Isu khilafiah, bid’ah dan juga maslahah umum merupakan isu yang sudah
biasa didengar oleh umat Islam di negara ini. Namun begitu pembahasan
tentang setiap isu ini jarang dilakukan. Tidak wujudnya pembahasan tentang
ketiga-tiga isu ini secara serentak kadang kala menimbulkan salah faham
kepada sesetengah kalangan dengan menganggap perkara bid’ah itu sebagai
maslahah dan perkara khilafiah sebagai perkara bid’ah.
Tidak semua perkara yang baru itu bid’ah. Ianya dianggap bid’ah apabila
dikaitkan dengan ibadah sahaja dan tidak pula didapati nas atau asasnya
dari Al Quran mahupun hadith. Dalam isu khilafiah yang melibatkan perkara
furu’, mereka perlu hormat menghormati antara satu sama lain dan tidak
boleh taasub kepada pendapat sendiri. Begitu juga dalam menghadapi maslahah
umum yang tidak bercanggah dengan nas, mereka hendaklah menyokong sesuai
dengan kemampuan masing-masing.
Semoga buku ini dapat memberi jawapan tentang salah pengertian khilafiah,
bid’ah dan maslahah umum, sekaligus memberi pedoman kepada umat Islam
seluruhnya, insya Allah.
|