terbitnya matahari) dan menerangi seluruh ufuk selama
tiga malam. Pada masa itu juga nanti lengkaplah jumlah orang-orang
yang mengaku dirinya sebagai nabi berjumlah enam puluh orang.
Masa itu akan tenggelam kampung-kampung di negeri Syam. Akan
datang angin yang hitam yang me-nyebabkan manusia ramai yang
mati. Sungai Furat di Iraq akan melimpah (banjir) yang menyebabkan
kota Kufah tenggelam. Akan terdengar suara seruan dari langit.
Suara itu dapat didengar oleh semua manusia yang ada di dunia.
Dan yang paling menghairankan lagi, suara itu dapat difahami
oleh semua orang.
Orang yang hanya tahu
atau faham bahasa Inggeris faham mendengar seruan dari langit
itu, begitu juga pengguna bahasa Cina, bahasa India, bahasa
Melayu, bahasa Arab dan sebagainya. Mungkin juga panggilan itu
dalam bahasa Arab tetapi semua orang mendengar dalam bahasanya
sendiri.
Terdengar suara pada
tengah malam bulan Ramadan yang menyebabkan semua orang yang
tidur terbangun atau terperanjat. Banyak pembunuhan dan banyak
peperangan berlaku sehingga darah mengalir di jalan-jalan raya.
Orang semkain berani berbuat jahat tidak kira tempat dan waktu.
Pada masa itu nanti
yang diangkat menjadi pemimpin pun terdiri dari orang-orang
jahat. Pemimpinnya jahat dan orang yang dipimpin pun sama-sama
jahat. Dalam hadis dikatakan ramai manusia pada masa itu nanti
yang beriman pada waktu petang tetapi esok paginya sudah menjadi
kafir. Namun demikian ramai ulama yang mengertikan hadis itu
dengan kafir nikmat.
Bukan bererti petang
dia masih Islam esok harinya sudah Nasrani atau Yahudi misalnya.
Maksud hadis itu menurut ulama menunjukkan banyaknya orang yang
kafir nikmat. Apa-apa nikmat dan pemberian Allah tidak disyukuri
dan tidak digunakan kepada yang diredai Allah SWT.
Menjelang turunnya
Imam Mahdi dikatakan pasukan tentera dari Turki akan datang
ke jazirah Arab. Mereka datang untuk menakluki tanah-tanah jazirah
Arab. Mereka bunuh pemimpin-pemimpinnya dan mereka kuasai daerahnya.
Dalam keadaan dunia yang buruk dan kacau
itu tiba-tiba muncullah Imam Mahdi. Beliau datang untuk meneruskan
atau menyambung perjuangan datuknya (Muhammad s.a.w) untuk mengatasi
kekalutan dan kekacauan yang dihadapi umat. Semua makhluk yang
ada di langit dan yang ada di bumi merasa gembira dengan kedatangan
Imam Mahdi itu. Bukan hanya manusia yang gembira, tetapi juga
binatang buas, burung-burung dan makhluk lainnya.
Imam Mahdi itu adalah
seorang lelaki yang soleh dari keluarga Rasulullah s.a.w yang
ada ketika itu (pada masa munculnya) nanti. Dia diangkat orang
menjadi pemimpin ketika manusia di seluruh dunia nanti sudah
begitu buruk keadaannya.
Mereka mengangkat
Imam Mahdi menjadi pemimpin ketika itu nanti setelah melihatnya
berilmu, berakhlak dan mempunyai banyak kelebihan. Manusia yang
ada pada zaman itu nanti mengharap semoga dia dapat mengembalikan
dunia kepada kebaikan. Dengan perasaan yang cukup berat, dia
(Imam Mahdi) menerimanya. Dia sendiri tidak tahu yang dirinyalah
Imam Mahdi yang ditakdirkan Allah SWT untuk diutus ke dunia.
Begitu juga manusia sedunia yang telah mengangkatnya menjadi
pemimpin dunia, tidak tahu bahawa orang yang mereka angkat itu
adalah Imam Mahdi.
