Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

 Haji

Soalan-soalan:

  1. Mengerjakan Haji dengan Mengupah Orang Lain
  2. Menunaikan Haji bagi Si mati
  3. Pelaksanaan Ibadah Kurban 
  4. Memperolehi Haji yang Mabrur

 


 

1. Mengerjakan Haji dengan Mengupah Orang Lain
Soalan:
Bolehkah seseorang yang sakit (tidak boleh berjalan) mengerjakan haji dengan cara mengupah seseorang untuk mengerjakan haji bagi pihaknya? 

Fauziah, KL

Jawapan:
Orang yang lemah keadaannya seperti sudah terlalu tua atau uzur sakit yang berat dan tidak dapat pergi sendiri untuk menyempurnakan fardhu Haji, maka diharuskan ia menyuruh orang lain mengerjakan Haji bagi pihak dirinya, samada dengan sukarela ataupun dibayar upahnya.

Begitu juga jika orang itu meninggal dunia tetapi belum dapat menunaikan fardhu Haji semasa hidupnya, maka harus juga hukumnya bagi orang yang hidup mengerjakan Haji atasnya, samada dengan sukarela atau diupah.

Kembali ke atas ↑


 

2. Menunaikan Haji bagi Si mati
Soalan:
Kalau seseorang itu telah meninggal dunia tetapi dia belum sempat menunaikan haji, adakah wajib warisnya menggunakan wang simpanan kwsp arwah simati untuk menunaikan haji secara wakil. Ini adalah setelah semua hutang-hutang arwah simati dibayar?

Jaafar, KL

Jawapan:
Apabila seseorang itu meninggal dunia harta peninggalannya tergantung kepada lima perkara mengikut turutan. Pertama digunakan untuk menyelesaikan urusan jenazahnya. Kedua menyelesaikan gadaian atau harta yang dipinjamnya dari orang lain. Ketiga membayar hutang si mati samada hutang kepada manusia mahupun hutang kepada Allah SWT. Menunaikan wasiat si mati, jika beliau ada berwasiat. Kelima membahagikan harta pusaka kepada waris-waris si mati.

Oleh itu jika si mati masih belum menunaikan fardu haji sedangkan ia telahpun mempunyai kemampuan berbuat demikian, maka wajiblah diwakilkan kepada orang lain supaya menunaikan fardu haji bagi pihaknya dengan syarat pihak yang menjadi wakil itu telahpun menunaikan fardu haji. Seorang perempuan dari Khas'am pernah bertanya Rasulullah SAW tentang kedudukan ayahnya yang sudah tua yang tidak mampu lagi menunaikan fardu haji, adakah beliau boleh menunaikan fardu haji bagi pihaknya.

Ujar baginda SAW: Ya; (Hadis ini dikeluarkan oleh malik, Asy-Syafii, Asy-Syaikhain, Abu Dawud Dan Nissa'i). Dalam sebuah hadis yang lain menjelaskan seorang perempuan bertanya Rasulullah SAW tentang ibunya yang bernazar hendak menunaikan fardu haji tetapi belum sempat ia berbuat demikian, ia sudah meninggal, adakah boleh ia menunaikan fardu haji untuk ibunya itu. Rasulullah SAW memberi kebenaran kepada perempuan itu berbuat demikian.

Sehubungan dengan itu anda boleh mengeluarkan wang KWSP ayah anda untuk digunakan bagi menunaikan fardu haji bagi pihak ayah anda, kerana ibadat haji itu dikira hutang dengan Allah yang mesti dilangsaikan terlebih dahulu, kemudian yang selebihnya hendaklah dibahagikan sebagaimana dalam sistem pembahagian pusaka.

DN 045 Panduan Ibadah Haji, Umrah dan Ziarah

Kembali ke atas ↑


 

3. Pelaksanaan Ibadah Kurban
Soalan:
1. Adakah perbezaan peraturan Korban di Singapura dan Malaysia?
2. Apakah hukumnya jika ibadah korban itu di kongsi bersama tujuh anggota lain?
3. Saya mempunyai niat untuk berkorban lembu di Malaysia, bolehkah ibadah korban ini di lakukan?

