Buku Agama Islam Terbitan

Penyalur Inspirasi Ummah

Kekeluargaan & Perkahwinan
Jodoh

Soalan-soalan:

  1. Berdoa Untuk Memperolehi Suami Yang Soleh
  2. Panduan dan Doa Mendapat Pasangan yang Soleh
  3. Mempercepat Cari Jodoh
  4. Ketentuan Jodoh
  5. Wasiat Ibu tentang Jodoh
  6. Susah Menemui Pasangan Hidup
  7. Ukuran Cinta dalam Jodoh
  8. Poligami
  9. Hukum Tidak Berkahwin
  10. Berbual dengan Bukan Mahram Melalui Telefon
  11. Maksud Jodoh Pertemuan Di Tangan Tuhan
  12. Dilema Jodoh Setelah Istikharah 
  13. Dilema Pilihan Ibubapa dan Pilihan Sendiri
  14. Hukum Menyesali Perkahwinan
  15. Ibubapa Menghalang Pilihan Hati
  16. Guna Ayat Menambat Hati
  17. Mandi Bunga Mempercepatkan Jodoh
  18. Cara Mendapatkan Suami Beriman
  19. Wanita Menyatakan Hasratnya terhadap Lelaki
  20. Menasihati Calon Isteri
  21. Kahwin dengan Pangkat Emak Saudara
  22. Was-was (Meragui) akan Rahmat Allah Melalui Istikharah
  23. Mengetahui Isyarat Memilih Jodoh Solat Istikharah
  24. Calon Isteri lebih Tua daripada Suami
  25. Mencari Jodoh Sebagai Suatu Ikhtiar 
  26. Makna Sekufu dalam Perkahwinan

 


 

1. Berdoa Untuk Memperolehi Suami Yang Soleh
Soalan:
Apakah hukumnya seorang gadis berdoa agar dirinya segera dipertemukan jodoh dan mengharap dikurniakan seorang suami yang soleh?

Rosmah, Seremban

Jawapan:
Hukumnya harus, memohon agar Allah SWT memberikan jodoh orang yang baik (soleh). Di samping berdoa, mintalah bantuan ibu bapa agar dapat mencari pasangan yang soleh. Tindakan ini adalah lebih baik dari mencari sendiri demi mengelakkan daripada berlakunya fitnah dan maksiat.

Kembali ke atas ↑


 

2. Panduan dan Doa Mendapat Pasangan yang Soleh
Soalan:
Kita memang perlu berdoa kepada Allah agar mendapat pasangan yang soleh/solehah, boleh Ustaz berikan panduannya serta doa-doa yang perlu diamalkan?

NNMS, KL

Jawapan:
Untuk mencari pasangan yang soleh seorang wanita hendaklah memilih calon suaminya yang faham dan menjalankan perintah agama. Jangan terlalu mementingkan perkara yang bersifat kebendaan atau meterialistik, sebab harta, kecantikan, kedudukan dan pangkat tidak akan bertahan lama. Seandainya calon suami seorang yang soleh, Insya Allah rumahtangga akan bahagia dan diberkati Allah SWT.

Walaupun begitu mulailah dari diri sendiri, hiasi peribadi dengan akhlak yang mulia agar nanti kita akan dianugerahkan Allah pasangan yang mulia pula. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah An Nuur ayat 26 maksudnya: "Wanita-wanita yang buruk itu untuk lelaki yang buruk, dan lelaki yang buruk untuk wanita yang buruk; sedangkan wanita-wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik".
*Diantara wirid yang perlu diamalkan agar disayangi orang iaitu mengucapkan "Yaa Rahim" sebanyak 100 kali setiap hari, insya Allah hajat dan kasih sayang ditumbuhkan dalam hati.
*Doa lain iaitu mohon petunjuk yang lurus dari segala urusan (al Kahfi ayat 10).
*Doa memperoleh hikmah dan tergolong orang yang soleh (surah Asy Syuara ayat 83 - 85).

DN 041 Asma’ul Husna - Rahsia dan Amalan 99 Nama Allah

Kembali ke atas ↑


 

3. Mempercepat Cari Jodoh
Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk mempercepatkan jodoh? Ayat-ayat apakah yang perlu saya amalkan?

Anilzam Damha, KL

Jawapan:
Dalam usaha untuk mempercepat mencari pasangan hidup hendaklah kita banyak berdoa dan bermohon kepada Allah agar kita sentiasa memperoleh berkah dan rahmat-Nya. Kerjakan segala yang diperintahkan agama dan tinggalkan segala yang dilarang oleh Islam, jika amalan-amalan yang mulia ini kita laksanakan, maka Insya Allah akan ditentukan Allah dengan suatu yang lebih baik nantinya. Mungkin saja keterlambatan itu kerana ada hikmah yang  terkandung didalamnya yang kita sendiri tidak dapat untuk menterjemahkannya. Mungkin juga terlambatnya jodoh kita itu kerana kelalaian kita dalam mengingati Allah SWT sehingga Allah mengingatkan kita dengan cara melambatkan jodoh tersebut, akhirnya kita sedar bahawa Allah lah tempat kita bermohon. Berdoalah setiap selepas solat lima waktu agar anda memperoleh pasangan yang baik dan menjalankan agama Islam dengan cara yang sempurna.

Dalam salah satu petua yang diungkapkan oleh seorang penyusun buku amalan menjelaskan bahawa untuk mempecepat memperoleh pasangan atau jodoh hendaklah sering mengamalkan membaca "Surah Thaha". Tapi yang penting doa yang kita ingin pohonkan itu kita sendiri mengetahui maksudnya, oleh sebab itu saya anjurkan cukuplah berdoa dengan bahasa yang anda fahami selepas mengerjakan solat lima waktu.

Kembali ke atas ↑


 

4. Ketentuan Jodoh
Soalan:
Adakah jodoh wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan wanita yang jahat untuk lelaki yang jahat? Bagaimanakah nasib wanita yang telah melakukan kesilapan besar dan ia telah bertaubat. Adakah peluang untuk mendapat lelaki yang baik sebagai jodohnya?

Anilzam, Selangor

Jawapan:
Memang di dalam Al Quran Surah An Nur ayat 26 ada disebutkan maksudnya: "Wanita-wanita yang keji diperuntukkan bagi lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan bagi wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik pula".     Oleh sebab itu untuk kepentingan keluarga dan masyarakat, baik bagi wanita mahupun lelaki hendaklah menikah dengan orang yang sama dalam pengalaman agamannya. Kerana walaupun wanita pada mulanya adalah seorang yang solehah, taat beragama, apabila bernikah dengan lelaki yang berperangai keji, maka wanita itu pasti akan sukar untuk mempertahankan kebaikan serta ketaqwaannya.

Tidak ada fitnah yang lebih besar di permukaan bumi ini bagi seorang wanita yang solehah seandainya ia hidup di tengah-tengah lelaki fasiq, yang tidak mengendahkan sama sekali erti perdamaian dan kesestiaan. Kalaupun ada wanita yang ingin tetap bertahan dengan suami yang seperti itu, mungkin ia akan dipengaruhi oleh perangai suaminya, hingga lambat laun akan luntur ketaatan agamanya.

Jika kita telah bertaubat dengan taubat nasuha atau taubat yang sebenarnya bererti kita telah kembali bersih, seperti anak manusia yang baru dilahirkan, maka peluang untuk memperolehi pasangan yang baik dan mulia itu, insya Allah, akan dikabulkan Allah SWT. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

5. Wasiat Ibu tentang Jodoh
Soalan:
Apakah hukumnya seseorang yang mengingkari wasiat ibunya yang telah meninggal dunia supaya dia berkahwin dengan pilihan ibunya tadi, sedangkan dia telah ada pilihannya sendiri?
Berdosakah dia mengingkarinya?

