.
Imam Ahmad Bin Hambal Dicambuk
Dan Dipenjarakan
...
mam
Ahmad bin Muhammad bin Hambal. Beliau
adalah Imam yang keempat dari fuqahak Islam. Beliau memiliki sifat-sifat
yang luhur dan tinggi. Ahmad bin Hambal dilahirkan di Baghdad
pada bulan Rabiul Awal tahun 164H. Beliau termasyhur dengan nama
datuknya Hambal, kerana datuknya lebih masyhur dari ayahnya.
Ibnu Hambal hidup dalam keadaan miskin, kerana
ayahnya hanya meninggalkan sebuah rumah kecil dan tanah yang sempit.
Beliau terpaksa melakukan berbagai pekerjaan. Beliau pernah bekerja
di tempat tukang jahit, mengambil upah menulis, menenun kain dan
kadangkala mengambil upah mengangkat barang-barang orang. Beliau
lebih mementingkan makanan yang halal lagi baik dan beliau tidak
senang menerima hadiah-hadiah.
Ketika ia masih berumur 14 tahun, Ahmad bin
Hambal telah belajar mengarang dan menghafal Al-Quran. Beliau
bekerja keras dalam menuntut ilmu pengetahuan. Sebagai seorang
ulama yang sangat banyak ilmunya, Ibnu Hambal pun seorang yang
teguh imannya, berani berbuat di atas kebenaran. Dia tidak takut
bahaya apa pun terhadap dirinya di dalam menegakkan kebenaran
itu. Kerana Allah memang telah menentukan bahawa setiap orang
yang beriman itu pasti akan diuji keimanannya. Termasuk juga para
nabi dan rasul yang tidak pernah lepas dari berbagai ujian dan
cubaan.
Ujian dan cubaan berupa fitnah, kemiskinan,
seksaan dan lain-lainnya itu selalu akan mendampingi orang-orang
yang beriman apalagi orang yang menegakkan kebenaran. Demikian
juga halnya dengan Imam Hambali, terlalu banyak bahaya yang dihadapinya
dalam berjuang menegakkan kebenaran agama. Ujian itu datangnya
bermacam-macam kadangkala dari musuh kita dan dapat juga timbul
dari kawan-kawan yang merasa iri dengan kebolehan seseorang.
Imam Hambali berada di zaman kekuasaan kaum
Muktazilah yang berpendapat bahawa Quran itu adalah makhluk. Pendirian
ini begitu kuatnya di kalangan pemerintah, sehingga barangsiapa
yang bertentangan pendirian dengan pihak pemerintah tentu akan
mendapat seksaan. Sebelum Al-Makmun ini, yakni di zaman sultan
Harun Al-Rasyid, ada seorang ulama bernama Basyar Al-Marisy berpendapat
bahawa Quran itu adalah makhluk. Baginda Harun Al-Rasyid tidak
mahu menerima pendapat tersebut. Bahkan terhadap orang yang berpendapat
demikian akan diberi hukuman. Kerana ancaman itu akhirnya Basyar
melarikan diri dari Baghdad.
Sultan Harun Al-Rasyid pernah berkata: “Kalau umurku panjang
dan masih dapat berjumpa dengan Basyar nescaya akan kubunuh dia
dengan cara yang belum pernah aku lakukan terhadap yang lain?”
Selama 20 tahun lamanya Syekh Basyar menyembunyikan diri dari
kekuasaan Sultan.
Tetapi setelah Sultan Harun Al-Rasyid meninggal
dunia, kemudian diganti dengan puteranya Al-Amin barulah Syekh
Basyar keluar dari persembunyiannya. Kembali ia mengeluarkan pendapatnya
itu, bahawa Quran itu adalah makhluk. Al-Amin juga sependirian
dengan ayahnya tidak setuju dengan pendapat tersebut. Ia mengancam
berat terhadap orang yang mengatakan Quran itu makhluk.
Kemudian kepala negara pindah lagi ke tangan
saudara Al-Amin iaitu Al-Makmun. Di zaman pemerintahan Al-Makmun
inilah pendapat tentang Quran itu makhluk mula diterima. Al-Makmun
sendiri telah terpengaruh dan ikut berpendapat demikian. Pada
suatu kali oleh Al-Makmun diadakan pertemuan para ulama besar,
untuk membincangkan hal itu, tetapi para ulama tetap berpendapat
bahawa Al-Quran itu adalah makhluk. Al-Makmun mengharapkan supaya
pendapat itu diterima orang ramai.
