Kerinduan menyahut lambaian Ka'bah menggamit setiap relung hati insan
yang beriman. Gema takbir dan talbiah menghiasi seluruh alam buana,
melimpah hikmah dan keagungan asma, menjalar setiap denyut nadi insan
yang mendambakan kemesraan kekasih. Jiwa dan raga dipenuhi harapan limpahan
kurnia dan redha ilahi dalam menjalin kehangatan makrifat. Semangat
yang membara menepis segala rintangan dalam memenuhi panggilan Allah.
Tawaduk dan istiqamah membekalkan rasa cemas dan gementar bila menghadirkan
diri di depan pintu raja yang agung dalam memenuhi panggilanNya. Harapan
ingin memperolehi haji yang mabrur bercampur dengan kebimbangan kerana
kesedaran tentang kedaifan diri sendiri. Sesungguhnya keindahan dan
kebaikan memperolehi haji yang mabrur itu hanya syurga sebagai ganjarannya.
Dengan mempersiapkan bekal yang halal, ilmu dan taqwa maka umat Islam
akan menikmati kesempurnaan ibadah haji, umrah dan ziarah.
Semoga buku ini memberikan sumbangan terhadap umat Islam dalam mempersiapkan
diri memenuhi panggilan ke tanah suci, insya Allah.
|