Hayati, Miri

Jawapan:
Sebagai seorang ibu memang menginginkan agar anaknya bahagia dan tenteram disamping teman hidupnya. Biasanya ibu bapa akan memilih calon pasangan anaknya mengikut firasat atau kata hatinya, kerana ibu bapa lebih memahami keadaan anaknya dan dapat membuat perbandingan dengan calon pilihannya. Namun tidak selamanya pilihan ibu bapa itu berdasarkan tuntunan Islam, kerana ada juga ibu bapa yang memilih pasangan untuk anaknya berdasarkan kebendaan.

Masalah jodoh, rezeki dan maut merupakan ketetapan Allah. Jika ibu anda menginginkan anda kahwin dengan seseorang pilihannya, namun Allah menetapkan anda kahwin dengan orang lain, maka ketetapan Allah lah yang berlaku terhadap diri anda. Begitu juga jika anda berkahwin dengan pilihan ibu anda, itu juga merupakan  ketetapan Allah. Jadi masalah jodoh bukanlah boleh dipaksa kerana ia merupakan hak dan takdir Allah untuk seseorang. Seorang ibu hanya berhak memberikan cadangan, dan berencana sedangkan yang menentukannya hanyalah Allah SWT. Maka tidaklah berdosa jika anda kahwin dengan orang yang bukan pilihan ibu anda, kerana Allah telah menetapkan jodoh dengan pasangan anda sekarang. Jika anda ingin berkah dan ingin mendapat keputusan yang terbaik, bukan atas dorongan keinginan hawa nafsu semata, lakukanlah solat istikharah, agar Allah memberikan yang terbaik untuk anda. Insya Allah. Wallahu 'Alam.

DN 242 40 Peranan Anak Mithali - Siri Keluarga Gemilang
DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑


 

6. Susah Menemui Pasangan Hidup
Soalan:
Saya kini berusia 26 thn dan telah menjawat jawatan yang tinggi dan sehingga ke hari ini belum mempunyai pasangan hidup. Mungkin belum jodoh saya agaknya. Menjawat jawatan yang tinggi betul-betul memberi cabaran kepada saya dimana setiap hari ada saja masalah yang berkaitan dengan pelanggan dan anggota kerja yang kadang-kadang memeningkan kepala saya.  Oleh itu saya perlukan seseorang untuk melepaskan atau berkongsi masalah dengan saya.

Masalahnya ada pemuda yang berminat dengan saya tapi malangnya dia telah berumahtangga dan mempunyai keluarga.  Saya cuba melarikan diri daripadanya namun begitu dia cuba juga mendekati saya.  Saya ada juga meminta bantuan daripada kawan-kawan dan telah diperkenalkan dengan seorang pemuda yang beriman dan pada saya boleh membimbing saya di masa akan datang.

Namun begitu, setelah melakukan sembahyang istiharah, pemuda tersebut tidak dapat menerima saya kerana wajah saya tidak muncul dalam mimpinya.  Saya rasa sangat kecewa namun apa yang saya harapkan saya dapat menemui insan yang boleh megisi kekosongan hidup saya.  Namun begitu saya sentiasa berserah kepada ketentuan Allah s.w.t.

hamba Allah, BP

Jawapan:
Mengenai jodoh, rezeki dan maut merupakan takdir yang ditentukan Allah dalam diri seseorang. Sebagai seorang insan, kita dituntut supaya bersabar dan berdoa kepada Allah agar dipertemukan dengan seorang pasangan yang sesuai dan diberkati Allah. Janganlah cepat merasa putus asa dan kecewa dengan perkara yang telah terjadi,  mungkin disebalik keputusan Allah itu ada hikmah yang sangat besar terkandung didalamnya sedangkan kita tidak mampu untuk menjangkaunya. Jika kita bersabar, insya Allah pada suatu ketika nanti akan mendapat seorang pasangan yang baik dan soleh. Disamping itu jangan lupa berdoa kepada Allah setiap kali selesai solat lima waktu. Bermohon kepada-Nya agar dipertemukan dengan seorang pasangan yang soleh dan dapat membimbing keluarga ke arah jalan yang diredhai Allah SWT. Utamakan agama dalam memilih pasangan hidup daripada faktor-faktor lain seperti harta, pangkat dan sebagainya tanpa was-was. Hiasilah peribadi dengan akhlak yang mulia, bersopan santun serta menjalankan perintah agama. Hanya dengan keperiabdian yang luhur dan mulia disenangi dan disukai oleh orang lain. Wallahu 'Alam. *Diantara wirid yang perlu diamalkan agar disayangi orang iaitu mengucapkan "Yaa Rahim" sebanyak 100 kali setiap hari, insya Allah hajat dan kasih sayang ditumbuhkan dalam hati.

DN 087 Amalan Hikmat & Rahsia dari Al-Quran
 DN 041 Asma’ul Husna - Rahsia dan Amalan 99 Nama Allah
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 001 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 002 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑


 

7. Ukuran Cinta dalam Jodoh
Soalan:
Dalam memilih jodoh, yang manakah lebih diutamakan seseorang wanita itu? Adakah wanita yang menyayangi kita yang lebih baik atau kita yang menyayangi wanita itu? Yang manakah akan membawa kepada kebahagiaan? Saya pernah dengar mengatakan wanita yang menyayangi kita itu adalah lebih baik.

Syah, Kedah

Jawapan:
Memang betul pasangan yang baik kita pilih adalah seseorang yang memiliki rasa cinta yang mendalam terhadap diri kita. Dengan rasa cinta tersebut akan menimbulkan tanggungjawab dan perhatian yang lebih besar seorang isteri terhadap suami. Namun alangkah bahagianya sesebuah rumahtangga jika kadar cinta antara suami dan isteri serta kasih sayang mereka sama banyaknya. Ertinya suami menyayangi isteri  lantaran isteri mencurahkan kemesraan yang mendalam terhadap suaminya, begitu juga sebaliknya isteri merasa aman dan bahagia kerana sentuhan cinta, kasih dan sayang yang murni serta ikhlas dari suaminya.

Begitulah yang terjadi dalam kehidupan Rasulullah SAW yang menyayangi isteri-isteri baginda dengan penuh perhatian, sehingga isteri-isteri bagindapun menyayangi Baginda dengan penuh jiwa dan raga.

Kembali ke atas ↑


 

8. Poligami
Soalan:
Wajarkah bagi seseorang suami untuk berkahwin lebih dari 1 apabila si-isteri tidak dapat memenuhi kehendak suami @ berpenyakit?

Nik Farhan, Sg. Buloh

Jawapan:
Dalam Islam membenarkan seorang lelaki berkahwin sehingga empat orang. Dalam hal ini Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap hak-hak perempuan yatim (bilamana kamu mengahwininya) maka kahwinilah wanita-wanita lain yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang saja ...."  (An Nisa ayat 3 ) Jadi sudah jelaslah bahawa dalam Islam memberi jalan yang terbaik dalam mengharungi kehidupan berumahtangga. Maka dibolehkan seorang suami mengahwini wanita seramai empat orang dengan syarat kita mampu berlaku adil terhadap mereka dari segi nafkah zahir dan batin. Namun dalam hal kasih sayang hanya Allah saja yang dapat menentukannya, kerana dalam hal ini Allah SWT telah menyebutkan bahawa kita tidak akan dapat berlaku adil. 

DN 107 Andalah Wanita Syurga

Kembali ke atas ↑


 

9. Hukum Tidak Berkahwin
Soalan:
Apakah hukumnya seseorang itu tidak berkahwin kerana ia tidak mempunyai nafsu terhadap wanita. Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini?

Anak Runsing, KL

Jawapan:
Islam melarang hidup membujang, iaitu tidak mahu berkahwin dengan maksud untuk tekun ibadah, menjauhkan diri dari kesenangan dunia dan menghindarkan diri dari kewajipan menjaga anak. Rasulullah SAW bersabda : "Tidak ada hidup membujang (rabbaniyah) dalam Islam".
Dalam Surah Al Maidah ayat 87 dijelaskan: "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah halalkan bagi kamu dan janganlah kamu melewati batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas".
Jadi orang yang suka hidup membujang bererti mengharamkan apa yang dihalalkan Allah bagi dirinya.

