Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Kemusykilan Umum
Mua'malah

Soalan-soalan:

  1. Menyimpan Wang di Bank
  2. Mencarum Insuran Nyawa
  3. Guna Wang Riba untuk Bayar Perkhidmatan Pihak Bank
  4. Hukum Penggunaan Kad Kredit
  5. Hukum Bermain Saham
  6. Meminjam dengan Bank yang Mengenakan Riba
  7. Bekerja di Hotel
  8. Bekerja di Farmasi
  9. Mengguna Peralatan Majikan Bagi Kepentingan Diri
  10. Bekerja Sebagai Seorang Agen Insurans
  11. Wanita Menjadi Ketua Bahagian dalam Organisasi Syarikat
  12. Cara Melunas Hutang

 


 

1. Menyimpan Wang di Bank
Soalan:
Apakah hukumnya jika kita masuk dalam sijil simpanan premium yang dianjurkan oleh sebuah bank tempatan. Adakah ianya sama seperti bertaruh?

Helmi, Sepang

Jawapan:
Jika kita menyimpan wang dalam sesebuah institusi kewangan yang memakai unsur riba, maka sudah jelas bahawa riba itu dilarang dan berdosa. Kemudian tentang hasrat menyimpan wang di sebuah institusi kewangan dengan tujuan untuk memperoleh undian dan mendapatkan hadiah maka niat ini adalah salah. Oleh sebab itu ubahlah niat yang salah ini, menabunglah kerana ingin memperbaiki ekonomi keluarga bukan untuk memperoleh undian.

Kembali ke atas ↑


 

2. Mencarum Insuran Nyawa
Soalan:
Apakah hukum mencarum insuran nyawa dengan tujuan simpanan sahaja?

Alwi ,KL

Jawapan:
Jika proses pencaruman itu menggunakan sistem Islam dan telah ditetapkan oleh para ulama sebagai suatu yang dibolekan maka hukumnya harus atau boleh. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

3. Guna Wang Riba untuk Bayar Perkhidmatan Pihak Bank
Soalan:
Adakah bersubahat dengan riba sekiranya faedah yang diperolehi daripada wang simpanan digunakan semula untuk menjelaskan bayaran perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak bank?  Sebagai contoh pihak bank mengenakan bayaran perkhidmatan RM1.00 untuk setiap pengeluaran wang tunai di cawangan ATM (Sistem MEPS)?

Joehary, KL

Jawapan:
Al-Quran melarang memakan riba sebagaimana yang terdapat dalam surah Al-Baqarah ayat 278-279. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim menjelaskan Allah SWT melaknat pemakan riba, orang yang memberi riba, saksi-saksi dan juga kerani yang terlibat. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ad-Dar Qutni menjelaskan memakan satu sen duit riba menyamai 36 kali dosa perzinaan. Kedua hadis ini menjelaskan pengharaman memakan riba kepada umat Islam.

Sehubungan dengan itu pihak yang bertanya dinasihatkan supaya menyimpan wangnya di bank Islam yang bersih dari amalan riba. Berhubung penggunaan wang riba bukan untuk tujuan membeli makanan tetapi sebaliknya untuk pembayaran bil air eletrik, bil bayaran perkhidmatan pihak seperti pengeluaran wang tunai di di cawangan ATM, pembinaan perhentian bas, pembinaan jalanraya dan lain-lain kemudahan awam, di kalangan ulama' ada yang mengharuskannya seperti syeikh Yusuf Al-Qardawi dalam fatwa semasanya, kerana ia tidak melibatkan memakan riba dalam ertikata yang sebenar. 

DN 224 Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih
DN 285 Riba - Bunga Bank & Persoalannya

Kembali ke atas ↑


 

4. Hukum Penggunaan Kad Kredit
Soalan:

Apakah hukumnya penggunaan Kad Kredit (Visa, Master)?

Azhar, Subang

Jawapan:
Sesungguhnya Islam mengharamkan segala bentuk urusan yang ada kaitan dengan riba atau berbentuk penipuan dan kezaliman  kepada sebelah pihak. Dalam surah al-Baqarah ayat 235 Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba." Jika penggunaan kad kredit tidak mengandungi unsur-unsur di atas maka ia boleh digunakan. Namun jika kita boleh mengelak dari menggunakannya maka ia lebih baik kerana charge perkhidmatan yang dikenakan termasuk dalam perkara subahat yang belum diketahui bentuk hukumnya.