Pada masa itu satu-satunya ulama yang keras
berpendirian bahawa “Al-Quran itu bukan makhluk?” Hanyalah Imam
Hambali. Secara terus terang ia berkata di hadapan Sultan:“Bahawa
Al-Quran bukanlah makhluk yang dijadikan Allah, tetapi ia adalah
Kalamullah.”
Imam Hambali satu-satunya ulama ketika itu
yang berani membantah, sedangkan yang lainnya diam seribu bahasa.
Kemudian ia ditangkap dan dihadapkan ke hadapan baginda. Ia dipanggil
bersama tiga orang ulama yang lainnya, iaitu Imam Hassan bin Muhammad
Sajah, Imam Muhammad bin Nuh dan Imam Ubaidah bin Umar. Kedua
ulama di antara mereka sama menjawab dan membenarkan pendapat
baginda sementara Imam Hambali dan Imam Muhammad bin Nuh dengan
tegas menjawab bahawa Quran itu bukanlah makhluk. Keduanya lalu
dimasukkan ke dalam penjara. Setelah beberapa hari dalam penjara
datang surat dari Tharsus yang meminta supaya keduanya dibawa
ke sana dengan dirantai.
Kedua ulama tersebut betul-betul dirantai
kedua kaki dan tangannya dan ditunjukkan di hadapan orang ramai.
Kemudian dibawa ke Tharsus, sesampainya di sana keduanya dimasukkan
ke dalam penjara. Kerajaan mempunyai seorang ulama besar bernama
Ahmad bin Abi Daud, yang pandai berbicara namun lemah dalam pendirian.
Terhadap Imam Hambali mereka minta supaya
dihukum dengan hukuman yang seberat-beratnya. Baginda raja menerima
usulan tersebut. Lalu Imam Hambali dihadapkan depan raja dan ditanyakan
tentang pendiriannya. Namun ia tetap menyampaikan pendiriannya
bahawa Al-Quran itu ialah Kalamullah bukan makhluk. Dan ia menegaskan
lagi bahawa ia tidak akan berubah dari pendiriannya itu.
Akhirnya terjadilah persidangan yang dipimpin
oleh baginda sendiri. Kemudian baginda memanggil Imam Hambali
dan berkata: “Atas nama saya sebagai kerabat Nabi Muhammad SAW
saya akan memukul engkau beberapa kali, sampai engkau membenarkan
apa yang telah saya benarkan, atau mengatakan seperti yang saya
kata?” Kerana Imam Hambali masih tetap dengan pendiriannya, maka
baginda memerintahkan kepada perajuritnya untuk memukul Imam Hambali.
Ketika cambuk yang pertama singgah di punggung
beliau, beliau mengucapkan “Bismillah.” Ketika cambuk yang kedua,
beliau mengucapkan “La haula walaa quwwata illaa billah”
(tiada daya dan kekuatan apa pun kecuali izin Allah). Ketika cambuk
yang ketiga kalinya beliau mengucapkan “Al-Quran kalaamullahi
ghairu makhluk” (Al-Quran adalah kalam Allah bukan makhluk). Dan
ketika pada pukulan yang keempat, beliau membaca surah At-Taubah
ayat 51.
“Katakanlah: Sekali-kali tidak akan menimpa
kami melainkan apa yang ditetapkan oleh Allah bagi kami.”
Sehingga seluruh badan beliau mengalir
darah merah.
Akhirnya beliau dimasukkan ke dalam penjara
kembali. Pada suatu hari ketika Imam Hambali dibawa ke Kota Anbar
dengan tangan yang terbelenggu, seorang yang alim bernama Abu
Ja’far Al-Anbari menghampiri beliau. Imam Hambali bertanya kepadanya:
“Hai Abu Ja’far apakah engkau susah melihat keadaanku?” “Tidak
wahai Imam, engkau adalah pemuka umat, kerana umat manusia ada
di belakangmu. Demi Allah, bila engkau mahu menjawab bahawa Quran
itu makhluk, pastilah umat akan mengikutimu, dan bila engkau tidak
mahu menjawab, maka umat juga tidak mahu menjawab seperti apa
yang ingin engkau jawab. Bila engkau tidak mati dibunuh orang,
pasti engkau juga akan mati dengan cara yang lain. Maka janganlah
engkau mahu menuruti kehendak mereka.”
Mendengar kata-kata Ja’far itu beliau mencucurkan
air mata dan berkata: “Masya-Allah!, Masya-Allah!, Masya-Allah!.
