Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Solat
Lain-lain Hal Solat

Soalan-soalan:

  1. Khusyuk Ketika Solat
  2. Tidak Khusyuk dalam Solat
  3. Solat Jenazah bagi Bayi
  4. Melintasi Orang Solat
  5. Solat Ketika Sesat Di Hutan
  6. Solat di Kakilima Masjid
  7. Hukum Lelaki memakai Emas dalam Solat
  8. Meninggalkan Bacaan Surah dalam Solat
  9. Diganggu bayangan Ketika Takbir
  10. Menegur Ayah yang tidak Solat
  11. Bersolat dengan Pakaian Bergambar
  12. Solat bagi Wanita Mengalami Keputihan
  13. Hukum Solat Si Penzina
  14. Solat dengan Wangian Beralkohol
  15. Solat Ketika Terperangkap Kesesakan Jalanraya
  16. Mandi Wajib, Wudhu, Solat
  17. Membaca Surah Panjang
  18. Melewat-lewatkan Waktu Solat
  19. Perkara Makruh ketika Solat
  20. Memejamkan Mata Ketika Solat
  21. Cara Melaksanakan Sujud Syukur
  22. Melangkah Gambar Ka'bah dan Masjid
  23. Tidak Mengerjakan Solat
  24. Menasihati Mengenai Hal ehwal Solat Sahabat
  25. Kaum Wanita Solat Berjemaah Di Surau Pejabat
  26. Aurat Wanita dalam Solat
  27. Ibu Jari Terkeluar Ketika Solat
  28. Solat Sambil Duduk
  29. Pakaian Ketika Solat
  30. Pakaian di dalam Solat Menurut Syarak
  31. Doa Memelihara Solat
  32. Solat Hanya Sekali Seminggu
  33. Solat Di Rumah Bukan Muslim
  34. Meninggalkan Solat Jumaat kerana Kerja
  35. Majikan Tidak Membenarkan Solat Jumaat
  36. Berkata-kata Ketika Khatib membaca Khutbah

 


 

1. Khusyuk Ketika Solat
Soalan:
Bagaimanakah kita ingin khusyuk dalam sembahyang kerana sering kali saya tidak dapat melakukan dengan sempurna?

Wan, JB

 Jawapan:
Ali bin Abi Thalib pernah menerangkan "Khusyuk itu ialah khusyuk hati". Kemudian beliau menambahkan "Khusyuk itu di hati dan hendaknya seseorang merendahkan diri kepada seorang muslim yang lain; dan janganlah anda berpaling-paling dalam sembahyang anda".

Kemudian menurut Abdullah bin Umar: "Adalah para sahabat nabi apabila mereka bersembahyang, mereka menghadapkan betul-betul kepada sembahyangnya, mereka merendahkan penglihatan mereka ke tempat tempat sujud mereka dan mereka menyedari sesungguhnya Allah sedang berhadap kepada mereka, maka tidaklah mereka berpaling ke kanan dan ke kiri".

Banyak ayat-ayat suci Al Quran menjelaskan tentang pentingnya khusyuk ketika solat ini. Diantaranya, "Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya". (Al Mukminun 1-2)

Firman-Nya lagi "Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk". (Al Baqarah 238)

Sebenarnya memang sukar untuk menghadirkan seluruh anggota tubuh dan hati ketika mengerjakan solat. Namun usaha untuk menyempurnakan syarat dan rukunnya merupakan ikhtiar yang paling penting untuk menuju ke arah khusyuk tersebut. Dengan cara ini insya Allah kesempurnaan solat kita akan tercapai. Wallahu A'lam.


DN 330 Khusyuk Dalam Solat 
DN 434 20 Tips Khusyuk Solat
DN 176 Menjawab Kemusykilan Ibadah Solat (Edisi Rumi)

Kembali ke atas ↑


 

2. Tidak Khusyuk dalam Solat
Soalan:
Apakah hukumnya bagi orang yang tidak khusyuk dalam solat dan bagaimana seseorang itu hendak khusyuk dalam solat.  Adakah doa orang yang tidak khusyuk dalam solat diterima oleh Allah?

Saiful, Taiping

Jawapan:
Khusyuk di dalam solat menurut jumhur ulamak adalah sunat hukumnya. Khusyuk membawa pengertian seseorang menunaikan solat dengan hati yang hadir, tidak berpaling kekiri dan kekanan, mata tertumpu ke tempat sujud dan fikiran ditumpukan kepada bacaan di dalam solat. Nabi SAW sangat-sangat menganjurkan kepada umatnya supaya khusyuk didalam solat.

Bagaimanapun bagi orang yang tidak khusyuk di dalam solatnya tidaklah membuatkan batal solatnya. Solatnya tetap sah cuma ia mendapat pahala yang kurang, tidak sepenuhnya. Pahala diberi oleh Allah SWT bergantung kepada sejauh mana kekhusyukan seseorang itu didalam solatnya. Jika ia khusyuk di satu perdua solatnya, maka ia mendapat pahala satu perdua sahaja dari solatnya. Jika ia khusyuk sebanyak satu perlapan sahaja dari solatnya, bererti ia mendapat pahala sebanyak satu perlapan sahaja dari solatnya. Begitulah seterusnya. Untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat memerlukan perkara berikut:

1. Pakaian yang digunakan dalam solat hendaklah bersih dari najis.Begitu juga dengan sejadah. hendaklah bersih dan tidak mempunyai gambar-gambar yang boleh melalaikan orang yang menunaikan  solat.

2 Hendaklah menunaikan solat tepat pada masanya dan secara berjemaah.

3. Dalam suasana yang aman tanpa suara bising dari kanak-kanak mahupun dari TV, Radio dan sebagainya.

4. Imam hendaklah seorang yang elok bacaannya, kerana bacaan yang elok membantu menghadirkan hati. Imam itu pula tidak dibenci oleh  ahli jemaah.

5. Bersihkan fikiran dari masalah hidup dan tumpukan sepenuh perhatian kepada Allah.

6. Membuang air kecil dan air besar terlebih dahulu, jika merasa perlu berbuat demikian. Kerana orang-orang yang solat dalam keadaan menahan buang air kecil dan buang air besar tidak akan memperolehi kekhusyukan.

7. Kesihatan tubuh badan hendaklah dijaga, badan yang sakit sukar mendatangkan rasa khusyuk kepada hati di dalam solat.

8. Hati hendaklah hadir di dalam solat, bukannya melayang tidak tentu arah.

9. Memahami makna bacaan di dalam solat.

10. Merasa gerun kepada Allah SWT.

11. Merasa takut kepadaNya.

12. Merasa malu kepadaNya.

13. Menaruh harapan mudah-mudahan Allah SWT menerima solatnya.

Berhubung dengan doa pula, dalam sebuah hadis dijelaskan Allah SWT akan memperkenankan doa hambaNya yang bersungguh-sungguh dalam doanya, tidak lalai di dalam doanya itu. Doa orang yang tidak khusyuk yang lalai hatinya tidak akan diperkenankan oleh Allah SWT lantaran keadaan hatinya yang lalai dari Allah S.W.T.

