Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Akidah.Tauhid.Fekah
Perundangan

Soalan-soalan:

  1. Hudud
  2. Hukum Memperjuangkan Hukum Allah
  3. Hukum Allah sebagai Perundangan
  4. Ciri-ciri Seorang Pemimpin
  5. Pemimpin Bukan Islam dan Pemimpin Wanita
  6. Hak-hak Orang Bukan Islam dalam Negara Islam 
  7. Pengertian 'Tiada Paksaan Dalam Islam'
  8. Perbezaan Undang-undang Manusia dan Hukum Allah
  9. Perbezaan Syariah Islam dan Undang-undang Manusia
  10. Antara Agama dan Politik 
  11. Menyertai Parti Berdasar Islam

 


 

1. Hudud
Soalan:
Apakah hukumnya saya mengatakan bahawa hukum hudud tidak sesuai dengan masyarakat majmuk?

Mohd. Awaluddin, Kuantan

Jawapan:
Hukum mengatakan hukum hudud tidak sesuai dengan masyarakat majmuk adalah haram. Sebab hukum yang ditetapkan Allah dalam Al Quran itu adalah untuk seluruh alam. Maka perkara amat tercela jika mengatakan Al Quran dan segala ketentuannya tidak sesuai dengan masyarakat majmuk. Jika perkara ini dikeluarkan dari mulut Islam maka segeralah bertaubat, agar tidak sentiasa dalam kesesatan.

Mengenai proses pelaksanaannya di dalam masyarakat yang berbilang kaum ini ada ketentuan yang digariskan oleh Rasulullah SAW. Jadi janganlah umat Islam menafikan hukum-hukum yang telah ditetapkan Allah SWT di dalam Al-Quran. Sebagai masyarakat awam seandainya kita tidak mampu untuk melaksanakannya adalah lebih baik diam dan menyerahkannya kepada Allah agar hukum Islam dapat diterapkan pada masa yang ditentukan-Nya. Itu lebih selamat bagi kita.

Firman Allah SWT dalam Al Quran maksudnya: "Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan mengingkari taghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya". (An Nisaa' 60)

Kembali ke atas ↑


 

2. Hukum Memperjuangkan Hukum Allah
Soalan:
Adakah setiap individu itu wajib untuk memperjuangkan hukum-hukum Allah agar ia dilaksanakan di dalam negaranya?

Azhar, Johor Bahru

Jawapan:
Setiap individu wajib memperjuangkan dan menegakkan hukum Allah SWT. Sebab hukum yang  ditetapkan Allah dalam Al Quran itu adalah untuk seluruh alam. Maka perkara amat tercela jika mengatakan Al Quran dan segala ketentuannya tidak sesuai dengan masyarakat majmuk. Mengenai proses pelaksanaannya di dalam masyarakat yang berbilang kaum ini ada ketentuan yang digariskan oleh  Rasulullah SAW. Jadi janganlah umat Islam menafikan hukum-hukum yang telah ditetapkan Allah SWT di dalam Al-Quran. Sebagai masyarakat awam seandainya kita tidak mampu untuk melaksanakannya adalah lebih baik berdoa dan menyerahkannya kepada Allah agar hukum Islam dapat diterapkan pada masa yang ditentukan-Nya.

Firman Allah SWT dalam Al Quran maksudnya: "Bagaimana pendapatmu mengenai orang-orang yang mempunyai sangkaan dirinya beriman kepada (wahyu) yang telah diturunkan kepadamu dan (wahyu) yang telah diturunkan kepada Rasul-rasul sebelummu, tetapi ternyata mereka tetap menginginkan mengikut keputusan hukum dari taghut. Padahal mereka diperintahkan untuk mengingkari hukum-hukum taghut tersebut. Akan tetapi syaitan berkeinginan menyesatkan mereka pada kesesatan yang jauh". (An Nisaa' 60)     Menjadikan selain hukum-hukum Allah sebagai pegangan hidup bererti memilih taghut sebagai pemimpin, kerana taghut itu bererti sesat, syaitan dan menyembah selain Allah. Berusahalah menuju kepada kebenaran yang telah ditetapkan oleh Allah, agar kehidupan kita memperoleh berkah dan rahmat. Jika negara tidak dapat menegakkan hukum Allah secara seratus peratus, bermulalah dari diri sendiri dan keluarga agar kehidupan kita selamat daripada murka Allah di dunia dan di akhirat nanti. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

3. Hukum Allah sebagai Perundangan
Soalan:
Apakah hukumnya jika seorang pemimpin bagi sebuah negara tidak mengamalkan hukum Allah dalam perundangan sedangkan hukum yang ada sekarang tidak dapat menyelesaikan masalah sosial?