Hukum perkahwinan itu asalnya mubah, tetapi akan berubah menurut hukum yang lima menurut perubahan keadaan.
a) Wajib
Kahwin diwajibkan bagi orang yang telah mampu, yang akan menambahkan takwa dan dikhuatirkan akan berbuat zina. Kerana menjaga jiwa dan menyelamatkannya dari perbuatan haram adalah wajib. Kewajiban ini tidak akan dapat terlaksana kecuali dengan berkahwin.

b) Haram
Kahwin diharamkan bagi orang yang tahu bahawa dirinya tidak mampu melaksanakan hibup berumahtangga, melaksanakan kewajipan lahir seperti memberi nafkah, pakaian dan tempat tinggal dan kewajipan batin seperti menggauli isteri (berahi terhadap wanita)

c) Sunat
Kahwin disunatkan bagi orang yang sudah mampu, tetapi ia masih sanggup mengendalikan dirinya dari perbuatan haram, dalam hal ini maka kahwin lebih baik daripada  membujang, kerana membujang
tidak ada dalam syariat Islam.

d) Mubah
iaitu bagi orang yang tidak ada halangan untuk kahwin dan dorongan untuk kahwin belum membahayakan dirinya, ia belum wajib kahwin dan tidak haram bila tidak kahwin. Jelaslah jika anda tidak ada keinginan untuk berkahwin kerana tidak ada nafsu terhadap wanita maka tidak berdosa, malah haram berkahwin jika tidak ada keupayaan untuk menggauli isteri.

Kembali ke atas ↑


10. Berbual dengan Bukan Mahram Melalui Telefon
Soalan:
Seorang lelaki dan seorang wanita bukan mahram menjalin hubungan dengan sering berhubung melalui telefon. Mereka berbual mesra tentang kehidupan seharian, perasaan hati masing-masing, ataupun hanya berbual kosong kerana seronok dapat berbual mesra antara satu sama lain. Apakah pendapat ustaz tentang perkara ini? Apakah hukumnya?

Marina, Ipoh

Jawapan:
Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya di tempat yang sunyi kerana perbuatan ini dilarang keras oleh Islam. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad menjelaskan larangan berdua-duaan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan kerana pihak yang ketiganya adalah syaitan. Setiap orang Islam wajib mematuhi larangan ini dan jangan cuba sekali-kali melanggarnya, kerana ia melibatkan hukum-hukum Allah.

Al-Quran menjelaskan dalam surah Al-Maidah orang yang melanggar hukum Allah tidak sunyi dari 3 kumpuilan manusia iaitu samada termasuk ke dalam golongan orang yang fasik, atau zalim ataupun kafir.Termasuk ke dalam ertikata berkhalwat yang dilarang oleh Islam ialah berbual di dalam telefon dengan perempuan yang bukan mahram, sambil menyatakan perasaan hati masing-masing tanpa tujuan yang syar'i, kerana ia menjadi jalan ke arah khalwat dan khalwat menjadi jalan ke arah perzinaan. Setiap yang menjadi jalan ke arah itu hendaklah ditutup berdasarkan kaedah feqah "menutup pintu fitnah atau Saddul Az-Zara'i itu wajib".

Satu kaedah lain menjelaskan "Sesuatu yang boleh membawa kepada haram maka hukumnya adalah haram". Sehubungan dengan itu seseorang lelaki Islam hendaklah menjauhkan perkara ini untuk mendapatkan keselamatan diri. Jika ia bertanya perempuan berkenaan tentang tarikh penetapan perkahwinan, beberapa ramai yang hendak datang meminang, hari apa-apa majlis itu hendak diadakan dan lain-lain yang ada hubungan dengan urusan perkahwinan, dan masanya pula tidak lama, tanpa pula ada kata-kata yang mengghairahkan, maka hukumnya adalah harus. Bagaimanapun sebaiknya pihak lelaki hendaklah bertemu terus dengan pihak keluarga perempuan untuk menguruskan perkara itu, kerana ia lebih selamat dari fitnah.Wallau A'lam.

DN 027 Muslimah Sejati

Kembali ke atas ↑


11. Maksud Jodoh Pertemuan Di Tangan Tuhan
Soalan:
Saya ingin tahu apakah maksud sebenar jodoh dan pertemuan di tangan tuhan? Dan bolehkah kita mengubahnya? Adakah pilihan ibubapa itu tepat dan adakah doa yang ibu pohonkan supaya anaknya menerima jodoh tersebut dimakbulkan oleh ALLAH? Dimanakah syurga seorang wanita, pada ibunya atau pada suaminya? Sebagai wanita siapakah yang lebih utama, ibunya atau suaminya?

Ingin Tahu, KL

Jawapan:
Memang diakui jodoh dan pertemuan itu adalah di tangan Tuhan. Bagamanapun kata-kata ini tidak boleh difahami secara umum begini, sebaliknya ia memerlukan huraian yang jelas, kerana ia mempunyai hubungan erat dengan qada' dan qadar Allah. Seseorang perempuan yang tidak di sangka-sangka dipinang orang kemudian berkahwin dan perkahwinannya kekal sehingga ke anak cucu. Itulah yang dikatakan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Begitu juga seorang yang sudah lama bercinta dan berjanji untuk untuk berkahwin namun mereka gagal berkahwin, juga dikatakan sebagai jodoh pertemuan itu di tangan tuhan.

Bagaimanapun seseorang itu tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada kaedah ini. Jangan hendaknya kerana jodoh pertemuan itu di tangan tuhan maka mereka tidak berusaha untuk mencari jodoh, sebaliknya mengambil sikap menunggu sahaja. Ini jelas satu prinsip hidup yang bercanggah dengan ajaran Islam. Kita dikehendaki berusaha selaras dengan ajaran-ajaran Islam yang Maha Suci, tetapi kita juga hendaklah menyerahkan kejayaan usaha kita itu kepada Allah SW. Setelah berusaha tetapi jodoh tidak ditemui juga barulah boleh kita mengatakan jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan.

Dengan lain perkataan jodoh dan pertemuan yang berbentuk umum itu boleh diubah dengan usaha yang kita lakukan, kerana tidak tidak seorangpun yang dilahirkan sudah mengetahui jodoh dan pertemuannya. Sehubungan dengan usaha yang berterusan selaras dengan syariat mesti dilakukan. Pilihan orang tua atau ibubapa untuk anak mereka tidak semestinya tepat, tetapi kebiasaannya ibubapa tidak akan memilih pasangan yang tidak baik untuk anak kesayangan mereka. Sebolehnya diusahakan mendapatkan pasangan yang baik kecuali mereka yang hidupnya bergelumang dengan kepentingan duniawi. Di kala itu ia akan mengutamakan kepentingan perut dari kebahagiaan rumahtangga anaknya.

Soal permohonan ibubapa untuk menemukan jodoh anaknya adalah satu kerja yang baik. Biasanya doa kedua ibubapa adalah doa yang mudah diperkenankan oleh Allah. dan jika Allah kehendaki Ia akan memakbulkan permohonan itu. Tidak mustahil, kerana itu anak-anak disuruh menaruh sangka baik kepada doa ibubapa mereka. Bagamanapun ibubapa tidak boleh mengharapkan doa semata-mata, sebaliknya mereka juga perlu bergerak untuk mencari jodoh untuk anaknya. Jika anaknya sudah mempunyai kenalan yang berkenan di hati di mana perwatakan pasangannnya baik menurut kacamata syara' dan tidak apa yang kurang, di masa itu elok diterima sahaja pasangan yang sudah sekufu ini.