DN 070 Roh Sembahyang
DN 072 Kesilapan Ketika Sembahyang

Kembali ke atas ↑


 

3. Solat Jenazah bagi Bayi
Soalan:
Jika sesorang itu melahirkan anak, tetapi anak itu didapati telah meninggal sewaktu di dalam kandungan lagi.  Jadi, perlulah jenazah anak tadi dimandikan dan disembahyangkan seperti jenazah yang lain. Kerana ada pendapat mengatakan bahawa jenazah bayi itu hanya dimandikan dan tidak wajib disembahyangkan.  Bagaimanakah sebenarnya masalah ini?

Noranom, Kajang

 Jawapan:
Bayi yang gugur atau lahir yang belum berumur empat bulan dalam kandungan, tidaklah dimandikan dan disolatkan. Cukup dibalut dengan kain lalu ditanam. Demikianlah pendapat fuqaha tanpa ada perselisihan pendapat.

Jika telah berusia empat bulan atau lebih dalam kandungan dan menunjukkan ciri-ciri hidup, maka menurut kesepakatan fuqaha hendaklah dimandikan dan disolatkan. Seandainya tidak menunjukkan tanda-tanda hidup maka menurut golongan Hanafi, Maliki, Auza'i dan Hasan tidaklah disolatkan.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Jika bayi yang gugur itu memiliki tanda-tanda hidup, hendaklah disolatkan dan ia berhak mendapat warisan" (HR Tirmizi, Nasai', Ibnu Majah dan Baihaqi). Menurut Imam Ahmad, Said, Ibnu Sirin dan Ishak berpendapat bahawa ia dimandikan dan disolatkan berdasarkan hadis yang berbunyi: "Orang yang berkenderaan hendaklah berada di belakang jenazah, sedang yang berjalan kaki di depannya, dekat kepadanya sebelah kanan atau kirinya. Sedang anak yang keguguran juga disolatkan dan didoakan keampunan dan rahmat bagi kedua orang tuanya".  (HR. Ahmad dan Abu Daud)

Menurut ulama ini kerana anak itu merupakan manusia yang telah ditiupkan roh ke dalam tubuhnya sehingga ia harus disolatkan sebagaimana halnya bayi yang mempunyai tanda-tanda hidup. Nabi SAW telah menyatakan bahawa pada usia empat bulan ditiupkanlah roh kedalam tubuh bayi yang ada dalam kandungan ibunya. Menurut pendapat ulama ini, hadis yang dikemukakan oleh pendapat pertama di atas lemah dan kerana bertentangan dengan yang lebih kuat, sehingga tidak dapat diterima sebagai hujjah atau dalil.

Maka dapat kita ambil kesimpulan jika bayi tersebut belum berumur empat bulan dalam kandungan telah meninggal dunia maka tidak perlu dimandikan dan disolatkan. Namun jika telah lebih dari empat bulan, maka perlu dimandikan dan disolatkan.

DN 346 Panduan Lengkap Mengurus Jenazah

Kembali ke atas ↑


 

4. Melintasi Orang Solat
Soalan:
Apakah hukum dan juga dalil seseorang muslim tidak dibenarkan berjalan melintasi seseorang yang sedang bersembahyang (fardhu mahupun sunat). Apakah azab-azab yang telah disebutkan dalam ayat-ayat quran dan juga hadis yang berkaitan?

Nur Deeny, KL

 Jawapan:
Banyak hadis yang menjelaskan tentang haramnya melintasi orang yang sedang solat. Diantaranya, Dari Zaid bin Khalid bahawa Nabi SAW bersabda: "Seandainya seseorang itu mengetahui betapa besar dosa yang akan dipikulnya kerana berjalan di muka orang yang sedang bersembahyang, nescaya ia lebih suka berdiri menunggunya sampai 40 musim daripada lalu dihadapannya". (setengah riwayat mengatakan 40 tahun). Riwayat Bazzar dengan sanad yang sah. Berkata Ibnul Qayyim: "Menurut Ibnu Hibban dan lain-lain, hukum haram yang disebutkan itu ialah bila orang yang bersembahyang itu menggunakan tabir. Maka kalau tidak pakai tabir, tidaklah haram lalu di depannya. Dasar ketentuan sesuai dengan hadis Nabi yang bermaksud: "Dari Muthalib bin Abi Wada'ah katanya, saya melihat Nabi SAW setelah selesai tawaf, berjalan melalui tempat tawaf, kemudian bersembahyang dua rakaat, sedang diantara baginda dengan orang-orang tawaf itu tidak ada tabir apapun".

Kembali ke atas ↑


 

5. Solat Ketika Sesat Di Hutan
Soalan:
Bagaimana caranya hendak melakukan solat kalau kita tersesat di dalam hutan pada waktu malam?

Safiron

 Jawapan:
Jika kita tersesat di dalam hutan di waktu malam sedangkan kita tidak dapat mengesan arah kiblat ketika itu, maka kita boleh berpandukan bintang-bintang yang ada di langit. Namun jika bintang-bintang pun tidak kelihatan kerana cuaca mendung ataupun berjerebu, ketika dalam keadaan darurat itu maka kita bolehlah menghadap ke arah manapun yang kita anggap betul ketika itu, kerana yang paling penting saat itu adalah kiblat hati iaitu kepada Allah SWT.

Dari Amir bin Rabi'ah, ia berkata: Kami pernah bersama Nabi SAW. pada suatu malam gelap, lalu bingung menentukan arah kiblat, lalu kami solat. Maka tatkala terbit matahari, ternyata kami solat tidak menghadap kiblat. Lalu turun ayat "Maka kemanapun kamu menghadap, disitu ada keredhaan Allah." (Riwayat Tirmizi) (Sila rujuk Bulughul Malam oleh Al Hafidz Bin Hajar Al Asqalani, bab syarat-syarat solat)

Kembali ke atas ↑


 

6. Solat di Kakilima Masjid
Soalan:
Ketika bulan Ramadhan ini, ramai yang melakukan solat sunat tarawih sehingga surau-surau & masjid-masjid penuh sesak. Dalam keadaan begini, ramai yang terpaksa sembahyang di kakilima masjid. Adakah ianya afdhal kerana kita tahu tempat tersebut mungkin bernajis?

Fatimah Azzahra ,KL

Jawapan:
Jika kita yakin bahawa tempat itu bersih maka tinggalkan sifat was-was dan solatlah dengan mengharap rahmat Allah. Sebaliknya jika kita benar-benar yakin dan nampak dengan jelas bahawa tempat tersebut ada najis, maka bersihkanlah terlebih dahulu kemudian solatlah, semoga Allah memudahkan segala urusan ibadah kita.