Muhammad, P. Pinang

Jawapan:
Seorang pemimpin negara Islam dikehendaki menjalankan pentadbirannya sesuai dengan ajaran Islam yang maha suci. Di antara perkara yang perlu dilaksanakan ialah penguatkuasaan hukum-hukum Allah yang merangkumi hukum hudud, qisas, dan takzir. Jika tidak boleh secara sekaligus hendaklah secara beransu-ansur.

Satu tempoh masa perlu diperuntukkan bagi menjelaskan kepada rakyat jelata yang masih kurang faham tentang pelaksanaan hukum ini dan keistimewaannya. Setelah itu barulah dikuatkuasakan pelaksanaannya. Pelaksanaan hukum ini adalah wajib menurut kacamata Islam. Jika seseorang pemimpin itu tidak melakukan sebarang usaha yang membolehkan hukum-hukum Allah itu ditegak dan dilaksanakan dalam pentadbirannya sedangkan ia mempunyai kemampuan berbuat demikian, maka di kalangan ulamak sehinggalah ke zaman ini berselisih pendapat tentang kedudukan pemimpin seperti ini.

Sesetengahnya berpendapat pemimpin seperti ini menjadi kafir terus dan terkeluar dari Islam. Sesetengah yang lain pula berpendapat pemimpin seperti ini tidak menjadi kafir, tetapi berdosa besar kerana melengah-lengahkan pelaksanaan hukum Allah SWT, apalagi jika ia sendiri mengakui bahawa hukum Allah itu perlu dilaksanakan cuma masanya sahaja yang tidak sesuai sekarang.

Menurut Al-Qardawi rakyat juga turut bersalah kerana memilih pemimpin yang masih tidak melaksanakan hukum Allah.

Kembali ke atas ↑


4. Ciri-ciri Seorang Pemimpin
Soalan:
Apakah kriteria-kriteria dan bagaimanakah ciri seorang pemimpin yang diperlukan dalam Islam?

Razib, Muar

Jawapan:
Ciri-ciri pemimpin dalam Islam ialah:

1. Berani
2. Pemurah
3. Adil
4. Sentiasa menjauhkan diri dari perkara yang dilarang
5. Benar
6. Amanah
7. Sabar
8. Lapang hati
9. Pemaaf
10. Kasing sayang
11. Mengutamakan perdamaian
12. Zuhud
13. Malu
14. Tawaduk
15. Setia
16. Suka berbincang
17. Baik pergaulan
18. Kuat berkerja
19. Gembira.

Kembali ke atas ↑


 

5. Pemimpin Bukan Islam dan Pemimpin Wanita
Soalan:
Adakah orang kafir boleh dilantik dikalangan masyarakat Islam kerana kepimpinannya dan bagaimana dengan pemimpin wanita dilantik?

Razib, Johor

Jawapan:
Dalam surah Ali Imran ayat 28 dan dalam surah An-Nisa' ayat 139 dan juga ayat 144 menegaskan dengan terang larangan melantik orang kafir menjadi pemimpin kepada orang-orang Islam walau dalam apa bidang sekalipun. Ini kerana dalam Islam seorang pemimpin bertanggungjawab soal amar makruf dan nahi mungkar, soal ibadat, dan lain-lain, sedangkan orang yang kafir tidak bertanggungjawab terhadap masalah ini, sebaliknya mereka hanya bertanggungjawab terhadap agama mereka sahaja.

Bagaimanapun di kalangan ulama' ada yang berpendapat boleh melantik orang yang bukan Islam untuk menjadi pemimpin kepada umat Islam bukan dalam bentuknya yang umum seperti presiden atau perdana menteri yang melibatkan urusan langsung umat Islam, tetapi dalam bidang-bidang tertentu yang mana umat Islam belum ada kepakaran tentangnya seperti bidang kedoktoran dan lain-lian.

