Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Kekeluargaan & Perkahwinan
Anak

Soalan-soalan:

  1. Anak
  2. Menamakan Anak
  3. Makna Nama Anak
  4. Mendidik Diri Agar Menjadi Anak Soleh dan Solehah
  5. Nama-nama yang Baik
  6. Cara Mendidik Anak yang Nakal
  7. Korban Aqiqah
  8. Nama-nama Anak Menurut Islam
  9. Anak yang Agresif
  10. Doa Menghalang Anak Bergaduh
  11. Mengawal Tingkahlaku Anak-anak
  12. Menamakan Anak Lelaki Sesuai dengan Doa
  13. Harapan Memperolehi Zuriat
  14. Doa-doa Agar Memperoleh Anak Soleh/Solehah
  15. Amalan Untuk Memperolehi Zuriat
  16. Diantara Doa Mendapatkan Anak yang Soleh
  17. Petua Menjaga Kandungan
  18. Mengatur Jarak Kehamilan
  19. Menghadapi Anak Lari Dari Rumah
  20. Menghadapi Kenakalan Anak Berumur Dua Tahun



 

1. Anak
Soalan:
Saya sekarang mengandungkan anak kedua kami. Anak kami yang pertama baru berusia 6 bulan dan sekarang ini saya sedang mengandung dua bulan, anak kedua kami. Masalah saya ialah, adakah saya berdosa apabila menyatakan anak yang dikandung sekarang ini secara kebetulan sahaja dan tidak berniat untuk mengandung lagi. Maksud saya, saya tidak mahu anak lagi buat masa ini memandangkan anak kami kecil lagi. Tolonglah saya.

Hamba Allah

Jawapan:
Anak adalah salah satu rahmat dan nikmat yang Allah anugerahkan kepada setiap manusia, menolak nikmat yang Allah berikan kepada kita adalah berdosa kerana memungkiri fitrah yang telah Allah tetapkan. Allah SWT berfirman dalam surah Al Kahfi ayat 46 maksudnya: "Harta dan anak adalah perhiasan kehidupan ini..." Maksud perhiasan dalam ayat ini adalah memberikan keindahan kalau dilihat, rasa kebanggaan bagi yang memilikinya serta memberikan penghargaan dan penghormatan bagi pemiliknya.

Sama ada kita berniat atau tidak berniat untuk mengandung, ia merupakan ketentuan Allah yang wajib kita syukuri kemudian berdoa agar kandungan kita sentiasa dalam keadaan sihat, dengan cara ini kita tergolong insan yang bersyukur dengan rahmatNya. Kerana manusia tidak mengetahui bahawa dalam sesuatu yang tidak ia sukai itu terkandung nilai dan manfaat yang banyak untuk dirinya. Janganlah mementingkan pekerjaan daripada sesuatu yang lebih besar iaitu rahmat Allah.

Banyakkan amalan ketika ini agar keresahan dan kesukaran dilapangkan Allah SWT. Bacalah doa mohon rahmat terkandung dalam surah Ali Imran, ayat 8-9. Doa untuk mendapat zuriat yang soleh, surah Ali Imran, ayat 38. Doa agar keturunan tetap mengerjakan solat, surah Ibrahim, ayat 40 dan 41 serta doa-doa lainnya. Hanya dengan mendekatkan diri kepadaNya segala kebimbangan dan keresahan hidup kita hilang.

DN 240 20 Sifat Fitrah Anak - Siri Keluarga Gemilang
DN -37 Rumah Idaman Syurga Impian - ISTERI TELADAN

Kembali ke atas ↑


 

2. Menamakan Anak
Soalan:
Jika kita namakan anak kita sempena nama kebesaran Allah dan ditambah pada permulaannya dengan nama MUHAMMAD, contohnya MUHAMMAD QUYYUM. Ada pendapat mengatakan tidak boleh sebab mesti didahului dengan ABDUL,  sila jelaskan. Terima Kasih, Wassalam.

Abdul Halim, PJ

Jawapan:
Orang tua hendaklah berhati-hati dalam memberikan nama-nama anak, agar tidak memasukkan kita ke dalam kemusyrikan kepada Allah SWT. Kita juga tidak boleh memberikan nama kepada diri dan anak-anak kita dengan nama-nama Allah seperti Ahad, Ash Shamad, Ar Razaq dan lain-lain. Jika ingin menggunakan nama-nama Allah sebagai nama kita, tambahlah kata Abdul (hamba) bukan Muhammad (insan mulia). Jika Qayyum (berkuasa) tambahlah Abdul Qayyum (hamba Allah yang Berkuasa) bukan Muhammad Qayyum (insan yang terpuji yang berkuasa).

Begitu juga kita tidak boleh memberi nama untuk anak-anak dengan nama-nama surat dalam Al Quran seperti Thaha dan Yasin. Menurut Imam Malik bahawa nama tersebut makruh dipakai untuk nama anak-anak kita.