Dari sudut ketaatan pula seorang anak perempuan dikehendaki taat kepada kedua ibubapanya selagi ia belum berkahwin dan selagi perkara yang diperintahkan itu tidak berbentuk maksiat. Tetapi setelah ia berkahwin ketaatan berubah kepada suaminya sepenuhnya. Dengan lain perkataan syurga seseorang perempuan itu sebelum berkahwin bergantung kepada ketaatan kepada kedua ibu bapa selain dari amalan-amalan wajib yang lain, dan setelah berkahwin bergantung kepada keredhaan suaminya dan tidak dalam perkara yang berbentuk maksiat.

DN 036 Rumah Idaman Syurga Impian - SUAMI TELADAN

Kembali ke atas ↑


12. Dilema Jodoh Setelah Istikharah
Soalan:
Saya mempunyai kenalan dan pada saya kenalan ini amat sesuai daripada ciri-ciri yang 4 sebagaimana yang telah kita ketahui. Saya telah melakukan sembahyang istikharah selama 7 hari berturut-turut dan Alhamdulillah saya telah di berikan petunjuk. Persoalannya kami telah bersemuka dan menyatakan luahan hati masing-masing dan saya dapati beliau telah mempunyai pilihan hati sendiri. Selepas itu saya telah bertemu dengan seorang insan yang juga memenuhi ciri-ciri tersebut. Hubungan kami setakat ini. Alhamdulillah walaupun belum membicarakan soal berumah tangga, dilema yang melanda pada masa ini ialah saya teringat tentang petunjuk yang lalu. Bagaimana Ustaz?

Zahariah, Bangi

Jawapan:
Dalam kes ini adalah suka disarankan kepada yang terlibat supaya jangan berputus asa. Tidak semestinya kita gagal buat kali pertama bererti kita juga akan turut gagal buat kali kedua. Jodoh pertemuan itu di tangan Allah. Saudari hendaklah mengadakan solat hajat memohon supaya Allah SWT mengurniakan suami yang salih kepada saudari. Setelah mengadakan solat hajat beberapa kali, bolehlah saudari menyatakan perasan saudari itu kepada jejaka idaman saudari itu tadi.

Jika jawapannya negatif saudari hendaklah reda dengan kehendak Allah dan jangan sekali-kali berputus asa. Jika jawapannya positif hendaklah bersyukur kepada Allah. namun untuk berputus asa jangan sekali. Dalam Al-Quran orang yang berputus asa hanya ditujukan kepada orang yang zalim dan kafir sahaja. Jangan saudari letakkan diri saudari di status ini. bagaimanapun saudari diingatkan supaya beriltizam denagan adab-adab Islam ketika pertemuan diadakan dengan membawa mahram bersama saudari jika tidak yang ketiganya adalah syaitan.

DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
DN 027 Muslimah Sejati

Kembali ke atas ↑


13. Dilema Pilihan Ibubapa dan Pilihan Sendiri
Soalan:
Saya telah menjalinkan hubungan dengan seorang kawan lelaki semenjak setahun yang lalu. Sebelum hubungan ini terjalin kami telah melakukan solat istikharah terlebih dahulu dan alhamdulillah Allah telah memberikan kekuatan dan petunjuk kepada kami untuk menjalinkan hubungan. Untuk menjaga hubungan ini agar diredhai Allah kami tidak pernah keluar bersama (berdating) dan menjauhkan perbuatan yang boleh mendatangkan fitnah.

Kami hanya berhubung hanya melalui telefon dan kiriman surat. Walaupun begitu hubungan kami tetap terjalin atas ikatan janji bahawa Insya Allah kami ingin menjadi sepasang suami isteri pada suatu masa nanti. Masalahnya ialah sekarang ibu dan bapa saya ingin mejodohkan saya dengan lelaki pilihan mereka. Saya telah menjelaskan tentang hubungan kami tapi mereka menolak dengan alasan kawan saya itu masih lagi menuntut di universiti. Sedangkan saya sudahpun berada di tahun akhir.

Walaupun kawan saya itu bukanlah di kalangan keluarga yang berada tetapi asas agamanya kukuh. Apa yang saya ingin tanyakan adakah Islam memberi kebebasan kepada seorang anak perempuan untuk memilih pasangannya? Apakah yang patut saya lakukan sekarang? Jika hubungan kami ini gagal adakah terdapat kesilapan ketika kami memohon petunjuk Allah semasa beristikharah dahulu?

Sakinah, Temerloh

Jawapan:
Sebelum saya menghuraikan persoalan ini dengan lebih lanjut,  suka dinasihatkan perkara pertama yang saudari harus yakini ialah jodoh dan pertemuan itu di tangan tuhan. Berdasarkan keterangan saudari, saudari telah melakukan apa yang patut saudari lakukan dengan menunaikan solat Istikharah. Untuk pengetahuan saudari bagi menyempurnakan lagi hasil istikharah tersebut kita diminta supaya tidak memberati diri kita dengan pilihan yang kita sendiri bersetuju dengannya sebelum itu, sebaliknya hendaklah saudari kosongkan hati dan serahkan segala urusan kepada Allah SWT.

Saudari perlu mengamati adakah solat Istikharah yang saudari lakukan itu menepati kaedah pelaksanaannya dengan yang digariskan oleh ulamak dari awal sampai ke akhirnya. Saudari juga dikehendaki menunaikan solat istikharah itu bukan sekali dua sahaja, bahkan acap kali. Jika saudari sudah benar-benar yakin dengan keputusan saudari berdasarkan petanda-petanda yang saudari perolehi, saudari boleh menentukan pilihan berdasarkan petanda tersebut.

Selain itu saudari juga dikehendaki menunaikan solat sunat hajat meminta agar Allah SWT mempermudahkan pilihan saudari itu dan menyerahkan kepada Allah supaya Ia menyediakan jalan keluar kepada permasalahan yang saudari hadapi di samping memperbanyakkan ketaqwaan kepadaNya. Dalam Islam seseorang mempunyai kebebasan dalam memilih jodoh, asalkan ia adalah sesama Islam dan dipersetujui oleh kedua belah pihak.

Namum begitu oleh kerana sifat semulajadi kaum wanita malu, maka orang yang paling berhak memilih jodoh untuknya ialah ibu bapanya, kerana merekalah yang paling memahami kedudukan anak perempuan mereka. Mereka tidak mencari jodoh yang tidak sepadan dengan kedudukan anak perempuan mereka. Namun begitu persetujuan hendaklah diperolehi dari wanita terlibat bagi  mempastikan pilihan ibubapanya itu kufu atau tidak dengan anak gadis terlibat.

Jika tidak kufu anak gadis terlibat berhak menolak pilihan itu. Seseorang anak gadis yang sudahpun mempunyai pilihan sendiri, dan pilihannya itu pula sudah kufu dengannya menurut kaca mata Islam hendaklah memberitahu hal ini kepada ibubapanya, supaya mereka berpuashati dengan pilihan anaknya. Dalam Islam seorang gadis yang masih dara berhak meminta fasakh dari hakim jika ia dikahwinkan oleh ibubapanya dengan calon suami yang tidak sekufu dengannya.

Pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW seorang perempuan menemui baginda mengadu yang beliau dikahwinkan oleh ayahnya dengan orang yang tidak sekufu dengannya dan baginda SAW memfasakhkan perkahwinan itu.

 

Kembali ke atas ↑


 

14. Hukum Menyesali Perkahwinan
Soalan:
Apakah hukumnya jika dalam satu-satu masa kita menyesali akan perkahwinan kita dengan suami yang sentiasa leka dengan hal dunia; jarang-jarang sembahyang dan berpuasa.  Perasaan itu datang kerana kita mengharapkan dia boleh membimbing kita dan anak-anak kearah dunia dan akhirat? Apakah ayat yang sesuai diamalkan supaya suami sentiasa mengingati Allah?

Hamba Allah, KL

Jawapan:
Tidak wajar kepada seseorang itu menyesali perkahwinannya dengan seseorang khasnya apabila suami yang diharapkan dapat membimbing isteri tidak melaksanakan tugasnya dengan baik. Ini kerana perkahwinan tidak bersalah. Yang bersalah ialah suami yang tidak melaksanakan tanggungjawab.

