| Jin
Sebahagian Tentera Nabi Sulaiman | Golongan
Jin Iri Hati Dengan Ratu Balqis |
.
Jin
Sebahagian Tentera Nabi Sulaiman
...
ulaiman
bin Daud adalah satu-satunya Nabi yang memperoleh keistimewaan
dari Allah SWT sehingga boleh memahami bahasa binatang. Dia
boleh bicara dengan burung Hud Hud dan juga boleh memahami bahasa
semut. Dalam Al-Quran surah An Naml, ayat 18-26 adalah contoh
dari sebahagian ayat yang menceritakan akan keistimewaan Nabi
yang sangat kaya raya ini.
Firman
Allah,
“Dan Sulaiman
telah mewarisi Daud dan dia berkata, “hai manusia, kami telah
diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala
sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia
yang nyata.”
Dan dihimpunkan
untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung, lalu
mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan) sehingga apabila
mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut, “hai
semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak
diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak
menyedari.”
Maka Nabi Sulaiman tersenyum
dengan tertawa kerana mendengar perkataan semut itu. Katanya,
“Ya Rabbi, limpahkan kepadaku kurnia untuk mensyukuri
nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada
kedua orang tuaku; kurniakan padaku hingga boleh mengerjakan
amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkan aku dengan rahmat-Mu
ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh.”
(An-Naml: 16-19)
Menurut
sejumlah riwayat, pernah suatu hari Nabi Sulaiman as bertanya
kepada seekor semut, “Wahai semut! Berapa banyak engkau perolehi
rezeki dari Allah dalam waktu satu tahun?”
“Sebesar biji gandum,”
jawabnya.
Kemudian,
Nabi Sulaiman memberi semut sebiji gandum lalu memeliharanya
dalam sebuah botol. Setelah genap satu tahun, Sulaiman membuka
botol untuk melihat nasib si semut. Namun, didapatinya si semut
hanya memakan sebahagian biji gandum itu.
“Mengapa engkau hanya
memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya?” tanya Nabi Sulaiman.
“Dahulu aku bertawakal
dan pasrah diri kepada Allah,” jawab si semut. “Dengan tawakal
kepada-Nya aku yakin bahawa Dia tidak akan melupakanku. Ketika
aku berpasrah kepadamu, aku tidak yakin apakah engkau akan ingat
kepadaku pada tahun berikutnya sehingga boleh memperoleh sebiji
gandum lagi atau engkau akan lupa kepadaku. Kerana itu, aku
harus tinggalkan sebahagian sebagai bekal tahun berikutnya.”
Nabi
Sulaiman, walaupun ia sangat kaya raya, namun kekayaannya adalah
nisbi dan terbatas. Yang Maha Kaya secara mutlak hanyalah Allah
SWT semata-mata. Nabi Sulaiman, meskipun sangat baik dan kasih,
namun yang Maha Baik dan Maha Kasih dari seluruh pengasih hanyalah
Allah SWT semata. Dalam diri Nabi Sulaiman tersimpan sifat terbatas
dan kenisbian yang tidak dapat dipisahkan; sementara dalam Zat
Allah sifat mutlak dan absolut.
Bagaimanapun kayanya Nabi Sulaiman, dia tetap
manusia biasa yang tidak boleh sepenuhnya dijadikan tempat bergantung.
Bagaimana kasihnya Nabi Sulaiman, dia adalah manusia biasa yang
menyimpan kedaifan-kedaifannya tersendiri. Hal itu diketahui
oleh semut Nabi Sulaiman. Kerana itu, dia masih tidak percaya
kepada janji Nabi Sulaiman ke atasnya. Bukan kerana khuatir
Nabi Sulaiman akan ingkar janji, namun khuatir Nabi Sulaiman
tidak mampu memenuhinya lantaran sifat manusiawinya. Tawakal
atau berpasrah diri bulat-bulat hanyalah kepada Allah SWT semata,
bukan kepada manusia.
^
Kembali ke atas ^
Golongan
Jin Iri Hati Dengan Ratu Balqis
Ratu
Balqis adalah seorang wanita yang sangat cantik dan mempunyai
akal yang cerdas, oleh sebab itulah golongan jin merasa iri
hati dengannya. Mereka mengatakan bahawa Ratu Balqis itu mempunyai
dua aib, pertama tubuhnya pendek dan kedua betisnya seperti
betis unta.
Maka
Nabi Sulaiman memerintahkan supaya para Jin mengubah sedikit
singgahsana Ratu Balqis, lalu beliau menyuruh pula membangun
sebuah mahligai yang dibuat dari kaca. Bahagian bawah mahligai
tersebut dan kelilingnya mengalir sungai-sungai dengan berisikan
ikan-ikan, di atas air itu dibuat sebuah jambatan daripada kaca.
Ketika Ratu Balqis dan rombongan tiba, Nabi
Sulaiman bertanya kepadanya: “Apakah ini singgahsanamu? Ratu
Balqis menjawab: Mungkin! Ia tidak mengatakan ya, kerana dilihatnya
ada sedikit perubahan. Tetapi tidak mengatakan bukan, disebabkan
ada sebahagian yang serupa dengan singgah-sananya. Dari jawapan
Ratu Balqis itu, tahulah Nabi Sulaiman as bahawa ia adalah seorang
wanita yang berakal sempurna serta bijaksana.
Kemudian
Nabi Sulaiman as menyuruh tamunya itu masuk ke dalam istana.