Ibn Taimiyyah umpamanya ketika menghuraikan peristiwa Rasulullah SAW menyewa Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan baginda ketika berhijrah ke Madinah Munawwarah sedangkan Abdullah sendiri masih kafir bagi mengharuskan orang Islam melantik orang yang bukan Islam menjadi pemimpin mereka .

Dalam masalah ini dengan syarat orang yang bukan Islam itu taat kepada kepimpinan Islam dan tidak melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan Islam itu sendiri dan umatnya. Bagaimanapun umat Islam hendaklah menceburi bidang tersebut, supaya mereka dapat mengambil alih soal pengurusannya dengan baik.

Berhubung melantik perempuan menjadi pemimpin khususnya pemimpin besar umat Islam, jelas tidak boleh kerana bercanggah dengan nas yang menjelaskan kaum lelaki itu adalah pemimpin kepada kaum wanita dan tidak akan berjaya sesuatu kaum yang melantik kaum wanita mereka menjadi pemimpin mereka. Namun begitu ada beberapa profesion yang boleh kaum wanita menjadi pemimpin di dalamnya seperti bidang kejururawatan, pendidikan anak-anak dan lain-lain yang sesuai dengan fitrah semula jadi yang ada pada diri mereka.

Umar bin Al-Khattab pernah melantik seorang perempuan di zamannya menjadi pengurus pemasaran di Madinah. Di kalangan ulamak Ibn Jarir at-Tabari, dan Ibn Hazmi berpendapat kaum wanita boleh dilantik menjadi pemimpin asal sahaja tidak berbentuk pemimpin umum umat Islam, seperti menjadi qadi dan lain-lain.

Al-Qardawi dalam bukunya Fiqh Ad-Dawlah pula mengharuskan seseorang muslimat dicalonkan ke majlis parlimen atau Dewan rakyat walaupun dari satu sudut kedudukannya lebih tinggi dari kaum lelaki atas dasar antaranya menjalankan amar makruf dan nahi mungkar, di mana tugas ini menurut Al-Qardawi adalah tugas bersama kaum lelaki dan wanita dalam Islam.

Kembali ke atas ↑


 

6. Hak-hak Orang Bukan Islam dalam Negara Islam
Soalan:
Apakah hak-hak orang bukan Islam di dalam sebuah negara Islam?

Jai, JB

Jawapan:
Dalam sejaran Islam bermula daripada pemerintahan Rasulullah SAW sehinggalah kepada pemerintahan kerajaan Islam Othmaniyah orang-orang bukan Islam memperolehi hak yang sudah sedia terjamin oleh syariat kepada mereka. Mereka tidak pernah mengecapi kebebasan yang sebenarnya kecuali setelah berada dibawah pemerintahan Islam. Ahli perundangan Islam membahagikan rakyat yang bukan Islam kepada beberapa katogari. Antaranya:
1. Kafir Dhimmi. Mereka ialah orang yang sanggup taat setiap kepada negara Islam. Negara dikehendaki meraikan segala perjanjian yang dibuat dengan mereka.

2. Tawanan Perang. Mereka ini terdiri daripada orang yang menentang Islam sehinggalah mereka ditewaskan dan akhirnya ditawan. Secara automatik mereka diletakkan dibawah tanggungan negara Islam. Mereka dikehendaki membayar cukai mengikut kadar tertentu dan dengan itu hidup, harta benda, maruah dan rumah-rumah ibadat mereka dilindungi.

3. Orang bukan Islam yang menetap di negara Islam dan menjadi rakyat negara berkenaan.

4. Orang bukan Islam yang tinggal di negara Islam buat sementara waktu seperti pelancong atau pengembara.

5. Penduduk asing yang secara sukarela memilih untuk tinggal di dalam negara Islam.
Hak-hak asasi orang-orang yang bukan Islam dalam negara Islam merangkumi:
1. Mereka dilindungi oleh pemerintah Islam dari serangan luar.