Kembali ke atas ↑


 

3. Makna Nama Anak
Soalan:
Saya ingin mendapatkan penjelasan tentang beberapa nama-nama indah di dalam Islam. Saya ingin menamakan anak saya dengan nama `Luqman'. 
(i)   Apakah makna Luqman ?
(ii)  Apakah nama awalan yang terbaik untuk disambungkan kepada nama tersebut, seperti Muhammad, Abdul, Nur, Ahmad, Abu dan lain-lain jika ada?

Hadifah, KL

Jawapan:
i)Luqman maksudnya, bijaksana.
ii) Nama yang sesuai untuk disambungkan ; Muhammad ataupun Ahmad yang ertinya "Insan terpuji". Muhammad Luqman ertinya Insan terpuji yang bijaksana.

Kembali ke atas ↑


 

4. Mendidik Diri Agar Menjadi Anak Soleh dan Solehah
Soalan:
Bagaimana caranya mendidik hati dan diri agar menjadi anak yang solehah serta doa-doa yang perlu diamalkan?

NNMS, KL

Jawapan:
Untuk mendidik diri agar menjadi insan yang solehah adalah dengan banyak melakukan amalan yang terpuji, berusaha untuk meninggalkan dosa-dosa yang kecil apakah lagi dosa-dosa besar. Jangan tinggalkan amalan yang wajib, jalinkan siraturrahim dengan sanak keluarga dan hormati kedua ibu bapa, sebab keredhaan Allah itu tergantung kepada kerdhaan ibu bapa terhadap kita. Namun yang paling penting tutuplah aurat agar kehidupan mendapat keberkahan Allah SWT.

Banyakkan membaca Al Quran dan berzikir insya Allah, hati akan menjadi tenang. Mengenai doa-doa untuk mendidik hati dan diri, diantaranya  adalah seperti berikut : -
*Doa agar terhindar dari kesesatan (Ali Imran ayat 8).
*Doa agar tetap pendirian (Ali Imran 147).
*Doa agar diberi rahmat (Al A'raf 23).

DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
DN 020 Panduan Munajat Qiamullail - Ibadah Sepanjang Malam

Kembali ke atas ↑


 

 

5. Nama-nama yang Baik
Soalan:
Bolehkah ustaz senaraikan nama-nama yang paling baik di sisi islam lelaki atau perempuan berserta maknanya sekali. Dan apakah makna Nur Fatihah, Nur Hidayah, Muhammad Firdaus dan Muhammad Hakim?

Auziera, KL

Jawapan:
Nur Fatihah maksudnya "Cahaya Pembukaan atau Cahaya Kemenangan".
Nur Hidayah maksudnya "Cahaya Petunjuk".
Muhammad Firdaus - Muhammad ertinya Insan yang terpuji. Firdaus ertinya: nama syurga.
Muhammad Hakim - Muhammad ertinya Insan yang terpuji. Hakim ertinya: Bijaksana.

DN 118 Amalan Ketika Mengandung & Setelah Bersalin - Panduan Nama Bayi

Kembali ke atas ↑


 

 

6. Cara Mendidik Anak yang Nakal
Soalan:

Apakah yang perlu dilakukan terhadap kanak-kanak yang degil. Adakah doa-doa yang perlu kita amalkan untuk melebutkan hati kanak-kanak tersebut?

Lina, Hulu Langat

Jawapan:
Anak merupakan anugerah dan amanah Allah kepada kita. Dalam Al-Quran juga ada mengatakan bahawa anak juga merupakan fitnah, maksudnya adalah jika kita tidak mendidik menurut ketentuan dan tuntunan Islam maka dia menjadi anak yang derhaka. Kederhakaan merupakan fitnah yang paling besar baik bagi diri anak mahupun kedua ibu bapa.

Dalam mendidik anak kita dituntut agar bersabar, dan membekalkan diri mereka dengan ilmu agama. Sebab dengan pengetahuan agama sajalah dapat mendidik mereka menuju anak soleh atau solehah. Disamping itu kita disuruh berdoa selesai mengerjakan solat agar anak-anak kita menjadi anak yang pandai, bijak, berakhlak mulia, menjalankan perintah Allah dan orang tua, serta mendoakan ke atas mereka agar selamat di dunia dan akhirat.

Diantara doa-doa yang perlu diamalkan untuk anak-anak kita adalah seperti berikut:

1. Doa agar anak patuh kepada Allah rujuk Al-Quran surah Al Baqarah ayat 1280

2. Doa agar diberikan anak yang baik rujuk Al-Quran surah Ali Imran ayat 38

3. Doa agar diberikan zuriat menyenangkan hati rujuk Al-Quran surah ayat Furqan 74

4. Doa agar anak tetap mengerjakan solat rujuk Al-Quran surah Ibrahim ayat 40

Wallahu A'lam.

