Demi mengutamakan kemuliaan kedua ibu bapa, maka Islam tidak membenarkan
seorang anak pergi ke medan jihad tanpa mendapat kebenaran dari kedua
orang tuanya. Bahkan mereka merupakan orang yang wajib kita hormati
dan taati. Perintah supaya mentaati keduanya jelas termaktub dalam
Al-Quran dan Hadith. Islam sendiri mengkategorikan sebagai dosa besar
sekiranya menderhakai keduanya.
Sebagai anak yang soleh, kita wajib mendoakan kebahagian mereka
berdua agar beroleh rahmat dari Allah SWT di dunia dan akhirat. Mereka
yang menyayangi serta mentaati kedua ibu bapa akan mendapat kebahagian
di dunia mahupun akhirat. Hidup akan terasa sentosa. Bahkan kelak
anak-anak mereka juga akan melayan mereka dengan baik sepertimana
mereka berbuat baik terhadap kedua ibu bapa mereka sebelumnya.
Semoga buku ini bermanfaat dalam menanamkan rasa kasih sayang terhadap
kedua ibu bapa, insya Allah.
|