Kerana itu apabila suami tidak berbuat demikian, tidak wajar isteri melahirkan penyesalannya kerana berkahwin dengan beliau, sebaliknya hendaklah diusahakan cara yang boleh menyedarkan suami beliau itu seperti dengan bersolat hajat, meminta nasihat dari orang alim, membuat aduan kepada Qadi dan lain-lain. Kegagalan suami melaksanakan tanggungjawabnya itu adalah sebahagian dari kerosakan rumahtangga yang harus dibaiki dengan segera. Inilah rahsianya kenapa Islam menyuruh seseorang itu memilih suami yang ada agama, bukan yang hensem sahaja.

Untuk mendapatkan ayat dan kaedah yang sesuai yang boleh digunakan bagi mendorong suami terlibat supaya sentiasa mengingati Allah.

 DN 036 Rumah Idaman Syurga Impian - SUAMI TELADAN
DN 037 Rumah Idaman Syurga Impian - ISTERI TELADAN
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 001 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 002 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
DN 145 Doa Pelindung & Penawar Angin Ahmar "Stroke"

Kembali ke atas ↑


 

15. Ibubapa Menghalang Pilihan Hati
Soalan:
Ibubapa amat tidak mempersetujui pilihan gadis yang ingin saya kahwini dengan alasan gadis pilihan saya ini kurang baik dan mereka pasti jodoh saya dengan gadis ini tidak panjang. Jika saya meneruskan juga niat saya maka mereka akan menganggap saya anak derhaka, bukan anak mereka lagi dan ibu saya tidak akan reda apa yang saya lakukan dunia dan akhirat.

Saya juga pernah berkata supaya kepada kedua ibubapa agar dapat saya mempertemukan gadis pilihan hati saya ini kepada mereka tetapi mereka enggan. Sudah 2 tahun saya bersabar tetapi keadaan masih tidak berubah. Pilihan terakhir yang mereka berikan kepada saya ialah tinggalkan gadis itu (tanpa alasan yang kukuh) atau saya anak derhaka?

Din, Serdang

Jawapan:
Dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan apabila seorang lelaki yang sekufu dengan seseorang perempuan datang meminang perempuan itu, tetapi ditolak oleh keluarganya oleh sebab yang tidak konkrit pada pandangan syarak, akan berlakulah fitnah yang amat dahsyat selepas itu. Daripada hadis ini kita dapat simpulkan apabila seorang lelaki sudahpun kufu dengan seorang perempuan, maka pihak keluarga hendaklah mengambil langkah mengahwinkan mereka berdua segera.

Jika mereka tidak berbuat demikian akan pasti berlaku kerosakan yang amat dahsyat dalam masyarakat. Amat tidak wajar kepada ibubapa menuduh anaknya sebagai anak derhaka apabila ia tidak mahu mengikut pilihan orang tuanya, jika pilihan anaknya sendiri itu sudahpun kufu dari pandangan Islam. Jodoh pertemuan sebenarnya di tangan tuhan. Tiada seorangpun yang berhak menentukan yang jodoh si fulan itu tidak panjang. Kerana tidak ada seorangpun yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah.

Sepatutnya setiap ibubapa ,mengambil sikap optimis dengan pilihan anaknya dan membaiki mana yang kurang pada menantunya, apalagi di zaman sekarang ini zaman di mana kerosakan akhlak muda mudi Islam cukup ketara. Dalam kes ini saudara yang bertanya dikehendaki membuat aduan kepada Qadi, supaya qadi boleh menggunakan kira bicaranya untuk berbincang dengan keluarga bagi menyelesaikan kes ini.

Jika benar-benar gadis yang bakal dikahwini itu fasik dan kurang kufu dan ibubapa terlibat pula memang mempunyai pilihan yang sesuai dan kufu dengan anaknya, adalah lebih baik kepada yang terlibat menerima pilihan ibubapa ini dan menyerahkan seterusnya kepada Allah SWT. Boleh jadi sesuatu yang kita benci itu akan menjadi kebaikan kepada kita dan boleh jadi perkara yang kita suka mendatangkan kecelakaan kepada kita.  

DN 105 ♂ Permata Idaman Mutiara Syurga LELAKI SOLEH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑


 

16. Guna Ayat Menambat Hati
Soalan:

Adakah berdosa jika saya menggunakan ayat Al-Quran untuk tunang saya demi untuk menjaga hubungan baik antara saya dan dia?

Zaity, Selangor

Jawapan:
Menggunakan ayat Al-Quran dalam usaha menambatkan hati tunang supaya tidak lari dari seseorang tidaklah menjadi kesalahan, jika itu adalah sebahagian usaha dan ikhtiar yang dilakukan dan tidak bercanggah dengan Islam. Bagaimanapun seseorang itu hendaklah menggantung sepenuh harapannya kepada Allah.

Jangan digantungkan harapan kepada ayat Al-Quran tersebut. Ini kerana Al-Quran itu adalah penawar dan ubat yang paling mujarab kepada manusia. Bagaimanapun ia diikat dengan sejauhmana ia tidak digunakan untuk maksud yang tidak sihat. Jika maksudnya tidak sihat, maka hukumnya adalah haram.

HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 001 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 002 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )

Kembali ke atas ↑


 

17. Mandi Bunga Mempercepatkan Jodoh
Soalan:

Orang mengatakan walaupun jodoh pertemuan di tangan tuhan, kita harus berusaha dan tidak hanya berserah kepada tuhan. Salah satu usaha yang dianjurkan ialah dengan bertemu bomoh yang menganjurkan mandi bunga. Bomoh ini kononnya mengamalkan ayat-ayat AlQuran tetapi mandi bunga ini tetap juga dianjurkan.

Betulkah di dalam perubatan islam terdapat mandi bunga, apakah hukumnya jika mengamalkan mandi bunga ini? Apakah hukumnya jika si anak tidak mahu melakukan mandi bunga ini dan menyebabkan kemarahan kedua ibubapanya yang niat mereka hanya untuk kebaikan anak mereka?

Nor, Melaka

Jawapan:
Mandi air bunga yang diamalkan dalam perubatan Melayu sekarang tidaklah menjadi kesalahan selagi tidak diitikadkan yang ianya boleh mendatangkan sesuatu kemudaratan atau boleh mendatangkan sesuatu kemanfaatan, kerana kuasa berbuat demikian hanya ada pada Allah SWT sahaja. Mandi air bunga bukanlah perubatan Islam yang Rasulullah sarankan kepada para sahabat yang tidak menemui jodoh. Perkara ini tidak pernah berlaku di zaman baginda.

Ia hanya datang dari tradisi perubatan orang-orang Melayu, yang mana kesahihannya bergantung kepada sejauh mana penggunaannya tidak bercanggah dengan ajaran Al-Quran dan Al-Hadith. Jika bercanggah hendaklah dijauhkan.

Bagi kes anda, seseorang itu dipaksa mandi air bunga kerana kononnya sebagai mendekat jodoh, tetapi ia enggan berbuat demikian sedangkan ibunya memaksa ia berbuat demikian. Yang terlibat hendaklah berbuat demikian jika difikirkan kemudaratan tidak berbuat demikian lebih besar dari kemudaratan ia mandi air bunga tersebut. Seeloknya perempuan terlibat membaca setiap hari surah Yusuf dan menunaikan solat hajat, mudah-mudahan Allah SWT menganugerahkan kepadanya jodoh yang sesuai dengannya, Insya Allah.  

HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 001 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 002 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
DN 087 Amalan Hikmat & Rahsia dari Al-Quran

 

Kembali ke atas ↑


18. Cara Mendapatkan Suami Beriman
Soalan:
Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan pasangan lelaki yang baik dan beriman?  Adakalanya saya sungguh berminat dan berharap orang itulah yang akan menjadi suami saya, tetapi akhirnya saya ditinggalkan begitu saja. Memanglah jodoh pertemuan ditangan Allah tapi kita berhak  mencari, berikhtiar untuk mendapatkan pasangan yang baik untuk kita. Tolonglah selesaikan kebuntuan di jiwa saya ini, saya sudah mencecah usia 25 tahun pada tahun ini?