Kemudian beliau pun dikunjungi oleh bekas penjahat bernama Abdul
Haitsam Al-Ayyar dan berkata kepada beliau: “Wahai Imam, saya
ini seorang pencuri yang didera dengan beribu-ribu cambukan, namun
saya tidak mahu mengakui perbuatan saya, pada hal saya menyedari
bahawa saya salah. Maka janganlah Imam gelisah dalam menerima
dera, sebab engkau dalam kebenaran.”
Ketika Khalifah Al-Makmun meninggal dunia
pada tahun 218H (833 M) setelah memerintah 20 tahun lamanya, yang
mengganti beliau ialah saudaranya yang bernama Ishaq Muhammad
bin Harun Al-Rasyid yang bergelar dengan Al-Muktashimbillah. Sebelum
Khalifah Al-Makmun meninggal dunia beliau telah berpesan kepada
bakal penggantinya itu bahawa faham Al-Quran itu makhluk harus
dipertahankan.”
Kebijaksanaan kerajaan yang menyeksa para
ulama yang tidak sependirian dengan faham kerajaan itu atas dasar
hasutan seorang ulama kerajaan yang bernama Qadhi Qudhoti Ahmad
bin Abi Daud (Daud). Ulama inilah yang memberikan usulan kepada
Al-makmun bahawa jika Imam Ahmad bin Hambal tetap tidak mahu mengikuti
bahawa Al-Quran itu makhluk hendaklah dihukum dengan hukuman yang
berat.
Setelah kerajaan dipegang oleh Al-Muktasim
ulama Ahmad bin Daud masih tetap menjadi qadi kerajaan. Pada suatu
hari Qadi kerajaan ini cuba mengadili Imam Hambali dengan melakukan
perdebatan akhirnya Ahmad bin Daud kalah kerana tidak dapat mengemukakan
alasan yang lebih kuat. Walaupun demikian Imam Hambali tetap dimasukkan
kembali ke dalam penjara.
Pada bulan Ramadhan pengadilan terhadap Imam
Hambali diadakan lagi. Khalifah Al-Muktashim bertanya: “Al-Quran
itu adalah baru, bagaimana pendapat anda.” “Tidak!, Al-Quran adalah
kalam Allah, saya tidak sejauh itu membahasnya kerana di dalam
Al-Quran dan hadith tidak disuruh membahas soal tersebut.” Jawab
beliau.
Beliau dicambuk sampai berdarah, pada hal
ketika itu bulan puasa. Baginda berkata: “Kalau kamu merasa sakit
dengan pukulan ini, maka ikutilah saya, dan akuilah bahawa Al-Quran
itu makhluk, supaya kamu selamat.”
Penderaan pun terus berlangsung, sehingga
beliau terasa bahawa tali seluar yang menutup auratnya putus dan
hampir turun ke bawah. Beliau pun mengangkatkan mukanya ke atas
sambil berdoa: “Ya Allah!, atas namaMu yang menguasai Arsy, bahawa
jika Engkau mengetahui bahawa saya adalah benar, maka janganlah
Engkau jatuhkan penutup aurat ku.” Ketika itu pula
seluar beliau yang akan jatuh itu naik ke atas kembali sehingga
aurat beliau tidak jadi terlihat oleh orang ramai.
Penyeksaan terhadap beliau itu baru berakhir
setelah selesai maghrib. Para hakim dan orang- orang hadir kemudian
berbuka puasa di hadapan beliau. Sementara beliau dibiarkan saja
tidak diberi sesuatu makanan untuk berbuka. Demikianlah seterusnya,
pada hari yang kedua pun beliau masih tetap didera sampai seluruh
badannya mencucurkan darah. Pada hari ketiga beliau masih tetap
didera sehingga pengsan.
Setelah Al-Muktashim meninggal dunia ia diganti
dengan puteranya Al-Watsiq. Pada masa ini banyak penganiayaan
dilakukan terhadap para ulama. Khalifah Al-Watsiq inilah yang
memancung leher ulama terkenal yakni Ahmad bin Naser Al-Khuza’i.
Kepala Ahmad bin Naser digantung dan diletak tulisan yang berbunyi:
“Inilah kepala Ahmad bin Naser yang tidak mahu mengakui bahawa
Al-Quran itu makhluk, maka Tuhan memasukkan Ahmad bin Naser ke
dalam neraka, kepala ini menjadi peringatan bagi mereka yang memalingkan
dirinya dari kiblat.” Demikianlah tulisan yang diletakkan dekat
leher Ahmad bin Naser.
Kemudian Khalifah Al-Watsiq meninggal dunia
dan digantikan dengan saudara beliau yang bernama, Al-Mutawakkil.