Ketika Ratu Balqis melihat ke dalam istana, ia melihat seakan-akan
ada aliran air, sehingga ia mengangkat kainnya, sehingga betisnya
tersingkap. Nabi Sulaiman as melihat betisnya itu, maka tidak
ada satu aibpun seperti yang disampaikan oleh golongan jin.
Nabi Sulaiman berkata kepada Ratu Balqis:
“Ini adalah sebuah mahligai yang licin, ia dibentuk daripada
kaca.” ketika Ratu Balqis menyaksikan betapa hebatnya Nabi Sulaiman,
ia berkata dalam hatinya: “Walaupun kerajaanku luas, singgahsanaku
indah dan megah, bala tenteraku ramai, namun jika dibandingkan
dengan semua yang aku saksikan ini, seakan-akan milikku tidak
bererti.
Kemudian
ia berkata seperti yang diungkapkan di dalam Quran, firman Allah
SWT surah An Naml ayat 44 bermaksud: “Ya Tuhanku, sesungguhnya
aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku berserah diri
bersama Sulaiman kepada Allah Tuhan semesta alam.” Setelah itu
Ratu Balqis pun berkahwin dengan Nabi Sulaiman as. Peristiwa
pernikahan Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis ini terjadi pada
hari Jumaat.
Begitu
besarnya kerajaan Nabi Sulaiman as. yang mana angin sebagai
kenderaannya, manusia dan jin sebagai tenteranya, burung sebagai
pembantu dan teman-teman bercakapnya, binatang-binatang buas
sebagai buruhnya dan para malaikat sebagai utusannya.
Nabi Sulaiman as mempunyai satu padang, sebahagian
tanahnya terbuat daripada emas dan sebahagian lagi daripada
perak. Jika tenteranya berbaris di padang itu, maka panjang
barisan itu tidak kurang dari seratus parsakh. Sedangkan luas
tempat tinggalnya adalah sebulan perjalanan.
Kemudian
golongan jin membuat untuknya sebuah permaidani daripada emas
dan perak. Pada permaidani tersebut terdapat dua belas ribu
mihrab, pada setiap mihrab terdapat kursi daripada emas dan
perak, kemudian duduk di atas tiap-tiap kursi tersebut seorang
yang alim dari ulamak Bani Israil.
Pada
setiap hari dimasak kira-kira seribu unta, empat ribu lembu
dan empat puluh ribu kambing. Nabi Sulaiman juga mempunyai piring-piring
yang besar bagaikan kolam dan periuk yang tetap berada di atas
tungku.
Firman Allah SWT:
“Para jin membuat
untuk Nabi Sulaiman apa yang dikehendaknya dari bangunan yang
tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang besarnya seperti
kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku.” (Saba’:
13) Begitu besarnya nikmat
dan kelebihan Nabi Sulaiman as. Namun begitu kelebihan dan kenikmatan
umat Nabi Muhammad SAW yang beriman, di dalam Syurga nanti disediakan
tempat-tempat tinggal dan darjat, kebun-kebun, sungai-sungai
dan buah-buahan. Di dalamnya diperolehi segala sesuatu yang
menyenangkan jiwa dan mata. Di dalamnya juga terdapat sesuatu
yang tidak pernah terlintas oleh fikiran manusia.
Dikisahkan
bahawa serendah-rendah darjat tempat umat Nabi Muhammad SAW
di dalam Syurga itu ialah seratus kali luas kerajaan Sulaiman
as. Malah lebih baik, kerana Syurga adalah tempat yang abadi.
Di dalamnya tidak ada matahari, kesejukan, kesakitan, kesusahan
serta lain-lain penderitaan. Di Syurga adalah tempat yang abadi,
kesenangan tanpa batas, pemberian tanpa dihitung, penerimaan
tanpa ditolak.
Ada
Syurga yang dinamakan dengan Darussalam, di dalamnya mempunyai
keselamatan tanpa adanya kebinasaan, kenikmatan tanpa malapetaka,
kecintaan tanpa permusuhan, kemuliaan tanpa kehinaan serta bermacam-macam
lagi kenikmatan yang sukar untuk diungkapkan.
Kemudian
Syurga Jannatunna’im. Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa
disediakan di sisi Tuhan mereka Syurga kenikmatan. Di dalamnya
para hamba-hamba-Nya bertempat tinggal, para nabi menjadi sahabatnya,
tinggal kekal dalamnya dengan kurnia yang berlimpah ruah.
Tidak ada kesusahan di dalamnya, terdapat bidadari cantik dan
jelita, mahligainya tinggi dan tempat yang luas.
Syurga
Firdaus, disediakan bagi orang-orang yang tidak menyekutukan
Allah SWT dengan sesuatu, menjauhkan diri daripada perbuatan
maksiat, tidak membuat kemungkaran serta menjalankan segala
yang diperintahkan Allah SWT. Allah SWT menjadikan penghuni
Syurga ini sebagai kekasihNya.
Di
dalam Syurga Firdaus terdapat empat sungai, iaitu sungai dari
air tawar, sungai dari air susu yang tidak berubah rasanya,
sungai dari air arak yang lazat rasanya dan sungai air madu.
Di dalamnya juga diperolehi berbagai macam buah-buahan. Ada
lagi empat mata air iaitu: Salsabil, Zanjabil, Rohiiq dan Tasniim.
Ada lagi dua mata air yang mengalir dan dua mata air yang memancar,
iaitu Al-kaafuur dan Al-kautsar. Di dalamnya juga diperolehi
segala sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata dan didengar
oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang
bertakwa itu di dalam taman-taman dan sungai-sungai, di tempat
yang disenangi di sisi Tuhan Yang Berkuasa.”
(Al-Qamar: 54-55)
^ Kembali ke atas ^