2. Mereka dilindungi dari segala bentuk penganiayaan dan pencerobohan dari dalam negara.
Selain itu terdapat hak-hak yang lain iaitu;
1. Berhak melaksanakan undang-undang peribadi mereka seperti undang-undang yang bersangkutan paut dengan soal perkahwinan, perceraian, pembahagian harta pusaka, penjualan arak, makan daging babi dan menjual beli barang seumpamanya. Bagaimanapun jika mereka mahu tunduk kepada hukum-hukum syariat Islamiyah maka pemerintahan hendaklah menerima kehendak mereka dan menjalankan hukum syariat secara adil ke atas mereka.

2. Berhak membuat pilihan terhadap sesuatu pegangan agama tanpa sebarang paksaan dari pemerintahan Islam dan mereka boleh mengamalkan kepercayaan agama mereka dengan aman.

3. Hak untuk hidup. Orang bukan Islam yang berada dalam negara Islam mempunyai hak untuk hidup dan darahnya terpelihara. Tidak seorangpun berhak membunuh dan mengalirkan darahnya atau merampas harta bendanya. Jika ada mana-mana orang Islam yang membunuh mereka, maka hukumannya hendaklah dibunuh balas.

4. Kehormatan orang yang bukan Islam adalah terpelihara dalam negara Islam. Mayat dan tulang-temulang orang yang bukan Islam hendaklah dihormati seperti juga mayat orang Islam. Jenazah orang yang bukan Islam perlu dihormati.

5. Musuh-musuh Islam yang ditawan dalam peperangan berhak mendapat layanan yang adil dari pemerintah Islam. Mereka tidak boleh didera dan dibunuh sewenang-wenangnya, kecuali yang jelas merbahaya kepada negara Islam dan umatnya.

6. Rumah orang yang bukan Islam tidak boleh dicerobohi dan harta bendanya tidak boleh dicuri dan dirampas sewenang-wenangnya.

7. Orang yang bukan Islam berhak membuat permohonan kepada negara Islam bagi mendapatkan hak perlindungan politik sebagaimana orang Islam yang berada di negara bukan Islam berhak membuat permohonan berkenaan kepada mana-mana negara Islam.

8. Orang bukan Islam berhak mengadakan perhimpunan secara aman dan berhak menubuhkan persatuannya sendiri.

9. Orang yang bukan Islam mempunyai hak untuk menyatakan pendapat dan pendiriannya masing-masing, malah mereka mempunyai hak dalam berpolitik bagi membela nasib kaum mereka sendiri.

10. Orang bukan Islam berhak menjalankan perniagan secara bebas dalam negara Islam asal sahaja bentuk perniagaan itu tidak mengandungi jualan yang boleh merosakkan negara seperti dadah dan sebagainya.

11. Orang bukan Islam mempunyai hak dalam memegang jawatan dalam perkhidmatamn awam yang berkaitan dengan perkara duniawi dan tidak menyentuh tentang perkara agama Islam.

12. Orang yang bukan Islam yang terlampau miskin berhak mendapat bantuan kewangan dari pihak berkuasa negara Islam sebagaimana yang diputuskan oleh Saidina Umar ra. di zaman pemerintahannya.

13. Orang bukan Islam berhak mendapat rawatan kesihatan dan hak jaminan sosial dari kerajaan Islam.

14. Orang yang bukan Islam tidak boleh dipaksa melibatkan diri dalam angkatan tentera negara Islam, kerana dengan membayar cukai jizyah mereka berhak mendapat perlindungan dari kerajaan. Bagaimanapun jika mereka secara sukarela memasuki perkhidmatan angkatan tentera Islam, ia sangat dialu-alukan. Kerana dengan cara ini ia dapat berbakti kepada tanah air tempat ia menetap.
Orang-orang yang bukan Islam juga dikehendaki melaksanakan hak yang wajib mereka laksanakan terhadap negara Islam iaitu:
1. Mereka hendaklah melakukan perkara yang boleh menyumbangkan pada kesejahteraan masyarakat dan negara yang dihuninya.

2. Mereka tidak boleh melakukan sesuatu tindakan yang membahayakan negara Islam dan perbuatan yang menimbulkan rasa tidak senang orang Islam. Contohnya mereka tidak boleh membuka kedai arak dan kawasan ternakan babi di kawasan perumahan orang-orang Islam.