Kembali ke atas ↑


 

5. Hukum Bermain Saham
Soalan:
Apakah hukumnya bermain saham dan adakah ianya dibenarkan dalam Islam?

Din Kamsin, KL

Jawapan:
Hukum melabur dalam pasaran saham dan saham amanah dianggap halal oleh Islam sekiranya aktiviti-aktiviti pelaburan yang dilakukan adalah tidak melanggar hukum syarak.

DN 224 Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih

Kembali ke atas ↑


 

6. Meminjam dengan Bank yang Mengenakan Riba
Soalan:
Bolehkah kita melabur dalam syarikat yang meminjam wang dari Bank yang mengenakan riba?

Hamzah, S'pura

Jawapan:
Jika kita telah mengetahui secara pasti bahawa bank tersebut memakai sistem riba maka wajiblah kita menghindarinya, kerana ketika ini ada alternatif lain yang membolehkan kita meminjam wang di institusi kewangan yang tidak menggunakan sistem riba atau bank Islam. Wallahu A'lam.

DN 285 Riba - Bunga Bank & Persoalannya

Kembali ke atas ↑


 

7. Bekerja di Hotel
Soalan:

Saya ingin bertanya mengenai hukum orang yang bekerja di hotel.Adakah haram jika seseorang itu merupakan seorang yang taat kepada perintah Allah tetapi dia mencari rezeki dengan menjadi penyelia / bekerja di dalam pejabat di hotel?

Ayang, KL

Jawapan:
Bekerja itu dinilai sebagai suatu ibadah jika pekerjaan yang dilakukan itu tidak mengandungi sesuatu yang syubhat dengan perkara haram, ataupun bekerja dengan niat jika memperoleh pendapatan digunakan untuk perbuatan maksiat dan sebagainya. Pada dasarnya bekerja di hotel itu hukumnya harus atau boleh, bahkan menyediakan penginapan para musafir yang sedang dalam perjalanan dinilai sebagai kebaikan.

Walaupun begitu pada zaman sekarang ini banyak hotel disalahgunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, sehingga dengan sengaja mereka menyediakan tempat untuk bermaksiat dan sebagainya. Jika jelas wujud maksiat di hotel tersebut bahkan dengan sengaja disediakan oleh pihak hotel sendiri, maka lebih baik meninggalkan pekerjaan ini, kerana dikhuatirkan ada nilai syubhat dalam rezeki yang kita terima sebagai gaji. Wallahu a'lam.

Kembali ke atas ↑


 

8. Bekerja di Farmasi
Soalan:
Sebagai ahli farmasi, sering didatangi pembeli yang ingin membeli ubat seperti perancang keluarga dan ubat yang boleh menggugurkan kandungan. Apakah berdosa saya menjual akan ubat-ubat tersebut ?

Ibnuas, KL

Jawapan:
Sebagai sebuah farmasi maka perlulah menyediakan berbagai ubatan yang dapat dibeli oleh para pengguna. Sedangkan syarat membolehkan atau melarang untuk menggunakan ubat-ubat tersebut tergantung pada pihak-pihak yang ditunjuk seperti para ulama, doktor dan sebagainya.

Jika pembeli berhajat ingin membeli ubat menggugurkan kandungan, mungkin ketika itu para ulama membenarkannya lantaran pembeli dalam keadaan darurat (bahaya) terpaksa menggugurkan kandungannya demi keselamatan ibu yang mengandung. Begitu juga ubat-ubat yang lain. Jadi menjual ubat-ubat tersebut di atas hukumnya harus atau dibolehkan untuk kemaslahatan ummah.

Kembali ke atas ↑


 

9. Mengguna Peralatan Majikan Bagi Kepentingan Diri
Soalan:
Abu bekerja di sebuah jabatan kerajaan/swasta. Pada waktu bekerja Abu telah membuat pekerjaan samping bagi mendapat duit saku mengambil ubah menaip/membuat kad jemputan. [Perlu diingatkan
Abu menggunakan kemudahan komputer di pejabat beliau] Namun demikian ini tidak menjejaskan pekerjaan asal Abu. Bagaimana dengan wang yang diperolehi oleh Abu?