Kerana tidak tahu
yang dirinya Imam Mahdi dan tidak berapa suka menjadi pemimpin,
sudah tentu dia pun tidak ada berkempen mengajak orang untuk
mengangkatnya. Setelah dia memimpin dunia dengan baik barulah
orang tahu bahawa itu adalah Imam Mahdi. Dia tunjukkan perilaku
yang baik, dia ajak manusia mengerjakan yang makruf dan meninggalkan
yang mungkar, kemudian orang pun mengikuti arahannya.
Mengapa manusia yang
sudah begitu lama bergelimang dengan dosa mahu diajak kepada
kebaikan? Ini tentunya samalah dengan zaman jahiliah dahulu,
yang mana keadaan masyarakat sudah begitu buruk, tiba-tiba datang
seorang utusan Allah untuk membaiki keadaan dunia, orang pun
terus mengikutnya.
Manusia mahu diajak
kepada kebaikan tentunya setelah melihat orang yang mengajak
itu mempunyai banyak kelebihan, dan yang paling penting orang
yang mengajak itu berjuang dengan ikhlas dan sesuai kata-kata
dengan perbuatannya. Jadi nanti manusia seluruh dunia mengikut
ajarannya kemudian dia pun mengatur dunia dengan baik.
Keadilan dapat ditegakkan
seperti zaman Rasulullah s.a.w. dahulu. Kerana keadaan masyarakat
sudah baik dan sudah beriman, malapetaka dan musibah berkurangan.
Bahkan rahmat Allah pula yang datang dan rezeki melimpah ruah.
Setelah dunia aman dan makmur serta melihat pemimpinnya tidak
terpedaya oleh kesenangan dunia, tahulah mereka bahawa yang memimpin
mereka itu adalah Imam Mahdi.
^ Kembali ke atas
^
Kedatangan Dajjal
Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah
binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah
s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat
bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik
ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata:
“Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.”
Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu
jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang
lebih tahu.”
Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi Allah
aku me-nyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti
dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada
kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian
dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita
kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan
itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.
Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi
ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan
ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas.
Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa
berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar
di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang
tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang
sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan
duburnya.
Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk
apa engkau ini?” Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.”
Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab:
“Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai
lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan
kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang
itu.
Di sana mereka menjumpai seorang lelaki
yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat
orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan
dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya.
Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu
menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang
aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”
Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa
Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak
besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada
di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau
yang tuan tempati ini.
“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal
bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami
tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya
dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke
tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia
pun ingin berjumpa dengan kamu.”
Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini.
Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu
siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat besar itu belum
menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan
kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama tempat
di negeri Syam. Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan maksudkan?”
Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?”
Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang
besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”
Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan
kepadaku tentang sungai Tabarah.” Mereka menjawab: “Tentang
apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku
airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.”
Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”
Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata:
“Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa
yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah
ke Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi
oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi
oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu
apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa
Rasulullah s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai
pengikutnya.
Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah,
padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.” Kata orang besar
itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah
Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku
pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam
sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang
aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal
oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”
Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w
menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah
negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara
sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?”
Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w
berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan
saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku
sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah
yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan
di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah
timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk
ke arah timur.
Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi bahawa
Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa
Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan.
^ Kembali ke atas
^
Khutbah Rasulullah SAW tentang
Dajjal
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata:
“Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya
itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda:
“Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling
hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi
yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal.
Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang
terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan)
kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah
kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau
dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya.
Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam
dan Irak. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali.
Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan
saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan
oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.
“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi.
Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti
dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar
tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat
matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan
baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis KAFIR,
yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau
buta huruf.
“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka.
Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka,
yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya,
hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah
dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan
sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi
sejuk.
“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab:
“Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah
lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai
Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan
pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama,
sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata
kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah
Tuhanmu.”
“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia
bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang
ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini,
sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang
mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya:
“Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang
beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah
musuh Allah.”
Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang
yang paling tinggi darjatnya di syurga.”
Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia
suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun.
Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba
tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal
itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak
me-ngakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu
tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.