3. Orang yang bukan Islam dilarang menghina dan mencerca sebarang tokoh Islam sekalipun mereka tidak mempercayai dan menganuti Islam, malah mereka dituntut supaya menghormati pegangan orang Islam dan apa sahaja yang dimuliakan oleh orang Islam.

4. Orang-orang bukan Islam tidak boleh memberontak menentang negara Islam atau mementingkan diri sendiri sahaja dengan menimbulkan perkara yang mencetuskan huru-hara dalam masyarakat. Mereka tidak boleh bersama dengan golongan yang suka menyebarkan fitnah dalam negara Islam.

5. Mereka mesti mematuhi dan menghormati undang-undang yang dilaksanakan oleh negara Islam iaitu undang-undang yang bertujuan mengawal peraturan dan kebajikan masyarakat.
Inilah antara hak yang berhak diterima oleh orang bukan Islam dalam sesebuah negara Islam dan hak yang perlu mereka laksanakan kepada negara Islam. (Rujuk buku Non Muslim Under Shari'ah (Islamic Law) oleh A. Rahman. D.)

Kembali ke atas ↑


 

7. Pengertian 'Tiada Paksaan Dalam Islam'
Soalan:
Islam meletakkan hukum bunuh kepada umatnya yang tidak mahu kembali kepada Islam setelah murtad. Di dalam surah Al Baqarah ayat 156 (jika tidah salah) yang bermaksud: Sesungguhnya tiada paksaan dalam agama. Jadi persoalannya di sini, mengapa Islam mengatakan bahawa tidak ada paksaan dalam agama sedangkan apabila umatnya keluar dari Islam dan memeluk agama lain dihukumkan hukuman bunuh jika tidak mahu kembali kepada Islam setelah murtad? Saya mengalami sedikit kesukaran untuk menjawab soalan tersebut yang pernah diutarakan oleh seorang pelajar non-muslim. Jadi tolong berikan hujah-hujah yang berkesan dan lengkap untuk menjawab persoalan pelajar non-muslim tersebut.

Nor, Skudai

Jawapan:
Memang diakui dalam Islam tidak ada paksaan dalam beragama. Seseorang bukan Islam tidak boleh dipaksa dengan sewenang-wenangnya supaya memeluk Islam. Sepanjang sejarahnya Islam tidak pernah memaksa seseorang memeluk agamanya secara kekerasan. Apa yang berlaku ialah ramai golongan yang bukan Islam memeluk Islam secara sukarela setelah melihat kebaikan agama Islam dan kesesuaiannya dengan fitrah semula jadi mereka. Tidak kurang juga yang memeluk Islam setelah berpuashati dengan kajian yang mereka lakukan.

Pelaksanaan hukum murtad kepada orang yang murtad sebenarnya tidak ada sangkut pautnya dengan konsep tidak ada paksaan dalam agama. Ini kerana seseorang yang bukan Islam tidak boleh dipaksa menerima Islam. Mereka bebas memilih agama yang mereka ingin anuti. Bagaimanapun setelah mereka memilih Islam, dengan sendirinya mereka tertakluk dengan undang-undang dan peraturan yang ada dalam agama Islam. Jika mereka melakukan kesilapan, mereka akan dihukum berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada dalam agama Islam. Islam ada maruahnya tersendiri. Apabila maruahnya telah dicabul, maka pencabulnya berhak mendapat hukuman setimpal menurut undang-undang Islam.

Kedudukannya tak ubah seperti seorang murid yang baru memasuki alam persekolahan. Sekolah yang dimasukinya mempunyai peraturan sendiri. Jika murid-muridnya melanggar disiplin sekolah maka pihak sekolah berhak melaksanakan hukuman ke atas murid yang melanggar peraturan itu dan perbuatan pihak sekolah ini tidak boleh dinyatakan sebagai melanggar kebebasan murid berkenaan. Jika seseorang murid boleh berbuat apa sahaja disekolah, boleh menampar dan menumbuk kawan-kawannya sendiri, malah boleh membunuh mereka dengan mudah, jelaslah sekolah berkenaan berkenaan tidak ada maruah diri dan tidak ada disiplin.