Mohd, JB

Jawapan:
Jika anda memperolehi kerja sampingan secara halal dan tidak mengganggu waktu kerja anda dengan majikan anda untuk mencari rezeki sebagai tambahan demi menampung kehidupan keluarga adalah suatu usaha yang terpiji. Namun jika anda menggunakan peralatan pejabat tanpa memperolehi keizinan daripada majikan anda, maka sikap tersebut tidak terpuji dan dikhuatirkan rezeki yang kita perolehi tersebut tidak berkat bahkan mendapat kutukan daripada Allah. Adalah lebih baik dan terpuji jika anda meminta izin kepada majikan terlebih dahulu, kerana peralatan itu miliknya dan berdosa jika menggunakannya tanpa mendapat keizinan daripadanya.

Kembali ke atas ↑


 

10. Bekerja Sebagai Seorang Agen Insurans
Soalan:
Saya adalah seorang agen insurans hayat daripada syarikat yang didaftarkan di Malaysia. Niat saya dalah untuk membantu kaum muslimin dan muslimat didalam menghadapi masalah kewangan yang mungkin dihadapi. Adakah pekerjaan saya ini salah disisi agama Islam?

Kamaru Zaman, Wangsa Maju

Jawapan:
Terdapat kekeliruan tafsiran di kalangan masyarakat Islam yang kononnya insuran bertentangan dengan Islam. Mereka percaya bahawa insuran seolah-olah menolak rahmat Allah. Ini kerana Allah telah menyediakan kita dengan keperluan hidup yang berpatutan. Memang benar Allah berkuasa menyediakan rezeki yang cukup kepada makhluknya. Ini dijelaskan dalam surah Hud ayat 6 yang bermaksud: "Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenar menyediakan rezekinya".

Ayat ini tidaklah bermakna Allah akan membekalkan kita dengan makanan dan pakaian dari syurga walaupun kita tidak berusaha. Ayat ini sebenarnya menjelaskan tentang masa depan dari segi ekonomi yang bahagia dan mewah untuk semua orang menurut pandangan Islam. Allah memerintahkan supaya setiap individu tidak dikecualikan dari menikmati keperluan hidup yang secukupnya dan ia harus dilindungi dari sebarang bentuk pencerobohan. Ini adalah kewajipan utama kerajaan Islam menjamin perkara tersebut dan insuran membantu mencapai objektif ini.

Menurut Majlis Perundangan Islam Liga Dunia Muslim Makkah menganggap haram kesemua urusniaga insuran moden termasuk insuran nyawa dan yang berbentuk komersil tetapi ia membenarkan insuran kerjasama.

Menurut  Syekh Mustaafa Az Zarqa' Profesor Perundangan islam di Universiti Jordan dan seorang pakar dalam bidang ini telah menjalankan kajian-kajian itensif mengenai masalah ini. Beliau berpendapat kebanyak bentuk insurans adalah diterima oleh Islam. Namun demikian adalah lebih selamat jika diterima majlis Perundangan Islam kerana ia lebih meyakinkan dan disokong oleh ramai cerdik pandai.

 DN 224 Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih

Kembali ke atas ↑


 

11. Wanita Menjadi Ketua Bahagian dalam Organisasi Syarikat
Soalan:

Apakah hukum seorang perempuan yang menjadi ketua bahagian didalam sesuatu organisasi syarikat?

Noor Mazli, JB

Jawapan:
Kaum wanita juga adalah kaum yang ditaklifkan oleh Allah sebagaimana juga kaum lelaki. Mereka dituntut beribadah kepada Allah, menegakkan agama, menuaikan segala yang difardhukan dan menjauhkan segala yang haram, melakukan perkara yang makruf dan mencegah perkara mungkar. Setiap perintah syarak turut melibatkan kaum wanita kecuali yang terdapat dalil yang mengkhususkan untuk kaum lelaki saja.

Al Quran al Karim mengambil kira lelaki dan wanita sekaligus ketika meletakkan tanggungjawab membentuk masyarkat dan memperbaikinya. Dengan perkataan lain dalam melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar ia merupakan kewajipan bersama antara kaum lelaki dan wanita.
Firman Allah SWT maksudnya: "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan solat dan membayar zakat serta taat kepada Allah dan rasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah".
(At Taubah ayat 71) Mengenai seorang wanita menjadi ketua, dalam hal ini ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari maksudnya: "Tidak akan berjaya sesuatu kaum yang melantik kaum wanita menguruskan urusan mereka". Kekuasaan yang dimaksudkan di dalam hadis ini bermaksud kekuasaan umum ke atas ummah seluruhnya iaitu dalam bentuk kepimpinan negara. Ia bermaksud urusan kepimpinan dan pentadbiran umum. Sebaliknya jika hanya sesetengah urusan tidak menjadi masalah kaum wanita mempunyai kekuasaan di dalamnya. Seperti kekuasaan dalam fatwa, ijtihad, pengajaran, meriwayatkan hadis, pentadbiran dan lain-lain.  Kaum wanita boleh diberi kuasa dalam bidang ini menurut ijmak.

Kaum wanita telah pun melibatkan diri dalam bidang-bidang ini semenjak zaman berzaman sehingga Imam Abu Hanifah mengharuskan penyaksian kaum wanita dalam masalah kehakiman di lapangan selain daripada hudud dan qisas. Dengan demikian bagi wanita yang menjadi ketua dalam bahagian-bahagian tertentu dalam sebuah organisasi ataupun syarikat hukumnya harus atau boleh. Namun jika ia berperanan menjadi pemimpin dalam sebuah negara, kebanyakan ulama mengharamkannya.

Keharusan bekerja di kalangan wanita diikuti dengan beberapa syarat:
a. Kerjaya itu sendiri dikehdaki syariat, dengan kata lain kerjaya itu tidaklah haram atau membawa kepada melakukan perkara yang haram. Seperti menjadi setiausaha khas kepada pengarah yang memerlukan ia sentiasa bersama dengan bosnya serta kerja-kerja yang lain yang jelas dilarang oleh syarak.

b. Hendaklah wanita berkenaan beriltizam dengan adab-adab wanita muslimah apabila keluar dari rumahnya dari segi berpakaian, gaya berjalan, bercakap dan bergerak.

c. Kerjaya itu tidak mengorbankan kewajipan-kewajipan lain yang tidak harus dicuaikan seperti terhadap suami dan anak-anak, kerana itulah kewajipan yang pertama dan asasi yang mesti dilaksanakan oleh seseorang perempuan. Sebaiknya masyarakat Islam mengatur suasana kerja yang dituntut oleh syarak seperti mewujudkan bahagian atau tempat yang khusus untuk pekerja-pekerja wanita di kementerian-kementerian, pertubuhan-pertubuhan dan juga bank-bank yang menjauhkan mereka dari khalwat dan fitnah, malah berbagai lagi cara yang sesuai dengan mereka.

DN 224 Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih

Kembali ke atas ↑


 

12. Cara Melunas Hutang
Soalan:
Saya pernah mempunyai hutang yang sudah lama belum terbayar dan jumlahnya sudah saya lupa, disebabkan karena orang tempat saya meminjam itu saya tak pernah ketemu lagi, sebab sudah puluhan tahun, tetapi sampai saat ini saya masih selalu terbebani oleh hutang tersebut. Apakah hutang saya boleh dikata lunas, kalau misalnya saya memasukkan uang kemesjid dengan niat untuk hutang saya tersebut?

Rosmiati, Ujung Pandang

Jawapan:
Jika kita berhutang dengan seseorang telah terlalu lama,  bahkan orang tempat kita berhutang tersebut tidak dapat ditemui, maka kita bolehlah pengumaman dengan melalui media (jika sanggup melakukanna). Jika dengan cara mencarinya tidak ditemui, begitu juga ahli warisnya tidak ada, setelah diumumkan namun tidak ada apa-apa reaksi, maka bolehlah anda sedekahkan wang tersebut kepada orang yang berhak menerimanya atas nama orang tersebut. Semoga denga cara itu, Allah mudahkan urusan kita. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑

Popular

Anda Di Sini Soal Jawab Kemusykilan Umum Mua'malah