Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Puasa
Lain-lain Hal Puasa

Soalan-soalan:

  1. Waktu Imsak
  2. Maksud Hari Syak
  3. Berpuasa Awal Sehari kerana Merantau
  4. Kesan dari Sebulan Ramadhan 
  5. Melihat Gambar Lucah di Bulan Ramadhan

 


 

1. Waktu Imsak
Soalan:
Bilakah masa sebenar waktu tidak dibenarkan lagi makan dan minum samada waktu imsak atau azan subuh?

Abdullah Abu Bakar, KL

Jawapan:
Yang dimaksud dengan waktu Imsak adalah waktu untuk menahan, maka sebaiknya kita berhenti makan ketika waktu Imsak telah masuk. Rasulullah SAW dalam satu riwayat menyebutkan, baginda setelah sahur sempat membaca 10 ayat Quran kemudian baru masuk waktu Solat Subuh. Ini membuktikan bahawa tidak makan sahur hingga sampai saat azan subuh berkumandang. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

2. Maksud Hari Syak
Soalan:
Kemusykilan saya adalah merujuk kepada hari-hari syak untuk mengerjakan ibadat puasa sunat pada bulan sya'ban. Adakah ianya adalah pada melihat anak bulan ataupun hari yang puasa tak jadi disebabkan anak bulan tak kelihatan?

Nur Deeny, KL

Jawapan:
Hari syak yakni hari 30 Sya'ban yang tiada terlihat hilal (anak bulan) pada malamnya.

Kembali ke atas ↑


 

3. Berpuasa Awal Sehari kerana Merantau
Soalan:
Ibu saya telah menunaikan umrah baru-baru ini. Beliau telah mula puasa di Mekah 1 hari lebih awal. Bagaimana kedudukan puasa beliau sekarang di Malaysia berpuasa ramadhan 30 hari?

Haji Khalid, Ipoh

Jawapan:
Seseorang itu bolehlah memulai puasanya apabila dia telah melihat hilal atau anak bulan Ramadhan. Tak kiralah di negara mana ia berada ketika itu. Kemudian seseorang itu boleh berbuka atau berhari raya ketika melihat hilal atau anak bulan Syawal. Dalam sebuah hadis ada di jelaskan maksudnya: "Berpuasalah kamu kerana telah melihatnya (hilal Ramadhan) dan berbukalah kamu kerana telah melihatnya (hilal Syawal)". (Riwayat Bukhari dan Muslim) Jika ketika awal puasa berada di Makkah dan di sana sehari lebih awal dari negara kita, maka kita (yang berada di Makkah) wajib berpuasa kerana telah melihat anak bulan Ramadhan. Setelah kembali ke tanah air maka ikutlah kaedah di sini, jika terlihat anak bulan Syawal nanti maka berbukalah (menyambut hari raya). Tidak perlulah kita mengira jumlah lebihan hari kita berpuasa lantaran proses pertukaran tempat, tetapi sebaliknya bersyukurlah atas rahmat yang Allah berikan itu. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sekiranya ummatku mengetahui apa yang ada pada Ramadhan itu, sudah pasti  mereka akan sentiasa mengharapkan agar semua bulan yang lain menjadi Ramadhan" (Hadis)

DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑


 

4. Kesan dari Sebulan Ramadhan
Soalan:
Bagaimanakah kita hendak memastikan puasa sebulan Ramadhan benar-benar memberikan kesan kepada diri?

Hamba Allah, Alor Setar

Jawapan:
Tujuan ibadat puasa disyariatkan ialah untuk melahirkan mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT. Puasa juga merupakan ibadat yang telah difardukan oleh Allah kepada umat-umat terdahulu berdasarkan teknik yang sesuai dengan masyarakat pada masa itu. Puasa yang paling berkesan ialah puasa yang mengikut segala tatacara yang telah
digariskan oleh para ulamak Islam. Antaranya:

1. Menahan diri dari makan dan minum di siang hari sepanjang bulan Ramadan.

2. Menjauhkan diri dari bercumbuan-cumbuan dengan isteri di siang hari pada bulan Ramadan.

3. Menunaikan solat 5 waktu sehari semalam secara berjemaah.

4. Menjaga mulut dari mengumnpat, memaki hamun, mengata orang, menuduh yang bukan- bukan, bercakap perkara yang sia-sia.dan lain-lain.

5. Memperbanyakkan bacaan Al-Qur;an dan berzikir kepada Allah.

6. Menjaga telinga supaya tidak mendengar kata-kata umpatan, nista, tuduhan palsu, kata-kata yang meransangkan seks dan lain-lain.

7. Menjaga mata dari melihat perempuan yang halal berkahwin dengannya dan dari menonton filem-filem yang tidak senonoh di dalam TV.

8. Menjaga tangan dari memegang sesuatu yang haram seperti memegang bahu perempuan, gambar lucah dan lain-lain.

9. Menjaga kaki supaya tidak bergerak ke tempat-tempat maksiat, kerana kaki akan disoal nanti tentang kerja yang dilakukannya sepanjang hidup di dunia.

10. Menjaga perut dari makanan yang berlebihan walaupun halal dan mengelakkan dari makanan yang haram dan dari pendapatan yang tidak bersih.

11. Menjaga alat kelamin supaya tidak menggunakannya kepada sesuatu yang diharamkan oleh syariat seperti melakukan onani dan lain-lain kecuali kepada isteri sahaja pada malam hari bulan Ramadan.

12. Membulatkan hati hanya kepada Allah dan hanya mengharapkan keredaan Allah semata-mata.

Inilah di antara cara yang paling berkesan untuk menjadikan puasa yang sedang kita lakukan itu berkesan dan diterima Allah. Dengan lain perkataan puasa yang berkesan itu ialah puasa yang bukan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja, sebaliknya memerlukan kepada pengiltizaman terhadap syarat-syarat, adab-adab dan rukun-rukun yang telah digariskan oleh syariat Islam sepenuhnya.

 DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑


5. Melihat Gambar Lucah di Bulan Ramadhan
Soalan:
Saya ada membaca sebuah buku agama yang menyatakan bahawa hukum melihat gambar lucah ketika di bulan Ramadhan adalah "makruh". Adakah pernyataan ini benar?

Suhaimi, Klang

Jawapan:
Fuqaha Syafi'iyah memakruhkan seseorang yang sedang berpuasa dengan sengaja membangkitkan atau memancing nafsu berahi, baik dengan berpandang-pandangan, berciuman atau saling mendengar kata-kata yang mengarah kepada perkara tersebut. Perkara ini akan menjadi haram apabila dilakukan dengan orang yang dilarang syarak dia melakukan itu baik di luar puasa mahupun di dalamnya. Melihat gambar lucah ertinya melihat aurat atau kemaluan orang lain. Perkara ini sudah jelas berdosa, tidak kiralah pada bulan Ramadhan ataupun bulan-bulan yang lain.

 DN 054 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Ibadah Puasa)

Kembali ke atas ↑

Popular

Anda Di Sini Soal Jawab Puasa Lain-Lain Hal Puasa