Pada masa inilah dicabut tentang faham muktazilah dan diadakan
pembebasan terhadap semua ulama yang ditahan, termasuk Imam Ahmad
bin hambal. Sementara itu Imam Hambali setelah dibebaskan beliau
diberi hadiah sebanyak l0,000 dirham, namun hadiah tersebut beliau
tolak. Kerana dipaksa untuk menerimanya, akhirnya beliau terima
dan dibahagi-bahagikan kepada fakir miskin.
Pada hari Jumaat tanggal 12 Rabiul Awal tahun
241 H/855 M beliau meninggal dunia yang fana ini dengan tenang
dalam usia 77 tahun. Setelah mendengar wafatnya beliau, seluruh
Kota Baghdad menjadi gempar jenazah beliau disembahyangkan lebih
dari 130,000 orang muslimin. Demikian berakhirnya riwayat seorang
penegak kebenaran dan meninggikan ilmu pengetahuan, setelah melalui
berbagai seksaan dan penganiayaan. Semoga mereka yang berjuang
pada jalan Allah menjadi kekasih Allah, yang selalu mendapat keberkahannya
dan keredhaanNya.
Banyak lagi mereka yang berjuang pada jalan
Allah akhirnya menerima ujian dan cubaan dengan berbagai penganiayaan
dan seksaan.
Firman Allah ertinya:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka
dibiarkan saja mengatakan. “Kami telah beriman, sedang mereka tidak
diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum
mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang- orang yang benar dan
sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: 2-3)
^ Kembali ke atas ^
Imam Syafie Ditangkap Dan Dirantai
...
mam
Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah
Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul
Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau
bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad
yang ketiga iaitu Abdul Manaf.
Beliau dilahirkan di Ghuzah nama sebuah kampung
yang termasuk daerah Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767
Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Makkah.
Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi
ke daerah itu demi keperluan penting. Namun di dalam perjalanan
menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam
Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun
baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Makkah.
Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal
Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’,
karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya.
Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadith-hadith Rasulullah SAW,
yang dihimpun oleh Imam Malik.
Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau
telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat
sebagai guru besar ilmu hadith serta menjadi mufti dalam Masjidil
Haram di Makkah.
Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar
ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Irak, Parsi
dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi
ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.
Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada
Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membagi malam itu
kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan
sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk
solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.
Ketika Imam Syafie di Yaman, beliau diangkat
menjadi setiausaha dan penulis istimewa Gabenor di Yaman, sekaligus
menjadi guru besar di sana. Kerana beliau termasuk orang pendatang,
secara tiba-tiba memangku jawatan yang tinggi, maka ramai orang
yang memfitnah beliau.
Ahli sejarah telah menceritakan bahawa waktu
sultan Harun Ar-Rasyid sedang marah terhadap kaum Syiah, sebab
golongan tersebut berusaha untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah,
mereka berhasrat mendirikan sebuah kerajaan Alawiyah iaitu keturunan
Saidina Ali bin Abi Talib. Kerana itu di mana kaum Syiah berada
mereka diburu dan dibunuh.
Suatu kali datang surat baginda Sultan dari
Baghdad. Dalam surat yang ditujukan kepada Wali negeri itu diberitahukan
supaya semua kaum Syiah ditangkap. Untuk pertama kali yang paling
penting adalah para pemimpinnya, jika pekerjaan penangkapan telah
selesai semua mereka akan dikirimkan ke Baghdad. Semuanya harus
dibelenggu dan dirantai. Imam Syafie juga ditangkap, sebab di
dalam surat tersebut bahawa Imam Syafie termasuk dalam senarai
para pemimpin Syiah.
Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadhan,
Imam Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai kedua belah tangannya.
Dalam keadaan dibelenggu itu para tahanan disuruh berjalan kaki
mulai dari Arab Selatan (Yaman) sampai ke Arab Utara (Baghdad),
yang menempuh perjalanan selama dua bulan. Sampai di Baghdad belenggu
belum dibuka, yang menyebabkan darah-darah hitam melekat pada
rantai-rantai yang mengikat tangan mereka.
Pada suatu malam pengadilan pun dimulai. Para
tahanan satu persatu masuk ke dalam bilik pemeriksaan. Setelah
mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan
memenggal leher tahanan tersebut. Supaya darah yang keluar dari
leher yang dipotong itu tidak berserak ia dialas dengan kulit
binatang yang diberi nama dengan natha’.
Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu
giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT. Kemudian beliau
dipanggil ke hadapan baginda Sultan. Imam Syafie menyerahkan segalanya
hanya kepada Allah SWT. Dengan keadaan merangkak kerana kedua
belah kaki beliau diikat dengan rantai, Imam Syafie mengadap Sultan.
Semua para pembesar memperhatikan beliau.
“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.”
Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan
iaitu “Warahmatullah.”
“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh.” Jawab baginda. Kemudian
baginda bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan
yang tidak diperintahkan oleh sunnah, dan mengapa engkau berani
berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin dari saya?”
Imam Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata “Warahmatullah”
kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati baginda sendiri.”
Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam
Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:
“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang
yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh
bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di
bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum
mereka berkuasa, dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka
agama yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Dia benar-benar
akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan
menjadi aman sentosa.”
Setelah membaca ayat di atas kemudian Imam
Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janjiNya, kerana
sekarang baginda telah menjadi khalifah, jawapan salam baginda tadi
membuat hati saya menjadi aman.” Hati baginda menjadi bertambah
lembut. Baginda Harun ar Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau
menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan
atas dirimu.”
“Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baginda dengan baik bila
saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah
saya akan menjawab dengan sempurna. Lalu baginda memerintahkan
kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat lmam Syafie
itu.
Setelah rantai yang membelenggu kedua kaki dan tangannya itu
dibuka, maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah
Hujarat ayat 6:
“Hai orang-orang yang beriman, jika
datang kepadamu orang fasiq yang membawa suatu berita, maka periksalah
dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada
suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal
atas perbuatanmu itu.”
“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita
yang sampai kepada baginda itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya
saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan bagindalah yang berhak memegang
adab kitab Allah kerana baginda adalah putera bapa saudara Rasulullah
SAW iaitu Abbas. Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah.
Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada
Rasulullah dan keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam
sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan-tuan
sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah.” Demikian
jawab Imam Syafie.
Baginda Harun ar Rasyid pun menekurkan kepalanya kemudian ia
berkata kepada Imam Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau
agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami
harus memelihara dan menghormati pengetahuanmu wahai Imam Syafie.”
Demikianlah kehidupan
Imam Syafie sebagai ulama besar, yang tidak lepas dari berbagai
cubaan serta seksaan dari pihak yang tak mengerti akan hakikat
kebenaran yang sesungguhnya. Hanya ketabahan dan keimanan serta
pengetahuanlah yang dapat menghadapi setiap cubaan itu sebagai
suatu ujian dari Allah SWT yang harus kita hadapi.
^ Kembali ke atas ^
Imam Malik Diheret Dan Didera
...
mam
Malik dilahirkan di sebuah perkampungan kecil yang bernama Ashbah,
yang terletak di dekat Kota Himyar jajahan Yaman. Nama aslinya
ialah Malik bin Anas bin Malik bin Abi Amir Al-Ashabally. Beliau
adalah seorang ulama besar yang lahir di Madinah serta mempunyai
pengaruh yang sangat besar terhadap dunia Islam.
Ketika Imam Malik berusia 54 tahun, pemerintahan
berada di tangan baginda Al-Mansur yang berpusat di Bagdad. Ketika
itu di Madinah dipimpin oleh seorang gabenor bernama Jaafar bin
Sulaiman Al-Hasymi. Sementara itu Imam Malik juga menjabat sebagai
mufti di Madinah. Di saat timbulnya masalah penceraian atau talak,
maka Imam Malik telah menyampaikan fatwanya, bahawa talak yang
dipaksakan tidak sah, ertinya talak suami terhadap isteri tidak
jatuh. Fatwa ini sungguh berlawanan dengan kehendak gabenor, kerana
ia tidak mahu hadith yang disampaikan oleh Imam Malik tersebut
diketahui oleh masyarakat, sehingga akhirnya Imam Malik dipanggil
untuk mengadap kepada gabenor.
Kemudian gabenor meminta agar fatwa tersebut
dicabut kembali, dan jangan sampai orang ramai mengetahui akan
hal itu. Walaupun demikian Imam Malik tidak mahu mencabutnya.
Fatwa tersebut tetap disiarkan kepada orang ramai. Talak yang
dipaksanya tidak sah. Bahkan Imam Malik sengaja menyiarkan fatwanya
itu ketika beliau mengadakan ceramah-ceramah agama, kerana fatwa
tersebut berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang harus diketahui
oleh umat manusia.
