Keimanan yang kukuh dan lurus merupakan kunci pintu syurga. Makrifatullah
atau mengenal Allah merupakan hakikat kehidupan untuk mengenal Penciptanya
dan mengetahui hakikat diri sendiri. Dengan mengenal Allah akan tumbuh
dalam kalbu mahabatullah atau cinta terhadap Allah, kemudian sentiasa
mengharap rahmatNya. Akhirnya bersatu antara cinta, rindu dan redha
dalam maqam pengabdian yang sempurna.
Membersihkan hati di atas permaidani kemuliaan Ilahi melalui iman,
Islam dan ihsan, akan memancarkan sinar makrifat. Hati dan nafsu menjadi
tunduk kerana mendapat bimbingan ke arah kebenaran. Biasan cahaya zuhud,
sabar, syukur dan tawakal memenuhi relung kalbu menyimpan bekal aqidah
yang murni dalam menghadapi kehidupan abadi. Nilai kehambaan insan tersimpuh
di bawah hamparan kekuasaanNya dalam keadaan hina tak bermaya.
Semoga buku ini menjadi panduan dalam memahami sifat, asma dan keagungan
Allah, sehingga meluruskan keyakinan dan menambahkan lagi nilai keimanan,
insya Allah.
|