Adik, PJ

Jawapan:
Untuk mendapatkan pasangan suami yang beriman boleh dilakukan dengan beberapa pendekatan. Antaranya menunaikan solat hajat dan memohon suami yang salih dari Allah SWT. Membanyakkan bacaan doa; "Ya Allah Ya Tuhanku kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan suami-suami serta anak-anak yang menjadi penyejuk mata hati kami dan jadikanlah kami sebagai ikutan kepada orang-orang yang bertakwa."
Selain itu boleh juga dilakukan dengan meminta bantuan orang tengah yang dipercayai untuk mencari jodoh yang solih khasnya mereka yang mengetahui lebih dekat tentang latar belakang seseorang lelaki. Dalam Islam harus kepada seseorang perempuan melamar seseorang lelaki yang dilihatnya seagai seorang yang solih. Melamar di sini bermaksud menyatakan hasrat hati kepada lelaki berkenaan dan memintanya supaya meminang gadis terlibat. Saudari disarankan memperbanyakkan membaca surah Yusuf.

DN 148 ♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 001 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
HAJAT untuk Rawatan, Pelindung dan Doa DN 002 ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
DN 076 Petua Kebahagiaan Rumahtangga

Kembali ke atas ↑


 

19. Wanita Menyatakan Hasratnya terhadap Lelaki
Soalan:
Rasulullah ada menyebut, sekiranya kita menyukai seseorang kerana Allah, ada baiknya kita menyatakan kesukaan kita kepadanya. Apakah pula kewajaran bagi seorang muslimat yang menyukai seorang muslimin kerana dia yakin muslimin itu seorang yang memiliki fahaman Islam yang jelas. Tetapi muslimin ini telah menolak hasrat itu kerana dia sendiri pernah dikecewakan. Saya ada mendengar seorang wanita itu di datangi bukan mendatangi. Wajarkah lagi muslimat ini menyatakan hasrat hatinya secara bersunguh-sungguh dan terus mengharap, setelah dia yakin muslimin tersebut adalah pilihan yang terbaik hasil dari doa & solatnya. Dalam hal ini, bagaimanakah dia harus bertawakkal?

Nur 'Izzah, Glugor

Jawapan:
Tidaklah salah seorang wanita menyatakan keinginannya terhadap seorang lelaki agar lelaki tersebut melamarnya dan mengahwininya. Bahkan Siti Khadijah mengatar seorang utusan untuk menyatakan hasratnya agar baginda mengahwininya. Akhirnya hasrat Siti Khadijah itu disambut oleh Rasulullah SAW dengan cara yang baik dan bagindapun mengirim utusan untuk melamar Siti Khadijah.

Jika anda berhasrat terhadap seseorang lelaki bolehlah meniru seperti yang dilakukan oleh Siti Khadijah yang mengirim utusan untuk menyatakan hasratnya terhadap baginda. Setelah itu berdoalah kepada Allah, agar pemuda yang menjadi idaman hati anda itu terbuka hatinya untuk menerima anda sebagai isterinya. Serta bermohonlah kepada Allah agar pilihan anda itu merupakan yang terbaik yang telah Allah tentukan untuk diri anda. Insya Allah.

Kembali ke atas ↑


 

20. Menasihati Calon Isteri
Soalan:
Saya mempunyai seorang tunang dan saya amat menyayangi tunang saya itu. Tapi dia adalah seorang amat degil dan kuat melawan. Sebelum saya bertunang dia tak pernah berperangai demukian. Bermacam macam cara yang telah saya lakukan seperti nasihat tetapi tidak diendahkannya malah akan melawan cakap saya. Kebelakangan ini pun perwatakannya agak meragukan saya. Oleh itu saya ingin bertanya bagaimanakah cara saya nak melembutkan sikit hatinya supaya patuh kepada arahan dan kehendak saya. Saya takut perangainya tidak akan berubah sehingga saya mendirikan rumah tangga berasamanya hingga menimbulkan pergaduhan dan seterusnya bercerai. Berilah saya sedikit nasihat dan tunjuk ajar supaya dapat melembutkan hatinya?

Hamba Allah, NS

Jawapan:
Itulah sebabnya istilah tunang yang berlarutan hingga berbulan dan bertahun tidak ada dalam ajaran Islam. Syariat Islam hanya membolehkan seseorang itu merisik keadaan calon isteri, dengan tujuan agar tidak tertipu dengan keadaan sebenar wanita tersebut seperti keadaan kesihatannya, keturunannya dan sebagainya. Jangka masa pertunangan yang lama disamping dapat mendatangkan fitnah juga menimbulkan masalah dalam perhubungan. Sebenarnya tidak hak bagi calon suami terhegeh-hegeh ingin menasihati calon isterinya kerana mereka belum lagi bernikah. Jadi batas hubungannya hanya sekedar ingin mengetahui keperibadian, kesihatan, keturunan dan aspek lain yang mungkin menjadi ciri khas tertentu bagi membuat pemilihan.

Tetapi jika anda merasakan bahawa calon isteri tersebut memiliki keperibadian atau akhlak yang tidak baik, maka lebih baik sebelum diadakan pernikahan, lakukanlah solat sunat istikharah, agar Allah tentukan jodoh yang terbaik untuk anda.

Kembali ke atas ↑


 

21. Kahwin dengan Pangkat Emak Saudara
Soalan:
Saya ingin bertanya tentang perkahwinan. Adakah boleh saya mengahwini pangkat emak saudara saya. Seperti berikut, atuk saya dengan bapa dia adik-beradik, jadi dia dan emak saya bersepupu. Adakah boleh saya mengahwini dia?

Muhamad Rizal, Kuching

Jawapan:
Islam hanya melarang berkahwin dengan seorang perempuan itu ada dua bentuk. Pertama larangan muabbad ertinya larangan untuk dikahwini selamanya dan kedua, larangan Muaqqat ertinya larangan kahwin dengan seorang perempuan selama perempuan tersebut masih dalam keadaan tertentu, apabila keadaan berubah maka larangan itu tercabut dan perempuan itu menjadi halal dikahwini.

Larangan perkahwinan yang terus menerus itu disebabkan oleh kerana hubungan pertalian darah, ada hubungan perkahwinan dan hubungan susuan. Sedangkan kedudukan anda dengan pasangan yang ingin anda kahwini itu membolehkan anda menikahinya.  Dalam hal ini telah dijelaskan dalam Firman Allah maksudnya: "Diharamkan atas kamu mengahwini ibu-ibumu, anak-anak perempuanmu, saudara-saudara perempuanmu, saudara-saudara perempuan ayahmu, saudara-saudara perempuan ibumu dan anak perempuan dari saudara-saudara lelakimu, anak perempuan dari saudara-saudara perempuanmu, ibu-ibu yang menyusukan kamu, saudara perempuan sesusuan, ibu-ibu isterimu (ibu mertua) anak-anak perempuan isterimu yang dalam pemeliharaanmu dari isteri yang telah kamu tiduri, tetapi jika kamu belum mencampurinya (dan sudah kamu ceraikan) maka tidak berdosa kamu mengahwininya dan diharamkan bagimu isteri anak kandungmu (menantu) dan menghimpun dua perempuan bersaudara kecuali yang pernah terjadi di masa lalu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Surah An Nisa' ayat 23) 

DN 036 Kursus & Bimbingan Perkahwinan

Kembali ke atas ↑


 

22. Was-was (Meragui) akan Rahmat Allah Melalui Istikharah
Soalan:
Saya berusia 30 tahun berjawatan executive di KL. Saya masih bujang dan masih mencari pasangan untuk dijadikan isteri. Saya penah berminat dengan seorang gadis sehingga saya beristikharah samada nak teruskan keinginan saya. Jadi hasrat tu suka pada dia. Selepas saya menyatakan keinginan pada seorang
kawan dan sampaikan pada dia, dia diam. Tapi istikharah saya memihak kearah dia. Lebih2 lagi saya salat hajat supaya Allah palingkan hati saya dari dia. Tapi saya gagal. Setiap kali saya lebih suka pada dia. Malangnya gadis itu tidak meberikan apa2 jawapan pada saya.

