...
l-Hasan
meriwayatkan, bahawa dahulu ada seorang pelacur yang sangat
cantik jelita. Dia tidak mahu melayani orang yang datang kecuali
jika dibayar sebanyak seratus dinar.
Secara kebetulan pada suatu
hari ada seorang ahli ibadah yang melihat wajah pelacur cantik
itu sehingga membuatkan ahli ibadah itu tertarik dan jatuh cinta
kepadanya. Kerana lelaki ahli ibadah itu mengetahui, bahawa
untuk dapat dilayani oleh pelacur cantik itu orang harus memberinya
wang sebanyak seratus dinar, maka lelaki ahli ibadah itu akhirnya
pergi mencari pekerjaan untuk mengumpulkan wang sebanyak itu.
Setelah wang sebanyak seratus dinar itu dapat dikumpulkan, dia
pun pergi menemui pelacur cantik itu serta berkata kepadanya:
“Kecantikanmu telah membuatkan aku benar-benar tergoda, oleh
kerana itu, aku telah berusaha sedaya upayaku untuk mendapatkan
wang seratus dinar sebagaimana yang engkau kehendaki itu.”
Wanita pelacur itu berkata: “Silakan masuk ke
rumahku.”
Dengan tidak berfikir panjang,
ahli ibadah itu langsung masuk ke rumahnya. Di dalam rumah pelacur
yang cantik jelita itu ada tersedia sebuah tempat tidur yang
dibuat dari emas. Pelacur itu lalu duduk di atas tempat tidurnya
dan berkata: “Marilah segera mendekatiku.”
Ketika lelaki ahli ibadah itu
bermaksud untuk memuaskan nafsunya, pada waktu itu juga tiba-tiba
ia ingat kepada Allah sehingga menggigil seluruh tubuhnya. Kepada
wanita pelacur tersebut lelaki ahli ibadah itu berkata: “Biarlah
aku pergi saja meninggalkan kamu dan wang yang jumlahnya seratus
dinar itu ambillah olehmu!”
Wanita pelacur itu kembali bertanya: “Apakah sebenarnya
yang terjadi atas dirimu, bukankah kamu telah tergila-gila kepadaku
sehingga kamu membanting tulang dan mengeluarkan peluh untuk
mendapatkan wang sebanyak seratus dinar? Pada saat ini kamu
telah mendapatkan apa yang kamu inginkan itu, akan tetapi mengapa
kamu akan meninggalkan aku?”
Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Sesungguhnya
aku takut kepada Allah SWT dan juga atas kedudukanku selama
ini di sisi-Nya. Berkemungkinan kerana aku akan pergi meninggalkan
kamu, kamu merasa benci kepadaku, ketahuilah olehmu, sesungguhnya
aku juga sangat membenci kamu kerana Allah.
Wanita pelacur itu berkata: “Jika yang kamu katakan
itu benar, aku tidak akan bersuami kepada orang lain melainkan
kamu.”
Lelaki ahli ibadah itu berkata: “Biarlah aku keluar!”
Wanita pelacur itu menjawab: “Tidak, kecuali bila
kamu mahu menjadi suamiku.”
“Tidak, biarlah aku keluar dari rumahmu ini!”
kata lelaki itu.
Wanita itu kembali bertanya: “Apakah yang membuatmu
merasa keberatan bila aku memohon kepadamu supaya engkau mahu
menikahi aku?”
Lelaki itu menjawab: “Untuk menjadi isteriku boleh
saja, akan tetapi aku harus pergi meninggalkan tempat ini kembali
ke tempat biasanya aku melakukan ibadah.”
Selepas berkata demikian, lelaki
ahli ibadah itu langsung pergi meninggalkan rumah pelacur tersebut.
Begitu juga dengan wanita pelacur itu ia ikut serta keluar dari
daerahnya untuk bertaubat kepada Allah dan menyesali segala
perbuatan yang telah dilakukannya. Wanita pelacur itu terus
berjalan, hingga akhirnya ia sampai ke tempat asal lelaki ahli
ibadah tersebut.
Kepada ahli ibadah tersebut seseorang datang menemuinya
dan berkata: “Sesungguhnya permaisurimu telah datang kepadamu.”
Ketika ahli ibadah melihat
kedatangan wanita itu, ia terkejut dan langsung terjatuh dalam
pelukan wanita pelacur yang cantik jelita itu. Pada waktu itu
juga lelaki ahli ibadah tersebut menghembuskan nafasnya yang
terakhir. Melihat keadaan demikian, kepada orang yang hadir
wanita pelacur yang telah bertaubat itu bertanya? “Apakah lelaki
idamanku yang telah meninggalkanku buat selama-lamanya ini ada
mempunyai saudara?”
Orang yang hadir pada waktu itu menjawab: “Ia
ada mempunyai seorang saudara lelaki, akan tetapi saudara lelakinya
itu hidup dalam keadaan kemiskinan.”