Tidak ada seorang yang berakal waras dan sihat yang ada di muka bumi ini sanggup mengatakan menguatkuasakan undang-undang bermakna menyekat kebebasan seseorang. Kebebasan murid berkenaan berbuat demikian akan menimbulkan kemusnahan kepada sekolah berkenaan dan akan menjejaskan nama baiknya sendiri. Andaikata menguatkuasakan undang-undang itu dikatakan menyekat kebebasan, sudah pasti menangkap para perompak dikatakan menyekat kebebasan perompak itu sendiri untuk menjalankan aktivitinya.

Dalam dunia hari ini Allah SWT menciptakan alam cakerawala dengan peraturannya sendiri. Bulan bebas berputar, begitu juga dengan matahari, namun putaran bulan dan juga matahari adalah di atas paksi masing-masing sesuai sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Andaikata Allah SWT membiarkan matahari bergerak bebas tanpa undang-undang yang mengawalnya, sudah pasti akan mendatangkan kemudaratan yang cukup besar kepada alam maya ini.

Sehubungan dengan itu Islam juga mempunyai peraturan dan maruah serta kehebatannya tersendiri. Jika seseorang boleh saja memeluk dan keluar dari Islam dengan mudah, sudah pasti mencemarkan nama baik Islam itu sendiri, kerana itu yang terlibat berhak menerima hukuman-hukuman yang setimpal termasuklah hukuman hudud kerana murtad.

Hukuman ini tidak bertentangan dengan konsep bebas memilih agama. Tambahan pula Islam adalah satu agama yang sudah lengkap merangkumi soal-soal hubungan dengan Allah, hubungan sesama makhluk, merangkumi persoalan ibadat, munakahat, muamalat, jinayat, siyasah dan hubungan antarabangsa. Tidak ada satu agamapun di dunia ini yang mana syariatnya begitu syumul seperti Islam. Memilih agama lain menunjukkan pemilihnya tidak menggunakan akalnya sesuai dengan fitrah semula jadinya sendiri.

Satu perkara lagi konsep kebebasan itu juga perlu difahami. Apa yang didakwa oleh orang-orang barat sebagai kebebasan mutlak itu sebenarnya tidak tepat dan tidak berlaku, kerana mereka masih juga terikat dengan peraturan yang mereka buat sendiri. Kalau seseorang itu pergi ke pejabat pos untuk membayar bil elektrik, tiba-tiba ia melihat orang ramai sedang berbaris panjang menunggu giliran masing-masing untuk membayar bil-bil eletrik dan bil-bil air masing-masing, lantas kita terus ke kaunter bayaran tanpa mengikut giliran, atas nama kebebasan, sudah pasti kita akan dimarahi oleh mereka yang sedang berbaris panjang itu. Ini menunjukkan kita tidak mempunyai kebebasan yang mutlak, malah kebebasan kita terikat dengan peraturan yang dibuat.

Kalau dinilai atas nama kebebasan, maka seseorang itu boleh merogol isteri orang yang lalu lalang dihadapan suaminya dan suami tidak berhak melarangnya. Inilah yang dikatakan kebebasan sebenar, tetapi apa yang kita lihat ialah suami kepada wanita berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang merogol isterinya dan boleh jadi orang ramai yang menyaksikan kejadian itu akan turut memukulnya sehingga pengsan.

Jadilah jelaslah kepada kita melaksanakan hukum hudud murtad tidak dikatakan  melanggar kebebasan seseorang, kerana kebebasan seseorang itu masih terikat dengan peraturan. Sebaliknya melaksanakan hukum hudud murtad tidak lebih dari menguatkuasakan undang-undang yang terdapat dalam agama Islam itu sendiri.
(Ayat yang dimaksudkan di dalam soalan adalah ayat 256, Surah Al Baqarah).

Kembali ke atas ↑


 

8. Perbezaan Undang-undang Manusia dan Hukum Allah
Soalan:
1. Apakah peraturan dan undang-undang manusia diatas muka bumi ini?
2. Apakah kelebihan dan kelemahan-kelemahan undang-undang manusia?
3. Apakah perbezaan undang-undang manusia dengan undang-undang Islam?

