|

Bersyukur kita ke hadrat
Allah SWT kerana masih dipanjangkan umur dan dapat meneruskan
kehidupan di bumi Allah. Dewasa ini, pelbagai cara dan alternatif
yang digunakan oleh musuh-musuh Islam dalam mencemar dan menggugat
kesucian agama Islam. Baru-baru ini, pihak Darul Nu'man telah
mendapat kiriman e-mail daripada insan prihatin mengenai masalah
ini. Kami telah menerima kiriman sebiji bola permainan yang
mengandungi kalimah "Laa ilahaillah Muhammadur Rasulullah"
di dalam teks arab.
Menurut pengirim, bola
ini diperolehinya semasa sedang mencari permainan untuk anaknya
di Pasaraya TC Permata Taman Melawati. Beliau amat terperanjat
dan merasakan perkara ini sebagai satu penghinaan terhadap
agama Islam. Bayangkan bagaimana sekiranya anak-anak kecil
mula menendang dan menyepak bola yang mengandungi Kalimah
"Allah" dan "Muhammad". Kemungkinan apabila
mereka telah dewasa kelak, tiada lagi rasa takut akan Allah
dalam diri mereka. Na'uzubillahi min zaalik!
Bersama ini kami sertakan
kiriman gambar yang dimaksudkan. Amat menghairankan bagaimana
permainan sebegini boleh terlepas masuk ke dalam pasaran tanpa
pengawalan / pengawasan daripada pihak berkuasa. Bukanlah
tujuan kami hendak menunding jari menyalahkan mana-mana
pihak. Tapi amat mendukacitakan apabila perkara sebegini berlaku.
Kejadian ini merupakan
salah satu diantara bentuk penghinaan terhadap kesucian dan
keagungan agama Islam yang dapat dikenal pasti. Kemungkinan
lebih banyak lagi perkara seumpama ini yang telah berlaku
tanpa dapat dikesan.
Adalah menjadi harapan
kita agar pihak yang berkenaan dapat menjalankan tindakan
sewajarnya bagi mengatasi dan membendung perkara seumpama ini
daripada berlaku pada masa-masa akan datang.
|