Dunia yang didiami oleh manusia serta lain-lain ciptaan Allah tidak
pernah kekal. Sebagaimana manusia yang pasti bertemu ajalnya, akan tiba
suatu masa di mana dunia sampai ke penghujungnya. Menjelang tibanya
akhir zaman, terdapat pelbagai peristiwa dan kejadian luar biasa bakal
terjadi. Semuanya bertujuan sebagai peringatan akhir zaman terhadap
manusia yang bertaqwa dan mengambil faedah serta iktibar darinya.
Apabila tibanya hari tersebut, akan tertutuplah segala pintu taubat
di mana amal kebajikan tidak akan diterima sama sekali. Untuk itu, bersamalah
kita bertaubat sebelum terlambat. Penuhkan sisa-sisa hidup ini dengan
melakukan amal kebajikan. Insafi segala dosa-dosa yang pernah dilakukan,
hiasi diri dengan akhlak dan amalan terpuji. Tiada nikmat atau kebahagiaan
dunia yang berkekalan, akhirat jua kekal abadi.
Semoga buku ini dapat menyedarkan setiap insan yang sering alpa tentang
tibanya akhir zaman dan seterusnya bersedia menghadapinya, insya Allah.
|