Azimin, Johor

Jawapan:
1. Peraturan dan undang-undang manusia
Peraturan-peraturan dan undang-undang ciptaan manusia membawa maksud peraturan ciptaan manusia, atau dengan kata lain undang-undang yang dicipta oleh manusia bagi mengawal perlakuan manusia itu sendiri. Pada hari ini pun, kita lihat banyak peraturan ciptaan manusia yang muncul. Peraturan lalu lintas, peraturan tanah, peraturan pejabat, peraturan pentadbiran dan lain-lain.

Peraturan ciptaan manusia ini diterima Islam apabila ia tidak bercanggah dengan peraturan yang terdapat dalam Islam seperti peraturan yang tidak bercanggah dengan pelaksanaan hukum hudud dan hukum qisas. Sebaliknya peraturan yang melibat hukum-hukum takzir iaitu hukum yang dilihat sesuai oleh pihak berkuasa untuk mengawal perlakuan manusia adalah dibenarkan selagi tidak mendatangkan kerosakan kepada manusia itu sendiri seperti kerosakan kepada agama, pemikiran, keyakinan, kehormatan diri, keturunan dan tubuh badan.

2. Kelebihan dan kelemahan undang-undang manusia
Peraturan yang dicipta oleh manusia tetap mempunyai kebaikan dan keburukannya. Antaranya menimbulkan rasa bangga manusia dengan peraturan yang diciptakan oleh mereka sendiri. Mengatur kehidupan manusia secara lebih sistematik dan memperlihatkan akal manusia dalam mengendalikan urusan yang bersangkutan dengan manusia itu sendiri.

Antara keburukannya pula ialah peraturan manusia tidak suci sebagaimana peraturan yang ditetapkan oleh Allah. Peraturan yang diciptakan oleh manusia bersifat sementara waktu dan hanya sesuai untuk masa-masa tertentu sahaja. Peraturan manusia sentiasa mengalami perubahan dari semasa ke semasa. Peraturan yang dibuat oleh manusia kurang dihormati oleh manusia yang lebih tinggi dari orang yang membuat peraturan itu sendiri. Peraturan yang dibuat oleh manusia tidak dapat mendidik rohani manusia. Contohnya peraturan lalu lintas: Seseorang yang disaman oleh pihak polis kerana memandu kenderaan tanpa lesen umpamanya, walaupun ia pandai memandu, akan membayar denda yang dikenakan ke atasnya tetapi perasaan tidak puas hatinya tetap wujud dalam sanubarinya.

3. Perbezaan undang-undang manusia dengan undang-undang Islam
Kelebihan undang-undang dan peraturan ciptaan Allah SWT berbanding undang-undang dan peraturan ciptaan manusia antaranya adalah, undang-undang ciptaan Ilahi adalah bersifat suci, kerana ia datang dari tuhan yang
bersifat dengan sifat kesempurnaan. Peraturan ciptaan Ilahi seperti hukum hudud dan qisas bersifat kekal sehingga ke hari kiamat tidak seorangpun berhak mengelakkan diri dari menghukum berdasarkan hukum Islam apabila ada seseorang yang melakukan pembunuhan, jika telah sabit segala buktinya.

Hukum bunuh balas tetap dikenakan ke atasnya jika segala bukti tadi telah sabit. Peraturan ciptaan Ilahi mendatangkan rasa gerun di dalam hati, di mana perasaan gerun ini adalah merupakan satu bentuk pendidikan kepada pelaku kemungkaran dan orang-orang yang menyaksikan pelaku kemungkaran itu dijalankan hukuman ke atasnya. Hukuman Ilahi menggugurkan dosa pelakunya. Dengan lain perkataan seseorang yang melakukan perzinaan, kemudian dilaksanakan hukum-hukum hudud zina ke atasnya, maka dosa-dosanya dihapuskan dan ia akan dibangkitkan di akhirat kelak tanpa dosa zina lagi, jika ia bertaubat sebelum ia sempat meninggal. Inilah antara puluhan keistimewaan undang-undang dan peraturan Ilahi yang terdapat dalam Islam.