Soalan saya: Apakah setiap istikharah yang dibuat dan hasilnya keputusan itu datang dari Allah atau syaitan masih boleh mempermainkan kita dalam hal beristikharah. Kerana saya beristikharah dalam bulan ramadhan. Kini saya seperti hilang keyakinan pada salat istikharah. Sehingga saya mula melakukan sesuatu yang diluar batas kerana tekanan untuk memiliki seorang isteri. Apakah amalan terbaik atau ayat2 pelaris jodoh/percepat jodoh yang boleh saya amalkan? Ayat pengasih yang boleh diamalkan?

Alim, WP

Jawapan:
Solat istikharah kita lakukan jika kita menemukan suatu masalah dalam membuat pilihan atau keputusan. Setelah mengerjakan solat sunat ini berdoalah dengan ikhlas agar Allah memberikan pilihan yang terbaik. Jika kita yakin dengan pertolongan Allah, maka Allah akan memberikan jalan yang terbaik kepada hambanya, namun jika ragu-ragu dengan pertolongan Allah, maka syaitan akan meniupkan perasaan was-was.

Kehilangan keyakinan atau ragu-ragu (was-was) dalam mengharapkan rahmat Allah merupakan dosa yang mesti ditinggalkan, kerana perkara tersebut menggugurkan iman. Jika iman telah hilang dalam sanubari, maka musnahlah rahmat Allah dalam kehidupan. Hindarkan daripada melakukan sesuatu diluar batas kerana disebabkan oleh tekanan terlambat mendapat jodoh. Walaupun kecenderungan hati saudara kepada pilihan anda tersebut, namun jika Allah menetapkan yang lain, maka itulah yang terbaik untuk anda. Sebab kebaikan dalam penilain manusia berbeza dengan kebaikan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk seseorang.

Hasil pilihan itu bukan sekedar mengikut kecederungan nafsu semata, tetapi kadangkala keputusan yang terjadi diluar jangkauan kita. Tugas kita sebagai hamba hanya menjalankan kewajipan dan bermohon kepada-Nya, sedangkan segala keputusannya kita serahkan kepada Allah SWT. Berdoalah kepada Allah selesai solat lima waktu, bukan sekedar disegerakan memperoleh jodoh, tetapi mengharap dipertemukan dengan wanita solehah yang akan menghiasi rumahtangga dengan kedamaian dan ketenangan. Wallahu A'lam.

DN 093 Bimbingan Lengkap Solat-Solat Sunnat

Kembali ke atas ↑


 

23. Mengetahui Isyarat Memilih Jodoh Solat Istikharah
Soalan:
Di sini saya mempunyai kemusykilan tentang sembahyang istikharah. Kebanyakan buku-buku agama yang saya baca mengatakan setelah melakukan sembahyang tersebut dan di mana rasa berat hati dalam memilih suatu keputusan itu, maka keputusan itulah yang sepatutnya diikuti. Tetapi ustaz, masalahnya rasa berat hati kita itu, kita tidak tahu sama ada ianya adalah mengikut petunjuk Allah ataupun mengikut nafsu diri sendiri. Dengan itu, ada saya menemui satu buku yang mengatakan petunjuk itu boleh diperolehi dalam mimpi. Caranya ialah sesudah kita melakukan solat istikharah tersebut, kita tidur dengan pakaian yang bersih dan berwuduk dan jangan memikirkan perkara lain selain daripada apa yang dihajatkan. Insya-Allah petunjuk itu akan diperolehi dalam mimpi.

Jika benar kita bermimpi semasa tidur itu, maka adakah sahih petunjuk itu atau adakah mimpi itu juga boleh dikatakan datang dari nafsu kita sendiri? Ini adalah kerana setahu saya mimpi orang biasa seperti saya ini tidak benar-benar boleh dipercayai. Mungkin ia datang daripada syaitan. Petunjuk yang ingin saya perolehi adalah tentang adakah teman lelaki yang saya dampingi kini adalah benar-benar calon suami saya. Ada rakan saya (lelaki) yang pernah mendapat petunjuk dalam mimpi tentang perkara yang sama. Katanya dia nampak wajah teman wanitanya dalam mimpinya itu. Dengan itu, dia yakin petunjuk itu adalah dari Allah. Adakah petunjuk itu boleh diterima pakai? Oleh sebab itulah saya mengemukakan soalan ini, adakah relevan suatu petunjuk itu diperolehi melalui mimpi?

Nur, Selangor

Jawapan:
Solat Istikharah selain daripada untuk menetapkan suatu pilihan yang kita ragui ia juga digalakkan untuk orang yang bimbang memilih jodohnya. Diriwayatkan oleh ahmad dan abu Ayyub al Anshari bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda kepadanya yang bermaksud: "Sembunyikanlah pinanganmu, kemudian berwudhuklah dan perbaikilah wudhukmu, kemudian lakukanlah solat seberapa yang ditetapkan oleh Allah (maksudnya seberapa yang dikehendaki). Sesudah itu pujilah Allah, kemudian ucapkanlah: "Ya Allah, Sesungguhnya Engkau Berkuasa, sedangkan aku tidak berkuasa. Engkau Mengetahui, sedangkan aku tidak mengetahui. Engkau Mengetahui segala yang ghaib. Jika Engkau mengetahui bahawa si fulan/fulanah (sebutkan nama lelaki atau perempuan yang dimaksudkan) baik untukku, untuk agamaku, duniaku dan akhiratku, maka berilah dia untukku. Jika yang selainnya lebih baik daripadanya untukku,untuk agamaku, untuk duniaku dan akhiratku, maka berilah yang lain itu untukku".

Sesungguhnya solat istikharah adalah merupakan suatu pernyataan yang tulus bagi setiap peribadi mukmin, bahawa melalui solat tersebut mereka meniadakan kehendak peribadinya dan menyerahkan diri dan urusannya sepenuhnya kepada Allah SWT. Jika kita telah melakukan solat istikharah dengan akidah dan jiwa yang bersih, maka insya Allah  kenderungan hati dan petunjuk daripadaNya akan datang. Tidak kiralah apakah sedang mengerjakan solat ataupun kecenderungan suasana hati kepada salah satu pilihan dan boleh juga melalui mimpi jika tidur kita disertai wuduk dan doa. Setelah menyerahkan segalanya kepada Allah SWT, hilangkan perasaan was-was dan ragu-ragu agar keputusan yang terbaik itu memang merupakan kebenaran dan bukan kerana hawa nafsu.

DN 093 Bimbingan Lengkap Solat-Solat Sunnat

Kembali ke atas ↑


 

24. Calon Isteri lebih Tua daripada Suami
Soalan:
Saya seorang lelaki berumur 24 tahun. Saya telah bertemu dengan seorang perempuan yang berumur 29 tahun, yang dahulunya bekerja satu ofis dan kini berpindah ke tempat lain. Walaupun kami cuma berkawan biasa, sama seperti saya berkawan dengan orang lain, namun hati saya semakin dekat padanya dan begitu juga dengan hatinya yang semakin dekat pada saya. Sebelum ini walaupun mempunyai beberapa kawan perempuan yang lain namun tidak pernah saya alami seperti ini. Saya pernah buat sembahyang Istikharah, tetapi saya tidak tahu bagaimana petunjuk yang sebenar. Namun semakin hari semakin dekat hati saya padanya. Bukan kerana rupa atau harta, tapi keikhlasan yang melebihi segala-galanya.

