Kasih sayang dan kemesraan sentiasa tersemat di dalam sanubari seorang
wanita yang merupakan fitrah kurniaan Allah SWT. Namun, keistimewaan
itu tidak cukup untuk menjadikannya Wanita Solehah jika tidak dihiasi
dengan ajaran yang mulia. Hanya yang telah melengkapi diri dengan budi
pekerti luhur dan keimanan yang murni akan kekal mekar sebagai bunga
idaman yang menghiasi taman Syurga.
Wanita Solehah akan menghiasi kehidupannya dengan fitrah kebenaran.
Jika dia seorang anak, maka ia akan menjadi anak yang solehah. Jika
dia seorang isteri, ia akan taat dan patuh terhadap suami. Jika dia
seorang ibu, akan dicurahkan kasih sayangnya untuk anak-anak. Begitu
juga sebagai hamba Allah, dia akan sentiasa tunduk dan menyerahkan diri
kepada-Nya. Selanjutnya Wanita Solehah mampu menghargai dirinya sendiri
dan mampu pula menjalinkan hubungan silaturrahim sesama insan.
Semoga buku ini dapat memberi bimbingan dan panduan dalam pelbagai
aspek kehidupan serta gambaran khusus tentang Kedudukan, Keperibadian
dan Ciri-ciri Kewanitaan, insya Allah.
|