DN 090 Mendidik Anak Pintar Cerdas bermula dari Alam Rahim...
DN 085 Bimbingan Motivasi Anak Cemerlang

Kembali ke atas ↑


 

 

7. Korban Aqiqah
Soalan:
Mengenai Korban Aqiqah saya harap ustaz dapat menjelaskan tentang hukum, cara, masa dan kadarnya.

Badrul, KL

Jawapan:
Bersedekah pada hari ke tujuh dari kelahirannya dengan dua ekor kambing bila lelaki dan seekor kambing bila perempuan inilah dinamakan dengan aqiqah. Hukumnya sunnah muakad, walaupun bagi seorang ayah yang kurang mampu. Namun ada ulama mengatakan hukum aqiqah ini wajib, alasannya kerana Rasulullah SAW dan sahabat selalu melakukannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Bersama bayi adalah aqiqahnya, sembelihlah kambing baginya dan hilangkan gangguan darinya".
(Hadis riwayat lima rawi hadis) Boleh juga menyembelih seekor kambing untuk anak lelaki berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW terhadap cucu baginda Al Hasan dan Al Husein ra. Penyembelihan itu dilakukan pada hari ketujuh sesudah kelahiran. Ini jika sanggup. Kalau tidak, boleh pada hari kedua puluh satu dari hari kelahirannya. Jika tidak sanggup pula, boleh bila-bila saja.  Dalam hadis riwayat Baihaqi disebutkan pula aqiqah disembelihkan pada hari keempat belas dan hari kedua puluh satu".

Dalam menyembelih kambing aqiqah dianjurkan mengucapkan  "Bismillah, ya Allah ini dari Mu dan kepada-Mu sebagai aqiqah Fulan bin/binti Fulan". Dianjurkan waktu menyembelih aqiqah waktu matahari naik, dan dianjurkan pula mencukur rambut bayi sebelum menyembelih aqiqah. Namun ada pendapat yang mengatakan pencukuran rambut dilakukan setelah penyembelihan aqiqah dan bersedekah dengan emas seberat rambut yang dicukur. Aqiqah agar dimasak dengan bahan yang manis, untuk mengharapkan kemanisan akhlak bayi. Dan lebih utama ialah mengirimkan kepada kaum fakir dalam keadaan yang sudah masak. Menurut Imam Syafei boleh juga kita mengundang fakir miskin datang ke rumah kita untuk menikmati daging aqiqah tersebut.  

DN 105 ♂ Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑


 

 

8. Nama-nama Anak Menurut Islam
Soalan:

Saya mempunyai  tiga orang anak. Yang pertama saya namakan Muhammad Fitri, Kedua Nur Farahain dan Ketiga Muhammad Faizul Hafiz. Sesuaikah nama-nama tersebut didalam Islam?

Jamilah, JB

Jawapan:
Memberi nama anak adalah tanggungjawab ibu bapa terhadap mereka, kerana nama merupakan doa terhadapnya. Jika nama tersebut bermakna baik, bererti kita mendoakan untuk anak agar menjadi baik. Sebaliknya jika nama tersebut bermakna buruk, maka ia akan membawa kesan pada tingkah laku mereka. Mengenai nama anak anda mungkin dapat kami terjemahkan sebagai berikut: Muhammad Fitri: bermakna "Insan terpuji yang bersih atau semulajadi".
Nur Farahain: bermakna "Cahaya kegembiraan".
Muhammad Faizul Hafiz: bermakna "Insan terpuji yang berjaya dan penjaga atau pelindung"

Kembali ke atas ↑


 

 

9. Anak yang Agresif
Soalan:
Saya ingin tahu cara-cara untuk mengatasi masalah anak yang suka memukul dan tidak mendengar kata tapi anak itu baru berumur 4 tahun. Adakah itu normal bagi kanak-kanak dan adakah sifat-sifat degilnya itu akan hilang apabila ia membesar kelak?

Noridah, KL

Jawapan:
Anak-anak yang agresif dan aktif ketika berusia kanak-kanak merupakan perkara biasa, bahkan sesetengah ahli psikologi mengatakan bahawa perbuatan anak tersebut sebagai perlakuan normal. Kerana menurut mereka anak yang pendiam ketika usia kanak-kanak ini tergolong kanak-kanak yang bermasalah, wallahu 'alam.

Di dalam Islampun kita dituntut untuk mencurahkan rasa kasih dan sayang kepada anak-anak kita agar mereka dapat tumbuh dan berkembang menurut fitrahnya secara baik dan sempurna. Rasa kasih sayang ini bukan sahaja dinikmati anak dengan rasa yang bahagia dan memberangsangkan tetapi juga memberikan kesan kepada ibu bapa yang memberikan rasa kasih sayang itu. Jika kita tidak mampu bersabar dan tidak mampu menyayangi anak-anak secara berterusan kerana agresif dan kenakalan mereka, maka kita khuatir rasa kasih sayang itu mulai menghilang dalam diri kita. Jika ini terjadi maka kita tergolong insan yang paling rugi.