Oleh itu saya ingin bertanya adakah ini merupakan petanda jodoh yang telah ditentukan oleh Allah. Saya bimbang jika saya tersalah pilih kerana perkahwinan adalah perkara yang besar dan penting dalam kehidupan. Buat pengetahuan, saya telah pun bertunang dengannya dan pertunangan kami direstui dan disukai oleh ibu-bapa dan saudara-mara malahan mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menyiapkan persiapan untuh perkahwinan.

Akhir sekali, adakah apa-apa kesan jika saya berkahwin dengan perempuan yang lebih tua kerana ada pendapat mengatakan anak yang bakal dilahirkan nanti kurang normal. Atau mungkin kesan dalam kehidupan akan datang. Sebelum saya berkahwin, tolonglah beri panduan kepada saya.

Suhaimi, Kajang

Jawapan:
Perkara yang mulia dan dituntut jika seseorang ingin membuat pilihan tertentu begitu juga tentang jodoh dengan melakukan solat Istikharah. Dengan solat Istikharah tersebut kita akan memperoleh jawapan yang terbaik terhadap pilihan kita. Berbagai cara Allah tunjukkan tentang firasat hasil dari solat kita tersebut. Kadangkala melalui kecenderungan hati yang sentiasa suka terhadapnya dan disokong dengan suasana dan keadaan. Jika Allah telah menentukan demikian, maka insya Allah, pasangan anda tersebut merupakan insan yang terbaik yang akan dijadikan sebagai isteri.

Mengenai faktor usia bukanlah menjadi ukuran, apatah lagi perbezaan umur dengan pasangan anda hanya lima tahun. Rasulullah SAW berkahwin dengan Siti Khadijah ketika baginda berumur 25 tahun sedangkan Siti Khadijah 40 tahun. Perbezaan 15 tahun antara Rasulullah dengan Siti Khadijah tidak menjadi halangan dalam perkahwinan baginda, bahkan melalui Siti Khadijah lah Rasulullah SAW memperoleh zuriat yang ramai dan terpuji.

Pendapat yang mengatakan berkahwin dengan wanita yang lebih tua daripada lelaki bakal melahirkan anak yang kurang normal adalah pendapat yang keliru lagi sesat. Jika kita mempercayai pendapat yang bodoh ini maka kita sebenarnya telah memperleceh dan tidak pandai menerima hakikat sebenar yang pernah terjadi dalam kehidupan Rasulullah SAW. Sebagai orang Islam dan beriman kepada Allah, ikutilah sunnah dan jangan mudah percaya perkara yang kurut atau khurafat dan bid'ah, agar kehidupan kita selamat di dunia dan di akhirat. Teruskanlah usaha anda ingin mengahwini pasangan anda tersebut semoga kebahagiaan dan kedamaian akan anda nikmati dan binalah rumahtangga menurutu konsep ajaran Islam. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

25. Mencari Jodoh Sebagai Suatu Ikhtiar
Soalan:
Kita selalu diingatkan yang jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan. Jadi apakah kita perlu berusaha untuk mendapatkannya. Contohnya mencari jodoh sedangkan ia telah ada dalam ketentuan Allah. Sebagai seorang wanita, bagaimanakah cara untuk berusaha sedangkan ia dilitupi dengan sifat malu.Atau perlukah menanti sahaja jodoh tersebut?

Norazita, Kuantan

Jawapan:
Memang dari ketentuan takdir bahawa jodoh pertemuan, ajal maut dan rezeki di tentukan Allah. Namun manusia tidak mampu menjangkau keputusan takdir Allah itu terhadap dirinya, kerana ia merupakan hak dan ketetapan Allah SWT. Itulah sebabnya Allah menyuruh manusia bekerja atau berikhtiar dalam menuju kepada ketentuan takdir yang telah ditetapkan-Nya. Mengenai jodoh ditentukan Allah ini mengandungi pengertian bahawa jodoh di tentukan Allah dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditentukan-Nya.

Cita-cita untuk memilih suami mithali atau suami teladan memang ada dalam diri setiap wanita, samada yang sudah berkahwin ataupun mereka yang bakal berkahwin. Kerana ketenangan dan kebahagian rumahtangga hanya dapat dirasakan bagi mereka yang mempunyai pemimpin rumahtangga yang baik. Namun begitu kebanyakan wanita menyimpan rasa malu yang mendalam untuk meluahkan isi hati dan keinginannya jika ia menemui seorang lelaki yang dirasakan sesuai untuk menjadi pasangan dalam hidupnya. Rasa malu ini adalah fitrah yang perlu dijaga teruama berkaitan dengan mengerjakan perkara yang dilarang. Namun dalam masalah pemilihan jodoh ini adalah tidak salah dari segi syarak seorang wanita menyatakan keinginannya terhadap seseorang.

Perkahwinan antara Rasulullah SAW dengan Siti Khadijah adalah melalui luahan hati Khadijah agar Rasulullah SAW meminang dirinya dan menjadikannya sebagai isteri. Dengan perantaraan seseorang maka Khadijah menyatakan hasratnya tersebut, yang akhirnya dipersetujui oleh Rasulullah SAW dengan mengirimkan utusan untuk melamar Siti Khadijah. Rasa malu yang anda ungkapkan diatas bukanlah malu yang dianjurkan syariat tetapi malu yang telah dibina adat melayu sendiri. Padahal yang perlu kita malukan adalah menahan atau mencegah diri dari memenuhi keinginan syarak iaitu menyegerakan perkahwinan jika telah memenuhi syarat yang diperlukan.

Walaupun syarak mengizinkan seorang wanita menyatakan hasratnya (melamar) terhadap lelaki yang menjadi idmannya, namun perlulah diperhatikan adab-adab dan ketentuannya. Gunakanlah pihak ketiga untuk menyampaikan hasrat dan keingan anda tersebut, setelah itu jika lelaki tersebut setuju maka suruhlah ia datang melamar dan menyatakan hasrat persetujuannya kepada wali ataupun orang tua. Wallahu A'lam.

Kembali ke atas ↑


 

26. Makna Sekufu dalam Perkahwinan
Soalan:
Saya terkeliru dengan persolan sekufu dalam perkhawinan. Apakah maksud 'sekufu' yang sebenarnya seperti yang telah ditetapkan dalam Islam? Adakah ia bermaksud yang jika seorang berkedudukan rendah dari segi taraf hidup, pendidikan dan sebagainya tidak layak untuk bergandingan dengan seorang yang berkedudukan lebih tinggi dari segi nilaian kebendaan ( dunia )?

Nurul Suhana, Kuantan

Jawapan:
Kufu dari sudut bahasa bermaksud sama atau setaraf. Dari sudut istilah pula kufu bermaksud satu aspek yang ketiadaannya akan mencacatkan kedua mempelai. Aspek kufu dalam mazhab syafei ada enam iaitu, Islam, meredeka, agama, keturunan, kerjaya dan sejahtera dari sebarang kecacatan. Sebahagian fuqahak mutaakhirin al Syafei mengambil kira usia juga termasuk ke dalam aspek kufu. Mereka menghukumkan seorang gadis remaja tidak sekufu dengan seorang lelaki tua.

Menurut Imam Syafei perkahwinan mereka yang tidak sekufu tidaklah haram. Oleh sebab itu beliau sendiri tidak menolak perkahwinan seperti itu, tetapi memandangkan ianya suatu keredhaan kepada calon isteri dan walinya, Syafei menghukumkan sahnya perkahwinan tersebut bergantung kepada keredhaan keduanya. Jika keduanya redha menerima ketidak sekufuan itu, perkahwinan tersebut adalah sah.

DN 030 Kursus & Bimbingan Perkahwinan

Kembali ke atas ↑

Popular

Wadah Harian

Kamu tidak akan masuk syurga, kecuali kalau kamu beriman, dan tidaklah beriman kalau kamu belum saling berkasih sayang. Mahukah kamu, aku tunjukkan sesuatu yang bila kamu kerjakan, kamu akan berkasih sayang antara satu sama lain? Tebarkanlah salam di antaramu.

* Petikan: Imam Ghazali DN 082 1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat