Setiap jiwa merindui kebenaran Ilahi, kerana di sebalik kerinduan
itu tersimpan kenikmatan yang paling indah, yang sangat sukar untuk
diucapkan dengan kata-kata. Hanya jiwa yang beriman dalam meneguk makrifatullah
yang dapat merasakan betapa agungnya jiwa yang mahmudah.
Setiap kemaksiatan adalah racun di dalam hati yang merosak kesucian
jiwa seseorang, kerana ia rindu berbuat dosa yang akan mewariskan kehinaan.
Oleh sebab itu, meninggalkan dosa bererti menghidupkan jiwa dan memancarkan
cahaya keimanan di celah-celah sanubari insan.
Imam Ali bin Abi Talib berpesan: "Tenangkanlah hati dalam waktu-waktu
tertentu, kerana jika hati itu merasa letih ia akan menjadi buta". Kemudian
Ibnu Munkadir berkata: "Bagiku nikmat dunia ini hanya ada pada tiga
perkara, qiamullail, silaturrahim dan solat berjemaah". Wahai insan
yang beriman, renungkanlah dirimu agar kamu mengetahui hakikat dirimu
sendiri, dengan demikian kamu akan mengenali Pencipta Yang Maha Agung.
Berilah penawar dalam jiwa agar ia tetap suci dan tunduk pada Ilahi.
|