Dari Ibnu Abbas, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Muliakanlah anak-anakmu dan berikanlah pendidikan yang baik kepada mereka" (Riwayat Ibnu Majah) Dalam memberikan pendidikan kepada kanak-kanak utamakanlah pendekatan pendidikan Islam. Pendidikan yang pertama sekali diberikan kepada anak ialah dasar-dasar aqidah dengan cara yang mudah diterima. Oleh itu hendaklah memperdengarkan kalimah syahadah dan kalimah tauhid kepadanya. Bacakan kepada mereka itu kalimah tauhid setiap hari sehingga meresap ke dalam hatinya.

Apabila usia anak telah bertambah misalnya telah berumur empat atau lima tahun, ajarilah mereka dengan akhlak yang mulia seperti sifat jujur dan melarang mereka bersikap dusta, mencintai kedua orang tua dan sanak saudara. Kenalkan kepada anak nilai-nilai dan akhlak yang mulia serta bandingkan dengan sifat-sifat yang tercela agar mereka dapat membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.

Dalam Islam dengan tegas menjelaskan agar kita menyuruh anak mengerjakan solat ketika berusia tujuh tahun dan pukul mereka jika tidak mahu mengerjakannya ketika berumur sepuluh tahun.

Banyakkan berdoa kepada Allah, agar anak yang berusia empat tahun ini menjadi insan yang soleh di kemudian hari yang dapat mendoakan ibu bapanya kelak. Jangan memberikan gelaran yang buruk kepada mereka, kerana sebutan buruk itu merupakan doa, dan sebaliknya gunakan gelaran ataupun panggilan yang baik, agar ia menjadi anak yang baik, insya Allah.  

DN 085 Bimbingan Motivasi Anak Cemerlang
DN 090 Mendidik Anak Pintar Cerdas bermula dari Alam Rahim...

Kembali ke atas ↑


 

 

10. Doa Menghalang Anak Bergaduh
Soalan:
Saya ingin tahu adakah ayat-ayat Al-Quran yang boleh dijadikan doa untuk menghalang anak-anak dari bergaduh sesama mereka?

Asri, KK

Jawapan:
Tentang  ayat al Quran yang boleh menghalang anak anak dari bergaduh, anda boleh membaca surah al Fatihah dan selawat. Ini diikuti dengan bacaan surah al Insyirah sebanyak 7 kali kemudian bacakan ayat 200 dari surah ali-Imran serta doa berikut " Allahumma allif baina qulubihim wa ashlih zata bainihim ". Selepas itu dihembus ke dalam air untuk diberi minum kepada anak anak. Boleh juga dibaca dan dihembus ke ubun-ubun anak anda pada setiap malam.

HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 001 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 002 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
Buku-buku kategori: Kekeluargaan

Kembali ke atas ↑


 

 

11. Mengawal Tingkahlaku Anak-anak
Soalan:

Bagaimana untuk mengawal tingkahlaku anak-anak yang berumur antara 3-5 yang sentiasa dengan kenakalan mereka.  Adakah ayat-ayat tertentu yang dapat dibaca untuk melembutkan hati mereka? Adakah zikir atas salah satu nama-nama Allah boleh membantu?

Hamba Allah, KL

Jawapan:
Anda boleh membaca doa berikut untuk ditiup ke dalam air atau dihembus ke ubun anak-anak anda iaitu "Allahumma Allif Baina Qulubihim Wa Ashlih Zata Bainihim Waj-Alhum Zuriatan Soliha". Sebelum itu bacakan dulu surah Al-Fatihah dan tujuh kali surah Al Insyirah. Amalkan selalu insyaallah anak anda akan mudah mengikut kata.

Terdapat banyak zikir-zikir yang diamalkan pada hari ini. Zikir yang terbaik ialah seperti yang diamalkan oleh Rasullullah SAW dan sahabat-sahabatnya. Menyebut nama-nama Allah yang mengandungi maksud pengasih dan penyayang seperti Ya-Rahman, Ya-Rahhim, Ya-Hannan, Ya-Mannan boleh membantu melembutkan hati seseorang jika diamalkan selalu.  