Kembali ke atas ↑


 

7. Hukum Lelaki memakai Emas dalam Solat
Soalan:
Adakah sah solat seorang lelaki jika ketika melakukan solat, beliau memakai barang kemas, seperti cincin emas dan sebagainya. Kerana saya mempunyai kawan yang berpandangan bahawa memakai barang kemas tidak termasuk dalam syarat sah sembahyang?

Halim ,Kota Tinggi

 Jawapan:
Dalam hadis Rasulullah SAW ada menerangkan seorang lelaki dilarang memakai emas dan sutera, bahkan hukumnya haram. Jika kebetulan terbawa dalam solat, maka solat tetap sah, kerana emas bukan najis, tetapi yang berdosa adalah perbuatan memakai emas bagi lelaki tersebut. Memakai benda yang dilarang sudah tentu tercela dan membawa perkara yang tercela ketika solat menyebabkan kita dimurkai atau dibenci Allah.

DN 426 Pedoman Mencapai Hajat - Terjemahan Bulughul Maram (Kulit Tebal)

Kembali ke atas ↑


 

8. Meninggalkan Bacaan Surah dalam Solat
Soalan:
Bolehkah saya hanya membaca Al-Fatihah sahaja tanpa membaca surah-surah lain sewaktu menunaikan sembahyang?

NAR, KL

 Jawapan:
Membaca surah Al-Fatihah sahaja di dalam solat tanpa membaca surah selepas itu, tidaklah membatalkan solat, sebaliknya solat tetap sah. Bagaimanapun jika anda menjadi imam elok dibaca surah selepas membaca surah Al-Fatihah kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW yang membaca surah selepas membaca surah Al-Fatihah. jika anda menjadi makmum pula setelah membaca surah Al-Fatihah tidak perlu lagi anda membaca surah sebaliknya hendaklah anda menumpukan diri kepada bacaan imam.

Kembali ke atas ↑


 

9. Diganggu bayangan Ketika Takbir
Soalan:
Ketika saya solat atau ketika saya menyebut kebesaran Allah SWT saya terbayang salib atau orang kafir. Soalannya adakah saya  menyekutukan Allah SWT? Untuk mengelakkannya saya cuba bayangkan tulisan Allah SWT atau saya bayangkan Kaabah?

Roz, KL

 Jawapan:
Di antara tipu daya Syaitan terhadap manusia ialah dalam bentuk mewas-waskan  dirinya ketika menunaikan solat, kerana itulah Rasulullah SAW menyarankan supaya orang yang hendak bersolat supaya membaca doa perlindungan dari gangguan syaitan. Antaranya: "Ya Allah Ya Tuhanku aku berlindung dengan Engkau dari gangguan syaitan Khanzab".

Selain itu bacalah juga surah Al-Ikhlas, Surah An-Nas dan surah Al-Falaq. Setelah itu hati orang  yang menunaikan solat itu hendaklah tertumpu kepada bacaan imam. Jika berlaku was-was atau lintasan yang bukan-bukan sekali sekala, itu adalah merupakan teknik syaitan untuk menghilangkan kekhusyukan anda di dalam solat anda dan orang yang sedang solat itu jangan mengendahkan lintasan itu. Jika dilayan akan menghilangkan terus rasa khusyuk dalam solat. Lintasan-lintasan seperti itu tidak membatalkan solat.

Terbayang gambar salib adalah sebahagian dari usaha syaitan untuk mengganggu solat anda. Bagaimanapun  usaha anda untuk mengelakkan diri dari was-was berbentuk lintasan lambang salib ini tidak wajar dilakukan dengan cara anda mengingati gambar kaabah atau membayangkan tulisan Allah, sebaliknya caranya cukuplah sebagaimana yang telah diutarakan sebelum ini iaitu anda hanya perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada bacaan dan makna yang terkandung dalam bacaan anda, hadir hati,  menumpukan rasa takut kepada Allah dan harap mudah-mudahan Allah SWT akan menerima solat yang telah anda kerjakan tadi. Bayangkanlah yang anda sekarang sedang berdiri di hadapan Allah Rabbul Jalil dan Allah sekarang sedang melihat segala gerak-geri,  bacaan dan lintasan hati anda.

DN 176 Menjawab Kemusykilan Ibadah Solat (Edisi Rumi)

Kembali ke atas ↑


 

10. Menegur Ayah yang tidak Solat
Soalan:
Bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita menegur bapa agar mengerjakan sembahyang?

Hamba Allah, Sabah

 Jawapan:
Adalah menjadi kewajipan setiap mukmin apabila mendapati saudaranya tidak menunaikan solat menegurnya. Jika ia dapati keadaan ini masih berterusan hendaklah ia melapurkan kepada pihak yang berkuasa supaya pihak berkuasa dapat menasihatinya atau memgambil apa-apa tindakan yang sewajarnya terhadap kelalaiannya  mengerjakan perintah Allah. Dalam sebuah hadis sahih jelas menyuruh seseorang itu mencegah kemungkaran apabila ia melihatnya samada dengan tangannya jika ia mampu atau jika tidak mampu dengan lidahnya dan jika tidak mampu juga hendaklah dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.

Orang yang ditegur sebenarnya terdiri dari berbagai golongan, kerana itu proses peneguran ini hendaklah dilakukan secara hikmah dan penuh dengan kebijaksanaan. Untuk menegur seorang ayah yang tidak menunaikan solat memerlukan banyak kesabaran. Caranya juga boleh dilakukan dengan menunjukkan contoh tauladan yang baik di hadapan ayahnya, di mana apabila tiba waktu solat, ajaklah ayah anda turut bersolat bersama anda.

Ceritalah kepadanya tentang kelebihan solat dan bahaya orang yang meninggalkan solat. Berhubunglah dengan orang-orang lain yang boleh menasihati ayah anda seperti ustaz-ustaz yang tinggal berhampiran dengan rumah anda dan orang-orang tua yang dihormati di kampung anda. Selain itu anda juga boleh menghadiahkan kain pelikat, baju melayu, kopiah,  dan lain-lain peralatan solat untuk menyedarkannya tentang keperluan solat. Akhir sekali hendaklah anda sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya membuka hatinya ke arah petunjuk dan jalan yang lurus.

DN 241 40 Peranan Ibu Bapa Mithali
DN 240 20 Sifat Fitrah Anak

DN 247 20 Kesilapan Ibu Bapa
DN 242 40 Peranan Anak Mithali
DN 202 Hikmah Disebalik Solat

Kembali ke atas ↑


 

11. Bersolat dengan Pakaian Bergambar
Soalan:
Apakah hukumnya bersembahyang dengan berpakaian yang bergambar manusia ataupun binatang?

Ridhuan, Singapura

Jawapan:
Berhubung bersolat dengan memakai pakaian yang bergambar ulamak menghukumkannya sebagai makruh kerana Rasulullah SAW melarang berbuat demikian. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim menjelaskan Rasulullah SAW pernah menyuruh pakaian yang baru sahaja digunakannya untuk bersolat supaya dibawa kepada Abu Jahm dan digantikan dengan pakaian yang bernama Anjabiyah. Ini kerana pakaian itu mengandungi gambar.

Kembali ke atas ↑


 

12. Solat bagi Wanita Mengalami Keputihan
Soalan:
Seandainya kaum wanita ada keputihan, sahkah sembahyangnya tanpa membersihkan dahulu?

Fairuz, Kelang

Jawapan:
Ada setengah pendapat yang mengatakan, perempuan yang keluar cecair lendir putih kekuningan ketika sebelum keluar darah haid dan selepasnya dianggap sebagai darah haid. Ini menurut pendapat Syeikh Usaimin, seorang ulamak di Arab Saudi dalam fatwa semasa beliau. Ini berdasarkan kepada keterangan Siti Aisyah RA yang berkata: "Janganlah kamu terlalu cepat mandi atau membersihkan diri dari haid sehingga kamu dapati kapas itu putih."

Sebaliknya kebanyakan pendapat mengatakan keputihan yang keluar bukan dalam tempoh kotor tidaklah dianggap sebagai haid. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, mahfumnya: "Sesungguhnya dikenali darah haid itu dari segi warnanya yang hitam pekat". Oleh itu keputihan bukanlah dari jenis darah ini. Ummu Atiah RA sendiri pernah berkata: "Sesungguhnya kami tidak menganggap lendir keruh dan kekuningan itu sebagai darah haid."

Oleh itu jika perempuan keluar keputihan, hendaklah ia membersihkannya. Kalau masih mengalir juga hendaklah membalutnya dan ia diwajibkan solat seperti biasa.

Kembali ke atas ↑


 

13. Hukum Solat Si Penzina
Soalan:
Saya ingin bertanya apakah HUKUMNYA jika seseorang itu melakukan zina walhal dia juga seorang yang mengerjakan solat dan segala kewajipan islam dengan baik. Adakah solat dan amal kebaikannya DITERIMA kerana dia ada melakukan maksiat dalam masa yang sama?

JZ, KL

 Jawapan:
Jika seseorang melakukan perzinaan dan mengiktikadkan perbuatan tersebut adalah halal kepadanya, maka ia telah menjadi murtad dan terkeluar dari Islam. Dengan itu segala ibadat yang lain yang dilakukan olehnya adalah tidak sah. Ini kerana ia telah menjadi seorang yang kufur kepada Allah, kecuali jika ia kembali mengucapkan dua kalimah syahadah.

Jika ia melakukan perzinaaan dalam keadaan ia tidak mengiktikadkan perzinaan itu sebagai halal baginya, sebaliknya dilakukannya juga kerana menurut runtunan hawa nafsunya, maka ia berdosa besar. Ini bermakna jika ia menunaikan solat dan ibadat-ibadat lain setelah melakukan perzinaan, maka ibadatnya itu adalah sah. Ulamak berselisih pendapat dalam masalah ini. Ada yang berpendapat ibadatnya diterima apabila ia bertaubat. Sesetengah yang lain pula berpendapat segala amalan baiknya diterima walaupun ia berada dalam kemaksiatan, tetapi ia tetap mendapat balasan di atas perbuatan buruknya itu.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Al-Bukhari, Rasulullah SAW pernah menjelaskan seseorang yang melakukan perzinaan tergugurlah imannya. Mafhum dari hadis ini ialah ketika seseorang sedang melakukan kemaksiatan, ia jauh dari agama, tetapi apabila ia berhenti melakukan kemaksiatan dan kemudian melakukan kebaikan, maka kebaikan itu akan kembali kepadanya semula. Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada orang-orang mukmin.

DN 186 Taubat - Titisan Airmata Keinsafan (Amalan & Penghayatannya)
DN 220 Dosa-dosa Besar
DN 009 Dosa-Dosa yang Menutup Pintu Hati
DN 109 Panduan Mendidik & Menunduk Nafsu

Kembali ke atas ↑


 

14. Solat dengan Wangian Beralkohol
Soalan:
Macamana hukumnya orang yang bersembahyang tetapi terdapat wangian yang mengandungi alkohol (selalunya pewangi) pada badannya atau pun pada baju?

Taufik, KL

Jawapan:
Para ulamak telah berselisih pendapat tentang alkohol adakah ianya najis atau tidak. Menurut pendapat mazhab Shafie alkohol hukumnya najis kerana ia adalah dari unsur arak dan arak adalah najis. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah al Maidah ayat 90 yang bermaksud: "Sesungguhnya arak, judi, menilik nasib dan mempercayai tuah pada anak panah itu perbuatan KOTOR dari pekerjaan syaitan ".

 Para ulamak mazhab Shafie telah menafsirkan perkataan kotor dalam ayat ini sebagai najis. Oleh itu alkohol yang terdapat dalam minyak wangi tidak boleh dipakai ketika sembahyang. Jadi elakkanlah diri dari memakainya ketika sembahyang sebagai langkah berjaga-jaga terhadap perkara subahat walaupun sebahagian dari ulamak pada masa ini membenarkan penggunaannya, kecuali jika anda benar-benar terdesak.

DN 176 Menjawab Kemusykilan Ibadah Solat (Edisi Rumi)
DN 187 Solat (Persoalan & Penjelasan)

Kembali ke atas ↑


 

15. Solat Ketika Terperangkap Kesesakan Jalanraya
Soalan:
Saya terdengar ustaz berkata katanya;"Sah sembahyang seseorang yang bersembahyang didalam kenderaan yang terperangkap didalam kesesakaan jalan raya asalkan seseorang itu dalam keadaan berwuduk, cara sembahyang dengan menggunakan isyarat mata dan bacaan seperti biasa". Adakah benar pendapat itu?

Azizah, KL

Jawapan:
Jika kita berada disamping teman yang membawa kenderaan, sedangkan ketika itu terperangkap dalam kesesakan jalan raya dan tidak ada tempat untuk singgah baik di kiri ataupun di kanan jalan, maka bolehlah solat dengan menggerakkan tubuh setakat mana yang boleh. Namun jika kita sendiri yang membawa kenderaan tersebut, pastikan masa berhenti di dalam kesesakan tersebut mencukupi masa untuk mengerjakan solat dengan menggerakkan tubuh setakat mana yang boleh bukan sekadar menggerakkan mata.

Mengerjakan solat dengan isyarat mata ini hanya bagi orang yang benar-benar sakit dan tak mampu untuk menggerakkan anggota solatnya sama sekali. Sebaliknya jika kesesakan itu boleh berjalan, maka sudah tentu tidak mungkin kita melakukan dua pekerjaan dalam satu masa, iaitu solat dan membawa kenderaan. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

16. Mandi Wajib, Wudhu, Solat
Soalan:
Saya ingin bertanyakan satu soalan iaitu, seseorang lelaki itu keluar mani dan dia mandi wajib. Selepas selesai mandi dia berwuduk dan pergi bersembahyang. Adakah sah sembahyangnya itu?