“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya
dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan
yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman
mereka pun menjadi.
“Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi
Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak
dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia
hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian
ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota
Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang
munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal
di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang
yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari
pembersihan kota Madinah.
Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah
atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat
kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka
disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi
dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu
di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka
pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal
menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi
supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan
air dan tanam-tanaman mereka subur.”
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah
s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu
daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan
orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai
dan orang amanah tidak dipercayai.”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah
s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada
waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal
tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal
(di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang
munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan
cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah.
Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu.
Itulah yang dikatakan hari pembersihan.
Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan
karat-karat besi.”
Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima
dari Aisyah r.a. mengatakan: “Pernah satu hari Rasulullah s.a.w
masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis
beliau bertanya: “Mengapa menangis?” Saya menjawab: “Ya Rasulullah,
engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya.”
Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya Dajjal datang pada waktu
aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya.
Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta
dan cacat.”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah
s.a.w bersabda: “Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang
kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada
empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun,
ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang
terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari
biasa.”
Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang
hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima
waktu juga?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukurlah berapa jarak
solat yang lima waktu itu.”
Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan
sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah
kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil ditahannya matahari
itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu
bulan.
Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan
matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu
ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab:
“Ya, kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan
menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.
Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w
bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan
hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Saya sendiri
pun tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau
empat puluh tahun. Kemudian Allah SWT mengutus Isa bin Maryam
yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh
Dajjal itu.”
Dan menurut ceritanya setelah munculnya Dajjal
hampir semua penduduk dunia menjadi kafir, yakni beriman kepada
Dajjal. Menurut ceritanya orang yang tetap dalam iman hanya tinggal
12,000 lelaki dan 7,000 kaum wanita. Wallahu A'lam.
^ Kembali ke atas
^
Kedatangan Nabi Isa
Diriwayatkan oleh Muslim dari Al-Nawas bin
Sam’an bahawa Rasulullah bersabda tentang Nabi Isa: “Beliau akan
turun berdekatan dengan menara putih di timur Damsyik, dengan
memakai pakaian kuning. Dua telapak tangannya terletak di atas
sayap dua malaikat. Apabila dia menundukkan kepalanya menitislah
air. Apabila dia mengangkat kepalanya lagi, turunlah daripadanya
seperti untaian mutiara.”
Berdasarkan hadis ini bererti Nabi Isa akan
turun di Syam, bahkan juga di Damsyik, iaitu di sisi menara
sebelah timur. Beliau akan turun pada waktu fajar. Ibnu Katsir
ada berkata: “Sesungguhnya tidak ada di Damsyik menara yang
dikenal di sebelah timurnya kecuali yang berada disamping masjid
jamik Amawi, iaitu di sebelah timur Damsyik.”
Menara tersebut telah diperbaiki pada zaman Ibnu Katsir, iaitu
pada tahun 741 hijrah. Pembiayaannya diambil dari harta orang-orang
Nasrani yang sebelumnya telah membakar menara masjid tersebut.
Besar kemungkinan nanti Nabi Isa akan turun di tempat itu.
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, dari Abu Hurairah,
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Para nabi semuanya bersaudara
disebabkan ayah mereka satu dan hanya ibu mereka yang berlainan.
Sedangkan agama mereka adalah satu. Dan akulah orang yang paling
dekat dengan Isa bin Maryam kerana tidak ada Nabi di antara
kami. Sesungguhnya dia akan turun. Apabila dia turun nanti,
untuk me-ngenalinya orangnya sedang dan kulitnya putih kemerah-merahan.
Dia memakai pakaian yang kuning. Dari kepalanya seperti menitis
air walaupun rambut dan kepalanya tidak basah. Dia akan mengajak
orang kepada Islam. Pada zamannya juga nanti dia akan menghancurkan
segala agama kecuali Islam. Allah SWT akan membinasakan Dajal
pada zamannya, bahkan di tangannya. Pada zamannya nanti dunia
akan aman sehingga harimau dan unta berkawan dengan baik. Begitu
juga harimau dengan lembu, serigala dengan kambing. Kanak-kanak
akan bermain dengan ular dan ular itu tidak menggigit mereka.
Keadaan seperti itu berjalan selama empat puluh tahun. Kemudian
Nabi Isa a.s. wafat dan disembahyangkan oleh kaum muslimin.”
Muhammad s.a.w adalah nabi penutup dan tidak
akan ada lagi nabi sesudahnya. Turunnya Nabi Isa pada akhir
zaman akan menguatkan lagi kebenaran agama Islam. Islam bererti
menyerahkan segala urusan bagi Allah yang Maha Esa dan tidak
ada sekutu bagi-Nya, beriman dengan semua Rasul, berserah kepada
Allah dan taat dengan sebenar-benar taat. Itu semua sebenarnya
sudah dianjurkan oleh agama-agama langit semenjak zaman Nabi
Ibrahim, selaku bapa nabi-nabi, sampai kepada Muhammad s.a.w
selaku nabi terakhir.
Isa a.s. adalah nabi dan rasul yang mulia,
datang dari sisi Allah. Beliau dahulu sudah ada membawa syariat
kepada umatnya tiba-tiba beliau diangkat ke langit. Nanti di
akhir zaman beliau akan turun lagi dengan izin Allah tetapi
bukan membawa agama atau syariat baru. Beliau datang nanti untuk
menguatkan agama Islam,
Ummu Syuraik bertanya kepaad Rasulullah s.a.w tentang hari Dajal:
“Ya Rasulullah, ke mana orang-orang Arab ketika itu?” Rasulullah
s.a.w menjawab: “Jumlah mereka pada waktu itu terlalu sedikit.
Mereka lari ke Baitul Maqdis menjumpai Imam mereka, seorang
lelaki soleh (Imam Mahdi menurut riwayat itu).
“Ketika Imam mereka sudah berdiri di depan untuk mengimami solat
Subuh, tiba-tiba datang Nabi Isa. Imam mereka itu mundur untuk
memberi peluang kepada Nabi Isa untuk mengimami solat Subuh
itu tetapi Isa a.s sambil memegang bahu Imam itu berkata: “Teruskanlah,
sesungguhnya iqamat dibacakan untuk engkau.” Maka sembahyanglah
mereka semua di belakang Imam tadi.
“Selesai solat, Isa a.s berkata kepada semua
jemaah: “Bukakan pintu itu.” Mereka membuka pintu masjid itu,
tiba-tiba Dajal sudah berdiri di situ dan di belakangnya ada
70,000 Yahudi lengkap membawa senjata.
“Melihat Nabi Isa ada di dalam masjid itu, Dajal tiba-tiba saja
layu atau cair seperti cairnya garam disirami air. Dajal itu
lari terbirit-birit kerana ketakutan. Nabi Isa bersama kaum
Muslimin terus saja mengejarnya kemudian menjumpainya di Babu
Luddi. Dan di sanalah Nabi Isa membunuh Dajal itu.
“Orang-orang Yahudi pun akan dikalahkan
dan dibinasakan Allah pada waktu itu. Mereka cuba lari dan bersembunyi
tetapi semua benda tempat mereka bersembunyi akan pandai bercakap
atau bercerita dengan izin Allah. Benda-benda dimaksud termasuklah
dinding, batu, pokok kayu dan sebagainya. Kalau ada orang Yahudi
yang bersembunyi di balik belakang mereka, benda-benda itu akan
memberitahukannya. Termasuk juga satu pokok berduri (disebut
pokok Yahudi), jika mereka bersembunyi di bawahnya, pokok itu
akan berkata: “Wahai hamba Allah yang beriman, di sini ada orang
Yahudi, bunuhlah dia.”
Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Dajal akan
berada di dunia selama empat puluh tahun. Satu tahun lamanya
seperti setengah tahun, terkadang seperti satu bulan. Satu bulan
seperti satu minggu. Dan pada hari yang terakhir terasa sekejap
sahaja. Pagi-pagi kamu berada di pintu masuk kota Madinah (Madinah
pada zaman Rasul), sampai kamu di pintu yang lain hari pun masuk
waktu malam.”