DN 241 40 Peranan Ibu Bapa Mithali - Siri Keluarga Gemilang
DN 240 20 Sifat Fitrah Anak - Siri Keluarga Gemilang
DN 247 20 Kesilapan Ibu Bapa - Siri Keluarga Gemilang

Kembali ke atas ↑


 

 

12. Menamakan Anak Lelaki Sesuai dengan Doa
Soalan:
Saya ada membeli buku panduan mengandung keluaran Darul Nu'man dan saya ada terbaca mengenai doa untuk mendapatkan anak lelaki. Makna doa tersebut ada menyatakan jika ingin mendapat anak lelaki akan dinamakan dengan nama Muhammad. Seandainya bayi yang akan lahir lelaki, adakah bayi tersebut mesti dinamakan dengan Muhammad atau boleh dinamakan dengan nama selain dari Muhammad?

Siti, KL

Jawapan:
Nama Ahmad atau Muhammad menunjukkan kepada jenis lelaki. Sedangkan makna Muhammad adalah "Insan yang terpuji". Permohonan ini kita sampaikan menunjukkan betapa besarnya harapan seorang hamba kepada Allah agar dianugerahkan seorang anak yang sesuai dengan hasrat dan keinginan hati. Meskipun kita ketahui bahawa zuriat itu adalah anugerah daripada Allah yang wajib disyukuri dengan tidak mempertikaikan apakah lelaki ataupun perempuan namun kita masih diajar oleh Rasulullah SAW dalam menyelesaikan keinginan kita.

Alangkah baik jika kita gunakan nama Muhammad (insan terpuji) pada pangkan nama anak kita yang kebetulan Allah anugerahkan sesuai dengan kehendak dan doa kita. Sebab nama itu adalah doa, jika kita memberikan nama yang baik kepada anak bererti kita telah mendoakannya setiap hari sesuai dengan nama yang kita gunakan tersebut. Tambahlah nama-nama yang lain setelah sebutan Muhammad agar kita tergolong insan yang bersyukur terhadap nikmat yang Allah berikan. Tidaklah salah jika kita berhasrat menggunakan nama lain asalkan nama tersebut mengandungi makna yang baik. Wallahu "alam.

 DN 118 Amalan Ketika Mengandung & Setelah Bersalin - Panduan Nama Bayi

Kembali ke atas ↑


 

 

13. Harapan Memperolehi Zuriat
Soalan:

Usia perkahwinan kami hampir 2 tahun. Masalahnya hingga kini kami masih belum dikurniakan zuriat. Pertanyaan saya adakah mungkin kerana dosa yang tidak diampunkan oleh-Nya maka doa saya untuk memiliki cahaya mata ditolak?

Shahidah, Segamat

Jawapan:
Setiap manusia tidak luput dari silap dan salah bahkan ramai orang yang telah terlanjur melakukan dosa dan maksiat. Namun sebagai seorang hamba, kita hendaklah menyedari hakikat kehambaan kita dengan cara segera bertaubat kepada Allah dan banyak beristighar  kepadaNya. Sesungguhnya Allah SWT sangat luas kemaafanNya serta sangat penerima taubat, maka jika hambaNya memohon ampun dengan ikhlas, insya Allah segala dosa yang pernah dilakukannya akan diampunkan oleh Allah.

Hendaklah berbaik sangka dengan Allah dan penuh harap akan rahmatNya agar jiwa kita menjadi aman dan tenang. Allah berfirman dalam surah Az Zumar ayat 53 maksudnya: "Katakanlah: "Hai hamba-hamba Ku, yang melampaui batas terhadap diri sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya dan sesungguhnya Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Jadi jika kita telah bertaubat dengan ikhlas dan tidak melakukan dosa-dosa masa lalu, maka insya Allah, Allah akan  menerima taubat kita itu. Mengenai keadaan anda yang belum dikurniakan zuriat, ada baiknya anda lakukan pemeriksaan terlebih dahulu, kemungkinan pasangan anda atau anda sendiri mengalami masalah tertentu. Namun begitu teruskan berdoa setelah selesai mengerjakan solat lima waktu agar anda dikurniakan cahaya mata. Jika kita yakin akan kebesaran Allah dan keluasan rahmatNya, maka Insya Allah sesuatu yang dihajatkan akan dikabulkanNya. Bayangkan saja Nabi Ibrahim hampir menjangkau umur 150 tahun baru memperolehi anak, begitu juga dengan Nabi Zakaria mencapai umur 100 tahun baru dikurniakan Allah seorang anak. Namun mereka tetap berdoa kepada Allah dengan penuh harap dan kesabaran agar dikurniakan anak.

Bersabarlah dan berdoalah disamping berikhtiar dengan cara melakukan pemeriksaan doktor ataupun berubat cara kampung dan sebagainya, agar harapan dan cita-cita anda dikabulkan Allah. Jangan fikirkan dosa masa lalu, kerana jika seseorang itu telah bertaubat dengan taubat yang sebenarnya, maka Allah telah bersihkan diri seseorang itu sebagaimana anak yang baru lahir. Insya Allah.

DN 036 Rumah Idaman Syurga Impian - SUAMI TELADAN
DN 037 Rumah Idaman Syurga Impian - ISTERI TELADAN

Kembali ke atas ↑


 

 

14. Doa-doa Agar Memperoleh Anak Soleh/Solehah
Soalan:

Saya ingin mendapatkan ayat atau doa untuk anak yang degil atau bagaimana untuk mendapat anak yang soleh/solehah?

Ati, KL

Jawapan:
Diantara doa-doa yang perlu diamalkan agar memperoleh anak yang baik atau soleh antara lain:
1. Surah Al Baqarah ayat 128
2. Ali Imran ayat 38
3. Furqan ayat 74
4. Ibrahim ayat 40

 DN 118 Amalan Ketika Mengandung & Setelah Bersalin - Panduan Nama Bayi
 DN 037 Rumah Idaman Syurga Impian - ISTERI TELADAN

Kembali ke atas ↑


 

 

15. Amalan Untuk Memperolehi Zuriat
Soalan:
Saya telah berkahwin selama 5 tahun dan masih belum mempunyai anak. Dalam penantian zuriat pertama saya dan suami telah berusaha dengan perubatan moden/kampung tapi masih juga tidak berhasil. Dr. telah mengesahkan bahawa kami adalah pasangan yang normal dan tidak ada masalah untuk mendapat anak. Semakin lama saya menanti saya rasa semakin tertekan. Sekarang saya hanya berserah kepada Allah dengan berdoa. Setiap kali selepas solat saya cuma berdoa dalam Bahasa Malaysia dan doa-doa dari Al-quran yang pendek Cth doa nabi Zakaria. Apakah ada cara lain yang patut saya lakukan menurut Islam dan apakah doa-doa lain yang perlu saya baca?

Rohije Alang Jaafar, KL

Jawapan:
Setelah anda berusaha dengan perubatan moden dan kampung untuk memperoleh zuriat bahkan telah berdoa kepada Allah, namun belum memperoleh zuriat, maka anda dituntut supaya banyak bersabar dan jangan dalam keadaan tertekan. Perasaan yang tidak stabil akan mengganggu keadaan dalam diri anda dan ini akan menyukarkan lagi bagi anda berdua untuk memperolehi zuriat. Di dalam berdoa kita disuruh menaruh harapan seratus peratus kepada Allah dan yakin bahawa Allah berkuasa untuk mengabulkan doa kita tersebut. Yang paling penting awali doa dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah SAW begitu juga dalam menutup doa.

Mungkin anda berdua boleh mencuba amalan di bawah ini, semoga Allah memberikan jalan penyelesaian yang terbaik untuk anda dalam penantian untuk mendapatkan zuriat.

Amalan pertama.
Selepas Fajar ataupun Solat Subuh
- Baca Bismillah 1 kali
- Kemudian selawat kepada Nabi Muhammad SAW 3 kali.
- Setelah itu sujud dan baca kalimah syahadah 101 kali
- Dalam sujud tersebut mohonlah kepada Allah apa yang kita hajatkan. (Umpamanya: "Ya Allah, kurniakanlah kepada hamba mu zuriat atau anak yang soleh yang Engkau berkati di dunia dan akhirat)
- Kemudian tutup doa tersebut dengan membaca selawat 3 kali.

Amalkanlah cara ini baik suami ataupun isteri selama 15 hari atau teruskan jika masih belum berhasil dan jangan merasa putus asa. Sebab Allah tidak suka terhadap orang yang suka berputus asa.

Amalan kedua.
-Suami hendaklah membaca "Ya Mutakabbir" (Allah Yang Maha Memiliki Keagungan ) sebanyak 11   kali sebelum mengadakan jimak.
-Isteri hendaklah membaca "Ya Awwal" (Yang tiada permulaan adaNya) 333 Kali setiap hari.
-Isteri hendaklah membaca setiap hari "Ya Zaljalaali Wal Ikram" 11 kali kemudian tiup di dalam air dan air tersebut diminum.
-Suami isteri hendaklah membaca surah Yusuf / surah Maryam setiap hari.

Amalkanlah dengan penuh harap agar dimakbulkan oleh Allah SWT akan zuriat yang baik dan mendapat rahmat daripada-Nya.

Kembali ke atas ↑


 

16. Diantara Doa Mendapatkan Anak yang Soleh
Soalan:
Apakah amalan-amalan yang baik ketika isteri sedang mengandung dan amalan amalan selepas isteri selesai bersalin. Sila berikan doa-doa yang baik untuk mendapatkan anak yang soleh. Apakah nama-nama yang baik untuk bayi lelaki dan perempuan dan maksud nama-nama tersebut?

Kay, KL

Jawapan:
Hasrat ingin memperoleh anak yang soleh hendaklah ditanamkan dalam minda kita sebelum kita memilih pasangan hidup lagi. Oleh sebab itu pilihlah calon isteri atau suami orang yang menjalankan perintah Allah dengan demikian anak yang lahir dari keturunan yang baik, maka anak akan menjadi baik. Kemudian ketika mengandung amalan yang sesuai bagi suami isteri adalah seperti berikut;
1. Membaca Surah Al Fatihah
2. Membaca Surah Yaasiin hingga akhir.
3. Membaca Surah Taubah hingga akhir.
4. Membaca Surah Yusuf hingga akhir agar memperoleh anak yang soleh, sihat, cantik dan sempurna.
5. Membaca Surah Luqman hingga akhir agar memperolehi anak yang taat.
6. Membaca Surah Maryam hingga akhir untuk memperoleh anak yang sabar dan taat.
7. Membaca Surah An Nahl ayat 78
8. Membaca Surah Al A'raf ayat 189

Disamping itu perbanyaklah amalan membaca doa ini setiap kali selesai mengerjakan solat lima waktu:
1. Surah Ali Imran ayat 38
2. Surah Ali Imran ayat 8 dan 9
3. Surah Ali Imran ayat 192 hingga 194.
4. Surah Ibrahim ayat 40 dan 41.

DN 118 Amalan Ketika Mengandung & Setelah Bersalin - Panduan Nama Bayi
 DN 037 Rumah Idaman Syurga Impian - ISTERI TELADAN
DN 036 Rumah Idaman Syurga Impian - SUAMI TELADAN

Kembali ke atas ↑


 

17. Petua Menjaga Kandungan
Soalan:
Setelah menunggu selama lima tahun untuk mendapat zuriat, kini hasil usaha saya dan suami telah menanpakkan hasil. dimana saya telah hamil satu bulan. untuk makluman ustaz saya pernah mengalami
keguguran kira-kira 2 tahun lalu, peristiwa menjadi fobia kapada saya . Soalan saya, apakah doa atau ayat-ayat suci yang perlu saya amalkan supaya kandungan saya selamat dan juga untuk mendapat zuriat yang soleh/solehah, bijak, sihat sempurna serta mendengar cakap?

Rohijea, KL

Jawapan:
Lazimnya kita dengar bahawa pasangan yang baru berkahwin kandungan pertamanya mengalami keguguran. Mungkin ada faktor-faktor tertentu yang menyebabkan rapuhnya janin di dalam rahim. Namun begitu adalah lebih baik suami dan isteri menjaga kandungan tersebut dengan cara bersama-sama. Sebab bulan-bulan pertama kehamilan kedudukan janin belum begitu kukuh dan sangat sensitif yang menyebabkan mudah terjadi keguguran. Aturlah hubungan jimak ketika bulan-bulan pertama ini dengan sebaik mungkin dan jagalah dengan hati secara bersama-sama.

Mengenai amalan ingin memperoleh anak yang soleh dan solehah banyakkanlah berdoa setelah selesai mengerjakan solat lima waktu. Bahkan dalam buku-buku tertentu memberikan petunjuk dengan jelas tentang amalan ketika mengandung ini. Terutama banyakkan membaca surah Maryam dan Surah Yusuf agar anak menjadi orang baik wajah dan budi pekertinya serta patuh kepada Allah dan kedua ibu bapa. Wallahu A'lam.

DN 118 Amalan Ketika Mengandung & Setelah Bersalin - Panduan Nama Bayi
 DN 037 Rumah Idaman Syurga Impian - ISTERI TELADAN

Kembali ke atas ↑


 

18. Mengatur Jarak Kehamilan
Soalan:
Saya sekarang sedang mengandung anak ketiga, masalah saya sekarang adalah salah saya mengandung kerap iaitu selama 3 tahun berturut-turut. Selepas ini mungkin saya akan merancang untuk tidak mengandung lagi bagi tempoh terdekat ini. Adakah saya bersalah sebab saya ini bekerja dan bukan surirumahtangga. Susah bagi saya mendapat penjagaan bagi anak-anak saya nanti kalau saya tidak
merancang selepas ini?

Nora, KL

Jawapan:
Melambatkan atau mengatur kehamilan buat sementarawaktu dan tidak menghentikannya sama sekali tidaklah haram menurut pendapat yang zahir. Malah jika dengan sebab sesuatu keuzuran seperti untuk mendidik anak, tidak dimakruhkan jika melewatkan atau mengatur kehamilan. Jika tidak hukumnya adalah makruh.

DN 224 Himpunan Isu-isu Feqah Terpilih

Kembali ke atas ↑


 

 

19. Menghadapi Anak Lari Dari Rumah
Soalan:
Bagaimanakah cara yang terbaik dan yang sepatutnya ibubapa lakukan untuk melembutkan hati anak-anak yang suka lari dari rumah supaya mereka kembali ke pangkuan keluarga?