Hamba Allah, Alor Setar

 Jawapan:
Sah mandinya jika dengan niat mandi wajib dan meratakan air ke seluruh tubuh. Begitu juga sah wuduknya jika dengan niat dan membasuh anggota wuduk dengan sempurna. Begitu juga sah solatnya jika wuduknya sempurna dan melaksanakan syarat-syarat dan rukunnya. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

17. Membaca Surah Panjang
Soalan:
Dimanakah saya perlu berhenti jika saya membaca surah yang panjang (surah Yaasiin) di dalam sembahyang?

Aje, Alor Setar

 Jawapan:
Boleh berhenti dimana-mana ayat yang ada tanda berhenti atau waqaf.

Kembali ke atas ↑


 

18. Melewat-lewatkan Waktu Solat
Soalan:
Apakah hukum melewat-lewatkan sembahyang dan sahkah sembahyang itu? 

Az, KL

Jawapan:
Seorang muslim atau muslimah tidak harus melewat-lewatkan masa solat fardhunya bahkan ada yang hingga terluput dari waktunya. Sebaliknya wajib atas muslimin dan muslimat yang telah mukallaf untuk menunaikan solat tepat pada waktunya selagi ianya berkemampuan. Segala jenis pekerjaan tidak dapat menghalang bagi membolehkannya untuk melewat-lewatkan mengerjakan solat.

Demikian juga tentang najisnya pakaiannya atau kerana kotornya tidak boleh dijadikan alasan atau uzur bagi melewatkannya. Jadi berdosa hukumnya bagi orang yang melewat-lewatkan waktu solatnya. Tentang kedudukan solatnya sah jika memenuhi syarat-syarat dan rukunnya.

Kembali ke atas ↑


 

19. Perkara Makruh ketika Solat
Soalan:
Apakah hukumnya sekiranya seseorang itu menguap atau batuk ketika sembahyang?

Shah, Sg Buloh

 Jawapan:
Menguap dengan membuka mulut ketika solat hukumnya makruh, kerana seseorang itu boleh menahan menguapnya dengan tanpa membuka mulut lebar-lebar. Begitu juga halnya dengan batuk jika boleh ditahan dengan cara yang baik maka itu lebih baik, namun jika tidak boleh maka tidak mengapa kerana batuk merupakan semacam penyakit yang sukar untuk ditahan. Mengenai membuka mulut ketika menguap Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Dari Abu Hurairah ra. Nabi SAW bersabda: "Menguap dalam solat adalah datang daripada syaitan, maka apabila seseorang kamu menguap, hendaklah dia berkuasa menahannya (daripada membukakan mulutnya lebar-lebar)". (Riwayat Tarmizi dan Muslim)

DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

20. Memejamkan Mata Ketika Solat
Soalan:
Bolehkah saya memejamkan mata semasa solat untuk mencapai kekusyukan dan sejauh manakah keberkesanannya?

Abdullah, Shah Alam

 Jawapan:
Sebahagian ulama mengatakan bahawa memejamkan mata dalam solat adalah makruh hukumnya. Tetapi Imam Ibnul Qayyim mengatakan: Pendapat yang benar ialah, apabila membuka mata itu tidak mengurangi khusyuk maka itulah yang lebih utama, dan jika ada yang mencederakan khusyuk seperti terpandang hiasan-hiasan yang membimbangkan nescaya tidaklah dimakruhkan memejamkan mata bahkan disunatkan. Kita memejamkan mata dalam keadaan itu lebih dekat kepada dasar-dasar syarak dan maksud-maksudnya.

Tujuan solat  pada asasnya melakukan pengabdian sepenuh hati dan penuh ikhlas kepada Allah. Sekiranya memejamkan mata adalah merupakan jalan atau cara yang sesuai untuk itu maka lakukanlah, demikian juga sebaliknya.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

21. Cara Melaksanakan Sujud Syukur
Soalan:
Bagaimanakah caranya mengerjakan sujud syukur dan doa-doa yang patut dibaca?

Jamalis Jamaluddin, Kuala Lumpur

Jawapan:
Maksud sujud syukur iaitu sujud yang dilakukan kerana mensyukuri nikmat Allah. Sujud ini disunatkan kepada seseorang yang terlepas dari bahaya atau orang yang mendapat nikmat dari Allah SWT. Abi Bakrah meriwayatkan "bahawa Nabi  SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang mengembirakan atau khabar suka, baginda terus sujud berterima kasih kepada Allah". (Riwayat Abu Dawud dan Tarmizi)

Imam Syafie menyukai setiap orang yang memperolehi nikmat atau terhindar daripada bala melakukan sujud syukur kepada Allah SWT sebagai tanda terima kasih hamba kepada-Nya. Namun Imam Abu Hanifah tidak mengatakan bahawa sujud syukur ini sunat. Sedangkan Imam Malik pula tidak menyukai sujud syukur ini dilakukan dalam solat.

Keterangan para ahli diatas tidak dinyatakan kepada kita bahawa Rasulullah SAW mendahului sujud syukur itu dengan takbir dan tidak pula dikatakan bahawa Rasulullah SAW mengucapkan salam selepas itu. Dalam keterangan lain  dinyatakan juga "Dari Bara bin Azib, bahawasanya Nabi SAW mengutus Ali ke negeri Yaman. Lalu Bara menyebut hadis ini, berkata Bara: "Lalu Ali menulis surat tentang keislaman mereka (orang-orang Yaman). Tatkala Rasulullah membaca surat itu baginda tunduk sujud kerana berterima kasih kepada Allah". (Riwayat Baihaqi)

Jadi dari keterangan riwayat diatas membuktikan bahawa sujud syukur itu dilakukan ketika seseorang mendapat berita menggembirakan atau nikmat. Rasulullah SAW melakukannya ketika di luar sembahyang dan sujud seketika mendengar berita yang menggembirakan itu. Menurut Syaukani, dalam sujud syukur tidak terdapat sebuah hadispun yang menjelaskan bahawa untuk melakukannya itu disyaratkan berwuduk, suci pakaian atau tempat". Selain itu juga tidak terdapat keterangan dari Nabi yang menjelaskan bahawa dalam sujud syukur itu diharuskan bertakbir. Hanya saja disebutkan dalam kitab Bahr bahawa takbir untuk sujud syukur itu diperlukan. Imam Yahya berkata, bahawa sujud syukur dalam solat tidak dibolehkan dan memang tidak seorang ulamapun yang memperkenankannya.

Dalam Fiqh Islam  karangan H. Sulaiman Rasyid menyebutkan bahawa rukun sujud syukur ialah niat, takbiratul ihram, sujud dan memberi salam sesudah duduk. Sedangkan syaratnya sama dengan syarat sembahyang seperti suci dari hadas dan najis, menghadap kiblat dan menutup aurat. Sujud syukur ini hanya satu kali saja dan disunatkan diluar sembahyang serta tidak boleh dilakukan didalam sembahyang.

Mengenai bacaan dalam sujud ini tidak ada sumber khusus yang menjelaskannya kerana sujud syukur ini merupakan luahan rasa kesyukuran dari hati seorang hamba atas nikmat yang diberikan. Wallahu 'alam.

Kembali ke atas ↑


 

22. Melangkah Gambar Ka'bah dan Masjid
Soalan:
Kebanyakan sejadah yang terdapat mempunyai gambar Ka'abah, Masjid dan lain-lain gambar yang melambangkan kesucian Islam dan Allah. Apakah hukumnya sekiranya kita melangkah atau memijak gambar-gambar tersebut?

Ida, KK

Jawapan:
Tidak berdosa hukumnya jika kita melangkah gambar Ka'bah atau Masjid yang ada pada sajadah. Bahkan kita sendiri ketika solat berdiri di atas atau didalam masjid.

Kembali ke atas ↑


 

23. Tidak Mengerjakan Solat
Soalan:
2. Sekiranya seseorang bersumpah dengan nama allah yang dia akan solat namun dia tak laksana sumpahnya atau tak mengerjakannya.?
3. Seseorang itu dari kecil hingga dia berkahwin tak pernah mengerjakan solat. Adakah dia patut mengqada' solatnya atau sebaliknya...... ?

 

Jawapan:
Sungguh besar dosa bagi orang yang meninggalkan solat, kerana solat merupakan tiang agama. Betapapun banyak perbuatan baik yang lain kita kerjakan namun tidak melaksanakan solat maka sia-sialah amalan baik tersebut. Bersumpah atau berjanji untuk mengerjakan solat kemudian memungkiri janjinya kepada Allah disamping ia memikul dosa meninggalkan solat ia juga memikul dosa permainan janji-janjinya itu. Oleh sebab itu hanya dengan bertaubat kepada Allah serta memulai hidup baru dengan sentiasa mengerjakan solat dan jangan meninggalkannya walau dalam keadaan bagaiamana sekalipun. Qada lah solat-solat yang sengaja telah ditinggalkan semampu kita agar kita tergolong insan yang bersyukur dan diselamatkan Allah di kemudian hari. Insya Allah.

 DN 186 Taubat - Titisan Airmata Keinsafan (Amalan & Penghayatannya)
DN 097 Amaran Mengabaikan Solat

Kembali ke atas ↑


 

24. Menasihati Mengenai Hal ehwal Solat Sahabat
Soalan:
2. Apakah hukumnya teguran sahabat mengenai kesilapan atau kecacatan dalam solatnya tidak mahu diterima dan kadangkala kembali memarahi orang yang menegurnya. Apa yang patut kita lakukan kepada orang begini?

Jawapan:
Jika kita mengetahui bahawa sahabat kita sering melakukan kesilapan dalam mengerjakan solat, seperti dengan sengaja meninggalkan rukun solat, membuat sesuatu yang membatalkan solat atau perkara yang wajib lainnya, maka wajib bagi kita memberitahukan perkara yang sebenar kepada mereka. Disamping itu beritahulah kepada mereka dengan hikmah dan tidak menyinggung perasaannya, mungkin saja dari kacamata kita cara solatnya tidak memenuhi hasrat dan keinginan kita, tapi sebenarnya dia tergolong orang yang khusyuk dalam solatnya. Namun jika perakara-perkara yang rukun telah ditinggalkan maka nasihatlah dengan baik atau berikan rujukan buku mengenai solat kepadanya agar dia dapat memperbaiki ibadahnya untuk masa akan datang. Wallhu 'alam.

DN 072 Kesilapan Ketika Sembahyang

Kembali ke atas ↑


 

25. Kaum Wanita Solat Berjemaah Di Surau Pejabat
Soalan:
Di pejabat saya kedudukan mussolla lelaki dan perempuan adalah bersebelahan dan dipisahkan oleh satu dinding dan dinding ini tidak sampai ke syiling(ada lubang di atas), suara lelaki kedengaran bila mereka solat tetapi pergerakan solat mereka memang tidak diketahui. Adakah boleh kami berjamaah dengan mereka atau tidak kerana setahu saya sekiranya kita hendak berjamaah, kita mesti tahu perbuatan imam
dan bolehkah kami berjemaah sesama perempuan (imam perempuan), dalam waktu yang sama dengan jamaah lelaki?

Raisyah Ali, KL

Jawapan:
Solat Jemaah seperti halnya solat Jumaat tidak diwajibkan kepada kaum wanita. Bagi perempuan solat dirumahnya lebih utama solat berjemaah di masjid, sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Solat seorang perempuan di rumahnya lebih utama daripada ia solat di masjid". Tetapi jika ingin menghadirkan diri di masjid boleh saja, asalkan tidak menimbulkan kesukaran seperti berjumpa dengan kaum lelaki yang mengganggu ketika dalam perjalanan dan sebagainya.  Cukuplah seorang wanita itu solat di rumahnya bersama dengan wanita-wanita lain ataupun anak-anaknya.

Jadi jika surau di pejabat saudari antara tempat lelaki dan wanita dipisahkan dengan dinding, ini merupakan suatu isyarat bahawa kaum wanita harus solat sendirian atau berjemaah sesama kaum wanita tanpa mengikuti solat berjemaah kaum lelaki. Jika anda ingin mengerjakan solat berjemaah sesama wanita, yang bertindak sebagai imam hendaklah berdiri di tengah-tengah saf dan jangan membaca atau bertakbir dengan suara yang lantang, cukup perlahan dan seperlunya saja.

Kembali ke atas ↑


 

26. Aurat Wanita dalam Solat
Soalan:
Ustaz, saya musykil.. Adakah dagu termasuk dalam aurat wanita atau tidak? Sebabnya ada rakan-rakan saya yang solat memakai pakaian biasa dan tudung kepala yang biasa. Saya juga berpendapat pakaian yang kita gunakan sehari-hari sepatutya dapat digunakan terus untuk solat (jika bersih) tanpa perlu ditukar. Dengan itu, wajibkah wanita menutup dagu mereka?

Nurul Fadzlin , Cardiff

Jawapan:
Seluruh tubuh wanita termasuk aurat melainkan muka dan tapak tangan. Dagu adalah sebahagian dari muka, maka dagu yang terbuka tidaklah membatalkan solat.

DN 091 Fardhu ‘Ain Khusus Wanita
DN 148 Wanita Solehah (Kulit Nipis | Kulit Tebal)

Kembali ke atas ↑


 

27. Ibu Jari Terkeluar Ketika Solat
Soalan:
Sahkah sembahyang saya jika dengan tidak sengaja ternampak sedikit ibu jari terkeluar dari kain sembahyang? Diharap pihak Darul Nu'man dapat menyelesaikan kemusykilan saya ini. Sekian terima kasih.

Ati, KL

Jawapan:
Sah solat anda jika ibu jari terkeluar dari telkung anda, kerana muka dan tapak tangan tidak tergolong aurat.