Akhirnya Imam Malik ditangkap oleh pihak kerajaan,
namun ia masih tetap dengan pendiriannya. Gabenor memberi peringatan
keras supaya fatwa tersebut dicabut dengan segera Kemudian Imam
Malik dihukum dengan dera dan diikat dengan tali dan dinaikkan
ke atas punggung unta, lalu diarak keliling Kota Madinah. Kemudian
Imam Malik dipaksa supaya menarik kembali fatwanya itu.
Mereka mengarak Imam Malik supaya Imam merasa
malu dan hilang pendiriannya. Tetapi Imam Malik masih tetap dengan
pendiriannya itu. Kerana ketegasannya itu, dia dihukum dengan
sebat sebanyak 70 kali, yang menyebabkan tulang belakangnya hampir
patah. Kemudian ia berkata kepada sahabat-sahabatnya:
“Aku dihukum dera begitu berat lantaran fatwa ku. Demikian Said
Al-Musayyid, Muhamad Al-Munkadir dan Rabiah telah dijatuhi hukuman
demikian lantaran fatwanya juga.”
Bagi Imam Malik hukuman semacam itu, bukanlah
mengurangi pendiriannya, bahkan semakin bertambah teguh jiwanya.
Ia tidak pernah takut menerima hukuman asalkan ia berada pada
jalan kebenaran. Kerana memang setiap perjuangan itu memerlukan
pengorbanan. Imam Al-Laits, seorang alim menjadi mufti Mesir ketika
itu, saat mendengar bahawa Imam Malik dihukum lantaran fatwanya
ia berkata: “Aku mengharap semoga Allah mengangkat darjat Imam
Malik atas setiap pukulan yang dijatuhkan kepadanya, menjadikan
satu tingkat baginya masuk ke syurga.”
Insya Allah.
^ Kembali ke atas ^
Imam Abu Hanifah Diracun
...
mam
Abu Hanafih adalah seorang imam Mazhab yang besar dalam dunia
Islam. Dalam empat mazhab yang terkenal tersebut hanya Imam Hanafi
yang bukan orang Arab. Beliau keturunan Persia atau disebut juga
dengan bangsa Ajam. Pendirian beliau sama dengan pendirian imam
yang lain, iaitu sama-sama menegakkan Al-Quran dan sunnah Nabi
SAW.
Imam Hanafi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah
bertepatan tahun 699 Masehi di sebuah kota bernama Kufah. Nama
yang sebenarnya ialah Nu’man bin Tsabit bin Zautha bin Maha. Kemudian
masyhur dengan gelaran Imam Hanafi.
Kemasyhuran nama tersebut menurut para ahli
sejarah ada beberapa sebab:
1. Kerana ia mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama
Hanifah, maka ia diberi julukan dengan Abu Hanifah.
2. Kerana semenjak kecilnya sangat tekun belajar dan menghayati
setiap yang dipelajarinya, maka ia dianggap seorang yang hanif
(kecenderungan/condong) pada agama. Itulah sebabnya ia masyhur
dengan gelaran Abu Hanifah.
3. Menurut bahasa Persia, Hanifah bererti tinta. Imam Hanafi
sangat rajin menulis hadith-hadith, ke mana, ia pergi selalu membawa
tinta. Kerana itu ia dinamakan Abu Hanifah.
Waktu ia dilahirkan, pemerintahan Islam berada
di tangan Abdul Malik bin Marwan, dari keturunan Bani Umaiyyah
kelima. Kepandaian Imam Hanafi tidak diragukan lagi, beliau mengerti
betul tentang ilmu fiqih, ilmu tauhid, ilmu kalam, dan juga ilmu
hadith. Di samping itu beliau juga pandai dalam ilmu kesusasteraan
dan hikmah.
Imam Hanafi adalah seorang hamba Allah yang
bertakwa dan soleh, seluruh waktunya lebih banyak diisi dengan
amal ibadah. Jika beliau berdoa matanya bercucuran air mata demi
mengharapkan keredhaan Allah SWT. Walaupun demikian orang-orang
yang berjiwa jahat selalu berusaha untuk menganiaya beliau.
Sifat keberanian beliau adalah berani menegakkan
dan mempertahankan kebenaran. Untuk kebenaran ia tidak takut sengsara
atau apa bahaya yang akan diterimanya. Dengan keberaniannya itu
beliau selalu mencegah orang-orang yang melakukan perbuatan mungkar,
kerana menurut Imam Hanafi kalau kemungkaran itu tidak dicegah,
bukan orang yang berbuat kejahatan itu saja yang akan merasakan
akibatnya, melainkan semuanya, termasuk orang-orang yang baik
yang ada di tempat tersebut
Sebahagian dilukiskan dalam sebuah hadith
Rasulullah SAW bahawa bumi ini diumpamakan sebuah bahtera yang
didiami oleh dua kumpulan. Kumpulan pertama adalah terdiri orang-orang
yang baik-baik sementara kumpulan kedua terdiri dari yang jahat-jahat.
