Menuntut ilmu adalah wajib bagi orang-orang yang beriman lelaki dan
wanita. Ilmu agama merupakan bekalan mukmin dalam menghiasi kehidupannya
untuk menuju kebahagiaan dunia dan akhirat. Dengan ilmu agama yang lengkap
serta sempurna seseorang itu akan lebih mampu untuk mengerjakan suruhan
Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya.
Untuk menjadi mukmin yang sejati, setiap individu mestilah berusaha
memperbaiki agamanya kerana ilmu agama merupakan khazanah yang mulia
menghiasi jiwa dan peribadi. Keteguhan iman akan bertakhta di dalam
diri seseorang jika sentiasa menyiramnya dengan ilmu dan pengetahuan
yang mulia. Dengan demikian Islam memiliki generasi yang mempunyai pengetahuan
dan roh keIslaman.
Buku ini memberikan sumbangan pengetahuan asas agama Islam yang terangkum
dalam aspek tauhid dan fiqh kepada umat seluruhnya. Semoga dapat memberikan
panduan yang bermanfaat kepada kita semua, insya Allah.
|