“Jika memang demikian, aku akan menikah dengannya
sebagai ganti dari lelaki yang aku cintai ini,” kata wanita
itu.
Akhirnya wanita tersebut menikah dengan saudara
lelaki ahli ibadah itu dan dari hasil pernikahan tersebut, Allah
SWT mengurniakan kepada mereka sebanyak tujuh orang anak yang
kemudian ketujuh orang anak tersebut menjadi nabi semuanya.
^ Kembali ke atas ^
Sebuku Roti
Penebus Dosa
...
bu
Burdah bin Musa Al-Asy’ari meriwayatkan, bahawa ketika menjelang
wafatnya Abu Musa pernah berkata kepada puteranya: “Wahai anakku,
ingatlah kamu akan cerita tentang seseorang yang mempunyai sebuku
roti.”
Dahulu kala di sebuah tempat
ibadah ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah kepada
Allah. Ibadah yang dilakukannya itu selama lebih kurang tujuh
puluh tahun. Tempat ibadahnya tidak pernah ditinggalkannya,
kecuali pada hari-hari yang telah dia tentukan. Akan tetapi
pada suatu hari, dia digoda oleh seorang wanita sehingga diapun
tergoda dalam pujuk rayunya dan bergelumang di dalam dosa selama
tujuh hari sebagaimana perkara yang dilakukan oleh pasangan
suami-isteri.
Setelah ia sedar, maka ia lalu
bertaubat, sedangkan tempat ibadahnya itu ditinggalkannya, kemudian
ia melangkahkan kakinya pergi mengembara sambil disertai dengan
mengerjakan solat dan bersujud.
Akhirnya dalam pengembaraannya
itu ia sampai ke sebuah pondok yang di dalamnya sudah terdapat
dua belas orang fakir miskin, sedangkan lelaki itu juga bermaksud
untuk menumpang bermalam di sana, kerana sudah sangat letih
dari sebuah perjalanan yang sangat jauh, sehingga akhirnya dia
tertidur bersama dengan lelaki fakir miskin dalam pondok itu.
Rupanya di samping kedai tersebut
hidup seorang pendita yang ada setiap malamnya selalu mengirimkan
beberapa buku roti kepada fakir miskin yang menginap di pondok
itu dengan masing-masingnya mendapat sebuku roti. Pada waktu
yang lain, datang pula orang lain yang membagi-bagikan roti
kepada setiap fakir miskin yang berada di pondok tersebut, begitu
juga dengan lelaki yang sedang bertaubat kepada Allah itu juga
mendapat bahagian, kerana disangka sebagai orang miskin.
Rupanya salah seorang di antara orang miskin itu
ada yang tidak mendapat bahagian dari orang yang membahagikan
roti tersebut, sehingga kepada orang yang membahagikan roti
itu ia berkata: “Mengapa kamu tidak memberikan roti itu kepadaku.”
Orang yang membagikan roti itu menjawab: “Kamu
dapat melihat sendiri, roti yang aku bagikan semuanya telah
habis, dan aku tidak membagikan kepada mereka lebih dari satu
buku roti.”
Mendengar ungkapan dari orang
yang membagikan roti tersebut, maka lelaki yang sedang bertaubat
itu lalu mengambil roti yang telah diberikan kepadanya dan memberikannya
kepada orang yang tidak mendapat bahagian tadi. Sedangkan keesokan
harinya, orang yang bertaubat itu meninggal dunia.
Di hadapan Allah, maka ditimbanglah
amal ibadah yang pernah dilakukan oleh orang yang bertaubat
itu selama lebih kurang tujuh puluh tahun dengan dosa yang dilakukannya
selama tujuh malam. Ternyata hasil dari timbangan tersebut,
amal ibadat yang dilakukan selama tujuh puluh tahun itu dikalahkan
oleh kemaksiatan yang dilakukannya selama tujuh malam. Akan
tetapi ketika dosa yang dilakukannya selama tujuh malam itu
ditimbang dengan sebuku roti yang pernah diberikannya kepada
fakir miskin yang sangat memerlukannya, ternyata amal sebuku
roti tersebut dapat mengalahkan perbuatan dosanya selama tujuh
malam itu.
Kepada anaknya Abu Musa berkata: “Wahai anakku,
ingatlah olehmu akan orang yang memiliki sebuku roti itu!”
^ Kembali ke atas ^
Empat Puluh
Tahun Berbuat Dosa
...
alam
riwayat yang lain pula dijelaskan, bahawa pada zaman Nabi Musa
as, kaum bani Israil pernah ditimpa musim kemarau panjang, lalu
mereka berkumpul menemui Nabi Musa as dan berkata: “Wahai Kalamullah,
tolonglah doakan kami kepada Tuhanmu supaya Dia berkenan menurunkan
hujan untuk kami!”