Kalau kumpulan jahat ini mahu merosak bahtera dan kumpulan baik
itu tidak mahu mencegahnya, maka seluruh penghuni bahtera itu
akan binasa. Tetapi sebaliknya jika kumpulan yang baik itu mahu
mencegah perbuatan orang-orang yang mahu membuat kerosakan di
atas bahtera itu, maka semuanya akan selamat.
Sifat Imam Hanafi yang lain adalah menolak
kedudukan tinggi yang diberikan pemerintah kepadanya. Ia menolak
pangkat dan menolak wang yang dibelikan kepadanya. Akibat dari
penolakannya itu ia ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara.
Di dalam penjara ia diseksa, dipukul dan sebagainya.
Gabenor di Iraq pada waktu itu berada di tangan
Yazid bin Hurairah Al-Fazzari. Selaku pemimpin ia tentu dapat
mengangkat dan memberhentikan pegawai yang berada di bawah kekuasaannya.
Pernah pada suatu ketika Imam Hanafi akan diangkat menjadi ketua
urusan perbendaharan negara (Baitul mal), tetapi pengangkatan
itu ditolaknya. Ia tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut.
Sampai berulang kali Gabenor Yazid menawarkan pangkat itu kepadanya,
namun tetap ditolaknya.
Pada waktu yang lain Gabenor Yazid menawarkan
pangkat Kadi (hakim) tetapi juga ditolaknya. Rupanya Yazid tidak
senang melihat sikap Imam Hanafi tersebut. Seolah-olah Imam Hanafi
memusuhi pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya. Oleh kerana
itu ia diselidiki dan diancam akan dihukum dengan hukum dera.
Ketika Imam Hanafi mendengar kata ancaman hukum dera itu Imam
Hanafi menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan mengerjakan jabatan
yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak
kerajaan.” Demikian beraninya Imam Hanafi dalam menegakkan pendirian
hidupnya.
Pada suatu hari Yazid memanggil para alim
ulama ahli fiqih yang terkemuka di Iraq, dikumpulkan di muka istananya.
Di antara mereka yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi Laila.
Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan lain-lain. Kepada mereka,
masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh Gabenor.
Ketika itu gabenor menetapkan Imam Hanafi
menjadi Pengetua jawatan Sekretari gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab
terhadap keluar masuk wang negara. Gabenor dalam memutuskan jabatan
itu disertai dengan sumpah, “Jika Abu Hanifah tidak menerima pangkat
itu nescaya ia akan dihukum dengan pukulan.”
Walaupun ada ancaman seperti itu, Imam Hanafi
tetap menolak jawatan itu, bahkan ia tetap tegas, bahawa ia tidak
mahu menjadi pegawai kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam
urusan negara.
Kerana sikapnya itu, akhirnya ditangkap oleh
gabenor. Kemudian dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu,
dengan tidak dipukul. Lima belas hari kemudian baru dipukul sebanyak
14 kali pukulan, setelah itu baru dibebaskan. Beberapa hari sesudah
itu gabenor menawarkan menjadi kadi, juga ditolaknya. Kemudian
ditangkap lagi dan dijatuhi hukuman dera sebanyak 110 kali. Setiap
hari didera sebanyak sepuluh kali pukulan. Namun demikian Imam
Hanafi tetap dengan pendiriannya. Sampai ia dilepaskan kembali
setelah cukup 110 kali cambukan.
Akibat dari pukulan itu muka dan seluruh badannya
menjadi bengkak-bengkak. Hukuman cambuk itu sengaja untuk menghina
Imam Hanafi. Walaupun demikian ketika Imam Hanafi diseksa ia sempat
berkata. “Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman
neraka di akhirat nanti.” Ketika ia berusia lebih dari 50 tahun,
ketua negara ketika itu berada di tangan Marwan bin Muhammad.
Imam Hanafi juga menerima ujian. Kemudian pada tahun 132 H sesudah
dua tahun dari hukuman tadi terjadilah pergantian pimpinan negara,
dari keturunan Umaiyyah ke tangan Abbasiyyah, ketua negaranya
bernama Abu Abbas as Saffah.
Pada tahun 132 H sesudah Abu Abbas meninggal
dunia diganti dengan ketua negara yang baru bernama Abi Jaafar
Al-Mansur, saudara muda dari Abul Abbas as Saffah. Ketika itu
Imam Abu Hanifah telah berumur 56 tahun. Namanya masih tetap harum
sebagai ulama besar yang disegani. Ahli fikir yang cepat dapat
menyelesaikan sesuatu persoalan.
Suatu hari Imam Hanafi mendapat panggilan
dari baginda Al-Mansur di Baghdad, supaya ia datang mengadap ke
istana. Sesampainya ia di istana Baghdad ia ditetapkan oleh baginda
menjadi kadi (hakim) kerajaan Baghdad. Dengan tawaran tersebut,
salah seorang pegawai negara bertanya: “Adakah guru tetap akan
menolak kedudukan baik itu?” Dijawab oleh Imam Hanafi “Amirul
mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar
sumpah saya.”
Kerana ia masih tetap menolak, maka diperintahkan
kepada pengawal untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam
penjara di Baghdad. Pada saat itu para ulama yang terkemuka di
Kufah ada tiga orang. Salah satu di antaranya ialah Imam Ibnu
Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as Saffah telah
menjadi mufti kerajaan untuk kota Kufah. Kerana sikap Imam Hanafi
itu, Imam Abi Laila pun dilarang memberi fatwa.
Pada suatu hari Imam Hanafi dikeluarkan dari penjara kerana mendapat
panggilan dari Al-Mansur, tetapi ia tetap menolak. Baginda bertanya,
“Apakah engkau telah suka dalam keadaan seperti ini?”
Dijawab oleh Imam Hanafi: “Wahai Amirul Mukminin semoga Allah
memperbaiki Amirul Mukminin.
Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah, janganlah bersekutu
dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada Allah.
Demi Allah saya bukanlah orang yang boleh dipercayai di waktu
tenang, maka bagaimana saya akan dipercayai di waktu marah, sungguh
saya tidak sepatutnya diberi jawatan itu.”
Baginda berkata lagi: “Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai memegang
jawatan itu.” Dijawab oleh Imam Hanafi: “Amirul Mukminin, sungguh
baginda telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya telah
menyatakan bahawa saya tidak patut memegang jawatan itu. Jika
saya berdusta, maka bagaimana baginda akan mengangkat seorang
maulana yang dipandang rendah oleh bangsa Arab. Bangsa Arab tidak
akan rela diadili seorang golongan hakim seperti saya.”
Pernah juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur
memanggil tiga orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu
Hanifah, Imam Sufyan ats Tauri dan Imam Syarik an Nakhaei. Setelah
mereka hadir di istana, maka ketiganya ditetapkan untuk menduduki
pangkat yang cukup tinggi dalam kenegaraan, masing-masing diberi
surat pelantikan tersebut.
Imam Sufyan ats Tauri diangkat menjadi kadi di Kota Basrah, lmam
Syarik diangkat menjadi kadi di ibu kota. Adapun Imam Hanafi tidak
mahu menerima pengangkatan itu di manapun ia diletakkan. Pengangkatan
itu disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu
menerima jawatan itu akan didera sebanyak l00 kali deraan.
Imam Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam
Sufyan tidak mahu menerimanya, kemudian ia melarikan diri ke Yaman.
Imam Abu Hanifah juga tidak mahu menerimanya dan tidak pula berusaha
melarikan diri.
Oleh sebab itu Imam Abu Hanifah dimasukkan
kembali ke dalam penjara dan dijatuhi hukuman sebanyak 100 kali
dera. Setiap pagi dipukul dengan cambuk sementara dileher beliau
dikalung dengan rantai besi yang berat.
Suatu kali Imam Hanafi dipanggil baginda untuk
mengadapnya. Setelah tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas
air yang berisi racun. Ia dipaksa meminumnya. Setelah diminum
air yang beracun itu Imam Hanafi kembali dimasukkan ke dalam penjara.
Imam Hanafi wafat dalam keadaan menderita di penjara ketika itu
ia berusia 70 tahun.
Imam Hanafi menolak
semua tawaran yang diberikan oleh kerajaan daulah Umaiyyah dan
Abbasiyah adalah kerana beliau tidak sesuai dengan corak pemerintahan
yang mereka kendalikan. Oleh sebab itu mereka berusaha mengajak
Imam Hanafi untuk bekerjasama mengikut gerak langkah mereka, dan
akhirnya mereka seksa hingga meninggal, kerana Imam Hanafi menolak
semua tawaran yang mereka berikan.
^ Kembali ke atas ^