DN 091 Fardhu ‘Ain Khusus Wanita

Kembali ke atas ↑


 

28. Solat Sambil Duduk
Soalan:
Saya sekarang mempunyai masaalah bersembahayang dengan biasa kerana kaki dan lutut saya sakit, jadi saya sembahayang dengan duduk di kerusi. Jadi soalan saya ialah boleh tak saya menjadi imam kepada solat keluarga saya di rumah? 

Sulaiman, Kuching

Jawapan:
Melaksanakan ibadah solat merupakan fardhu yang tidak boleh ditinggalkan walau apapun keadaannya melainkan bagi wanita yang haid, nifas dan sebagainya, begitu juga bagi lelaki yang mabuk ataupun gila. Jika tidak mampu berdiri maka dianjurkan duduk dan jika tidak mampu duduk supaya mengerjakannya dengan berbaring.

Jika ingin menjadi imam kepada ahli keluarga duduklah di lantai agar anak dan isteri dapat melihat secara mudah gerakan solat imam dengan demikian tidak menimbulkan kekeliruan dan was-was bagi makmum. Syarat yang paling penting bagi seseorang yang ingin menjadi imam adalah imam hendaklah lebih baik bacaan Al Qurannya daripada makmum, imam lebih faham daripada makmu perkara yang berkaitan dengan hukum syarak, serta imam hendaklah seorang lelaki dan mumayiz.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat

Kembali ke atas ↑


 

29. Pakaian Ketika Solat
Soalan:
Bolehkah saya solat dalam pakaian yang tidak lengkap contohnya saya memakai seluar pendek (bermuda) tetapi saya masih memakai telekung. Apakah hukumnya?

Siti Aishah, Skudai

Jawapan:
Salah satu syarat sah solat adalah menutup aurat. Aurat lelaki di dalam solat adalah anggota badan yang diantara pusat dan lutut. sedangkan aurat perempuan dalam solat adalah sekelain anggotanya kecuali muka dan tapak tangan. Jika anda telah menutup seluruh bahagian tersebut bereti telah memenuhi salah satu syarat sah solat, sedangkan pakaian di bahagian dalam tidaklah menjadi perkiraan sebab tubuh anda telah ditutupi dengan telekung.

 DN 200 Bimbingan Lengkap Ibadah Solat
DN 034 Bimbingan Lengkap Fardhu ’Ain (Tauhid & Solat Edisi Rumi)

Kembali ke atas ↑


 

30. Pakaian di dalam Solat Menurut Syarak
Soalan:
Kebanyakan wanita menanggalkan seluar atau kain yang dipakainya bersama seluar dalamnya sebelum menunaikan solat dengan alasan ragu-ragu akan kesucian seluar/kain yang dipakai itu .Tapi keadaan ini menimbulkan kemusykilan saya yang mana saya sendiri melakukan perkara sedemikan rupa setiap kali saya ingin solat . Yang saya musykilkan bagaimanakah keadaanya solat itu sekiranya bayang-bayang kaki itu kelihatan kerana kebanyakan kain telekung yang diperbuat dari kain cotton itu memang jarang dan sekiranya tidak memakai kain/seluar di dalamnya memang akan nampaklah bayang-bayang kaki. Ini juga sama dengan keadaan batang leher kita. Adakah sah sembahyang kita sekiranya sekiranya nampak bayang-bayang auratnya ?

Salmah, Kluang

Jawapan:
Pakaian dalam solat adalah menutup seluruh aurat bagi wanita. Ertinya pakaian mereka tidak hanya menutup bahagian-bahagian tertentu sedangkan bahagian yang lain terbuka. Ramai kalangan wanita zaman moden ini mereka berpakaian tetapi  sebenar telanjang disebabkan pakaian tersebut mengikut bentuk tubuh ataupun kain yang digunakan jarang sehingga nampak kulit dan aurat mereka. Allah SWT berfirman maksudnya: "Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat". (Al A'raaf ayat 26)

Jika telekung yang digunakan untuk solat itu jarang, sehingga menampakkan aurat atau anggota tubuh maka sudah jelaslah solat yang dikerjakan tersebut tidak sah, kerana meninggalkan salah satu syarat sah solat. Usahakanlah menggunakan telekung yang pakaian yang benar-benar memenuhi ciri-ciri pakaian taqwa seperti yang disebut dalam ayat diatas, ertinya tidak menampakkan bentuk tubuh dan tidak nampak kulit atau aurat orang yang memakainya. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

31. Doa Memelihara Solat
Soalan:
Apakah doa untuk orang yang bersolat supaya dia terus mengekalkan dan memelihara solatnya?

Syamsina, Subang, Selangor

Jawapan:
Banyak doa-doa yang dapat menenangkan jiwa dan memelihara diri dari pekerjaan yang tidak diredhai. Khusus agar solat kita tetap kekal dan terpelihara dalam kehidupan kita amalkanlah doa yang terkandung dalam surah Ibrahim ayat 40.

Kembali ke atas ↑


 

32. Solat Hanya Sekali Seminggu
Soalan:
Apa hukumnya seseorang yang meningalkan semua sembahyang yang wajibnya tetapi tidak melupakan sembahyang jumaatnya?

Ahmad Fauzi, Melaka

Jawapan:
Solat lima waktu hukumnya fardhu dan berdosa besar bagi orang yang meninggalkannya. Mengerjakan suatu fardhu dan meninggalkan fardhu-fardhu yang lain adalah pekerjaan yang sia-sia dan menyerupai pekrjaan syaitan. Oleh sebab itu bertaubatlah dengan kembali menjalankan perintah solat lima waktu dan mengerjakan solat Jumaat seminggu sekali.

Kembali ke atas ↑


 

33. Solat Di Rumah Bukan Muslim
Soalan:
Jika kita bertandang ke rumah non-muslim. Boleh kah kita menunaikan sembahyang fardhu di rumah mereka sekiranya masuk waktu. Setelah diyakini tempat untuk medirikan sembahyang itu bersih, suci dan kita dapat menentukan arah kiblat?

Sharifah, Alor Setar

Jawapan:
Diantara syarat sah solat adalah suci daripada hadas kecil dan besar, suci daripada najis, menutup aurat, mengadap kiblat dan telah masuk waktu solat. Jika syarat-syarat ini dapat dipenuhi, maka sah solat seseorang itu. Dibolehkan solat di tempat atau rumah non Muslim jika kita yakin bahawa tempat tersebut bersih.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dari Bakar mengatakan; "Kaum Muslimin di Najran menulis surat kepada Umar bin Khattab mengatakan bahawa mereka tidak mendapati tempat mengerjakan solat yang lebih bersih daripada gereja. Menanggapi surat mereka itu Umar berkata: "Tidak apa, basuh dengan bersih kemudian solatlah kamu di dalamnya".
Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

34. Meninggalkan Solat Jumaat kerana Kerja
Soalan:
Saya ada seorang kawan yang baru saja mulai kerja setelah lama diberhentikan disebabkan kegawatan ekonomi. Ditempat baru ini dia tidak dibenarkan sembahyang Jumaat. Beliau berkerja dua shif, seminggu pagi dan seminggu petang. Jika beliau shif pagi beliau tidak dapat menunaikan solat Jumaat. Soalan saya adakah beliau berdosa dan bagaimanakah cara meyelesaikan masalah dan cara yang terbaik untuk menasihatinya?