Mendengar yang demikian ada yang bertanya:
“Bagaimana kami mengerjakan solat dalam waktu yang begitu singkat
ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukur sajalah jaraknya
dan bandingkan dengan waktu yang panjang sekarang ini.”
Rasulullah s.a.w berkata: “Isa bin Maryam
akan memimpin umatku dengan bijaksana dan adil. Beliau akan
menghancurkan salib-salib yang ada di dunia ini dan akan membunuh
semua babi. Beliau juga akan menghapuskan cukai. Manusia pada
waktu itu tidak perlu membayar cukai, bahkan zakat pun tidak
dibayar lagi kerana tidak ada orang yang berhak menerimanya.
“Pada hari itu semua makhluk dalam keadaan aman dan tenteram.
Tidak ada saling cemburu, dengki, saling memarahi dan mengganggu
antara sesama makhluk Allah. Sehingga ada anak perempuan yang
bermain-main dengan harimau dan harimau itu tidak menerkamnya,
begitu juga kambing berkawan dengan serigala. Seluruh dunia
ketika itu nanti diliputi oleh kedamaian, keamanan dan ketenteraman.
Bahkan ketika itu nanti tidak ada pertelingkahan keyakinan dan
pendapat. Tidak ada yang disembah selain Allah.
“Orang Arab ketika itu nanti akan merampas kembali semua miliknya.
Bumi mengeluarkan cahayanya, menumbuhkan tanam-tanamannya seperti
zaman Nabi Adam. Sehingga manusia akan memetik buah anggur dan
delima sehingga mereka kenyang memakannya.”
Ibnu Katsir berkata: “Abdul Rahman Al-Muharibiy
berkata: “Sebaiknya hadis ini dijadikan untuk mendidik saja.
Hadis ini tidak sahih tetapi banyak hadis lain yang hampir sama
maksudnya dengannya. Di antaranya ada diriwayatkan oleh Muslim
dari Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
“Kamu akan memerangi orang-orang Yahudi. Kamu akan memerangi
mereka habis-habisan sehingga batu tempat mereka bersembunyi
pun akan berkata: “Wahai orang muslim, di sini ada orang Yahudi,
bunuhlah dia.”
Menurut riwayat, bumi nanti akan mengeluarkan
segala khazanah kekayaannya, iaitu pada zaman Nabi Isa. Pada
waktu itu dunia dalam keadaan makmur dan harta melimpah ruah,
sehingga tidak ada lagi orang yang berhak menerima zakat.
Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w
bersabda: “Sudah hampir masanya turun kepada kamu Ibnu Maryam
menjadi hakim yang adil, yang akan membunuh Dajal, membunuh
babi, menghancurkan salib dan menghapuskan cukai kerana harta
ketika itu melimpah ruah. Ketika itu nanti manusia hanya sujud
kepada Allah Tuhan sekalian alam.”
Diriwayatkan oleh Ahmad, dari Ibnu Mas’ud,
dari Rasulullah s.a.w: “Pada malam aku diisrak mikrajkan, aku
telah berjumpa dengan Ibrahim, Musa dan Isa a.s. Mereka membincangkan
hari kiamat dengan menanyakan permasalahannya kepada Ibrahim.
Tetapi beliau hanya menjawab: “Tidak ada pengetahuanku tentang
hari kiamat. Cuba kalian tanya kepada Musa.” Mereka tanya Nabi
Musa tetapi beliau juga hanya menjawab: “Aku tidak tahu tentang
kiamat. Cuba kalian tanyakan kepada Isa.”
“Mereka tanyakan kepada Isa kemudian beliau berkata: “Sebenarnya
tidak ada yang mengetahui masalah ini kecuali Allah. Menurut
yang dijanjikan Allah kepadaku, Dajal nanti muncul sedangkan
di tanganku ada dua sabit (alat pemotong). Sebaik saja Dajal
itu melihat aku, dia pun hancur seperti hancurnya timah yang
terkena panas. Allah akan membinasakannya, begitu juga orang-orang
kafir lainnya. Sehingga batu dan pokok kayu nanti akan ikut
berkata: “Wahai orang muslim, di bawahku ada orang kafir bersembunyi,
marilah dan bunuhlah dia.”