Noorzimin, Singapura

Jawapan:
Pelaksanaan korban sama saja dimana-mana negara Islam, kerana kita sama-sama mengikut syariat yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Jika anda berhasrat ingin berkorban di negara lain juga dibolehkan asalkan kita yakin bahawa fakir miskin di tempat kita telah mendapat bahagian korban ataupun di tempat kita tidak ada lagi orang miskin atau orang yang layak untuk menerima korban tersebut.

Mengenai korban yang dikongsi bersama tujuh anggota lain, ada hadith yang membenarkan perkara ini. Di dalam pelaksanaan korban seekor kambing untuk seorang dan seekor lembu atau unta boleh berkongsi seramai tujuh orang. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menjelaskan: "Dari Al Barqani menyatakan Rasulullah SAW telah bersabda kepada kami "Berkongsilah kamu pada seekor unta dan lembu setiap tujuh orang seekor".

Dalam hadith yang lain dari Jabir mengatakan "Kami telah menyembelih korban bersama Rasulullah  SAW pada tahun Hudaibiyah seekor unta untuk tujuh orang dan seekor lembu untuk tujuh orang". (Riwayat Muslim)

Kembali ke atas ↑


 

4. Memperolehi Haji yang Mabrur
Soalan:
Kita maklum bahawa ibadah haji diwajibkan keatas kita cuma sekali seumur hidup. Dalam kursus-kursus haji yang saya hadiri, dimaklumkan bahawa untuk mendapat haji yang mabrur adalah amat sukar sekali- malahan penceramah tersebut ada menyatakan bahawa dalam berjuta-juta manusia yang mengerjakan haji cuma beberapa kerat sahaja yang dikurniakan haji yang mabrur. Saya musykil kerana jika sedikit sahaja yang mendapat haji yang mabrur, bagaimana pula dengan haji yang dikerjakan oleh jemaah-jemaah yang lain, adakah masih diterima oleh Allah?

Bakal Hajah, Shah Alam

Jawapan:
Masalah diterima atau ditolaknya amalan seseorang itu adalah hak Allah, cuma saja sebagai hamba yang beriman dan bertakwa kepadaNya hendaklah dalam beramal ibadah itu disertai dengan rukun dan syarat yang betul dan sempurna. Dalam mengerjakan ibadah haji sama juga dengan mengerjakan ibadah-ibadah yang lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Jika didalam mengerjakannya tidak disertai dengan adab, rukun dan syarat yang betul, maka nilai, fadhilat dan keutamaan dari ibadah tersebut akan hilang. Meskipun ibadah haji kita sah kerana telah tertunai rukun, syarat wajib dan sebagainya, namun dari segi keutamaan haji yang mambur itu tidak semua orang memperolehinya. Itulah sebabnya dalam mengerjakan ibadah tidak kira apapun ibadah atau fardhu yang diwajibkan hendaklah disertai dengan hati yang ikhlas mengharap keredhaan dan keampunan Allah, bukan kerana perkara yang lain.

Tidaklah menjadi kemusykilan dan kehairanan jika dari sekian juta jemaah yang menunaikan ibadah haji hanya segelintir sahaja yang memperolehi haji yang mabrur atau hajinya yang diterima. Sebab untuk memperolehi keredhaan Allah itu bukan suatu yang mudah tetapi memerlukan ketabahan, kesabaran, ketakwaan, tawadhuk, istiqamah dan hanya menyerah segala urusan kepada Allah semata. Disamping itu  didalam menjalankan syariat agama hendak dilakukan dengan hati yang ikhlas dan suka menegakkan amar makruf nahi mungkar. Wallahu A'lam.

DN 017 Hikmah & Fadhilat Haji, Umrah & Ziarah

Kembali ke atas ↑

Popular

Anda Di Sini Soal Jawab Haji