Marliah, Singapura

Jawapan:
Solat Jumaat merupakan fardhu yang wajib dilaksanakan oleh setiap lelaki muslim. Allah SWT berfirman maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu diseru untuk solat pada hari Jumaat, maka hendaklah kamu segera mengingat Allah dan tinggallah jual beli". (Al Jum'ah ayat 9). Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali Jumaat berturut-turut kerana memudah-mudahkan kewajipannya. Allah mengecap munafik ke atas hatinya". (Riwayat Ahmad)

Jika kita tidak ingin tergolong ke dalam insan yang dicap dengan munafik lantaran lalai atau meninggalkan fardhu Jumaat, maka ikhtiar dan usahalah untuk menghadapi masalah tersebut dengan cara yang terbaik. Terangkanlah kepada majikan tentang kewajipan kita sebagai seorang Islam. Jika mereka tidak boleh menerima hakikat itu mintalah mereka tukar shif anda kepada suatu masa yang membolehkan anda melaksanakan solat Jumaat. Dengan demikian disamping anda masih boleh bekerja mencari rezeki anda juga tidak mengabaikan tugas sebagai seorang muslim. Wallahu A'lam.

DN 062 Panduan Mencari Nafkah Hidup - Fadhilat Tijarah

Kembali ke atas ↑


 

35. Majikan Tidak Membenarkan Solat Jumaat
Soalan:
Di tempat kerja saya terdapat 90% orang islam berkerja sebagai juruteknik,saya mendapat arahan dari orang atas ,tiap kali sembahyang jumaat saya tidak boleh membenarkan kesemua pekerja saya pergi solat jumaat,mereka memberi arahan hanya membenarkan sebahagian saja pergi solat untuk minggu ini,dan sebahagian yang lain minggu depan. Untuk pengatahuan tuan orang yang yang memberi arahan kepada saya ialah seorang Islam di Human Resource. Apakah hukuman ini dan wajarkah saya patuhi?

Roselan, Georgetown

Jawapan:
Hukum melaksanakan solat Jumaat adalah fardhu 'ain. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah Al Jumaah ayat 9. Maka jelaslah oleh kita bahawa solat Jumaat itu adalah termasuk dalam fardhu utama dalam syariat Islam. Disamping merupakan pertemuan besar mingguan bagi umat Islam. Kerana itu siapa yang mempermudah-mudahkan kefardhuannya maka Allah SWT akan mengecap orang itu sebagai munafik.

Seluruh umat Islam hendaklah melakukan fardhu Jumaat ini dengan penuh keimanan dan keyakinan yang teguh sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: "Dari Thariq bin Syihab sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Solat Jumaat itu adalah hak yang wajib melakukannya atas tiap-tiap orang Islam, kecuali hamba-hamba yang dimiliki, kaum perempuan, kanak-kanak dan orang sakit". (Riwayat Abu Daud)     Demikian pentingnya kefardhuan Jumaat tersebut, jadi jika kebetulan di tempat kerja anda menemui kesukaran dalam melaksanakannya lantaran atasan anda lebih mementingkan pekerjaan daripada menunaikan perkara fardhu yang hanya menggunakan sedikit masa itu, maka ada baik diadakan perbincangan. Adakanlah pertemuan dan mesyuarat dengan pihak atasan, nyatakan betapa pentingnya sebagai seorang Islam menjalankan fardhu Jumaat. Susunlah dan aturlah waktu-waktu kerja tersebut agar dari satu sisi syarikat tidak rugi dan masa yang sama seluruh umat Islam yang bekerja di syarikat tersebut dapat menunaikan kewajipannya kepada Allah SWT. Janganlah lantaran mengerjar keuntungan yang sedikit di dunia ini kita menggadai dan memusnahkan keuntungan yang besar di akhirat kelak.

Yakinlah dengan janji Allah, bahawa jika manusia mensyukuri nikmatNya dengan cara mengabdi dan menyembahNya pasti Allah akan menambah nikmat dengan berlimpah ruah. Sebaliknya jika manusia mengingkari nikmat tersebut maka azab Allah akan datang dengan tidak diguga-duga. Bahkan dalam Al Quran dijelaskan jika selesai mengerjakan solat Jumaat bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki. Ini membuktikan keluasan nikmat Allah bukakan kepada hamba-Nya yang sudi dan mahu mengabdi kepadaNya. Firman Allah SWT maksudnya: "Apabila kamu telah selesai menunaikan solat (solat Jumaat) maka bertebaranlah kamu di permukaan bumi dan carilah kurnia Allah serta ingatlah Allah banyak-banyak semoga kamu beroleh kejayaan". (Al Jumaah ayat 10)

 DN 062 Panduan Mencari Nafkah Hidup - Fadhilat Tijarah

Kembali ke atas ↑


 

36. Berkata-kata Ketika Khatib membaca Khutbah
Soalan:
Di sini saya ada satu masalah. Dalam Islam, apabila seseorang itu mendengar nama Nabi Muhammad S.A.W. disebut, adalah menjadi satu kewajipan kepadanya untuk berselawat ke atas baginda. Yang kedua pula, para jemaah solat Jumaat adalah sama sekali tidak dibenarkan berkata-kata sewaktu khatib membaca khutbah. Jadi masalahnya di sini, perlukah saya berselawat ke atas baginda Rasulullah S.A.W. setelah khatib menyebut nama baginda sewaktu membaca khutbah?

Izrulaimin, Selangor

Jawapan:
Berkata-kata yang dilarang ketika khatib membaca khutbah pada hari Jumaat, adalah berbual-bual atau bertegur sapa tentang sesuatu perkara meskipun dengan mengungkapkan kata-kata dan menyuruh agar jemaah lain diam dari berkata-kata. Tujuannya adalah agar setiap jemaah Jumaat dapat mengambil pelajaran dan iktibar dari khutbah yang disampaikan oleh Khatib. Sedangkan berselawat terhadap Rasulullah SAW ketika seseorang ataupun khatib menyebut nama Nabi Muhammad SAW adalah digalakkan dan seandainya kita enggan menyambung dengan selawat terhadap baginda maka kita akan tergolong orang yang sebakhil-bakhil umat.

Jadi jelaslah bahawa mengertian diam dan jangan berkata-kata ketika khatib membaca khutbah pada hadith Rasulullah tersebut adalah berkata-kata dari perkara yang berkaitan dengan keduniaan. Sedangkan berselawat terhadap baginda ketika khatib menyebut nama baginda tidak termasuk dalam kategori berbicara yang sia-sia, begitu juga dengan ucapan tasbih, takbir serta ayat-ayat zikir yang lain.

Kembali ke atas ↑

Popular

Anda Di Sini Soal Jawab Solat Lain-Lain Hal Solat