Kemudian berdirilah Nabi Musa
as bersama kaumnya dan mereka bersama-sama berangkat menuju
ke tanah lapang. Dalam suatu pendapat dikatakan bahawa jumlah
mereka pada waktu itu lebih kurang tujuh puluh ribu orang.
Setelah mereka sampai ke tempat
yang dituju, maka Nabi Musa as mulai berdoa. Diantara isi doanya
itu ialah: “Tuhanku, siramlah kami dengan air hujan-Mu, taburkanlah
kepada kami rahmat-Mu dan kasihanilah kami terutama bagi anak-anak
kecil yang masih menyusu, haiwan ternak yang memerlukan rumput
dan orang-orang tua yang sudah bongkok. Sebagaimana yang kami
saksikan pada saat ini, langit sangat cerah dan matahari semakin
panas.
Tuhanku, jika seandainya Engkau
tidak lagi menganggap kedudukanku sebagai Nabi-Mu, maka aku
mengharapkan keberkatan Nabi yang ummi iaitu Muhammad SAW yang
akan Engkau utus untuk Nabi akhir zaman.
Kepada Nabi Musa as Allah menurunkan
wahyu-Nya yang isinya: “Aku tidak pernah merendahkan kedudukanmu
di sisi-Ku, sesungguhnya di sisi-Ku kamu mempunyai kedudukan
yang tinggi. Akan tetapi bersama denganmu ini ada orang yang
secara terang-terangan melakukan perbuatan maksiat selama empat
puluh tahun. Engkau boleh memanggilnya supaya ia keluar dari
kumpulan orang-orang yang hadir di tempat ini! Orang itulah
sebagai penyebab terhalangnya turun hujan untuk kamu semuanya.”
Nabi Musa kembali berkata:
“Wahai Tuhanku, aku adalah hamba-Mu yang lemah, suaraku juga
lemah, apakah mungkin suaraku ini akan dapat didengarnya, sedangkan
jumlah mereka lebih dari tujuh puluh ribu orang?” Allah berfirman:
“Wahai Musa, kamulah yang memanggil dan Aku-lah yang akan menyampaikannya
kepada mereka!.”
Menuruti apa yang diperintahkan
oleh Allah, maka Nabi Musa as segera berdiri dan berseru kepada
kaumnya: “Wahai seorang hamba yang derhaka yang secara terang-terangan
melakukannya bahkan lamanya sebanyak empat puluh tahun, keluarlah
kamu dari rombongan kami ini, kerana kamulah, hujan tidak diturunkan
oleh Allah kepada kami semuanya!”
Mendengar seruan dari Nabi
Musa as itu, maka orang yang derhaka itu berdiri sambil melihat
kekanan kekiri. Akan tetapi, dia tidak melihat seorangpun yang
keluar dari rombongan itu. Dengan demikian tahulah dia bahawa
yang dimaksudkan oleh Nabi Musa as itu adalah dirinya sendiri.
Di dalam hatinya berkata: “Jika aku keluar dari rombongan ini,
nescaya akan terbukalah segala kejahatan yang telah aku lakukan
selama ini terhadap kaum bani Israil, akan tetapi bila aku tetap
bertahan untuk tetap duduk bersama mereka, pasti hujan tidak
akan diturunkan oleh Allah SWT.”
Setelah berkata demikian dalam
hatinya, lelaki itu lalu menyembunyikan kepalanya di sebalik
bajunya dan menyesali segala perbuatan yang telah dilakukannya
sambil berdoa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah derhaka kepada-Mu
selama lebih empat puluh tahun, walaupun demikian Engkau masih
memberikan kesempatan kepadaku dan sekarang aku datang kepada-Mu
dengan ketaatan maka terimalah taubatku ini.”
Beberapa saat selepas itu,
kelihatanlah awan yang bergumpalan di langit, seiring dengan
itu hujanpun turun dengan lebatnya bagaikan hanya ditumpahkan
saja dari atas langit.
Melihat keadaan demikian maka
Nabi Musa as berkata: “Tuhanku, mengapa Engkau memberikan hujan
kepada kami, bukankah di antara kami tidak ada seorangpun yang
keluar serta mengakui akan dosa yang dilakukannya?”
Allah berfirman: “Wahai Musa, aku menurunkan hujan ini juga
di sebabkan oleh orang yang dahulunya sebagai sebab Aku tidak
menurunkan hujan kepada kamu.”
Nabi Musa berkata: “Tuhanku, lihatkanlah kepadaku
siapa sebenarnya hamba-Mu yang taat itu?”
Allah berfirman: “Wahai Musa, dulu ketika dia
derhaka kepada-Ku, Aku tidak pernah membuka aibnya. Apakah sekarang.
Aku akan membuka aibnya itu ketika dia telah taat kepada-Ku?
Wahai Musa, sesungguhnya Aku sangat benci kepada orang yang
suka mengadu. Apakah sekarang Aku harus menjadi pengadu?”
^ Kembali ke atas ^