Kata Nabi Isa lagi: “Setelah Allah SWT membinasakan
mereka, orang-orang muslim pulang ke rumah mereka masing-masing.
Dalam keadaan demikian keluar pula Yakjuj dan Makjuj, yakni
bertebaran dari segenap penjuru.
Kerana banyaknya Yakjuj dan Makjuj itu, maka semua kampung dan
tempat tidak ada yang tidak dipijak oleh mereka. Mereka memakan
semua makanan yang ada dan meminum semua air. Setelah habis
makanan dan buah-buahan, daun-daunan pun habis mereka makan.
Air sungai dan tasik semua habis mereka minum.”
Tambah beliau lagi: “Orang-orang mukmin
ketika itu tidak tahan melihat ulah Yakjuj dan Makjuj itu sehingga
mereka memohon kepada Allah supaya dibinasakan binatang itu.
Berkat doa mereka itu, Yakjuj dan Makjuj itu mati semua. Sekarang
timbul masalah yang cukup besar lagi, yakni bangkai Yakjuj dan
Makjuj yang bergelimpangan di mana-mana. Di mana-mana seluruh
dunia terasa bau bangkai. Akhirnya Allah SWT menurunkan hujan
lebat sehingga bangkai-bangkai itu hanyut ke sungai dan kemudian
hanyut ke laut.”
Diriwayatkan oleh Ismail bin Ishak, Rasulullah
s.a.w bersabda: “Belum terjadi kiamat sebelum Isa bin Maryam
berjalan di udara untuk mengerjakan haji dan umrah, atau sehinga
Allah SWT menghimpunkan haji dan umrah dan menjadikan Ashabul
Kahfi sahabatnya. Nabi Isa dan kelompok Ashabul Kahfi akan berjalan
untuk mengerjakan haji kerana mereka selama ini belum mati dan
belum pernah mengerjakan haji.”
Sebelum ini sudah diterangkan riwayat dari
Abu Hurairah yang mengatakan bahawa Nabi Isa a.s akan memimpin
dunia nanti selama 40 tahun. Namun demikian disebutkan dalam
sahih Muslim, dari Abdullah bin Amr bahawa Nabi Isa akan berada
di dunia selama 7 tahun. Pendapat yang lebih kuat ialah yang
mengatakan 40 tahun. Menurut Ibnu Katsir kedua-dua pendapat
itu sama-sama benar. Maksudnya kata beliau Nabi Isa diangkat
ke langit pada usia 33 tahun, kemudian turun nanti ke dunia
selamaa 7 tahun lagi, yakni sebelum beliau diwafatkan Allah
SWT. Setelah tujuh tahun memimpin dunia, Nabi Isa wafat. Maka
umur Nabi Isa secara keseluruhannya 40 tahun. Wallahu A'lam.
Menurut Ibnu Katsir, sesuai dengan yang
termaktub dalam hadis sahih, Yakjuj dan Makjuj akan keluar pada
zaman Nabi Isa. Kemudian Allah SWT memusnahkannya berkat doa
Nabi Isa pada satu malam. Ada juga disebutkan dalam hadis bahawa
Nabi Isa akan mengerjakan haji setelah turun nanti. Muhammad
bin Ka’ab Al-Quraiziy berkata, Ashabul Kahfi akan menjadi sahabat
Nabi Isa nanti dan mereka akan sama-sama mengerjakan haji. Katanya
Nabi Isa akan wafat di Madinah. Beliau akan disembahyangkan
oleh kaum muslimin dan dimakamkan berdekatan dengan makam Rasulullah
s.a.w.
Menurut riwayat, Isa bin Maryam akan dimakamkan
bersebelahan dengan kuburan Nabi Muhammad s.a.w, kuburan Abu
Bakar dan Umar. Bererti kuburan Nabi Isa merupakan kuburan yang
keempat.
^ Kembali ke atas
^