Tauhid tercermin dalam kesaksian tiada tuhan selain Allah dan Muhammad
adalah utusanNya. Di dalam roh tauhid tersimpan segala aspek kehidupan
manusia, menjadikan keperibadian penuh dengan hiasan, sumber ketenteraman
dan kekuatan jiwa. Memahami roh kalimah tauhid kemudian menghidupkannya
merupakan hakikat makrifatullah iaitu mengenal Allah Yang Maha Esa.
Makrifatullah bagaikan siraman air hujan yang menyuburkan pepohonan
yang kering dan tanah yang tandus. Namun air hujan hanya sementara sedangkan
makrifatullah tetap sejuk dan sentiasa menyuburkan jiwa dan nurani mukmin.
Nur kalimah ini lebih besar dari sinaran mentari, bahkan tetap bersinar
siang dan malam, malah ketika keheningan malam cahayanya semakin berkilauan.
Semoga kekuatan kalimah ini yang terkandung di dalamnya segala apa
yang ada di langit dan di bumi, dapat menyinari setiap celah-celah kalbu
yang merindui Ilahi ya Rabb, insya Allah.
|