Kembali ke atas ↑


 

9. Perbezaan Syariah Islam dan Undang-undang Manusia
Soalan:
Apakah perbezaan syariah Islam dengan undang-undang ciptaan manusia dari aspek:
a) pengajaran dan pendidikan
b) kesesuaian zaman
c) pembalasan
d) keadilan

Zura, JB

Jawapan:
Undang-undang syariah adalah undang-undang yang dicipta oleh Allah SWT untuk kesejahteraan sejagat. Sebab itulah ia bersifat universal. Antara perbezaan undang-undang syariah dengan undang-undang ciptaan manusia dari segi pengajaran, undang-undang Allah lebih bersifat mendidik samada kepada individu itu sendiri atau kepada masyarakat kerana tarbiah merupakan intipati pengajaran dalam Islam. Ia bukan bertujuan menghukum semata-mata malah lebih menyedarkan individu kepada kehidupan hakiki.

Dari kesesuaian pula, oleh kerana ia bersifat umum maka ia sesuai untuk setiap tempat dan masa serta sesuai untuk semua bangsa. Asas undang-undang ini tidak berubah tetapi perlaksanaannya adalah mengikut kesesuaian setempat dan mengikut maslahat-maslahat tertentu. Berbanding undang-undang manusia yang lebih bersifat khusus kepada sesuatu kelompok jadi ia tidak sesuai untuk semua orang.

Undang-undang syariah terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, hubungan manusia dengan Tuhannya. Dalam konteks ini pembalasan bukanlah pokok kepada hukuman kerana sifat Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang namun ia lebih bersifat menyedar dan menimbulkan keinsafan untuk bertaubat.

Kedua, hubungan manusia sesama manusia. Dalam hal ini, undang-undang syariah menekankan kepada pembalasan yang setimpal dan adil jika jenayah dilakukan kepada orang lain disamping menimbulkan rasa keinsafan kepada masyarakat. Dalam surah Al-Baqarah Allah SWT telah berfirman:" Jika kamu dizalimi (disakiti) hendaklah kamu membalas perbuatan tersebut setimpal dengannya". Jadi ia amat menitikberatkan tentang keadilan agar tiada seorang manusiapun merasa dirinya dizalimi.

Untuk makluman, undang-undang syariah amat menekankan kepada penjagaan kesejahteraan kehidupan dengan menjaga lima maslahat penting dalam kehidupan setiap individu yang dikenali juga sebagai (Ad-daruriat al-khamsah) iaitu agama, akal, harta, keturunan, dan nyawa. Berbeza dengan undang-undang manusia yang mementing salah satu aspek darinya dan melupakan yang lain.

Kembali ke atas ↑


 

10. Antara Agama dan Politik
Soalan:
Apakah hukumnya orang yang mengatakan Agama Dan Politik tidak boleh dicampuradukan?

Pedang, Sg Petani

Jawapan:
Pada dasarnya Deinul Islam (agama Islam) mencakup segala aspek kehidupan bermula dari diri sendiri hingga persoalan masyarakat dan negara. Negara yang dituntut adalah negara yang berdasarkan ketentuan Allah iaitu menegakkan kebenaran dan keadilan. Sedangkan istilah politik dalam masyarakat moden tak lebih hanya suatu ideologi yang dibuat oleh manusia dan politik ini memang tidak perlu dicampuradukkan dengan kehidupan umat Islam.

Kembali ke atas ↑


 

11. Menyertai Parti Berdasar Islam
Soalan:
Apakah hukumnya kita menyertai politik yang berdasarkan Islam?

Pedang, Sg Petani

Jawapan:
Oleh kerana dunia moden telah membentuk sistem demokrasi dalam sesebuah negara dan umat Islam wajib pula menyertainya demi menegakkan keadilan maka wajiblah bagi kita menyertai perkumpulan/jemaah/ parti yang berdasarkan Islam demi tegaknya kebenaran.

 Kembali ke atas ↑

Popular

Wadah Harian

Kamu tidak akan masuk syurga, kecuali kalau kamu beriman, dan tidaklah beriman kalau kamu belum saling berkasih sayang. Mahukah kamu, aku tunjukkan sesuatu yang bila kamu kerjakan, kamu akan berkasih sayang antara satu sama lain? Tebarkanlah salam di antaramu.

* Petikan: Imam Ghazali DN 082 1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat

 
Anda Di Sini Soal Jawab Aqidah.Tauhid.Fekah Perundangan