Madzzulhaidi, KL

Jawapan:
Anak yang lari dari rumah mungkin disebabkan oleh tekanan yang timbul dari rumah itu sendiri. Rasa tidak selesa anak duduk di rumah menyebabkan ia mencari alternatif lain untuk memenuhi keinginan dan dorongan jiwa remaja tersebut. Perkara yang paling asas bagi ayah untuk memujuk anaknya agar merasa tenang duduk di rumah carilah punca mengapa anak tersebut tidak suka duduk di rumah atau suka lari. Setelah itu perbaikilah kelemahan tersebut agar anak-anak kita dapat menerima hakikat bahawa rumah adalah tempat berteduh dan tempat menumpahkan rasa suka dan duka.

Jika orang tua prihatin dengan pendidikan dan pengetahuan agama anak-anaknya, maka tidak akan timbul anak lari dari rumah. Kerana anak yang dibekalkan dengan ilmu agama yang sempurna akan menghargai ibu bapanya sendiri dan akan merasa bersalah jika menyakiti hati ibu bapanya. Namun begitu jika perkara ini telah terlanjur janganlah kita merasa berputus asa, bermohonlah kepada Allah SWT setiap lepas solat lima waktu agar anak kita tersebut menjadi anak yang soleh. Disamping itu jika anda memiliki rezeki yang lebih bawalah anak tersebut pergi ke tanah suci Makkah mengerjakan haji atau umrah, hargailah hati dan perasaannya dan berdoalah di sana agar Allah merubah segala perangai yang buruk itu menjadi baik. Hanya dengan ikhtiar dan doa yang sungguh-sungguh akan menghasil buah yang bermafaat dalam membesarkan dan mendidik anak-anak menjadi insan atau anak yang soleh.  Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

20. Menghadapi Kenakalan Anak Berumur Dua Tahun
Soalan:
Bagaimanakah untuk mendidik anak yang kurang daripada dua tahun agar dia boleh mendengar cakap dan tidak terlalu nakal. Bolehkah saya menggunakan percakapan yang keras bagi membentuknya? Kadang-kadang saya hilang sabar di atas karenah anak saya.

Jefree, Simunjan

Jawapan:
Masa umur dua tahun adalah masa yang sangat aktif bagi anak-anak, kerana pada usia ini pertumbuhan fizikal dan perkembangan mentalnya sedang meningkat. Fenomena ini pasti dihadapi oleh setiap ibu bapa yang memiliki anak yang normal. Pada usia ini sangatlah tidak wajar bagi ibu bapa menggunakan kata-kata yang kasar dan keras apatah lagi memukulnya. Mereka dalam usia ini sangat sensitif baik perasaan mahupun jasmani mereka.

Rasulullah SAW sangat menyayangi cucu-cucu baginda Hasan dan Husain. Bahkan ketika baginda sedang menjadi imam yang diikuti oleh jemaah Islam, kedua cucu baginda tersebut memanjat tengkuk baginda menyebabkan baginda melamakan waktu sujudnya demi menjaga kedudukan cucunya tersebut. Setelah selesai solat para sahabat bertanya tentang terlalu lamanya baginda sujud, apakah baginda menerima wahyu ketika itu. Rasulullah pun menjelaskan tentang peristiwa yang terjadi.

Pengajaran yang diberikan oleh Rasulullah ini menunjukkan bahawa pada usia kanak-kanak ini, ibu bapa hendaklah mendidik anak-anaknya dengan kasih sayang dan kelembutan. Kalaupun ingin mencegah kesilapan yang mereka lakukan maka cegahlah dengan kelembutan dan kasih sayang pula. Dalam masalah menjalankan perintah agama terhadap anak-anak ini Rasulullah menyatakan dengan tegas. Baginda menyuruh agar umat Islam menyuruh anak-anak yang berumur tujuh tahun mengerjakan solat, namun jika umur 10 tahun tidak mengerjakan solat makan pukullah mereka.

Ertinya keizinan memukul anak dalam pendidikan Rasulullah adalah ketika anak berumur 10 tahun, itupun jika mereka melanggar perintah Allah iaitu meninggal solat. Namun begitu pukulan yang dimaksudkan baginda bukanlah memukul dengan kemarahan tetapi memukul dengan unsur mendidik dan kasih sayang.

Adalah lebih baik ibu bapa menunjukkan akhlak yang mulia di depan anak-anak agar mereka dapat meniru keperibadian yang mulia tersebut. Setelah itu banyakanlah berdoa agar mereka mempunyai hati yang lemah lembut, budi pekerti yang mulai serta menjadi anak yang soleh.

DN 090 Mendidik Anak Pintar Cerdas bermula dari Alam Rahim...
DN 204 Mendidik Mental Anak
DN 317 Teknik Mendidik & Memahami Jiwa Anak

Kembali ke atas ↑

Anda Di Sini